Showing posts with label Mogok. Show all posts
Showing posts with label Mogok. Show all posts

Saturday, February 9, 2013

Mogok, tunjuk perasaan di Tunis

Beribu-ribu penduduk Tunisia mengiringi keranda Chokri Belaid untuk upacara pengebumian di pinggir Tunis, semalam. - Foto AFP
Beribu-ribu penduduk Tunisia mengiringi keranda Chokri Belaid untuk upacara pengebumian di pinggir Tunis, semalam. - Foto AFP Tunis: Akitiviti di Tunisia terhenti semalam, dengan jalan raya lengang, kedai ditutup dan pengangkutan awam beroperasi secara minimum ketika mogok awam kesatuan perdagangan yang diadakan selepas seorang ahli politik haluan kiri Chokri Belaid dibunuh.

“Lapangan terbang Tunis-Carthage dibuka namun banyak penerbangan dibatalkan,” kata seorang pegawai Tunisair kepada AFP.
Beberapa bas dan kereta api beroperasi di jalan raya hampir lengang dengan beberapa penumpang.


Mogok itu digesa Kesatuan Awam Pekerja Tunisia seramai 500,000 anggota sempena upacara pengebumian Chokri Belaid, seorang peguam dan pengkritik lantang pemerintah parti Ennahda ditembak mati di luar rumahnya Rabu lalu oleh seorang lelaki bersenjata.

Dua hari pertempuran

Pembunuhan pemimpin pembangkang popular itu mencetuskan dua hari pertempuran di seluruh negara antara polis dan penyokong pembangkang, menyebabkan sejumlah besar cedera dan seorang anggota polis maut. - AFP

INFO: Chokri Belaid Pemimping pembangkang Tunisia meninggal dunia selepas ditembak empat kali di kepala dan dada 6 Februari lalu. 

Wednesday, December 19, 2012

Mogok desak parti Islam di Bangladesh dibubar



DHAKA 18 Dis. - Satu mogok besar-besaran diadakan oleh kumpulan berhaluan kiri bagi mendesak pembubaran parti-parti Islam di Bangladesh.
Mogok itu menyebabkan sekolah dan rumah kedai terpaksa ditutup serta mengakibatkan kesesakan jalan raya yang teruk di sini hari ini.
Mogok dianjurkan oleh gabungan lima parti politik berhaluan kiri mendesak agar parti-parti Islam dibubarkan, taktik yang sering digunakan di Bangladesh untuk menyatakan tuntutan.
Bantahan itu diadakan selepas lebih 20 parti Islam di Bangladesh mahu undang-undang Syariah dilaksanakan di negara ini.
Kumpulan berhaluan kiri mendakwa parti Islam perlu diharamkan kerana melanggar peruntukan Perlembagaan yang menyatakan Bangladesh hanya ditadbir melalui undang-undang sekular.
Kira-kira 1,000 anggota polis dan pasukan keselamatan ditempatkan di Dhaka ketika beratus-ratus penunjuk perasaan berarak di jalan-jalan raya di bandar tersebut, menyebabkan kesesakan trafik yang teruk.
Tiada keganasan dilaporkan setakat ini.
Stesen televisyen Somoy dan Channel-I di Dhaka melaporkan, mogok berkenaan juga menyebabkan gangguan komunikasi di kebanyakan 64 daerah di negara ini.
Gabungan parti berhaluan kiri menentang parti Islam terbesar di negara ini, Jamaat-e-Islami, yang sebelum ini berkempen menentang perang menuntut kemerdekaan dari Pakistan pada 1971.
Parti Jamaat-e-Islami dituduh berkomplot dengan tentera Pakistan semasa perang selama sembilan bulan itu yang menyaksikan tiga juta penduduk Bangladesh dibunuh dan kira-kira 200,000 wanita dirogol.
Lapan pemimpin parti itu kini dibicarakan atas tuduhan melakukan pembunuhan, membakar dengan sengaja, merogol dan beberapa pertuduhan lain semasa perang tersebut.
Parti berhaluan kiri juga menuntut tribunal jenayah perang agar mempercepatkan proses perbicaraan berkenaan. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121219/lu_07/Mogok-desak-parti-Islam-di-Bangladesh-dibubar#ixzz2FTkKw32C
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sunday, October 7, 2012

Isu GO-KL: Mogok kedua pemandu teksi



Ahli Persatuan Pemandu Teksi Bestari Kuala Lumpur
Ahli Persatuan Pemandu Teksi Bestari Kuala Lumpur membuat laporan polis berhubung artikel yang disifatkan mereka memburukkan imej pemandu teksi.
KUALA LUMPUR - Kenyataan pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) di sebuah akhbar berbahasa Inggeris, bahawa perkhidmatan Go-KL tidak mungkin dihentikan mengecewakan pihak Persatuan Pemandu Teksi Bestari Kuala Lumpur, kerana menyifatkan ia sebagai tindakan membelakangkan tuntutan mereka.

Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi Bestari Kuala Lumpur, Mohamed Asharaf Yasin  berkata, kenyataan tersebut tidak sepatutnya dikeluarkan ketika belum ada sebarang kata putus dengan perbincangan yang berlangsung.
Menurutnya, pertemuan pada 2 Oktober lalu juga dijanjikan pertimbangan sembilan perkara yang dinyatakan, namun tiada sebarang keputusan sehingga kini.

“Apabila kenyataan tersebut dikeluarkan, ia seolah-olah tidak menghormati perbincangan yang berlangsung sebelum ini.

“Kenyataan yang dibuat tidak menggambarkan kerjasama bersama kami sebagai pemandu teksi,” katanya kepada Sinar Harian sambil menyifatkan perkhidmatan bas percuma Go-KL yang turut ditawarkan oleh warga asing membuatkan mereka tambah terjejas.

Persatuan Pemandu Teksi Bestari Kuala Lumpur, adalah pihak bertanggungjawab dalam insiden mogok lebih 200 pemandu di Bukit Bintang, 1 Oktober lalu.
Mogok selama lima jam itu berakhir dengan jaminan pihak SPAD untuk mengadakan perbincangan lanjut berhubung perkara-perkara berbangkit yang membawa kepada tindakan nekad itu.
Mohamed Asharaf berkata, pihaknya berharap agar perkara yang dinyatakan dipertimbangkan sewajarnya sebelum sebarang keputusan diambil.
“Jika isu-isu berbangkit tidak dapat diselesaikan pihak bertanggungjawab, kami tidak teragak-agak untuk membuat perkara sama (mogok), malah lebih besar daripada sebelum ini.
“Kami tertekan dengan situasi yang berlaku, kerana itu kami mahu pihak bertanggungjawab selesaikan masalah kami,” katanya.

Difahamkan, pihaknya telah menghantar memorandum bantahan kepada pihak SPAD berhubung perkara itu, kelmarin.

Dalam masa sama, persatuan tersebut membuat laporan polis berhubung artikel yang disiarkan sebuah akhbar tempatan (bahasa Inggeris) rentetan daripada mogok berlangsung yang disifatkan mereka menggambarkan imej buruk pemandu teksi.

Dalam laporan tersebut turut menyatakan pihak persatuan mahu permohonan maaf dibuat ke atas mereka serta membuat penarikan balik artikel terbabit sebelum mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang.

Thursday, October 4, 2012

Pemandu teksi hilang sabar


Pemandu teksi hilang sabar
Sebahagian daripada pemandu teksi yang menyertai mogok, kelmarin.
Pemandu teksi hilang sabar
Mogok selama lima jam itu turut menarik perhatian orang awam yang berada di kawasan pusat beli-belah berhampiran.
KUALA LUMPUR - Lebih 200 pemandu teksi Lembah Klang mogok di hadapan pusat membeli-belah di Bukit Bintang kelmarin, sebagai tanda protes terhadap Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang disifatkan menjalankan penguatkuasaan ke atas pemandu teksi tanpa bertolak ansur.

Tindakan sedemikian dilihat tidak wajar dalam situasi yang disifatkan mereka kini sukar ‘mencari makan’ dengan kewujudan perkhidmatan bas percuma Go KL yang menambah ‘seksa’ mereka untuk memperoleh pendapatan.

Protes bermula sejak kira-kira jam 2.30 petang, berlarutan sehingga jam 7.30 malam apabila mereka tidak mahu berganjak selagi tiada pihak tertinggi SPAD yang turun berjumpa mereka.

Mogok yang berlangsung juga membuatkan 20 anggota polis berkawal dan terpaksa menutup jalan menuju dari Jalan Raja Chulan ke Bukit Bintang dalam tempoh tertentu bagi mengelakkan kesesakan bertambah teruk.

Bagaimanapun, kehadiran wakil SPAD yang kemudiannya bersetuju mengadakan perbincangan bersama wakil pemandu teksi meredakan keadaan.

Pemandu teksi yang menyertai mogok kemudiannya bersurai secara berperingkat pada kira-kira jam 7.30 apabila pihak SPAD memberi jaminan tiada tindakan penguatkuasaan yang akan dibuat pada malam itu selain berjanji akan membuat perbincangan lanjut bersama wakil mereka.


Banyak isu berbangkit

Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi Bestari Kuala Lumpur (Bukit Bintang), Mohamed Asharaf Yasin berkata, rasa tidak puas hati mereka memuncak dengan kejadian yang berlaku pada malam Ahad lalu apabila terdapat anggota penguatkuasaan SPAD menjalankan tindakan dengan lagak samseng.

Menurutnya, beberapa perkara lain yang selama ini dihadapi pemandu teksi khususnya di Bukit Bintang juga membuatkan mereka sudah tidak tahan lagi dan memilih untuk mogok agar semua isu-isu berkenaan diberi perhatian serius pihak bertanggungjawab.

“Tidak cukup terpaksa berhadapan dengan ulat teksi Arab, kami terpaksa berdepan dengan tindakan penguatkuasaan dan sering disaman kerana menunggu untuk mengambil penumpang.

“Perkhidmatan bas percuma juga tambah menjejaskan pendapatan kami yang sedia terjejas ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Laporan polis turut dibuat Setiausaha persatuan itu, Mohd Jamal Abdul Nasir Mohd Saad, berhubung insiden yang berlaku pada Ahad lalu.

Memetik daripada laporan polis yang dibuat, Mohd Jamal berkata, pendekatan yang diambil oleh pegawai SPAD bertugas disifatkan mengguna kuasa mengikut emosi dengan bertindak secara kasar dan membuat provokasi.

“Sejak kebelakangan ini pendapatan kami merosot sebanyak 70 peratus disebabkan bas percuma, aktiviti ulat Arab dan tempatan tidak berlesen yang langsung tiada tindakan daripada pihak berkaitan walaupun sudah 14 laporan polis dibuat,” katanya.


Spad siasat dakwaan

Sementara itu, Ketua Jabatan Perundangan SPAD, Farizul Hazli Baharom berkata, dakwaan mengatakan terdapat perilaku biadab pegawai SPAD dalam melaksanakan penguatkuasaan ke atas pemandu teksi akan disiasat.

Menurutnya, hasil perbincangan ringkas bersama wakil berkenaan, pihaknya bersetuju mengambil serius sembilan perkara yang disenaraikan.

Bahkan katanya, perbincangan secara lanjut juga akan dibuat dalam mencapai satu keputusan yang memuaskan hati semua pihak.

“Kami faham mogok yang dibuat bukannya untuk suka-suka, jadi kami akan mengambil serius semua perkara dibangkitkan. SPAD akan menyiasat dakwaan berhubung tindakan penguat kuasa SPAD dan jika didapati pegawai tidak menjalankan tugas dengan tertib seperti didakwa, kita akan ambil tindakan,” katanya.

Difahamkan, perbincangan lanjut turut dibuat semalam, namun tiada sebarang perkembangan dilaporkan.


Setuju lihat masalah dituntut

Dalam pada itu, Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Ahmad Albar dalam kenyataan ringkasnya semalam berkata, pihaknya mengadakan pertemuan bersama kumpulan Persatuan Pemandu Teksi Bestari Kuala Lumpur (Bukit Bintang).

Katanya, pertemuan yang berlangsung selama dua jam itu membincangkan sembilan perkara yang disenaraikan kumpulan tersebut.

“SPAD bersetuju untuk melihat masalah yang mereka kemukakan. SPAD juga akan memanggil mesyuarat dengan agensi berkaitan bagi mencari penyelesaian kepada perkara dibangkitkan persatuan tersebut bagi mengatasi masalah jangka pendek dan jangka panjang mereka,” katanya.

Ratusan ribu pekerja di Indonesia adakan mogok sehari

JAKARTA - Ratusan ribu pekerja di seluruh Indonesia mengadakan mogok sehari pada Rabu bagi menuntut upah lebih tinggi dan membantah pengambilan pekerja secara kontrak di bawah sistem 'outsourcing' (penyumberan luar).
Mereka mengadakan demonstrasi serentak di beberapa tempat penting di seluruh negara bagi menyokong tuntutan itu.
Dalam mogok nasional yang digerakkan Persekutuan Kesatuan Sekerja Indonesia (KSPI) itu, pekerja menyenaraikan tiga tuntutan kepada kerajaan iaitu menghentikan sistem perkhidmatan kerja secara kontrak, menaikkan upah pekerja dan memberi jaminan kesihatan kepada pekerja.
Mereka turut mengancam untuk mengadakan demonstrasi lebih besar jika tuntutan terbabit tidak dipenuhi.
Tindakan mogok dan beberapa tunjuk perasaan itu yang bermula pukul 7 pagi hingga 4 petang,turut mengakibatkan kesesakan lalu lintas di beberapa kawasan di Indonesia sehingga ada kawasan yang lumpuh sama sekali.
Timbalan Ketua Gabungan Pengusaha Makanan dan Minuman Indonesia Yusuf Hadi dilapor berkata bahawa industri makanan dan minuman Indonesia mengalami kerugian berpuluh juta rupiah akibat demonstrasi dan mogok nasional hari ini.

Media tempatan melaporkan sebelum ini bahawa lebih dua juta pekerja akan mengambil bahagian dalam mogok nasional pada hari ini, dengan sejumlah 23,000 orang akan bertumpu di Jakarta dan beberapa bandar di sekitarnya.
Polis Kontinjen Jakarta pada hari ini menyediakan 15,000 anggota keselamatan termasuk dari Tentera Nasional Indonesia, bagi mengawal keadaan di kawasan ibu negara dan bandar sekitarnya berikutan mogok nasional itu.
Sementara itu, Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono yang prihatin dengan aspirasi pekerja, meminta Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Muhaimin Iskandar menyelesaikan segera isu 'outsourcing' dengan melibatkan kesatuan sekerja dan majikan.
Jurucakap Presiden, Julian Aldrin Pasha berkata Yudhoyono menasihatkan pekerja berkenaan supaya tertib dalam demonstrasi tidak terpengaruh untuk melakukan tindakan yang menjurus anarki. 
Beliau juga berpesan agar tindakan mereka pada hari ini tidak mengganggu proses pengeluaran di kilang-kilang kerana perbuatan itu boleh mengganggu ekonomi negara.
Mengenai isu jaminan kesihatan, Julian berkata perkara itu sedang ditangani melalui  Undang Undang Tentang Badan Penyelenggara Jaminan Sosial dan Undang Undang Tentang Sistem Jaminan Sosial.
Badan Penyelenggara Jaminan Sosial (BPJS) akan berkuat kuasa pada 1 Jan 2014 manakala BPJS bidang tenaga kerja pada 1 Jun 2015, katanya.
  - Bernama

Wednesday, October 3, 2012

250 pemandu teksi mogok

PROTES...pemandu teksi mogok membantah bas Go KL yang memberi perkhidmatan percuma di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, semalam.
PROTES...pemandu teksi mogok membantah bas Go KL yang memberi perkhidmatan percuma di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, semalam.
SESAK...pemandu teksi menutup laluan ketika mogok di Jalan Bukit Bintang, semalam.
SESAK...pemandu teksi menutup laluan ketika mogok di Jalan Bukit Bintang, semalam.
KUALA LUMPUR: Tidak puas hati dengan perkhidmatan bas percuma Go KL yang didakwa menyebabkan kemerosotan pendapatan sehingga 70 peratus, lebih 250 pemandu teksi bertindak mengadakan mogok di Jalan Bukit Bintang, petang semalam.
Himpunan secara aman itu bermula kira-kira jam 2 petang hingga 7.30 malam membabitkan sekitar kawasan pusat beli-belah Pavillion hingga ke Lot 10.
Perbuatan pemandu terbabit yang kebanyakannya ahli Persatuan Pemandu Teksi Bestari Kuala Lumpur menyebabkan kawasan di sekitar Bukit Bintang sesak teruk apabila laluan digunakan untuk melakukan bantahan itu terpaksa ditutup.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat persatuan itu kelmarin, perhimpunan juga dibuat sebagai bantahan terhadap masalah ulat teksi 'Arab' dan perkhidmatan teksi sapu serta beberapa tindakan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang mereka anggap menekan pemandu teksi berlesen.


Pemandu teksi, R Ramakrishnan, 52, berkata, pendapatan hariannya merosot secara mendadak sejak sebulan lalu kerana ramai pelancong asing beralih untuk memilih menggunakan perkhidmatan bas Go KL yang tidak mengenakan sebarang bayaran ke destinasi sekitar ibu kota berbanding teksi.

Setiausaha Persatuan Pemandu Teksi Bestari Kuala Lumpur, Mohd Jamal Abdul Nasir Mohd Saad berkata, pihaknya pernah membuat 14 laporan polis ke atas aktiviti ulat dan perkhidmatan teksi sapu di Bukit Bintang namun tiada tindakan diambil oleh pihak berkaitan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Assisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, pihaknya akan menyiasat kejadian mogok terbabit mengikut Akta Perhimpunan Aman (APA) kerana berhimpun tanpa permit dan menyebabkan kesesakan selain mengganggu ketenteraman awam.

Difahamkan wakil persatuan dan pemilik teksi akan mengadakan rundingan dengan pihak SPAD di pejabat suruhanjaya berkenaan hari ini.

Thursday, September 27, 2012

Greece lancar mogok



Para penyokong Parti Komunis Greece berarak menuju bangunan Parlimen semasa mengadakan mogok di Athens, semalam. - REUTERS
ATHENS 26 Sept. - Kumpulan pekerja di Greece hari ini melancarkan mogok umum pertama sejak kerajaan perpaduan dibentuk pada Jun lalu.
Mogok besar-besaran itu dilancarkan ketika Greece bergelut untuk melaksanakan langkah penjimatan bagi menyelesaikan masalah hutang yang ditanggung.
Mogok tersebut juga dijangka menjejaskan perkhidmatan penerbangan selama berjam-jam selain memaksa sekolah, perkhidmatan feri, hospital, kedai dan pejabat kastam ditutup.
Polis turut dikerah ke pusat bandar Athens bagi menghalang demonstrasi bertukar ganas seperti sebelum ini.
Tunjuk perasan kali ini dilihat sebagai ujian terhadap toleransi awam untuk menghadapi lebih banyak kesukaran, ekoran kemerosotan sokongan orang awam kepada parti politik yang mendominasi pemerintahan selepas dua tahun melaksanakan langkah penjimatan.
Greece terpaksa bergantung kepada pinjaman antarabangsa sejak pertengahan tahun ini ekoran dilanda krisis kewangan yang menyebabkan kejatuhan nilai mata wang euro.
Sementara itu di Sepanyol, seramai 38 orang ditahan, manakala 64 yang lain cedera apabila berlaku pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan, yang mengadakan demonstrasi menentang langkah penjimatan dan kenaikan cukai.
Kejadian itu berlaku ketika ribuan penunjuk perasaan berkumpul di bangunan Parlimen di Madrid, hari ini memaksa 1,000 anggota polis antirusuhan menghalang penunjuk perasaan memasuki bangunan tersebut.
Polis turut menggunakan cota bagi menghalang penunjuk perasaan, namun sebahagian daripada mereka bertindak melanggar sekatan polis dan melempar batu dan botol ke arah pasukan keselamatan. - AGENSI

Friday, May 18, 2012

7 tahanan ISA henti mogok lapar: SUHAKAM




2012/05/18

TAIPING: Mogok lapar oleh tujuh tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Tempat Tahanan Perlindungan Taiping di Kamunting di sini sejak 12 Mei lalu berakhir hari ini selepas pertemuan dengan wakil Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan agensi berkenaan.

Pesuruhjaya SUHAKAM, James Nayagam, berkata tahanan berkenaan melancarkan mogok lapar kerana tidak berpuas hati kerana masih belum dibebaskan walaupun ISA sudah dimansuhkan.
"Semua tahanan yang melancarkan mogok lapar itu membabitkan enam tahanan warga asing (India, Sri Lanka, Iraq dan Indonesia) dan seorang rakyat tempatan yang ditahan atas pelbagai kesalahan, dan (mereka) mengadakan mogok lapar kerana mahu pembebasan awal," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan tahanan berkenaan di sini hari ini.
Beliau berkata, tindakan mogok lapar itu berakhir selepas pertemuan diadakan antara wakil SUHAKAM, Kementerian Dalam Negeri (KDN), polis dan pengurusan Tempat Tahanan Perlindungan itu.

Katanya, pada awalnya mogok lapar itu membabitkan tujuh tahanan sebelum tiga daripada mereka menarik diri pada Selasa lalu yang kemudiannya disertai tiga tahanan lain.

"Semua tahanan berkenaan beranggapan semua individu yang ditahan di bawah ISA perlu dibebaskan berikutan akta itu telah digantikan dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata selepas SUHAKAM menerangkan bahawa terdapat satu klausa yang memerlukan mereka menghabiskan tempoh tahanan yang ditetapkan kerana akta baru itu digunakan untuk kes baru sahaja, mereka kemudiannya akur. 
"Selepas penerangan itu mereka menerima dengan positif lalu bersetuju menghentikan mogok tersebut," katanya.

Beliau berkata, SUHAKAM akan membawa perkara ini kepada pengetahuan KDN untuk melihat langkah terbaik bagi menanganinya.

"SUHAKAM akan membuat siasatan sewajarnya dan bercadang untuk mengadakan perjumpaan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dalam masa terdekat," katanya.

Pada 9 Mei lalu, Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960.

Rang undang-undang yang dibahagikan kepada lapan bahagian itu dibentang berikutan pemansuhan ISA 1960 seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada September tahun lalu. - BERNAMA

Wednesday, September 7, 2011

Beribu-ribu guru di Kenya mogok


NAIROBI 7 Sept. - Kebanyakan sekolah di Kenya terpaksa ditutup hari ini apabila beribu-ribu orang guru melancarkan mogok meminta kerjaan menambah bilangan guru di sana.
Kesatuan Guru Kenya Kebangsaan (KNUT) yang mempunyai seramai 200,000 orang ahli, meminta kerajaan untuk mengupah lebih ramai guru bagi menampung bilangan pelajar yang semakin bertambah selepas Presiden Mwai Kibaki memperkenalkan pendidikan sekolah menengah dan rendah percuma.
“Kesemua sekolah rendah kerajaan dan 40 peratus sekolah menengah ditutup, dan 11.1 juta pelajar terjejas,” kata pegawai kesatuan, David Okuta. - Reuters

Wednesday, April 27, 2011

Hasrat gadis tak termakbul


CHAVEZ dihantar pulang sebaik tiba di lapangan terbang.
CHAVEZ dihantar pulang sebaik tiba di lapangan terbang.



Gagal saksi perkahwinan Putera William selepas lancar mogok lapar 

BANDARAYA MEXICO: Hasrat seorang remaja Mexico yang melancarkan mogok lapar 16 hari untuk mendapatkan undangan bagi menyaksikan upacara perkahwinan Putera William dan Kate Middleton, tidak kesampaian apabila dia dihantar pulang sejurus tiba di lapangan terbang.
Pegawai imigresen di London tidak membenarkan Estibalis Chavez, 19, masuk ke Britain dengan alasan dia tidak mempunyai cukup wang untuk tinggal selama tiga minggu di negara itu.
Chavez melancarkan mogok lapar selama 16 hari di luar Kedutaan British di Mexico Februari lalu dalam usahanya mendapatkan undangan ke perkahwinan diraja itu. 

Seorang pelobi, Octavio Fitch Lazo yang bersimpati dengan kesungguhan Chavez, membayar tiket kapal terbang untuknya ke London. 

Beliau berkata, Chavez memaklumkan kepadanya bahawa dia sudah dihantar ke Sepanyol selepas pegawai kastam Britain memberitahu bahawa remaja itu tidak mempunyai wang yang cukup dan tempat selamat untuk tinggal selama tiga minggu seperti yang dirancangnya. 

Chavez yang berharap dapat sekurang-kurangnya menyaksikan majlis keramaian sempena upacara perkahwinan pasangan diraja itu bagaimanapun tidak dapat dihubungi Fitch berkata remaja itu diberitahu bahawa dia akan dibenarkan masuk ke Britain jika ada seseorang yang boleh menjemputnya di lapangan terbang. 
Beliau berkata Chavez yang kini tinggal bersama seorang yang ditemuinya dalam perjalanan ke London sedang berusaha menemui wartawan di Madrid. 

Chavez meninggalkan Bandar Raya Mexico Khamis lalu dengan membawa bersama sepucuk surat daripada wakil Putera William. 

Ramai penduduk Mexico mengecam Chavez dan menggelarnya ‘wanita gila di kedutaan’ ketika melancarkan mogok lapar berseorangan di sebuah khemah Februari lalu. 

Fitch meminjamkan wang sebanyak 15,000 pesos (RM3,775) untuk membeli tiket kapal terbang ke London. Beliau juga membawa remaja itu ke lapangan terbang dengan kenderaannya. 

“Setakat ini saya sudah menerima tiga emel dari Chavez, satu daripadanya dengan kata-kata ‘tolong saya’. Dia sedang berusaha untuk kembali ke Britain. Setakat ini kami tidak tahu bagaimana dia akan melakukannya,” katanya. – AP 

Wednesday, October 20, 2010

Mogok sehari di Perancis




SEORANG lelaki merosakkan sebuah kereta dalam protes menentang had umur persaraan dilanjutkan di Lyon, Perancis semalam.


PARIS - Sebahagian pesawat dihalang memasuki lapangan terbang Perancis manakala anggota-anggota polis terpaksa bertembung dengan sekumpulan pemuda yang membaling batu semalam.
Kejadian itu merupakan gelombang baru mogok di seluruh negara kerana membantah cadangan untuk melanjutkan had umur bersara daripada 60 tahun kepada 62 tahun.
Sebahagian pekerja di pelbagai sektor di seluruh Perancis bergabung menyertai mogok selama sehari itu semalam.
Sebelum ini negara itu diselubungi selama seminggu tunjuk perasaan yang dilakukan pekerja-pekerja penapis minyak, pelajar dan pekerja-pekerja operator kereta api kebangsaan berhubung cadangan untuk melanjutkan had umur persaraan.
Semalam merupakan hari keenam tunjuk perasaan yang memprotes pelan pembaharuan pencen.
Pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja berikrar untuk meneruskan tekanan sehingga pemerintah memansuhkan pelan yang kurang popular itu.
Presiden, Perancis, Nicolas Sarkozy berikrar mahu meneruskan pelan persaraan itu sebagai langkah untuk mengurangkan defisit. - AP