Thursday, September 15, 2011

Tak sukar berpoligami di Yala





YALA , Selatan Thailand 14 Sept. - Dengan hanya bayaran sebanyak RM450, pasangan rakyat Malaysia boleh bernikah, termasuk berpoligami di daerah ini tanpa perlu melalui pelbagai prosedur seperti turun naik mahkamah atau mendapatkan kebenaran isteri pertama.
Malah, Kadi Syarie Majlis Agama Islam Wilayah Yala, Ismail Hari mendedahkan, terdapat pasangan dari Malaysia yang sudah terlanjur dengan kandungan sudah mencecah usia tujuh bulan, datang ke daerah itu untuk bernikah selepas gagal berbuat demikian di negara asal disebabkan perlu mengikut prosedur ditetapkan.
Selain itu, katanya, terdapat juga pasangan muda yang tidak mendapat restu daripada ibu bapa mereka untuk melangsungkan perkahwinan, bernikah di situ, selain golongan selebriti dan orang kenamaan yang ingin menyembunyikan pernikahan mereka.
"Secara purata, sebulan sebanyak 20 pasangan dari Malaysia majoriti berusia 20 tahun ke atas bernikah di sini, termasuk yang hendak berpoligami.
"Di sini nak berpoligami tidak ada syarat, bebas. Latar belakang pasangan juga tidak ditanya dengan kebanyakan menggunakan wali hakim yang diberi tauliah oleh majlis," katanya di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika memberi taklimat kepada sekumpulan 34 rombongan dari Kelantan di kalangan pemimpin agama, pentadbir institusi pendidikan dan wartawan yang dalam rangka lawatan ke Thailand.
Lawatan itu atas jemputan Konsulat Jeneral Diraja Thailand di Kota Bharu dalam usaha mengukuhkan hubungan antara masyarakat Islam di Thailand terutama di wilayah selatan, dengan Malaysia khususnya Kelantan. Kunjungan tersebut turut disertai oleh Konsul Jeneral, Surapon Petch-Vra.
Sementara itu, Timbalan Yang Dipertuanya, Ahmad Tubong memberitahu, terdapat dua kaedah perkahwinan membabitkan warga asing iaitu bernikah di rumah atau di pejabat dengan bayaran nikah serta surat pengesahan sebanyak RM450 dikenakan ke atas setiap pasangan.
"Nak kahwin di rumah pun boleh tapi perlu surat kahwin dan surat pengesahan daripada pejabat agama," jelasnya.
Dalam pada itu, Surapon mencadangkan supaya Majlis-majlis Agama Islam di wilayah selatan Thailand mengadakan perbincangan atau pertemuan lebih kerap dengan Majlis Agama Islam di Malaysia bagi mencari jalan penyelesaian berhubung masalah nikah kahwin membabitkan rakyat negara itu di sini. - Utusan

Jamil Khir nafi guna wang zakat besarkan rumah



15/09/2011 7:04pm

KUALA LUMPUR 15 Sept. - Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menafikan dakwaan portal pembangkang kononnya beliau menggunakan wang zakat untuk mengubah suai kediaman di Kampung Batu Muda, Batu Caves di sini.
Beliau berkata, wang yang digunakan untuk mengubah suai rumah yang dihuni anggota keluarganya sejak 1994 itu, adalah hasil titik peluh sendiri ketika berkhidmat dalam angkatan tentera dan menyifatkan dakwaan itu sebagai ”politik terdesak”.
"Ini perbuatan politik terdesak... Saya dulu bukan penganggur. Jawatan terakhir saya dalam tentera ialah Mejar Jeneral. Jadi, tidak mungkin seorang Mejar Jeneral tidak mampu ada rumah.
"Dia kena faham, saya tentera yang berpencen dan ada ganjaran, tetapi tiadalah sampai RM1 juta... anak-anak seramai enam orang juga tinggal bersama, jadi sebab itu banyak kereta di rumah,” katanya kepada pemberita hari ini. - Bernama

Serangan NATO di Libya model kerjasama AS-Eropah





2011/09/15

WASHINGTON: Seorang pegawai kanan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) menyifatkan kempen serangan tentera NATO di Libya adalah 'model' masa depan membabitkan kerjasama negara Eropah dan AS dalam gabungan tentera bersekutu. 

Operasi serangan di Libya dilihat sebahagian daripada beberapa model bagaimana AS boleh mengetuai tentera bersekutu, kata Penolong Setiausaha Jabatan Negara bagi Hal Ehwal Eropah, Philip Gordon di sini, semalam.
“Ini sesuatu yang batu mengenai pendekatan kita terhadap Libya dan apa yang boleh dilakukan Amerika dengan Eropah turut memberi peranan dalam aspek tertentu," katanya. - AFP

942 laporan polis terhadap Mat Sabu

KUALA LUMPUR 14 Sept. - Kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu atau Mat Sabu yang menjulang komunis sebagai hero dalam tragedi Bukit Kepong terus mendapat bantahan daripada pelbagai pihak dengan sebanyak 942 laporan dibuat terhadapnya sehingga hari ini.
Sumber berkata, laporan polis itu dibuat pelbagai pihak termasuk keluarga mangsa kekejaman komunis dalam tempoh 19 hari sejak disiarkan akhbar Utusan Malaysia pada 27 Ogos lalu.
"Antara laporan polis diterima ialah daripada seorang wanita yang merupakan ahli keluarga anggota polis yang menjadi mangsa serangan Balai Polis Bukit Kepong.
"Wanita itu menuntut Mohamad Sabu meminta maaf kerana celupar dan menghina pengorbanan pasukan keselamatan atau berdepan tindakan saman," kata sumber itu ketika dihubungi di sini hari ini.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein menggesa semua pihak yang tidak berpuas hati dengan kenyataan Mat Sabu tersebut supaya menyaman Timbalan Presiden Pas itu.
Mat Sabu dalam ceramahnya pada 21 Ogos lalu dilaporkan berkata, seorang lelaki Melayu, Mohamad Indera yang bersekongkol dengan 200 anggota komunis lain menyerang Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 ialah hero sebenar yang memperjuangkan kemerdekaan negara.

Alasan


BERSIH ada motif politik
Oleh Magendran Rajagopal
magendran@bharian.com.my
2011/09/15

Pra syarat baru dibuat apabila kerajaan laksana beberapa langkah

PUTRAJAYA: Kerajaan terpaksa menyuraikan peserta perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) kerana tidak mahu menghadapi risiko ia mungkin bertukar menjadi isu perkauman atau sesuatu yang mengaitkan agama.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dalam satu kenyataan semalam, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak lebih awal lagi menawarkan stadium untuk peserta BERSIH berkumpul bagi mengelakkan kejadian seumpama itu tetapi mereka tidak menerima tawaran terbabit.
Jadi, jika kita tawarkan stadium, mereka mahukan stadium di tengah ibu negara dan mahu mengadakan perarakan sepanjang jalan sehingga ke stadium. - Hishammuddin Hussein, Menteri Dalam Negeri
“Hakikatnya, mereka (BERSIH) ini kumpulan yang mempunyai agenda politik tersendiri dan tidak kira apa saja yang kita lakukan, mereka tidak akan berpuas hati tetapi sebaliknya cenderung membuat pelbagai pra syarat baru.

“Jadi, jika kita tawarkan stadium, mereka mahukan stadium di tengah ibu negara dan mahu mengadakan perarakan sepanjang jalan sehingga ke stadium.

“Begitu juga dengan isu lain seperti menggunakan sistem biometrik bagi pengesahan pengundi. Jika kita melaksanakannya, mereka mungkin menuntut supaya dakwat kekal digunakan,” katanya.

Beliau juga merujuk kepada isu terbaru iaitu kerajaan bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Terpilih Parlimen (PSC) bagi menangani lapan tuntutan yang dikemukakan BERSIH tetapi mereka kini menolak PSC sama sekali melainkan kerajaan setuju melanjutkan tempoh kempen pilihan raya. 
Justeru, Hishammuddin berkata, kebanyakan rungutan yang dibangkitkan penyokong BERSIH adalah bermotifkan politik dan agenda politik boleh dieksploitasi pelbagai pihak yang ada hasrat tersembunyi.

Kes Mat Sabu ke Peguam Negara



Oleh Adha Ghazali 
adha@bharian.com.my
2011/09/15

ISMAIL (tengah) bertanya khabar  ketika  ketika turun padang meninjau keadaan mangsa banjir  di Bintong, semalam.
ISMAIL (tengah) bertanya khabar ketika ketika turun padang meninjau keadaan mangsa banjir di Bintong, semalam.
Ismail enggan dedah siasatan, bentuk pendakwaan mungkin diambil 

KANGAR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengesahkan pihaknya sudah menyerahkan kertas siasatan berhubung kes membabitkan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu atau Mat Sabu, kepada pihak Peguam Negara untuk dipertimbangkan bagi tujuan pendakwaan.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan mengenai sudut siasatan terbabit, termasuk bentuk pendakwaan yang mungkin dilakukan terhadap Mat Sabu, selain bila kertas siasatan itu diserahkan.
“Kami sudah serahkan kertas siasatan terbabit kepada Peguam Negara. Buat masa sekarang, saya tidak mahu komen apa-apa mengenainya dan saya rasa lebih baik kita biar saja Peguam Negara yang putuskan,” katanya ketika turun padang meninjau keadaan mangsa banjir di Surau Tebing Tinggi, dekat Bintong, di sini, menempatkan 80 penduduk yang terjejas. 

Terdahulu, Ismail sempat mendengar taklimat mengenai banjir yang melanda negeri ini yang disampaikan Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner I, Zull Aznam Harun di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini. 

Sementara itu, Ismail ketika ditanya mengenai cadangan bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar berhubung kes terbabit berkata, sudut pendakwaan yang akan diambil kira tidak jauh berbeza daripada apa yang disarankan itu. 

Kelmarin, Haniff mengesyorkan tindakan mengikut Akta Hasutan dikenakan ke atas Mat Sabu kerana kenyataannya menggempar dan menakutkan masyarakat, selain Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana membabitkan kenyataan mendatangkan khianat awam. 
Dalam perkembangan lain, Ismail berpuas hati dengan hasil laporan enam jawatankuasa khas berhubung BERSIH 2.0 yang diserahkan pihaknya kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, baru-baru ini. 

“Saya berpuas hati dengan laporan itu. Selebihnya, kita tunggu maklum balas Kabinet. Saya tidak mahu komen mengenai kandungan laporan itu. Pihak kami sudah serah kepada Menteri Dalam Negeri dan saya yakin ia akan dimajukan kepada Kabinet dalam tempoh terdekat,” katanya. 

Kelmarin, Hishammuddin mengesahkan laporan berhubung enam tuduhan terhadap polis ketika menjalankan tugas menjaga keselamatan dan ketenteraman awam ketika perhimpunan haram BERSIH 2.0 akan dibentangkan di Kabinet tidak lama lagi. 

Mengenai banjir, Ismail berkata, pihaknya mahu satu prosedur arahan tetap (SOP) mengenai pengendalian banjir oleh PDRM diwujudkan bagi memudahkan tugas penyaluran bantuan dan pemantauan keselamatan ketika bencana itu. 

“Kita ada SOP tersendiri bagi pengurusan bencana. Cuma kita mahu mantapkan lagi SOP sedia ada supaya ia relevan dengan peredaran masa dan saya sudah minta Ketua Polis Perlis untuk siapkan laporan terbabit sebagai panduan,” katanya. 

Katanya, beliau akan meninjau beberapa negeri sekitar utara bermula semalam untuk mendekati anggota dan pegawainya, terutama untuk mengucapkan tahniah kepada anggota yang dinaikkan pangkat di semua kontinjen. 

Guru AS tak bantu kuasai BI



Oleh Mohd Feroz Abu Bakar, Mohd Roji Kawi dan Nik Sukry Ramli
bhnews@bharian.com.my
2011/09/15

NGO bimbang pengajar dari Amerika Syarikat bawa budaya Barat

KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan pendidikan menyarankan Kementerian Pelajaran mewujudkan sesi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris (BI) lebih menarik bagi membolehkan murid memperoleh asas linguistik kukuh pada peringkat rendah.
Kesatuan Guru-Guru Malaysia Barat (KGGMB), meminta penggunaan teknologi komunikasi maklumat (ICT) dengan memanfaatkan makmal komputer supaya subjek berkenaan lebih menyeronokkan.
Pelajar terpinga-pinga mendengar dialek bahasa Inggeris yang disampaikan ETA kerana sebutannya sukar difahami. - Hashim Adnan, Presiden NUTP
Presidennya, Mohd Sabri Arsad, berkata langkah membawa masuk guru dari Amerika Syarikat (AS) bukan tindakan bijak kerana guru asing dikhuatiri membawa masuk budaya Barat yang bercanggah dengan cita rasa tempatan.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, maklum balas daripada guru dan pelajar di Terengganu yang mempunyai English Teaching Assistant (ETA) menunjukkan kehadiran ETA dari AS tidak banyak membantu meningkatkan penguasaan BI pelajar.

“Pelajar terpinga-pinga mendengar dialek bahasa Inggeris yang disampaikan ETA kerana sebutannya sukar difahami, ” katanya.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin berkata BI akan dijadikan syarat wajib lulus. Syarat itu bagi melayakkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerima sijil penuh selepas gurunya mencukupi dan pengenalan kurikulum baru. 
Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) pula meminta pelaksanaan syarat wajib lulus dalam SPM itu dilakukan secara berhati-hati dan tidak tergesa-gesa sehingga membebankan pelbagai pihak.

Presidennya, Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata cadangan mengambil tenaga pengajar luar negara bukan penyelesaian terbaik.

Kementerian, katanya perlu melatih lebih ramai guru tempatan dan mengoptimumkan kemahiran mereka untuk dimanfaatkan bersama.

Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) meminta Kementerian Pelajaran mengkaji semula silibus mata pelajaran BI di sekolah menengah bagi meningkatkan minat pelajar untuk menguasai mata pelajaran itu.

Yang Dipertuanya, Ahmad Malie, berkata ketika ini pelajar terpaksa mempelajari komponen sastera sebagai elemen tambahan dalam silibus pembelajaran BI. 

Tidak dijajah: Bila Najib mahu buat pendirian


Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 14 Sept: “Bila lagi Datuk Seri Najib mahu membuat pendirian rasmi bahawa negara kita tidak pernah dijajah sebagaimana kenyataan Prof Dr Zainal Kling, kemudian disokong pula oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir,” tanya AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.
Katanya, selaku Perdana Menteri, beliau mesti menyatakan pendirian rasmi kerajaan dan pendirian Umno di dalam hal itu.
Beliau menambah, satu jawapan yang segera perlu dibuat untuk meredakan keresahan rakyat di negara ini.
Katanya, tidak boleh mendiamkan diri dengan tidak membuat apa-apa pendirian, kerana ia sudah menjadi polemik di dalam masyarakat sejak kenyataan ini dikeluarkan, lebih-lebih lagi guru sejarah yang sedang mengajar anak murid mereka yang sedang menghadapi peperiksaan UPSR.
“Datuk Seri Najib mesti ada keberanian untuk menyatakan pendirian rasmi, jika beliau bersetuju dengan Profesor Umno ini maka kena batal sambutan kemerdekaan negara kali ke 54 jika tidak akan diketawakan oleh orang,” ujarnya.
Tambahnya, semua soalan Sejarah mengenai kemerdekaan yang sudah dibuat perlu dibatalkan.
Katanya lagi, semua tesis yang ditulis oleh sarjana yang berkaitan dengan kemerdekaan hendaklah dikeluarkan daripada semua perpustakaan yang disimpan di universiti negara ini.
“Anugerah bapa kemerdekaan kepada al-Marhum Tunku Abdul Rahman hendaklah ditarik balik.
“Nama Dataran Merdeka hendaklah ditukar segera. Segala ucapan Tun Dr Mahathir sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri hendaklah dibakar kerana ia hanya pendustaan semata-semata selama 22 tahun,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Selain itu, katanya semua silibus Sejarah daripada sekolah rendah sehingga ke universiti hendaklah dirombak.
Menurutnya, jika Najib tidak bersetuju, maka beliau mesti menarik balik anugerah Profesor Negara, kerana kenyataan yang tidak ada nilai akademik dan memalukan dunia akademik.

Ganti rugi: Eloklah Adnan lepas jawatan


Hazayani Zakaria   
KUALA LUMPUR, 14 Sept: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad menyifatkan Kerajaan Negeri Pahang sebagai "kerajaan samseng" kerana enggan membayar tuntutan ganti rugi sebanyak RM70 juta kepada sebuah syarikat pembalakan, Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd.

Beliau berkata, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob sangat angkuh apabila tidak mengendahkan arahan Mahkamah Tinggi Kuantan agar membayar ganti rugi tersebut.

"Dalam kes ini, Kerajaan Pahang seperti samseng bila melanggar arahan mahkamah untuk bayar saman kepada Seruan Gemilang," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan sepuluh pemegang saham syarikat tersebut yang mengadakan mogok lapar di hadapan sebuah tokong di Segambut bermula Khamis lepas bagi mendesak Adnan melunaskan ganti rugi itu.

Dua daripada mereka sudah jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital selepas hanya minum air kosong sejak bermula mogok lapar itu.

Johnson Chong, 68, dibawa pulang ke rumah selepas pemeriksa doktor Sabtu lalu dan diikuti Ramli Sulaiman, 42, yang dimasukkan ke hospital kelmarin.

Khalid yang juga ahli Parlimen Shah Alam juga tidak menolak kemungkinan kerajaan Pahang tidak mempunyai wang untuk membayar ganti rugi tersebut dan menggesa Kerajaan Pusat bertanggungjawab menjelaskan bayaran itu.

"Kerajaan Pahang mungkin bankrap, sebab itu tak bayar ganti rugi ini. Kerajaan Pusat mestilah tolong jelaskan bayaran kerana ianya hak pemegang saham.

"Mereka mahu hak mereka sebab itu sanggup adakan mogok lapar sehingga jatuh sakit," katanya.

Tegasnya, Adnan harus bertanggungjawab kerana perkara itu sudah diketahui umum dan menjejaskan reputasi kerajaan negeri di bawah pimpinan BN.

"Kalau Adnan rasa tak mahu pikul tanggungjawab, eloklah lepaskan jawatan sahaja," katanya.

Seruan Gemilang memfailkan saman tersebut terhadap Kerajaan Negeri Pahang dan Pengarah Perhutanan Negeri pada Disember 2002 kerana didakwa melanggar perjanjian kontrak konsesi pembalakan berhubung pengeluaran kayu balak di atas tanah milik Umno di Mukim Bebar, Daerah Pekan seluas 4,000 hektar.

Seruan Gemilang menamakan Kerajaan Negeri Pahang sebagai defendan pertama dan Pengarah Perhutanan Negeri, defendan kedua.
harakahdaily

ISA: Jangan tertipu sandiwara Najib


Aziz Muda   
KUALA LUMPUR, 14 Sept: Seluruh rakyat negara ini diingatkan agar jangan tertipu dengan sandiwara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana ia mempunyai muslihat lain di sebaliknya.

Sebaliknya, jika ISA dimansuhkan, rakyat tetap tidak boleh bersuara dengan bebas kerana pasti terdapat pula undang-undang lain yang akan dilaksanakan bagi menggantikannya.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan yang dilakukan oleh Perdana Menteri itu samalah seperti keputusan yang diambil oleh kerajaan untuk menangguhkan pembayaran caj cukai perkhidmatan 6% kad prabayar telefon mudah alih.

Menurut beliau, walaupun pembayaran caj cukai 6% itu ditangguhkan, tetapi Kerajaan BN telah menggantikannya dengan cukai lain iaitu cukai barangan yang akan dilaksanakan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.

Katanya, perlaksanaan cukai barangan selepas pilihanraya itu telah diumumkan oleh Perdana Menteri hari ini, iaitu hanya dua hari sahaja selepas keputusan penangguhan bayaran caj cukai 6% itu dibuat oleh kerajaan.

"Dengan itu sahaja orang ramai sudah boleh nampak permainan Umno BN. Walaupun dimansuhkan sesuatu akta atau cukai, pasti ada undang-undang lain atau cukai-cukai lain yang akan digantikannya," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Kelmarin, media tempatan melaporkan, Najib dalam kenyataannya membayangkan kemungkinan akan memansuhkan ISA kerana kajian dan perubahan melibatkan ISA dan akta lain yang berkaitan dengan ISA dilihat perlu bagi kesesuaian keadaan semasa dan kehendak rakyat.

“Kita akan buat kajian dan perubahan terhadap akta tersebut supaya lebih sesuai dengan keadaan semasa dan sesuai dengan kehendak rakyat,” kata Najib.

Sehari sebelum itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pindaan ISA perlu dibentang di Dewan Rakyat bersama enam akta undang-undang pencegahan yang berkaitan dan kajian semula akta itu akan dilakukan oleh Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Peguam Negara dengan kerjasama Majlis Peguam.

Akta-akta berkenaan termasuk Akta Pencegahan Jenayah 1959 yang akan dikaji daripada aspek keberkesanan undang-undang dalam pencegahan jenayah; Seksyen 27 Akta Polis 1960 berkaitan perhimpunan awam yang tidak memerlukan permit; Akta Buang Negeri 1959 (Pindaan 1972) berkaitan sama ada undang-undang itu masih relevan.

Selain itu, Akta Kediaman Terhad 1933 berkaitan keberkesanan undang-undang dan perintah yang dikeluarkan dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 dan Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 berkaitan tempoh tahanan, hak dan layanan terhadap tahanan, kuasa Menteri Dalam Negeri dan penahanan tanpa perbicaraan.

Hishammuddin juga berkata, akta itu sebenarnya sudah lama dalam penelitian kementeriannya dan Pejabat Peguam Negara dan cadangan sama ada akta berkenaan akan dipinda atau dimansuhkan sedang diambil kira.

Menurut Tuan Ibrahim, sebelum ini, Pakatan Rakyat seperti yang terdapat dalam Buku Jingga telah menegaskan akan memansuhkan ISA dan akta-akta zalim lain jika diberikan mandat memerintah negara pada PRU Ke-13 nanti.

Kini, keputusan Kerajaan BN untuk mengkaji dan memansuhkan ISA dan akta-akta itu sebenarnya adalah sebagai ikutan dari Buku Jingga, manakala keputusan itu pula dibuat sebagai lambang keadaan Umno BN yang amat tertekan sekarang.

"Kini kecenderungan rakyat negara ini telah beralih kepada Pakatan Rakyat. Untuk mendapatkan sokongan orang ramai, Umno BN terpaksa memansuhkan akta-akta itu untuk mengelaburi mata dan mengambil hati rakyat," katanya.

Malah dalam keadaan yang tertekan seperti sekarang, beliau yakin Umno BN pasti akan turut mengumumkan pelbagai insentif lain lagi kepada rakyat menjelang PRU Ke-13 bagi meraih sokongan daripada orang ramai.

"Tetapi rakyat sudah sekian lama tertipu. Rakyat yang sudah semakin sedar dengan permainan licik Umno BN pasti faham semua permainan mereka itu dan tidak mungkin akan terus tertipu lagi," ujar beliau.
harakahdaily

Pemuda PAS dakwa kesan lebih 10,000 IC palsu


Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 14 Sept: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendakwa mengenal pasti terdapat lebih 10,000 kes kad pengenalan (IC) palsu.
Pengerusi Pemulihan Demokrasi & Mobilisasi DPPM, Suhaizan Kaiat (gambar) berkata, buktinya, pertama yang paling jelas adalah melalui kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang disiarkan The Star pada 24 Julai lalu.
Katanya, Wan Ahmad mengakui bahawa terdapat kad pengenalan klon dalam daftar pemilih SPR.
Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Johor menambah, bukti kedua adalah melalui data yang telah dikeluarkan SPR daripada Daftar Pemilih Induk (DPI).
“SPR telah mengeluarkan dua jenis data yang telah dibongkar oleh Dewan Pemuda PAS iaitu, pertamanya isu dua nama yang sama memiliki nombor kad pengenalan yang hampir sama, dan keduanya isu satu kad pengenalan lama dimiliki dua individu,” ujarnya pada sidang media di Pejabat Agung PAS di sini, tengah hari ini.
Katanya, antara perkara yang menjadi persoalan pihaknya kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ialah SPR mengenal pasti kad pengenalan palsu berdasarkan kepada maklumat JPN.
Menurutnya, apabila SPR telah membuat pengesahan maklumat daripada JPN, maka langkah seterusnya adalah mengeluarkan maklumat pemilih palsu tersebut daripada DPI.
"Persoalannya, bagaimanakah dalam masa singkat, dua bulan sahaja JPN begitu mudah mengenal pasti data palsu dalam pangkalan datanya?
"Bagaimana JPN bolah mengesahkan salah satu data tersebut tidak sah?" soalnya.
Katanya lagi, bukan mudah untuk sesuatu jabatan kerajaan menjejaki lebih 10,000 kes kad pengenalan palsu dalam waktu dua bulan.
"Persoalannya, apakah JPN sememangnya sudah memilik senarai kad pengenalan palsu yang akan dimasukkan dalam daftar pemilih SPR untuk tujuan manipulasi pilihan raya?
"Apakah JPN terlibat dalam penyelewengan kad pengenalan palsu," tanya beliau lagi.
Kalau Pemuda PAS yang tidak boleh masuk ke dalam bilik kebal JPN pun boleh membuktikan lebih 10,000 kad pengenalan palsu, beliau bertanya berapa jumlah sebenar kad pengenalan palsu yang telah dikeluarkan JPN.
Beliau berkata, bukti-bukti yang Permuda PAS bangkitkan adalah melambangkan kecelaruan kerja yang terdapat dalam JPN dan mendesak agar siasatan segera perlu dilakukan ke atas jabatan itu.
Tegasnya, pilihan raya tidak boleh diadakan dalam waktu terdekat jika kecelaruan maklumat di peringkat JPN dan akan menjejaskan SPR.
"Pemuda PAS bertekad akan terus membongkarkan manipulasi pilihan raya ini sehingga SPR dan JPN benar-benar bersih dan adil," tegasnya lagi.