Showing posts with label militan. Show all posts
Showing posts with label militan. Show all posts

Saturday, January 26, 2013

Perancis musnah dua pangkalan militan



Tentera Perancis memeriksa sebuah kenderaan yang digunakan militan Islam yang terbakar dalam serangan tentera udara Perancis di pinggir pekan Diabaly, Mali, kira-kira 460 kilometer ke utara Bamako, ibu negara Mali pada 21 Januari lalu. Tentera Mali dibantu tentera Perancis berjaya menawan semula pekan itu. - AP
BAMAKO 25 Jan. - Jet pejuang Perancis memusnahkan dua pangkalan militan Islam di utara Mali, malam tadi ketika kumpulan yang dikaitkan dengan al-Qaeda itu mula berpecah.
Terdapat laporan menyatakan tentera Mali melaksanakan hukuman mati, dengan sebuah kumpulan hak asasi mendakwa sekurang-kurangnya 31 orang terbunuh di pusat bandar Sevare dan beberapa mayat dicampak ke dalam telaga.
Serangan bom sepanjang malam tadi menjadikan pekan Ansongo, kira-kira 80 kilometer dari bandar Gao, serta pangkalan militan di kampung berhampiran Seyna Sonrai sebagai sasaran, kata jurucakap tentera Mali yang enggan dikenali, semalam.
''Jet pejuang Perancis berjaya menyerang kedudukan militan di Ansongo dan kawasan berhampiran.
''Serangan itu berjaya dan mengakibatkan kemusnahan teruk kepada musuh,'' kata jurucakap tersebut.
Seorang sumber keselamatan Niger mengesahkan serangan itu dan berkata, dua pangkalan militan musnah termasuk bekalan minyak dan gudang senjata mereka.
Di kawasan sempadan Ouallam di Niger, lebih 2,000 tentera Chad dan 500 tentera Niger yang mendapat mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dikerahkan untuk melancarkan serangan ke atas militan.
Kumpulan nuklear Perancis, Areva berkata, mereka telah meningkatkan tahap keselamatan ke atas operasi perlombongan uranium di Niger.
Sementara itu di Mali, kumpulan pertama 6,000 tentera Kesatuan Eropah bagi menyertai kempen ketenteraan di Mali mula beroperasi di utara negara ini, tempat yang dikuasai tiga kumpulan yang dikaitkan dengan al- Qaeda selepas berlaku rampasan kuasa di Bamako.
Konflik antara kumpulan militan itu tercetus, semalam setelah Pergerakan Azawad mengumumkan berpaling tadah daripada kumpulan Ansar Dine dengan menyatakan mereka menolak sebarang unsur keganasan dan mahu krisis di Mali diselesaikan secara aman. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130126/lu_02/Perancis-musnah-dua-pangkalan-militan#ixzz2J2FfVvia
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Monday, December 31, 2012

Militan Pakistan tingkat keganasan

Kakitangan hospital memeriksa mayat mangsa letupan bom kereta di Quetta, semalam. - Foto AFPKakitangan hospital memeriksa mayat mangsa letupan bom kereta di Quetta, semalam. - Foto AFP Peshawar: Militan Pakistan yang semakin meningkatkan serangannya sejak kebelakangan ini, membunuh sekurang-kurangnya 41 orang dalam dua kejadian berasingan, membuktikan bahawa mereka masih mempunyai kekuatan, kata pegawai semalam.

Dalam kejadian pertama, militan Taliban menembak mati 21 anggota separa tentera Pakistan yang diculik dalam serbuan ke atas dua kem di barat laut negara itu.
Kira-kira 200 militan lengkap bersenjata termasuk meriam dan pelancar roket, menyerbu kem separa tentera kerajaan awal pagi Khamis lmengorbankan dua kakitangan keselamatan dan menculik 23 orang.


Pihak berkuasa berkata mayat 21 anggota keselamatan itu ditemui di kawasan hutan tebal tidak jauh dari kem dengan tangan terikat sebelum mereka ditembak. Dua lagi, seorang cedera dan seorang lagi tidak diapa-apakan, juga ditemui.

Kem berkenaan terletak hampir dengan kawasan puak yang bersempadan Afghanistan dan dianggap kubu kuat Taliban dan Al-Qaeda.

Kami menemui 21 mayat kakitangan keselamatan dipenuhi peluru tidak lama dulu di sebuah kawasan tanpa penghuni. Seorang ditemui masih hidup namun cedera dan dimasukkan ke hospital manakala seorang lagi berjaya melarikan diri tanpa dicederakan, kata pegawai kerajaan, Naveed Akbar kepada AFP.

Sementara itu di dalam kejadian kedua, 20 penganut Syiah terbunuh, manakala 24 lagi cedera apabila bom yang disembunyikan di dalam sebuah kereta meletup dan terkena bas yang membawa mereka di Quetta di barat daya negara itu ketika di dalam perjalanan menuju ke sempadan Iran.
Pemerhati hak asas berkata, 320 penganut Syiah terbunuh di Pakistan sepanjang tahun ini dan jumlah mereka semakin meningkat.
AFP 

Saturday, December 29, 2012

Polis sahkan tiga rakyat Malaysia sertai militan

KUALA LUMPUR 28 Dis. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sekurang-kurangnya tiga rakyat Malaysia berada di negara jiran menyertai kumpulan militan ketika ini.
Menurut Pengarah Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi/Counter Terrorism) PDRM, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun, tiga rakyat Malaysia yang dikenal pasti menyertai kegiatan militan di negara jiran ialah pemimpin Kumpulan Militan Malaysia (KMM), Zulkifli Khir atau lebih dikenali sebagai Marwan, Jeknal Adil dan Amin Bacho.
Beliau berkata, ketiga-tiga rakyat Malaysia terbabit dan mungkin beberapa lagi rakan senegara yang belum dikenal pasti identiti mereka berjuang dalam satu kumpulan militan untuk mencapai matlamat menubuhkan sebuah negara berkonsepkan Daulah Islamiah (JI) di Nusantara.
“Untuk makluman, ada beberapa rakyat Malaysia masih berada dan aktif di negara jiran menyertai kumpulan militan.
“Antaranya ialah Marwan atau Zulkifli Khir yang sudah berada di negara jiran sejak 2001 dan ada beberapa lagi elemen (militan rakyat Malaysia) seperti Jeknal Adil dan Amin Bacho yang bersama Marwan," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan program walkabout di pusat beli-belah Cheras Leisure Mall, di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai perkembangan siasatan terhadap saki- baki anggota kumpulan pengganas yang mempunyai kaitan dengan suspek kumpulan militan Jemaah Islamiah (JI), Allahyarham Mohd. Noor Fikrie Abd. Kahar, 26, yang ditembak mati pihak berkuasa Filipina baru-baru ini.
Menurut Mohamad Fuzi, pembentukan negara berkonsep Daulah Islamiah yang diperjuangkan oleh kumpulan militan berkenaan ialah penggabungan negara yang mempunyai penduduk Islam yang ramai iaitu selatan Filipina, Malaysia, Singapura dan Indonesia.
Jelasnya, bagi mencapai matlamat tersebut, kumpulan militan terbabit mempunyai anggota dari negara ini, Singapura dan juga Indonesia.
“Selain rakyat kita, ada beberapa lagi elemen atau anasir militan dari negara jiran lain yang berdekatan dengan negara kita turut menyertai kumpulan militan yang sama seperti Muawiyah dari Singapura.
“Kita sudah mengetahui kedudukan rangkaian mereka ini dan mereka sentiasa berhubung antara satu sama lain pada setiap masa," katanya.
Beliau berkata, pihaknya sedang menjalin bekerjasama rapat dengan rakan-rakan dari negara jiran untuk menangani dan memantau isu militan bagi mengelak merebak dan berkembang sehingga menjejas keselamatan negara.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121229/je_02/Polis-sahkan-tiga-rakyat-Malaysia-sertai-militan#ixzz2GRlq3BW0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Monday, December 24, 2012

Isteri kepada militan Malaysia didakwa



MANILA 23 Dis. - Polis Filipina telah memfailkan pendakwaan terhadap isteri kepada seorang anggota militan dari Malaysia, Mohd. Noor Fikrie Abd. Kahar yang mati ditembak di Davao, selatan negara ini pertengahan bulan lalu, dipercayai ketika cuba merancang serangan bom.
Pegawai polis, Supritendan de la Rosa berkata, pihaknya telah memfailkan pertuduhan ke atas Anabelle Nieva Lee di pejabat pendakwa raya minggu lepas.
Anabelle didakwa membantu membawa sebuah beg galas berisi bom mortar 60mm milik suaminya, yang mahu diletupkan pada 14 Disember lalu di sebuah lapangan terbang yang sibuk di Davao.
Pendakwa raya juga bakal menetapkan sama ada akan membuat pertuduhan jenayah.
Mohd. Noor Fikrie, 26, ditembak mati anggota polis Filipina sebelum dia sempat meletupkan bom berkenaan.
Jenazahnya telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Benut, Pontian, Johor, pada 20 Disember lalu.
Isterinya, seorang rakyat Filipina yang ditangkap sejurus kejadian, sehingga kini masih ditahan untuk soal siasat.
Polis mula menjejak pasangan tersebut selepas menerima maklumat menyatakan anggota militan merancang satu komplot serangan bom di Davao dan beberapa bandar lain. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121224/lu_02/Isteri-kepada-militan-Malaysia-didakwa#ixzz2FwR7OeDh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Friday, December 21, 2012

‘Apak mahu pergi jihad’





         
PONTIAN: “Apak mahu pergi berjihad.” Itu kandungan SMS dihantar suspek anggota sebuah kumpulan militan, Mohd Noor Fikrie Abd Kahar atau Fikrie, 26, kepada ahli keluarganya di Benut, dekat sini, beberapa bulan lalu ketika arwah tinggal bersama rakan-rakannya di ibu negara.

Fikrie yang ditembak mati pihak berkuasa Filipina di Davao City, 14 Disember lalu juga dikatakan kerap menghubungi tiga anak perempuannya yang tinggal bersama bekas isterinya di Klebang, Melaka. Nenek kepada bekas isteri arwah, Zainab Baba, 70-an yang tinggal di Klebang berkata, arwah menghantar SMS itu tidak lama selepas berpisah dengan isterinya.


“Arwah seorang bapa penyayang dan mesra dengan anaknya. “Selepas itu, kami terputus hubungan dan hari ini (semalam), arwah meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui pada majlis pengebumian Fikrie di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Haji Rahman, Benut pada jam 7 pagi semalam.

Sementara itu, ibu arwah, Noresah Kusin, 45, ketika ditanya berkaitan SMS dihantar Fikrie enggan mengulas mengenainya.


“Sebagai ibu, saya sedih dengan pemergiannya dan kali terakhir bertemu arwah pada Mac lalu.


“Fikrie juga tidak pulang meraikan Aidilfitri yang lalu kerana berada di Kuala Lumpur. Saya terkejut menerima panggilan pihak polis pada Sabtu (15 Disember) memaklumkan arwah sudah tiada,” katanya.

Thursday, December 20, 2012

Jenazah rakyat Malaysia ditembak di Filipina selamat dikebumi di Pontian



PONTIAN - Jenazah anggota militan rakyat Malaysia yang mati ditembak di Davao, Filipina Jumaat lalu selamat dikebumikan di Tanah Wakaf Perkuburan Islam Kampung Parit Hj Abdul Rahman, Benut di sini, pagi ini.

Jenazah Mohd Noor Fikrie Abd Kahar, 26, dikebumikan pada 7 pagi dalam keadaan hujan renyai dengan dihadiri hampir 100 anggota keluarga dan kenalan.

Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba di perkarangan Masjid Jamek Temenggong Daeng Abdul Rahman, pada 5.30 pagi setelah diterbangkan dari Davao, Filipina pada 9 malam tadi dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, pada 1 pagi.

Jenazah kemudian dibawa pulang dengan menaiki van jenazah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) ke kampung halamannya di Kampung Parit Hj Abdul Rahman dekat sini, untuk dikebumikan.

Suasana hiba dan sedih menyelubungi perkarangan masjid sebaik kenderaan membawa jenazah itu tiba.

Jenazah Allahyarham disembahyahkan sebaik solat subuh dengan diketuai Imam III, Rahmat Roduan bersama lebih 100 jemaah.

Sementara itu, bapa Allahyarham Abd Kahar Sirun, 53, turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia kerana menguruskan urusan membawa pulang jenazah anak sulung daripada empat beradik itu.

Dilaporkn sebelum ini bahawa Mohd. Noor Fikrie ditembak mati oleh polis Filipina di sebuah hotel di Davao, Jumaat lalu selepas bergelut dengan pihak polis yang ingin memeriksa beg sandang berisi bom buatan sendiri dibawa isterinya. - Bernama

Keluarga Mohd Noor Fikrie kesal Allahyarham dilabel pengganas



PONTIAN - Keluarga Mohd Noor Fikrie Abd Kahar, 26, rakyat Malaysia yang mati ditembak polis Filipina di Davao, Jumaat lalu terkilan kerana Allahyarham dilabelkan sebagai pengganas.

Menurut adik mangsa, Mohd Noor Hafiz, 24, mereka sekeluarga amat kesal dengan gelaran tersebut sedangkan pihak berkuasa Filipina hanya menggelar abangnya sebagai suspek.

"Walaupun dengan satu perkataan, namun ia sudah cukup mencemar dan menjatuhkan imej kami sekeluarga," katanya yang menyifatkan arwah sebagai seorang abang dan ayah yang baik, bertanggungjawab selain mudah tersenyum.

Beliau yang kelihatan hiba selepas pengkebumian abang sulungnya itu di Tanah Wakaf Perkuburan Islam Kampung Parit Abdul Rahman di sini pagi ini berharap, arwah tidak lagi dilabelkan dengan panggilan itu.

Turut hadir pada majlis pengkebumian Allahyarham ialah isteri Siti Sarah Raihana dan tiga anak iaitu Aina Sofia, 6, Aisyah Nadia, 5 dan Yati Izati, 4, serta ibu bapa Allahyarham.

Sementara itu, bapa Allahyarham Abd Kahar Sirun, 53, turut melahirkan perasaan sama dan mempersoalkan bukti yang dapat mengaitkan anaknya itu dengan kegiatan keganasan.

"Mana bukti dia pengganas, dia ada letupkan bangunan ke?, dia ada buat keganasan ke?," katanya.

Menurut Abd Kahar, kali terakhir beliau berjumpa anaknya adalah pada Mac lepas dan tidak menyangka ia merupakan pertemuan terakhir.- Bernama

Monday, October 29, 2012

11 anggota Hasmi ditahan




         
JAKARTA: Skuad antipengganas Indonesia menahan 11 suspek militan Islam yang didakwa merancang menyerang Kedutaan Amerika Syarikat (AS), sebuah plaza berhampiran Kedutaan Australia dan pejabat Freeport-McMoRan Copper & Gold.

Menurut polis semalam, anggota Detachment 88 turut merampas sebutir bom serta pelbagai peralatan membuat bom milik kumpulan Harakah Sunniyyah Untuk Masyarakat Islami (Hasmi).


Jurucakap polis Indonesia, Suhardi Alius, penahanan oleh skuad elit polis di Pulau Jawa itu adalah kejayaan terkini pihak berkuasa membanteras militan di negara itu. Katanya, penahanan itu dibuat 10 tahun selepas serangan bom di Bali yang mengorbankan 202 orang, kebanyakannya warga asing. “Bukti pertama ditemui di sebuah kawasan perumahan di Madiun, berupa sebutir bom yang sedia untuk digunakan selain pelbagai bahan mentah untuk membuatnya.

“Polis juga menemui beberapa buku panduan membuat bom,” katanya. Bagaimanapun, Suhardi tidak memberikan butiran lanjut mengenai kumpulan berkenaan. Suhardi berkata, antara sasaran Hasmi ialah Konsulat AS di Surabaya, Jawa Barat; Kedutaan AS di Jakarta; Plaza 89 juga di Jakarta yang terletak di depan Kedutaan Australia.


Turut menjadi sasaran, kata Suhardi, bangunan pejabat syarikat perlombongan Freeport-McMoRan Copper & Gold.


“Hasmi juga bercadang menyerang anggota pasukan Brimob (unit elit Briged Mobil yang juga dikenali dengan nama Baret Biru) di Srondol, Jawa Tengah,” katanya. - Reuters

Tuesday, October 23, 2012

Jordan tahan 11 suspek militan

Empat daripada 11 suspek yang ditahan anggota keselamatan Jordan atas dakwaan merancang meletupkan pasar raya dan membunuh diplomat barat.
Empat daripada 11 suspek yang ditahan anggota keselamatan Jordan atas dakwaan merancang meletupkan pasar raya dan membunuh diplomat barat.
Amman: Jordan berjaya menggagalkan rancangan al-Qaeda untuk meletupkan pasar raya dan menyerang diplomat Barat.

Pihak berkuasa sudah menahan 11 suspek militan yang terbabit dalam rancangan itu, kata jurucakap kerajaan, Sameeh Maaytah.
Lelaki terbabit merancang untuk melancarkan serangan ke atas misi diplomatik selain hotel dan lokasi lain, lapor agensi berita Petra.

Maaytah berkata, semua lelaki terbabit adalah warga Jordan dan membawa senjata menerusi Syria.

“Senjata yang mereka gunakan termasuk mortar dan mesingan,” katanya.

“Mereka memegang kewarganegaraan Jordan. Mereka pergi ke Syria dan pulang menggunakan lintasan sempadan Syria-Jordan,” katanya.

Anggota al-Qaeda berpangkalan di Iraq membantu suspek terbabit menghasilkan bahan letupan.
Agensi perisikan Jordan menahan mereka dalam tempoh beberapa hari lalu, katanya.
Sumber kehakiman berkata, kes itu sudah dirujuk kepada pendakwa mahkamah tentera.


Hadapi dua tuduhan

“Mereka akan hadapi dua dakwaan iaitu merancang melancarkan keganasan dan memiliki bahan letupan,” kata sumber itu.

Dakwaan berkenaan akan membawa kepada hukuman mati jika sabit kesalahan.
Mereka meninjau kawasan sasaran serangan di Amman, menguji bahan letupan selepas mendapat bahan untuk membuat bom dan sudah memilih calon penyerang bunuh diri, lapor agensi berita rasmi.

Antara rancangan mereka ialah menyerang dua pasar raya utama termasuk di kawasan mewah Abdoun neighbourhood, barat Amman.

Sumber keselamatan berkata, kumpulan itu sudah menghasilkan bahan letupan bertujuan membunuh sebanyak mungkin sasaran mereka. - Agensi

Thursday, October 4, 2012

PDRM serah suspek militan Indonesia kepada POLRI



KUALA LUMPUR: Proses membawa pulang seorang suspek militan Indonesia, yang ditahan di negara ini ketika cuba menyeludup senjata api ke republik itu pada Oktober lalu, sedang diuruskan oleh Polis Diraja Malaysia.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata Fadzli Sadama, 27, yang ditahan di Johor ketika cuba menyeludup sejumlah senjata api yang dipercayai untuk kegunaan pengganas, kini ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). "Kita setuju untuk membawa tangkapan dari Malaysia ke negaranya untuk tindakan selanjutnya. Ini hanya masalah teknikal sahaja, jangan jadikan ia sebagai satu isu," katanya kepada pemberita selepas menandatangi Prosedur Tetap (PROTAP) Malindo No.15 antara PDRM dan Kepolisan Negara Republik Indonesia (POLRI) di Bukit Aman hari ini.
Turut hadir, Kepala Kepolisan Negara Republik Indonesia yang baru dilantik, Drs Timur Pradopo.

Ismail berkata, suspek itu juga dipercayai terbabit kes rompakan bersenjata sebuah bank antarabangsa di Medan, Sumatera membabitkan RM139 juta.

Fadzli yang ditahan berseorangan di negara ini, juga dikatakan mempunyai rancangan untuk menyerang sebuah penjara di republik itu bagi membebaskan rakan baiknya, Toni Togar, perancang utama pengeboman Hotel JW Marriot di Jakarta, tujuh tahun lalu.

Ismail berkata, polis percaya pihak yang membantu daripada segi pembiayaan dan perlindungan kepada anggota militan tidak sedar atau mengetahui aktiviti mereka.
Beliau berkata, PDRM juga sepakat menjalin kerjasama rapat dengan POLRI bagi menahan saki baki kumpulan militan itu jika masih ada yang bersembunyi di negara ini.

Katanya, kejayaan penahanan Fadzli adalah usaha yang patut dibanggakan PDRM kerana dapat membongkar aktiviti keganasan warga asing.

"Dengan tertangkapnya tahanan ini, ia menunjukkan kita berjaya mengesan dan dapat tahu pergerakan dia pergi mana, di mana dia tinggal. Ini menunjukkan keupayaan kita untuk membantu antara satu sama lain," katanya.

Mengenai perjanjian itu, Ismail berkata ia bertujuan membolehkan PDRM dan POLRI menjalin kerjasama daripada segi penugasan di sempadan Sabah, Kalimantan, sempadan darat, dan perairan antara Malaysia dan Indonesia.

"Perjanjian yang termaktub ini akan membolehkan pegawai dan anggota polis negara ini menjalankan tugas secara koordinasi yang terbaik, dari segi komunikasi dan interaksi, demi mencapai objektif bersama iatu memastikan keamanan dan keselamatan dua negara ini," katanya.

PROTAP dibentuk sejak penubuhan Jawatankuasa Am Sempadan Malaysia (GBC) Malindo pada 1972 sesuai dengan keadaan ancaman ketika itu, iaitu ancaman komunisme dan jenayah tradisional.

Pada 18 Januari 2007, PDRM dan POLRI bersetuju untuk meminda PROTAP No.15 supaya lebih relevan. - BERNAMA

Wednesday, September 26, 2012

14 militan Mesir dihukum

14 ahli kumpulan militan
14 ahli kumpulan militan dijatuhi hukuman gantung sampai mati selepas
didapati bersalah kerana melancarkan serangan
di Sinai pada Jun tahun lalu. Foto:Reuters

KAHERAH - Mahkamah Mesir, kelmarin menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas 14 ahli kumpulan militan Takfiris selepas didapati bersalah melancarkan serangan di Semenanjung Sinai pada tahun lalu.

Menurut media tempatan, enam lagi tertuduh dikenakan hukuman penjara seumur hidup manakala empat lagi tidak bersalah atas pertuduhan itu.

Keputusan tersebut diumumkan selepas diluluskan oleh ulama tertinggi dan ia diisytihar sah untuk dilaksanakan di bawah sistem undang-undang Mesir.

Kesemua tertuduh didakwa terlibat dengan serangan yang dilancarkan balai polis utama el-Arish dan bank berhampiran sehingga menyebabkan beberapa anggota keselamatan termasuk orang awam terbunuh pada Jun tahun lalu.

Mereka juga bertindak menggempur balai polis tersebut dan memusnahkan patung bekas Presiden Anwar Sadat yang dibunuh selepas menandatangani perjanjian damai dengan Israel pada 1981.-AP

Tuesday, September 25, 2012

14 militan dihukum gantung




         
ISMAILA: Mahkamah di sini semalam menjatuhkan hukuman gantung terhadap 14 militan dan penjara seumur hidup ke atas empat yang lain kerana menyerang tentera dan polis di Semenanjung Sinai, tahun lalu.

Mereka adalah anggota kumpulan dikenali sebagai Tawheed dan Jihad, didakwa membunuh tiga anggota polis, seorang tentera dan seorang awam dalam serangan pada Jun dan Julai 2011.


Lapan daripada 14 yang menerima hukuman mati itu tidak hadir, kata sumber mahkamah.

Seorang defendan yang hadir menjerit mengecam Presiden Mohamed Mursi dengan menuduhnya kafir. - Reuters

Monday, September 24, 2012

Indonesia tahan 10 lagi militan

Anggota keselamatan memastikan keadaan   selamat selepas melakukan serbuan dan menahan militan.  Remaja (gambar kecil) melihat ke luar dari sebuah lubang selepas polis mematikan bom buatan sendiri suspek pengganas di Solo, Jawa Tengah.
Anggota keselamatan memastikan keadaan selamat selepas melakukan serbuan dan menahan militan. Remaja (gambar kecil) melihat ke luar dari sebuah lubang selepas polis mematikan bom buatan sendiri suspek pengganas di Solo, Jawa Tengah.

Jakarta: Satu skuad elit anti pengganas Indonesia menahan 10 militan dan merampas sedozen butir bom buatan sendiri daripada sebuah kumpulan disyaki merancang serangan bunuh diri terhadap pasukan keselamatan dan kerajaan.

Dua suspek ditahan pada Sabtu lalu di bandar Solo, Jawa Tengah selepas pihak berkuasa menerima maklumat mengenai mereka dari militan lain dalam kumpulan sama yang menyerah diri baru-baru ini, kata jurucakap polis kebangsaan, Brigadier Jeneral Boy Rafli Amar.
Rekrut ahli

Suspek terbabit disiasat dan mereka membantu polis dalam penangkapan enam lagi anggota kumpulan beberapa jam selepas itu di bandar yang sama. Suspek ke-9 ditahan lewat Sabtu di Kalimantan Barat manakala suspek ke-10, Joko Parkit, ditahan semalam.

Amar berkata, dua ditahan itu dikenali Badri Hartono dan Rudi Kurnia Putra, kedua-dua berusia 45 tahun dan bekerja merekrut pemuda serta mengajar sekurang-kurangnya seorang ahli kumpulan itu bagaimana untuk membuat bom.

“Mereka adalah tokoh utama kumpulan itu yang merancang beberapa serangan. Mereka merekrut, mengundang golongan muda untuk dilatih dengan gaya tentera di kem jihad dan membeli bahan membuat bom,” kata Amar.

Rancang bom
Katanya, kumpulan itu merancang mengebom bangunan Parlimen, menembak polis dan menyerang skuad anti keganasan.

Polis merampas 12 butir bom buatan sendiri, tiga raifal, empat bilah pedang dan beberapa buku jihad dari rumah tiga suspek, kata Amar.

Lima butir bom sudah selamat dimatikan lewat kelmarin di tempat kejadian di Solo, bandar asal guru agama terkenal yang kini dipenjara, Abu Bakar Bashir.

Polis masih menyiasat kemungkinan kaitan kumpulan tanpa nama itu dengan rangkaian pengganas lain, kata Amar. Pihak berkuasa percaya ia sudah berpecah tetapi mereka masih lagi terus mencari anggota lain.

Suspek ditahan

Sejak Mac lalu, lebih 30 suspek militan ditahan dan tujuh lain dibunuh dalam satu siri serbuan di Indonesia. Semua merancang melakukan serangan dalam negara dan ada di antara mereka yang berusia antara 18 hingga 20 menghadiri kem latihan gaya tentera di Poso, Pulau Sulawesi.

Ahli kumpulan lain, disyaki pembuat bom, Mohammad Toriq menyerah diri dua minggu lalu di ibu kota Jakarta, sambil membawa sepucuk senjata api dan peluru, dan memakai tali pinggang bunuh diri yang tidak mengandungi sebarang bahan letupan.

Militan kedua, Yusuf Rizaldi, menyerah diri kepada polis di Sumatera Utara tiga hari selepas itu. Mereka memberi kerjasama dengan memberi maklumat mengenai ahli lain kumpulan itu yang membawa serbuan pada Sabtu lalu, kata Amar.

Polis memberitahu, Toriq didakwa merancang sebahagian daripada serangan menembak polis dan mengebom bangunan Parlimen untuk jihad bagi mewujudkan undang-undang Syariah.

Dia melarikan diri sejak polis menyerbu rumahnya di Jakarta awal bulan ini berikutan jiran melaporkan melihat asap dari rumah berkenaan. - AP

Saturday, September 8, 2012

Militan rancang serang Parlimen




         
JAKARTA: Suspek militan yang ditahan polis, mendedahkan satu rancangan untuk menyerang bangunan Parlimen dan polis atas nama jihad.

Ketua Agensi Antipengganas, Ansyad Mbai berkata semalam, dua kumpulan militan berasingan merancang serangan ke atas bangunan Parlimen di Jakarta dan serangan bom ke atas polis di bandar Solo, Jawa Tengah.
“Kami bekerjasama dengan skuad polis antipengganas untuk memburu suspek yang masih bebas dan meningkatkan keselamatan sebagai langkah berjaga-jaga terhadap semua bentuk serangan,” katanya.

Bayu Sentiono, 22, yang ditahan selepas kejadian tembak-menembak di Solo minggu lalu hingga menyebabkan dua suspek dan seorang anggota antipengganas maut berkata, kumpulannya merancang lebih banyak serangan.


“Rancangan kami untuk memecah belahkan Solo seperti yang berlaku di Ambon dan Poso. Kami mahu menegakkan undang-undang Syariah dan menubuhkan sistem khalifah di Indonesia,” katanya, merujuk keganasan antara penduduk Islam dan Kristian dan menyebabkan beribu-ribu terbunuh.


Dalam satu video soal-siasat yang dikeluarkan oleh polis semalam, Bayu berkata, mereka mensasarkan polis yang mereka anggap murtad kerana menangkap dan membunuh militan Islam.

Seorang lagi suspek berkata, dia sudah memeriksa bangunan Parlimen tiga kali sebelum ditahan polis Julai lalu, kata Ansyad tanpa mendedahkan butiran tahap mana rancangan itu berjaya dilaksanakan.

“Ada kumpulan kecil di mana tugas mereka tidak berkaitan antara satu sama lai, tetapi mereka semua dari Jemaah Islamiyah (JI) dan Jemaah Anshorut Tauhid (JAT),” katanya.

JAT yang diisytiharkan pertubuhan pengganas oleh Amerika Syarikat diasaskan pada 2009 oleh ulama yang kini menjalani hukuman penjara, Abu Bakar Bashir. - Reuters

Monday, September 26, 2011

Militan Islam serang pasukan marin di Talipao

MANILA: Militan Islam dipercayai menyerang anggota keselamatan yang mengawal sebuah tapak sekolah, dalam kawasan kubu kuat pemberontak, menyebabkan 13 penyerang, dua anggota marin dan seorang penduduk, terbunuh.
Kira-kira 50 militan menyerang dua detasmen marin di kawasan berbukit di Talipao, Wilaya Sulu, waktu subuh.
Komander Marin, Kolonel Romeo Tanalgo berkata, serangan itu berlanjutan selama dua jam sebelum berjaya ditangkis. Dalam serangan itu, 13 militan dan dua marin, terbunuh.

Enam lagi anggota tentera cedera sebelum penyerang itu berpecah dan lari ke hutan, katanya.


Seorang penduduk, Miriam Jalani berkata, anak saudaranya terbunuh terkena peluru sesat. Empat lagi ahli keluarganya cedera ketika serangan.

Beberapa penduduk, melarikan diri dari rumah mereka. - AP 

Friday, August 12, 2011

Umar Patek tiba di Jakarta, hadapi tuduhan keganasan

JAKARTA: Umar Patek, militan yang disyaki perancang pengeboman Bali 2002 diekstradisi dari Pakistan ke Indonesia semalam selepas dia ditahan di bandar yang sama Osama bin Laden mati dibunuh.
Ketua agensi antikeganasan Indonesia, Ansyaad Mbai mengesahkan, Umar Patek tiba dengan kawalan ketat selepas berlepas dari Pakistan, menjelang perbicaraan terhadap tuduhan berkait dengan keganasan.

“Dia sudah ditahan. Dia suspek penting. Sukar untuk menyatakan pangkatnya. Tetapi anda boleh kata dia ikan besar,” kata Ansyaad.

Umar dijangka dibicarakan atas tuduhan melakukan keganasan, termasuk pengeboman Bali yang meragut 202 nyawa pada 2002 serta serangan petang Krismas yang menyebabkan 19 orang terbunuh pada 2000. - Reuters
hmetro   

Tuesday, July 26, 2011

Militan gantung budak 8 tahun

Bapa enggan serah kenderaan polis

KABUL: Pemberontak di selatan Afghanistan menggantung budak lelaki berusia lapan tahun, enam hari selepas mereka menculiknya, kata pihak berkuasa di sini kelmarin.

Penculik budak lelaki terbabit menuntut bapa mangsa, seorang pegawai polis memberi mereka kenderaan polis tetapi beliau enggan berbuat demikian.

Penjelasan kejadian itu diberikan pejabat Presiden Afghanistan, Hamid Karzai. Militan menggantung budak lelaki itu di daerah Gereshk, wilayah Helmand, Jumaat lalu.
“Presiden Karzai mengutuk keras tindakan itu dan menganggapnya sebagai satu jenayah kejam serta perbuatan pengecut yang tidak diterima dalam mana-mana agama atau budaya,” kata kenyataan dikeluarkan pejabat Karzai.

Ia merujuk pembunuh itu sebagai ‘pengganas’ namun tidak mengatakan jika mereka anggota Taliban atau pergerakan pemberontak yang berjuang menentang tentera asing dan sekutu Afghanistan.

Kejadian menculik adalah perkara biasa di Afghanistan. Kumpulan penjenayah menuntut wang tebusan manakala pemberontak pula membuat kenyataan politik.

Kebanyakan penculikan diselesaikan secara rahsia menerusi rundingan manakala bayaran biasanya membabitkan wang tunai.
Dalam satu lagi kejadian berasingan, pihak berkuasa Afghanistan berkata tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang menentang pemberontak di sepanjang lebuh raya timur secara tidak sengaja membunuh tiga orang awam yang terperangkap dalam pertempuran itu. – AP
Berita Harian Online | Militan gantung budak 8 tahun

Thursday, May 5, 2011

Militan di Yaman ikrar balas dendam


ADEN: Seorang pemimpin cawangan al-Qaeda di pedalaman Yaman semalam berikrar untuk membalas dendam ke atas pembunuhan Osama bin Laden oleh tentera Amerika Syarikat.
“Kami akan bertindak balas terhadap kematian pemimpin kami, Sheikh Osama bin Laden dan akan membuktikannya kepada musuh Islam,” katanya kepada AFP ketika dihubungi menerusi telefon dari Abyan, selatan Yaman.

Wilayah berkenaan ialah kubu kuat al-Qaeda.

“Mereka akan lihat apa yang mereka tidak pernah menjangka. Kami sedang menyiapkan rancangan untuk meneruskan jihad,” kata pemimpin itu yang enggan namanya disiarkan kerana alasan keselamatan.

“Kesyahidan Osama tidak bermakna jihad akan berakhir,” katanya.

Beliau juga berkata: “Osama sudah menyiapkan ‘seribu singa’ sepertinya yang akan mengikuti jejak langkahnya sehingga kami mencapai janji Allah kepada kami - Khalifah Islam.” Amerika Syarikat Isnin lalu mengumumkan pasukan komando elitnya menembak mati Osama dalam serangan terhadap vila mewahnya berhampiran Islamabad, ibu negara Pakistan.


Penduduk di bandar Mudia, Mahfad dan Loder di Abyan yang dikuasai al-Qaeda berkata, rangkaian penyokong kumpulan itu yang bertafakur dengan kematian Osama menggantung sepanduk hitam di kediaman mereka dan sepanjang jalan.

Cawangan al-Qaeda Saudi dan Yaman bergabung pada Januari 2009 untuk membentuk Al-Qaeda di Semenanjung Arab (AQAP), sekali gus memberi ancaman serius kepada kepentingan Amerika Syarikat di Yaman dan juga Presiden Ali ABdullah Saleh. - AFP

Tuesday, May 3, 2011

Kumpulan militan harap berita kematian tidak benar



DUBAI: Anggota-anggota forum kumpulan militan semalam berkata mereka berdoa agar berita kematian Osama bin Laden tidak betul dan membayangkan kemungkinan melakukan tindak balas.
Kenyataan itu dibuat sebagai reaksi terhadap pengumuman Washington bahawa ketua Al-Qaeda itu terbunuh dalam satu kejadian tembak-menembak dengan pasukan tentera khas Amerika Syarikat lewat kelmarin.'Oh Tuhan, tolong jangan jadikan berita ini sesuatu yang benar... Tuhan melaknatimu Obama,' kata satu pesanan dalam bahasa Arab yang disiarkan di laman forum itu.'Wahai rakyat Amerika... masih halal bagi kami memenggal leher-leher kamu,' tambahnya.Sepasukan tentera khas Amerika membunuh Osama dalam satu serbuan ke atas tempat persembunyiannya di Pakistan, kata Presiden Barack Obama, mengakhiri usaha memburu dalang serangan pengganas di New York pada 11 September 2001 itu sejak hampir 10 tahun lalu.Pembunuhan Osama di sebuah rumah mewah di sebuah daerah di luar Islamabad menjadi satu tamparan simbolik kepada rangkaian kumpulan militan sedunia, walaupun forum kumpulan militan tersebut menyiarkan pesanan bahawa hal itu tidak akan mengubah komitmen mereka untuk menentang kuasa-kuasa Barat.'Osama mungkin terbunuh tetapi mesej jihadnya tidak akan mati. Saudara-saudara, tunggu dan lihat. Kematiannya akan menjadi satu rahmat yang terselindung,' menurut satu kenyataan yang disiarkan dalam satu lagi laman forum kumpulan militan.Sementara itu, di Peshawar, Pakistan, cabang kumpulan Taleban di negara itu semalam mengeluarkan ancaman akan menyerang Pakistan dan Amerika.'Jika dia mati syahid, kami akan membalas dendam terhadap kematiannya dan melancarkan seranganserangan terhadap pemerintah Amerika dan Pakistan dan pasukan keselamatan mereka,' kata jurucakap kumpulan itu, Ehsanullah Ehsan, kepada agensi berita AFP menerusi telefon dari satu lokasi yang tidak didedahkan.Jurucakap Taleban itu berkata kumpulan militan tersebut sendiri belum dapat mengesahkan kematian Osama seperti yang diumumkann oleh Encik Obama.'Jika dia menjadi syahid, ia satu kemenangan besar buat kami kerana mati syahid adalah matlamat kami semua,' ujarnya. -- Reuters, AFP.cyberita

Thursday, June 17, 2010

Lepas ni ada yang akan ditangkap dan dituduh militan


Jawatankuasa khas bincang isu kegiatan militan

17/06/2010 4:59pm

PUTRAJAYA — Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersedia menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk membincangkan isu berhubung penglibatan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dengan kumpulan militan Jemaah Islamiah (JI).
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata melalui jawatankuasa itu, semua pihak berkaitan dapat mengadakan perbincangan secara berkala serta mengenal pasti peranan masing-masing dalam membendung kegiatan itu.
Beliau berkata penubuhan jawatankuasa itu juga penting bagi mengelakkan masalah itu daripada berlarutan sehingga memberi ancaman kepada negara.
"Kementerian akan terus bekerjasama dengan polis bagi mengekang masalah ini daripada terus berlanjutan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pemasaran Pengajian Tinggi 2010 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Mohamed Khaled berkata, satu pertemuan antara pegawai-pegawai kanan IPT dan polis bakal diadakan minggu depan dan ia secara tidak langsung dapat menentukan peranan yang sepatutnya dimainkan oleh IPT dalam membantu polis. — Bernama