Showing posts with label Kuan Yew. Show all posts
Showing posts with label Kuan Yew. Show all posts

Sunday, February 17, 2013

Kuan Yew dimasukkan ke hospital




KUAN YEW


SINGAPURA - Bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew dimasukkan ke Hospital Besar Singapura (SGH) semalam selepas disyaki mengalami serangan iskemia transien yang dikaitkan dengan masalah pemfibrilan atrium berpanjangan atau gangguan kadar denyutan jantung, lapor agensi berita Bernama.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, bekas Menteri Mentor itu telah pulih daripada serangan tersebut tetapi akan ditahan dalam wad bagi pemerhatian untuk beberapa hari lagi bagi membolehkan doktor melaraskan ubatnya.
Serangan iskemia transien berlaku apabila aliran darah ke bahagian otak terhenti buat seketika menyebabkan pesakit kemudian mengalami simpton seperti strok.
Bagaimanapun, simptom strok itu akan hilang dalam tempoh kurang 24 jam.
Lee, 89, menjadi Perdana Menteri Singapura dari 1959 hingga 1990.
Pada November 2011, seorang anak perempuannya, Lee Wei Ling mendedahkan Kuan Yew menghidap penyakit saraf yang menyebabkannya sukar untuk berjalan.
Isteri Kuan Yew, Kwa Geok Choo meninggal dunia pada tahun 2010. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0217&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2L74p7XH0 
Hakcipta terpelihara 

Thursday, April 28, 2011

Kuan Yew menang tanpa bertanding


LEE Kuan Yew (tiga dari kanan) disambut oleh sekumpulan penyokongnya sebelum beliau diisytiharkan sebagai menang tanpa bertanding di kerusi parlimen Tanjung Pagar, Singapura semalam.


SINGAPURA - Menteri Mentor, Lee Kuan Yew dari Parti Tindakan Rakyat (PAP) menang tanpa bertanding bagi kerusi parlimen Tanjong Pagar selepas pembangkang, Perikatan Demokratik Singapura (SDP) tidak menghantar wakil untuk bertanding sehingga masa penamaan calon berakhir semalam.
Kuan Yew yang merupakan bekas Perdana Menteri Singapura menang tanpa bertanding di kawasan itu sejak 1991.
Menurutnya, beliau mahu melihat seseorang bertanding bagi menentangnya tetapi pasukan SDA tidak hadir pada waktu penamaan yang ditetapkan menjelang pukul 12 tengah hari.
"Semua orang tahu bahawa anda perlu mengisi dokumen menjelang pukul 12 tengah hari. Justeru ia adalah percubaan tidak bersungguh-sungguh yang menunjukkan mereka mahu bertanding," kata Kuan Yew selepas beliau menang tanpa bertanding.
Menurut laporan agensi berita Bernama, dalam ucapan terima kasihnya yang dilapor televisyen tempatan, Channel NewsAsia, Kuan Yew memberi jaminan bahawa beliau akan berkhidmat untuk penduduk Tanjong Pagar bagi tempoh lima tahun akan datang.
Sementara itu, Jabatan Pilihan Raya Singapura menyatakan, parti-parti pembangkang buat pertama kali meletakkan calon paling ramai yang bertanding sejak republik itu memperoleh kemerdekaan pada tahun 1965.
Calon-calon dari enam parti pembangkang akan bertanding di 82 kerusi manakala PAP bertanding di 87 kerusi.
Anak Kuan Yew, Lee Hsien Loong berdepan dengan pilihan raya umum kedua selepas beliau menjadi perdana Menteri pada 2004.
Parti PAP sudah menguasai politik Singapura lebih lima dekad. - Agensi, kosmo

Tuesday, April 26, 2011

Kuan Yew berkempen minta rakyat ingat asal usul Singapura


SINGAPURA - Menteri Mentor Lee Kuan Yew menyampaikan mesej pilihan raya ringkas kepada rakyat Singapura semalam dengan menggesa mereka agar melihat kepada asas dan tidak meruntuhkan teras yang telah membolehkan Singapura berkembang sebagai sebuah negara moden seperti sekarang.

Mengingatkan rakyat bahawa hala tuju negara adalah di tangan mereka pada pilihan raya 7 Mei depan, pengasas negara Singapura itu mahu mereka 'mengingati kembali asal usul Singapura dan bagaimana sukarnya untuk kita meningkat maju seperti yang kita nikmati sekarang ini'.
Singapura seperti yang kita kenali sekarang tidak berlaku kerana nasib, tetapi melalui perancangan teliti oleh para pemimpin generasi pertama, yang mengetuai pemerintahan sendiri Singapura pada 1959, kata Kuan Yew dalam satu kenyataan kepada media.
"Semua sekolah, hospital, universiti, pasukan polis, angkatan bersenjata, tentera udara, kami bina semuanya bermula dengan sifar," katanya.
"Jangan runtuhkan teras ini. Ingatlah asal usul Singapura, betapa susahnya untuk kita sampai kepada apa yang kita ada sekarang ini. Apabila generasi bertukar, terdapat risiko generasi seterusnya akan membuang apa yang telah mereka warisi tanpa berfikir panjang," tambah pemimpin itu.
Beliau menyatakan bahawa dalam pilihan raya umum 7 Mei depan, parti pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP) mengetengahkan calon-calon yang berkaliber tinggi dengan rekod prestasi yang menunjukkan mereka tidak akan gagal dalam memikul amanah yang akan diberikan.
"Kita mencari ke dalam masyarakat Singapura untuk memilih mereka yang memiliki keupayaan dan integriti paling tinggi untuk mengemudi Singapura ke hadapan. Kita tidak akan dapat mencapai satu titik yang mana kita boleh bergantung kepada pengemudian secara automatik yang mana sesiapa sahaja boleh mengambil alih pentadbiran negara. Kita bukannya tinggal di Dunia Disney (alam fantasi)," kata pemimpin berusia 87 tahun itu.
Pada pilihan raya kali ini, Kuan Lee akan bertanding merebut kerusi daerah Tanjong Pagar iaitu kerusi pertama yang dimenanginya dalam pilihan raya pada tahun 1955. - Agensi

Friday, January 28, 2011

Strategi Kuan Yew cuba lagakan negara jiran?



KUALA LUMPUR 27 Jan. - Dakwaan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew bahawa wujudnya konspirasi dalam kalangan negara jiran yang mahu menjatuhkan Singapura adalah strategi beliau untuk menimbulkan kekecohan dan melaga-lagakan negara di rantau ini.
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, dakwaan tersebut akan mewujudkan konflik antara Singapura dengan negara tetangga termasuk Malaysia dan Indonesia.
Katanya, kenyataan tidak bertanggungjawab itu seolah-olah sengaja dilakukan oleh Menteri Mentor Singapura itu.
''Dalam hal ini, kita mahukan kerajaan Singapura pimpinan anak Kuan Yew sendiri iaitu Lee Hsien Loong menyatakan pendirian sebenar republik itu terhadap negara-negara jirannya sama ada menyokong kenyataan peribadi Kuan Yew itu atau sebaliknya kerana ia memberi kesan kepada hubungan antara negara di rantau ini.
''Bagi pihak MBM, kami akan mengusulkan agar isu ini dibincangkan pada dialog Malindo di antara persatuan belia Malaysia dan Indonesia yang dijangka berlangsung tahun ini kerana kenyataan terbuka Kuan Yew itu dilihat mengancam ketenteraman rantau Asia Tenggara," katanya.
Beliau mengulas dakwaan Kuan Yew menerusi buku Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going mengenai wujudnya kempen dari luar untuk menjatuhkan negara itu kerana dianggap penceroboh selain menurutnya terdapat usaha di pihak Malaysia dan Indonesia mahu menjejaskan perniagaan pelabuhan negara berkenaan.
Tokoh akademik, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim pula berpendapat, dakwaan Kuan Yew terhadap negara-negara jirannya itu merupakan strateginya untuk mengalihkan perhatian rakyat Singapura terhadap masalah dalaman yang melanda negara tersebut.
Katanya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Singapura mengalami masalah dalaman sehingga Kuan Yew terpaksa menutup sebuah universiti tempatan iaitu Universiti Nanyang tanpa sebab munasabah.
''Kita jangan layan dakwaan-dakwaan Kuan Yew. Beliau sudah menggunakan strategi yang sama sejak era 1960-an lagi dan semua orang tahu beliau ada agenda tersembunyi.
''Tindakan beliau itu semata-mata mahu melaga-lagakan rakyat negara jiran. Kita jangan lupa bahawa beliaulah punca berlakunya rusuhan antara kaum suatu ketika dahulu, jadi jangan ambil berat sangat mengenai dakwaan beliau itu," ujarnya.
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. P. Sivamurugan berkata, kenyataan Kuan Yew itu tidak mengutamakan dasar multilateral dan bilateral yang diamalkan oleh kebanyakan negara di rantau Asia Tenggara.
Katanya, tiada sebab untuk Kuan Yew takut kepada negara jirannya kerana selama ini negara-negara tersebut tidak pernah mengancam keamanan Singapura.
''Jika terdapat sebarang masalah atau mungkin Kuan Yew berasa tertekan dengan pembangunan pesat Malaysia serta negara jiran lain seperti Thailand dan Indonesia, beliau sepatutnya menggunakan pendekatan ASEAN untuk menyelesaikannya secara baik," katanya.

Monday, January 24, 2011

Kuan Yew gesa penduduk Islam kurang patuh pada agama



SEJUMLAH naskhah buku Hard Truths to Keep Singapore Going yang merupakan memoir Lee Kuan Yew dipamerkan di sebuah kedai buku di Tanjong Pagar, Singapura kelmarin.


SINGAPURA - Pengasas Singapura, Lee Kuan Yew menggesa masyarakat Islam di negara itu supaya menjadi kurang tegas dalam hal pematuhan ajaran agama demi meningkatkan integrasi dan proses pembangunan negara bangsa.
Singapura didominasi oleh penduduk etnik Cina manakala kaum minoritinya dibentuk oleh kelompok Melayu beragama Islam dan orang India.
Kuan Yew sering menekankan mengenai pentingnya keharmonian kaum.
"Saya ingin menyatakan pada hari ini, kita boleh mengintegrasikan semua agama dan kaum kecuali Islam," kata Kuan Yew dalam bukunya yang bertajuk Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going.
Buku tersebut mengandungi pandangan-pandangan jujurnya mengenai Singapura dan masa depannya.
"Saya fikir kita bergerak maju dengan baik sehinggalah timbulnya Islam dan jika kamu tanya tentang pemantauan saya, komuniti-komuniti lain lebih mudah berintegrasi, kawan-kawan, perkahwinan berlainan bangsa dan sebagainya.
"Saya fikir masyarakat Islam secara sosialnya tidak menimbulkan sebarang masalah, tetapi mereka berbeza dan terpisah," kata Kuan Yew yang menggesa komuniti Islam untuk menjadi kurang tegas dalam mematuhi Islam.
Sewaktu pelancaran buku tersebut pada Jumaat lalu, beliau yang menyifatkan dirinya sebagai seorang yang pragmatik memberi amaran kepada rakyat Singapura tentang perasaan puas hati mereka.
Kuan Yew turut menyatakan republik yang majoritinya terdiri daripada etnik Cina itu masih dalam proses membangunkan sebuah negara bangsa.
Di dalam bukunya, beliau menyifatkan Singapura sebagai sebuah bangunan 80 tingkat yang dibina di atas tanah berpaya.
Kuan Yew menegaskan bahawa Singapura mesti berdepan dengan perasaan bermusuhan daripada jiran-jiran beragama Islam yang lebih ramai.
"Kita mempunyai jiran-jiran yang peramah? Sedarlah... Inilah yang melemahkan kita kerana kita merupakan orang yang gemar mencampuri urusan orang lain," katanya yang mendakwa usaha Malaysia dan Indonesia untuk menjejaskan perniagaan pelabuhan Singapura.
Singapura keluar dari Persekutuan Malaysia pada tahun 1965 ekoran perbezaan besar terhadap dasar Kuala Lumpur yang memberi keistimewaan kepada kaum Melayu. Sejak itu, Singapura telah mewujudkan pasukan tentera paling moden di Asia Tenggara untuk menangani ancaman negara asing.
Bercakap tentang politik tempatan, Kuan Yew menyatakan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah sejak tahun 1959 apabila Singapura memperoleh autonomi politik daripada pemerintah kolonial Britain akan kehilangan kuasanya pada satu hari nanti.
"Akan tiba satu masa apabila orang ramai berkata, mari cuba pihak yang satu lagi. Sama ada kerana kualiti PAP telah menurun atau pihak pembangkang sudah menghasilkan satu pasukan yang setanding dengan PAP. Hari itu akan tiba. Bagi tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang, saya tidak fikir ia akan berlaku. Menjangkau tempoh itu, saya tidak tahu," katanya.
Kuan Yew menyatakan walaupun satu kaji selidik menunjukkan sebaliknya, beliau percaya rakyat Singapura masih belum bersedia menerima seorang perdana menteri yang bukan daripada etnik Cina.
"Satu undian menyatakan 90 peratus masyarakat Cina Singapura menyatakan mereka akan melantik seorang bukan Cina sebagai PM. Baiklah, ini adalah ideal. Anda percaya undian-undian ini? Betul-betul sampah. Mereka bercakap apa yang secara politiknya betul," tegasnya.
Kuan Yew juga mempertahankan dasar mempromosikan perkahwinan sesama rakyat Singapura yang berpendidikan tinggi.
Dasar itu dilihat oleh para pengkritik sebagai satu proses kejuruteraan sosial dan menafikan tanggapan mengenai cinta pandang pertama.
"Rakyat mendapat pendidikan. Golongan yang cerdik akan naik statusnya dan mengahwini pasangan yang sama-sama menerima pendidikan yang bagus. Hasilnya, anak mereka pasti lebih pandai berbanding anak-anak tukang kebun.
"Ini adalah hakikat kehidupan. Anda mempunyai seekor kuda betina yang bagus, anda tidak mahu membuat kacukkan antara ia dengan seekor kuda biasa. Anda akan mendapat anak kuda yang kurang bagus. Manusia yang tertarik kepada karakteristik fizikal akan menyesal mengenainya," katanya lagi.
Kuan Yew mendedahkan beliau telah mendermakan semua pendapatannya berjumlah AS$10 juta (RM30.6 juta) kepada kebajikan sejak mengundurkan diri sebagai perdana menteri pada tahun 1990 selepas 31 tahun berkuasa.
Menteri-menteri kabinet Singapura mendapat bayaran gaji tertinggi di dunia sebagai sebahagian daripada strategi mencegah rasuah dan menarik bakat dari sektor swasta.
Kuan Yew yang memegang jawatan khas, Mentor Perdana Menteri kini bertindak selaku penasihat kepada Perdana Menteri Singapura yang juga merupakan anak lelakinya, Lee Hsien Loong yang mula memerintah sejak tahun 2004.Di sebalik kata-katanya yang tegas, Kuan Yew menunjukkan ciri-ciri kelembutannya apabila ditanya tentang mendiang isterinya, Kwa Geok Choo yang meninggal dunia pada usia 89 tahun, Oktober lalu.
"Ia membawa makna lebih keseorangan," kata Kuan Yew dalam buku tersebut yang mengandungi siri temu ramah eksklusif dengan wartawan-wartawan akhbar Straits Times. - AFP

Sunday, October 3, 2010

Isteri Kuan Yew meninggal dunia



KWA GEOK CHOO


SINGAPURA 2 Okt. – Isteri kepada Perdana Menteri pertama Singapura, Lee Kuan Yew telah meninggal dunia pada usia 89 tahun.
Kwa Geok Choo yang juga ibu kepada Perdana Menteri Singapura sekarang, Lee Hsien Loong, terlantar sakit selama lebih dua tahun tanpa boleh bergerak atau bercakap, meninggal dunia pada pukul 5.40 petang tadi di rumahnya.
“Isteri kepada Kuan Yew, 89, meninggal dunia dengan aman di kediamannya pada 5.40 petang,” jelas kenyataan Pejabat Perdana Menteri, yang turut menyatakan pengebumian akan dijalankan pada 6 Oktober ini.
Kuan Yew sendiri telah berada di hospital sejak tiga hari lalu akibat jangkitan paru-paru. Namun hari ini beliau dilihat semakin sihat ketika berbicara dengan Presiden Pertubuhan Pengangkutan Udara Antarabangsa, Giovanni Bisignani di bilik rawatannya.
Beliau dalam satu temu bual telus bulan lalu menyatakan penderitaan isterinya adalah antara perkara paling sukar dihadapinya.
“Apa perlu dibuat? Perkara apa yang dapat saya buat?. Saya tidak boleh menyerah kalah. Kehidupan mesti diteruskan, namun ketika detik berlalu saya teringatkan kenangan manis semasa kami bersama.
“Dia faham ketika saya bercakap dengannya setiap malam. Dia berjaga untuk saya dan saya menceritakan kerja seharian saya, membacakan puisi kegemarannya,” kata beliau lagi.
Kedua-dua mereka belajar di sekolah yang sama di Singapura, Raffles College dan Cambridge University untuk mendapatkan kelulusan undang-undang. Kuan Yew dan Geok Choo berkahwin pada 1950.
Anak bongsu pasangan ini, Lee Hsien Yang mengendalikan Singapore Telecommunications, syarikat terbesar negara selama 12 tahun sebelum menjadi pengerusi firma hartanah dan minuman konglomerat, Fraser & Neave.
Anak perempuan mereka, Lee Wei Ling pula merupakan pengarah di National Neuroscience Institute. – REUTERS

Saturday, September 18, 2010

Kuan Yew jangan timbulkan isu sensitif tentang Malaysia


17/09/2010 9:06pm

KUALA LUMPUR 17 Sept. - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini meminta Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew supaya tidak menimbulkan sebarang isu sensitif yang boleh menggugat kestabilan dan keharmonian masyarakat di negara ini.
"Sebagai Negarawan Asia yang dihormati beliau tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sebegitu kerana ia boleh menyakitkan hati jiran.
"Contoh (situasi) apabila kita ketuk frame gambar di dinding, jiran di sebelah pun boleh dengar. Oleh itu janganlah bangkitkan isu-isu sensitif,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Kelab Veteran Komando Malaysia di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata, sebagai jiran, Kuan Yew tidak sepatutnya mempertikaikan kepimpinan negara ini dengan membangkitkan isu-isu sensitif dan berbaur perkauman.
Kuan Yew dilaporkan dalam akhbar The New York Times pada 1 Sept lepas mengkritik sistem diamalkan di negara ini dengan menuduh Malaysia tidak berlaku adil dan menyisihkan kaum lain.
Turut membidas kenyataan Lee adalah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam blognya, chedet.co.cc yang melihat kenyataan itu tidak berasas, sebaliknya penyisihan kaum di republik itu adalah lebih teruk dan lebih hebat. - Bernama