Thursday, November 19, 2015

Hadi cabar Husam bersumpah


Oleh Syafiq Aznan


Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. - Foto Roslin Mat Tahir
SHAH ALAM: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mencabar bekas Naib Presiden parti itu, Datuk Husam Musa untuk bersumpah bagi membuktikan dakwaannya bahawa wujud usaha penyatuan antara PAS dan juga UMNO. 
"Kalau dia beranggapan apa yang dia katakan itu betul dan apa yang kami (PAS) katakan adalah bohong, maka silakan bersumpah," katanya pada program Dewan Muslimat PAS di sini, hari ini.
Beliau berkata, PAS Pusat juga sedang menunggu laporan daripada PAS Kelantan berhubung kenyataan Husam yang mengkritik kepemimpinan beliau. 
"Sebarang tindakan yang diambil ke atas Husam perlu dibuat mengikut prosedur Jawatankuasa Disiplin yang perlu bertindak berdasarkan laporan terlebih dulu. 
"Kita tidak boleh mengambil tindakan berdasarkan apa yang tertulis di laman media sosial atau sumber yang tidak diyakini namun buat masa ini, kita belum lagi menerima laporan berhubung tindakan Husam," katanya.
Husam sebelum ini menegaskan sanggup bersumpah talak isteri bagi membuktikan kenyataannya itu adalah benar.

PAS Kepala Batas lepas jawatan JKKK


Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar


BUKHORI (duduk, tengah) pada sidang media di Markas Pongsu Seribu, Kepala Batas, malam tadi. - Foto Zulaikha Zainuzman
KEPALA BATAS: PAS Kepala Batas malam tadi mengumumkan pendirian untuk menarik diri daripada memegang jawatan dalam Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), berkuat kuasa serta-merta.
Yang Dipertua PAS Kawasan Kepala Batas, Bukhori Ghazali, berkata keputusan itu dibuat kerana PAS bukan lagi rakan dalam kepimpinan kerajaan negeri.
Beliau berkata, perkara itu diputuskan sebulat suara dalam mesyuarat PAS Bahagian Kepala Batas pada September lalu.
"Tindakan ini dibuat selepas Ketua Menteri, Lim Guan Eng mengumumkan PAS bukan lagi rakan dalam kepimpinan kerajaan negeri tanpa terlebih dulu mengadakan perbincangan dengan komponen pakatan serta terus mengumumkan Pulau Pinang sebagai Kerajaan Pakatan Harapan.
"PAS tidak sewajarnya dilihat masih melukut di tepi gantang. Mana mungkin JKKK dalam DUN yang PAS bertanding boleh berkhidmat di bawah penyelarasan ADUN DAP yang memantau dan menyelaras segala urusan JKKK serta dalam masa sama meminta pemimpin PAS Kawasan menolak kepimpinan ulama," katanya pada sidang media di sini, malam tadi.
Beliau berkata, tindakan ini juga dibuat demi menjaga maslahah ahli daripada terus dituduh dengan pelbagai tohmahan kerana bekerja di bawah pimpinan kerajaan negeri yang berterusan menunjukkan sikap negatif terhadap kepimpinan tertinggi PAS.
"Keputusan ini juga dibuat demi menjaga wehdah jemaah supaya ahli PAS tidak lagi disogok dengan pelbagai cubaan yang memungkinkan perpindahan ahli kepada parti lain," katanya.
Sebelum ini, PAS Kawasan Kepala Batas diberi mandat mengepalai dan menganggotai 10 JKKK di kawasan Parlimen itu.

Pulau Pinang pecat semua JKKK PAS




Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar


TIMBALAN Ketua Menteri, Datuk Mohd Rashid Hasnon. - Foto Ramdzan Masiam
GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang memecat semua ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) PAS di negeri ini yang dikesan tidak menyokong pakatan harapan.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Mohd Rashid Hasnon membuat pengesahan itu.
Beliau berkata, kerajaan negeri sudah melakukan semakan terhadap ahli JKKK sedia ada termasuk menghentikan perkhidmatan terhadap ahli PAS.
Katanya, pemecatan itu termasuk terhadap 10 JKKK PAS di Parlimen Kepala Batas.
"Tiada isu mereka menarik diri daripada memegang jawatan berkenaan.
"Kita memang sudah menghantar surat untuk memberhentikan perkhidmatan JKKK PAS di kawasan parlimen itu.
"Kita sudah menggantikan mereka dengan individu yang menyokong pakatan harapan," katanya pada sidang media di Bangunan DUN di sini, sebentar tadi.
Kelmarin, PAS Kepala Batas mengumumkan pendirian untuk menarik diri dari memegang jawatan dalam JKKK berkuat kuasa serta-merta.
Yang Dipertua PAS Kawasan Kepala Batas, Bukhori Ghazali, berkata keputusan itu dibuat kerana PAS bukan lagi rakan dalam kepimpinan kerajaan negeri.
Beliau berkata, perkara itu diputuskan sebulat suara dalam mesyuarat PAS Bahagian Kepala Batas pada September lalu.

Gambar Nurul Izzah Bersama Anak Perempuan Kiram Cetus Kegemparan


Diterbitkan: Khamis, 19 November 2015 12:21 PM
Nurul Izzah bersama Jacel Kiram.

PETALING JAYA: Gambar Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar bersama dengan anak perempuan bekas Sultan Sulu yang mengarahkan pencerobohan di Lahad Datu menggemparkan pengguna laman media sosial.
Ramai yang mempersoalkan tindakan Nurul bertemu Jacel Kiram, anak kepada Jamalul Kiram III yang mengarahkan seramai 200 tentera Sulu menceroboh Sabah pada Februari 2013.
Dalam salah sekeping gambar, Nurul dilihat sedang makan malam bersama dengan Jacel dan seorang lelaki tidak dikenali.
Dalam dua keping gambar lain turut menunjukkan Nurul bergambar bersama Jacel sambil memegang poster "Release Anwar Immediately".
Gambar tersebut dipercayai diambil bulan ini.
Pengguna Facebook, Lim Sian See bertanya apa yang sedang dibincangkan Nurul bersama Jacel dan seorang lelaki tidak dikenali ketika sedang makan malam.
Dalam laman Facebook Jacel, wanita itu menggunakan gambar profil dengan kapsyen "You are a Filipino, Sabah is ours!."
Netizen yang berkongsi gambar tersebut turut mempertikaikan tindakan Nurul bertemu dengan Jacel dan bertanya "apa yang sedang beliau lakukan bersama individu di sebalik pencerobohan Lahad Datu".
Seorang lagi pengguna Facebook, Justin 'The" Tun menggesa Nurul untuk menjelaskan pertemuan tersebut.
"Adakah wanita itu Jacel Kiram? Tolong beritahu saya individu itu bukan beliau," katanya.

Pas, Umno perlu kerjasama lebih serius


Dr Mohd Asri Zainul

WARTAWAN SINAR HARIAN
17 NOVEMBER 2015Dr Mohd Asri

SHAH ALAM – Pas perlu mencuba untuk bekerjasama dengan Umno secara lebih serius memandangkan kedua parti tidak mempunyai banyak perbezaan dari segi watak dan idealisme.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menerusi laman sosialnya semalam memaklumkan bahawa Pas sebelum ini telah berulang kali bergabung dengan pakatan pembangkang namun nyata ianya gagal disebabkan oleh sifat parti dan idealisme yang dipegang.

“Pas patut mencuba dengan Umno secara lebih serius. Mana tahu, mungkin di sana ada kebaikan untuk umat dan negara,” katanya.

Menerusi kenyataan berkenaan juga, Asri memaklumkan bahawa Pas perlu memperbaiki serta mengimbangi Umno dengan mewujudkan hubungan matang dan tegas tapi mesra.

Tambah beliau, Pas pada masa kini hampir menyamai Umno dari segala aspek dan sekiranya kedua parti ini dapat menjadi sahabat baik, banyak manfaat berkemungkinan bakal diperoleh.

“Idea Tuan Guru (Datuk Seri) Abdul Hadi (Awang) itu mungkin boleh direalisasikan memandangkan Pas serta Umno juga merupakan saudara seakidah. Pas hari ini hampir menyamai Umno dari segala segi melainkan perbezaan nama, kopiah dan songkok sahaja. Itupun bukan soal pokok.

“Jika Pas dan Umno dapat menjadi sahabat baik yang berpesan-pesan kepada kebaikan dan kebenaran, serta mencegah kemungkaran, mungkin banyak manfaatnya,” katanya.

Sebelum ini, bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa mendedahkan Presiden Pas pernah merancang untuk bekerjasama dengan Umno bagi menubuhkan kerajaan perpaduan di Selangor namun perkara itu dinafikan Pas Selangor.

Lepaskan jawatan: Umno bukan 'milik' Najib


Rushdan (dua, kanan) mengetuai sidang media semalam.
KAJANG - [DIKEMASKINI] Selepas 13 Umno cawangan Teluk Kemang mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melepaskan jawatannya Oktober lalu, semalam Umno Sepang pula tambil membuat perkara sama menentang kepimpinan parti.
Kumpulan yang disertai sembilan wakil dalam bahagian Sepang itu berkata, ahli Umno perlu mempertahankan parti keramat itu, bukannya individu tertentu.
Ketua Umno Cawangan Rista Villa Perdana, Rushdan Mohamed berkata, Umno bukan milik peribadi Datuk Seri Najib, dan mereka berharap perkara yang membimbangkan sekarang diselesaikan segera sebelum Umno dan BN ditolak dalam PRU14 akan datang.
"Saya tak nampak hari ini apaila bersama akar umbi, bersama pengundi bahawa Umno dan BN akan dipilih sekali lagi.
"Jadi saya amat berharap dan merayu kepada Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meletakkan jawatan sebagai Perdan Menteri dan seterusnya Presiden Umno, jika Datuk Seri sayangkan parti keramat ini, sudah sampai masanya kerana masa diberikan lama sekali untuk Datuk Seri selesaikan masalah," katanya dalam satu sidang media khas semalam.
Beliau yang juga bekas Pengarah War Room BN Sepang ketika PRU13 lalu menegaskan, terdapat lebih 20 cawangan dalam Sepang setuju dengan tindakan ini.
Dalam pada itu, Rushdan berkata beliau bersedia untuk dikenakan apa sahaja tindakan daripada partinya selepas keberaniannya mendesak Najib meletakkan jawatan.
"Saya berdiri pada dasar utamakan kepentingan parti, saya bersedia untuk dipecat disoal siasat dan sebagainya, saya ingat lagi kali pertama saya keluarkan kenyataan tentang "Rayuanku Pada Tuan Presiden' saya telah difitnah dengan begitu teruk oleh seseorang. Saya difitnah melarikan duit PRU13 balik buat rumah banglo di kampung.
"Saya difitnah kerana menentang Najib, dan kalau lihat balik tidak mustahil saya akan difitnah semula, jadi saya bersedia untuk apa sahaja tindakan oleh parti, saya hanya melakukan apa sahaja yang termampu, saya tidak mahu saya disoal oleh anak cucu saya esok apa yang saya lakukan untuk mempertahankan Umno kerana  mempertahankan pemimpin yang tidak betul," katanya.

‘Tiada siapa nak jatuhkan Nik Aziz’


W.SAIDATUL NAJEMUDIN
Mustafa Ali

18 NOVEMBER 2015
 Mustafa Ali

KUALA TERENGGANU - Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Mustafa Ali tergelak besar ketika mendengar namanya pernah dikaitkan dengan usaha menjatuhkan bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mustafa berkata, dakwaan yang mengaitkan beliau dengan usaha terbabit adalah pertama kali didengarnya.

Sambil menafikan perkara itu, beliau memberitahu tidak ada sebarang komplot untuk menggugat kedudukan bekas Mursyidul Am Pas itu ketika hayatnya.

“Ini adalah berita baru bagi saya. Ini pertama kali dengar... Dalam Pas ini tiada seorang manusia pun yang nak jatuhkan Tok Guru Nik Aziz,” katanya kepada pemberita di Pejabat Perhubungan Pas Terengganu, di sini, kelmarin.

Beliau turut menegaskan dan mengulangi cubaan sedemikian tidak pernah berbangkit sekalipun oleh mana-mana pemimpin Pas lain.

“Tak ada seorang manusia pun (dalam Pas), pemimpin kecil, besar ke. Tiada. Tiada seorang pun yang ada hasrat untuk jatuhkan Tok Guru Nik Aziz. Tidak,” katanya.

Beliau berkata sebagai menjawab dakwaan yang mengaitkan beliau, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din untuk menjatuhkan kepimpinan Nik Aziz.

Sementara itu, berhubung isu Abdul Hadi menawarkan untuk menjadi penasihat BN, beliau memberitahu perkara tersebut telah dimanipulasi daripada kenyataan asal pemimpin Pas itu.

Beliau memberitahu  Pas sudah terlalu lama memberi nasihat dalam memastikan urus tadbir negara ke arah lebih baik.

“Kalau tak tawar pun kita nasihat dah. Sampai waktu bagi nasihat, kita bagi nasihat,” katanya.

Berhubung kerajaan negeri yang bersedia bekerjasama dengan Pas, Mustafa berkata beliau bersetuju memberi nasihat sekiranya kerajaan negeri mahu berbincang dengan Pas berhubung pembangunan Terengganu.

“Kalau nak bincang dengan (kerajaan negeri) soal pembangunan Terengganu, boleh. Saya pun sanggup,” katanya.

Salahuddin: Ada yang iri hati kejayaan Amanah


Salahuddin Ayub
Salahuddin Ayub
SHAH ALAM - Perkembangan pesat Parti Amanah Negara (Amanah) yang mendapat perhatian masyarakat Malaysia dan antarabangsa adalah pencapaian yang boleh dibanggakan walaupun baru berusia hanya dua bulan, kata Timbalannya Salahuddin Ayub.
Salahuddin berkata,  selain itu pemimpin- pemimpin kanan  Amanah  telah diberikan penghargaan menyertai pelbagai forum sama ada diperingkat nasional mahupun antarabangsa.
‎"Perkara ini  membuktikan bahawa Amanah telah diiktiraf sebagai sebuah entiti politik yang penting.
"Di samping itu, pihak sekretariat pula sedang bekerja keras memproses permohonan keahlian yang telah mencapai 50 ribu disamping menunggu 150 ribu borang keahlian yang telah diedarkan ke seluruh negara. Hasrat untuk Amanah mencapai 100 ribu ahli sebelum akhir tahun ini akan menjadi kenyataan insya-ALLAH," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mengulas lanjut, Salahuddin berkata pencapaian Amanah yang menyakinkan ini dengan berteraskan dasar Islam yang berwajah "Rahmat Untuk Semua" disamping pendekatan yang Progresif, Inklusif dan Peduli , ramai yang meletakan harapan yang tinggi kepada Amanah untuk terus maju kehadapan mewarnai aspirasi rakyat Malaysia bersama Pakatan Harapan.
"Mungkin kerana inilah ada golongan atau pihak yang rasa resah dan iri hati dengan kewujudan dan kejayaan Amanah.
"Cubaan paling lucu dan nakal ialah melagakan gaya kepimpinan saya dan Mohd Sabu. Kononnya saya pro PKR dan Mohd Sabu terlalu pro DAP. Amat menjengkelkan bukan? ," ujarnya.
Katanya, kekuatan pihaknya  praktikkan dalam Amanah ialah kebertanggungjawapan secara kolektif.
"Kami padu dalam melaksanakan keputusan parti dan tidak bersikap "kluk-klek". Presiden Amanah tidak besar kepala dan gemar membuat keputusan sendiri. Jawatankuasa Nasional pula bebas menegur pimpinan tanpa ancaman," katanya.
Katanya lagi, berbekalkan pengalaman puluhan tahun dipersada perjuangan, beliau  dan Mohd Sabu waras membaca pelbagai permainan politik murahan seperti mana yang berlaku kini.
" Insya-ALLAH  Amanah walaupun usianya masih baru mampu untuk membaca kilat ikan di air," katanya.

Duduk bersama tak bererti Pas, Umno akan bersatu


Nasrudin Hassan
Nasrudin HassanKUALA LUMPUR - Pas tiada keperluan untuk bersatu dengan Umno, bagaimanapun tidak menolak kepentingan kerjasama dan perbincangan bersama Umno.
Demikian ujar Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan ketika ditemui media di lobi Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Menurut beliau, adalah penting bagi kedua parti tersebut untuk bekerjasama demi kepentingan rakyat dan kepentingan negara.
Nasruddin berkata, ia perkara biasa dan tidak perlu diperbesarkan kerana perkara tersebut berlaku dalam semua parti.
"Sebagai contoh, jika mahu laksanakan pembangunan ke atas Pulau Pinang, DAP akan bertemu dengan PKR, dengan Najib (Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri
Najib Tun Razak) dan pimpinan kerajaan," katanya.
Kata Nasruddin lagi, tidak salah bagi pemimpin parti untuk melintasi persempadanan politik selagi ia dilakukan demi mengimbangi politik, pembangunan dan kepentingan rakyat.
"Saya nampak tak perlu Pas bersatu dengan Umno, tambah lagi kami mengamalkan dasar yang berbeza bagaimanapun Pas tidak menolak sekiranya perlu bekerjasama dengan Umno demi rakyat.
"Sebagai contoh isu banjir yang berlaku di negeri Kelantan, bila banjir berlaku, Pas dijemput untuk duduk berbincang (begitu juga dengan Umno) untuk menyelesaikan masalah banjir, kalau kita betul-betul tidak boleh terima Umno, tak kan kita tidak boleh hadir?" soalnya.

Yapiem buat laporan polis terhadap Now


Akmal Nasir

18 NOVEMBER 2015
Akmal Nasir Akmal ketika bercakap pada sidang media, hari ini. - Foto Sinar Online oleh RAZIATUL HANUM A.RAJAK (Gambar Fail)

KUALA LUMPUR - Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapiem) hari ini membuat laporan polis terhadap Pengarah Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (Now) Akmal Nasir, yang membuat tuduhan tidak berasas dan berunsur fitnah.  

Pengarah undang-undang Yapeim Datuk Mohd Naser Disa berkata dokumen yang didedahkan pengarah Now itu telah diputarbelitkan.

"Ada lagi dokumen lain contohnya dokumen yang menyatakan bahawa lawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom ke Amerika Syarikat, Iowa dan Minnesota adalah tidak benar kerana Jamil Khir hanya pergi ke Washington dan Indianapolis sahaja," katanya pada sidang media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini.

Mohd Naser berkata Yapiem akan menfailkan saman terhadap Akmal berhubung dakwaannya itu, dalam masa terdekat.

Sementara itu, Ketua Pengarah/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Yapiem Datuk Abibullah Samsudin berkata, pihaknya membuat laporan polis itu kerana mendapati dokumen yang diperoleh Now serta yang dipaparkan di laman sosial adalah dokumen yang diperoleh secara tidak sah dan faktanya diputarbelitkan.

Akmal Nasir sebelum ini mendakwa bahawa program yang disertai Jamir Khir ke Amerika Syarikat pada 21 hingga 29 Mei tahun lepas bersifat bersuka ria dengan menggunakan dana anak yatim. - Bernama

Obama bidas China



AFP - GAMBAR fail pada 20 Julai 2011 menunjukkan pemandangan dari udara Pulau Thitu di Kepulauan Spratly yang diduduki Filipina.


MANILA – Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama meminta kerja pembinaan di kepulauan tuntutan bertindih di Laut China Selatan dihentikan semalam sekali gus meningkatkan tekanan ke atas China pada Forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).
Mengetepikan gesaan rakan sejawatnya dari China, Xi Jinping supaya sidang kemuncak 21 negara di Manila itu menumpukan kepada hubungan ekonomi, Obama menuntut langkah-langkah berani diambil bagi meredakan ketegangan antara China dan jiran-jirannya yang lebih kecil di rantau Asia Tenggara.
Dalam komen yang jelas ditujukan kepada Beijing, Obama berkata, langkah-langkah itu termasuk menghentikan penambakan laut, pembinaan baharu dan operasi ketenteraan di Kepulauan Spratly.
Negara-negara serantau termasuk hos APEC, Filipina bimbang berhubung tindakan China yang semakin agresif di laluan perkapalan strategik itu.
Antara tindakan itu termasuk membina beberapa pulau di terumbu dan beting pasir yang mendorong beberapa negara Asia Tenggara berpaling kepada Washington untuk meraih sokongan.
Obama menekankan bahawa AS mempunyai tanggungjawab untuk melindungi Filipina seperti yang termaktub dalam perjanjian pertahanan bersama.
Beliau bagaimanapun meminta pertikaian tuntutan itu diselesaikan berlandaskan undang-undang.
“Pertikaian ini perlu diselesaikan secara aman,” kata Obama yang menyokong keputusan Filipina meminta timbangtara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung isu Spratly.
Beijing enggan mengiktiraf bidang kuasa panel PBB tersebut. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1119&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3rssvKvsy 
Hakcipta terpelihara