Monday, March 19, 2012

Kes kanak-kanak hilang: Usah tuding jari, ambil iktibar

Kes kanak-kanak hilang: Usah tuding jari, ambil iktibar - Nasional - Sinar Harian:
kanak-kanak hilang
JANGAN cepat membuat spekulasi, sebaliknya ambil iktibar ke atas siri pembunuhan, penculikan atau kes hilang anak yang berlaku di negara ini. Kepekaan masya­rakat juga tidak boleh hanya secara bermusim atau menunggu apabila sesuatu kejadian dihebahkan menerusi media.

Sebaliknya, perasaan takut jika anak diperlakukan penjenayah adalah perlu pada setiap saat. Pada masa sama, jangan gemar mencari kesalahan orang lain sekiranya berlaku tragedi tragis melibatkan kanak-kanak.

Ini kerana, setiap kali masyarakat­ digemparkan berita anak hilang disusuli tragedi menyayat hati, ramai seolah-olah menuding jari kepada ibu bapa atau penjaga kanak-kanak terbabit.

Berikutan beberapa siri pembunuhan dan kehilangan kanak-kanak sebelum ini, wujud segelintir pandangan yang mengecam keluarga mangsa sebagai kurang prihatin kerana membiarkan anak yang masih kecil keluar rumah tanpa pengawasan orang dewasa.

Nurin Jazlin Jazimin, 8, Sharline Mohd Nashar, 5, Asmawi Jalaludin, 11, dan kes terbaru, Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang, 5, antara kanak-kanak yang ditimpa musibah selepas keluar rumah bersendirian, walaupun jarak dari tempat kediaman tidaklah sejauh mana.

Ibu Nurin Jazlin, Norazian Bistaman, 40, mengatakan, orang ramai jangan terus mencari salah atau keburukan sesiapa apabila tragedi berlaku, sebaliknya mengambil iktibar ke atas apa yang menimpa Nurin Jazlin atau kejadian seumpamanya, seperti mana dia dan keluarganya alami kini.

Suaminya, Jazimin Abdul Jalil, 38, mencelah bahawa kejadian Nurin Jazlin bukanlah semudah disangkakan oleh orang ramai kerana sememangnya mereka berdua tidak pernah membiarkan anak keduanya itu mahupun anak yang lain keluar rumah bersendirian untuk tempoh lama atau keluar bermain sehingga larut malam.

“Jika saya dan isteri seperti itu, mungkin kami boleh ditohmah cuai. Lagi pula, sebelum malapetaka tersebut, Nurin Jazlin bukan seorang yang gemar keluar bersendirian dan dia bukan mudah ikut orang tidak dikenali. Saya kenal anak saya,” tegas Jazimin.

Tambahnya, dia beranggapan anaknya itu hilang ketika berada sekitar tangga berhampiran rumah dan direntap secara pantas oleh pembunuhnya.

“Mungkin juga ini berlaku kerana tiada siapa yang tahu. Apa yang hendak saya katakan ialah, kejadian di luar dugaan dan boleh terjadi kepada sesiapa pun,” katanya.

Norazian menambah, terdapat sesetengah tohmahan orang ramai seperti keterlaluan­, namun kepahitannya ditanggung jua sambil dia sekeluarga meniti iktibar peristiwa lalu.

“Saya dan suami melalui kepahitan dahsyat sehingga saya takut melihat beg pakaian. Saya trauma untuk membayangkan mayat anak saya yang diperosok ke dalam beg. Selama hampir lima tahun ini, saya hanya menggunakan plastik. Oleh itu, saya tekad tidak mahu kejadian dulu berulang,” katanya.

Tegas wanita itu, dia tidak mahu kebahagiaan bersama kesemua permata hatinya, Nurin Jazshira, 14, Nurin Jazrina, 11, Nurin Jazlisa, 6, dan Jazley Nazril, setahun tiga bulan diragut lagi.

“Saya berpegang kepada peringatan ini, kerana pembunuh kak ngah (panggilan mesra Nurin Jazlin) masih tidak ditangkap.

“Kini kami lebih berhati-hati dengan mengajar anak-anak yang lain supaya tidak dekat dengan orang yang tidak dikenali dan selalu beri peringatan supaya mereka berjalan dalam kumpulan ketika pulang dari sekolah.

“Oleh itu, saya berpesan supaya masyarakat mengambil iktibar buat selama-lamanya. Bukan secara bermusim atau menunggu apabila kes kanak-kanak hilang dilaporkan media, baru hendak ketakutan atau berjaga-jaga,” akhiri Norazian.

Berkongsi perasaan ialah ibu Sharline, Suraya Ahmad, 32, yang juga inginkan masyarakat mengambil iktibar ke atas peristiwa menimpa kanak-kanak itu yang hilang tanpa dapat dijejak lagi.

“Apa yang berlaku kepada keluarga kami diharap menjadi pengajaran berharga buat ibu bapa lain kerana menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya,” kata Suraya yang kini menetap di Kampung Padang Pulut, Dungun, Terengganu.

Suraya bersetuju bahawa kanak-kanak tidak sepatutnya diizinkan keluar bersendirian tanpa pengawasan ibu bapa.

“Sedikit sahaja kealpaaan maka natijahnya boleh membawa derita seumur hidup,” ujar wanita tabah itu.

Walau apa juga berlaku, Suraya tetap menyemat harapan, bahawa Sharlinie akan pulang ke pangkuannya dan suami, Mohd Nashar Mat Hussain, 33, suatu hari kelak.

Seorang lagi wanita yang melalui kepahitan akibat hilang anak ialah Rozita Abu Hassan, 55.

Baginya, kehilangan Asmawi atau Awie pada 2008 sukar untuk diterjemahkan puncanya berikutan anak bongsunya itu lenyap tiada khabar sehingga sekarang.

“Pada hari kejadian, Awie tidak membawa wang dan bukan seorang diri. Sebaliknya dia berjalan dengan seorang rakan baiknya.

“Namun kawannya itu sampai ke rumah dahulu. Kemudian dia hilang dalam perjalanan pulang dan jaraknya bukanlah jauh dari rumah saya.

'via Blog this'

Isu Yahudi-Zionis: Nik Aziz pertahan Hadi - Politik

Isu Yahudi-Zionis: Nik Aziz pertahan Hadi - Politik - Sinar Harian:
Nik Aziz Nik Mat
SHAH ALAM - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan kenyataan Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kelmarin sambil menegaskan, pihaknya hanya menentang urusniaga dengan kerajaan Zionis, yang menurutnya menguasai tanah Palestin secara haram.
Kelmarin, Abdul Hadi berkata, aktiviti urusniaga dengan Yahudi dibenarkan, tetapi bukan dengan Zionis.
Kenyataan itu mengundang kritikan pemimpin-pemimpin Umno yang menyifatkan Pas sebagai parti tidak konsisten.
"Adapun yang ditentang oleh Pas ialah melakukan urusniaga dengan kerajaan Zionis yang tertegak pada hari ini di atas tanah yang dirampas daripada bangsa Palestin.
"Berurusniaga dengan kerajaan Zionis Israel ertinya mengiktiraf kewujudan mereka dan mengiktiraf kewujudan Israel merupakan satu jenayah yang tidak boleh dimaafkan," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Sehubungan itu kata beliau, menjadi rakan dagang negara Israel juga termasuk dalam berurusniaga dengan entiti haram Israel.
Beliau seterusnya berkata, "hairannya, ada sesetengah pihak nampaknya cuba menjadi juara menentang Israel tetapi dalam masa yang sama menjalin hubungan dagang dengan negara Israel."
Dengan merujuk kepada soalan dikemukakan oleh Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Mohd Hatta Ramli di Dewan Rakyat Selasa lalu, Nik Abdul Aziz berkata, agar mengejutkan apabila jawapan diberikan oleh Menteri Kewangan menyebut larangan mutlak ke atas pengimportan barangan dari Israel yang diletakkan di Jadual Pertama Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) telah dipinda ke Larangan Bersyarat di bawah Jadual Kedua Perintah yang sama pada 26 Mei 1994.
Selaras dengan ini barangan yang diimport dari Israel kini dibenarkan tertakluk kepada Lesen Import dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
"Tidakkah ini merupakan bukti cerah seterang matahari di siang hari tentang hubungan dagang dengan Israel?
"Hairan saya, tidak malukah akhbar milik Umno memainkan isu ini sedangkan jawapan rasmi dalam Dewan Rakyat menjelaskan keterlibatan hubungan dagang Malaysia- Israel," katanya lagi.
Dalam kenyataannya hari ini, Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, hakikatnya menerima akidah Yahudi lebih bahaya daripada menerima wang dari Yahudi.
"Apakah yang dimaksudkan dengan akidah Yahudi? Ia adalah menolak sebahagian ayat-ayat Allah SWT dan hanya menerima apa yang selari dengan hawa nafsu mereka.
"Demikian juga dengan mereka yang mengaku Muslim tetapi menolak Islam sebagai cara hidup dan menerima ideologi kebangsaan sekular untuk menjadi pegangan.
"Bukankah ikrar seringkali dilafazkan di dalam solat bahawa kita memohon dijauhkan terjebak dengan jalan orang-orang yang dimurkai Allah SWT, dan golongan itu ialah Yahudi," katanya lagi.

'via Blog this'

10,500 pengedar dadah ditahan sejak 2009: Hishammuddin

Berita Harian Online | 10,500 pengedar dadah ditahan sejak 2009: Hishammuddin:KUALA LUMPUR: Bagi tempoh 2009 hingga tahun lalu, seramai 10,500 orang ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah sejak 2009. 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata daripada jumlah itu seramai 2,955 ditahan pada 2009, 3,700 pada 2010 dan baki 3,845 orang lagi ditangkap sepanjang tahun lalu.
"Statistik PDRM (Polis Diraja Malaysia) bagi kes itu (pengedaran dadah) menunjukkan peningkatan disebabkan beberapa faktor antaranya kerana keuntungan yang lumayan dan cepat hasil daripada aktiviti pengedaran dadah," katanya dalam jawapan bertulis kepada Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Selain itu katanya, dadah jenis sintetik juga mudah diproses pada masa kini berikutan formula dan bahan kimia untuk memproses dadah mudah diperoleh. - BERNAMA
'via Blog this'

Kadir Sheikh Fadzir umum keluar UMNO

Berita Harian Online | Kadir Sheikh Fadzir umum keluar UMNO:pix_gal0
KUALA LUMPUR: Pemimpin veteran UMNO yang juga bekas menteri kabinet, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir hari ini mengumumkan meletakkan jawatannya selaku ahli UMNO.

“Pada hari ini saya telah pun mengirim surat kepada Setiausaha Agong UMNO Malaysia untuk meletakkan jawatan selaku ahli UMNO mulai hari ini,” katanya dalam satu kenyataan ringkas empat perenggan.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan sebarang sebab tindakannya keluar parti.
Abdul Kadir menjadi ahli UMNO dan memegang pelbagai jawatan dalam parti sejak tahun 1956 dan pernah menjadi Menteri Penerangan dan Menteri Pelancongan.

"Pada minggu sudah saya telah meletakkan jawatan selaku Bendahari UMNO Bahagian Kulim/Bandar Baharu, jawatan yang akhir dalam UMNO yang saya menjawat," katanya dalam kenyataan itu.


Abdul Kadir pernah menjadi Exco Pemuda UMNO selama 10 tahun dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO selama 24 tahun, di samping jawatan lain seperti Ketua Pemuda UMNO Negeri Kedah.
Beliau menjadi Ahli Pentadbiran Kerajaan Malaysia sekitar 30 tahun, selaku Setiausaha Politik, Setiausaha Parlimen, Timbalan Menteri dan Menteri.
'via Blog this'

SMM gesa Terengganu batal keputusan hukum 6 pelajar

SMM gesa Terengganu batal keputusan hukum 6 pelajar - Nasional - Sinar Harian:SHAH ALAM - Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) tidak menolak kemungkinan melancarkan protes besar-besaran  terhadap Kerajaan Terengganu jika Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said enggan membatalkan keputusan menarik balik kemudahan pinjaman yang diberikan kepada enam pelajar di Mesir.
Pengerusinya, Ahmad Syukri Ab Razab berkata, sikap Kerajaan Negeri Terengganu bukan sahaja tertutup, bahkan turut bercanggah dengan slogan ‘merakyatkan pentadbiran’ yang dicanang sendiri oleh Ahmad.
"Menteri Besar Terengganu tidak sepatutnya mencampur aduk kepentingan politik sempit dalam menilai hak yang dimiliki mahasiswa.
"Adalah tidak wajar untuk mahasiswa yang terbabit dihukum hanya kerana pendirian Kerajaan Negeri yang tidak bersetuju dengan Himpunan Bersih,"  kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan di Kuala Terengganu semalam, Ahmad berkata, Kerajaan Terengganu telah menarik balik pemberian pinjaman kepada enam anak negeri yang belajar di Mesir, selepas didapati terlibat dalam perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara tahun lepas.
Ahmad berkata, tindakan itu diambil selepas kerajaan negeri tidak berpuas hati dengan penjelasan pelajar terbabit ketika menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan Kerajaan Terengganu.
"Kita biayai mereka untuk pergi belajar, bukannya untuk terlibat dengan demonstrasi atau perkara yang tidak diingini," katanya.
Ahmad Syukri pula berkata, Menteri Besar Terengganu sewajarnya bertindak lebih profesional dengan memisahkan sentimen politik seterusnya membuat keputusan yang lebih adil.
Kata beliau, sekiranya sifat ketinggalan zaman ini dikekalkan, maka tidak keterlaluan sekiranya mahasiswa sifatkan bahawa kerajaan negeri pimpinan Ahmad akan ditolak rakyat dalam pilihan raya yang akan datang.
"Oleh itu SMM menuntut agar tindakan membatalkan pinjaman terhadap enam mahasiswa terbabit ditarik semula. "Tindakan ini SMM simpulkan sebagai tidak bertamadun dan melanggar batas kemanusiaan apabila hak mahasiswa untuk mendapat pinjaman dinafikan secara kuku besi," katanya.
Ahmad Syukri berkata, mahasiswa terbabit dihukum tanpa asas yang jelas walhal mereka hanya mempraktikkan hak masing masing sebagai warganegara Malaysia.
"Jika benar bersalah, seharusnya pusat pengajian mereka terlebih dahulu mengenakan tindakan tatatertib kepada mereka.
"Sekiranya Kerajaan Terengganu benar-benar telus dalam menggerakkan agenda transformasi kerajaan yang dicanangkan, maka hukuman yang dikenakan terhadap enam mahasiswa terbabit perlu ditarik semula," katanya lagi.

'via Blog this'

Kerajaan akui hubungan dagang dengan Israel

Kerajaan akui hubungan dagang dengan Israel - Nasional - Sinar Harian:
Kerajaan akui hubungan dagang dengan Israel
KOTA BHARU - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, beliau akan memperjelaskan isu mengenai hubungan perdagangan dengan Israel pada sidang Parlimen dalam masa terdekat.

Persidangan Dewan Rakyat yang bermula Isnin lalu akan disambung esok.
Menurutnya, kerajaan tidak pernah menyembunyikan fakta bahawa negara ini mempunyai hubungan dagangan dengan Israel, namun sama sekali tidak mengiktiraf negara tersebut yang jelas menindas rakyat Palestin.

“Sebagai sebuah negara Islam, kita tidak iktiraf Israel kerana mereka menindas rakyat Palestin dari segi kepentingan hak rakyat, namun Kerajaan Pusat tidak pernah menyembunyikan yang kita ada jalankan perniagaan dengan mereka.

Kerana dalam perkembangan dunia hari ini amat sukar untuk mengasingkan perdagangan dengan negara luar termasuk Israel,” katanya kepada pemberita selepas majlis seminar panel penasihat peringkat Kelantan di Politeknik Kota Bharu, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Makhtar Mustafa serta Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Nordayanah Hassan.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menegaskan negara Islam boleh bekerjasama dengan Israel dari segi hubungan dagangan namun tidak menyokong kefahaman Zionis.

Abdul Hadi berkata, bangsa Yahudi pernah menjalankan hubungan perniagaan dengan Nabi Muhammad SAW ketika berada di Madinah. Sebelum ini Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengkritik Kerajaan Pusat menjalinkan hubungan dagang dengan Israel dan membenarkan pelabuhan negara disinggahi kapal Israel.

Mustapa yang juga Pengerusi Perhubungan Barisan Nasional Kelantan berkata, hubungan perdagangan dengan Israel melibatkan perniagaan yang dijalankan oleh syarikat-syarikat multinasional.

“Namun dari segi politik kita memang tidak langsung menyokong mereka dan masih menganggap mereka masih sebagai musuh dalam Islam, Insya-Allah saya akan beri penerangan mengenai perkara ini di Parlimen dalam masa terdekat,” katanya.

'via Blog this'

Calon PRU: Kuasa mutlak bukan di tangan saya, kata Azizan

Calon PRU: Kuasa mutlak bukan di tangan saya, kata Azizan - Politik - Sinar Harian:
Azizan- MB Kedah
ALOR SETAR - Hasrat Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu mahu bertanding di Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) perlu mengambil kira pelbagai faktor terlebih dahulu, kata Menteri Besar.

Antaranya ialah bergantung kepada penerimaan dan sokongan dari Pas kawasan.

Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, beliau tidak mempunyai kuasa mutlak untuk memberi keizinan kepada Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu untuk bertanding di negeri ini.

"Kita tidak tolak calon dari luar malah sudah ada beberapa calon luar yang bertanding di Kedah dalam pilihan raya sebelum ini dan mereka menang," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan Pas Kedah.

Menurutnya, beliau tidak mempunyai kuasa penuh untuk menentukannya perkara itu kerana ia wajar dirujuk kepada pihak atasan.

"Apa kuasa saya, saya bukan presiden parti, tetapi orang masih fikir saya yang berkuasa di Kedah (dari segi politik), tetapi saya bukan macam itu.

"Apa yang penting ialah untuk pertahankan kemenangan dan melakukan yang terbaik untuk tadbir Kedah," katanya.

Azizan yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah berkata,  beliau tidak mempunyai masalah untuk menerima Mat Sabu sekiranya Pas kawasan mahu menerimanya.

"Sebaliknya, jika ada 100 cawangan, 40 mahu terima dan 60 pula tidak mahu terima. Inilah masanya Badan Perhubungan perlu memainkan peranan dalam mencari kesesuaian atau jalan tengah.

"Tambahan pula, semua aspek perlu diambil kira dalam pilihan raya umum termasuk sokongan individu atas pagar, sokongan orang ramai serta rakan-rakan (dalam parti)," katanya.

Mat Sabu yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah (1999 - 2004), dikatakan cuba mengintai ruang dan peluang untuk bertanding kerusi Parlimen Pendang dalam pilihan raya umum kali ini.

'via Blog this'