Tuesday, October 21, 2014

Pemuda PAS WP Bimbang Selepas 'I want To Touch A Dog', Umat Islam Diajak Zina


Diterbitkan: Selasa, 21 Oktober 2014 3:08 PM
Nurul Islam Mohamed Yusof

PETALING JAYA: Selepas berlalunya program 'I want to touch a dog' PAS bimbang umat Islam akan diajak mengambil bahagian dalam acara seks pula pada masa akan datang.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Nurul Islam Mohamed Yusof berkata terdapat kerisauan yang berasas terhadap penganjuran acara-acara seperti 'Topless Friday' dan 'Octoberfest' di negara ini baru-baru ini.

"Kerisauan kita berasas. Dengan penganjuran 'Topless Friday' pada awalnya, diikuti dengan 'Octoberfest', kemudian disusuli dengan 'I Want to Touch a Dog', kita khuatir esok lusa pula dianjurkan pula kempen 'Sex & Condom' dengan rasional 'safe sex' bagi mengelakkan HIV/AIDS menular kononnya.


"Sikap menentang penganjuran ini kerana menganggapnya sebagai ancaman kepada nilai beragama dan berbudaya di negara ini bukanlah kerana paranoid, sebaliknya ia adalah lahir dari rasa tanggungjawab untuk memelihara kesucian agama Islam dan keharmonian hidup dalam lingkungan masyarakat majmuk," kata Nurul Islam dalam satu kenyataan pada Selasa.


Beliau juga menyeru umat Islam untuk meningkatkan kefahaman ilmu Islam dan penghayatan terhadapnya dalam diri dan keluarga masing-masing serta masyarakat sekeliling.

"Diharapkan pencegahan program seumpama ini dapat dibuat lebih awal sebelum ia dilaksanakan pada masa-masa akan datang," katanya.

Warga Gipsi Kini Tidak Dialu-alukan Di Perancis


Diterbitkan: Selasa, 21 Oktober 2014 6:56 PM
Presiden Perancis, Francois Hollande dan Perdana Menterinya, Manuel Valls kini semakin cenderung ke haluan kanan yang menyaksikan sikap anti Kesatuan Eropah dan anti imigran.

PARIS: Pendatang dari negara-negara Kesatuan Eropah (EU) khususnya komuniti Gipsi Roma tidak lagi bebas keluar masuk Perancis kerana peraturan baru yang akan diperkenalkan oleh negara itu memperuntukkan larangan ke atas mana-mana individu yang dilihat memiliki ‘sikap peribadi’ yang boleh dianggap sebagai mengancam keselamatan negara dan juga ketenteraman awam.
Peraturan yang dilihat sebagai kabur dan terlalu umum itu boleh digunakan untuk menghalang sesiapa sahaja daripada memasuki Perancis - dari seorang pendatang dengan rekod jenayah silam sehinggalah kepada sesiapa yang dilihat tidak sesuai atau tidak boleh menyesuaikan diri dengan budaya dan masyarakat tempatan seperti komuniti Gipsi dari Romania dan Bulgaria.
Peraturan baru itu dibuat selepas Presiden Suruhanjaya Eropah, Jose Manuel Barroso memberi amaran kepada Britain bahawa hasrat negara itu untuk meletakan had kedatangan pendatang dari negara-negara anggota EU adalah satu tindakan yang bertentangan dengan EU.
Keputusan yang diambil oleh Kerajaan Sosialis Perancis yang berhaluan kanan ini dilihat sebagai cuba untuk menghalang kemasukan masyarakat gipsi Roma atau gengster dari Eropah Timur.
Walaupun prinsip asas EU adalah untuk membuka kebebasan pergerakan kepada anggota-anggota badan tersebut tetapi Perdana Menteri Perancis, Manuel Valls tidak syak lagi mahu memastikan mereka yang 'tidak sesuai' tidak menjadikan Perancis sebagai tempat persinggahan.
Antara lain, Valls berkata dia tetap dengan pendirian asal kerajaannya untuk menghalau keluar pendatang-pendatang Gipsi Roma yang datang dari Bulgaria dan Romania yang juga merupakan ahli EU.
Pengembara Gipsi ibarat 'orang Asli' di benua Eropah dan mereka berpindah randah sejak zaman berzaman dalam satu kumpulan. Sebahagian besarnya membentuk kumpulan sarkas dan mengadakan pertunjukkan di serata Eropah.
Tahun ini sahaja 10,000 warga Gipsi Roma telah dihalau keluar dari Perancis.
Valls menegaskan hanya segelintir sahaja yang berjaya 'menyesuaikan' diri dalam kehidupan masyarakat Perancis manakala majoriti yang lain harus dihantar balik ke sempadan kerana penglibatan mereka dengan jenayah, meminta sedekah dan mencuri.
Perancis di bawah kerajaan sosialis Francois Hollande semakin cenderung ke arah sayap kanan dengan kempen anti imigran dan anti EU.
Langkah ini bagaimanapun mendapat sokongan sebahagian besar rakyat Perancis.
Sejak Valls menjadi perdana menteri Perancis, dia telah mengarahkan khemah-khemah masyarakat Gipsi dirobohkan dan mereka dihantar kembali ke sempadan.
"Kita tidak mengalu-alukan kedatangan mereka (Gipsi Roma) dan bukan menjadi tanggungjawab Perancis untuk berurusan dengan kesengsaraan di seluruh dunia," tegas Valls.

Dalang bukan Islam



am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) sudah mengenal pasti seorang individu bukan Islam untuk membantu siasatan penyebaran ajaran Millah Ibrahim.

Ia susulan tangkapan 22 individu, termasuk lima wanita, dan tujuh kanak-kanak dalam operasi di sebuah rumah kedai, Jalan Cheras, malam semalam.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, surat perintah hadir ke jabatan itu sudah dikeluarkan kepada individu terbabit bagi untuk membantu siasatan pihak berkuasa.



"JAWI sudah mengenal pasti individu terbabit yang bukan beragama Islam untuk membantu siasatan. Kita mendapati ajaran sesat itu tersebar sejak tahun lalu di Lembah Klang," katanya pada sidang media selepas menghadiri Konvensyen Pengurusan Masjid/Surau dan Pegawai Masjid Wilayah Persekutuan 2014 di Masjid Wilayah, di sini.

Mengulas operasi malam semalam, Jamil Khir berkata,JAWI turut merampasdua naskhah al-Kitab dan al-Kitab versi kanak-kanak, al-Quran dan terjemahan serta buku nota serta peralatan komputer ketika kesemua mereka sedang mendengar ceramah dalam sebuah kelas, dikendalikan seorang lelaki berusia 40-an.

Katanya siasatan awal mendapati pengikut ajaran berkenaan turut mengaku adanya nabi lain selepas Nabi Muhammad SAW.

Katanya, JAWI akan terus memantau apa juga bentuk ajaran sesat yang didapati bertentangan dengan hukum syarak serta bersalahan dengan undang-undang.

“JAWI sedang mengenal pasti jumlah sebenar pengikut ajaran sesat itu, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung individu yang mengamalkan ajaran tersebut boleh tampil ke pejabat Jawi untuk bantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 8:42 PM


KUMPULAN ajaran sesat yang diserbu JAWI semalam. FOTO Fardy Bungga
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/3357#sthash.hBvnLCS7.dpuf

Ada ahli politik dibiayai hasil judi haram


Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi
PUTRAJAYA - Terdapat ahli politik dipercayai dibiayai dengan hasil pendapatan daripada pusat perjudian haram di tiga kawasan iaitu pekan Kuala Sepetang, Bagan Panchor dan Pulau Kuala Sangga di Perak.
  
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, meskipun tidak terlibat secara langsung tetapi ada ahli politik yang dikesan dibiayai dengan hasil pusat perjudian haram tersebut.
  
"Tidak ada ahli politik yang terlibat secara langsung tetapi mungkin ada yang memperolehi wang daripada pendapatan hasil perjudian itu untuk melakukan kegiatan politik.
  
"Berdasarkan laporan yang saya perolehi ada ahli politik yang terlibat...saya tidak mahu menuduh, tetapi jika mahu pembuktian pihak polis ada bukti," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
  
Beliau berkata, dalam masalah perjudian atau kegiatan jenayah sepatutnya mana-mana ahli politik tidak bersekongkol dengan individu atau pertubuhan haram.

Ahmad Zahid diminta mengulas laporan akhbar mengenai kegiatan perjudian di tiga kawasan berkenaan yang dikatakan kebal untuk ditembusi pihak berkuasa.
  
Sehubungan itu, beliau berharap pihak parti politik dapat mengambil tindakan terhadap ahli-ahlinya yang terlibat dibiayai dengan kegiatan perjudian haram.
  
"Kami juga mohon kerjasama orang ramai, bukan sahaja melaporkan tetapi bersama-sama mengambil tindakan dengan pihak berkuasa, kerana apa yang berlaku sekarang bila ada permintaan maka adalah penawaran," katanya. - Bernama

Milah Abraham: Lelaki dipanggil Jawi bantu siasat


Foto Sinar Harian
Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR - Jabatan Agama Islam (Jawi) mengeluarkan surat perintah hadir ke Jawi kepada seorang lelaki yang dipercayai dapat membantu siasatan berhubung ajaran sesat Milah Ibrahim@Abraham.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir berkata, ia adalah susulan tangkapan 22 individu termasuk lima wanita dan tujuh kanak-kanak dalam operasi di sebuah rumah kedai, Jalan Cheras, malam semalam.

"Kita mendapati ajaran sesat tersebut difahamkan tersebar sejak tahun lalu di Lembah Klang, Jawi telah mengenalpasti individu tersebut," katanya.

Menurutnya, kesemua individu yang ditahan itu disiasat di bawah Seksyen 4, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 atas kesalahan disyaki doktrin palsu dan Seksyen 5 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 atas kesalahan disyaki mengembangkan doktrin agama.

"Kita turut merampas dua kitab anak, al-kitab, al-Quran dan terjemahan dan buku nota serta peralatan komputer," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jawi, Paimuzi Yahya berkata, pihaknya melakukan risikan sejak tiga bulan lalu.

"Kita cuba melakukan beberapa serbuan tetapi ada halangan," katanya.

Katanya, pengikut ajaran tersebut dipercayai terdapat nabi selepas Nabi Muhammad SAW dan mereka turut tidak menunaikan solat.

"Kita mendapat laporan daripada keluarga yang ditahan. Kita mohon orang awam yang dapat mengesan ahli yang mengamalkan ajaran tersebut boleh tampil ke Jawi untuk bantu siasatan," katanya.

Kempen sentuh anjing: Jakim dakwa ada agenda


anjing
SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendakwa kempen sentuh anjing "I Want to Touch a Dog' dikhuatiri mempunyai agenda terselindung dan secara jelas dilihat seolah-olah cuba mencipta budaya baharu dalam masyarakat di negara ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha juga berkata, penganjuran kempen itu juga boleh membawa kepada perbuatan yang cenderung untuk menghina.

"Malaysia adalah sebuah negara yang berpegang kepada mazhab Syafie sebagai mazhab rasmi.

"Justeru, peranan Jakim adalah untuk memastikan umat Islam di negara ini mengamalkan syariat yang tidak menyalahi mazhab Syafie.

"Hal ini sekaligus telah menimbulkan keresahan awam khasnya di kalangan umat Islam kerana secara jelas telah menyanggah pegangan mazhab dan ‘uruf/adat di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan medianya, hari ini.

Kempen sentuh anjing "I Want to Touch a Dog" merupakan anjuran Syed Azmi Alhabshi bertempat di Central Park, Bandar Utama, Selangor, semalam.

Acara tersebut dianjurkan didakwa bagi membantu orang ramai terutamanya yang beragama Islam untuk mengatasi persepsi negatif terhadap anjing.

Kempen itu juga turut memberi peluang kepada orang ramai yang beragama Islam untuk menyentuh anjing sambil diperhatikan oleh pemilik haiwan berkenaan.

Dalam pada itu, Jakim menegaskan mazhab Syafie, melarang penganutnya menyentuh anjing secara sengaja kerana perbuatan menajiskan diri tanpa tujuan yang munasabah adalah haram di sisi Islam.

"Walaupun Islam meletakkan kaedah sertu apabila terkena najis yang dikategorikan sebagai ‘mughallazah’ namun kaedah tersebut bukanlah alasan untuk membolehkan seseorang itu memegang najis mughallazah secara sengaja.

"Tindakan tersebut samalah seperti orang yang sengaja melakukan dosa dengan alasan akan bertaubat kemudiannya," jelasnya.

Bagaimanapun menurut Jakim lagi, Islam tidak memandang keji kepada binatang anjing sebagai salah satu makhluk ALLAH, apatah lagi untuk menyeksa, memukul dan membunuh anjing tanpa sebab adalah sama sekali bertentangan dengan ajaran  Islam.

"Anjing tetap wajar diberi kasih sayang, belas ehsan dan dijaga kebajikannya.

"Walau bagaimanapun, dalam Mazhab Syafie, umat Islam tidak dibenarkan untuk menjadikan haiwan tersebut sebagai binatang peliharaan," katanya lagi.

Sehubungan itu, Jakim bercadang untuk memanggil pihak penganjur kempen itu untuk mendapatkan penjelasan selanjutnya.

Kucing jadi inspirasi kanak-kanak autisme

Kucing jadi inspirasi kanak-kanak autisme

PENYAKIT autisme yang dihidapi Iris Grace Halmshaw, 5, mungkin memberinya masalah untuk berkomunikasi hingga menjejaskan pertuturan dan menyukarkannya menyampaikan isi hati.

Namun, sejak kanak-kanak istimewa ini mula melukis ketika masih berusia 3 tahun, dia mampu menyampaikan perasaannya melalui lukisan yang dihasilkan. Menariknya, Iris seakan mendapat inspirasi daripada Thula, seekor kucing yang sentiasa berada di sisinya.

Kini, dia mengisi hari-harinya dengan melukis dan lukisannya pernah dijual pada harga 1,500 pound (RM8,000).

Menurut ibunya, Carter-Johnson, hubungan anaknya dengan Thula sangat rapat hingga dia menghabiskan banyak masa dengan kucing itu termasuk mandi, makan dan keluar bersiar-siar bersama.

Difahamkan, sebelum ini, mereka pernah cuba memperkenalkan Iris dengan kuda dan anjing. Namun, semuanya tidak berjaya hinggalah Thula tinggal bersama keluarganya di Market Harborough, Leicestershire, di England.

Bagi bapanya Peter-Jon, Thula dianggap sebagai pintu baharu komunikasi untuk anaknya dan Iris juga dilihat lebih bahagia sejak adanya kucing itu sebagai teman.

Rumah kucing jalanan


Rumah kucing jalanan
NASIB ratusan ribu kucing jalanan di Beijing bakal terbela dengan ciptaan 'rumah' yang direka di bawah projek MAOer Hutong hasil cetusan idea Okamoto Deguchi Design (ODD).

Kira-kira enam tahun lalu, majlis perbandaran terpaksa 'membersihkan' bandar berkenaan yang menjadi 'kediaman tetap' haiwan tersebut sebagai persediaan untuk menganjurkan temasya Olimpik.

Bagaimanapun, ia tidak dapat mengurangkan populasi kucing jalanan di Beijing dan situasi itu telah mencetuskan idea kreatif untuk menghasilkan rumah terbabit.

Memetik laporan WebEcoist, rekaan kotak kayu itu akan ditempatkan di permukaan atap kediaman penduduk di bandar tersebut.

Kotak kayu berkenaan juga berfungsi untuk memberi ruang yang kering dan selesa untuk kucing jalanan menjadikan ia sebagai tempat berteduh.

Selain itu, permukaan bawah kotak yang berlubang didakwa dapat melindungi jubin bumbung daripada rosak dan turut menjadi penebat tambahan.

Angelina Jolie pejuang nasib pelarian


BINTANG Hollywood ini sememangnya dikenali kerana trademark bibir seksinya. Selain bergelar pelakon, Angelina Jolie turut terlibat dalam kerja amal di negara bergolak dan dilantik sebagai Duta Khas serta merupakan bekas Duta Muhibah Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).
Jolie terlibat secara aktif dengan kerja amal di wilayah bergolak
Jolie terlibat secara aktif dengan kerja amal di wilayah bergolak
Kehidupan Awal

Angelina Jolie Voight, puteri kepada pelakon, Jon Voight dan aktres, Marcheline Bertrand ini dilahirkan pada 4 Jun 1975 di Los Angeles, California, Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun, beliau diletakkan di bawah jagaan ibunya selepas pasangan tersebut bercerai pada 1976.

Ketika berumur enam tahun, Jolie bersama ibu dan bapa tirinya berpindah ke Palisades, New York sebelum kembali semula ke Los Angeles kira-kira lima tahun kemudian.

Beliau nekad untuk menceburkan diri dalam bidang lakonan dan memasuki Institut Teater Lee Strasberg, di mana Jolie dilatih selama dua tahun serta pernah terlibat dalam beberapa produksi pentas.

Ketika berumur belasan tahun, beliau juga pernah menjadi model fesyen di Los Angeles, New York dan London.

Siapa sangka pelakon ini pernah mengalami episod kemurungan ketika remaja sehingga awal usia 20-an.

Mula bersinar

Bintang Jolie mula bersinar selepas beliau memulakan karier profesionalnya sebagai pelakon utama pada 1993 menerusi sekuel sains fiksyen, Cyborg 2 dan disusuli dengan beberapa filem lain.

Pada 1998, lakonan mantapnya menerusi filem berjudul Gia yang memaparkan kisah tragik model Gia Marie Carangi telah melayakkan beliau untuk menerima anugerah Aktres Terbaik Anugerah Golden Globe.

Kira-kira setahun kemudian, Jolie berjaya memenangi kategori Pelakon Pembantu Terbaik di Anugerah Akademi menerusi filem Girl, Interrupted.

Beliau terus diberi kepercayaan untuk memegang watak mencabar dalam pelbagai genre filem seperti Lara Croft: Tomb Raider (2001), Taking Lives (2004), Mr and Mrs Smith (2005) dan The Good Shepherd (2006).

Pada 2007, Jolie tampil cemerlang menerusi filem A Mighty Heart dan beliau terus beraksi cemerlang di bawah filem thriller di bawah arahan Clint Eastwood berjudul Changeling.

Aktres berbakat besar itu turut memegang watak ejen Agensi Perisikan Pusat (CIA), Evelyn Salt menerusi filem penuh aksi, Salt pada 2010.

Pada tahun sama, Jolie tampil menerusi filem The Tourist bersama aktor, Johnny Depp dan disusuli filem Maleficent sebagai pari-pari antagonis.

Dekati golongan pelarian

Hati wanitanya terusik dengan kesan krisis kemanusiaan ketika menjalani penggambaran Lara Croft: Tomb Raider di wilayah bergolak Kemboja pada 2001.

Susulan daripada itu, Jolie mula terlibat dengan kerja amal dan melawat sendiri ke kem pelarian di seluruh dunia.

Beliau menyertai misi kemanusiaan pertama selama 18 hari di Sierra Leone dan Tanzania bersama UNHCR.

Beberapa bulan kemudian, Jolie kembali semula ke Kemboja dan turut bertemu dengan pelarian Afghanistan di Pakistan, di mana beliau bermurah hati mendermakan AS$1 juta (RM3 juta) kepada tabung kecemasan UNHCR.
Jolie dilantik sebagai Duta Muhibah UNHCR di Geneva di atas sumbangan beliau menerusi kerja amal dan misi kemanusiaan.
Selepas lebih sedekad, Jolie dinaikkan pangkat sebagai Duta Khas PBB pada 17 April 2012 yang berperanan besar untuk membantu golongan pelarian.
Beliau mengadakan lawatan pertama ke Ecuador, di mana Jolie bertemu dengan pelarian Colombia.
Wanita tersebut turut turun padang bersama Pesuruhjaya Tinggi UNHCR, Antonio Gutteres ke Jordan, Lubnan, Turki dan Iraq.
Tahun lalu, usaha kerasnya berkempen menuntut hak asasi pelarian di seluruh dunia diiktiraf selepas beliau menerima Anugerah Kemanusiaan Jean Hersholt dari Akademi Sains dan Seni Filem AS.

Penahanan Tanpa Bicara Perlu Dalam Antikeganasan - Pakar


Diterbitkan: Selasa, 21 Oktober 2014 10:38 AM

KUALA LUMPUR: Penahanan tanpa bicara perlu diserapkan ke dalam Akta Antikeganasan jika kerajaan benar-benar serius mahu mewujudkan undang-undang baharu bagi membanteras aktiviti keganasan di negara ini, kata seorang pakar undang-undang.
Bagaimanapun, Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed menyarankan kerajaan menetapkan tempoh maksimum setahun sahaja bagi penahanan tersebut untuk memberi ruang pihak berkuasa menyiasat dan mendapatkan bahan bukti.
Tempoh penahanan dua tahun yang dilaksanakan menerusi Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum ini berkemungkinan terlalu lama dan boleh menimbulkan bantahan daripada sesetengah pihak, kata Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia itu kepada Bernama.
Ahmad Martadha mengulas cadangan Kementerian Dalam Negeri memperkenal Akta Antikeganasan sebagai akta baharu bagi memerangi kegiatan keganasan dan mencegah usaha merekrut sukarelawan kononnya atas nama 'jihad'.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan sebagai berkata akta yang dicadangkan itu antara lain akan memperkuat lagi undang-undang sedia ada iaitu Akta Kesalahan, Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Undang-Undang Pencegahan Jenayah (Poca).
Ahmad Martadha berkata Amerika Syarikat, menerusi Akta Patriot turut menggunakan penahanan tanpa bicara, dan "pesalah akan ditahan di Guantanamo Bay dalam suatu tempoh lama sebelum dihadapkan ke mahkamah".
Selain itu, hukuman penjara seumur hidup atau dengan tempoh yang lama juga wajar dimasukkan sebagai sebahagian hukuman dalam Akta Antikeganasan supaya dapat mencegah individu yang berniat terlibat dalam aktiviti keganasan, katanya.
Melihat ancaman ekstremisme ketika ini kian menjadi-jadi dan semakin membimbangkan, beliau berkata bukan hanya undang-undang, malah pasukan petugas khas juga amat diperlukan bagi mengkaji dan mengawasi penularan ancaman ini agar aktiviti membanteras dapat diselaraskan dengan akta yang dicadangkan itu.
"Seperti di Sabah, kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas antara lain dianggotai polis dan tentera bagi menangani isu perairan negara, maka, pasukan seumpama ini wajar ditubuhkan khusus bagi menangani isu ekstremisme," katanya.
Ahmad Martadha berkata jika cadangan memperkenal Akta Anti-Keganasan ini direalisasikan, ia akan menjadi mekanisme penting untuk tindakan pencegahan bagi menghalang tindakan yang boleh mengancam keselamatan negara.
"Apabila ISA dimansuhkan, negara tidak ada peruntukan undang-undang khusus mengekang aktiviti yang mengancam keselamatan, dan ini amat membimbangkan," katanya.
Pandangan sama diberikan Pakar Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz yang berkata mekanisme pencegahan adalah penting bagi membanteras aktiviti keganasan daripada berleluasa.
"Kita memerlukan undang-undang pencegahan kerana tanpanya, kita akan mengalami kebimbangan seperti sekarang ini...kebimbangan mengenai menularnya aktiviti militan, tindakan agresif yang boleh mengancam keselamatan bukan sahaja individu tetapi negara," jelasnya.
Justeru, kesedaran mengenai pentingnya undang-undang pencegahan dalam sesebuah negara adalah perlu agar rakyat benar-benar memahami peranan undang-undang diwujudkan bagi menjaga keselamatan negara dan rakyat, katanya.

Pendatang: Sudah lama merdeka, tak perlu sindir menyindir


MUHAMMAD FAIZAL | .
KUALA LUMPUR: PAS kecewa dengan kenyataan perwakilan parti Gerakan Johor, Tan Lai Soon yang boleh menimbulkan suasana ketegangan kaum apabila mengatakan orang Melayu juga pendatang.

Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Mahfuz Omar berkata, dalam keadaan Malaysia yang sudah lama merdeka, kenyataan siapa pendatang atau penduduk tetap tidak wajar dikeluarkan lagi.

"Tidak perlu untuk kita persoalkan siapa pendatang atau siapa penduduk tetap sebab penduduk yang ada di negara ini semua dilahirkan di Malaysia.

"Kita hidup dalam sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum, sepatutnya kita menghormati sesama sendiri tanpa perlu menyindir mana-mana kaum," katanya kepada Harakahdaily.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, bukan sahaja soal penghinaan terhadap kaum Melayu, tetapi mana-mana kaum sekalipun tidak wajar dihina dengan isu yang sensitif.

"Gerakan perlu berhati-hati dalam membuat kenyataan kerana ia boleh menimbulkan keadaan yang tidak elok.

"Ini merupakan didikan yang dibawa Umno yang sering memainkan isu perkauman sehingga rakan mereka sendiri berani mengeluarkan kenyataan sedemikian," jelasnya.

Sementara itu Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad memberitahu semua pihak perlu memberi tumpuan kepada soal pembangunan negara serta kebajikan rakyat dan bukannya mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan pergaduhan.

Katanya, dalam keadaan rakyat dihimpit dengan tekanan kos hidup yang meningkat, BN sepatutnya memikirkan jalan membela rakyat dan bukan cuba mewujudkan pegeseran kaum.

Lai Soon dalam ucapan ketika Mesyuarat Agung Tahunan Gerakan mengingatkan pemimpin Umno untuk tidak menggunakan kenyataan "pendatang" kepada bangsa lain dan memberitahu orang Melayu juga merupakan pendatang di negara ini. - HARAKAHDAILY 21/10/2014

Label Islam sebagai liberal menghodohkan Islam – TG Nik Aziz


ASLANI M | .

KOTA BHARU: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan mereka yang menganjurkan program 'I Want To Touch A Dog' sebagai ada “ulat dalam kepala”.

Mursyidul Am PAS itu berkata, sekarang timbul banyak aliran yang bersifat liberal dalam Islam dengan menimbulkan idea-idea pelik dan boleh dianggap sebagai sesat.

“Menganjurkan program khusus bagi menjamah anjing hanya dilakukan mereka yang seumpama ada ulat dalam kepala. Ia bertentangan dengan mazhab Shafei,” katanya pada program sambutan ulangtahun ke-24 pentadbiran Membangun Bersama Islam (MBI) di Kelantan Trade Centre hari ini. (Foto atas daripada fb Tok Guru)

Hadir sama Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat dan pegawai kerajaan.

Sempena ulang tahun tersebut turut diadakan jamuan rakyat di Dataran Stadium tengah hari ini. Tok Guru Nik Abdul Aziz juga melancar buku "Khalifah Kita Pilihan Allah" tulisan Menteri Besar.

Baru-baru ini ada pihak menganjur program 'I Want To Touch A Dog' di Damansara yang memberi peluang orang ramai hadir termasuk Islam menyentuh anjing.

Ekoran pendedahan program berkenaan banyak ulama tampil membantah. Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad pula mahu penganjur dan umat Islam yang menyentuh anjing bertaubat kerana mempersenda hukum Allah.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga berkata, ada pihak cuba melabelkan Islam sebagai liberal semata-mata bagi menghodohkan Islam, sedangkan demokrasi atau pelbagai kefahaman lain tidak pernah dilabel sebagai liberal.

Beliau yang juga bekas Menteri Besar ketika mengimbau detik awal pentadbiran MBI di Kelantan memberitahu langkah pertama dibuat selepas mentadbir Kelantan iaitu memindahkan wang kerajaan daripada bank konvensional ke Bank Islam.

“Langkah itu telah menimbul rasa tidak puas pengurus-pengurus bank yang terdapat di Kota Bharu sehingga mereka datang menemui saya bagi mendapat penjelasan.

“Saya jelaskan sebagai ketua kerajaan perlu bertanggungjawab terhadap wang kerajaan bagi mengelakkan sistem riba yang diharamkan oleh Islam,” ujarnya yang juga Adun Chempaka.  -HARAKAHDAILY 21/10/2014

Teraju jenama SYM

Arifuddin bersama motosikal dan skuter pelanggan yang mendapatkan khidmat servis di pusat servis SYM.
Arifuddin bersama motosikal dan skuter pelanggan yang mendapatkan khidmat servis di pusat servis SYM.
Komponen motosikal dan skuter SYM bagi pasaran Malaysia dipasang di kilangnya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Komponen motosikal dan skuter SYM bagi pasaran Malaysia dipasang di kilangnya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Arifuddin (kanan) bertanyakan sesuatu kepada kakitangannya mengenai motosikal dan skuter SYM.
Arifuddin (kanan) bertanyakan sesuatu kepada kakitangannya mengenai motosikal dan skuter SYM.
SEBUT sahaja SYM, pasti ramai terbayang papan iklan jenama motosikal dan skuter yang gah dipaparkan di lebuh raya seluruh Malaysia dengan menampilkan dua duta popular, Safee Sali dan Syamsul Yusof.

Dengan 'tagline' menarik ‘Safee yang Menunggang’ dan ‘Syamsul Yusof Mencelah’ yang ditampilkan jenama Taiwan itu, maka tidak hairanlah produk tersebut mendapat sambutan ramai.

Namun, siapa sangka pengedar jenama motosikal itu di Malaysia, Malaysian Formula Bikes Sdn Bhd (Malaysian Formula Bikes) terpaksa menanti tiga tahun sebelum dapat mengeluarkan dan menjual motosikal tersebut.

Menurut Pengarah Urusannya, Datuk Seri Arifuddin M Shah berkata, syarikat itu ditubuhkan pada 2004 untuk mendapatkan lesen pengilangan motosikal dan skuter.

“Ketika itu, kami masih berkecimpung sebagai vendor dan pembekal bahagian komponen pembuatan kepada Proton. Jadi, kami banyak berurusan dengan banyak negara yang buat mesin untuk komponen automotif.

“Masa itu, kami lihat banyak motosikal dan skuter di negara berkenaan sehingga mencetuskan idea kami untuk memulakan perniagaan motosikal di Malaysia,” katanya.

Selepas menerima lesen pengilangan itu setahun kemudian, Arifuddin berhasrat mengeluarkan jenama motosikal dari China kerana banyak syarikat lain yang menjual produk dari negara itu di Malaysia dan berjaya dalam perniagaan tersebut.

Namun, selepas dua hingga tiga tahun, rakyat Malaysia tidak boleh menerima produk dari negara tersebut kerana ada masalah tertentu.

“Masa itu, kami sudah mula bekerjasama rapat dengan sebuah syarikat gergasi dari China, tetapi disebabkan penguasaan pasarannya menurun daripada 30 ke 40 peratus menjadi lima peratus, kami tidak jadi memulakan operasi pada 2005,” katanya.

Lelaki berusia 37 tahun itu tidak berputus asa, malah semakin gigih mencari pengedar motosikal dan skuter lain kerana melihat potensi perniagaan itu yang jarang diceburi golongan Bumiputera.

“Sepanjang tempoh tersebut, kami berikan tumpuan kepada pengilang yang membekalkan komponen automotif kepada Proton dan Perodua.

“Akhirnya, pada 2008, kami jumpa juga motosikal yang bagus iaitu jenama SYM dari Taiwan dan buat keputusan untuk 'hidupkan' operasi motosikal SYM,” katanya.


Lalui banyak proses jual motosikal

Bukan mudah untuk memulakan operasi menjual motosikal luar di Malaysia kerana ia memerlukan usaha gigih dan modal yang besar.

Dengan modal berbayar RM1 juta dipinjam daripada keluarganya, Arifuddin terpaksa mengambil masa setahun sebelum boleh menjual motosikal berkenaan.

“Kita kena bangunkan kilang dan mempromosikannya selain membawa komponen motosikal dari Taiwan ke Malaysia untuk dipasang. Kemudian bila sudah siap, kena hantar ke kedai dan pengedar untuk jual.

“Bila motosikal sudah dihantar kepada pengedar, kita tidak boleh minta bayaran terus sebaliknya kena tunggu sekurang-kurangnya 30 hari. Jadi kami terpaksa bertahan tanpa apa-apa pendapatan ketika peringkat awal perniagaan,” katanya.

Bukan itu sahaja, Arifuddin juga perlu berurusan dengan 10 agensi antaranya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Alam Sekitar sebelum dapat menjual motosikal SYM.

Walaupun sepanjang tempoh itu tiada penjualan motosikal dan skuter dibuat, namun Arifuddin terpaksa juga membayar gaji lima pekerjanya.

Kini, Arifuddin mampu menarik nafas lega kerana segala usahanya membuahkan hasil apabila motosikal jenama SYM diterima baik oleh masyarakat Malaysia.

“Pada awalnya, kami hanya mengeluarkan 200 unit motosikal dalam tempoh sebulan, kemudian naik 600 sehingga 1,000 unit sebulan. Bila kami mula keluarkan motosikal kategori kapcai dan menggunakan Safee Sali pada 2012 sebagai duta SYM, pengeluaran meningkat sehingga 300 peratus.

“Kemudian, setiap tahun, pasaran akan naik lebih kurang 200 hingga 300 peratus. Alhamdulillah jualan semakin baik,” katanya.

Lebih 10 jenis motosikal dan skuter pelbagai model telah dikeluarkan Malaysian Formula Bikes di Malaysia seperti model VTS 200, Mio 100, Power 125 Special Edition, T2 250i, E-Bonus 110, Bonus 110 SR, E-Smart 110, Sport Bonus SR, Symphony Evo 250i dan Maxsym 400i pada harga antara RM3,110 hingga RM26,450.

Dalam tempoh terdekat, Arifuddin berkata, Malaysian Formula Bikes merancang untuk mengeluarkan skuter teknologi tinggi yang mesra alam.

Ketika ini, motosikal dan skuter mempunyai sebuah kilang pemasangan seluas tujuh ekar di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Bagaimanapun, menurut Arifuddin, sebuah kilang akan dibina lagi di Batu Kawan, Pulau Pinang di atas tanah seluas 19 ekar tidak lama lagi.

“Ini bagi menampung gudang motosikal dan skuter yang tidak mencukupi,” katanya.


Rakan bantu promosi motosikal

Pada awal pengeluaran motosikal SYM di Malaysia, Arifuddin mengakui agak sukar untuk menjual motosikal itu.

“Pengedar yang menjual motosikal tidak sama seperti kereta yang hanya memfokuskan satu model kenderaan saja, sebaliknya pengedar motosikal akan menjual semua jenama motosikal dalam sebuah kedai.

“Pada peringkat awal, kami ada hanya 30 peniaga saja yang sanggup menjual motosikal kami. Namun nasib saya baik kerana ada seorang kawan bukan Bumiputera membantu mempromosi motosikal SYM kerana yakin dengan kualitinya,” katanya.

Dengan bantuan rakannya itu, akhirnya jenama SYM Malaysia yang dikeluarkan syarikat Bumiputera itu kini mempunyai kira-kira 300 pengedar di seluruh Malaysia.

“Kami yakin jumlah ini akan bertambah pada masa depan,” kata Arifuddin.

Menurutnya, buat masa ini, Malaysian Formula Bikes akan memfokuskan kepada usaha untuk membentuk pusat pameran berkonsepkan jualan, servis dan alat ganti (3S) yang hanya menjual produk keluaran SYM sahaja.

“Kita akan bekerjasama erat dengan pengedar ini dan melabur untuk pembinaan pusat pameran berkonsepkan 3S.

“Setakat ini, kami mempunyai tiga pusat pameran 3S iaitu di Selangor, Sabah dan Kedah. Kita sasarkan, menjelang hujung tahun ini, akan ada 10 pusat pameran 3S dibina, manakala antara 15 hingga 20 lagi akan dibangunkan tahun depan,” katanya.

Bagi mereka yang berminat untuk menjadi usahawan automotif, Arifuddin mengingatkan supaya mereka memberikan komitmen sepenuhnya terhadap perniagaan itu bagai menatang minyak yang penuh jika ingin berjaya.

“Kadang kala, hobi yang kita minati juga terpaksa dikorbankan untuk memberi tumpuan pada perniagaan.

“Selain itu, kita perlukan sebuah pasukan  komited yang boleh membantu menguruskan perkara yang kita tidak mampu.

"Jadi kita boleh gabungkan kepakaran orang lain untuk jadikan perniagaan lebih efektif dan berjaya,” katanya.

Nazree saman Chegu Bard RM2 juta

Hazwan (kiri) bersama rakannya, Hafiz Yahya berbincang mengenai writ saman yang akan difailkan di Mahkamah Tinggi Seremban.
Hazwan (kiri) bersama rakannya, Hafiz Yahya berbincang mengenai writ saman yang akan difailkan di Mahkamah Tinggi Seremban.
SEREMBAN - Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan, Mohd Nazree Mohd Yunus memfailkan saman sebanyak RM2 juta ke atas bekas Ketua Cabang PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin kerana memfitnahnya di laman sosial pada 22 Mac lalu.

Writ saman berkenaan difailkan menerusi peguam, Hazwan Mohd Nor di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Seremban, dekat sini, kira-kira jam 12 tengah hari, semalam.

Menurut Hazwan, anak guamnya selaku plaintif memfailkan saman itu berikutan kenyataan yang dikeluarkan defendan, Badrul Hisham melalui laman sosial seperti Twitter dan Facebook ditujukan kepadanya dengan niat untuk mencemar nama baik.

“Beberapa kenyataan yang dikeluarkan Badrul Hisham menjejaskan nama baik anak guam saya yang ketika itu sedang berkempen sebagai calon Ketua AMK pusat,” katanya kepada pemberita di perkarangan Mahkamah Tinggi Seremban, di sini, semalam.

Hazwan berkata, notis tuntutan permohonan maaf bertarikh 24 April telah dihantar kepada Badrul Hisham yang dikenali sebagai Chegu Bard.

“Kita sudah memberi masa panjang untuk defendan memohon maaf secara terbuka dan menarik balik kenyataannya.

“Namun, defendan enggan berbuat demikian menyebabkan tindakan saman diambil,” katanya.

Katanya, plaintif memfailkan saman bagi menuntut ganti rugi sebanyak RM2 juta itu sebagai tindakan terakhir selepas defendan gagal memberi kerjasama.

Hazwan (kiri) bersama rakannya, Hafiz Yahya berbincang mengenai writ saman yang akan difailkan di Mahkamah Tinggi Seremban.

Kempen sentuh anjing, Mufti suruh taubat


Datuk Mohamad Shukri Mohamad
Datuk Mohamad Shukri Mohamad
KOTA BHARU - Penganjur program 'I Want To Touch A Dog' dan umat Islam yang menyentuh haiwan itu di majlis tersebut kelmarin wajib bertaubat.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, ini kerana mereka secara jelas mempersendakan hukum ALLAH.  

Katanya, perbuatan sengaja menyentuh anjing adalah haram kerana ia najis mughalazoh (berat) dan bertentangan dengan mazhab Syafie.

“Jika dianjurkan oleh orang Islam, dia sebenarnya menghina hukum ALLAH dan boleh dianggap sebagai sindiran tajam terhadap kewibawaan umat Islam. Bertaubatlah," katanya.

“Memang sedih dengan gejala tidak sihat berlaku akhir-akhir ini. Lepas satu ada lagi yang lain ditimbulkan dengan sengaja dalam masyarakat kita,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mohamad Shukri mengulas tentang program berkaitan sentuh anjing di taman rekreasi di Damansara, Selangor yang menunjukkan umat Islam membelai anjing.

Pelari maraton tahan bas ke garisan penamat


New Delhi: Sebuah acara larian maraton berakhir dalam keadaan mengejutkan selepas kereta penunjuk arah tersesat, mengakibatkan tiga pelari utama terpaksa mengikuti laluan yang lebih jauh sebelum mengabaikan usaha mereka dan mengambil bas untuk kembali ke garisan penamat.
Pemandu kereta itu dilaporkan terlepas satu pusingan-U mengakibatkan peserta terbabit lari empat kilometer (km) tambahan sebelum pihak penganjur akhirnya memaklumkan mereka tersalah jalan.
Pelari terbabit menyedari mereka tidak mungkin dapat memenangi larian 42km di Bangalore itu terus mengabaikan larian dan meminjam wang daripada penonton untuk menaiki bas ke garisan penamat.
Seorang daripada mereka, Inderjit Patel berkata, tiada pegawai penganjur di jalan itu.
“Maka kami sekadar mengekori kereta berkenaan tanpa ada sebarang keraguan.
“Selepas diberitahu kesilapan itu, kami menganggap tiada gunanya meneruskan larian. Saya tidak kisah gagal menang wang namun kejadian ini amat memalukan,” katanya.
Sementara itu penganjur mengakui kesilapan mereka dan memohon maaf. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 5:04 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/3200#sthash.WjZSBdQY.dpuf

Masyarakat kutuk program sentuh anjing


KUALA LUMPUR 20 Okt. – Penganjuran kempen ‘Saya Mahu Sentuh Anjing’ di Central Park, Bandar Utama, Petaling Jaya semalam, bukan sahaja mendapat teguran daripada Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abdul Wahid malah ramai pengguna di laman sosial, Facebook turut melahirkan rasa kecewa dan marah terhadap acara itu.
Mereka mengutuk dan mempersoalkan penganjuran kempen berkenaan yang dianggap tidak menghormati agama Islam serta merupakan antara agenda penyebaran fahaman liberalisme dalam kalangan masyarakat.
Antara pengguna yang kecewa dengan penganjuran berkenaan ialah Alan Alanla yang melahirkan kebimbangan jika penganjuran seperti itu dibiarkan dan tidak diambil tindakan.
“Ya, hari ini mereka main sentuh-sentuh...dan mungkin kita masih diam dan mereka akan cakap ‘ala itu kan makhluk Allah’. Betul memang betul malah ada kisah perempuan hina yang berikan ia (anjing) minum dimasukkan ke dalam syurga, tetapi kalau nak tahu....Setan(syaitan) pun makhluk Allah,” katanya dalam laman Facebook di sini hari ini.
Sementara itu, seorang pengguna Facebook kaum Cina, Lew Ai Ling meminta masyarakat menjaga sensitiviti umat Islam.
“Apa yang haram tetap haram...Semak balik ajaran Islam dan jaga sensitiviti umat Islam walaupun seagama dengan-Nya,” katanya.
Turut menyokong, H. Amree Ahamad yang mendakwa program seumpama itu sering diadakan dengan bersandarkan hak asasi manusia.
“Secara kebetulan, semuanya atas nama hak asasi manusia. Mula-mula pesta bogel, kemudian pesta arak, selepas ini kempen sentuh anjing. Akhirnya mungkin ada pula kempen sentuh babi dan jom (mari) pergi murtad,” katanya.
“Mungkin sudah tiba masa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diwujudkan semula dan Akta Hasutan terus diperkasa, jika tidak inilah bakal padahnya... fikir-fikir lah,” luahnya.
Ada juga pengguna yang sinis meminta pihak penganjur mengadakan acara kempen menyentuh haiwan lain seperti kucing berbanding anjing yang telah jelas hukumnya haram.
Hafiz Johari berkata, “ Kepada penganjur yang buat event (acara) pegang sentuh anjing ini, baik lah buat acara pegang sentuh kucing...orang kita ini kucing pun ada yang takut nak sentuh...tak haram dan haiwan kesayangan Nabi lagi...acara ini saja nak main-mainkan orang islam...yang perempuan paling banyak aku tengok tergedik-gedik dapat pegang anjing,” katanya.
Wahidah Abd. Majid pula menyatakan rasa bimbang apabila kanak-kanak yang masih bersekolah mempersoalkan hukum memegang haiwan berkenaan.
“Masalah juga pada saya...Si kecil dekat sekolah asyik bertanya...“Boleh ke ustazah?” Bukankah menimbulkan kekeliruan pada mereka yang baru nak kenal dunia,” soalnya.
- See more at: http://ww3.utusan.com.my/berita/nasional/masyarakat-kutuk-program-sentuh-anjing-1.15236#sthash.2TZ7ieAL.dpuf

Kerajaan Digesa Tangguh Hasrat Mansuh Atau Pinda Akta Hasutan 1948


Diterbitkan: Ahad, 19 Oktober 2014 7:35 PM

PARIT BUNTAR: Kerajaan hari ini digesa supaya menangguhkan hasrat untuk memansuhkan atau meminda Akta Hasutan 1948 sehingga sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan di negara ini benar-benar matang.

Gesaan itu terkandung dalam usul Umno Bahagian Parit Buntar, yang diluluskan sebulat suara pada persidangan perwakilan bahagian itu di sini, pada Ahad.

Usul sama juga meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus menjalankan penyiasatan dan Jabatan Peguam Negara perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa sahaja yang melanggar akta itu demi memelihara keamanan dan melindungi kepentingan majoriti rakyat Malaysia.

Wakil Jawatankuasa Bahagian itu Datuk Abdul Rahman Sulaiman ketika membentangkan usul itu berkata walaupun kerajaan Barisan Nasional (BN) pernah berjanji untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 menjelang pilihan raya umum lepas, namun janji itu tidak perlu dipatuhi kerana apa yang berlaku akhir-akhir ini adalah jelas bahawa hasrat murni kerajaan itu tidak dihargai oleh pihak-pihak tertentu.

Beliau menarik perhatian tentang kecenderungan semasa kalangan tertentu yang sering mempersolkan pelbagai peruntukan khusus dalam Perlembagaan Persekutuan terutama yang berkaitan dengan isu-isu sensatif.

"Ini termasuk kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, kedudukan istimewa orang-orang Melayu dan Bumiputra Sabah dan Sarawak serta hak-hak kaum lain serta kedudukan Raja-Raja Melayu seperti yang termaktub dalam Perkara 152 dan 181 Perlembagaan," katanya.

Datuk Abdul Rahman berkata oleh kerana suasana politik di Malaysia jelas belum cukup matang, maka negara masih memerlukan peraturan tertentu bagi mengawal, mengelola dan membimbing perilaku, tindakan, perbuatan, ucapan dan kenyataan pemimpin dan anggota parti politik.   

Beliau bimbang sekiranya kecenderungan negatif itu tidak dibendung, ia mampu menjejaskan hubungan harmoni antara kaum yang telah wujud di negara ini sejak sekian lama.

"Selain itu, ia juga boleh mencetuskan keadaan huru hara atau pergaduhan kaum," katanya.

Terdahulu, persidangan itu dirasmikan Menteri Besar Perak Datuk Seri DrZambry Abdul Kadir.

Teknologi Baharu Bakal Selesaikan Pencemaran Sisa Ternakan Babi


Diterbitkan: Isnin, 20 Oktober 2014 2:45 PM
Contoh sistem pengurusan pelepasan air yang digunakan oleh sesetengah ladang babi di Malaysia.

PETALING JAYA: Bau busuk dan pencemaran air akibat industri penternakan babi di negara ini dijangka selesai selepas syarikat Ronser Bio-Tech Sdn Bhd (Ronser)   menjalankan projek rawatan sisa air pertamanya di sebuah ladang babi di Butterworth, Pulau Pinang.

Pengerusi Ronser, Woo Min Fong berkata, teknologi itu telah berjaya digunakan dalam pelbagai projek rawatan pengurusan sisa di China dan akan digunakan buat kali pertama bagi industri penternakan babi di Malaysia.

"Teknologi ini dapat merawat sisa air ladang babi untuk mencapai Piawaian A sebagaimana yang dikehendaki oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS), dalam memastikan air dan udara yang bersih.

"Malah, air yang dikitar semula ini boleh digunakan untuk tujuan-tujuan mencuci dan pembersihan.

“Tiada teknologi sama boleh didapati dalam pasaran semasa dan ia juga menjimatkan kos kerana teknologi ini hanya memerlukan kawasan kira-kira 1,400 kaki persegi,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Isnin.

Tambahnya, teknologi ini dilaksanakan melalui penemuan kaedah baru yang dipanggil ‘Sistem Bio-Mass' oleh Profesor Zhang Zhenjia dari Universiti Jiaotong Shanghai, pemegang utama saham Ronser.
mStar Default Image
Ringkasan keputusan daripada ujian yang dilakukan oleh makmal bebas mengenai pencemaran najis babi.


Fungsi Sistem Bio-Mass adalah untuk menghapuskan kandungan ammonia dari sisa air.

Ujarnya lagi, Profesor Zhang juga telah mencipta teknologi-teknologi pelepasan sifar sisa kilang minyak kelapa sawit dan pelepasan sifar pembetungan yang kini sedang diusahakan oleh Ronser.

“Berdasarkan ujian terkini yang dilakukan oleh sebuah makmal bebas baru-baru ini, kandungan ammonia dari kolam yang terakhir daripada kemudahan rawatan sisa air semasa di ladang babi itu adalah 927 ppm (bahagian per sejuta), kira-kira 92 kali lebih dari bacaan yang dibenarkan iaitu 10 ppm seperti yang ditetapkan oleh JAS.

Tiada syarikat lain dalam industri ini dilaporkan mampu mencapai piawaian teknologi Ronser ini,” katanya.

Terdahulu projek komuniti yang bermula pada awal Januari 2015 itu dijangka mengambil masa enam bulan untuk disiapkan manakala ladang babi tersebut adalah salah satu daripada 150 ladang yang terletak di kawasan Butterworth.

Buat masa ini pemngusaha ladang itu menternak 4,000 ekor haiwan berkenaan. 

Kerajaan Mungkin Perkenal Subsidi Petrol Berasaskan Kuota


Diterbitkan: Isnin, 20 Oktober 2014 7:19 PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan mungkin memperkenalkan subsidi petrol berasaskan kuota bagi memastikan peruntukan yang lebih bersasaran.
Pengarah Penyelidikan dan Pelaburan Khazanah Nasional Bhd, Mohamed Ridzuan Mohamed berkata, MyKad akan digunakan untuk pengenalan dan kuota tertentu atau kuantiti akan diperuntukkan bagi mengelak salah guna subsidi oleh golongan berada.

"Inilah sebabnya pada pendapat saya kerajaan mengambil masa lebih panjang untuk memperkenalkannya (struktur baharu subsidi petrol) kerana ia membabitkan banyak perubahan pada pam atau sistem pembayaran.

"Ia juga akan membabitkan banyak perubahan perisian," katanya pada Seminar Deloitte TaxMax di sini, Isnin.

Seminar bajet tahunan itu yang menarik lebih 400 peserta menawarkan penelitian mendalam Bajet 2015, isu pemindahan harga, cukai korporat dan bidang lain berkaitan pengurusan cukai.

Modul Pemanduan Motosikal Berkuasa Tinggi Perlu Lebih Menyeluruh - Zahid Hamidi


Diterbitkan: Isnin, 20 Oktober 2014 9:50 PM
Ahmad Zahid Hamidi.

PUTRAJAYA: Modul etika dan kaedah pemanduan yang lebih menyeluruh perlu diwujudkan berikutan peningkatan kes kematian melibatkan penunggang motosikal.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, garis panduan khusus perlu dirangka bagi mereka yang mahu membeli motosikal berkuasa tinggi melebihi 500cc. 
"Kita harus memperkenalkan kursus tambahan istimewa untuk penunggang motosikal berkuasa tinggi.
"Ujian semasa yang dijalankan untuk mendapatkan lesen motosikal berkuasa 500 cc ke atas tidak mencukupi," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan wakil kelab motosikal berkuasa tinggi di sini, Isnin. 
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Kelab Superbikes Malaysia (SAM) berkata, pihak berkuasa harus melihat semula garis panduan yang digunapakai terhadap penunggang motosikal di negara membangun. 
"Di sana, penuggang motosikal melancong secara konvoi, mereka tidak memandu secara berbahaya, mereka lebih mementingkan keselamatan. 
"Inilah antara perkara yang kita perlu perbetulkan...menunggang motosikal dengan kaedah dan etika yang betul, dan tragedi seperti yang berlaku di Lebuh Raya Karak itu dapat dielakkan," katanya.

Khairy Dibenar Merayu Keputusan Mahkamah Tidak Benar Pinda Kenyataan Pembelaan


Diterbitkan: Isnin, 20 Oktober 2014 4:48 PM
Khairy Jamaluddin.

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan pada Isnin memberi kebenaran kepada Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang tidak membenarkannya meminda kenyataan pembelaannya dalam saman fitnah oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Panel hakim lima anggota dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif berkata mahkamah perlu mendengar hujahan lanjut berhubung perkara itu.

Beliau membenarkan permohonan Khairy bagi kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan berhubung dua persoalan undang-undang yang akan didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada prosiding rayuan.

Persoalan undang-undang itu bertumpu pada pembelaan 'justifikasi separa' dan sama ada ia boleh diguna pakai dalam saman fitnah di Malaysia, dan sama ada ia boleh berdasarkan penemuan spesifik Mahkamah Persekutuan dalam kes pertama liwat Anwar.

Turut bersidang dalam panel itu ialah hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, Datuk Seri Abu Samah Nordin dan Datuk Ramly Ali.

Pada 7 Mac 2008, Anwar memfailkan saman terhadap Khairy, mendakwa Khairy yang ketika itu Naib Ketua Pemuda Umno, telah mengeluarkan kata-kata berbaur fitnah dan menyebabkan klip video bertajuk 'Anwar and kin no threat' disiarkan dalam laman web, termasuk Malaysiakini.com.

Anwar turut mendakwa klip video dalam Malaysiakini.com mengandungi sebahagian daripada ucapan Khairy di Lembah Pantai pada atau sekitar 20 Februari 2008.
Khairy, dalam kenyataan pembelaan difailkan pada 8 Okt, 2010, berkata beliau bergantung pada pembelaan justifikasi dan perlindungan bersyarat.
Pada 9 Oktober tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Khairy untuk meminda pembelaannya dalam kes saman tersebut.
Beliau memfailkan permohonan untuk merayu di Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan menolak permohonannya untuk merayu pada 20 Ogos tahun lepas.

Khairy diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah manakala Anwar diwakili Datuk Sulaiman Abdullah.