Tuesday, October 28, 2014

Rahsia Kenapa Tentera Daulah Islamiyyah Kuat

Jeneral Essam Malkawi, professor di Universiti Naif Militer Saudi, mengungkap bahwa penyebab utama kegagalan serangan udara Arab-Amerika terhadap Daulah Islamiyyah adalah karena semua anggota dari Daulah Islamiyyah tidak takut akan mati, ia menjelaskan bahwa serangan Udara tidak akan berguna tanpa serangan darat yang mempu untuk berkonfrontasi.
Perlu dicatat bahwa perlawanan koalisi International terhadap Daulah Islamiyyah dimulai pada bulan September, tetapi sejauh ini telah gagal membuat dampak yang signifikan, dimana Daulah Islamiyyah masih menguasai dan mengendalikan sebagian besar wilayah yang juga baru-baru ini berhasil direbut. (sumber EM)

PKR sedia hadapi sebarang keputusan kes rayuan Anwar

PUTRAJAYA: PKR sudah bersedia dengan sebarang keputusan yang akan dibuat panel lima hakim Mahkamah Persekutuan di sini berhubung kes rayuan liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli, berkata pemimpin tertinggi dan ahli parti sudah bersiap sedia menghadapi sebarang keputusan yang dibuat termasuk mengekalkan hukuman penjara lima tahun Mahkamah Rayuan terhadap Anwar sebelum ini.
"Kami dah sedia dengan keputusan esok malah kami sudah menasihatkan Anwar supaya bersedia dengan keputusan yang akan dibuat. Kami akan adakan mesyuarat jika beliau dipenjara," katanya ketika ditemui di pekarangan Istana Kehakiman di sini, hari ini

Saya Tak Gentar Disiasat - Aktivis Pelajar


Diterbitkan: Selasa, 28 Oktober 2014 4:36 PM
Fahmi Zainol.

PETALING JAYA: Presiden Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM), Fahmi Zainol mengakui tidak gentar sekiranya dipanggil untuk membantu siasatan dalaman kes melibatkan pelajar universiti itu yang terlibat dalam perhimpunan haram yang diadakan pada Isnin malam.

Bagaimanapun Fahmi berkata, setakat ini dia belum menerima sebarang panggilan mahupun surat daripada pihak pentadbiran universiti bagi memaklumkan perkara tersebut.

Bagaimanapun, anak muda yang berasal dari Permatang Pauh, yakin pihak universiti tidak akan mengambil tindakan drastik terhadapnya atau mana-mana pelajar yang terlibat dengan perhimpunan itu.

"Saya yakin UM sebuah universiti yang mendukung aspirasi kebangsaan dan membenarkan kebebasan bersuara, sekiranya siasatan dijalankan ia akan dilaksanakan secara adil.

"Saya sedia untuk memberikan keterangan jika dipanggil. Berani kerana benar,” katanya ketika dihubungi mStar Onlinepada Selasa.

Ditanya sekiranya pihak universiti mengambil tindakan tegas termasuk menggantung pengajian atau membuangnya daripada UM, Fahmi berkata: "Saya yakin pihak pentadbiran UM tidak akan mengambil tindakan kejam seperti itu."

"Saya sentiasa bersiap sedia. Cuma saya harap dapat tamatkan pengajian, kerana saya tinggal satu semester sahaja lagi," katanya yang merupakan pelajar tahun akhir jurusan Pentadbiran dan Keadilan Sosial.

Fahmi turut menafikan beliau merupakan penyokong tegar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebaliknya menyatakan tujuan 'Program 40 Tahun Dari Universiti Malaya ke Penjara' di Dataran Tunku Canselor diadakan bagi memperjuangkan kebebasan bersuara  dan menolak kekejaman kuasa politik yang campur tangan dalam pentadbiran universiti tempatan.

"Saya adakan program ini bukan hanya kerana saya meminati beliau (Anwar Ibrahim), malah sudah tiba masanya masyarakat mendengar suara anak muda, kerana mereka ini akan menjadi pemimpin masa hadapan,” katanya yang juga pemegang biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Terdahulu, UM telah menjalankan siasatan dalaman terhadap pelajarnya yang terlibat dalam perhimpunan haram di universiti berkenaan pada Isnin malam.

Dalam masa sama juga, pihak pentadbiran UM turut membuat laporan polis di Balai Polis Pantai pada Selasa berhubung perhimpunan haram itu.

Keadaan di UM pada perhimpunan haram menjadi huru-hara apabila sekumpulan mahasiswa dan orang ramai yang terdiri daripada penyokong Anwar bertindak merempuh pintu utama UM untuk menghadiri program pidato Ketua Pembangkang itu.

Dalam kejadian pada pukul 9.20 malam itu, kumpulan tersebut berjaya merempuh masuk pintu arah Bangsar selepas ia dikunci bagi tujuan keselamatan manakala pintu lain dibuka dengan kawalan.

Peguam bela Anwar pertikai kredibiliti saksi utama


PUTRAJAYA 28 Okt. - Peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram berhujah di Mahkamah Persekutuan bahawa kredibiliti saksi utama, Mohd. Saiful Bukhari Azlan tidak wajar dipercayai kerana keterangannya berhubung kejadian liwat melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak konsisten.
Ujar beliau, antara keterangan itu ialah berhubung penggunaan krim pelincir ‘KY Jelly’ dalam kejadian liwat yang dihujahkan oleh pembelaan sebagai keterangan yang difikir semula.
Peguam bela menghujahkan, keterangan berhubung krim pelincir itu boleh diragui kerana perkara tersebut tidak dinyatakan dalam laporan polis yang dibuatnya serta senarai barang kes.
Gopal menyatakan demikian ketika menggariskan 46 alasan bagi menyokong penghujahan dalam rayuan Anwar bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat. - UTUSAN ONLINE.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/peguam-bela-anwar-pertikai-kredibiliti-saksi-utama-1.17696#sthash.xvU1hO6I.dpuf

'Berani Buat Berani Tanggung', Kata Syed Ali Kepada Anwar


Diterbitkan: Selasa, 28 Oktober 2014 8:34 PM
Syed Ali Alhabshee.

PETALING JAYA: "Berani buat berani tanggung, tak usah nak mengaburi mata rakyat."

Demikian tegas, Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang
dalam proses rayuan akhir untuk mengetepikan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Katanya, Anwar seharusnya menggunakan mahkamah untuk mempertahankan diri dan bukannya mengheret orang ramai supaya bersimpati dengan nasibnya.

"Buat apa nak menyalak di luar, gunakanlah mahkamah untuk pertahankan diri, tak perlu nak heret orang ramai supaya simpati, itu masalah peribadi beliau," tegasnya.

Menurut beliau, orang yang baik akhlaknya tidak akan mendabik dada mengatakan dirinya adalah terbaik dan sempurna.

"Hanya orang yang buruk tingkah laku dan moralnya sahaja yang akan menjerit memberitahu dunia kononnya diri baik dan bersih," tegasnya lagi.

Syed Ali berkata, Anwar tidak sewajarnya memperalatkan golongan mahasiswa untuk terpedaya dengan 'lakonan akhir' Ketua Pembangkang itu dalam ceramahnya di Universiti Malaya (UM) malam Isnin.

"Tindakan itu bukan setakat mencemarkan nama baik universiti malah turut mengecewakan orang ramai kerana kampus telah dipolitikkan untuk kepentingan peribadi," katanya.

Sebaliknya, jelas beliau, Anwar harus belajar menerima kenyataan dan bukannya terus menunding jari kepada pihak lain di atas kesalahannya.

"Terimalah hakikat, terima ketentuan Allah S.W.T, kalau tak buat, buat apa nak takut, tak payah nak bagi tahu kononnya diri tidak bersalah.

"Saya harap Anwar boleh terima apa jua keputusan mahkamah, kerana semua itu adalah ketentuan Illahi," tegasnya.

Beliau turut menasihati penyokong Anwar supaya bersikap terbuka dan rasional apabila keputusan penghakiman terhadap kes tersebut diumumkan nanti.

"Tak payah nak buat kecoh, terimalah realiti sebenar bahawa Tuhan itu tahu segala-galanya," ujar beliau.

Pada Selasa, Mahkamah Persekutuan mula mendengar rayuan akhir Anwar berhubung sabitan kes liwatnya terhadap Mohd Saiful pada 26 Jun 2008.

Mahkamah Persekutuan akan membuat keputusan sama ada hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar dikekalkan atau beliau dibebaskan.

Hari kedua pendengaran rayuan akan bersambung Rabu pada pukul 9.30 pagi yang juga merupakan hari terakhir pendengaran namun berkemungkinan besar ia akan berlanjutan sehingga Khamis.

Hutang negara RM568.9 bilion atau 52.8 peratus daripada KDNK - Najib


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, jumlah hutang Kerajaan Persekutuan pada akhir Jun 2014 adalah sebanyak RM568.9 bilion atau 52.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Perdana Menteri berkata, daripada jumlah itu, 97.1 peratus atau RM552.7 bilion adalah hutang domestik, sementara bakinya RM16.2 bilion atau 2.9 peratus merupakan pinjaman luar pesisir.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kedudukan hutang kerajaan itu kekal terurus di bawah 55 peratus daripada KDNK dan dikategorikan sebagai negara keberhutangan sederhana.
Dalam jawapan bertulis kepada soalan Teresa Kok Suh Sim (DAP-Seputeh) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Najib berkata hutang Kerajaan Persekutuan tahun lepas adalah sebanyak RM547.6 bilion atau 54.7 peratus daripada KDNK, manakala bagi 2012 pula sebanyak RM501.6 bilion atau 53.3 peratus daripada KDNK.
"Kedudukan hutang Kerajaan Persekutuan pada 2010 adalah sebanyak RM407.1 bilion atau 51.1 peratus daripada KDNK (dan) 2011 sebanyak RM456.1 bilion atau 51.5 peratus," katanya.
Najib berkata sehingga kini, kerajaan telah membayar balik semua hutang dan bayaran khidmat hutang dengan teratur serta mengikut jadual.
Beliau berkata, ia merupakan hasil daripada pengurusan hutang secara berhemat apabila pinjaman dibuat hanya untuk membiayai perbelanjaan pembangunan dan setelah mengambil kira kemampuan membayar balik.
"Bayaran khidmat hutang, yang merujuk kepada bayaran faedah ke atas pinjaman merupakan bayaran tanggungan mandatori yang perlu diberi keutamaan.
"Bayaran khidmat hutang dijangka kekal terurus pada 10.3 peratus daripada hasil, masih jauh di bawah paras 15 peratus seperti yang ditetapkan dalam peraturan pengurusan fiskal," kata beliau.
- BERNAMA

Russia iktiraf pilihan raya pemisah di timur Ukraine

MOSCOW: Russia bercadang mengiktiraf pilihan raya yang akan diadakan oleh puak pemisah di timur Ukraine sebagai membantah kerajaan di Kiev, kata Menteri Luarnya, Sergei Lavrov hari ini.
"Kami jangka pilihan raya akan dijalankan sebagaimana yang dipersetujui dan sudah tentu kami akan mengiktiraf keputusannya," kata Lavrov kepada akhbar 'Izvestia daily' menjelang pilihan raya Ahad ini yang dianjurkan di dua kawasan pemisah pro-Russia bagi memilih pemimpin dan wakil Parlimen.
"Kami berharap pilihan raya diadakan secara bebas itu dan dapat berjalan tanpa gangguan," kata Lavrov mengenai pilihan raya berkenaan di republik Donetsk dan Lugansk.
Lavrov berkata, pilihan raya itu, yang ditentang oleh Kiev adalah penting bagi mengesahkan siapa pemimpin yang sah dan berkuasa di rantau berkenaan.
Menteri Russia itu juga berkata, negaranya mungkin mengiktiraf pilihan raya Parlimen yang diadakan di Ukraine Ahad ini walaupun akan menunggu keputusan pemerhati OSCE.
Sementara itu, di KIEV, seorang pegawai kanan Kementerian Luar Ukraine berkata, pengumuman Russia untuk mengiktiraf pilihan raya pemisah di timur Ukraine akan menjejaskan usaha untuk menamatkan peperangan enam bulan di kawasan terbabit.
"Hasrat Russia dengan secara langsung bercanggah dengan perjanjian Minsk dan menjejaskan proses yang dipersetujui berhubung penyelesaian secara aman serta mengurangkan kepercayaan terhadap Russia sebagai rakan antarabangsa yang boleh dipercayai," kata pegawai berkenaan, Dmytro Kuleba - AFP.

Belanda terbuka dengan teori pesawat lain tembak jatuh MH17


Kerajaan Russia sering kali berkata, ia mempunyai imej radar bagi membuktikan bahawa pesawat Boeing 777 itu ditembak jatuh oleh sebuah pesawat tentera Ukraine yang sedang terbang di kawasan berdekatan, walaupun senario berkenaan tidak pernah diterima oleh pegawai barat.
Dalam temu ramah oleh majalah berita Jerman, Der Spiegel semalam, pendakwa Fred Westerbeke berkata pihak Belanda akan meminta Moscow memberi maklumat yang mendorong mereka mempercayai bahawa sebuah pesawat Ukraine berada berdekatan pesawat MH17 ketika kejadian itu.
"Berdasarkan maklumat yang ada, tembakan peluru berpandu darat-ke-udara adalah senario yang lebih kemungkinan berlaku, tapi kami tidak menolak ia mungkin berlaku dengan cara lain," katanya dipetik sebagai berkata oleh Der Spiegel.
"Kami sedang menyediakan permohonan kepada Moscow untuk mendapatkan maklumat, termasuk data radar yang ingin dibuktikan oleh Russia bahawa sebuah jet tentera Ukraine berada berdekatan," katanya.
Terdahulu selepas kejadian itu, Amerika Syarikat menyatakan ia mempunyai bukti bahawa pesawat terbabit ditembak jatuh oleh peluru berpandu darat-ke-udara oleh pasukan bersenjata disokong Russia, yang menduduki kawasan berkenaan di timur Ukraine di mana terdamparnya serpihan pesawat berkenaan sekarang.
Laporan awal oleh Lembaga Keselamatan Belanda, yang menyiasat nahas udara berkenaan, menyenaraikan beberapa jet penumpang yang berada berdekatan MH17, tetapi tidak ada pesawat tentera disenaraikan, yang mampu menembaknya jatuh.
Pesawat Boeing 777 itu yang terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai lalu, mengorbankan semua 298 orang di dalamnya, lebih dua pertiga adalah warga Belanda. - REUTERS

Australia larang visa untuk Afrika Barat


SYDNEY: Australia mengeluarkan larangan menyeluruh ke atas visa daripada negara Afrika Barat yang terjejas dengan wabak Ebola bagi mengelakkannya merebak ke negara ini, kata Menteri Imigresen Scott Morrison.
Dengan larangan terbaru itu, Australia adalah negara maju pertama yang 'menutup pintunya' kepada rantau berkenaan.
Setakat ini Australia belum lagi mempunyai kes Ebola walaupun terdapat beberapa petanda membimbangkan.
Perdana Menteri, Tony Abbott juga beberapa kali sebelum ini menolak permintaan agar negara itu turut menghantar kakitangan perubatan untuk membantu di negara yang dijangkiti penyakit berkenaan.
Keputusan untuk menolak kemasukan oleh mana-mana pihak dari Sierra Leone, Guinea dan Liberia, walaupun dikatakan sebagai keputusan yang perlu sebagai langkah berjaga-jaga, dianggap oleh pakar sebagai bermotif politik dan tidak berfikiran panjang.
Morrison berkata semua visa tidak kekal atau sementara dibatalkan dan pemegang visa kekal yang belum tiba ke Australia dikehendaki menjalani tempoh kuarantin selama 21 hari. - REUTERS

Suami enggan ceraikan Nurul Izzah kerana masih sayangkannya

KUALA LUMPUR: Suami kepada Nurul Izzah Anwar enggan menceraikan isterinya yang juga anggota Parlimen Lembah Pantai kerana masih menyayanginya dan ingin menyelamatkan perkahwinan mereka.
Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim, 35, memberitahu perkara itu kepada pemberita selepas kesnya disebut di dalam kamar di hadapan Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah, Ab Malek Awang.
"Saya tidak bersetuju menceraikan isteri kerana masih sayangkannya dan anak-anak," katanya yang kelihatan sugul selepas prosiding itu.
Prosiding kes itu yang berlangsung dalam masa 40 minit turut dihadiri isterinya, Nurul Izzah.
Terdahulu, peguam syarie Azmi Mohd Rais yang mewakili Raja Ahmad Shahrir memaklumkan, Hakim Syarie Ab Malek hari ini mensabitkan wujudnya 'Shiqaq' atau perbalahan berpanjangan dalam perkahwinan itu berdasarkan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP).
Azmi berkata, mahkamah juga menasihatkan defendan (Raja Ahmad Shahir) untuk melafazkan cerai, namun anak guamnya itu tidak bersetuju dan memasukkan bantahan terhadap laporan JKP tersebut hari ini atas alasan laporan berkenaan ringkas dan tidak lengkap.
"Laporan daripada pengerusi JKP tidak menyatakan secara terperinci masalah rumah tangga yang dihadapi pasangan itu," katanya.
Peguam syarie itu berkata, pihaknya juga memohon supaya diadakan satu lagi perbincangan JKP yang baharu tetapi ia dibantah oleh peguam Nor Mawaddah Ramli yang mewakili Nurul Izzah.
Azmi berkata mahkamah kemudiannya menerima bantahan daripada pihak plaintif (Nurul Izzah) dan menetapkan 8 Dis depan untuk lantikan 'Hakam'.
'Hakam' adalah sebuah jawatankuasa yang dilantik oleh mahkamah untuk menasihati suami melafazkan talak tetapi sekiranya suami masih enggan maka 'Hakam' tersebut akan melafazkan talak bagi pihak suami.
Nurul Izzah, 34, anak sulung ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, memfailkan permohonan cerai itu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984, pada awal Januari.
Seksyen itu menyentuh pembubaran perkahwinan yang memperuntukkan perceraian dengan talak atau dengan perintah mahkamah.
Nurul Izzah dan Raja Ahmad Shahrir Iskandar berkahwin pada 9 Mei 2003 dan dikurniakan seorang anak perempuan berumur tujuh tahun dan seorang anak lelaki berusia empat tahun.
Nurul Izzah yang enggan mengulas mengenai kemelut rumah tangganya hanya berkata: "Terima kasih kerana menghormati privasi saya". - BERNAMA

'I am Liberian, not a virus'


Video kempen yang dimulakan oleh Shoana Solomon mendapat jumlah tontonan tinggi di internet.
Video kempen yang dimulakan oleh Shoana Solomon mendapat jumlah tontonan tinggi di internet.
NEW YORK – AMERIKA SYARIKAT.  Kempen “I am Liberian, not a virus” yang dimulakan oleh seorang wanita Liberia, Shoana Solomon dan tiga orang wanita lain lebih kurang dua minggu lalu dengan cepat menjadi viral di laman sosial.

Kempen tersebut bertujuan untuk menghentikan diskriminasi masyarakat  terhadap imigran Liberia serta mereka yang datang daripada negara yang dijangkiti wabak Ebola, lapor al-Jazeera.

Wabak Ebola telah membunuh lebih daripada 2,700 orang di Liberia, menjadikan negara tersebut sebagai antara tiga negara Afrika Barat paling teruk dijangkiti wabak tersebut.

Wabak membunuh itu juga turut menyebabkan ramai imigran Liberia berhijrah ke negara yang lebih selamat termasuk ke Amerika Syarikat (AS).

Namun, golongan ini terpaksa berdepan stigma masyarakat yang menganggap mereka sebagai punca wabak tersebut.

Menurut Solomon, stigma ini disebabkan ketakutan masyarakat terhadap wabak, selain bersikap paranoid.

“Mereka seperti tidak mahu mempunyai apa-apa kaitan dengan kami atau sesiapa sahaja dari negara kami. Malah, ada yang menuduh kami membawa virus tersebut ke negara mereka," katanya.

Solomon bertindak memulakan kempen tersebut setelah anak perempuannya dituduh dijangkiti Ebola semasa hari pertama persekolahan hanya disebabkan anaknya merupakan warga Liberia.

Tambahnya, ramai kanak-kanak yang bukan berasal dari Liberia tetapi mempunyai ibu bapa warga Liberia turut menerima nasib yang sama.

Malahan, kata Solomon lagi, stigma ini berlaku di seluruh dunia termasuk di Afrika sendiri.

Dia melihat masyarakat perlu diberi pendidikan mengenai wabak ini supaya tidak terus menghukum warga Liberia dan rakyat daripada negara-negara dijangkiti. Malah sebagai ibu bapa juga, penting untuk mereka mendidik anak-anak supaya lebih jelas tentang wabak ini.

“Perkara sebegini sensitif kepada kanak-kanak. Jadi ibu bapa perlu peka apabila anak-anak mereka bercakap mengenai Ebola dan sebagainya.

"Ia memang wabak yang menakutkan, tapi kita perlu peka terhadap apa yang anak-anak dengar daripada kita,” katanya.

Selain itu, stigma ini dilihat berpunca daripada sikap masyarakat sendiri yang lebih memberi perhatian terhadap jumlah pesakit yang terbunuh disebabkan Ebola.

Mereka lebih tertarik dengan berita-berita sebegitu tanpa memberi perhatian tentang bagaimana wabak tersebut boleh berjangkit.

China mansuhkan hukuman mati


Seorang wanita di Manila membantah hukuman mati ke atas warga Filipina di China.
Seorang wanita di Manila membantah hukuman mati ke atas warga Filipina di China.
BEIJING - CHINA. Badan perundangan China sedang mempertimbangkan untuk membatalkan sembilan hukuman mati daripada 55 jenayah yang telah dibicarakan.

Menurut laporan AFP, ia termasuk pengumpulan dana haram yang menjadi perhatian umum dalam beberapa kes berprofil tinggi di negara itu, demikian mengikut laporan Xinhua News.

Jenayah lain yang termasuk dalam draf pindaan perundangan itu antaranya penyeludupan senjata api, pemalsuan mata wang dan aktiviti peminjaman wang haram.

Tahun lalu, China telah melaksanakan hukuman mati ke atas 2,400 orang yang terlibat dalam pelbagai kes jenayah.

Pendengaran Rayuan Kes Liwat Anwar Mungkin Dilanjutkan Sehingga Khamis


Diterbitkan: Selasa, 28 Oktober 2014 2:35 PM

PUTRAJAYA: Pendengaran rayuan terakhir kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim berkemungkinan besar akan dilanjutkan sehingga Khamis.

Ini berbeza dengan ketetapan asal untuk pendengaran rayuan tersebut selama dua hari iaitu pada Selasa dan Rabu.
Perkara ini diberitahu sendiri oleh Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen yang mengikuti pendengaran kes pada Selasa dan meminta supaya penyokong-penyokong Anwar tidak cepat berputus asa.

"Ada kemungkinan dan cakap-cakap awal kes ini akan berlanjutan sehingga Khamis.

"Jangan cepat mengalah dan yang paling penting ada masa yang cukup untuk pastikan peguambela dapat meneruskan hujah bagi menunjukkan keadilan dapat ditegakkan di mahkamah," katanya kepada pemberita ketika sesi pendengaran rayuan kes liwat Anwar berhenti rehat.

Turut memaklumkan perkara yang sama ialah Ahli Parlimen Kapar Manivanan Gowin yang menyampaikan pesanan bagi pihak Anwar.

"Datuk Seri Anwar sendiri berpesan kepada saya supaya bersedia mungkin kes akan sampai hari Khamis.

"Dia minta semua bersabar, teruskan perjuangan sebab ini bukan keadilan untuk beliau tapi untuk setiap rakyat Malaysia," katanya.

Sementara itu Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata pada Selasa Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengetuai barisan peguam Anwar sedang memberikan hujah-hujahnya.

Katanya, terdapat beberapa lagi peguam Anwar yang akan mengetengahkan hujah dan mematahkan hujah pihak lawan.

"Ia mungkin menjadikan kes ini dibawa sehingga Khamis," katanya.

Perhimpunan Haram: UM Buat Siasatan Dalaman, Laporan Polis


Diterbitkan: Selasa, 28 Oktober 2014 2:58 PM

KUALA LUMPUR: Universiti Malaysa (UM)  membuat siasatan dalaman terhadap pelajar Universiti Malaya yang terlibat dalam perhimpunan haram di UM pada Isnin malam.

Dalam masa sama juga, UM turut membuat laporan polis di Balai Polis Pantai pada Selasa berhubung perhimpunan haram itu.

Keadaan di UM pada perhimpunan haram menjadi huru-hara apabila sekumpulan mahasiswa dan orang ramai yang terdiri daripada penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak merempuh pintu utama UM untuk menghadiri program pidato Ketua Pembangkang itu.

Dalam kejadian pada pukul 9.20 malam itu, kumpulan tersebut berjaya merempuh masuk pintu arah Bangsar selepas ia dikunci bagi tujuan keselamatan manakala pintu lain dibuka dengan kawalan.

Penyokong Saiful hadir di Istana Kehakiman



ANTARA penyokong Mohd Saiful Bukhari Azlan yang hadir di Kompleks Mahkamah Kehakiman Putrajaya pagi ini. - Foto NSTP
PUTRAJAYA Kira-kira 100 penyokong Mohd Saiful Bukhari Azlan memenuhi pekarangan Kompleks Mahkamah Kehakiman Putrajaya, di sini, pagi ini bagi menyatakan solidariti kepada Saiful berhubung rayuan kes liwat oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mula didengar panel lima hakim Mahkamah Persekutuan hari ini.
Selain laungan mempertahankan Saiful, penyokong terbabit yang majoritinya adalah anak muda turut membawa sepanduk tertera tulisan "Justice for Saiful", "We are the people, we demand justice for the victim Saiful" serta "PKR, Anwar, don't threaten the court".
Jurucakap kumpulan itu, Tony Tan, menjelaskan perhimpunan mereka hari ini adalah bagi menuntut keadilan kepada Saiful.
Beliau mendakwa, kumpulan berkenaan juga sebenarnya yang mewakili suara rakyat, bukannya pihak yang menyokong Anwar yang disifatkan mereka kumpulan pendesak
"Kamilah suara rakyat, bukan mereka, yang sebelah sana itu (merujuk penyokong Anwar) hanya kumpulan pendesak...patut kita kena patuh pada undang-undang dan hormat pada badan kehakiman kita.

ANTARA penyokong Mohd Saiful Bukhari Azlan yang hadir di Kompleks Mahkamah Kehakiman Putrajaya pagi ini. - Foto NSTP
"Saya harap kes ini selesai kali ini dan jangan ada tangguh lagi. Semua pihak juga kena terima keputusan mahkamah nanti," katanya.
Penyokong Saiful yang majoriti memakai baju kuning, merah dan hitam itu tiba kira-kira jam 10.20 pagi tadi.
Sementara itu, tinjauan di sekitar kompleks mahkamah di sini mendapati suasana masih tenang dan tiada sebarang provokasi melampau dilihat dari kedua-dua kumpulan.
Laluan di sepanjang jalan utama di hadapan Kompleks Istana Kehakiman juga masih lancar. Kawalan lalu lintas dilakukan anggota trafik bertugas manakala anggota polis berkawal di pintu masuk kompleks.

4,000 kes baru setiap tahun

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

mrizanizam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Barah payudara yang menjadi penyebab utama kematian wanita di negara ini merekodkan hampir 4,000 kes baru setiap tahun dengan nisbah satu daripada 19 wanita berisiko dijangkiti penyakit berkenaan.
Pakar Bedah Payudara dan Endokrin Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Nor Azham Hakim Darail berkata, data daripada Daftar Kanser Kebangsaan (NCR) itu turut menunjukkan majoriti pesakit membabitkan wanita berusia dalam lingkungan 40 hingga 60 tahun.
“Bilangan kes baru mungkin meningkat kira-kira 10 peratus setahun. Pada 2004 ia membabitkan kira-kira 3,400 pesakit baru dan meningkat menjadi hampir 4,000 kes sehingga kini.
“Di HKL saja, setiap tahun kita memeriksa 600 pesakit dan daripada jumlah itu, purata terdapat 200 pesakit baru. Angka itu bagaimanapun tidak termasuk pesakit di hospital kerajaan dan swasta lain di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Kempen dan Seminar Kesedaran Payudara Peringkat HKL dirasmikan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya di HKL, semalam.
Hadir sama, Pengarah HKL Datuk Dr Zaininah Mohd Zain dan Ketua Jabatan Pengimejan Diagnostik HKL Dr Zaleha Abdul Manaf.
Dr Nor Azham Hakim berkata, 60 peratus daripada pesakit barah payudara itu dikesan menghidap penyakit berkenaan ketika sudah pada tahap dua dan tiga, 25 peratus pada tahap empat iaitu tahap akhir manakala 15 peratus lagi pada tahap satu.
“Terdapat dua punca berlaku keadaan itu iaitu kurangnya kesedaran diri untuk membuat pemeriksaan awal serta tiada program yang mewajibkan mereka menjalani pemeriksaan melainkan dilakukan secara sukarela.
“Barah payudara boleh dicegah jika dikesan dan dirawat lebih awal kerana ia satu daripada barah mudah dikesan dengan cara melakukan pemeriksaan sendiri payudara (PSP),” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Oktober 2014 @ 5:16 AM


PROGRAM Pink Spirit Carnival & Blood Donation di Pusat Perubatan Tropicana, Kota Damansara.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/4652#sthash.cYabrHjR.dpuf

Pelajar bakal duduki SPM hilang

Nor Atiqah yang bakal menduduki peperiksaan SPM pada November ini dipercayai hilang sejak lebih dua minggu lalu.
Nor Atiqah Jaafar
 KUALA KRAI - Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dabong, Nor Atiqah Jaafar, 17 yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) November ini dipercayai hilang sejak dua minggu lalu.

Abangnya, Azrul, 24, berkata, keluarganya terlalu bimbangkan keselamatan anak ke-10 daripada 11 beradik itu kerana telah mencarinya di merata tempat namun gagal menemuinya.

Menurut Azrul, dia sendiri menghantar Nor Atiqah ke Stesen Kereta Api Bertam Baru, seperti biasa setiap kali adiknya itu kembali ke asrama dan melihat sendiri adiknya itu menaiki kereta api pada 10 Oktober lalu.

"Selepas hantar adik ke stesen kereta api, saya dan keluarga anggap dia sudah berada di sekolah. Bagaimanapun, seminggu selepas itu, gurunya datang ke rumah dan beritahu adik saya sudah seminggu tidak ke sekolah.
"Selepas dikejutkan dengan maklumat itu, kami telah cuba pelbagai cara untuk mengesan adik sehingga kini. Kami cari di Jelawang dan Gua Musang, malah turut guna cara alternatif iaitu perubatan Islam termasuk solat hajat tetapi belum berhasil setakat ini," katanya.

Tambah Azrul, Nor Atiqah tidak mempunyai masalah dengan ahli keluarga dan lebih membimbangkan keluarganya kini adalah ibunya kurang selera makan dan tidak lena tidur sejak kehilangan adiknya itu.
Katanya, adiknya itu juga tidak pernah memaklumkan sama ada mempunyai masalah dan keadaan itulah yang benar-benar membimbangkan mereka sekeluarga.

"Kami amat berharap adik pulang ke pangkuan keluarga dan sempat menduduki peperiksaan SPM. Kami risau masa depannya gelap jika terlepas menduduki peperiksaan penting itu.

"Kerana itu saya rayu orang ramai yang tahu lokasi Nor Atiqah ketika ini agar menghubungi balai polis berdekatan atau hubungi kami melalui abang saya, Norhisyam, 34 di talian 014-829 1208," katanya.

Azrul juga merayu Nor Atiqah pulang ke pangkuan keluarga jika terbaca berita ini kerana dia sekeluarga amat bimbangkan keselamatan adiknya itu.

Sementara itu, seorang lagi abang Nor Atiqah, Norhisyam memberitahu, ketinggian adiknya adalah 121.92 cm, berkulit kuning langsat dan berambut panjang paras pinggang.

Norhisyam memaklumkan, adiknya itu memakai seragam sekolah dan membawa beg sandang ketika keluar rumah untuk kembali ke asrama dan keluarganya telah membuat laporan polis pada 12 Oktober lalu.

Luahan hati isteri Ustaz Azhar dapat simpati ramai


Status yang dimuat naik isteri Ustaz Azhar di laman Facebook.
Status yang dimuat naik isteri Ustaz Azhar di laman Facebook.
KUALA TERENGGANU - “Duhai hati.. banyakkanlah bersabar, yakinlah bahawa setiap apa yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya.. ALLAH sebaik-baik perancang.. hanya pada Mu lah kami berserah dan kami mohon pertolongan..”

Demikian luahan isteri kepada pendakwah dan penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus iaitu Rogayah Sulong dalam salah satu status Facebooknya.

Bagi keluarga terdekat, kontroversi video di laman sosial yang dikaitkan dengan seseorang yang mirip dengan penceramah terkenal itu sedikit sebanyak memberikan kesan kepada mereka dan melihat ia sebagai dugaan berat yang terpaksa ditempuhi.

Sebelum itu, isterinya turut memuat naik status di laman Facebook berbunyi:

“Subhanallah.. hebatnya ujian dan dugaan yang kau berikan pada keluarga kami.. tak tertanggung rasanya.. ku mohon ya ALLAH agar kau tutupilah segala keaiban kami dan berilah kami kekuatan dlm menghadapi musibah ini.. terima kasih tak terhingga
kepada yang sudi mendoakan.. semoga ALLAH merahmati kita semua dunia dan akhirat.. aameen.”

Namun, di sebalik kontroversi yang menimpa, rata-rata pengikut Ustaz Azhar dan orang ramai memberikan semangat kepada keluarga itu agar terus bersabar dan beliau tetap bersemangat mengajar dan menyampaikan ilmu kepada orang ramai.

Ada juga yang menyarankan agar mereka tidak hiraukan fitnah yang melanda dan mengharapkan penceramah terkenal itu serta keluarganya kuatkan jiwa selain terus beristiqamah kerana iman dan sentiasa berdoa dalam menghadapi dugaan yang menimpa.

Malah, rata-rata daripada mereka melihat ia seolah-olah satu usaha untuk menjatuhkan golongan ulama di negara ini.

Kes saman Presiden: Semoga Allah permudah urusan


HARAKAHDAILY | .
Salahuddin, Suhaizan, Dr Syed Azman dan Abang Ahmad Kerdee menunggu penerbangan ke Kuala Terengganu, pagi ini.
KUALA LUMPUR: Para pengunjung facebook Pemuda PAS Malaysia, pagi ini berharap semoga Allah memudahkan segala urusan berhubung kes saman terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, hari ini.

Amri Bakar mengharapkan yang terbaik kepada Tuan Guru Abdul Hadi, mudah-mudahan Allah permudahkan segala urusan dan dibebaskan dari belenggu khianat.

Abu Fayyadh pula mengharapkan agar kemenangan diberikan kepada pihak Tuan Guru Abdul Hadi, semoga sinar kebenaran kembali bersinar cemerlang.

"Alhamdulillah, mudahan dipermudahkanNya urusan perjalanan tuan-tuan semua ke Terengganu. Insya'allah, Amin ya Rabb'," tulis Muhammad Izzuddin Mohd Tahir sebagai respons kepada foto di atas yang dimuatkan dalam facebook Pemuda PAS Malaysia.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat yang turut hadir bersama-sama di UM malam tadi.

"Tabarakallah..Terus Membangun Bersama Islam," tulisnya. -HARAKAHDAILY 28/10/2014

Statistik terkini jumlah permohonan kes murtad


HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: PAS meminta Perdana Menteri menyatakan apakah statistik terkini jumlah permohonan kes murtad bagi penganut agama Islam dan apakah langkah penyelesaian yang sudah diambil untuk menanganinya.  

Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengemukakan soalan demikian dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula jam 10.00 pagi ini.

Soalan daripada ahli-ahli parlimen PAS yang turut disenaraikan hari ini seperti di bawah.

Datuk Kamarudin Jaffar [Tumpat] minta Menteri Luar Negeri menyatakan adakah Kerajaan bercadang membuka pejabat Konsulat General Malaysia di Istanbul memandangkan pentingnya kota itu untuk rakyat dan negara kita.

Idris Ahmad [Bukit Gantang] minta Menteri Kerja Raya menyatakan berapakah kadar pungutan yang diperoleh oleh PLUS daripada cukai 3% kepada peniaga mengikut setiap R&R PLUS di seluruh negara.  

Datuk Mahfuz Omar [Pokok Sena] minta Perdana Menteri menyatakan:-  
(a) statistik terkini penjawat awam Persekutuan serta pengambilan penjawat awam secara lantikan tetap dari tahun 2010 hingga 2014 dan adakah Kerajaan bercadang mewujudkan proses pengambilan dalam pengisian oleh penjawat awam sedia ada yang berpengalaman dan berkelayakan untuk mengisi jawatan lebih tinggi yang dibuka pada orang awam; dan
(b) jumlah penjawat awam mengikut gred yang akan bersara wajib pada usia 60 tahun berkuat kuasa tahun 2014 dan jumlah mereka yang disambung perkhidmatan secara kontrak.

Ustaz Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali [Kuala Nerus] minta Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani menyatakan sasaran yang telah dicapai oleh Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC) untuk melahirkan usahawan belia dalam industri padi negara.  

Dr Izani Husin [Pengkalan Chepa] minta Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatanmenyatakan sejauh manakah sambutan sektor industri terhadap Konsep Ekologi Perindustrian yang bakal diwujudkan di bawah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA).  

Dr. Che Rosli Che Mat [Hulu Langat] minta Menteri Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air menyatakan peranan yang dimainkan oleh “Malaysian Green Technology Corporation (MGTC)” dalam mempromosikan Teknologi Hijau di negara ini. Sejauh manakah pencapaian MGTC berbanding objektif awal yang disasarkan. - HARAKAHDAILY 28/10/2014

Hasan Ali nafi terima tajaan UMNO, BN, KBS untuk ceramahnya

KUALA LUMPUR: Presiden Jalur Tiga Malaysia (JATI), Datuk Dr Hasan Mohamed Ali menafikan dakwaan kononnya beliau menerima tajaan atau sumbangan daripada UMNO, Barisan Nasional (BN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam setiap siri ceramahnya.
Beliau membuat penafian itu dalam perbicaraan kes samannya terhadap Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar di Mahkamah Tinggi di sini berhubung satu kenyataan bahawa Hassan menerima bantuan kerajaan.
Hasan berkata, setiap siri ceramahnya dibiayai wang poketnya dan sumbangan daripada masyarakat.
"Saya ingin katakan perkataan yang dikatakan oleh defendan (Mahfuz) dalam sidang media bertarikh 2 Mac 2012, di Ibu Pejabat PAS berhubung ceramah ditaja oleh KBS adalah palsu dan tidak benar sama sekali," katanya ketika disoal peguamnya Hasnal Rezua Merican.
Bekas Naib Presiden PAS itu turut memaklumkan mahkamah bahawa perkataan yang dikeluarkan oleh Mahfuz itu bersifat fitnah serta menjejas reputasinya.
Hasan berkata, kenyataan Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena itu menunjukkan plaintif seorang yang tidak jujur, bersifat hipokrit serta tidak layak untuk menjawat jawatan politik atau pertubuhan kemasyarakatan.
"Kandungan kata yang serius dan tohmahan itu telah menjejaskan usaha saya untuk melaksanakan kewajipan serta amanah yang diletakkan ke atas saya," katanya.
Hasan berkata, perkataan Mahfuz itu juga adalah fitnah kerana Mahfuz menyatakan bahawa plaintif merelakan dirinya diperguna sebagai perkakas dan alat untuk mencapai agenda politik UMNO dan BN.
Pada 12 April 2012, Hasan memfailkan saman itu atas dakwaan Mahfuz itu yang kemudiannya diterbitkan di beberapa akhbar serta laman portal.
Hasan menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan injunksi menghalang Mahfuz mengulangi kata-kata fitnah berkenaan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Nor Bee Ariffin bersambung esok.
- BERNAMA