Saturday, April 5, 2014

Erdogan kecam mahkamah batal larangan Twitter



GAMBAR fail yang dirakam pada 27 Mac lalu menunjukkan potret Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan bersama tulisan "Ya Kami Haramkan" tertera pada sebuah skrin komputer riba di Istanbul.


ANKARA - Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan mengecam Mahkamah Perlembagaan negara itu kerana membatalkan pengharaman laman sosial Twitter yang dikuat kuasa oleh kerajaannya pada 20 Mac lalu.
"Kami sudah tentu terikat dengan keputusan Mahkamah Perlembagaan tetapi saya tidak perlu menghormatinya. Saya tidak hormat keputusan mahkamah ini," katanya.
Kerajaan Turki telah digegarkan dengan dua krisis bantahan jalanan pada Jun dan Disember tahun lalu.
Sebelum ini, beberapa imej yang disiarkan di laman Twitter, Facebook dan YouTube mengaitkan perdana menteri berkenaan dengan rasuah.
Dalam pada itu, sebuah mahkamah lain di Turki membatalkan hampir keseluruhan perintah sekatan terhadap laman perkongsian video YouTube.
Keputusan tersebut dibuat seiring dengan keputusan mahkamah perlembagaan yang menarik balik larangan serupa ke atas Twitter.
Mahkamah tersebut membuat keputusan itu dengan alasan pengharaman ke atas YouTube adalah bertentangan dengan hak asasi manusia. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0405&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2xxjUFpV9 
Hakcipta terpelihara 

Pocong’ berhimpun desak banteras rasuah


PENUNJUK perasaan yang mengenakan kostum pocong berarak menuju Pejabat Daerah Khusus Ibukota, Jakarta baru-baru ini.
JAKARTA - Beberapa penduduk menggemparkan kawasan pusat bandar apabila mengenakan kostum pocong dalam satu tunjuk perasaan baru-baru ini.
Tunjuk perasaan itu dianjurkan Lembaga Swadaya Masyarakat (LSM) bagi menentang rasuah, rampasan tanah dan ketidak adilan yang berlaku di sebuah perkampungan di Indonesia.
Menurut portal berita, republika.co.id, tunjuk perasaan itu telah diadakan di hadapan Pejabat Daerah Khusus Ibukota (DKI) di sini.
Selain memegang sepanduk, peserta tunjuk perasaan itu juga membawa keranda dan memakai kain kapan.
Perhimpunan selama beberapa jam itu bertujuan mendesak kerajaan bertindak segera bagi menangani segera masalah pecah amanah yang berlaku di daerah berkenaan.
Penunjuk perasaan itu meminta Gabenor Jakarta, Joko Widodo dan Wakil Gabenor Basuki Tjahaja Purnama menyiasat sepenuhnya tindakan pecah amanah melibatkan kes kecurian dana bajet kewangan negara membabitkan pembelian tanah di perkampungan Rawamangun, di Jakarta Timur


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140405/lu_08/Pocong-berhimpun-desak-banteras-rasuah#ixzz2xxRSJ5Z4
© Utusan Melayu (M) Bhd