Wednesday, March 11, 2015

Hutang luar negara meningkat sebanyak 300% kepada RM740 bilion - Kementerian Kewangan



KUALA LUMPUR: Hutang luar negara Malaysia pada tahun ini mengikat sebanyak 300% kepada RM740 bilion untuk suku ke tiga tahun lepas daripada RM196 bilion akhir tahun lalu.

Perkara ini adalah jawapan bertulis dari Kementerian Kewangan yang diberikan kepada Ahli Parlimen Selayang dari PKR YB William Leong dengan mengatakan kenaikan mendadak ini adalah  akibat 'takrifan baru' hutang luar negara.

"Dua pertiga tambahan hutang itu adalah akibat ramai warga asing membeli bon Malaysia, yang kini dianggap sebahagian hutang luar negara," kata jawapan itu.

Dalam jawapan bertulis itu juga turut memberitahu bahawa jumlah hutang kerajaan pusat semasa mencecah RM582 bilion atau 54.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).


Memetik laporan Astro Awani pada akhir Jun 2013, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata, jumlah hutang negara sebanyak RM284.7 bilion atau 28.8% daripada KDNK.

Menurut Ahmad Maslan, hutang negara ialah hutang yang ditanggung oleh negara berikutan pinjaman yang diperoleh oleh kerajaan dan swasta daripada punca luar.

Jelasnya, hutang negara merangkumi hutang luar negeri Kerajaan Persekutuan, perusahaan awam bukan kerajaan dan sektor swasta.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) , Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz sebelum ini telah mendefinisikan semula hutang luar negaranya kepada denominasi ringgit.

Katanya, definisi hutang luar negara diambil kira bukan dalam denominasi ringgit dan langkah mendefinisikan semula diambil berikutan kemajuan yang ketara dalam pasaran kewangan Malaysia yang dianggap sudah matang. - Siakapkeli.com.my

Haron Din dipilih Mursyidul Am PAS yang Baharu Menggantikan TGNA


KUALA LUMPUR: Majlis Syura Ulama PAS sebulat suara melantik Datuk Dr Haron Din sebagai Mursyidul Am parti itu yang baharu.

Dr Haron dipilih untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut selepas penyandangnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia 13 Februari lalu.

Penolong Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan memberitahu pelantikan Dr Haron diputuskan oleh Majlis Syura Ulama dalam satu mesyuarat yang diadakan pada 8 Mac lalu di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut.

"Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yacob dipilih memegang jawatan Timbalan Mursyidul Am PAS yang baharu.

"Perlembagaan PAS menyatakan jawatan Mursyidul Am boleh dipilih oleh 15 anggota Majlis Syura Ulama (MSU) untuk tempoh lima tahun," katanya ketika ditemui di lobi parlimen hari ini.

Katanya, jawatan Mursyidul Am tidak terikat dengan penggal muktamar sepertimana Jawatankuasa PAS Pusat.

Sebelum ini, ada cadangan oleh pihak-pihak tertentu dalam PAS yang mahukan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilantik sebagai Mursyidul Am yang baharu. ─ Astro Awani

Polis tahan Rafizi Ramli


Oleh Mohd Fadly Samsudin
Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli ditahan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, 6.45 petang tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad yang mengesahkan penahanan itu berkata, beliau ditahan berhubung perhimpunan KitaLawan yang diadakan di ibu negara baru-baru ini.
Menurutnya, Rafizi, 37, ditahan mengikut Seksyen 9(5) dan Seksyen 143 Kanun Keseksaan Akta Perhimpunan 2012 kerana menganjur perhimpunan tanpa kebenaran.
"Tindakan ini jelas bertentangan di bawah Perkara 5 (3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 28A Kanun Acara Jenayah," katanya ketika dihubungi, hari ini.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/35992#sthash.RkHuzUMA.dpuf

Beli rumah, dapat tuan rumah

Jogjakarta: Seorang wanita berusia 40 tahun kini menjadi perhatian di Indonesia selepas mengiklankan rumahnya untuk dijual sekali gus sudi menjadi isteri kepada pembeli rumahnya.
Wina yang juga pemilik salun berkata, dia tidak menyangka iklannya di Internet itu menjadi ‘viral’ di media sosial, namun tegas menyatakan bukan sengaja mencari glamor.
“Saya jujur tidak mencari sensasi, memang tulus menjual rumah dan cari suami,” katanya ketika ditemubual Kompas.com, di rumahnya di Randu Gunting, Tamanmartani, Kalasan, Sleman, di sini, semalam.
Menurut Wina, dia memerlukan wang dan pada masa sama mahukan suami yang boleh melindunginya dan menjadi imam kepada keluarganya.
Katanya, dia juga bersedia berkahwin dengan pembeli rumahnya kerana ia mempunyai nilai sejarah tersendiri berikutan dibina atas kehendak arwah ibunya.
"Jika rumah ini dijual dan pembelinya jadi suami, saya tidak perlu pindah. Rumah ini nazar arwah ibu saya," katanya yang mengakui sudah ramai yang menghubungi ejen yang membantu menjual rumahnya, Dian.
Wina berkata, jika ramai calon pembeli yang berminat dan sekali gus mahu melamarnya sebagai isteri, dia akan memilih yang benar-benar baik dan bertanggung jawab.
"Ya, kalau satu tidak (perlu pilih), tapi kalau banyak, saya akan buat pilihan. Saya ingin suami yang baik dan bertanggungjawab dan boleh menjadi imam keluarga,” katanya.
Wina baru-baru ini mahu menjual rumahnya dan mengiklankannya di Internet dengan menggunakan ayat ‘Penawaran Langka Abad Ini !!! Beli rumahnya bisa mengajak pemiliknya menikah (syarat dan ketentuan berlaku) hanya untuk pembeli serius dan tanpa nego’.
Rumah berkeluasan 523 meter persegi itu mahu dijual dengan harga Rp 999,000,000.00 (RM282,601).
Wina dibantu Dian yang mencadangkan penggunaan ayat berkenaan dalam iklan yang disiarkan dan dipersetujui Wina yang sememangnya mahu mencari jodoh selepas dua kali putus cinta.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2015 @ 2:55 PM


Wina sudi menjadi isteri kepada pembeli rumahnya. FOTOihsan Kompas.com
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/35969#sthash.qESzryvK.dpuf

Aktivis cadang seludup filem guna belon


Seoul: Aktivis Korea Selatan semalam berazam menyeludup 10,000 salinan filem satira Hollywood ‘The Interview’ ke Korea Utara menggunakan belon propaganda, bulan ini, tanpa mempedulikan ancaman Pyongyang.
Sebanyak 500,000 risalah politik juga dirancang dihantar melalui belon yang akan dilepaskan sekitar 26 Mac ini.
Perancangan sebelum ini oleh aktivis dan Human Rights Foundation yang berpangkalan di Amerika Syarikat untuk menghantar 100,000 salinan filem itu, Januari lalu, ditangguhkan sehingga perayaan Tahun Baru Cina, baru-baru ini.
Kumpulan itu bagaimanapun meneruskan perancangannya menghantar 100,000 risalah anti-Pyongyang.
Pelancaran belon terbaru ini menandakan ulang tahun kelima kejadian kapal perang Korea Selatan yang karam pada 2010, menyebabkan kira-kira 46 anak kapal maut.
Korea Selatan mendakwa negara jirannya itu bertanggungjawab atas kejadian berkenaan seterusnya membekukan semua pelaburan dan perdagangan dengan Pyongyang.
Seoul menegaskan aktivis berkenaan mempunyai hak dari segi demokrasi untuk menghantar risalah berkenaan, namun mengingatkan mereka tidak keterlaluan untuk mengelak kemarahan Korea Utara.
Aktivis Park Sang-Hak berkata: “Kami akan mengumumkan tarikh dan waktu operasi kami kerana bergantung kepada faktor cuaca.”
Korea Utara sebelum ini mengugut membalas dendam terhadap Park jika salinan filem itu melintasi sempadan. - Agensi
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/36060#sthash.SIJBgoAe.dpuf

Cat khas banteras kaki kencing bersepah

SATU animasi neon yang menunjukkan perbandingan dinding biasa (kiri) dan dinding premis yang dicat menggunakan bahan hidrofobik di St. Pauli.- AGENSI


HAMBURG, Jerman – Gara-gara tidak puas hati dengan sikap pengunjung yang sering membuang air kecil di tempat awam, penduduk St. Louis di sini bertindak mengecat dinding premis dan taman permainan menggunakan cat jenis kalis air.
Cat jenis hidrofobik itu akan menyebabkan air kencing memantul semula kepada individu yang melakukan perbuatan tersebut sekali gus memberi pengajaran kepada pengunjung agar menjaga kebersihan.
Ahli jawatankuasa persatuan penduduk St. Pauli dan juga pemilik bar, Uwe Christiansen berkata, penduduk setempat sememangnya mengalu-alukan kehadiran pengunjung ke kawasan berkenaan, namun mereka tidak dapat menerima sikap suka membuang air kecil merata-rata di tempat awam.
"Kawasan ini sering dikunjungi lebih 20 juta pengunjung setiap tahun dan kami sudah lama bersabar dengan sikap individu kencing di dinding premis, taman permainan dan juga pintu-pintu rumah.
"Kami meletakkan papan tanda di beberapa kawasan supaya individu yang ingin membuang kecil di lokasi berkenaan akan berfikir dua kali sebelum melakukannya," katanya.
- AGENSI


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0310&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3U34bqOYg 
Hakcipta terpelihara 

Tuala MAS ditemui 
di pantai Australia


Canberra sedang siasat kaitan dengan pesawat MH370

Penemuan tuala tertera logo MAS di sebuah pantai di Barat Australia
Penemuan tuala tertera logo MAS di sebuah pantai di Barat Australia sedang disiasat untuk menentukan apakah ia mempunyai kaitan dengan pesawat MH370 yang masih hilang. – Agensi
CANBERRA 10 Mac - Sebungkus tuala kecil tertera logo syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) ditemukan di pantai di Barat Austra­lia, empat bulan selepas pesawat MAS MH370 dilaporkan hilang pada 8 Mac tahun lepas.
Portal berita Daily Mail yang memetik Nine News melaporkan tuala lembap itu ditemukan oleh sepasang suami isteri yang sedang bersiar-siar di pantai Thirsty Point di Cervantes, 200 kilometer dari utara Perth, pada Julai lalu.
Pasangan itu menemukan bungkusan itu dalam keadaan tidak terbuka dan tanpa sebarang kerosakan.
Akhbar Daily Telegraph me­laporkan, pakar percaya terdapat kemungkinan bungkusan kecil seperti tuala itu boleh dihanyutkan dalam jarak jauh tanpa mengalami sebarang kerosakan.
Nine News juga melaporkan bahawa tuala tersebut telah dihantar ke Canberra untuk dianalisis untuk menentukan sama ada terdapat kaitan dengan misteri kehila­ngan pesawat MH370.
Dalam pada itu, penyiasat berkata, penemuan tuala tersebut mungkin tidak mempunyai kaitan dengan misteri kehilangan pesawat berkenaan.
Biro Keselamatan Pengangkutan Australia yang mengetuai pencarian di dasar laut dan menemukan pelbagai barangan di pantai-pantai berkata, penemuan tuala kecil itu tidak akan memberi petunjuk baharu dalam usaha mencari pesawat tersebut.
“Tuala lembap berukuran 6x8 sentimeter dengan logo MAS ditemukan di Thirsty Point pada 2 Julai tahun lepas dan diserahkan kepada polis Barat Australia.
“Barang tersebut tidak mempunyai petunjuk unik yang boleh dikaitkan dengan pesawat MH370,’’ kata biro itu dalam satu kenyataan yang dilaporkan oleh media Australia.
Pesawat Boeing 777-200 itu hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Analisis data satelit menca­­dang­kan pesawat MH370 itu terhem­pas di selatan Lautan Hindi selepas kehabisan minyak. – AFP/Agensi
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/tuala-mas-ditemui-8232-di-pantai-australia-1.68121#sthash.uyF16jn9.dpuf

Penduduk Indonesia serah wang kepada Kedutaan Australia


Indonesian demonstrators prepare bags of coins to be handed to
Indonesian demonstrators prepare bags of coins to be handed to the Australian embassy during a protest in Jakarta on March 10, 2015. The demonstrators denounced Australian Prime Minister Tony Abbott for his statement to Indonesia reminding Jakarta of the aid Canberra had provided during the 2004 tsunami as Australia mounted a sustained diplomatic campaign to stop the execution of Australian drug smugglers Andrew Chan and Myuran Sukumaran from going ahead, but Indonesian President Joko Widodo has refused to change course. Chan and Sukumaran are awaiting execution by firing squad in Nusakambangan prison island. AFP PHOTO / ROMEO GACAD
JAKARTA 10 Mac. – Sekumpulan penduduk Indonesia yang mengadakan tunjuk perasaan di sini hari ini menyerahkan beberapa buah beg berisi wang syiling kepada Kedutaan Australia di sini untuk diserahkan kepada Perdana Menteri negara itu, Tony Abbott.
Kumpulan penunjuk perasaan itu berkata, mereka menyerahkan semula wang bantuan kemanusiaan Australia untuk mangsa tsunami di Aceh selepas Canberra cuba menggunakan isu tersebut untuk memberi tekanan ke atas Jakarta supaya tidak meneruskan pelaksanaan hukuman mati ke atas dua warga Australia.
Kumpulan penunjuk perasaan itu turut melaung-laungkan kata-kata: ‘Tutup mulut Abbott’ dan ‘Abbott mohon maaf’.
Mereka juga memijak-mijak poster Abbott dengan pita pelekat ditampal pada mulutnya.
Abbot pada bulan lalu berkata, Jakarta perlu menghargai bantuan bernilai AS$1 bilion (RM2.83 bilion) yang disumbangkan Australia bagi membantu mangsa tsunami pada 2004 yang mengorbankan kira-kira 220,000 orang.
Kenyataannya itu bertujuan memengenakan tekanan ke atas Jakarta supaya tidak melaksanakan hukuman mati ke dua penyeludup dadah warga Australia, ­Myuran Sukumaran, 33, dan Andrew Chan, 31, yang turut dikenali sebagai ahli kumpulan ‘Bali Nine’.
Bagaimanapun, tindakan Australia itu memakan diri dan mendapat tentangan hebat di Indonesia apabila beberapa kumpulan penunjuk perasaan mula berkempen untuk mengumpul wang syi­ling bagi membayar balik bantuan Australia kepada Indonesia sebelum ini.
Pada protes itu sekumpulan kira-kira 30 pelajar menyerahkan tujuh beg plastik mengandungi syiling dan wang kertas kepada seorang kakitangan kedutaan itu berjumlah kira-kira tujuh juta rupiah (RM1,518).
“Apa yang Abbott lakukan merupakan tindakan yang tidak bermartabat. Dia sepatutnya lebih bertamadun dan beradab.
“Kami tidak pernah meminta, tapi Australia yang tawarkan bantuan. Jika kami tahu ia tidak ikhlas, kami pasti menolaknya (bantuan itu),” kata salah seorang penunjuk perasaan. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/penduduk-indonesia-serah-wang-kepada-kedutaan-australia-1.68109#sthash.UG6rnqSN.dpuf