Sunday, May 30, 2010

Wanita pijak bayi




SUSPEK mencampak bayi yang didukungnya ke tanah dan mula memijaknya di Zhengzhou, China, baru-baru ini.


ZHENGZHOU - Seorang wanita yang dituduh mencuri sebuah telefon bimbit di China tiba-tiba meroyan dan bertindak ganas dengan mencampakkan bayinya ke tanah dan memijak kanak-kanak berkenaan, lapor sebuah akhbar semalam.
Insiden mengerikan itu berlaku di bandar ini, wilayah Henan, baru-baru ini setelah seorang pelajar sekolah tinggi bersemuka dengan wanita itu dan seorang rakan wanitanya apabila dia diberitahu oleh beberapa saksi bahawa mereka mencuri telefon bimbitnya.
Tidak lama kemudian, beberapa anggota polis tiba di lokasi kejadian bersama saudara mara pelajar terbabit apabila perbalahan mereka menjadi semakin serius.
Berang ditolak oleh seorang saudara mara pelajar berkenaan, wanita itu tiba-tiba mencampakkan bayi itu ke tanah dan memijaknya menyebabkan budak tersebut menangis kesakitan.
Bayi tersebut bernasib baik kerana tidak cedera manakala wanita terbabit dibawa ke sebuah balai polis untuk disoal siasat. - Agensi

Perintah berkurung di Thailand ditarik balik




beberapa penduduk Thai memegang lilin dan bunga semasa berdoa pada Hari Wesak di sebuah tokong di wilayah Nakhon Pathom kelmarin.


BANGKOK - Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva semalam menarik balik perintah berkurung yang dikuatkuasakan di kira-kira satu pertiga negara berkenaan termasuk ibu negaranya, Bangkok.
Perintah berkurung malam hari tersebut dimansuhkan setelah situasi kini terkawal selepas tentera mematahkan protes kumpulan penunjuk perasaan Baju Merah yang bermula sejak dua bulan lalu.
Abhisit bagaimanapun berkata, kerajaan tiada rancangan untuk memansuhkan perintah darurat. Kekacauan akibat tunjuk perasaan itu menyebabkan kira-kira 90 orang maut dalam beberapa siri pertempuran dengan pihak tentera.
"Perintah berkurung itu dimansuhkan tetapi perintah darurat masih berkuat kuasa," katanya.
Perintah berkurung dikuatkuasakan di Bangkok dan 23 daripada 76 wilayah di Thailand pada 19 Mei lepas setelah penunjuk perasaan membuat kacau dan membakar infrastruktur kerana membantah operasi tentera yang dilancarkan untuk melumpuhkan protes mereka.
Kumpulan Baju Merah menyokong bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra dan menyatakan bahawa kerajaan pimpinan Abhisit sebagai tidak sah.
Sementera itu, pihak berkuasa Thailand meminta negara Montenegro yang mengeluarkan pasport kepada Thaksin supaya menahan bekas perdana menteri itu apabila beliau kembali ke negara rantau Balkan berkenaan. - AFP

Hati-hati janji Anwar - Najib



PEKAN 29 Mei - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim kini semakin terdesak apabila melakukan penipuan besar dengan menabur pelbagai janji palsu kepada rakyat dan parti pembangkang lain.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, rakyat tidak seharusnya menerima bulat-bulat kata-kata Anwar yang boleh menabur janji yang berbeza-beza kepada kaum-kaum tertentu di negara ini.
"Rakyat harus berhati-hati kerana janjinya tidak semestinya dapat ditunaikan. Kadang-kadang dia cakap lain kepada orang Melayu dan cakap lain kepada orang Cina.
"Terpulang kepada rakyat, yang penting rakyat tidak boleh telan bulat-bulat kerana dia (Anwar) sendiri tahu dia tak boleh tunaikan,"katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat agung Persatuan Institut Memandu Malaysia (PIMA) Ke-10 di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini mengenai janji Anwar untuk mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri II yang dilantik di kalangan pemimpin DAP jika pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13.
Janji itu disuarakan oleh Anwar dalam wawancara dengan sebuah akhbar berbahasa Cina,Nanyang Siang Pau yang disiarkan pada 26 Mei lalu.
Najib yang juga Presiden UMNO menegaskan, apa yang dilakukan oleh Anwar adalah kerana beliau semakin kehilangan pengaruhnya.
Menurut beliau, bukti paling jelas Anwar semakin kehilangan pengaruh apabila ramai pemimpin kanan PKR keluar parti dan meletakkan jawatan masing-masing.
"Setiausaha Agung PKR pun sudah letak jawatan (merujuk kepada peletakan jawatan Datuk Salahudin Hashim). Jadi mesti ada sesuatu yang tak betul berlaku dalam kepimpinan PKR. Dia sudah hilang pengaruh dan wakil rakyatnya sendiri.
"Kalau mereka puas hati mereka tidak akan pindah. Puncanya ialah mereka tidak puas hati," tegasnya.
Berikutan itu kata beliau, Anwar terpaksa menaburkan janji yang sebenarnya tidak dapat dikotakan. Dia janji macam-macam tetapi dia tidak dapat mengotakannya. Dia janji politik yang dia tidak boleh tunaikan," jelasnya.
Sebelum ini Najib memberitahu, Anwar pernah melakukan penipuan paling besar kepada rakyat dengan berjanji untuk menubuhkan kerajaan pada 16 September 2008.
"Dia (Anwar) janji nak tubuh kerajaan. Itu adalah penipuan paling besar yang menjangkau tempoh beberapa bulan tetapi ramai yang sudah lupa.
"Biasalah dia akan tuding kepada kita (Barisan Nasional). Dia tak akan mengakui punca sebenarnya iaitu orang tidak puas hati dengan kepimpinannya," tambahnya.

Jangan buat tuduhan tanpa usul periksa



PEKAN 29 Mei - Perdana Menteri mengingatkan semua parti komponen Barisan Nasional (BN) supaya tidak membuat tuduhan sesama sendiri tanpa usul periksa hingga boleh menjejaskan imej parti.
Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN menegaskan, tindakan sedemikian dianggap amat keterlaluan jika tuduhan yang dilemparkan tidak tepat.
Menurut beliau, setiap bentuk tuduhan perlu disiasat kesahihannya terlebih dahulu terutama jika membabitkan anggota dalam komponen BN.
"Kita tidak boleh mengatakan orang ini buat ini dan orang itu buat itu sebab kalau kita tidak ada bukti dan tidak sahih, akhirnya kita terpaksa mengaku kesilapan kita sendiri. Kita kena siasat dahulu kesahihannya," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat agung Persatuan Institut Memandu Malaysia (PIMA) Ke-10 di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Anggota Jawatankuasa Pusat MIC, S. Vell Paari yang memohon maaf di atas dakwaan beliau bahawa UMNO mengupah 'pembunuhan politik' dan di belakang Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS) untuk menyingkirkan bapanya, Datuk Seri S. Samy Vellu sebagai presiden parti itu.
Dalam kenyataan ringkasnya semalam Vell Paari berkata, adalah jelas bahawa UMNO tidak terbabit dalam mana-mana cara dengan pergerakan GAS memandangkan perkembangan yang berlaku baru-baru ini.
Vell Paari menyifatkan kenyataan kontroversi yang dikemukakan itu kerana beliau berasakan adalah tugas beliau untuk membela bapanya.
Sebelum ini, Vell Paari mendakwa UMNO menggunakan 'pembunuhan politik' untuk mengasingkan parti-parti komponen BN dalam temu bual dengan laman web Free Malaysia Today pada Isnin lalu.
Mengulas lanjut, Najib yang juga Presiden UMNO menegaskan, setiap anggota BN tidak seharusnya mengulangi tindakan yang dilakukan oleh Vell Paari itu.
"Saya harap apa yang berlaku itu tidak berterusan dan terima kasihlah kerana dia (Vell Paar) telah memohon maaf," katanya.
Dengan permohonan maaf itu, beliau berharap isu tuduhan itu dihentikan dan dijadikan sebagai pengajaran oleh setiap anggota BN.
"Saya anggap cerita ini sudah habis, sudah tutup tetapi ini adalah satu pengajaran kepada pihak lain,"katanya.

DAP kuasai pembangkang





KUALA LUMPUR 29 Mei - Gimik politik terbaru Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berjanji melantik Timbalan Perdana Menteri II di kalangan pemimpin DAP membuktikan parti yang dianggotai majoriti kaum Cina itu telah menguasai pakatan pembangkang.
Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong berkata, DAP boleh disifatkan sebagai 'parti yang teragung sekali' dalam pakatan itu kerana boleh mempengaruhi Anwar untuk membuat keputusan terbabit tanpa diadakan perbincangan dengan parti-parti pembangkang lain.
''Saya cukup terkejut dengan apa yang disebut oleh Anwar kerana beliau menyatakan perkara ini tanpa terlebih dahulu mengadakan mesyuarat bersama-sama pemimpin parti yang menganggotai pakatan pembangkang.
''Ketua Pembangkang nampaknya tidak mengamalkan konsep sama rata seperti yang dilaung-laungnya dengan mengambil sikap untuk menganaktirikan Pas," katanya ketika dihubungiMingguan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas gimik Anwar dalam wawancara dengan akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau yang disiarkan Rabu lalu apabila berjanji akan mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri II yang dilantik di kalangan pemimpin DAP jika pakatan pembangkang menang Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Menurut Choo Keong, sikap Anwar yang sibuk membincangkan isu itu jelas membuktikan bahawa beliau hanya memikirkan tentang jawatan dan tidak mengutamakan rakyat.
Dalam pada itu, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Mohamad Ezam Mohd. Noor pula menyifatkan janji Ketua Pembangkang itu sebagai tidak munasabah dan bertentangan dengan kontrak sosial yang disepakati semua kaum ketika mencapai kemerdekaan.
Beliau berkata, apa yang dilakukan oleh Penasihat PKR itu adalah tindakan terdesak semata-mata bagi meraih sokongan bukan Melayu.
''Anwar membuat pelbagai janji yang beliau sendiri tahu tidak akan ditunaikan kerana sedar bahawa pakatan pembangkang tidak akan mampu membentuk kerajaan di peringkat Pusat," katanya.
Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Huan Cheng Guan berkata, adalah jelas Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu sudah terdesak, malah beliau tidak terkejut jika Anwar menjadi Perdana Menteri akan wujud 10 jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Tambahnya, orang seperti Anwar sanggup berbuat dan cakap apa sahaja bagi memastikan impiannya boleh tercapai, seperti janji terbaru yang merupakan satu lagi helah beliau untuk terus mendapatkan sokongan pengundi Cina.

Anwar sosialis belakangkan tradisi kuasa Melayu



PUTRAJAYA 29 Mei - Datuk Seri Dr. Rais Yatim menyifatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim seorang sosialis yang membelakangkan segala kuasa tradisi orang Melayu apabila menjanjikan jawatan Timbalan Perdana Menteri II yang dilantik di kalangan pemimpin DAP.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu menegaskan, tindak tanduk ketua pembangkang itu tidak ubah seperti amalan sosialis yang dipraktikkan oleh DAP yang tidak pernah sedar tentang perjuangan kuasa tradisi Melayu.
''Anwar Ibrahim ini akan buat apa sahaja asalkan dia dapat jadi PM (Perdana Menteri), jadi apabila ada pihak yang kacau bangsa dan agama (dia), dia tak kisah.
''Dia (Anwar) ini langsung tidak mencerminkan sesuatu yang memberi keteguhan atau kekuatan pada orang Melayu atau peruntukan kuasa di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.
''Oleh itu pinta saya, orang Melayu mesti baca dengan jelas supaya tidak terpengaruh dengan retoriknya," kata beliau kepada Mingguan Malaysia hari ini.
Beliau mengulas gimik politik terbaru yang dalam wawancara dengan akhbar berbahasa Cina Nanyang Siang Pau yang disiarkan 26 Mei lalu berjanji akan mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri II yang dilantik di kalangan pemimpin DAP jika pakatan pembangkang menang pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.
Sambil memberitahu bahawa pakatan pembangkang sudah mewujudkan Kabinet bayangan, Anwar berkata, beliau telah dipilih menjadi calon Perdana Menteri.
Pada masa sama, katanya, pakatan itu bersetuju menambah jawata

Tidak mustahil Anwar tawarkan jawatan PM - Hishammuddin



HISHAMMUDDIN dan isteri beliau, Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah bergambar bersama peserta PLKN pada Program Khidmat Masyarakat PLKN Komuniti Bestari Mukim Kahang, di Pusat Rekreasi Sungai Teminggol, Kampung Sri Lukut di Kluang, semalam.


KLUANG 29 Mei - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat semakin tertekan tidak mustahil akan menawarkan jawatan Perdana Menteri pula kepada kaum India selepas ini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, setelah gagal menubuhkan kerajaan baru pada 16 September 2008, Anwar sanggup menawarkan apa sahaja demi kerakusan nafsu politiknya.
"Anwar semakin tertekan dan kalau tertekan lagi, tidak mustahil jawatan Perdana Menteri ditawarkan kepada kaum India pula.
"Ini tidak bertanggungjawab, lebih ke arah menimbulkan keresahan dalam masyarakat majmuk dan rasa tidak puas hati kaum lain," katanya pada sidang akhbar sempena Program Khidmat Masyarakat Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Komuniti Bestari Mukim Kahang, Kampung Sri Lukut di sini hari ini.
Sehubungan itu, Hishammuddin meminta rakyat agar tidak terpedaya dengan mainan politik Anwar kerana barisan pembangkang tidak mempunyai rekod yang baik sebaliknya hanya pandai menabur janji.
Beliau mengakui BN juga mempunyai kelemahan tetapi konsisten dalam dasar pemerintahan yang telah dilaksanakan sekian lama yang terbukti berjaya menyatupadukan rakyat berbilang kaum berbanding tindakan sesetengah pemimpin pembangkang yang menimbulkan keresahan rakyat.
Ditanya apakah sokongan yang semakin meningkat daripada pengundi Cina terhadap pembangkang menyebabkan Anwar menimbulkan kemungkinan jawatan Timbalan Perdana Menteri diberi kepada kaum Cina, Hishammuddin berkata, perkara itu tidak perlu dirisaukan.
"Jangan fikir apa rentak lawan tetapi yang penting apa yang UMNO dan BN boleh buat untuk menerima kepercayaan rakyat," katanya.

Anwar sifatkan hakim sebagai 'bahalol'



KOTA BHARU 29 Mei - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar membuat kenyataan mengejutkan dengan menggambarkan hakim yang mengadili perbicaraan tuduhan liwatnya sebagai 'bahalol' kerana meneruskan perbicaraan.
Beliau turut menyifatkan badan kehakiman negara sebagai 'rosak dan punah' serta masih gagal dipulihkan kerana diterajui oleh individu-individu yang tidak layak.
"Tak kena pun, bawa kes juga... bagaimana, saya pun tidak fahamlah ceritanya. Nak cerita pun malu...ini fitnah...siasatlah.
"Mana tahu bocor, hantar ke doktor dan belek-belek tidak ada apa... ekzos paip tidak bocor. Tidak kira, tidak mengapa, hakim kata mana tahu situ tidak bocor ada tempat lain bocor.
"Bocor lubang hidung ke...bahalol," tegas beliau ketika berucap dalam Ceramah Perdana Pakatan Rakyat di Padang Majlis Daerah Tanah Merah di sini malam tadi.
Ceramah perdana itu turut disertai Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh kini sedang menghadapi perbicaraan tuduhan liwat.
Anwar sebelum ini pernah meringkuk selama enam tahun di dalam penjara kerana didapati bersalah dalam tuduhan liwat terhadap mangsa berlainan pada tahun 1998.
Menurut beliau, ini menjadi bukti bahawa badan kehakiman negara kini rosak kerana diterajui oleh orang-orang Melayu UMNO yang tidak berakhlak.

Samy perlu dengar nasihat Tun Dr. Mahathir



KUALA LUMPUR 29 Mei - Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu dinasihatkan supaya mendengar pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya mengundurkan diri daripada terus menerajui parti itu.
Bekas Timbalan Presiden MIC, Datuk S. Subramaniam berkata, nasihat dan pandangan Dr. Mahathir itu sebenarnya membawa harapan dalam usaha menyelamatkan MIC serta parti komponen Barisan Nasional (BN).
"Dr. Mahathir telah beberapa kali menasihatkan Samy Vellu supaya mengundurkan diri daripada menerajui parti itu sejak beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri tujuh tahun lalu.
"Tetapi Samy Vellu masih lagi ingin menerajui MIC. Berilah peluang kepada kepimpinan baru menerajui parti itu, beliau sudah menyandang jawatan itu hampir 30 tahun," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Koperasi Nesa Pelbagai Berhad (Nesa) di sini hari ini.
Dalam pada itu, Subramaniam mengulangi pendiriannya, beliau bersedia melepaskan jawatan sebagai Ketua MIC Bahagian Seputeh, bagaimanapun kekal sebagai ahli dalam parti itu.
"Saya tidak teragak-agak untuk melepaskan jawatan sebagai ketua bahagian kepada timbalan saya, dan akan melepaskan jawatan itu selepas Samy Vellu bertindak sama meletakkan jawatan Presiden MIC dalam tempoh seminggu ini, bagaimanapun saya akan kekal sebagai ahli parti.
"MIC perlu diselamatkan daripada orang sepertinya. Samy Vellu punca sebenar segala permasalahan yang sedang berlaku sekarang ini, jadi adalah wajar beliau tidak lagi jadi Presiden MIC," katanya.
Subramaniam berkata, beliau menyarankan Samy Vellu melepaskan jawatannya itu secepat mungkin bagi memberi laluan kepada MIC untuk memilih Presiden MIC baru dalam membawa agenda pembaharuan masyarakat India di negara ini.

Samy gesa hentikan desakan percepatkan peralihan kuasa



SEREMBAN 29 Mei - "Saya sudah umumkan akan menyerahkan jawatan Presiden kepada Timbalan Presiden... apa mahu lagi? Saya sudah tetapkan tarikh peralihan kuasa ini... apa mahu lagi?
Demikian ditegaskan oleh Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu sekali gus menggesa agar desakan ke atas beliau untuk mempercepatkan peralihan kuasa jawatan Presiden itu dihentikan atau bakal merosakkan parti.
"Kalau nak rosakkan nama parti...buat macam orang gila...kita nak sokong dia kah?," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen MIC Negeri Sembilan di Wisma MIC di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel, dua Naib Presiden, Datuk Dr. Subramaniam dan Datuk S.K. Devamany, Setiausaha Agung MIC, S. Murugesan, Bendahari MIC, Datuk Jaspal Singh, Ketua Wanita MIC Datin Paduka Komala dan Pengerusi Badan Perhubungan MIC Negeri Sembilan Datuk T. Rajagopalu.
Dalam ucapannya lagi beliau juga mendakwa usaha sedang dilakukan oleh pihak tertentu untuk mewujudkan pergolakan dalam parti dan menjadikan MIC tidak relevan lagi.
"Sejak seminggu yang lalu, MIC dijadikan 'punching beg' oleh pihak tertentu yang ingin melihat parti berpecah dan hilang sokongan serta keyakinan masyarakat India.
"Usaha dibuat untuk mewujudkan pergolakan dalam parti dan menjadikan MIC tidak relevan lagi," katanya.
Kata beliau, pergolakan ini boleh melemahkan dan merugikan parti dan kerana itu MIC mesti kuat.
"Sebagai Presiden, saya berjanji pada semua ahli parti bahawa saya tidak akan benarkan perkara ini berlaku. Oleh itu, saya perlukan sokongan dan kerjasama semua pihak untuk memastikan parti kita kuat dan stabil.
"Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk pastikan parti kukuh dan kuat sebelum saya serahkan jawatan saya sebagai Presiden parti kepada pemimpin baru. Kekuatan saya datangnya dari semangat setiap ahli," katanya.
Tambahnya, MIC mempunyai cara sendiri untuk menguruskan parti dan tidak memerlukan 'orang luar' mencampuri urusannya.
"Kalau guna orang luar campur tangan, kita akan dipergunakan. Pihak yang tidak bertanggungjawab mahu menghancurkan parti kita.
"Oleh itu, kita perlu sedar dan saya menyeru agar semua ahli terus bersatu dan mengutamakan perpaduan serta memberi sokongan kepada kepimpinan parti untuk memberikan yang terbaik kepada masyarakat India," katanya.

Hisham: Jangan percaya bulat-bulat kata penasihat



KLUANG 29 Mei - Pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) dinasihatkan supaya tidak mempercayai bulat-bulat penasihat masing-masing.
Sebaliknya, menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, mereka perlu menyiasat dan mengkaji dakwaan yang dibuat terutamanya jika ia boleh menggugat keharmonian parti.
''Ini kerana penasihat tersebut berkemungkinan membuat tuduhan yang tidak berasas dan mempunyai kepentingan tertentu.
"Jangan kita terikut-ikut nasihat orang di sekeliling kita tanpa kaji, siasat terlebih dulu," katanya pada akhbar akhbar sempena Program Khidmat Masyarakat Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Komuniti Bestari Mukim Kahang, Kampung Sri Lukut di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan anggota Jawatankuasa Pusat (CWC) MIC, S. Vell Paari semalam yang memohon maaf atas dakwaan beliau bahawa UMNO mengupah 'pembunuhan politik' di belakang Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS) untuk menyingkirkan bapanya, Datuk Seri S. Samy Vellu sebagai presiden parti itu.
Hishammuddin bagaimanapun menyifatkan permohonan maaf Vell Paari itu sebagai tindakan bijak demi keharmonian BN setelah beliau menyedari kesilapannya.
DI SEMPORNA, seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal turut berpendapat, isu permohonan maaf Vell Paari tidak perlu dipanjangkan lagi.
"Tidak payah kita hendak panjangkan perkara ini kerana yang penting sekarang ialah usaha memperkuatkan MIC dan BN dipertingkatkan," katanya.

Keselamatan perhimpunan GAS hari ini terjamin



KUALA LUMPUR 29 Mei - Orang ramai yang hadir pada perhimpunan Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS) di The Mines, Seri Kembangan esok tidak perlu risau dengan keselamatan mereka kerana perhimpunan tersebut mempunyai permit dan akan dikawal oleh anggota polis.
Bekas Timbalan Pemuda MIC, V. Mugilan berkata, GAS sudah mengadakan perbincangan dengan pihak polis baru-baru ini bagi membincangkan keselamatan perhimpunan yang dijadualkan bermula pukul 2 petang.
"Perhimpunan ini akan dijalankan secara aman dengan bertujuan memberi isyarat kepada Datuk Seri S. Samy Vellu untuk berundur dari jawatan Presiden MIC secepat mungkin.
"Setakat ini 300 Ketua Cawangan MIC sudah menyatakan persetujuan untuk menyokong perhimpunan ini dan saya jangka 15,000 orang akan hadir esok," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Turut hadir ialah dua bekas anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, G. Kumar Aamaan dan KP. Samy.
Mugilan berkata, perhimpunan itu juga akan dipantau oleh CWC bagi melihat jumlah sokongan kaum India terhadap GAS.
"Beberapa individu di CWC sudah menghubungi saya berkenaan perhimpunan itu dan mereka juga akan memantau perkembangan sokongan kaum India terhadap GAS pada hari tersebut.
"Mereka juga akan mengadakan sidang akhbar pada Isnin depan untuk mengulas mengenai perhimpunan tersebut," katanya.
Mugilan turut mendakwa bahawa terdapat ancaman daripada pihak tertentu untuk mencetuskan huru-hara pada perhimpunan itu dalam usaha menakutkan orang ramai yang hadir.
Sementara itu, polis akan menempatkan bilangan anggota mencukupi bagi mengawal keselamatan perhimpunan GAS tersebut.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, langkah itu bagi memastikan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku semasa perhimpunan berkenaan dijalankan kira-kira pukul 2 petang.
"Kita akan membuat pemantauan termasuk kawalan lalu lintas ekoran peningkatan jumlah penyokong yang dijangka hadir pada perhimpunan itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, pihaknya akan menempatkan anggota di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan di sekitar Ibu Pejabat MIC walaupun perhimpunan tersebut telah ditukarkan ke Pusat Konvensyen dan Pameran Mines.
Beliau berkata, ia merupakan prosedur biasa bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.
habis.

Saya tidak perlu mohon maaf - T. Mohan



KUALA LUMPUR 29 Mei - Ketua Pemuda MIC, T. Mohan menegaskan yang beliau tidak perlu memohon maaf kepada UMNO kerana mendakwa tidak pernah menuduh parti tersebut atau mana-mana parti komponen Barisan Nasional (BN) terlibat dengan Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS).
Menurut beliau, kenyataannya sebelum ini telah diputar belit oleh sesetengah pihak sehingga beberapa pemimpin UMNO salah faham.
"Saya hanya mengatakan jika UMNO terlibat, MIC akan mengkaji kedudukan parti tersebut dalam BN.
"Saya tidak pernah menuduh UMNO kerana saya hanya mengatakan 'jika' dan saya tidak perlu memohon maaf kepada UMNO dalam soal itu,'' katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian apabila ditanya adakah beliau akan menuruti jejak langkah S. Vell Paari, anak Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu yang memohon maaf secara terbuka setelah menuduh UMNO terlibat dengan GAS.
Mohan berkata, Vell Paari menuduh UMNO secara langsung dalam kenyataannya sebelum ini dan itu hak beliau untuk memohon maaf secara terbuka.
"Situasi kami berbeza dan harap semua pihak dapat menilai semula kenyataan saya sebelum ini," katanya.

Nelayan bantah projek tambak pantai





ORANG ramai tidak menghiraukan bahaya dengan memancing berhampiran projek menambak pantai yang menyukarkan nelayan bot kecil untuk turun ke laut di Teluk Ketapang, semalam. - UTUSAN/AZLAN BAHRUM


KUALA TERENGGANU 29 Mei - Kira-kira 50 nelayan di Pantai Teluk Ketapang di sini merungut pendapatan mereka terjejas ekoran tidak dapat turun ke laut kerana kerja-kerja penambakan pantai di kawasan itu.
Menurut nelayan terlibat, keadaan itu menyebabkan mereka tidak dapat membekalkan ikan kepada pemborong dan pembeli ikan yang merupakan pembeli utama hasil laut itu.
Seorang nelayan, Abdul Halim Long, 43, berkata, dia sudah enam hari tidak dapat turun ke laut sejak projek penambakan pantai itu dijalankan 10 hari lalu.
Menurutnya, terdapat batang paip di gigi air yang menghalang nelayan menurunkan bot ke laut.
''Saya tidak mampu mengangkat bot gentian kaca ini dari pantai ke laut seorang diri. Ia berat. Sebab itu saya tak dapat turun ke laut sejak projek penambakan itu dijalankan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Rakannya, Mohd. Noor Taib, 51, berkata, mereka kehilangan pendapatan bersih antara RM30 hingga RM40 sehari kerana tidak dapat keluar menangkap ikan.
''Kebanyakan daripada kami bergantung penuh dengan pendapatan menangkap ikan untuk menyara keluarga. Jika keadaan ini berterusan, bagaimana kami nak meneruskan hidup.
''Ini tidak bermakna kami menentang projek ini kerana tahu ia untuk keindahan kawasan ini, jadi kami minta ia dipercepatkan supaya tidak terus mengganggu sumber pendapatan nelayan," ujarnya.
Dia juga berharap pihak berkenaan akan membantu menyediakan pampasan kepada golongan nelayan terlibat ekoran pelaksanaan projek tersebut.
Dalam pada itu Pengerusi Komuniti Pengurusan Sumber Perikanan (KPSP) Teluk Ketapang, Mohd. Razaki Abdullah, 60, berkata, pihaknya telah mengajukan masalah berkenaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Ahmad Razif Abd. Rahman.
''ADUN meminta saya mengumpul nama-nama nelayan yang terlibat dan akan berusaha membantu mereka. Namun setakat ini kami masih belum dimaklumkan mengenai tindakan penyelesaian yang akan diambil," katanya.

Tingkatkan budaya membaca rakyat





HENG Seai Kei melihat judul buku yang dibaca oleh seorang pelajar, Lee Keen You, ketika melawat perpustakaan SMJK Yuk Choy di sekolah tersebut di Ipoh, semalam. - Mingguan malaysia/Mohd. Najib Mohd. Nor


IPOH 29 Mei - Kerajaan mahu meningkatkan budaya membaca di kalangan rakyat yang kini meliputi purata lapan hingga 12 buku setahun kepada 15 buku setahun menjelang 2013.
Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan, Senator Heng Seai Kie berkata, langkah itu selaras dengan matlamat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berpendapatan dan berpengetahuan tinggi.
''Kita masih kurang berpuas hati dengan pencapaian membaca rakyat kita yang berada pada kedudukan sederhana tinggi di kalangan negara membangun.
''Sehubungan itu kita akan cuba meningkatkan budaya membaca melalui program Mari Membaca 1Malaysia dan program-program lain seperti mewujudkan sudut membaca dalam gerabak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), bas ekspres dan pusat beli-belah," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan program Mari Membaca 1Malaysia Peringkat Negeri di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Yuk Choy di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Perpustakaan Negara malaysia (PNM), Datuk Raslin Abu Bakar dan Pengarah Pelajaran negeri, Mohd. Radzi Abd. Jabar.
Ia merupakan pelancaran pertama di peringkat negeri selepas dilancarkan pada peringkat kebangsaan pada 2 Mei lalu dan pemilihan Perak dibuat bersesuaian dengan pemilihan anak tempatan, Datuk Michelle Yeoh selaku Ikon Membaca 1Malaysia.
Mengulas lanjut Seai Kie berkata, pembekalan rak dan buku dalam kereta api telah dilancarkan pada tahun lepas dan ia mendapat sambutan menggalakkan, malah ada buku yang hilang.
Katanya, keadaan itu memang sudah dijangka kerana penumpang mungkin membawa pulang buku tersebut kerana tidak sempat menghabiskan bacaan semasa dalam perjalanan.
''Oleh itu, pihak kementerian melalui Perpustakaan Negara Malaysia sentiasa membuat semakan ke atas rak-rak untuk menambah semula buku yang kurang," katanya.
Ditanya mengenai sudut membaca dalam bas ekspres beliau berkata, pihaknya kini sedang mengadakan perbincangan dengan syarikat Sri Maju dan sekiranya berjaya, semua bas syarikat tersebut akan dibekalkan rak dan buku.
Mengulas mengenai program Mari Membaca 1Malaysia, Seai Kie berkata, lebih 1,000 buah sekolah menengah yang mempunyai Kelab Bahasa Mandarin, Melayu dan Inggeris akan menerima sumbangan buku yang bernilai RM1 juta menerusi program itu.
Katanya, setiap sekolah akan menerima sebanyak 27 buah buku iaitu 17 buah dalam bahasa Mandarin dan 10 buah dalam bahasa Melayu serta Inggeris.
''Kita tunggu kejayaan program ini dahulu dan selepas itu baru kita rancang untuk memperluaskan program ini ke sekolah-sekolah rendah termasuk membekalkan bahan bacaan dalam bahasa Tamil," ujarnya.

Hasilkan lebih banyak buku warisan dan Islam - Rosmah



ROSMAH Mansor menunjukkan buku Straits Muslims: Diasporas of the Northern Passage of the Straits of Malacca pada majlis pelancaran di Muzium Kesenian Islam, Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir Wazir Jahan Karim (tiga, kanan) serta piut Hafiz Ghulam Sarwar (dari kiri) Ariadna Shaik Rizal; Taariq Ahmad Jalani Markhzan Jalani; Amir Khaled Farid dan Amira Hannah Farid. - BERNAMA


KUALA LUMPUR 29 Mei - Para cendekiawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diseru menghasilkan lebih banyak buku berkaitan Islam, sejarah dan budaya demi memartabat dan mengharumkan warisan bangsa dan agama pada masa depan.
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, penghasilan buku seumpama itu bukan sahaja dapat mendidik tetapi juga mampu mencipta kesedaran tentang sejarah dan warisan budaya Islam untuk kepentingan generasi akan datang sekali gus menjadikan mereka sebagai bangsa bertanggungjawab.
Justeru beliau mengharapkan agar institut yang berkaitan dapat menjadikan buku-buku berkenaan sebagai koleksi di institusi pengajian tinggi, sekolah dan perpustakaan awam.
"Sebagai buku yang memberi sumbangan berharga untuk warisan budaya dan Islam, adalah penting supaya generasi muda kita dapat mempunyai akses yang lebih baik untuk meningkatkan pengetahuan dan maklumat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan himpunan buku-buku warisan budaya dan Islam di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah pemegang amanah karya Hafiz Ghulam Sarwar, Tan Sri Khalid Ahmad; Duta Filipina, Victoriano Lecarus; Pengarah Eksekutif Intersocietal and Scientific (INAS), Prof. Datuk Wazir Jahan Karim serta piut Hafiz Ghulam Sarwar Ariadna Shaik Rizal, 10; Taariq Ahmad Jalani Markhzan Jalani, 9; Amir Khaled Farid, 11, dan Amira Hannah Farid, 5.
Rosmah berkata, industri buku tempatan juga seharusnya berusaha lebih gigih untuk menulis dan menerbitkan penemuan mengenai warisan dan asal usul budaya serta buku tentang kesusasteraan Islam kerana ia akan mengangkat status industri buku tempatan dan global.
Sehubungan itu kata beliau, usaha menghasilkan penerbitan buku-buku seperti yang dilancarkan tersebut harus dipuji terutama untuk industri buku tempatan menerbitkan lebih banyak buku yang boleh menyoroti warisan, budaya dan kedaulatan negara.
Pada majlis tersebut, Rosmah melancarkan tiga buah buku masing-masing bertajuk Straits Muslims: Diasporas Of The Northen Passage of the Straits of Malacca yang dihasilkan Prof. Datuk Dr. Wazir Jahan Khan dan Life of Prophet Muhammad serta Philosophy of The Quran karya Hafiz Ghulam Sarwar.
Menurutnya, ketiga-tiga buku warisan Islam itu penting kerana bukan sahaja mampu meningkatkan lagi pemahaman tentang warisan dan budaya kita tetapi juga membantu meningkatkan pemahaman mengenai Islam.
''Biarpun buku-buku seumpama itu pernah ditulis dan diterbitkan oleh pelbagai penulis di seluruh dunia namun kata beliau, adalah membanggakan apabila ia ditulis, dikupas dan dianalisis oleh penulis tempatan kita sendiri.
"Dalam hal ini, saya amat berbangga bahawa Malaysia dapat menyumbangkan teks-teks warisan Islam di peringkat antarabangsa bagi menarik perhatian pembaca kepada perkembangan masyarakat Islam di rantau ini di samping menghayati nilai-nilai universal Islam," katanya.

Jambatan mahathir


Jambatan Bengkok kedaulatan negara - Dr. Mahathir

DR. Mahathir Mohamed menerima kad keahlian kelab Veteran MAYC daripada Sanusi Junid sambil diperhatikan oleh Abdul Ghani Othman di Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 29 Mei - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed meminta kerajaan meneruskan projek pembinaan Jambatan Bengkok kerana ia membabitkan soal kedaulatan serta usaha untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Beliau berkata, kerajaan tidak boleh mengikut telunjuk asing berhubung pembinaan jambatan tersebut yang ternyata bakal memberi banyak faedah dan peluang ekonomi kepada rakyat negara ini.
"Sebagai sebuah negara merdeka, kita boleh buat apa yang kita nak buat dalam wilayah kita. Ini lambang kedaulatan dan hak eksklusif kita.
"Kita tidak perlu bergantung kepada kuasa-kuasa asing dan tidak perlu bergantung kepada pihak-pihak lain. Ini wilayah kita, jadi kita tahu apa yang baik untuk kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh seorang peserta 'Wacana Kepimpinan Bersama Dr. Mahathir' anjuran Kelab Veteran Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) dan Pemuda UMNO Pasir Gudang di sini hari ini.
Turut hadir Presiden Kelab Veteran MAYC, Tan Sri Sanusi Junid dan Timbalannya, Datuk Nasir Safar serta Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.
Pada program yang dihadiri kira-kira 1,500 tetamu dan peserta itu, Dr. Mahathir turut melancarkan Kelab Veteran MAYC serta menjadi ahli yang pertama manakala Sanusi menjadi ahli nombor dua.
Kelmarin, Dr. Mahathir berkata, masih ada isu yang belum diselesaikan dengan Singapura walaupun lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuahkan beberapa hasil.
Dr. Mahathir berkata, isu tersebut ialah harga air yang dibekalkan kepada Singapura, Kumpulan Wang Simpanan Pusat (CPF) untuk rakyat Malaysia dan soal jambatan yang menghubungkan Malaysia dan Singapura.
Perdana Menteri dalam reaksi terhadap kenyataan Dr. Mahathir berkata, semua masalah legasi antara Malaysia dan Singapura akan diselesaikan secara berperingkat dan tidak boleh diselesaikan dalam satu pertemuan.
Jelas Dr. Mahathir, selaku Perdana Menteri ketika itu yang mencetuskan idea untuk membina jambatan tersebut, beliau mengetahui secara menyeluruh keuntungan dan kebaikan pembinaan jambatan itu.
Oleh itu katanya, beliau menaruh kepercayaan yang tinggi dan masih belum terlambat bagi Najib merealisasikan projek pembinaan Jambatan Bengkok yang akan menjadi kebanggaan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat.

akhbar pewrosak minda


Hargai perjuangan Utusan

KUALA LUMPUR 29 Mei - Kongres Ekonomi Bumiputera malam ini merakamkan penghargaan khusus kepada Kumpulan Utusan di atas sumbangannya memperjuangkan nasib dan survival Melayu di negara ini.
Pengerusi kongres, Datuk Ibrahim Ali berkata, walaupun akhbar Utusan Malaysia diserang oleh beberapa pihak terutamanya parti pembangkang tetapi akhbar tersebut masih tetap teguh dengan prinsip dan semangatnya.
''Tahniah kepada Kumpulan Utusan dan seluruh warga kerjanya yang terlalu banyak sumbangan kepada perjuangan Melayu di negara ini,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Kongres Ekonomi Bumiputera yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.

Lembaga Pengarah Sime Darby didesak letak jawatan



KUALA LUMPUR 29 Mei - Seluruh Lembaga Pengarah termasuk Pengerusi dan pegawai kanan Sime Darby Bhd. (Sime Darby) yang terlibat dalam pengendalian projek yang mengalami kerugian didesak meletakkan jawatan.
Pengerusi Kongres Ekonomi Bumiputera, Datuk Ibrahim Ali menegaskan, semua yang berkenaan perlu meletak jawatan secara serentak atau kerajaan menyingkirkan mereka secepat mungkin bagi digantikan dengan barisan pengurusan baru.
Menurut beliau, kerajaan juga didesak menubuhkan jawatankuasa bebas yang boleh menyiasat kerugian tersebut bagi memastikan kerajaan terus mendapat kepercayaan rakyat.
"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga perlu segera menyiasat kerugian itu walaupun tiada laporan dibuat kerana dikhuatiri dokumen-dokumen penting yang boleh dijadikan bukti akan hilang.
"Desakan ini dibuat demi menjaga integriti kerajaan supaya terus mendapat kepercayaan rakyat, sama seperti janji-janji bahawa kerajaan akan bersikap telus dan tidak bertolak ansur jika berlakunya penyelewengan, rasuah dan penyalahgunaan kuasa," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas kongres itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Sime Darby, sebelum ini dilaporkan mengalami kerugian lebih RM1.63 bilion daripada Bahagian Tenaga dan Utiliti akibat berlaku lebihan kos daripada projek di Qatar dan juga Empangan Bakun di Sarawak.
Selain usul terhadap Sime Darby itu, terdapat satu lagi usul tergempar yang dikemukakan oleh peserta kongres iaitu mengenai isu lesen pertaruhan bola sepak Piala Dunia.
Jelas Ibrahim, peserta kongres sebulat suara mendesak kerajaan supaya menarik balik lesen itu kerana ia boleh memberi kesan buruk kepada masyarakat.
"Apa pun alasan yang diberikan iaitu untuk membendung judi haram, namun ia tidak boleh diterima sama sekali.
"Kongres juga mendesak kerajaan negeri supaya mengarah pihak berkuasa tempatan menarik balik lesen premis judi yang dikeluarkan seperti 4 nombor ekor, loteri, pusat hiburan dan kedai arak sebagai langkah membasmi keruntuhan akhlak dan gejala sosial," katanya.

Konsert Rossa di Stadium Putra 'pukau' 4,000 penonton



KUALA LUMPUR 29 Mei - Konsert sulung penyanyi terkenal Indonesia, Rossa di negara ini berjaya menarik perhatian 4,000 penonton yang ternyata tidak mahu melepaskan peluang menonton persembahan hebat artis popular itu, malam ini.
Berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, di sini, konsert yang menelan belanja hampir RM2 juta itu merupakan konsert yang cukup dinanti-nantikan oleh peminat setia penyanyi itu memandangkan ia merupakan konsert pertama Rossa di luar Indonesia.
Apatah lagi, Konsert Melodi Cinta Rossa merupakan kesinambungan daripada kejayaan dua siri konsertnya iaitu Konsert Persembahan Cinta dan Konsert Cerita Cinta yang berlangsung di beberapa buah bandar di Indonesia sepanjang tahun 2008.
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor tidak ketinggalan hadir menyaksikan konsert yang turut menampilkan 50 orang kanak-kanak daripada program Permata Negara mengiringi persembahan Rossa menerusi satu segmen istimewa.
Sepanjang konsert yang berlangsung selama dua jam itu, Rossa atau nama sebenarnya, Sri Rossa Roslaina Handiyani telah mendendangkan lebih daripada 20 buah lagu popularnya dengan diiringi muzik orkestra oleh 30 orang pemuzik professional di bawah pimpinan Yovie Widianto.
Antara lagu yang disampaikan penyanyi itu adalah Hati Yang Terpilih, Terlalu Cinta, Aku Bukan Untukmu, Ayat-Ayat Cinta, Takdir Cinta, Tegar, Pudar, Hey Ladies, Hati Yang Kau Sakiti, Terlanjur Cinta dan Atas Nama Cinta.
Pada persembahan yang dianjurkan oleh Limaduabelas Musik dengan kerjasama Marctensia itu turut menyaksikan Rossa berduet dengan vokalis kumpulan Ungu, Pasha di samping kumpulan ST12.
Malah, komposer dan penyanyi muda tempatan yang semakin meningkat naik, Aizat juga tidak ketinggalan membuat kemunculan istimewa apabila berduet bersama Rossa.
Selepas kejayaan Konsert Melodi Cinta, Rossa tidak menolak kemungkinan akan mengadakan konsert keduanya di negara ini dan juga negara serantau lain seperti Singapura dan Brunei.

Kesal UM jadi lokasi aibkan Dr. Mahathir



KUALA LUMPUR 29 Mei - Majlis Perundingan Melayu (MPM) kesal dengan tindakan pengurusan Universiti Malaya (UM) yang membenarkan kampus itu dijadikan lokasi penganjuran syarahan umum bagi mengaibkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Setiausahanya. Dr. Hasan Mad berkata, majlis itu yang pada asalnya bertujuan membincangkan buku bertajuk Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times karya Barry Wain telah dijadikan medan untuk menghentam Dr. Mahathir, UMNO dan orang Melayu.
''Nampaknya Naib Canselor (Datuk Dr. Ghauth Jasmon) bersikap liberal untuk membenarkan UM dijadikan platform bagi mengejek kepimpinan Melayu dengan berselindung di sebalik usaha-usaha bagi menggalakkan pemikiran terbuka," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Forum yang diadakan di Dewan Syarahan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran universiti tertua di negara ini dianjurkan oleh Kluster Penyelidikan Sains Tingkah Laku dan Sosial (SBSRC) UM.
Dalam buku yang diluluskan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada April lalu untuk diedarkan di negara ini, Wain antara lain mendakwa Dr. Mahathir telah menyebabkan kerajaan kerugian sehingga RM100 bilion sepanjang era pentadbirannya.
Hasan turut menggesa kerajaan supaya menyiasat niat sebenar Wain menulis buku mengenai Dr. Mahathir.
''Wain sendiri mengaku ketika syarahan bahawa jika dia menulis buku mengenai Lee Kuan Yew (Menteri Mentor Singapura) seperti yang dibuatnya terhadap Dr. Mahathir, dia sudah pasti ditangkap pihak berkuasa negara itu," ujarnya.
Sementara itu, Ghauth yang dihubungi Mingguan Malaysia malam ini berkata, beliau perlu meneliti bantahan MPM itu terlebih sebelum memberikan komen lanjut.

Panel sebak MBE tidak sentuh agenda bumiputera



KUALA LUMPUR 29 Mei - Seorang ahli panel 'sebak' apabila membincangkan mengenai cadangan kerajaan untuk mewujudkan Model Baru Ekonomi (MBE) kerana ia langsung tidak menyentuh agenda bumiputera seperti mana dasar-dasar ekonomi sebelum ini.
Sambil melahirkan kekecewaannya bekas Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Halipah Esa berkata, perlaksanaan MBE dalam bentuk itu hanya akan membuatkan golongan bumiputera di negara ini akan terus ketinggalan.
Justeru beliau menggesa kerajaan tidak sewenang-wenangnya membuang agenda bumiputera di dalam pelaksanaan MBE memandangkan kedudukan golongan itu di dalam pelbagai sektor masih belum berjaya sepenuhnya.
''Tidak dinafikan sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan kemudian diikuti Dasar Pembangunan Nasional (DPN) dan Dasar Pembangunan Wawasan (DPW) dilaksanakan kedudukan golongan bumiputera ada menunjukkan peningkatan.
''Bagaimanapun secara realitinya agenda bumiputera masih tidak kesampaian. Baik dari segi pemilikan ekuiti, jurang pendapatan dan penyertaan pekerjaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberi ulasan mengenai tajuk Agenda Melayu Dalam MBE pada Kongres Ekonomi Bumiputera:MBE di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Kongres sehari itu telah dianjurkan oleh Majlis Perundingan Melayu (MPM).
Halipah berkata, dari segi pemilikan ekuiti kedudukan antara bumiputera dan bukan bumiputera masih jauh terkebelakang, jurang pendapatan pula masih melebar manakala penyertaan pekerjaan tidak mencerminkan komposisi kaum.
''Inilah kedudukan sebenar golongan bumiputera pada hari ini," katanya lagi.
Halipah dalam pada itu berkata, pelaksanaan dasar-dasar ekonomi sebelum ini yang memberi tumpuan kepada agenda bumiputera sebagai contoh DEB tidak pernah membantutkan perkembangan ekonomi negara.
''Tidak ada bukti yang menunjukkan pelaksanaan DEB yang bermula pada tahun 1970 telah menyebabkan ekonomi negara kita tidak berkembang.
''Sebaliknya dasar tersebut berjaya menstabilkan negara dalam jangka masa panjang.
''Oleh itu mengapa ada pihak yang terlalu resah dengan pelaksanaan dasar ekonomi yang memberi tumpuan kepada agenda bumiputera sedangkan ia tidak pernah menjejaskan perkembangan ekonomi negara," katanya lagi.
Halipah berkata, tidak salah kerajaan mahu melaksanakan MBE tetapi ia harus menyerlahkan agenda bumiputera dengan berasaskan Perlembagaan Persekutuan perkara 153.
''Asas kita adalah Perlembagaan perkara 153. MBE tidak boleh lari daripada peruntukan ini. Tambahan pula terbukti yang pelaksanaan dasar ekonomi yang memberi tumpuan kepada agenda bumiputera tidak pernah membantutkan perkembangan ekonomi Malaysia," ujarnya.

Perlu telus jelas agenda ekonomi bumiputera



KUALA LUMPUR 29 Mei - Kerajaan digesa supaya menjelaskan dengan lebih telus tentang polisi afirmatif serta agenda pembangunan ekonomi bumiputera yang terkandung di dalam Model Baru Ekonomi (MBE) sekiranya ia mahu dilaksanakan.
Desakan tersebut disuarakan seorang panel di Kongres Ekonomi Bumiputera: MBE 2010 anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) di sini hari ini yang turut mahu kerajaan mengambil kira banyak lagi aspek melibatkan bumiputera pada pelaksanaan dasar tersebut kelak.
Antara lain, Senator Datuk Akbar Ali yang juga merupakan bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia mencadangkan agar Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dijadikan sumber kepada penggubalan MBE.
"Kerajaan juga perlu berusaha membina semula keadilan sosial dan pengagihan kekayaan negara mengikut nisbah penduduk berdasarkan kaum selaras dengan konsep kesamarataan," katanya ketika membentangkan kertas kerja pada kongres itu.
Akbar berkata, sektor swasta harus menjadi pemacu ekonomi di bawah MBE termasuk melaksanakan dasar intervensi yang strategik untuk membantu bumiputera menyertai aktiviti ekonomi negara dengan lebih berkesan.
"Wujudkan ruang permainan yang sama rata kepada bumiputera bagi membolehkan mereka bersaing secara adil. Kerajaan juga perlu membetulkan kecacatan dan gangguan pasaran bagi membolehkan persaingan itu menjadi lebih baik," katanya.
Beliau berkata, dalam usaha MBE dapat dilaksanakan dengan berkesan, kerajaan sepatutnya memecahkan monopoli dan kartel dalam bidang-bidang tertentu bagi membuka persaingan yang lebih luas.

MBE cabar kepentingan Melayu



SEBAHAGIAN yang hadir pada Kongres Ekonomi Bumiputera: MBE 2010 anjuran Majlis Perundingan Melayu di PWTC, semalam.


KUALA LUMPUR 29 Mei - Dasar ekonomi yang tidak mengambil kira kepentingan bumiputera seperti Model Baru Ekonomi (MBE) disifatkan sebagai satu agenda halus untuk mencabar kepentingan politik dan ekonomi Melayu.
Pakar sejarah, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam malah menganggap, pihak yang membenarkan dasar itu dilaksanakan telah memungkiri janji para pemimpin terdahulu kerana kegagalan mempertahankan kepentingan bumiputera.
''Usaha melindungi hak istimewa orang Melayu telah dibuat sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi dan ia adalah hasil kesedaran pemimpin-pemimpin kita terdahulu. Perkara ini merupakan satu fakta sejarah dan ia telah didokumenkan.
''Akhirnya peruntukan ini dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu saya minta mereka yang berhasrat melaksanakan dasar seperti ini supaya menghentikan rancangan berkenaan kerana ia amat bertentangan dengan perjuangan pemimpin-pemimpin terdahulu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberi ulasan mengenai tajuk Agenda Melayu Dalam MBE pada Kongres Ekonomi Bumiputera: MBE di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Kongres sehari itu dianjurkan oleh Majlis Perundingan Melayu (MPM).
Dalam pada itu Ramlah berkata, rancangan untuk melaksanakan dasar ekonomi tanpa agenda Melayu juga boleh dianggap sebagai menyokong perjuangan pembangkang khususnya DAP dalam menjayakan konsep 'Malaysian Malaysia'.
Sementara itu, seorang lagi ahli panel, Rajani Ramlan ketika mengulas isu sama menggesa kerajaan supaya menubuhkan semula Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
''Kementerian ini perlu dihidupkan kembali kerana ia memberi tumpuan khusus kepada pembangunan golongan bumiputera dalam pelbagai sektor," kata Pengurus Besar Yayasan Kajian Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Malaysia (DPPMM) itu.