WASHINGTON 1 Sept. – Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mengisytiharkan secara rasminya penamatan misi perang AS di Iraq dan menegaskan rakyat Iraq perlu menentukan takdir sendiri ketika Washington mengalihkan tumpuan untuk mengalahkan al-Qaeda di Afghanistan dan memulihkan negara sendiri.
Dalam ucapan besar semalam, Obama menyeru AS untuk menyiapkan diri berdepan lebih banyak pertumpahan darah di Afghanistan, menyifatkannya perang di sana sebagai ‘penting’ untuk melindungi AS daripada ancaman al-Qaeda.
Ucapan waktu perdana selama 18 minit oleh Obama dibuat sebagai saat simbolik pengunduran AS dari Iraq, namun beliau tidak mengatakan apa-apa mengenai kemenangan atau kekalahan ketika kebuntuan politik dan keganasan menyelubungi negara yang diceroboh AS pada 2003 itu.
Berucap dari Oval Office, lelaki yang mempertaruhkan kempen pilihan raya Presiden beliau pada penentangan terhadap perang ini berbicara tentang ‘kagum’ dengan pengorbanan askar AS dan menyatakan rayuan seorang negarawan agar dipulihkan jurang politik domestik berpunca dari konflik itu.
“Operasi Iraqi Freedom telah tamat dan rakyat Iraq kini bertanggungjawab terhadap keselamatan di negara mereka,” kata Obama, di tempat duduk sama ketika bekas Presiden George W. Bush memulakan perang lebih tujuh tahun lalu.
Berikutan masalah politik di AS sendiri, Obama cuba meminta rakyat memberi tumpuan kepada keperluan memperbaiki ekonomi AS ketika pemulihan perlahan menjejaskan popularitinya dan diramalkan menjadi punca kekalahan Demokrat dalam pilihan raya Kongres pada November ini.
Beliau menegaskan AS sudah menunaikan ‘tanggungjawab’ di Iraq dan kini perlu ‘bertukar halaman’ dan ‘membina semula negara’.
“Di waktu ini, ketika kita habis berperang di Iraq, kita perlu mengatasi cabaran dalam negara dengan sepenuh tenaga, dengan kecekalan dan matlamat sama seperti rakyat kita baik lelaki atau wanita dalam pakaian seragam yang berkhidmat di seberang laut,” ujarnya lagi.
Obama bertekad mengundurkan tentera dari Iraq dengan memanggil pulang 100,000 askar, walaupun perang di Afghanistan dipertingkatkan.
Namun dengan 50,000 baki anggota tentera AS dikekalkan dalam misi latihan dan antikeganasan sehingga penghujung tahun depan, Obama memberi amaran bahawa walaupun misi tempur sudah tamat, keganasan di Iraq belum berakhir.
Dalam e-mel kepada penyokong yang ditujukan kepada janji antiperangnya, Obama menggariskan angka korban yang tinggi iaitu lebih 4,400 askar terbunuh dan lebih 34,260 cedera selain ‘sumber besar’ yang dibelanjakan ketika kemelesetan ekonomi berlaku.
Obama juga menyeru Iraq agar menamatkan kebuntuan dan membentuk kerajaan dengan cepat selepas pilihan raya tanpa pemenang mutlak pada Mac lalu. – AFP