Showing posts with label kemalangan. Show all posts
Showing posts with label kemalangan. Show all posts

Monday, January 21, 2013

'Dia harapan keluarga kami'

OKUAhli keluarga melihat keadaan Siti Izzah yang kini hanya mampu terlantar.
KUALA KETIL - Hasrat seorang ayah untuk melihat anaknya memegang segulung diploma hancur setelah anak sulungnya itu terlantar akibat kemalangan, November tahun lalu.

Mohd Yusof Harun, 49, dari Kampung Batu Satu dekat sini terpaksa menerima hakikat setelah anaknya, Siti Izzah Mohd Yusof, 21, tidak lagi mampu menguruskan dirinya.

Siti Izzah merupakan anak sulung dari tujuh beradik dan menjadi harapan keluarga setelah berjaya melanjutkan pelajaran peringkat diploma di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok dalam bidang Pentadbiran Awam.

Namun, segalanya seakan berakhir setelah Siti Izzah terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke rumah ahli keluarganya bagi menghadiri kenduri yang diadakan.

Dia yang menunggang motosikal dirempuh oleh motosikal lain mengakibatkannya mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan koma selama lima hari di Hospital Sungai Petani.

Mohd Yusof berkata, Siti Izzah hanya mampu terlantar selain sering merengek kesakitan berikutan bahagian kepalanya semakin membengkak.

Menurutnya yang hanya bekerja kampung itu, dia tetap tabah dan sentiasa berharap anaknya itu dapat pulih seperti biasa.

“Saya tidak sanggup Siti Izzah menghabiskan masa mudanya di atas tilam. Saya harap, selepas pembedahan kelak, Siti Izzah dapat menunjukkan perubahan,” katanya kepada Sinar Harian.

Siti Izzah yang bercita-cita menjadi seorang guru itu merupakan pelajar cemerlang dan aktif dalam persatuan semasa pengajiannya.

Katanya, dia menganggap kejadian ini sebagai ujian tuhan dan bersyukur kerana anaknya itu masih selamat dalam kejadian kemalangan itu.

“Walaupun berat, ia adalah ujian dan dugaan, sebagai ayah, saya akan jalankan tanggungjawab sebaik mungkin. Saya akan berusaha untuk kebaikan dirinya, kemudian berserah kepada tuhan. Saya yakin, apa yang terjadi ada hikmahnya,” katanya.

Penderitaan Siti Izzah mendapat perhatian pemimpin setempat yang turut hadir bagi menyampaikan sumbangan kepada keluarganya.

Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan bantuan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Mohd Yusof Harun 02126-29-00019391.

Wednesday, December 26, 2012

Kecewa tidak dipedulikan majikan



Kecewa tidak dipedulikan majikan
Beginilah keadaan Azim selepas kemalangan sambil ditemani ibunya di rumah kampung Anak Air Batu Kikir.
KUALA PILAH - Seorang anggota tentera berpangkat prebet kecewa kerana mendakwa majikannya dari sebuah kem tentera di Kelantan tidak mengambil peduli mengenai kesihatannya selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 9 Julai 2010.

Mohammad Azim Mohd Nor, 23, berkata, kemalangan itu berlaku di kilometer 0.3 Jalan Kampung Gunung-Hidropergau, Kelantan, apabila motosikal yang dibonceng bersama kawannya melanggar sebuah kereta.

Menurutnya, akibat kejadian itu, dia mengalami lumpuh separuh badan.

“Kehidupan selepas kemalangan mengundang pelbagai cabaran kerana saya sudah mengalami cacat kekal," katanya ditemui di rumahnya terletak di Kampung Anak Air Batu Kikir, dekat sini.

Mohammad Azim berkata, selepas kejadian itu, dia sekali lagi terlibat dalam kemalangan apabila kereta yang dipandunya bersama rakan terbabas di Terachi, Ogos lalu.

Dia berkata, dalam keadaan dirinya serba kekurangan, pihak unit tempatnya bertugas sering menghubunginya untuk bertanyakan hal kerja sedangkan mereka mengetahui keadaan dirinya sudah tidak mampu melaksanakan tugas seperti orang normal.

"Sebelum ini, pihak unit sering menghubungi saya dan akibat terlalu memikirkan masalah berkenaan saya mengalami kemurungan," katanya.

Menurutnya, selain itu, dia kini masih lagi menunggu laporan perubatan yang belum disiapkan meskipun sudah masuk dua tahun.

"Berikutan masalah itu, saya terpaksa mengambil surat cuti sakit (MC) dalam tempoh dua tahun ini.

“Saya tidak tahu silapnya di mana kerana pihak berkaitan terlalu lama mengambil masa untuk menyiapkan laporan tersebut dan setiap kali ditanya, mereka mengatakan ia dalam proses,” katanya.

Mohammad Azim berkata, diharap pihak berkenaan dapat mempercepatkan proses laporan kesihatannya bagi membolehkannya memohon pencen.

"Walaupun saya hanya berkhidmat sebagai anggota tentera kurang dari lima tahun tetapi saya harap dapat terima pencen.

“Memandangkan saya sudah lumpuh, wang pencen amat diperlukan bagi menampung perbelanjaan bersama ibu, Noriah Md Noh, 59, yang merupakan orang kurang upaya (OKU),” katanya.

Katanya, dia juga kecewa kerana menerima layanan tidak seberapa meskipun dirinya seorang anggota tentera.

“Sejak saya terlantar sakit di rumah, tiada pihak menziarahi saya dan bertanyakan khabar sedangkan semasa rekrut di kem tentera di Port Dickson pada 2008, segala kebajikan anggota dijaga.

“Jika mengikut prosedur, seorang anggota tentera yang sakit akan dibantu dari aspek pengangkutan sekiranya mahu ke hospital untuk terima rawatan, namun tidak berlaku kepada saya," katanya.

Tuesday, December 25, 2012

11 murid mati nahas

BEIJING: Sebelas kanak-kanak mati apabila van yang mereka naiki terhumban ke dalam kolam di wilayah Jiangxi, timur China, semalam.

Kemalangan berlaku ketika van berkenaan membawa kanak-kanak ke sekolah. Semua 11 mangsa itu berusia antara empat dan enam tahun, lapor akhbar Henan Business Daily.


Menurut laporan itu, empat kanak-kanak lain, seorang guru dan pemandu, terselamat dalam kejadian yang berlaku pada sebelah pagi berhampiran bandar Guixi.

Agensi berita Xinhua yang sebelum ini melaporkan hanya tiga orang terbunuh, kemudian berkata, lapan mangsa mati selepas mereka dibawa ke hospital.


Menurut Pusat Penerangan Bagi Hak Asasi dan Demokrasi yang berpusat di Hong Kong, pasukan kecemasan mengambil masa 70 minit untuk tiba ditempat kejadian selepas penduduk tempatan memaklumkan kepada pihak berkuasa mengenai kemalangan itu.


Kumpulan berkenaan berkata, van mini itu terlebih muatan. Kapasiti maksimumnya hanya tujuh orang.

Jalan raya di China amat berbahaya dengan undang-undang trafik dan keselamatan dilanggar secara berleluasa sementara pemandu trak sering kepenatan kerana kerja melebihi masa. Kemalangan maut membabitkan kenderaan terlebih muatan juga perkara biasa.


Tahun lalu, lebih 62,000 orang terbunuh dalam kemalangan jalan raya, lapor media negara itu.

Ogos lalu, 36 orang terbunuh apabila sebuah bas dua tingkat merempuh belakang sebuah lori membawa metanol menyebabkan kedua-dua kenderaan itu terbakar dan hanya tiga daripada 39 penumpang bas terselamat.


Kemalangan di wilayah Shaanxi, utara China itu adalah yang paling buruk di negara itu dalam masa setahun. - AFP

Wednesday, October 31, 2012

Tiga pekerja ladang warga Indonesia maut dalam nahas

KUANTAN - Tiga lelaki warga Indonesia maut manakala tiga lagi parah selepas lori yang dinaiki sepuluh pekerja ladang kelapa sawit terbabas ke dalam longkang di Jalan Ladang Timur Oil Palm dekat Maran semalam.
 
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Superintenden Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata mangsa yang maut dikenali sebagai Mansur, 31, Badrul, 39, dan Nasrudin, 39, manakala rakan mereka yang parah ialah Zanwadi, 26, Ahyar, 26, serta Rosedi Suhaidi, 28.
 
Beliau berkata mangsa yang parah kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh (Hoshas).

Mohamed Fauzi berkata dalam kejadian 5.40 petang itu, semua pekerja ladang berkenaan, yang merupakan warga Indonesia, duduk di bahagian belakang lori dan dalam perjalanan pulang ke rumah kongsi di kawasan berhampiran.

"Sampai tempat kejadian, iaitu ketika menuruni bukit, tiba-tiba brek lori yang dinaiki mereka gagal berfungsi menyebabkan pemandunya hilang kawalan," katanya.
 
Beliau berkata situasi itu menyebabkan lori yang dinaiki mereka terbabas ke kiri jalan sebelum jatuh dalam longkang, menyebabkan tiga mangsa mati di tempat kejadian manakala tiga lagi cedera parah di kepala dan badan.

"Pemandu bersama tiga lagi penumpang hanya mengalami cedera ringan dan mereka dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di Hoshas," katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

Monday, October 29, 2012

Warga emas maut dirempuh kereta dipandu pelajar IPTA

KOTA TINGGI - Seorang warga emas maut setelah dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang pelajar perempuan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Bangi dalam nahas di Kilometer 10 Jalan Mawai–Kuala Sedeli di depan balai raya Kampung Sayang di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi DSP Low Hong Seng berkata kejadian berlaku kira-kira 8.20 malam ketika mangsa Ja’afar Yusof, 78, berjalan kaki ke rumah rakannya selepas menunaikan solat Isyak di masjid  berdekatan.

"Kereta yang dipandu oleh pelajar perempuan berkenaan dipercayai terbabas, lalu melanggar mangsa yang ketika itu sedang berjalan kaki. 

"Akibat kemalangan itu, mangsa yang baru berpisah dengan isterinya dan tidak mempunyai anak, meninggal dunia dalam perjalanan ke klinik kesihatan di Tanjung Sedeli disebabkan kecederaan parah di kepala," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk bedah siasat sebelum dituntut kariah dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sayang.

Katanya, pelajar perempuan berkenaan yang berumur 21 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.  - Bernama

Friday, October 5, 2012

45 tahun tiada dendam

TERBANG...Kamarul Baharin ketika aktif dalam seni silat gayung.
TERBANG...Kamarul Baharin ketika aktif dalam seni silat gayung.
KUALA PILAH: “Berpuluh-puluh tahun saya mencari, namun hanya kini kami dapat bertemu kembali. Saya mahu memohon berbanyak maaf kepadanya,” kata Ab Aziz Othman, 63, yang tak sengaja tertetak kepala Kamarul Baharin Shariff, 67, menyebabkan rakan pesilatnya itu lumpuh separuh badan.
Kejadian yang berlaku 45 tahun lalu itu mengubah keseluruhan hidup Kamarul Baharin apabila dia tidak mampu berdiri dan berjalan, namun nasib menyebelahinya apabila mampu berumah tangga dan hidup bahagia bersama lima anak seperti dipaparkan Harian Metro, semalam.
Insiden antara Ab Aziz dan Kamarul Baharin berlaku ketika kedua-dua mereka yang juga pesilat Silat Seni Gayong Malaysia membuat persembahan untuk siaran televisyen pada 1967.

Sejak kejadian itu, Ab Aziz yang juga bekas jurulatih Silat Seni Gayong Malaysia ‘merajuk’ daripada aktiviti silat dan menghilangkan diri sehingga dia dipertemukan semula dengan Kamarul Baharin oleh Yang Dipertua Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia, Datuk Adiwijaya Abdullah, baru-baru ini.

Tuesday, October 2, 2012

Tiada lagi Ramadan buat ‘Zali’



Muhammad Asyraf dan Maizatul Akmal tidak menyangka perilaku adik mereka menggantung foto di ruang ta
Muhammad Asyraf dan Maizatul Akmal tidak menyangka perilaku adik mereka menggantung foto di ruang tamu menjadi petanda adiknya akan pergi buat selama-lamanya.
Muhammad Amirul Mazlan
Muhammad Amirul Mazlan
Skrip drama Masih Adakah Ramadan
Skrip drama Masih Adakah Ramadan yang masih tersimpan rapi di bilik tidur arwah. Arwah hanya mengambil masa sehari untuk membaca dan menghafal keseluruhan skrip.
KERTEH – “Saya menangis melihat drama Masih Adakah Ramadan yang kesudahannya anak saya meninggal dunia, cuma bagi menyedapkan hati saya katakan pada diri itu cuma lakonan."

Demikian luahan Zinab Deraman, 49, yang tidak menyangka di dunia realiti memang sudah tiada lagi Ramadan buat anaknya, Muhammad Amirul Mazlan, 19.

Dalam drama empat episod yang disiarkan di Astro Prima Ramadan lalu, Muhammad Amirul yang juga pelajar tahun dua jurusan seni teater di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara) memegang watak sebagai Zali, yang pada pengakhiran ceritanya
meninggal dunia.

Walaupun menganggap itu lakonan semata-mata, namun naluri keibuan tersentuh dengan jalan cerita drama itu membuatkan Zinab menghubungi anaknya itu sejurus melihat episod akhir drama dalam loghat Terengganu.

“Ketika menghubunginya, arwah memberitahu ia hanyalah lakonan sahaja bagi menenangkan hati saya," katanya sambil meluahkan tidak sanggup menonton drama itu lagi.

Begitupun, Zinab sekeluarga reda dengan pemergian Muhammad Amirul kerana Allah SWT lebih menyayangi anaknya itu yang merupakan seorang anak yang baik dan taat.

Arwah merupakan anak ketiga dari empat beradik maut dalam nahas jalan raya, apabila motosikal yang ditungganginya terbabas di Kilometer 5.7 Lebuh Raya Persekutuan, Kuala Lumpur kira-kira jam 9 pagi, kelmarin.

“Kali terakhir saya bercakap dengan arwah melalui telefon pada malam Jumaat lalu dan waktu itu dia cakap sedang sibuk membuat latihan untuk Anugerah Skrin,” kata Zinab ketika diziarahi Sinar Harian di kediamannya di Kampung Baru Kerteh, dekat sini, semalam.


Arwah berkelakuan pelik

Menurut kakaknya, Maizatul Akmal, 21, arwah juga seakan menunjukkan petanda awal dia akan pergi selam-lamanya apabila bertindak mencuci gambarnya dan diletakkan dalam bingkai, sebelum digantung pada dinding ruang tamu pada hari terakhir sebelum pulang ke
Kuala Lumpur, selepas menghabiskan cuti Aidilfitri selama seminggu di rumahnya, Ogos lalu.

“Apabila ditanya mengapa bertindak begitu, arwah hanya memberitahu ia untuk memudahkan keluarga dan saudara mara melihat gambarnya.

“Tahun ini arwah beraya sakan dan semua persiapan raya untuk dirinya dibeli sendiri. Malah, dia berbelanja lebih RM500 untuk sehari ketika kami sekeluarga balik ke Kedah," katanya sambil mengakui drama Masih Adakah Ramadan adalah drama sulung lakonan adiknya itu.


Tidak sempat berlakon dalam drama kedua

Katanya, adiknya yang lebih mesra membahasakan diri sebagai ‘Aye’ ketika itu juga, beria-ia membeli-belah pakaian baru untuk dipakai bagi drama untuk siaran TV3 yang akan menjalani penggambaran, Disember depan.

“Dia membeli dua pasang kemeja dan kemeja T tapi yang ganjilnya semua pakaian itu diberikan kepada saya kerana menurut arwah saiznya kecil sedangkan ketika mencuba pakaian itu, kesemua baju itu elok," katanya.


Kirim salam pada semua

Sementara itu, abang sulungnya, Muhammad Asyraf, 25, memberitahu, arwah beria-ria beraya di semua rumah saudara mara, rakan dan jiran tetangga pada Aidilfitri lalu.

"Dia juga bersungguh-sungguh bergambar tidak seperti sebelum ini," katanya.

Muhammad Asyraf berkata, dia tidak dapat melupakan ayat terakhir arwah ketika dia menelefon adiknya kira-kira sejam sebelum kemalangan tersebut.

“Saya menelefonnya untuk bertanya mengenai baju dan sebelum perbualan kami berakhir dia sempat pesan pada saya ‘kirim salam kepada semua kawan yang kenal Aye’,” katanya.

Jenazah Muhammad Amirul disemadikan kira-kira jam 10.30 pagi semalam di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gelugor, Kerteh.

Sunday, September 9, 2012

Jenazah 2 pelajar maut di Rusia selamat dikebumi




DIMYATI MOHAMAD menyiram air mawar di pusara anaknya, Adzreen sambil diperhatikan oleh ahli keluarganya di Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA - Jenazah pelajar Malaysia, Adzreen Dimyati, 22, yang maut dalam kemalangan jalan raya di Vladimirskaya, Rusia pada Isnin lalu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20 di sini semalam.
Jenazah pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 9.45 malam kelmarin menerusi pesawat Emirates Airlines dari Dubai.
Jenazah kemudian dibawa ke Surau Al-Iman Presint 9 untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan kira-kira pukul 1.40 pagi semalam.
Ibu saudara mangsa, Datuk Rabeahtul A. Abbas yang mewakili keluarga mangsa menyampaikan ucapan terima kasih kepada kerajaan dan semua pihak yang terlibat mengendalikan urusan membawa pulang jenazah.
"Maaf, ibu bapa arwah belum bersedia untuk bertemu media kerana mereka masih terkejut dengan kejadian itu," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 3 pagi Isnin lalu (11 malam Ahad waktu Rusia), Adzreen bersama enam lagi pelajar Malaysia dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Moscow ke kampus mereka di Akademi Perubatan Negeri Nizhny Novgorod.
Malangnya, bas yang mereka naiki terbabit dengan kemalangan di wilayah Vladimirskaya, 120 kilometer dari wilayah Nizhny ekoran kegagalan pemandu mengawal kenderaan kerana dipercayai terlelap.
Adzreen meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital manakala seorang lagi mangsa, Hanisah Muhd. Shah, 22, yang merupakan pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat maut di tempat kejadian.

Saturday, September 8, 2012

Rumah kedai dirempuh kereta dibaiki



WARTAWAN SINAR HARIAN
8 September 2012
Abdullah Yusoff
Peserta Ladang Rakyat Dun Kelaboran dan Pengkalan Kubur berganding bahu membantu membaiki rumah kedai Abdullah.
KAMPUNG DALAM RHU – Rumah kedai yang dirempuh kereta Mercedes dipandu seorang lelaki yang terlelap Selasa lalu mula dibaiki secara gotong-royong, semalam.
Gotong-royong ini melibatkan peserta Ladang Rakyat Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelaboran dan Pengkalan Kubur.
Bahan binaan seperti simen dan bata adalah sumbangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim melalui pejabat Dun Kelaboran.
Pemilik rumah kedai itu, Abdullah Yusoff, 60, berkata, akibat rempuhan kereta terbabit, rumahnya tidak selamat untuk didiami kerana dinding konkrit rumahnya pecah.
“Alhamdulillah ada pihak membantu membaiki rumah ini secara gotong-royong, hanya ini sahaja rumah yang kami ada untuk berteduh,” katanya.
Rabu lalu dilaporkan, sebuah kereta Mercedes merempuh rumah kedai hingga meragut nyawa seorang kanak-kanak dan cederakan ibunya dalam kejadian di Kampung Dalam Rhu.
Akibat rempuhan itu, rumah itu hampir ranap. Mangsa yang terkorban, Adam Firdaus Syukri, merupakan cucu Abdullah.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang, mangsa sedang bermain di ruang tamu sambil diperhatikan oleh ibunya, Nik Salwani Abdullah, 26, yang menemani anak sulung dan anak keduanya menyiapkan kerja sekolah.
Tinjauan Sinar Harian mendapati kerja gotong-royong itu hampir siap apabila dindingnya mula dibina baru.

Monday, July 9, 2012

Kucup ibu sebelum maut kemalangan



Kucup ibu sebelum maut kemalangan
Keadaan motosikal arwah yang remuk bahagian depan selepas dirempuh kereta terbabit
ALOR GAJAH - Seorang remaja sempat memohon ampun dan mengucup ibunya sebelum meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialami selepas motosikal yang ditunggang terbabit dalam satu kemalangan di Jalan Machap Baru-Selandar, dekat sini, tengah malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah malam itu, mangsa, Roziati Roslan, 19, menunggang Honda EX5 dari arah Machap Umboo menuju ke Selandar dirempuh sebuah kereta Honda Jazz yang dipandu seorang lelaki berusia 20 tahun yang datang dari arah bertentangan.

Difahamkan, mangsa yang bertugas sebagai anggota Rela di Depo Tahanan Imigresen Machap Umboo dalam perjalanan pulang ke rumah ibunya di Kampung Pondok Kempas, Selandar dirempuh kereta terbabit yang hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

Lebih menyayat hati apabila mangsa disahkan meninggal dunia pada hari ulang tahun kelahirannya yang ke-19 dan ditemui dalam keadaan nazak oleh rakan setugasnya di longkang berdekatan.

Saksi kejadian, Ismail Mohamad, 30-an, yang juga rakan sekerja mangsa berkata, dia yang tinggal di Nyalas, Jasin menyusul di belakang
mangsa sebelum arwah memintas keretanya dan hilang dari pandangan beberapa saat kemudian sebaik melepasi simpang Kampung Ayer Pasir.

Menurutnya, sebaik melepasi simpang Kampung Ayer Pasir, kelibat motosikal arwah tidak kelihatan sebelum dia menyedari mangsa sudah terhumban dalam longkang.

"Saya mengajar arwah mengucap kalimah syahadah sehingga ambulans tiba di tempat kejadian dan membawanya ke Hospital Melaka namun saya arwah disahkan meninggal dunia dalam perjalanan pada jam 1.10 pagi," katanya.

Ibu mangsa, Shamsiah Yahya, 55, ketika ditemui di rumah saudaranya berkata, anaknya itu sempat bertemu dengannya ketika bekerja di sebuah kilang ayam di Gadek, malah arwah berperwatakan pelik apabila tiba-tiba mengucup wajahnya sambil meminta ampun.

Menurutnya, arwah juga sempat memaklumkan akan pulang ke rumah pada malamnya.

"Malah sebelum bertolak pulang arwah juga ada menghubungi saya kira-kira jam 11.45 malam memaklumkan dia sudah hendak pulang
sebelum seorang pegawai depot memaklumkan kemalangan yang menimpa anak saya,” katanya di sini.

Rakan serumah mangsa, Nur Erna Faziara Jamri, 18, berkata, sebelum kejadian arwah ada mengajaknya menemani pulang, namun arwah tiba-tiba menghalangnya ikut bersama kerana bimbang terjadi apa-apa ketika perjalanan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kemalangan maut yang berlaku di Jalan Machap Baru-Selandar membabitkan sebuah motosikal dengan sebuah kereta kira-kira jam 12.15 tengah malam, kelmarin.

“Mangsa seorang remaja berusia 19 tahun dari Kampung Pondok Kempas disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan dalam perjalanan  ke Hospital Melaka dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya kepada Sinar Harian.

Hancur dirempuh 10 kenderaan



WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Julai 2012
Hancur dirempuh 10 kenderaan
Anggota polis berhati-hati mengangkat mayat mangsa untuk dihantar ke Jabatan Forensik dan Bilik Mayat Hospital Melaka untuk bedah siasat.
ALOR GAJAH - Saya hanya mampu melihat mangsa yang sudah terbaring atas jalan dirempuh kenderaan lain.

Berbunyi derapan tulang mangsa hingga badannya hancur diseret kenderaan," kata seorang saksi terawal yang menyaksikan kemalangan ngeri di Kilometer 216.2 Lebuhraya Plus arah utara, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 pagi itu, mangsa, Mohammed Nizam Abdullah, 39, dari Kampung Padang, Bukit Lintang, Melaka dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Selangor dirempuh sebuah kenderaan sebelum tercampak ke laluan tengah manakala motosikalnya jenis Yamaha RXZ tercampak ke laluan paling kanan.

Difahamkan dalam kejadian itu, sebuah Mercedez Benz yang gagal mengelak merempuh motosikal mangsa yang berada di laluan paling kanan dan terseret kira-kira 200 meter sebelum kereta dipandu seorang lelaki berusia lingkungan 50-an itu terbakar dan mangsa dirempuh lebih 10 kenderaan lain.
Saksi terawal yang tiba di tempat kejadian, Mohd Hafiz Mohd Karim, 27, berkata, dia bersama rakannya, Mohd Hamzi Isa, 26, berada di laluan tengah sempat mengelak mangsa yang terbaring di laluan berkenaan sebelum kereta dinaiki terbabas ke kiri jalan kemudian dilanggar pula oleh sebuah proton Waja.

Menurutnya, sebaik dia turun dari keretanya dia mendapati mangsa masih belum dirempuh sebelum mangsa diseret beberapa kenderaan lain termasuk kenderaan berat sehingga 30 meter daging mangsa terburai atas jalan.

"Sementara Mercedez Benz turut terbakar namun pemandunya sempat keluar menyelamatkan diri sebelum api marak.
"Disebabkan semua kenderaan dipandu laju saya tidak dapat mengawal laluan dan segera menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan," katanya.

Adik ipar mangsa, Kamariah Musa, 33, ketika dihubungi berkata, ketika kejadian abang iparnya itu dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah kilang di Selangor bertolak dari rumah selepas menghabiskan cuti selama dua hari bersama keluarga.

Menurutnya, mangsa meninggalkan seorang isteri, Rahimah Musa, 38, dan tiga cahaya mata, Nur Atikah Mohammed Nizam, 13, Abdul Hakim, 12, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) dan Muhammad Firdaus baru berusia setahun enam bulan.

"Isteri mangsa enggan ditemu bual kerana begitu terkejut dan trauma selepas menerima berita berhubung kemalangan yang menimpa suaminya itu. "Arwah dikebumikan di tanah perkuburan Islam Felda Bukit Senggeh, Asahan, Jasin petang ini (semalam)," katanya.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Pegawai Bomba Kanan 2, Mohd Suhairi Sufian berkata, pihaknya menerima panggilan
kira-kira 6.45 pagi dan bergegas ke tempat kejadian bersama dua jentera serta dibantu sebuah lagi jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh.

“Ketika tiba di tempat kejadian api marak membakar Mercedez Benz berkenaan dan bomba menggunakan semburan buih sabun ke atas keseluruhan kereta terbabit yang 100 peratus hangus terbakar serta mengambil masa kurang setengah jam untuk memadam keseluruhannya,” katanya, semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Shaifuddin Shaharuddin berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di badan akibat dilanggar beberapa kenderaan yang melalui lebuh raya berkenaan selepas terjatuh.

"Cebisan mayat mangsa yang bersepah di jalan raya dikumpulkan menjadi satu di dalam beg mayat dan dihantar ke Jabatan Forensik Bilik Mayat Hospital Melaka untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga mangsa.

“Pengguna lebuh raya yang melihat kejadian diminta menghubungi Cawangan Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah menerusi talian 06-5563222 untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta pengangkutan Jalan 1987,” katanya, semalam.

Sunday, May 13, 2012

TRAGEDI ULANG TAHUN UMNO!!! 2 terbunuh, 3 parah apabila bas angkut ahli UMNO bertembung dengan lori di Gerik

PASPB: LAGI TRAGEDI ULANG TAHUN UMNO!!! 2 terbunuh, 3 parah apabila bas angkut ahli UMNO bertembung dengan lori di Gerik:



Sepasang suami isteri terbunuh manakala 17 cedera termasuk tiga parah dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dan lori di Km 45.2 Jalan Kuala Kangsar-Gerik dekat Kampung Gua Badak di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Gerik, Supritendan Abdul Manab Bahrum berkata, pemandu lori, Ong Khian Hock, 51, dan isteri, Loh Weng Chan, 46, yang berasal dari Taman Pengkalan Makmur, Taiping, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan. Mayat mereka dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat.
Menurut Abdul Manab, kejadian berlaku pada pukul 6 pagi ketika bas berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Gerik, bertembung dengan lori yang dipandu Khian Hock yang sedang dalam perjalanan dari Gerik ke Lenggong.
Katanya, mereka yang cedera parah ialah pemandu bas, Azmi Abdul Rahman, 48, dua penumpang iaitu Norliza Che Moh, 40, dan Fadilah Mahmud, 43 dan kesemua mereka kini dirawat di Hospital Kuala Kangsar.
Seramai 14 lagi penumpang menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Gerik.
Mereka adalah antara 38 ahli Wanita UMNO Bahagian Gerik yang sedang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis Ulang Tahun UMNO Ke-66 di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam tadi. - BERNAMA

Kemalangan bas: Dengar raungan rakan-rakan

Kemalangan bas: Dengar raungan rakan-rakan - Semasa - Sinar Harian:



Mohamad bersama Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad melawat salah seotang mangsa kemalan
Mohamad bersama Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad melawat
salah seotang mangsa kemalangan di Hospital Tuanku Jaafar, hari ini.
SEREMBAN – "Saya lihat semua tempat duduk sudah patah selain kedengaran rakan-rakan lain meraung kesakitan," kata Mohd Hafizan M. Senin, 30.

Mohd Hafizan merupakan salah seorang mangsa yang terselamat dalam kemalangan membabitkan dua bas dan sebuah treler di Kilometer 258.8 Lebuh Raya Utara-Selatan, berhampiran Plaza Tol Port Dickson, di sini, awal pagi semalam.

Menurutnya, ketika kejadian, sebahagian besar penumpang sedang tidur dan dia yang duduk di kerusi penumpang belakang tercampak ke tengah-tengah bas.

“Saya yang tercampak ke bahagian tengah basa nampak semua tempat duduk sudah patah. Saya nampak seorang warga emas yang duduk di kerusi belakang pemandu bas berkenaan tercampak ke luar tingkap," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Unit Kecemasan Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini hari ini.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Nurfarahim Abdullah, 21, dari Kampung Langgor, Hulu Terengganu berkata, ketika kejadian, dia tersentak dan panik melihat darah sudah melekat pada tudungnya.

“Kejadian berlaku begitu pantas. Saya sedar mulut dan hidung saya turut dipenuhi darah menyebabkan saya menjerit meminta tolong.

“Saya nampak pemandu bas turut meraung kesakitan kerana tersepit,” katanya.

Menurutnya, rombongannya dari Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Berang, Terengganu itu dalam perjalanan ke Bukit Katil, Melaka.

'via Blog this'

Kemalangan bas: Jaga diri baik-baik, pesanan terakhir nenek

Arina menunjukkan gelang yang merupakan hadiah terakhir arwah kepada anaknya
Arina menunjukkan gelang yang merupakan hadiah terakhir arwah kepada
anaknya
Allahyarham Roa Dol, 79 mangsa kemalangan di Kilometer 258.8 Lebuh Raya Utara Selatan
Allahyarham Roa Dol, 79 mangsa kemalangan di Kilometer 258.8 Lebuh Raya
Utara Selatan
BATU PAHAT – “Jaga diri baik-baik, nenek dah nak pergi ni,” itulah pesanan terakhir Allahyarham Roa Dol, 79, kepada cucu kesayangannya, Puteri Nuraqilah Mohd Khutatu, 11 bulan, sebelum menghadiri Sambutan Ulang Tahun Umno ke-66 di Stadium Bukit Jalil kira-kira jam 9 pagi, semalam.

Namun malang tidak berbau, dalam perjalanan pulang daripada sambutan berkenaan, Roa terlibat dalam kemalangan di Kilometer 258.8 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran susur keluar ke Port Dickson pada jam 2.58 dan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.

Kemalangan tersebut yang membabitkan dua bas dan sebuah lori treler turut menyebabkan 77 lagi cedera.

Menantu Allahyarham Roa, Nurul Arina Mohd Yusof, 20, berkata, dia tidak menyangka itu adalah kata-kata terakhir untuk anaknya yang merupakan cucu bongsu mangsa.

Menurutnya, semenjak Puteri Nuraqilah atau nama manjanya Qila dilahirkan, arwah ibu mertuanya itu banyak menghabiskan masa bersama cucu kesayangannya itu.

“Saya sedih setiap kali mengenangkan arwah yang suka bermain dengan Qila.

“Bagaimanapun, ini ketentuan daripada ALLAH dan saya menerimanya dengan redha,” katanya kepada Sinar Harian di kediamannya di Kampung Parit Lubok Tengah, Semerah di sini.

Menurut Nurul Arina, dia turut berasa sebak kerana beberapa hari sebelum tragedi itu, Allahyarham ibu mertuanya sempat menghadiahkan seutas gelang tangan kepada Qila.

Katanya, paling menyedihkan apabila arwah sendiri yang memakaikan gelang emas berkenaan kepada cucunya.

“Arwah juga tidak menunjukkan sebarang perlakuan pelik sebelum mengikuti rombongan berkenaan.

“Malah sepatutnya hari ini kami sekeluarga merancang hendak buat kejutan kepada arwah dengan menyambut Hari Ibu di Johor Bahru iaitu di rumah salah seorang anaknya,” katanya yang tinggal serumah bersama Allahyarham Roa, suami dan anaknya, Qila.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Lubok, kira-kira jam 3.45 petang tadi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad berkata, pemergian Roa adalah kehilangan besar buat Umno Bahagian Parit Sulong dan juga Cawangan Parit Lubok.

Katanya, Roa sememangnya aktif dalam Umno dan menjadi orang pertama hendak melibatkan diri apabila ada aktiviti atau program yang melibatkan parti.

“Malah beliau jugalah yang biasanya menjadi ketua kepada aktiviti-aktiviti terbabit, dan turut menjadi jawatankuasa dalam cawangan. Malah setiap kali Hari Raya Aidilfitri Allahyarham tidak pernah ketinggalan menjamu ahli Umno di kawasannya.

“Beliau juga boleh dijadikan contoh kepada ahli Umno yang lain terutamanya golongan muda, di mana usia bukannya penghalang untuk bergiat aktif,” katanya.
Kemalangan bas: Jaga diri baik-baik, pesanan terakhir nenek - Semasa - Sinar Harian:
'via Blog this'

Friday, December 23, 2011

Mangsa kemalangan Genting Sempah rayu bantuan

BALING - Seorang mangsa kemalangan bas melibatkan rombongan Belia 4B dari Kampong Baru, Siong, Baling pada 29 Oktober 2010, merayu pihak yang bersimpati agar menyumbangkan sebuah motosikal beroda tiga untuk memudahkannya bergerak.
Mohd. Adib Ramli, 21, yang kudung kedua-dua belah kakinya akibat kemalangan itu, mengharapkan sumbangan kenderaan itu supaya lebih mudah baginya bergerak terutama ke masjid dan ke kelas mengajar al-Quran kepada kanak-kanak di Kampung Baru Siong.
Remaja itu yang mendapat bantuan RM150 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak November tahun ini, turut berharap agar jumlah itu ditambah kepada RM300 sebulan.
Ketika dikunjungi di rumahnya di Kampung Pokok Setol, Siong, Mohd. Adib berkata, kaki palsu yang disumbangkan kepadanya tidak begitu selesa digunakan.
"Saya lebih selesa tanpa kaki palsu itu kerana saya memerlukan bantuan untuk memakainya. Jika tiada sesiapa di rumah saya tidak mampu memakainya sendiri”, jelasnya.
Dalam kejadian itu, bas yang membawa peserta rombongan Belia 4B dari Kampung Baru Siong terbabit dalam kemalangan di Genting Sempah, menyebabkan tujuh daripada mereka maut di tempat kejadian, lebih 15 mangsa cedera dan dua parah termasuk Mohd. Adib yang kehilangan kedua-dua kaki.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Mohd. Adib di talian 019 4032 126 atau melalui akaun Maybank 162076587136 atas nama Mohd. Adib. - BERNAMA
Kosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

Wednesday, September 14, 2011

11 maut, 212 cedera kereta api rempuh bus





2011/09/14

BUENOS AIRES: Sebelas terbunuh manakala 212 lagi cedera apabila kereta api merempuh sebuah bas sebelum dilanggar satu lagi kereta api di stesen pinggir bandar barat daya Buenos Aires, semalam. 

Anggota bomba dan penyelamat bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa yang tersepit dari celah gerabak yang remuk untuk dibawa ke hospital berhampiran.
Polis berkata, setakat ini 11 orang disahkan maut manakala 30 yang lain parah dan kemungkinan angka kematian akan meningkat.
Setiausaha Pengangkutan Argentina, Juan Pablo Schiavi menyifatkan nahas itu adalah yang terburuk dan membabitkan korban paling ramai. 

Nahas berlaku jam 7 pagi waktu tempatan apabila ribuan penumpang kereta api bergegas untuk ke tempat kerja di Daerah Flores. 

"Sebuah kereta api yang memasuki stesen Flores merempuh sebuah bas di Laluan 92 dengan mengheretnya di sepanjang platform,” kata Gustavo Gago, jurucakap pengendali kereta api Buenos Aires. 

“Pada masa yang sama, satu lagi kereta api memasuki stesen dan melanggar bas berkenaan," katanya. - AFP 

Thursday, September 1, 2011

Justin Bieber terbabit dalam kemalangan

LOS ANGELES: Bintang pop sensasi, Justin Bieber, terbabit dalam kemalangan ketika memandu kereta Ferrarinya di Los Angeles awal pagi tadi tetapi tiada sesiapa mengalami kecederaan.

Jurucakap JAbatan Polis Los Angeles (LAPD), Rosario Herrera, berkata bintang Kanada itu sedang memandu Ferrari berwarna hitam apabila berlanggar dengan sebuah kereta Honda di tempat letak kenderaan bawah tanah.
"Justin Bieber memandu Ferrari dan kereta lain adalah Honda ... tiada kecederaan dan kerosakan terhadap kedua-dua kereta," katanya. - AFP bharian

Sunday, August 28, 2011

SESAT - Five Percenter bukan Islam sejati - ianya adalah cabang serpihan Agama



Siapakah Five Percenters Dan Apakah Five Percenter
 
Mereka atau kumpulan ini bukan golongan yang menganuti Islam yang sebenarnya, Five Percenters adalah kumpulan serpihan yang berpecah dari Nation of Islam (NOI) pada tahun 1964 akibat dari Penafian dan Penolakan tentang Ketuhanan di bawah kepimpinan Clarence "Pudding" 13X. 

Nama Five Percenter ini berasal dari kepercayaan bahawa mereka adalah yang telah dipilih sebanyak Lima peratus daripada umat manusia yang hidup dalam Kejahilan, Hipokrik dan Tidak Jujur dan mereka Five Percenter hidup "dalam Islam yang Benar" dan dengan itu mereka telah dimanifestasikan sebagai 'Yang kudus" iaitu mereka lah orang orang kulit hitam penghuni sebenar didunia ini dan dipanggil Allah atau Tuhan.

Clarence Pudding 13X adalah bekas anak murid Malcom X pemimpin Kulit Hitam America diawal tahun 1960an, yang mana beliu telah keluar dan meninggal kan Masjid di kawasan mereka iaitu Harlem di Mahathan, New York akibat dari pandangan dan fahaman nya yang tidak setuju dengan sifat Ketuhanan yang disampaikan pada masa itu. Beliu lah yang bertanggungjawab terhadap penyebaran, mempopularkan dan reinterpreting "Lessons" atau ajaran Elijah Muhammad di kalangan generasi remaja tahun enam puluhan di kawasan metropolitan New York.


Penggikut atau penganut Five Percenter mempercayai dan mengajar bahawa...

1.Orang Kulit Hitam adalah penduduk asal planet bumi.
2.Orang Kulit Hitam adalah bapa dan ibu-ibu tamadun.
3.Pengetahuan Sains Matematik adalah kunci untuk memahami hubungan manusia dengan alam semesta.
4.Islam adalah cara hidup semula jadi dan bukan nya Agama.
5.Manusia harus dibentuk untuk membolehkan berdikari sebagai satu bangsa.
6.Masing-masing perlu mengajar mengikut pengetahuan mereka.
7.Orang Kulit Hitam adalah tuhan dan nama yang betul adalah ALLAH. Lengan, kaki, kaki, lengan, Ketua.
8.Anak-anak kita adalah hubungan untuk masa depan dan mereka perlu dipupuk, dihormati, disayangi, dilindungi dan dididik.
9.Hanya keluarga Orang Kulit Hitam yang bersatu dapat membangun negara.

Harlem - Mahathan, New York

Sejak 25 tahun kebelakangan ini, pengaruh Nation Five Percenter atau Negara Tuhan dan Bumi (seperti yang dikenali sekarang) berkembang dengan pesat nya dalam banyak lirik lagu dan dalam muzik Rap kontemporari, ianya menonjolkan rujukan secara langsung atau kiasan yang kuat tentang Five Percenter Ideologi. Superstar Rapper seperti Erykah Badu, Srand Nubian, Black Cream, Jay Z, Busta Rhymes dan ramai lagi yang tidak mendedahkan anutan dan kefahaman mereka.

Friday, August 26, 2011

Polis masih kesan identiti suspek langgar lari



KOTA BHARU- Polis Kelantan masih bagi berusaha mengesan identiti seorang pemandu kereta Proton Iswara Putih yang dipercayai melanggar dua beradik sehingga maut sebelum melarikan diri di Kampung Hutan Pasir, Pengkalan Chepa dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Assisten Komisioner Azham Othman berkata, tangkapan masih belum dibuat dan pihaknya masih mengumpulkan bukti kukuh berhubung kejadian tersebut.

“Setakat ini maklumat yang kita terima kereta yang melanggar dua beradik tersebut jenis Proton Iswara berwarna putih dan identitinya masih belum di kenal pasti.

”Ketika berlaku kemalangan, pemandu tersebut berjaya melarikan diri sebaik melihat orang kampung mengejarnya,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Semalam, Sinar Harian, melaporkan hasrat seorang ibu menyediakan kelengkapan buat dua anaknya sempena Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi tidak kesampaian apabila kedua-dua anaknya itu maut dalam nahas di Kampung Hujung Tanjung dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.40 tengah hari itu, mangsa Raja Zulkarnain Raja Azhan, 9, dan adiknya Raja Nur Iliya, 6, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah.

Kedua-dua mereka dilanggar oleh sebuah kereta jenis Proton Iswara ketika menunggang basikal pulang ke rumah dari sekolah. Pemandu kereta itu bagaimanapun melarikan diri.

Sehubungan dengan itu, beliau meminta orang ramai yang mengetahui kejadian tersebut diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pejabat trafik Kota Bharu di talian 09-755229.

“Kes tersebut di siasatan di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1957,” katanya.

Tersepit di tempat duduk



KIJAL – Seorang ahli perniagaan berpangkat datuk yang terkenal di daerah Dungun maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 134 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Pasar Raya Besar Giant Kijal, di sini, pagi semalam.

Datuk Abu Bakar Kamar @ Kamal, 61, berasal dari Jalan Besar, Dungun meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala selain turut tersepit di tempat duduk pemandu apabila pacuan empat roda jenis Mitsubishi yang dipandunya bergesel dengan Proton Wira sebelum bertembung dengan kereta Porshe.



Kenderaan berpusing beberapa kali


Akibat pertembungan itu, pacuan empat roda yang dipandu mangsa berpusing beberapa kali begitu juga Porsche dinaiki tiga lelaki yang salah seorang daripadanya pengurus sebuah syarikat di daerah ini turut berpusing beberapa kali sebelum terperosok ke dalam semak di bahu jalan.

Bagaimanapun, ketiga-tiga pemandu dan penumpang kereta mewah itu tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun kereta mereka remuk di bahagian hadapan sebelah kiri.



Jalan tidak rata punca nahas

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu berlaku apabila pacuan empat roda yang dinaiki mangsa memotong sebuah treler sebelum kembali ke laluan asal.

Namun, menurutnya, selepas memotong treler, pacuan empat roda itu secara tiba-tiba melambung disebabkan keadaan jalan yang tidak rata mengakibatkan kenderaan mangsa bergesel dengan sebuah Proton Wira yang dinaiki tiga lelaki dan seorang wanita yang datang dari arah bertentangan.

Akibat pergeseran itu kenderaan mangsa masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta Porsche yang berada di belakang Proton Wira berkenaan.

“Mayat mangsa dikeluarkan pasukan bomba dan penyelamat balai Kerteh kerana mangsa turut tersepit di tempat duduk pemandu sebelum mayat dihantar ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat,” katanya.

Suasana sayu menyelubungi pekarangan Unit Forensik, Hospital Kemaman.

Isteri mangsa, Datin Wan Esah Wan Mamat, 57, bersama empat anaknya, Lina Syamimi, 23, Kamal Fahmi, 21, Lina Mariam, 20, dan Mira Fatimah, 17, kelihatan sugul dan masih terkejut dengan kejadian yang meragut nyawa bapa mereka.

Wan Esah berkata, suaminya itu keluar rumah sejak pagi dan sempat memberitahu mahu ke Kemaman atas urusan perniagaan.

Namun, suri rumah itu tidak menyangka itulah kali terakhir berpeluang bercakap dengan suaminya yang sebelum ini tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap.



Syukur terselamat

Sementara itu, penumpang Proton Wira yang duduk di kerusi belakang, Mohd Faridzuan Khamis, 16, dari Kuala Abang, Dungun berkata, walaupun kereta yang dinaiki bersama ibunya, Nor Lida Ba’i, 41, dan dua abang saudaranya turut kemik di bahagian hadapan selepas bergesel dengan pacuan empat roda mangsa tetapi mereka bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kami dalam perjalanan pulang ke Dungun selepas menghantar barang di Johor Bahru. Tak sangka pula akan terlibat dalam nahas, tetapi kami sangat bersyukur kerana terselamat,” katanya.