MUKADIMAH: Dalam wawancara selama 1 1/2 jam bersama Sinar Harianbaru-baru ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bukan sahaja menegaskan tidak mempunyai agenda untuk menjadi perdana menteri, tetapi juga mengulas tindak-tanduk bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, yang dipecat daripada parti itu kerana melanggar disiplin dan pelbagai cabaran serta halangan dihadapi Pas, terutama dalam usaha mengambil alih Putrajaya.
Ikutilah wawancara Timbalan Pengarang Berita, Farush Khan; Editor Terengganu, Wan Normi Hasan dan wartawan Wan Saidatul Fadzilah Wan Najemudin dengan tokoh agama dan politik itu, yang berlangsung di kediaman beliau di Rusila, Marang, Terengganu.
Kenyataan Datuk Hasan menjejaskan juga prestasi parti?
Hadi: Dalam sehari dua, apabila sudah banyak hari akan terserlahlah langkah kita itu betul. Contohnya, isu berkait dengan Himpunan Sejuta Umat. Kita lihat isu ini banyak benda tidak tepat. Contohnya, orang Melayu masuk Kristian sampai ratus-ratus ribu. Pernah dengar kan? Bila polis siasat, maklumat itu tidak betul, orang yang disiasat dibebaskan. Mengapa tiada diambil tindakan? Kerana ada pelindung dia; kita tahu. Pada kita murtad ini bukan sahaja masuk Kristian, tapi termasuklah hina hukum Islam. Boleh jadi murtad dengan kejahilan dia, berlaku begitu rupa. Menghalalkan yang haram, mengharamkan yang halal. Jadi, murtad ini luas. Dan kita nampak isu ini dipolitikkan dan pada PRU 2008 ada yang berhempas-pulas mendapatkan undi Melayu. Rata-rata orang Melayu tak tahu agama kebanyakannya dan mereka sayang pada Islam. Mereka jadikan isu ini untuk tarik undi Melayu, bukan untuk mempertahankan Islam.
Saya pernah bawa usul menangani murtad di Parlimen pada 1998. Mengikut standing order di Parlimen, usul bukan kerajaan hendaklah diletakkan di belakang. Yang kedua, usul seperti ini hendaklah dibawa oleh seorang menteri kerajaan yang boleh disokong, dirujuk kepada standing order. Apabila menteri bawa, ada sokongan. Setelah ada undi barulah saya bawa usul ini, banyak lapis, akhirnya ditinggalkan begitu sahaja usul ini.
Tetapi akhir-akhir ini dibawa isu ini dengan Himpunan Sejuta Umat. Tidak lebih daripada mempolitikkan isu, bukan nak pertahankan akidah dan nak gunakan orang Pas untuk mengerah orang Pas ramai-rami hadir di stadium Shah Alam. Saya tahu ada kalangan yang nak sediakan bas. Apabila kita tahu macam ini, kita kata jangan pergi, Datuk Hasan Ali pergi, kemudian pergi lagi ke Perak dan buat kenyataan. Kenyataan ini tidak tepat dengan apa yang kita nak. Memang kita tidak setuju dengan murtad; lawan murtad, tapi Saidina Ali (Abu Talib, Khalifah Islam keempat) berkata, kata-kata yang betul, tetapi tujuannya kebatilan.
Atau matlamatnya tak betul. Tak ada dalam Islam ini, matlamat menghalalkan cara. Matlamat mesti betul, cara mesti betul. Kalau matlamat betul, cara salah, tidak boleh. Matlamat salah, cara betul, tidak boleh. Dua-dua kena betul. Itu lagi kena faham dan Pas bukan milik siapa, milik organisasi, kumpulan kita.
Pas ini ada Majlis Syura Ulama dilantik dalam Jawatankuasa Pas Pusat empat orang, Dewan Ulama lantik empat orang, Dewan Pemuda dua orang, Dewan Muslimat dua orang kemudian mereka dilantik ini pilih lima orang lagi dalam kalangan ulama yang boleh merujuk dalam bahasa Arab, merujuk kitab-kitab Islam; yang kita ketahui kewibawaan, akademik dan kemampuan.
Kita tahu moral dia konsisten dengan pendirian dan dia boleh buat keputusan, boleh membatalkan keputusan parti, sekiranya bercanggah dengan al-Quran dan hadis, ijmak ulama dan kias. Ini jaminan yang ada dalam Pas. Kalau ada ahli parti yang nak buat sendiri, bertindak sendiri, maka kalau dia bercakap sebagai orang Pas, orang kaitkan dengan Pas, jadi lebih baik dia bebas.
Bangunan Umno Hulu Terengganu disimbah dengan cat hijau?
Hadi: Saya rasa kita orang Pas tidak buat sampai begitu. Kita ajar orang kita tidak boleh melampaui batas. Kalau ada orang Pas bertindak begitu kita disiplinkan dia kerana Islam ajar kita, kita berlawan dalam perang pun tidak boleh melampaui batas, apa lagi perang melalui demokrasi. Itu boleh jadi pihak lain yang buat provokasi, boleh jadi belaka. Dalam politik boleh jadi semua.
Siapa Menteri Besar Terengganu kalau Pas menang dalam PRU13?
Hadi: Itu ditentukan parti. Belum tentu saya bertanding di state (negeri). Kalau bertanding di state pun, belum tentu lagi saya jadi menteri besar. Bahkan di Kelantan, saya bagi contoh; tahun 1959, yang jadi menteri besar Datuk Ishak Bakri. Datuk Asri tidak jadi menteri besar. Lepas tu Ishak jadi Speaker, Datuk Asri jadi menteri besar, dia bukan Pesuruhjaya Pas Kelantan. Lepas tu Datuk Asri tidak jadi menteri besar walaupun dia pesuruhjaya. Tuan Haji Mat Amin Haji Yakob Almarhum.
Di Terengganu juga pernah begitu, masa Daud Saad Almarhum menteri besar, dia pegang pesuruhjaya. Yang dilantik ialah diterima rakyat, diterima pegawai pentadbir negeri. Kerana kita nak memerintah negeri ini ada beberapa orang di kalangan tuanku sultan, pegawai tadbir negeri, wakil rakyat, yang keempatnya rakyat. Ini kita mesti lihat penerimaan semua sekali. Tidak boleh kita nak tentu-tentukan begitu.
Siapa Perdana Menteri (jika PR menang PRU-13?)
Hadi: Pada peringkat ini kita dalam Pas tidak bincang. Di peringkat PR pun tidak bincang. Kita bincang untuk ke Putrajaya dulu. Jadi, macam orang kampung cerita, kambing tak bela lagi, sirih tak tanam lagi. Jadi duk bergaduh nak buat pagar. Yang ni kata nak buat pagar, yang ni kata nak tambat kambing. Apabila tanya mana kambing, tiada kambing lagi. Mana sirih, tidak tanam lagi pun. Apabila sampai masa, insya-Allah kita ada orang layak. Macam saya kata dululah, saya tiada dalam agenda menjadi perdana menteri. Yang penting, kita nak perkasakan Islam. Siapa duduk di atas, saya terima, bahkan saya boleh rehat; balik kampung jadi pembantu sahaja, pergi ke laut, balik jadi nelayan.
Dari segi politik, kepimpinan negara mesti Melayu Islam kerana majoriti adalah orang Melayu. Itu mengikut kaedah politik Islam. Kalau orang Cina masuk Islam, jumlah mereka besar, mereka ada tokoh, mereka layak jadi pemimpin. Kita orang Melayu kena terima, kalau India begitu juga.
Jadi realiti hari ini majoriti orang Melayu adalah Islam. DAP sudah terima Islam sebagai agama Persekutuan. Hak istimewa orang Melayu dia terima, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dia terima. Dalam masa yang sama, agama lain ada hak dia. Bangsa lain yang miskin tidak boleh diabaikan, hak dia untuk mengajar bahasa ibunda tetapi bahasa Melayu jadi bahasa rasmi. Dan kita kena sedar Umno tidak buat benda ini dalam masa 50 tahun lebih. Tidak perkasakan; itu silap dialah. Yang kita silapkan MCA, MIC, silapkan Gerakan; silap Umno sendiri. Dalam Pas sendiri, kita tidak tolak ansur dan DAP menerima kerana kita tegas dalam masalah ini.
Barangkali saudara-saudari ingat masa tahun 2000 DAP keluar daripada Barisan Alternatif, minta Pas batalkan beberapa agenda Pas, kita tegas; kita tidak berganjak dan DAP keluar dan masuk balik. Dengan kita tidak berganjak itu menunjukkan kita tidak menggadaikan prinsip kita. Dan kita tidak zalimi rakan-rakan kita.
Dari segi hudud, adakah DAP terima?
HADI: Memang dia orang bukan Islam, tidak terima, tetapi untuk melaksanakannya dia tidak boleh halang kita. Dan dalam konteks Islam kita bukan sahaja tidak boleh paksa orang bukan Islam masuk Islam, tetapi juga termasuk dalam melaksanakan undang-undang. Dengan sebab itu, dalam undang-undang hudud, qisas dan takzir di Kelantan dan Terengganu, kita buat satu peruntukan orang bukan Islam boleh diberi pilihan sama ada mereka menerima Islam atau menerima satu cara yang lain. Kepada saya, saya yakin orang bukan Islam akan terima pada akhirnya. Jangan kita tanya perompak, tanya mangsanya. Kalau tanya perompak, perompak tak sukalah kena hukum.
Dalam Islam, kalau bunuh hukumnya bunuh. Mungkin Undang-undang barat pun sama hukum membunuh, tetapi kalau ambil harta, kalau perompak kena potong tangan, potong kaki. Kalau tanya Cina-Cina yang kena rompak tu, dia setuju kalau potong tangan, potong kaki. Kemudian ada teori mengatakan kalau kita laksanakan pada orang
Islam, orang Islam jadi kudung, jadi apa, itu tidak betul. Kita kena faham, undang-undang hudud ini undang-undang mendidik, bukan menghukum. Nak hukum payah, mendidik.
Apabila dilaksanakan, orang Melayu, orang Islam jadi moral dia tinggi. Penjenayah tidak banyak. Orang lainlah penjenayah. Ia akan jadi macam itu. Itu hikmat dia kena faham. Dengan itu kita terima kalau DAP tidak setuju, tak apalah. Yang peliknya Umno kata dia tidak setuju.
Barangkali dia anggap itu hudud ala Pas?
HADI: Kalau hudud Pas kita muzakarahlah. Kita bincang. Hudud ini ayat Quran, bukan Pas boleh buat. Pas tidak boleh reka hukum hudud ini.
Percanggahan berhubung pelaksanaan hudud antara Pas dan DAP, bagaimana dineutralisekan?
HADI: Kita neutralisekan dengan utamakan perkara yang jadi bersama. Contohnya negara berkebajikan, tolong bela rakyat miskin, tolong rakyat miskin, khidmat pada masyarakat. Rawatan percuma pendidikan percuma. Ada pendidikan swasta, dengan pengawasan dia, ini semua parti bersetuju, kita utamakan yang ini dulu. Nak laksanakan hudud itu, dia makan masa. Ini boleh dibuat. Contohnya nak hapuskan tol, Pas setuju, DAP setuju. Nak bantu kemudahan makanan kepada rakyat, semua setuju. Ini halal, ini haram, bezalah. DAP boleh makan babi, kita tidak boleh makan babi; memang kita tidak setuju dengan babi, tapi kita tidak boleh halang DAP.
Datuk Hasan Ali kata negara berkebajikan bercanggah dengan konsep Islam?
HADI: Ada kenyataan mengenai perkara itu, dia tarik balik, dia minta maaf. Sebab dalam Islam tidak disebut sembahyang Islam, puasa Islam, nikah Islam. Disebut negara, kemudian negara berkebajikan, negara adil, negara ihsan. Itu istilah-istilah yang disebut dalam Quran, tetapi dia merangkumi sekali aspek ini. Dan saya ada tulis buku, negara berkebajikan, berdasarkan huraian yang saya bentang di muktamar Pas. Dan negara berkebajikan sudah diterima di muktamar. Bila muktamar terima dia tolak, itu sudah melanggar partilah.
Berkenan hudud dilaksanakan tetapi proses tidak sebagaimana yang diharapkan? Adakah manifesto senasib?
HADI: Yang pertama, hudud pada undang-undang jenayah sudah diwartakan. Tuanku sudah sain. Sudah lulus. Yang kedua kita balik pada Perlembagaan Malaysia. Perlembagaan Malaysia kata Islam adalah agama Persekutuan. Agama ini, ada dua. Mengikut tafsiran Barat, religion. Pentafsiran Islam addin. Bila kita sudah merdeka kita kena tafsir mengikut addin, bukan religion. Addin merangkumi segala aspek, cumanya berlaku di Kelantan bila kita lulus di Kelantan, Tun Mahathir, Perdana Menteri pada masa itu, hantar surat kepada Yang Amat Berhormat Tok Guru Mursyidul Am, Nik Abdul Aziz memberi amaran sekiranya Kelantan melaksanakannya, Kerajaan Pusat akan bertindak. Bagi Terengganu tiada surat itu. Terengganu ada bantahan daripada seorang pimpinan Umno yang bukan pimpinan utama, bawa ke mahkamah, tetapi tarik balik benda itu.
Jadi kita harap, setelah gagalnya undang-undang yang diamalkan hari ini, masalah rompakan, masalah jenayah, ada negeri tidak boleh saya sebut takut malu dia, tiap-tiap hari ada kadar jenayah. Tiap hari, bukan tiap-tiap bulan; sehari ada kes bunuh. Negeri yang jumlah penduduk dia ramai di Malaysia yang gejala sosialnya lebih kerana kemajuan industrinya pesat sampai satu hari satu kes bunuh. Itu polis beritahu saya. Tak payahlah saya dedah negeri mana. Itu bahayanya; itu yang media tidak dedah, yang media dedah pun banyak dah. Walaupun yang buat jenayah itu bukan orang kita, orang luar, pendatang tanpa izin, macam-macam, tetapi kesimpulannya jenayah besar.
Kalau laksanakan undang-undang qisas dan hudud ini saya yakin Tuhan kata ‘Dan bagi kamu hukuman jenayah qisas ini membawa kehidupan’.
Quran mengatakan demikian, maknanya membawa kehidupan, di sini jenayah akan berkurang dan hapusnya kes ini, membawa kehidupan kepada manusia. Yang kita ingat kalau laksana hukuman ini banyak orang kena hukum.
Barangkali oleh kerana pencuri 30,000 - 40,000 di seluruh negara dalam masa setahun. Barangkali banyak tangan kena potong. Kita fikir begitu. Bila diisytihar sahaja undang-undang ini maka habis takut mencuri, berhenti mencuri. Dia akan jadi macam itu. Di Arab Saudi, masa pemerintahan Kiya ul Aziz, dalam masa 20 tahun, tidak sampai 10 orang kena potong tangan. Mereka yang pergi buat umrah, pergi haji lihat sendiri tempat pengurup wang, sebagai contohnya, tutup dengan kain sahaja.
Pergi sembahyang, tutup dengan kain, orang takut nak mencuri, itu dia punya kehebatan. Yang pentingnya, kehebatan undang-undang; undang-undang itu hebat. Yang ada hari ini undang-undang tidak hebat, orang tidak gerun, penguat kuasa pun orang tidak gerun. Bahkan rumah polis pun dia masuk, rumah ketua polis boleh perompak masuk. Itu menandakan tidak hebat.
Dengan sebab itu, saya rasa tidak timbul terhalang. Kita tengok dululah apabila kita menang kali ini. Apa akan berlaku, respons daripada Pusat bagaimana, kita tengok.
Ada tak calon wanita di Terengganu?
HADI: Kita usaha nak tonjolkan calon wanita kerana calon kita ini mesti daripada akar umbi, daripada cawangan-cawangan dan daripada atas. Kalau daripada atas sahaja, respons cawangan tiada, tidak boleh. Kadang-kadang kita ada tokoh, tapi tokoh tu tempat dia orang tidak kenal kena, bawa tempat lain. Calon lelaki pun begitu. kita nak orang ini, contohnya, Mat Sabu Timbalan Presiden Pas, Muhamad Sabu pada 2008, tetapi boleh kalah, walaupun dia seorang tokoh yang besar. Dulu pernah di sini tahun 1950 - 1960 Parlimen Dungun, wanita, Khadijah Sidek. Di sini, pernah orang Johor, bukan Terengganu. Menang di sini, jadi calon wanita. Ini bukan kali pertama. Dan, kita ada calon wanita, kita kemukakan dan saya sebagai ahli Majlis Syura Ulama, semua nama calon dihantar ke Pusat dan ada dua tiga orang wanita di Terengganu.
(Penceramah bebas) Ustaz Azhar Idrus?
HADI: Tidak termasuk.
Nampaknya Pas pun laksanakan calon boleh menang?