Monday, October 27, 2014

Sidang media tanpa kebenaran


Oleh Nor Azura Abdul Jalil

zura_jalil@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Mahkamah Tentera di sini memerintahkan pegawai kanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Zaidi Ahmad membela diri terhadap dua pertuduhan membabitkan isu dakwat kekal ketika pilihan raya umum ke-13 dan menyiarkan maklumat mengenai surat pertukaran kerjanya, tahun lalu.
Keputusan itu diputuskan lima panel diketuai Yang Dipertua Kolonel Saadon Hasnan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.
Dalam penghakimannya, Saadon berkata Zaidi, 47, gagal mendapat kelulusan daripada Kementerian Pertahanan untuk mengadakan sidang media berhubung isu dakwat kekal yang berkaitan dengan hal kerajaan.
Menurutnya, isu dakwat kekal adalah dibawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya iaitu sebuah agensi kerajaan justeru mana-mana anggota tentera adalah tidak boleh mengatur sidang media dan menyiarkan artikel berkaitan kerajaan sehingga mendapat kelulusan daripada Kementerian berkenaan.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di surau balai polis Ibu Pejabat Polis Daerah Kepala Batas, Pulau Pinang pada 1 Mei 2013.
Panel hakim juga memerintahkan tertuduh membela diri terhadap pertuduhan menyiarkan maklumat kepada akhbar mengenai kawad tumpangan keluar (surat pertukaran kerja) membabitkan dirinya sebagai pegawai penyelidik ke Kuala Lumpur.
"Anggota tentera dilarang untuk menerbitkan atau memberitahu maklumat rasmi pada mana-mana orang luar yang boleh timbulkan kontroversi terhadap diri sendiri," kata Saadon.
Zaidi didakwa melakukan perbuatan itu di Taman Bertam Indah Kepala Batas pada 3 Mei 2013.
Kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Para 13 Perintah Majlis Angkatan Tentera (Permat) No 13 Tahun 1961.
Bagaimanapun, Zaidi dilepas dan dibebaskan daripada lima pertuduhan lain termasuk menghantar SMS berbaur politik selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Oktober 2014 @ 4:51 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/4448#sthash.Yht33v7g.dpuf

Pidato Anwar: 4,000 masuk UM setelah pintu pagar terbuka


HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Hampir 4,000 orang yang hadir ke program pidato Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini berjaya masuk ke dalam Universiti Malaya bagi menuju ke dataran Dewan Tuanku Chanselor (DTC).

Mereka yang tersekat di luar pintu masuk utama dari arah Kuala Lumpur selepas dihalang dengan pagar ditutup oleh pihak keselamatan universiti, berjaya masuk ke dalam kawasan universiti kira-kira jam 9.15 malam setelah pintu pagar terbuka selepas ditolak.

Pihak keselamatan yang pada awalnya membuat benteng di belakang pagar, hanya membiarkan sahaja peserta berarak masuk menuju ke DTC.

Tidak beberapa lama kemudian Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat tiba di pintu pagar masuk UM bersama isteri dan anak-anak beliau.

Ketua Pembangkang itu kemudian dibawa dengan kenderaan pacuan empat roda menuju ke DTC.

Anwar dijangka menyampaikan pidato terakhir beliau malam ini sebelum ke Mahkamah Persekutuan Putrajaya pagi esok bagi mendengar rayuan kes Fitnah ll terhadap beliau.

Biarpun hujan pada awal tadi, masyarakat awam serta sebahagian besar bekas pelajar UM tetap datang bagi mendengar pidato Anwar. -HARAKAHDAILY 27/10/2014

Pekerja butik cari wali nikah


Norazlinda Jani menunjukkan surat Pajabat Agama Islam Daerah Muar yang memintanya mencari wali melalui media.
Norazlinda Jani menunjukkan surat Pajabat Agama Islam Daerah Muar yang memintanya mencari wali melalui media.
MUAR - Seorang pekerja butik mencari bapa kandungnya untuk menjadi wali pada pernikahannya yang dijadualkan berlangsung 26 Disember ini.

Norazlinda Jani, 26, dan tunangnya, Mohd Hafoz Ismail, 22, memerlukan kehadiran bapanya, Jani Panot, 53, sebagai wali pada pernikahannya nanti.

“Saya tidak mempunyai maklumat tepat bapa yang menghilangkan diri sejak 2008. Pelbagai usaha sudah dilakukan sejak beberapa tahun lalu tetapi tidak berjaya.

“Ayah adalah seorang pemandu lori dan sebelum itu jarang pulang ke rumah kerana tuntutan kerja,” katanya.

Katanya, ibunya, Bedah Md Don, 60, ada membuat laporan polis apabila bapa keluar bekerja tetapi tidak pulang ke rumah pada 2008.

“Saya bersama saudara mara pernah mencari bapa di kampung halamannya di Bekoh tetapi menemui jalan buntu.

“Selain memerlukan ayah sebagai wali nikah, saya juga mahu kehadirannya pada hari bersejarah dalam hidup saya,” katanya.

Norazlinda berkata, dia mengharapkan kerjasama orang ramai  yang mempunyai maklumat berkaitan Jani boleh membantunya dengan menghubunginya di talian 011-23669681.

Pulau Pisang: Singapura boleh tuntut hak


Pulau Pisang
Pulau Pisang
SHAH ALAM - Singapura boleh menuntut Pulau Pisang sekiranya republik itu mengamalkan ‘pendudukan efektif’ di pulau berkenaan untuk satu tempoh yang lama mengikut Undang-undang Laut Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 (UNCLOS).

Pemerhati undang-undang, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin berkata, jika Malaysia mengakui sebagai pemilik bagi sesebuah kawasan maka perkara itu perlu dibuktikan kepada negara-negara lain dan juga seluruh dunia.

“Dari sudut UNCLOS, cara sesuatu tempat boleh dituntut oleh negara lain ialah dipanggil ‘effective occipation’ (pendudukan efektif). Maknanya kawasan itu diduduki atau diuruskan oleh negara berkenaan.

“Saya tidak pasti situasi sebenar di Pulau Pisang tetapi sekiranya pulau itu juga ditadbir oleh Singapura bagi tempoh masa yang panjang dan kita tidak ambil apa-apa tindakan untuk menunjukkan bahawa kita adalah tuan punya pulau itu, maka Singapura boleh buat tuntutan,” katanya kepada Sinar Harian Online.

[ARTIKEL BERKAITAN: Bimbang Pulau Pisang senasib Pulau Batu Puteh]

Beliau turut mengingatkan bahawa Pulau Batu Puteh telah diuruskan oleh Singapura dan perkara itu menjadi asas tuntutan republik tersebut.

Beliau yang juga seorang peguam itu menyarankan agar Malaysia segera mengambil langkah berwaspada dengan mentadbir pulau yang terletak kira-kira 8 kilometer di luar perairan Pontian itu.

Sekiranya Malaysia melakukan pendudukan efektif ke atas pulau tersebut seperti mentadbirnya, kita mungkin tidak akan hilang kelayakan untuk mengatakan pulau itu adalah hak milik kita.

“Setakat ini Singapura memang tidak membuat sebarang tuntutan lagi tapi kita perlu berwaspada. Pulau Batu Puteh itu satu isu yang sangat sedih buat sejarah Malaysia,” katanya.

Menurutnya, pulau itu perlu didiami warga Malaysia meskipun hanya dalam bilangan yang kecil.

“Kerajaan perlu sentiasa menunjukkan kepada Singapura dan dunia bahawa kita melakukan pentadbiran kesemua pulau di Malaysia.

“Cara terbaik adalah Malaysia menempatkan kem tentera dan juga penduduk yang menetap di pulau itu.

“Walaupun jumlahnya kecil tapi penduduk itu mestilah warganegara Malaysia dan mentadbir urus pulau tersebut,” katanya.

Tambahnya, “kita mesti ambil langkah-langkah untuk membangunkan apa saja yang kita boleh buat. Mungkin bangunkan sektor pelancongan di sana.”

1 Julai 2008 lalu, bekas Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, isu kedaulatan Malaysia terhadap Pulau Pisang tidak perlu timbul ekoran pulau itu sudah diwartakan dalam mukim Pontian dan menjadi sebahagian daripada pentadbiran Majlis Daerah Pontian.

Pulau Pisang terletak 5 kilometer dari bandar Benut itu mempunyai kedudukan strategik iaitu di bahagian selatan laluan perkapalan yang sibuk di Selat Melaka.

Terdapat sebuah rumah api setinggi 53 meter yang dikendalikan oleh Kakitangan Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura.

Di kawasan sekitarnya pula terdapat tiga buah pulau lain iaitu Pulau Sauh, Pulau Kemudi dan Pulau Tunda.

Usaha Anwar tidak sia-sia


Tian Chua
Tian Chua
SEREMBAN - Naib Presiden PKR, Tian Chua tetap optimis perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan tersia-sia, walaupun seandainya keputusan Mahkamah Persekutuan tidak berpihak kepada Ketua Umum PKR berkenaan pada Rabu ini.

Secara tidak langsung, kata beliau, pemenjaraan Anwar mampu mencetuskan satu kesedaran baharu dalam kalangan generasi muda yang mampu merangsang mereka untuk bangkit menegakkan keadilan.

“Dahulu pun, beliau (Anwar) pernah dipenjarakan dan tidak memimpin secara fizikal. Bagaimanapun, Anwar terus menjadi inspirasi bagi kita semua untuk berjuang bersungguh-sungguh sehinggalah beliau bebas dan berjaya mewujudkan Pakatan Rakyat (PR).

“Sekiranya mereka (kerajaan) fikir boleh kurangkan pengaruh Anwar dengan memenjarakan beliau, itu satu kesilapan besar. Dalam penjara sekalipun, Anwar masih boleh memimpin dan kita yakin pengaruhnya akan lebih tinggi berbanding sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas menghadiri program solidariti untuk Anwar di Kampung Lambar Hilir, Labu, di sini, petang semalam.

Dalam pada itu, mengulas tindakan Timbalan Ketua PKR Cabang Petra Jaya, Idris Bohari yang mengisytiharkan keluar parti berkuatkuasa serta-merta pula, beliau beranggapan perkara itu sengaja ditimbulkan untuk mengalih perhatian orang ramai daripada kes Anwar.

“Ada pihak cuba memberi gambaran, seolah-olah parti (PKR) sudah kehilangan sokongan. Mereka cuba mengelirukan orang ramai dengan perkara sebegini. Tetapi, kita akan buktikan persepsi itu tidak benar,” katanya yang menyifatkan tempoh 48 jam sebelum keputusan mahkamah diumumkan sebagai cukup getir dan kritikal.

Kempen benar wanita memandu di Arab Saudi berjaya


Arab Saudi menjadi satu-satunya negara yang mengeluarkan larangan wanita memandu. - Foto Reuters
Arab Saudi menjadi satu-satunya negara yang mengeluarkan larangan wanita memandu. - Foto Reuters
RIYADH - ARAB SAUDI. Aktivis kempen membenarkan wanita memandu di Arab Saudi mengumumkan kempen yang dilakukan secara atas talian itu berjaya.

Sebelum ini, Arab Saudi merupakan satu-satunya negara yang melarang wanita memandu kereta.

Kempen yang bermula awal tahun lalu itu, memerlukan wanita memuat naik gambar mereka memandu kenderaan ke laman web kempen telah mendapat sambutan menggalakan dan meneruskan kempen ini sekali lagi awal bulan ini.

Menurut wakil aktivis kempen tersebut, sejak kempen terbaru dimulakan, semakin ramai wanita berani memuat naik gambar mereka walaupun hanya lebih kurang dua orang yang akan berada di jalan raya semasa hari kemuncak kempen.

“Setiap hari pasti ada paling kurang dua gambar atau video yang menunjukkan wanita memandu,” katanya.

Kempen yang turut mendapat sokongan daripada golongan lelaki itu, berjaya mengumpul lebih daripada 2,800 tanda tangan menerusi petisyen atas talian di www.oct26driving.com, yang meminta pihak berkuasa membenarkan wanita memandu.

Dalam pada itu, aktivis yang enggan didedahkan namanya itu memberitahu, kementerian da;am negeri telah member amaran untuk menangkapnya sekiranya dia bercakap secara terbuka mengenai kempen tersebut.

Dia turut memaklumkan bahawa pemandu wanita yang ditangkap akan didakwa, selain dikenakan 100 sebatan dan kereta mereka disita.

Selain itu, kempen ini juga mencetuskan satu lagi isu baharu apabila kementerian mengumumkan akan mengenakan tindakan tegas terhadap individu, yang dilihat mencabar undang-undang dan melemahkan perpaduan sosial.

Bagaimanapun, aktivis kempen tersebut memaklumkan, reaksi kerajaan tersebut menunjukkan bahawa kempen yang dilakukan boleh dianggap berjaya dan berkesan.

Inilah Wajah Sebenar Lelaki Serupa Ustaz Azhar Idrus Dalam Video Panas Yang Tersebar


Baru-baru ini kita dikecohkan dengan penyebaran video panas Ustaz Azhar dengan seorang perempuan durasi 0.38 saat. Selepas video itu tersebar pelbagai tomahan telah dilemparkan kepada Ustaz Azhar Idrus ada juga yang tidak percayainya.


Kemudian orang ramai dengan Ustaz Azhar telah tampil menafikan sekeras-kerasnya video tersebut adalah ustaz Azhar dan mengatakan ada pihak tertentu cuba jatuhkan Ustaz Azhar dalam menyampaikan dakwahnya.

Ada juga mengatakan Video ini telah diedit oleh penyokong UMNO atau orang kuat UMNO dengan alasan Ustaz Azhar Pro PAS jadi mereka telah edit dan menfitnah Ustaz Azhar.Tidak dapat dipastikan siapakah yang edit video tersebut dan menyebarkan fitnah ini yang pasti dalam video ini bukan Ustaz Azhar Idrus

Berikut bukti yang dapat Admin Sertakan

Dalam gambar diatas terdapat perbezaan telingga Ustaz Azhar dengan Wajah yang diedit dalam video tersebut.


Berikut dikatakan wajah lelaki sebenar dalam video panas yang tersebar

Jadi kepada yang sebar fitnah ini anda terimalah balasanya nanti dosa dengan Allah boleh bertaubat Dosa dengan manusia selagi tidak mohon ampun tanggunglah akibatnya tambahan pula fitnah seorang ustaz yang menyampaikan ilmu agama.


Kepada rakan-rakan yang membaca dan melihat pendedahan ini mohon jasa baik anda share info ini menerusi button share yang disediakan dibawah mudah-mudahan dengan bantuan anda jenayah fitnah kepada UAI ini dapat diketahui Umun -Sumber

Cinta sehingga hujung nyawa

Posting Twitter menunjukkan seorang lelaki warga emas menikmati makanan di restoran makanan segera ditemani gambar mendiang isterinya.
Posting Twitter menunjukkan seorang lelaki warga emas menikmati makanan di restoran makanan segera ditemani gambar mendiang isterinya.
LONDON – BRITAIN. Seorang pengguna laman sosial Twitter, Madinah Bashizadah memuat naik gambar yang menyentuh perasaan menunjukkan cinta sejati  benar-benar wujud.

Bashizadah memuat naik gambar yang menunjukkan seorang lelaki warga emas sedang makan di restoran makanan segera 'In-N-Out Burger' ditemani sekeping gambar mendiang isterinya.

Menurut kenyataan Bashizadah kepada The huffington Post, dia ternampak lelaki tersebut sedang menikmati makanan sambil menghadap gambar yang diletakkan di atas meja.

“Saya andaikan yang wanita dalam gambar tersebut adalah isterinya dan sudah tiada lagi di dunia. Ia sesuatu yang indah, dalam masa yang sama sangat merobek hati saya,” katanya.

Tambahnya, pengunjung restoran yang menyaksikan kejadian itu turut berminat mendengar kisah disebalik gambar dan meminta lelaki itu berkongsi ceritanya.

Lelaki tersebut memberitahu mendiang isterinya meninggal dunia lima tahun yang lalu. Mereka bertemu kali pertama semasa berusia 17 tahun, namun terpisah disebabkan Perang Dunia ke-2.

Difahamkan lelaki tersebut terus mencari wanita tersebut selama 10 tahun. Suatu hari, dia menceritakan kisahnya kepada seorang tukang cukur yang sebenarnya merupakan bapa kepada wanita yang dicarinya. Mereka kemudian berkahwin selama 55 tahun sebelum wanita tersebut meninggal dunia.

Bashizadah memberitahu, lelaki tersebut sentiasa membawa gambar mendiang isterinya itu ke mana-mana sahaja.

Menurutnya, bahagian hadapan gambar tersebut menunjukkan gambar lelaki tersebut dengan mendiang isterinya duduk di sofa . manakala, bahagian belakang merupakan gambar lelaki tersebut bersama mendiang isterinya ketika zaman muda.

Arah staf pulang awal, alasan UM melucukan - Fahmi


HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Beberapa jam menjelang pidato Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini, pihak pentadbiran Universiti Malaya (UM) membenarkan kakitangan mereka pulang.

Dalam satu kenyataan melalui emel, pihak pendaftar UM berkata pihak pengurusan kampus itu bersetuju menutup operasi mereka hari ini seawal jam 4 petang ekoran beberapa insiden gangguan elektrik akibat keadaan cuaca tidak menentu.

"Keadaan ini merbahaya dan pihak universiti sedang menjalankan kerja-kerja baikpulih dan penyelenggaraan pencawang elektrik di beberapa lokasi utama di universiti.

"Sehubungan itu, bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku, pihak Pengurusan Universiti bersetuju supaya operasi pejabat di kampus Universiti Malaya, Kuala Lumpur ditutup awal pada 27 Oktober 2014 (Isnin), mulai jam 4.00 petang hari ini," kata kenyataan tersebut.

Malam ini, Anwar yang juga Ketua Pembangkang dijadual hadir ke UM bagi menyampaikan pidato '40 tahun: Dari UM ke Penjara' anjuran Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM).

Sejak semalam, penganjur menerima tekanan kuat agar program itu dibatalkan.

Mengulas arahan terbaru Pentadbiran UM ini, Presiden PMUM Fahmi Zainol menyifatkan ianya sebagai sesuatu yang melucukan.

"Alangkah lucunya Universiti ini. Saya tidak tahu sama ada ini alasan atau bukan, cerdik atau tidak.

"Nilai sebuah Universiti semakin tertonjol. Sama-sama kita nilai. Pensyarah diarah batalkan kelas," katanya di Facebook. -HARAKAHDAILY 27/10/2014

Kit Siang Rayu Najib Campur Tangan Kes Anwar


Diterbitkan: Isnin, 27 Oktober 2014 4:30 PM

KUALA LUMPUR: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang merayu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya mencampuri urusan badan kehakiman negara terutamanya membabitkan kes liwat kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malah veteran DAP itu turut merayu supaya Najib mengarahkan Pejabat Peguam Negara menarik balik rayuan pihak pendakwaan untuk memanjangkan hukuman penjara daripada lima tahun kepada sehingga 20 tahun terhadap Ketua Pembangkang itu.
Katanya, Peguam Negara perlu bertindak berdasarkan nilai wasatiyyah atau kesederhanaan seperti yang ditekankan pentadbiran Najib.
"Dilaporkan bahawa pihak pendakwaan membuat rayuan balas dan mahu Anwar dipenjara selama lebih dari lima tahun sambil berhujah bahawa hukuman penjara Mahkamah Rayuan selama lima tahun adalah 'jelas tidak memadai', 'tidak mencerminkan keseriusan kesalahan itu' dan 'tidak menyampaikan matlamat keadilan daripada perspektif kepentingan awam.
"Ada anasir di kalangan mereka yang berkuasa ingin menyingkirkan pembangkang dengan cara apa sekalipun. Tetapi saya ingin bertanya kepada Najib sama ada beliau sedemikian kejam, tidak berperasaan dan tidak berhati perut sehingga mahukan Anwar dipenjara selama 20 tahun dan tidak dibebaskan sehingga beliau berusia 80 tahun?" katanya di sini.
Beliau berkata demikan ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2015 di Dewan Rakyat pada Isnin.
Dakwa Lim lagi, rayuan pihak pendakwaan untuk memanjangkan tempoh hukuman terhadap Anwar tidak mempunyai kepentingan umum serta bermotif politik.
"Apakah kepentingan umum dalam rayuan pihak pendakwaan di Malaysia terhadap hukuman lima tahun penjara Anwar, selain mempunyai objektif politik tersembunyi daripada kuasa yang ada untuk membunuh kerjaya politik Ketua Pembangkang?
"Saya berharap pihak-pihak berkenaan akan bertindak secara waras, dan agenda wasatiyyah atau kesederhanaan yang menjadi bimbingan kerajaan Najib, akan menunjukkan hala tuju dasar Peguam Negara dan semoga pihak pendakwaan akan menarik balik rayuan balas mereka di Mahkamah Persekutuan esok (Selasa)," katanya.
Pada Selasa dan Rabu ini, Mahkamah Persekutuan akan mendengar rayuan terakhir Anwar berhubung kes liwat keduanya.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh sebelum ini disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara yang dikenakan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu selepas mendapatinya bersalah meliwat Mohd Saiful.
Anwar, 67, didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Gaji Lebih RM10,000 Tak Layak Subsidi Petrol - Ahmad Husni


Diterbitkan: Isnin, 27 Oktober 2014 1:33 PM

KUALA LUMPUR: Warganegara Malaysia yang berpendapatan lebih RM10,000 sebulan tidak layak menikmati subsidi petrol yang disediakan kerajaan menerusi skim rasionalisasi yang akan dilaksanakan tahun depan.

Mengumumkan perkara itu pada Isnin, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, program itu akan dibahagikan kepada tiga peringkat.

"Bagi yang berpendapatan kurang RM5,000 sebulan masih layak menerima subsidi, manakala yang berpendapatan antara RM5,000 hingga Rm10,000 pula akan mendapat sebahagian subsidi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perbankan Islam Antarabangsa Bank Rakyat di sini.

Bagaimanapun, katanya, mekanisme lengkap berhubung perkara itu masih diteliti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Baru-baru ini, Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Alias Ahmad memberitahu mStar Online bahawa Unit Perancang Ekonomi (EPU) bersama Kementerian Kewangan belum memutuskan kumpulan sasar yang tidak layak mendapat subsidi petrol.

Beliau berkata, setakat ini, hanya andaian dibuat mengenai tangga gaji bulanan yang ditetapkan untuk mendapatkan faedah itu.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan memberitahu bahawa harga jualan petrol RON95 bagi golongan berpendapatan tinggi adalah mengikut harga pasaran mulai Jun tahun.

Orang ramai bimbang program rasionalisasi petrol akan menyebabkan golongan berpendapatan sederhana di negara ini mungkin tidak layak mendapat subsidi.

PAS Terpaksa Mengalah - Khalid Samad


Diterbitkan: Isnin, 27 Oktober 2014 2:02 PM
Khalid Samad

KUALA LUMPUR: PAS mengakui parti itu terpaksa mengalah dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) demi masa depan politiknya dalam Pakatan Rakyat.

Menyifatkan pernah 'disiku' oleh rakan sekutunya itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad bagaimanapun berkata, parti itu perlu bertahan jika ingin terus bersama dengan DAP dan PKR.

"Kita kena faham adat berkawan, kalau dulu biasanya main sendirian, tapi sekarang dah ada kawan. Tak boleh kememeh (manja), main bola dengan kawan pun kadang-kadang kena siku.

"Lalu relakslah. Kalau kena siku...balik rumah beritahu mak ayah dibuli, takut-takut akhirnya tak ada orang nak kawan," katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2015 di sini.

Bagaimanapun,  Khalid yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS menegaskan bahawa parti tidak pernah dibuli oleh DAP dan PKR ketika berada dalam Pakatan Rakyat sejak penubuhannya pada 2008.

"Dari segi dakwaan buli yang disebut oleh Yang Berhormat (YB) Ketereh (Tan Sri Annuar Musa) khususnya mengenai PAS dalam Pakatan Rakyat, saya ingin yatakan secara jelas bahawa dalam pakatan ini, PAS tidak dibuli," katanya.

Sebelum ini, ketika membahaskan RUU yang sama, Annuar mendakwa PAS sering menjadi mangsa buli oleh DAP dan PKR dalam pelbagai perkara termasuk yang terbaharu membabitkan isu pelantikan Menteri Besar Selangor.

Polis Serah Pada UM Benar Atau Tidak Anwar Hadiri Program Pidato - KPN


Diterbitkan: Isnin, 27 Oktober 2014 2:26 PM

SEREMBAN: Polis menyerahkan kepada pihak pentadbiran Universiti Malaya (UM) sama ada membenarkan ataupun tidak Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim masuk ke universiti itu bagi menghadiri program pidato dijadualkan malam ini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata, polis tidak akan campur tangan dalam urusan pentadbiran universiti itu.

Bagaimanapun, katanya, polis akan memantau dan menempatkan anggota di kawasan luar universiti itu khususnya di sekitar Masjid Ar-Rahman untuk memastikan tidak berlaku perkara tidak diingini.

"Itu tanggungjawab kita (polis) untuk memastikan keselamatan awam di kawasan luar universiti. Tetapi dalam universiti saya serahkan kepada pihak universiti. Kita akan menempatkan anggota secukupnya kerana hendak memastikan kaedah keselamatan, tidak ada gangguan dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penghormatan Kepada 'Wira Yang Tidak Didendang' Pasukan Penyelamat MH17 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Ampangan di sini, Isnin.

Turut hadir Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh dan Pengetua SMK Seri Ampangan Mohd Sazali Sam.

Khalid berkata, terpulang kepada pihak universiti itu sama ada mahu membenarkan Anwar menghadiri program itu atau sebaliknya.

Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) sebelum ini dilaporkan akan meneruskan program pidato Anwar di kampus itu malam ini walaupun pengurusan kampus mengeluarkan larangan menerusi Timbalan Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Rohana Yusof.

Sementara itu, berhubung pendengaran rayuan Anwar terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya esok dan lusa, Khalid menasihati semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya menghormati proses undang-undang.

"Ini adalah proses undang-undang biasa. Saya minta pihak yang tidak berkenaan tidak perlu ganggu keadaan atau perjalanan perbicaraan mahkamah. Biarkan mahkamah bersidang dengan aman damai dan membuat keputusan.

"Kita (polis) bagaimanapun, bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku," katanya.

Kelantan laksana hudud tahun depan


Ahmad Yaakob
Ahmad Yaakob
KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob mengumumkan Kelantan akan laksanakan undang-undang hudud tahun depan.

Pengumuman rasmi itu menunjukkan ketegasan Kerajaan Kelantan dalam pelaksanaan perundangan syariah di negeri berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya sedang melakukan beberapa langkah dan persediaan ke arah pelaksanaan hukum hudud termasuk berkaitan usaha membentangkan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat nanti.

“Dua minggu lepas, kita baru sahaja mengadakan muzakarah penyediaan kaedah hukuman Kanun Jenayah Syar’iyyah yang turut dihadiri mufti seluruh negara, pakar perundangan dan pakar perubatan.

“Jika kita berjaya siapkan draf enakmen ini berpandukan kaedah hukuman tersebut, kerajaan negeri kita adalah kerajaan pertama, bukan setakat di Malaysia akan tetapi di dunia ini yang mempunyai kaedah atau undang-undang bertulis mengenai tatacara hukum had (hudud) secara terperinci,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian sempena Seminar Penghayatan Hududullah Peringkat Negeri Terengganu, di Permai Inn, di sini, semalam.

Teks ucapan perasmian beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau Negeri Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Ahmad berkata, hasrat untuk menjayakan pelaksanaan hudud pada 2015, dibuat berdasarkan enam faktor antaranya menjelaskan kepada masyarakat hanya undang-undang ALLAH SWT dapat menyelesaikan masalah jenayah selain menyatakan kesungguhan Kerajaan Kelantan yang tidak putus asa terhadap pelaksanaan tersebut.
“Ketiga, memberi kesedaran kepada minda dan fikiran umat Islam terhadap Kanun Jenayah Syar’iyyah ini sebagai hukum ALLAH dengan tujuan dapat membuka jalan bagi dilaksanakan suatu hari nanti.

"Walaupun pelaksanaannya dianggap terlalu sukar hari ini tetapi suatu hari nanti ia jadi kenyataan. Kita lihat sahaja Brunei diumumkan secara rasmi pelaksanaan Kanun Jenayah Syar’iyyah ini,” katanya.

Beliau berkata, faktor keempat bertujuan membuka jalan dan penerangan kepada masyarakat bukan Islam mengenai konsep hudud bersifat mendidik, faktor kelima memberi isyarat jelas kepada pihak yang masih tidak yakin dengan pelaksanaan hukuman tersebut supaya lebih positif dan keenam memberi semangat kepada pemimpin kerajaan dan rakyat membuat persediaan bersungguh-sungguh ke arah pelaksanaan itu.

Beliau turut menyatakan kebimbangan terhadap pemikiran segelintir umat Islam yang masih terikat dengan asas pemikiran barat disebabkan beberapa perkara yang dianggap jenayah oleh syariat Islam tidak dianggap jenayah oleh kanun keseksaan Malaysia dan ‘panel code’ England antaranya melakukan zina serta minum arak.

Anwar: Gelombang Akhir Jatuh Bangun Politik Malam Ini


Diterbitkan: Isnin, 27 Oktober 2014 8:40 AM
Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Menjelang hari pendengaran rayuan terakhir Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Persekutuan berhubung kes liwat keduanya, pelbagai program yang boleh mencetuskan kebangkitan rakyat dianjurkan bermula malam Isnin.

Program yang dirangka itu sehari sebelum mahkamah membuat ketetapan nasib Anwar pada prosiding dua hari, bermula Selasa.

Difahamkan Ketua Pembangkang itu bakal menghadiri sekurang-kurangnya empat program utama membabitkan kumpulan tertentu dengan kehadiran dijangka dalam jumlah yang besar di sekitar Petaling Jaya dan Subang Jaya.

Seawal pukul 7 malam, Anwar bersama anggota keluarganya termasuk kenalan rapat serta penyokong setianya akan menunaikan solat Maghrib dan solat hajat di kediamannya di Bukit Segambut.

Kemudiannya sekitar pukul 8.30 malam, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dijadual akan menghadiri 'Pidato Umum' anjuran persatuan mahasiswa di Dataran DTC, Universiti Malaya (UM).

Bagaimanapun difahamkan pengurusan UM sudah mengeluarkan arahan larangan menyertai program berkenaan kepada  pelajarnya kerana penganjurannya dibuat tanpa kebenaran pihak pusat pengajian tinggi itu.

Selain itu, menerusi hebahan media yang dihantar Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat, Fahmi Fadzil, Anwar yang juga Ketua Umum PKR turut dijadual menghadiri program makan malam bagi meraih dana bersama Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) di Dewan Sivik, MBPJ pada pukul 9.30 malam.

Sebagai acara kemuncak, Anwar bakal mengakhiri programnya di Stadium Mini 3K, MPSJ di Subang Jaya dalam Himpunan Solidariti untuknya kira-kira pukul 11 malam.

Anwar sebelum ini disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara yang dikenakan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu selepas mendapatinya bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Anwar, 67, didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sekiranya beliau gagal dalam rayuan ini, kelayakannya sebagai ahli Parlimen boleh dilucutkan berdasarkan Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan bahawa kelayakan seseorang ahli Parlimen boleh dibatalkan sekiranya dijatuhi hukuman penjara lebih daripada setahun atau denda lebih daripada RM2,000.

Larangan Tukang Masak Asing Di P.Pinang Bukan Diskriminasi - Guan Eng


Diterbitkan: Isnin, 27 Oktober 2014 9:48 AM
Lim Guan Eng

PETALING JAYA: Kehebatan rasa makanan di Pulau Pinang adalah alasan kukuh untuk negeri itu berusaha melakukan apa yang termampu bagi melindunginya, walaupun terpaksa mengambil langkah-langkah yang sukar, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Dalam satu kenyataan pada Ahad, Ahli Parlimen Bagan (DAP) itu berpendapat bahawa melarang warga asing daripada menjadi ketua atau ketua tukang masak untuk makanan tempatan Pulau Pinang pada tahun 2016 bukanlah diskriminatif.

"Bagaimana keputusan ini boleh menjadi tidak demokratik atau diskriminasi apabila ia bertujuan untuk melindungi keunikan makanan Pulau Pinang, gerai-gerai kecil harus dioperasikan oleh pemilik dan pekerja asing boleh membantu penjaja dalam tugas-tugas lain?" kata Guang Eng sebagai respons terhadap kritikan terhadap pentadbirannya berhubung langkah terbaharu untuk melindungi apa yang dianggap sebagai aset budaya di negeri ini.

Beliau berpendapat bahawa kelaziman pekerja asing yang tidak cekap tidak boleh diserahkan kepada kuasa pasaran, memandangkan makanan penjaja adalah salah satu daripada tarikan utama di Pulau Pinang.

"Tidak seperti bandar-bandar lain, pelancong datang ke Pulau Pinang untuk makanan, dan kerajaan negeri tidak akan mengambil risiko terhadap industri pelancongan kita dengan membenarkan pekerja asing yang acuh tak acuh membahayakan penjenamaan makanan jalanan yang lazat Pulau Pinang," kata Guan Eng.

Guan Eng bagaimanapun menjelaskan bahawa keputusan itu tidak menghalang rakyat Malaysia dari negeri lain untuk mendapatkan lesen penjaja di negeri ini.

"Jika kita inginkan rasa yang unik dan kualiti makanan Pulau Pinang bertaraf dunia dikekalkan, kita harus bermula sekarang untuk memastikan bahawa rakyat Malaysia harus mengambil alih tugas sebagai tukang masak, dan tidak melalui pergantungan kepada pekerja asing, yang mana kepakarannya akan hilang apabila mereka pulang ke rumah," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri cukup gembira apabila web panduan pelancongan terkemuka, TripAdvisor, meletakkan Pulau Pinang sebagai pulau di Malaysia yang paling murah di Asia Tenggara.

Penubuhan JIPS: Bukit Aman Digesa Periksa Pegawai Atasan Terlebih Dahulu


Diterbitkan: Isnin, 27 Oktober 2014 10:13 AM

PETALING JAYA: Pembentukan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman (JIPS) dilihat sebagai satu langkah yang baik.

Penjawat awam, Zakiah Ahmad, 32, berkata ketika ia dianggap satu idea yang mulia, pihak polis perlu mula menyaring pegawai kanan mereka terlebih dahulu bagi membuktikan bahawa jabatan itu benar-benar bertanggungjawab.

"Saya suka dengan idea untuk membasmi rasuah dan salah laku dalam pasukan, dan saya juga percaya bahawa JIPS boleh melakukan perubahan jika ia dijalankan dengan betul dan telus.

"JIPS harus bermula dengan membuat pemeriksaan secara rawak ke atas pegawai-pegawai kanan dahulu," katanya.

Pengamal media P. Priyya, 47, turut menyambut baik usaha itu tetapi mempersoalkan bagaimana Ujian integriti akan dilakukan.

"Keprihatinan utama saya adalah, adakah ada orang yang berani untuk melakukan pemeriksaan rawak terhadap pihak atasan mereka?

"Saya rasa terdapat keperluan untuk sebuah badan yang bebas melakukan siasatan bagi memastikan integriti polis," katanya.

Turut bersetuju, jurutera Eugene Ong, 29, yang berkata pihak bebas diperlukan untuk menjamin bahawa perlanggaran salah laku di antara anggota polis dapat dibanteras.

"JIPS melaporkan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

"Saya tertarik untuk mengetahui bagaimana mereka akan memastikan bahawa semua orang dalam pasukan polis, termasuk Ketua Polis Negara, akan diteliti atau diperiksa.

"Jika ada sebuah Suruhanjaya Bebas, sekurang-kurangnya kita tahu mereka tidak akan mempunyai apa-apa kepentingan dalam melindungi pegawai tertentu," katanya.

Bekas penjawat awam Baharuddin Mohd Zain, 59, berkata statistik perlu diumumkan kepada orang ramai untuk membuktikan keberkesanan jabatan.

"Pegawai-pegawai JIPS juga harus diberikan kuasa khas untuk mengenal pasti 'anggota bermasalah' dalam pasukan tanpa perlu menghadapi konsekuensi akibat pendedahan yang dilakukan oleh mereka.

"Tidak ada gunanya membentuk jabatan jika pegawai atasan terkecuali daripada semua pemeriksaan rawak," katanya.

Isnin lalu, satu pertemuan antara Ketua Polis Negara, JIPS dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah diadakan di Bukit Aman bagi membincangkan bagaimana
untuk membanteras isu-isu seperti salah laku dan rasuah dalam pasukan itu.

Laporan Bumi Dilanda Ribut Solar Palsu


Diterbitkan: Isnin, 27 Oktober 2014 12:00 PM
Imej yang disediakan Nasa pada September 2014 menunjukkan ada tanda percikan solar yang berkait dengan kejadian ribut solar.

PETALING JAYA: Laporan sebuah portal dalam talian bahawa bumi akan berada dalam kegelapan dari 21-23 Disember kerana ribut solar adalah satu penipuan, menurut Agensi Angkasa Negara (Angkasa) dalam satu kenyataan, Isnin.

"Artikel tersebut memetik Presiden Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) Charles Bolden yang menurut portal itu berita itu terdapat di laman web agensi ruang angkasa tersebut.

"Bagaimanapun, tidak ada berita seperti di laman web NASA. Sumber-sumber lain yang dipetik dalam cerita itu juga tidak dapat ditemui, justeru membuktikan berita itu palsu," kata Angkasa.

Menurut portal berita itu, Nasa didakwa mengesahkan bahawa akan berlaku keadaan gelap sepenuhnya selama tiga hari pada tahun ini disebabkan oleh ribut solar.

Angkasa, dalam satu kenyataan berkata ribut solar tidak akan menyebabkan bumi gelap.

"Bumi dilindungi oleh lapisan magnet (magnetosfera), yang menyebabkan ribut solar dipesongkan. Ribut itu menjadi lemah sebelum memasuki bumi.

"Apabila sisa ribut memasuki bumi, ia dilepaskan sebagai aurora di hemisfera selatan dan utara," katanya.

Angkasa juga berkata penipuan ini telah terjadi sejak sekitar 2012 dan portal tersebut juga menyebarkan khabar angin bahawa kiamat akan berlaku pada Disember 2012.

Harap Tekanan Untuk Bebaskan Anwar Tak Benar - Saiful Bukhari


Diterbitkan: Isnin, 27 Oktober 2014 12:10 PM
Mohd Saiful Bukhari Azlan

KUALA LUMPUR: Mohd Saiful Bukhari Azlan berharap pendengaran rayuan terakhir Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Persekutuan berhubung aduan kes liwat terhadapnya tidak dipengaruhi oleh tekanan pihak luar.

Bagaimanapun bekas pembantu peribadi ketua pembangkang itu berkata, beliau yakin mahkamah tertinggi itu akan membuat keputusan dengan adil berdasarkan bukti yang dikemukakan.

"Sebagai pengadu dan rakyat kecil, saya berkeyakinan penuh bahawa Mahkamah Persekutuan akan mendengar lalu memutuskan kes ini dengan seadil-adilnya mengikut undang-undang, bukti dan semua keterangan sepanjang perbicaraan.

"Saya berdoa agar segala pengaruh mahupun tekanan dari pihak tertuduh, pihak luar, juga anasir politik yang cuba mempengaruhi (keputusan) agar beliau dibebaskan adalah suatu yang tidak benar," katanya di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan yang dimuat naik di blognya, www.mohdsaifulbukhari.blogspot.com.

Pada Selasa dan Rabu ini, Mahkamah Persekutuan akan mendengar rayuan terakhir Anwar berhubung kes liwat keduaanya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh sebelum ini disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara yang dikenakan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu selepas mendapatinya bersalah meliwat Mohd Saiful.

Anwar, 67, didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mengulas lanjut Mohd Saiful berkata, beliau sudah bersedia menghadapi sebarang keputusan berhubung kesnya itu.

"Sudah menjadi kebiasaan bagi diri saya dalam menghadapi sesuatu perkara untuk siapkan diri berhadapan dengan senario paling teruk.

"Yang pasti, jika ditakdirkan keputusan nanti tidak berpihak kepada saya, saya akan tetap Istiqamah dengan kebenaran ini walau betapa perit sekalipun untuk ditanggung, kerana saya yakin bahawa Allah SWT tidak akan menzalimi hambaNya yang tegakkan kebenaran," katanya.

Rakyat Ukraine keluar mengundi Ahad depan


Kakitangan suruhanjaya pilihan raya daerah menyediakan peti undi menjelang pilihan raya Parlimen minggu depan. - Foto: AFP
Kakitangan suruhanjaya pilihan raya daerah menyediakan peti undi menjelang pilihan raya Parlimen minggu depan. - Foto: AFP
KIEV - UKRAINE. Kira-kira 36 juta pengundi di Ukraine akan keluar mengundi Ahad depan untuk memilih Parlimen sekali gus mengukuhkan lagi mandat Presiden Petro Poroshenko untuk menamatkan konflik pemisah di timur negara itu.

Parti Poroshenko dan kumpulan politik pro Barat lain diramalkan akan meraih kemenangan mudah dengan majoriti 450 kerusi di Parlimen.

Bagaimanapun, pemerhati meragui kerajaan baharu yang dijangka dibentuk awal minggu depan berupaya melakukan banyak perkara untuk mengakhiri pertempuran di timur negara terbabit.

Difahamkan, secara keseluruhan 36 juta rakyat Ukraine layak mengundi. Namun, pengundian terhad kepada kawasan dikawal kerajaan di mana sejumlah 3 juta penduduk yang tinggal di timur daerah Donetsk dan Luhansk tidak mengambil bahagian dalam laporan dpa.

Parti pro-Eropah menang dalam pilihan raya Ukraine

MOSCOW: Timbalan Menteri Luar Russia Grigory Karasin berkata pilihan raya Parlimen di Ukraine boleh membuka ruang untuk keamanan di kawasan timur negara berkenaan.
Namun laporan agensi berita RIA melaporkan, beliau memberi amaran bahawa kewujudan golongan 'nasionalis' boleh menggugat proses berkenaan.
Keputusan awal menunjukkan parti pro-Eropah memperoleh kemenangan jelas dalam pilihan raya di Ukraine itu, yang pertama diadakan sejak bantahan di jalan raya yang menyingkir pemimpin pro-Russia, Viktor Yanukovich, awal tahun ini.
"Parti yang menyokong penyelesaian krisis dalaman Ukraine dengan secara aman menang majoriti.
"Ini memberi mereka peluang baharu untuk kembali kepada perjanjian yang dibuat di Minsk," kata Karasin, merujuk kepada perjanjian yang dibuat oleh Kiev, Moscow dan pemisah pro-Russia di timur Ukraine.
Presiden Ukraine Petro Poroshenko yang pro-Barat menyambut baik keputusan pilihan raya itu dan menyifatkannya sebagai sokongan popular bagi perancangannya untuk menamatkan pemberontakan pro-Russia di timur dan meneruskan langkah pembaharuan. - REUTERS

Anak cergas kerana ayahnya soleh


http://detikislam.blogspot.com | .
AL HAFIDZ AHMAD BIN SHIDDIQ AL Ghumari ketika menuntut ilmu di Al Azhar, dia cepat memahami kitab-kitab yang dia baca di hadapan para gurunya. Sehingga dalam waktu singkat dia sudah mengkaji kitab-kitab tahap tinggi.

Pada suatu hari ketika Syeikh Muhammad Imam Saqqa yang ketika itu memegang jawatan sebagai imam masjid Al Azhar mengatakan kepada Syeikh Ahmad bin Shiddq Al Ghumari, "Ayahmu pasti seorang lelaki yang soleh. Yang berlaku padamu ini adalah keberkatannya tanpa diragukan. Sesungguhnya kami tidak mengetahui ada yang mampu untuk belajar dengan secepat ini.

Sesungguhnya penuntut ilmu yang ada pada kami tidak akan menghadiri kajian Al Asymuni atau As Shaban, kecuali setelah mempelajari nahu selama 6 tahun serta telah membaca Al Ajrumiyah dan Al qathr serta mengulanginya. Sedangkan engkau mengambil masa hanya tiga bulan ". (Bahr Al amiq, 1/60-61)

* Diterjemahkan oleh Detik Islam dari sumber www.hidayatullah.com