Saturday, August 6, 2011

Transformasi

Periksa gereja: Pas Selangor pandang serius

SHAH ALAM 5 Ogos - Pas Selangor menyifatkan dakwaan mengatakan pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama di Petaling Jaya malam Rabu lalu mendapati ada bukti penyebaran agama lain ke atas penganut Islam sebagai cukup serius sekiranya ia benar.
Timbalan Pesuruhjayanya, Khalid Abdul Samad berkata, ia boleh memberi implikasi yang berat kerana Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan tindakan tersebut supaya memastikan hubungan antara kaum dan agama dapat dijaga.
''Persoalan hendak menyebarkan agama lain adalah bercanggah di sisi Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan.
''Saya yakin pihak gereja cukup memahami peruntukan dalam Perlembagaan dan juga yakin semua orang hendak menghormatinya kerana ia merupakan kontrak sosial yang telah dipersetujui dulu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, setakat ini pihaknya menanti laporan penuh JAIS daripada Exco Hal Ehwal Islam negeri, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali yang juga Ahli Badan Perhubungan Pas negeri.
''Kita harap ada kebijaksanaan dalam isu seperti ini. Kita tangguh dulu ulasan akhir sehingga dapat laporan JAIS dan dalam mesyuarat Dewan Harian bersama Hasan, kita akan dapatkan penjelasan lanjut.
''Kita nak tengoklah apa bukti yang dia kata ada, JAIS perlu beri penjelasan dan laporan tentang bagaimana dan kenapa perkara itu berlaku, " katanya.
Bagaimanapun beliau menegaskan, JAIS sebagai agensi agama negeri perlu ada 'kawalan diri' dengan tidak melakukan tindakan yang boleh mencemarkan imej Islam dan akhirnya berlaku ketegangan antara agama.
''Mereka mesti ada maklumat dan risikan yang tepat dan bukan sekadar duduk dalam majlis di gereja. Kita pun pergi, malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjumpa Pope di Vatican," katanya.
Dalam hal ini, tegas beliau, Pas Selangor beranggapan sebarang pencerobohan ke atas rumah ibadat adalah sesuatu yang tidak dapat diterima malah jika tindakan tersebut dilakukan tanpa waran dan kebenaran, ia adalah sesuatu yang kurang sopan.
Tambah beliau, secara prinsipnya, setiap rumah ibadat termasuk milik orang bukan Islam perlu dihormati kerana itu adalah ajaran Nabi Muhammad SAW.
''Ini kerana kita mahu orang bukan Islam merasa aman, selamat dan dihormati apabila berada di bawah pemerintahan orang Islam.
''Kepimpinan Islam dizahirkan melalui contoh terbaik dalam hubungan dengan semua (agama), termasuk zahirkan sifat hormat menghormati dan bukannya tunjukkan ketuanan," katanya.utusan

Anak lelaki Gaddafi terbunuh

BENGHAZI 5 Ogos - Pasukan pemberontak Libya hari ini berkata, anak lelaki Muammar Gaddafi, Khamis dan 30 orang yang lain terbunuh dalam serangan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di sebuah pusat operasi di barat bandar Zliten.
Jurucakap kumpulan militan revolusi, Mohammed Zawawi berkata, perisik yang berada di kawasan Gaddafi mengesahkan Khamis merupakan antara yang terkorban dalam serangan itu.
"Semalam, berlaku serangan udara oleh NATO di bilik operasi Gaddafi di Zliten dan kira-kira 32 orang tentera Gaddafi terbunuh.
"Antara mereka yang terbunuh ialah Khamis," kata Zawawi yang merupakan jurucakap untuk Tentera Revolusi Bersatu.
Khamis yang telah lama memimpin militia prokerajaan, dikatakan telah mengetuai perang di Zliten, kubu Gaddafi yang berjaya menyekat kumpulan pemberontak daripada mara ke Tripoli.
Serangan berlaku beberapa jam selepas Tripoli membawa kumpulan wartawan menyertai lawatan di pusat Zliten dalam usaha menafikan dakwaan bandar itu diserang. - AFPutusan

Nik Aziz arah cetak gambar mangsa mercun


KOTA BHARU 5 Ogos - Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengulang cetak gambar mangsa mercun yang disiarkan akhbar untuk disebarkan kepada rakyat di seluruh negeri ini.
Beliau berkata, ia sebagai pengajaran kepada orang ramai terutama golongan muda supaya tidak mengulangi kesilapan yang sama dilakukan oleh rakan-rakan sebaya mereka sebelum ini.
"Ibu bapa tolong nasihat anak- anak, waktu dapat duit jangan beli mercun. Anak-anak kita terletak atas kita kalau kita pesan selalu, insya-Allah.
"Saya minta gambar-gambar yang ada di surat khabar dicetak semula, kemudian letak di kampung-kampung biar orang rasa gerun dan takut untuk main mercun lagi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai seorang remaja, Nasrudin Mohd. Nazli, 19, yang kehilangan tiga jari angkara mercun bola dalam kejadian di Kampung Dewan Beta dekat sini malam semalam.
Nik Abdul Aziz turut meminta golongan peniaga supaya berhenti daripada menjual mercun kerana ia membawa keburukan kepada orang ramai.
"Tiap-tiap tahun ada cerita budak kemalangan kerana mercun. Mercun bukan budaya orang Islam, orang berniaga semata-mata hendak duit sampai rela anak-anak kita cacat.
"Polis sudah kawal molek tetapi orang berniaga macam-macam tidak kira halal dan haram, dia seludup jual juga sehingga mengancam nyawa orang lain," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya akan melaksanakan arahan tersebut bermula esok untuk memastikan keselamatan rakyat di negeri ini.
"Seperti arahan Menteri Besar, kita akan mula mencetak dan mengedarkan gambar-gambar itu bermula esok," katanya.utusan

Mr Bean nyaris maut


NASIB BAIK... Rowan sempat menyelamatkan diri sebelum keretanya terbabas dan terbakar.
NASIB BAIK... Rowan sempat menyelamatkan diri sebelum keretanya terbabas dan terbakar.



ROWAN Atkinson minat kereta berkelajuan tinggi.
ROWAN Atkinson minat kereta berkelajuan tinggi.


BRITAIN: Aktor Rowan Atkinson nyaris maut malam tadi apabila kereta mewah yang sedang dipandu laju, terbabas.Kereta mcLaren F1 yang berharga 650,000 pound (RM3.2juta) berpusing beberapa kali, merempuh sebuah pokok dan tanda jalan sebelum terbabas ke jalan yang bertentangan dan terbakar.Bintang Mr Bean yang berusia 56 tahun berjaya keluar dari keretanya dan dibantu oleh pengguna jalan raya yang ada di situ ketika kejadian sehingga bantuan kecemasan tiba di jalan raya A605 di Haddon, dekat Peterborough, Cambridgeshire kira-kira jam 7.30 malam.Anggota bomba mengawal kebakaran dan pasukan ambulans pula membawanya ke hospital dekat Peterborough. Keadaannya dikatakan beransur pulih.Ini bukan kali pertama bintang Blackadder itu terlibat dalam kemalangan jalan raya yang melibatkan kereta mewah yang boleh mencecah kelajuan 0-60bsj dalam masa tiga saat.Kereta itu dibeli setelah filem Mr Bean berjaya di pawagam. Pada tahun 1999, setahun selepas itu, dia terlibat dalam perlanggaran dengan sebuah Rover Metro di Lancashire.Rowan memang meminati kereta laju dan telah menulis beberapa artikel untuk sebuah majalah khas tentang kereta.Dia suka bertukar kereta dan memiliki sebuah Aston Martin Virage berharga 125,000 pound (RM613,319), Rolls-Royce vintaj dan Morris Traveller yang biasa dipandu di sekitar kampung Oxfordshire berdekatan dengan rumahnya yang berharga 1 juta pound (RM5 juta).Jurucakap Perkhidmatan Ambulans England Timur mengesahkan kemalangan semalam.Katanya, “Seorang lelaki telah dihantar ke hospital selepas kereta yang dinaiki terbabas. Dia mengalami kecederaan ringan.”- DMhmetro

Tuntut penjelasan Hasan Ali


SHAH ALAM: Pas Selangor menuntut penjelasan daripada Exco Hal Ehwal Agama, Adat-Adat Melayu dan Kemudahan Awam Kerajaan Selangor, Datuk Dr Hasan Ali yang mempertahankan serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terhadap Gereja Methodist Damansara Utama, di Petaling Jaya, Rabu lalu, selepas mendapat maklumat orang Islam menghadiri majlis makan malam di gereja berkenaan.
Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri, Khalid Samad berkata, pihaknya menjangkakan wujud kebijaksanaan dalam mengendalikan isu seperti ini.

“Kami akan simpan komen akhir sehinggalah dapat laporan Jais dan mesyuarat dewan bersama Dr Hasan Ali untuk dapatkan penjelasan lanjut lagi.

“Kita nak tengoklah apa bukti yang dia kata dia ada itu,” katanya.

Katanya, Jais sebelum ini memberi alasan terdapat bukti penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut agama Islam selain menegaskan prinsip Islam bahawa rumah ibadat mesti dihormati tidak kira apa agamanya sekali pun.

“Kalau setakat datang ke gereja, pemimpin kerajaan kita pun ada pergi ke Vatican untuk bertemu dengan Pope. Itu gereja terbesar di dunia. Macam mana pula tu?“ soalnya sambil menambah tindakan orang Islam menghadiri majlis di gereja itu tidak boleh dijadikan kesimpulan sebagai proses memurtadkan Islam.


Bagaimanapun, beliau menegaskan pendirian berhubung tindakan Jais yang tidak mendapat kebenaran daripada penganjur majlis ke rumah ibadat terbabit haruslah dielakkan kerana ia boleh menimbulkan salah faham dan ketegangan antara kaum yang dianggap satu isu yang sensitif.

“Sebagai orang Islam, kita diajar untuk menghormati rumah ibadat walaupun mereka bukan beragama Islam. Sejak dari zaman Rasulullah lagi, kita diajar untuk menghormati semua rumah ibadat.
“Apa yang saya tahu, pada hari kejadian, gereja itu mengadakan majlis makan malam anjuran sebuah badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.hmetro

Jais usah tunduk


KUALA LUMPUR: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak supaya Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak tunduk kepada mana-mana pihak dalam menjalankan siasatan terhadap serbuan pihak berkuasa agama itu terhadap majlis makan malam di sebuah gereja di Petaling Jaya yang turut dihadiri 12 individu beragama Islam, Rabu lalu.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, siasatan terhadap perkara itu sepatutnya diserahkan kepada Jais dan tidak membabitkan campur tangan mana-mana pihak.
“Insiden ini tidak sepatutnya dijadikan sebagai isu politik sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada Jais untuk tindakan selanjutnya kerana ini semua adalah tanggungjawab mereka (Jais).

“Justeru, Jais perlu lebih tegas dan tidak sesekali gentar dengan tuntutan mana-mana pihak kerana jabatan itu di bawah naungan Sultan Selangor,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.



Mengenai kejadian itu, Ibrahim menegaskan tindakan mendakwah orang Islam menerusi majlis di gereja adalah menyalahi perlembagaan negara.hmetro

MB serah laporan kepada Sultan


KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan menyerahkan laporan penuh berhubung serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terhadap majlis makan malam di Gereja Methodist Damansara Utama, Petaling Jaya, Rabu lalu kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan sekretariat akhbar Pejabat Menteri Besar Selangor semalam menyatakan penyerahan laporan itu dan tindakan selanjutnya akan dilakukan selepas menerima laporan daripada Jais.

“Sebaik menerima laporan Jais, saya akan menghadap Sultan Selangor untuk mendapatkan nasihat menyelesaikan isu ini serta memastikan perkara sebegini tidak berulang,” katanya.

Abdul Khalid berkata, sehingga tindakan diambil dan isu berkenaan diselesaikan, semua ahli Majlis negeri itu dilarang membuat sebarang kenyataan berkenaan isu itu.

“Seperti dikatakan semalam (kelmarin), kami kesal dengan kejadian itu.

“Niat dan tujuan yang baik tidak menghalalkan perbuatan yang gagal mempamerkan keadilan dan kebijaksanaan dalam memimpin masyarakat,” katanya.hmetro

Umar akan dihantar pulang ke Indonesia

JAKARTA: Suspek perancang pengeboman Bali 2002 yang meragut lebih 200 nyawa akan dihantar pulang ke Indonesia dari Pakistan tidak lama lagi.
Pelampau Islam paling dikehendaki di Asia Tenggara, Umar Patek, ditangkap Mac lalu di Abbottabad, Pakistan, bandar yang sama di mana pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden dibunuh oleh pasukan khas tentera Amerika Syarikat beberapa minggu kemudian.

Menteri Luar, Marty Natalegawa berkata, Umar akan diekstradisi ke Jakarta dalam masa terdekat ini.

Bercakap kepada wartawan, Marty berkata, kerajaan Indonesia mahu memastikan proses itu berjalan lancar dan enggan memberi ruang kepada suspek pengganas itu mengumpulkan penyokongnya.

“Dia tidak sepatutnya mendapat publisiti,” kata Marty.

Pihak berkuasa masih menyiasat Umar bagi memastikan dia bertanggungjawab terhadap jenayah yang dilakukannya sebelum Indonesia mempunyai undang-undang antikeganasan.


Dilahirkan pada 1970, Umar disyaki menganggotai Jemaah Islamiah, pertubuhan militan Asia Tenggara yang mempunyai hubungan dengan al-Qaeda.

Selain, itu, dia juga disyaki terbabit dalam serangan yang mensasarkan penganut Kristian dan warga Barat di Indonesia sejak 1999. - AFPhmetro

Yingluck PM baru Thailand


BANGKOK: Yingluck Shinawatra disahkan menjadi Perdana Menteri wanita pertama Thailand, semalam, menghadapi cabaran getir mengembalikan kestabilan di negara itu selepas lima tahun mengalami pergolakan politik.
Yingluck, adik perempuan kepada bekas perdana menteri dalam buangan Thaksin Shinawatra, mengekalkan keyakinan selepas memenangi pilihan raya untuk muncul sebagai pendana menteri dengan sokongan 296 daripada 500 anggota Dewan Rakyat. Perdana Menteri ke-28 Thailand yang memenangi pilihan raya dengan sokongan abangnya itu dijangka menghadap Raja Thai beberapa hari lagi untuk pengesahan jawatannya. “Saya tidak sabar untuk memulakan tugas,” katanya kepada wartawan. “Rakyat akan mengadili sama ada kerja saya memuaskan dan menepati kehendak mereka atau tidak.” Yingluck yang dianggap Thaksin sebagai klon dirinya, semalam sekali lagi menolak dakwaan mengatakan Thaksin yang tinggal di luar negara bagi mengelakkan hukuman dipenjarakan akibat rasuah, menguasai parti pimpinannya itu dari jauh. Ditanya sama ada dia masih berhubung dengan abangnya itu, dia menjawab: “Tidak, saya tidak berhubung dengan sesiapa pun.” - AFPhmetro

Kes pembunuhan Sosilawati Lawiya: ‘Tiga kesan cap jari pada dua barang’

Penemuan pada alat SmartTAG, bekas pewangi dalam BMW milik peguam
SHAH ALAM: Pasukan dari Bahagian Forensik (D10) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur menemui tiga kesan cap jari pada dua barang ditemui dalam kereta BMW milik peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim pada 6 September tahun lalu.
Saksi pendakwaan ke-34, Pegawai Turus D10 Forensik IPK Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Sheikh Zainal Abidin Sheikh Omar, 55, memberitahu mahkamah tiga kesan cap jari itu diambil daripada alat SmartTAG yang ada kad Touch n Go manakala satu lagi ditemui pada bekas pewangi jenis lavender ditemui dalam kereta ditinggalkan di Jalan SS12/1B, Subang Jaya, pada malam 6 September 2010 itu.

Ketika menjawab soalan pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin, beliau berkata, setiba di lokasi berkenaan yang terletak berhadapan Hotel Grand Dorsett, kenderaan itu dikawal anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya yang sudah meletakkan tali rentang polis di kelilingnya.
Katanya, beliau cuba membuka pintu BMW itu selepas kereta berkenaan diambil alih pasukan forensik tetapi ia berkunci dan dimaklumkan ada saudara kepada pemilik akan datang membawa kunci dan selepas kunci diserahkan kepadanya setengah jam kemudian, beliau membuka kereta berkenaan menggunakan alat kawalan jauh pada kunci.
Saya buat pemeriksaan dan mendapat lapan bukti fizikal. Bukti pertama iaitu kereta itu sendiri dan alat SmartTAG serta kad Touch n Go. Saya juga menemui iklan TM terletak di cermin depan kanan. Alat SmartTAG saya temui di ruang pintu kiri depan,
Beliau juga menemui diari dalam but kereta, dua calitan DNA pada stereng dan tombol gear, akhbar The Sun bertarikh 30 Ogos 2010 di belakang kereta dan bekas pewangi jenis lavender di sebelah pintu pemandu. Semua bahan bukti dimasukkan dalam sampul surat, dimeterai tanda forensik, penanda setiap bahan bukti, nombor kes, tarikh dan nama pegawai penyiasat.
Sheikh Zainal Abidin memberitahu mahkamah, beliau ada mengumpul bahan bukti di Kampung Kelanang, Banting, pada petang 14 September tahun lalu dan ketika sampai, dimaklumkan oleh Inspektor N Govindan mengenai enam keping zink ditemui di situ.
Memberikan keterangan pada perbicaraan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya, tahun lalu, pegawai polis itu berkata, beliau nampak tiga penyelam dari Unit Penyelam Pasukan Gerakan Marin berada dalam sungai itu dan menaikkan kepingan zink satu persatu dan meletakkannya di atas tebing.Ditanya peguam Manjeet Singh Dhillon, Sheikh Zainal Abidin memberitahu, beliau tidak tahu apa keputusan analisis terhadap calitan pada stereng dan tombol gear yang diambilnya, tidak dimaklumkan atau bertanya kepada pegawai penyiasat mengenai perkara itu kerana tugas pasukannya adalah untuk mengambil bahan bukti saja.
Beliau bersetuju calitan itu adalah untuk analisis DNA tetapi tidak bersetuju tidak ada keputusan positif ditemui. Suasana juga agak tegang apabila Manjeet bertanya penemuan kepingan zink di sungai di Jalan Kelanang, mengenai apa dimaksudkan sebagai kertas minyak digunakan untuk membalut kepingan itu dan bahan digunakan bagi membuat kertas itu.
Sheikh Zainal Abidin berkata, beliau tidak tahu apa panggilan kertas itu dalam bahasa Inggeris serta bahan untuk menghasilkannya dan beliau menggunakan kertas itu kerana ia besar dan boleh menutupi bahan bukti yang bersaiz besar, tetapi apabila terus didesak, beliau berkata peguam tidak sepatutnya bertanyakan soalan tiada kaitan.Pegawai polis itu berkata, kepingan zink berkenaan dibungkus selepas ia kering dengan membiarkannya terlebih dulu di atas tanah, tetapi tidak dapat menjawab soalan Manjeet mengenai bahagian bawah dan turut memberitahu mahkamah, beliau tidak ingat sama ada penyelam memakai sarung tangan ketika mengambil kepingan zink itu. bharian

Tarif hotel Makkah naik 150 peratus

MAKKAH: Bilangan jemaah umrah ke Makkah dari dalam dan luar Arab Saudi dilaporkan meningkat sejak permulaan Ramadan sehingga menyebabkan tarif hotel dan bilik di sekitar Masjidil Haram meningkat sehingga 150 peratus. 
Laman web akhbar Gulf News yang membuat tinjauan di beberapa buah hotel dan bangunan kediaman di kawasan berkenaan mendapati kebanyakan bilik dan pangsapuri hampir penuh manakala harga suite di sebuah hotel lima bintang dilaporkan mencecah sehingga 3,000 riyal (RM2,405) dan bilik biasa pula berharga 950 riyal (RM761).

Pemilik hotel dan pengendali pangsapuri sewa berkata, sekurang-kurangnya 400,000 jemaah umrah termasuk 250,000 jemaah asing berada di bandaraya itu ketika ini.
Hotel dan bangunan kediaman di kawasan Masjidil Haram cuba untuk memenuhi keperluan yang semakin bertambah itu. 

Keadaan ini disebabkan bilangan jemaah umrah tahun ini dianggarkan melebihi 50 juta manakala beribu-ribu bangunan dirobohkan berikutan peluasan kawasan Masjidil Haram. – Agensi bharian

Nur Natashah perlu dibawa ke HKL



NURUL HUDA AHMAD diminta membawa anaknya, Nur 
Natashah ke HKL untuk pemeriksaan lanjut.


KUALA LUMPUR - Pihak Hospital Kuala Lumpur (HKL) meminta keluarga Putri Nur Natashah Mirsha Muhammad Amin yang buta akibat bisul pada mata kanannya lambat dirawat supaya segera hadir ke HKL bagi membolehkan kanak-kanak itu mendapatkan rawatan selanjutnya.
Pengarah HKL, Datuk Dr. Zaininah Mohd. Zain berkata, rawatan susulan itu perlu memandangkan Nur Natashah, 6, tidak hadir untuk menjalani rawatan ulangan yang dijadualkan pada 16 Julai 2008.
"Untuk itu, kita menyarankan agar keluarga kanak-kanak tersebut dapat membawa Nur Natashah ke HKL untuk mendapatkan rawatan susulan," katanya kepada Kosmo! dalam satu kenyataan di sini semalam.
Pada 2 Ogos lalu, Kosmo! melaporkan kisah malang Nur Natashah yang menghidapi bengkak pada mata kanannya akibat bisul tetapi ia tidak dirawat dengan segera kerana pihak Hospital Selayang menyangka bengkak tersebut hanyalah kesan gigitan nyamuk.
Ekoran masalah itu, bisul berkenaan dikatakan telah merosakkan mata Nur Natashah sehingga nanah bisul itu memasuki bebola mata yang akhirnya mata kanak-kanak itu menjadi buta.
Zaininah memberitahu, Nur Natashah sebenarnya dijadualkan untuk dimasukkan ke wad di HKL pada 16 Julai 2008 tetapi pesakit tersebut tidak hadir walaupun pihak hospital telah menghubungi bapa pesakit beberapa kali.
"Jadi kita berharap, keluarga kanak-kanak tersebut hadir ke HKL supaya pemeriksaan lanjut dapat dilakukan," katanya.KOSMO