Showing posts with label sekolah hamil. Show all posts
Showing posts with label sekolah hamil. Show all posts

Saturday, September 18, 2010

Sekolah Harapan: Lima keluarga minat letak anak




2010/09/18

AB RAHAMAN meninjau keadaan kelas   Sekolah Harapan di Jasin, semalam.
AB RAHAMAN meninjau keadaan kelas Sekolah Harapan di Jasin, semalam.
Sekolah Harapan mula terima panggilan telefon, SMS daripada ibu bapa

JASIN: Lima keluarga dari Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Johor berminat menempatkan anak mereka di Sekolah Harapan yang dibangunkan khas kerajaan negeri di sini untuk menempatkan pelajar hamil luar nikah.Pengerusi sekolah berkenaan, Datuk Ab Rahaman Ab Karim, berkata walaupun sekolah khas kelolaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) itu belum mempunyai pelajar setakat ini, pihaknya menerima panggilan telefon dan SMS bertanyakan mengenai sekolah terbabit termasuk satu keluarga Cina dari Johor.
“Sekolah Harapan ini belum mempunyai pelajar walaupun beroperasi hari ini (semalam), tetapi saya sudah menerima panggilan telefon dan SMS dari ibu bapa pelajar yang mahu maklumat lanjut bagaimana memohon.

“Pada masa ini, dasar kerajaan negeri mengutamakan pelajar negeri ini dulu, permohonan dari luar akan dipertimbangkan,” katanya selepas merasmikan sekolah berkenaan, semalam. 

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Ghazale Muhamad dan Penyelia Sekolah Harapan, Saimah Hiran.

Sekolah Harapan yang beroperasi dari jam 8 pagi hingga 4 petang di bangunan lama milik Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dengan kos baik pulih RM100,000, mempunyai empat kelas, bilik komputer, bilik mesyuarat dan pejabat pentadbiran. 
Setakat ini, sekolah yang mendapat peruntukan RM500,000 setahun dari kerajaan negeri itu mampu menempatkan 40 pelajar, mempunyai lima kakitangan termasuk seorang penyelia, manakala tujuh tenaga pengajarnya pula di kalangan kakitangan terlatih JAIM.

“Penghuni sekolah ini tidak perlu bimbang kerana modul pembelajarannya sama dan mengikut sukatan pelajaran kebangsaan yang ditetapkan Kementerian Pelajaran,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang berminat memasuki sekolah itu menghubungi Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama JAIM, Rahimin Bani di talian 019-6671564 atau JAIM, 06-2881534.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU), William Ghani Bina, berkata Sekolah Harapan bukan penyelesaian terbaik untuk menangani masalah pelajar hamil, malah dikhuatiri mencetuskan epidemik hamil luar nikah dalam kalangan pelajar.

“Banyak kaedah lain boleh dilaksanakan untuk menangani masalah kehamilan luar nikah, termasuk melalui kerjasama ibu bapa dan masyarakat. STU tidak bersetuju dibuka Sekolah Harapan di Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Wisma STU di Jalan Song, di sini semalam.

Katanya lagi, ibu bapa dan masyarakat perlu bersama menyelesaikan masalah itu dan bukannya menempatkan pelajar hamil di tempat tertentu kerana ia lebih kepada usaha untuk menutup malu, sebaliknya langkah terbaik ialah mencari pasangan yang menghamilkan pelajar itu. 

Sekolah Harapan mula beroperasi


SEKOLAH HARAPAN masih belum ada penghuni.


JASIN - Walaupun masih belum mempunyai pelajar, sekolah untuk remaja hamil di luar nikah dikenali sebagai Sekolah Harapan di sini secara rasmi telah memulakan operasinya semalam.
Pengerusi Sekolah Harapan, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim berkata, pada masa kini, sekolah berkenaan masih belum mempunyai pelajar namun pihaknya telah menerima beberapa panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada keluarga remaja mengandung dari beberapa buah negeri.
"Keluarga remaja mengandung ini mengatakan minat mereka menghantar anak mereka ke Sekolah Harapan dan bertanya sama ada sekolah ini sudah siap dibina.
"Mereka juga bertanya bagaimana cara memohon untuk masuk ke sekolah ini," katanya ketika ditemui pemberita di Sekolah Harapan di sini semalam.
Ab. Rahaman berkata, keutamaan menjadi pelajar Sekolah Harapan diberi kepada penduduk dari negeri Melaka namun permohonan dari penduduk luar akan dipertimbangkan.
"Selain mereka yang beragama Islam, remaja mengandung daripada agama dan kaum lain juga boleh menjadi pelajar Sekolah Harapan," katanya.

Monday, August 9, 2010

Sekolah remaja hamil: Jawatankuasa pelaksana ditubuh


MELAKA 8 Ogos - Bagi menyegerakan penubuhan sekolah remaja hamil di negeri ini, kerajaan negeri telah menubuhkan jawatankuasa pelaksana untuk menggerakkan operasinya yang dijadual bermula September ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, jawatankuasa khas itu menumpukan kepada kesesuaian peruntukan undang-undang sedia ada.
Menurutnya, sekolah itu akan beroperasi dalam bangunan yang hanya dikhaskan oleh kerajaan negeri dan tidak melibatkan sekolah agama atau sekolah awam lain.
"Bagaimanapun, sebelum sekolah khas ini beroperasi, jawatankuasa yang baru ditubuhkan ini mengkaji kesesuaian dan memastikan penubuhannya memenuhi keperluan peruntukan undang-undang sedia ada," katanya.
Beliau ditemui selepas mempengerusikan Forum Khas Menangani Gejala Sosial peringkat negeri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.
Antara ahli panel yang terlibat dalam forum itu ialah Mufti negeri, Datuk Wira Rashid Redza Md. Salleh; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Rahimin Bani dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan JAIM, Mozaimi Mohamad.
Turut hadir pada sesi dialog tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Sekolah Remaja Hamil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Kundor, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim.
Mohd. Ali menambah, biarpun sekolah itu ditubuhkan bagi memberi perlindungan dan pembelajaran kepada remaja hamil namun tindakan undang-undang tetap dikenakan terhadap mereka.
Sementara itu, kata beliau, pihaknya juga sudah mengenal pasti modul pembelajaran yang sesuai dipraktikkan di sekolah khas tersebut.
"Modul pembelajaran yang akan diajar di sekolah khas itu mengikut modul pendidikan kebangsaan sedia ada atau kita boleh menyediakan pengajian agama kepada mereka dalam tempoh setahun," katanya.

Thursday, August 5, 2010

Lepas ini Sekolah pelajar hamil dilanjutkan keperingkat internasional


Sekolah pelajar hamil patut di peringkat nasional 

PAPAR - Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, konsep sekolah khas untuk pelajar hamil yang dicadangkan oleh Kerajaan Melaka harus dipertimbangkan untuk dilaksanakan di peringkat kebangsaan. 

Beliau berkata, remaja seperti ini seharusnya diberi peluang kedua supaya negara tidak kehilangan generasi yang berpotensi untuk menjadi berguna dan menyumbang kepada pembangunan negara nanti. 

“Kita harus terbuka kepada hal ini, ada berlaku gejala sosial seperti ini dan satu usaha kita dalam memberi ruang kepada mereka, ialah mewujudkan institusi yang tersendiri supaya mereka boleh meneruskan pembelajaran. 

“Mereka ini masih boleh kita didik dan berikan pendedahan supaya mereka menjadi satu golongan yang boleh menyumbang kembali kepada negara. Kita seharusnya ambil cadangan Melaka ini dan diadaptasi di peringkat nasional supaya setiap negeri ada sekolah (sedemikian),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Ihya Ramadan dan penyerahan wang zakat serta penyampaian sumbangan kepada masjid dan surau bagi kawasan Parlimen Papar, di sini, semalam. - Bernama