Monday, January 27, 2014

Hollande sahkan hubungan dengan Trierweiler berakhir


Julie Gayet
PARIS 26 Jan. - Presiden Perancis, Francois Hollande akhirnya mengesahkan bahawa hubungannya bersama Valerie Trierweiler sudah berakhir, selepas sebuah majalah melaporkan beliau menjalinkan hubungan sulit bersama seorang pelakon dua minggu lalu.
Perkara itu disahkan seorang pembantu Presiden yang enggan mendedahkan namanya.
Menurutnya, Hollande telah memutuskan hubungan selama tujuh tahun dengan Trierweiler.
Berita tentang perpisahan itu mula dilaporkan oleh agensi berita Agence France Presse dengan berkata, Hollande dalam satu perbualan telefon petang semalam memberitahu, beliau sudah memutuskan hubungan dengan Trierweiler.
Hollande yang memiliki empat orang anak hasil bersama bekas calon Presiden Perancis, Segolene Royal berkata kepada agensi berita tersebut, beliau bercakap atas kapasiti sebagai seorang rakyat biasa dan bukan sebagai ketua sebuah kerajaan.
Beliau dan Trierweiler, 48, sudah hidup bersama sejak tahun 2007 tanpa melangsungkan perkahwinan, malah bekas Wanita Pertama itu turut menetap di kediaman rasmi Presiden, Istana Elysee.
Presiden berusia 59 tahun itu sering mengelak apabila diajukan soalan tentang status Trierweiler dalam setiap sidang akhbar sejak 14 Januari lalu, namun tidak pula menafikan hubungannya dengan aktres, Julie Gayet, 41.
Soalan tersebut menjadi tajuk utama akhbar-akhbar di seluruh dunia selepas majalah Closer menyiarkan skandal Hollande bersama Gayet.
Pendedahan itu mengakibatkan Trierweiler dimasukkan ke hospital selama seminggu.
Hollande berjanji akan mengadakan satu sidang akhbar untuk menjelaskan tentang kekeliruan tersebut, sebelum beliau mengadakan lawatan ke Amerika Syarikat yang dijadualkan pada 11 Februari depan. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140127/lu_12/Hollande-sahkan-hubungan-dengan-Trierweiler-berakhir#ixzz2rXrmDcCP
© Utusan Melayu (M) Bhd