Saturday, March 27, 2010

Isteri Marcos mula berkempen politik di Filipina




IMELDA melihat peti kaca yang menempatkan mayat suaminya yang diawet di bandar Batac, utara Filipina semalam.


BATAC - Dengan ciuman pada peti kaca mengandungi mayat mendiang bekas presiden Filipina, Ferdinand Marcos yang diawet, isterinya, Imelda Marcos memulakan kerjaya politiknya semalam pada usia 80 tahun.
"Dia (suaminya) merupakan presiden terbaik Filipina," kata Imelda kepada pemberita di rumah keluarganya di bandar Batac, utara Filipina selepas melawat mayat suaminya itu.
"Pada masa pemerintahannya, kita mempunyai kebebasan, keadilan, hak asasi dan maruah. Walau apa pun pandangan orang, itu (zaman pemerintahannya) adalah yang terbaik buat Filipina," tambahnya yang akan bertanding untuk merebut kerusi Dewan Rendah Parlimen.
Imelda menjelaskan dia mahu menebus maruah suaminya yang dituduh mencuri berbilion-bilion dolar semasa pemerintahannya selama 20 tahun yang kemudian berakhir ekoran revolusi rakyat pada 1986.
Suaminya meninggal dunia pada 28 September 1989 semasa hidup dalam buangan di Hawaii.
"Saya melakukannya bagi menegakkan integriti politik dan kebenaran," kata Imelda semasa ditanya kenapa dia memutuskan untuk bertanding. - Agensi

BN mampu rampas Hulu Selangor





Najib Tun Razak membaca akhbar Jawi sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di PWTC, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 26 Mac - Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang untuk merampas kembali kerusi Parlimen Hulu Selangor kerana senario politik sekarang yang telah berubah dan tidak seperti tahun 2008 yang menyaksikan rakyat beralih menyokong pembangkang.
Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, walaupun wujud perubahan suasana, BN mesti memberi tumpuan dan menunjukkan kesungguhan serta bekerja keras untuk mencapai kemenangan.
''Kita telah membuat keputusan supaya jentera buat persiapan dan bergerak sepenuhnya kerana kawasan ini ketiga-tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah diwakili oleh BN kecuali Parlimen sahaja yang diwakili pembangkang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di sini malam ini.
Semalam, Ahli Parlimen Hulu Selangor daripada PKR, Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad, 71, meninggal dunia akibat barah otak.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, beliau memenangi kerusi itu dengan majoriti tipis 198 undi. Zainal Abidin mendapat 23,177 undi manakala Datuk G. Palanivel dari BN mendapat 22,979 undi dan undi rosak adalah sebanyak 1,466.
Ditanya mengenai permintaan MIC supaya meletakkan kembali Palanivel yang juga Timbalan Presiden MIC, beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan pucuk pimpinan parti itu.
Mengenai desakan beberapa pihak supaya calon UMNO dipilih untuk bertanding memandangkan 53.94 peratus daripada 63,593 pengundi adalah daripada kaum Melayu, beliau berkata: ''Nanti dulu. Apalah sibuk sangat, sabar-sabarlah."
Dalam pada itu, beliau memberitahu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengetuai kempen pada pilihan raya itu.
''MT hari ini memutuskan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya manakala Ketua UMNO Bahagian Hulu Selangor, Datuk Mohamed Idris Bakar dilantik sebagai timbalannya," katanya.
Menurut beliau, mesyuarat hari ini turut membincangkan tentang Model Ekonomi Baru (MEB) berkaitan perlunya ia diterima rakyat dan ia juga menyaksikan majlis angkat sumpah Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Hamidah Osman sebagai ahli MT baru mewakili pergerakan itu.
Dalam perkembangan lain, Najib berkata, beliau bersedia bertemu dengan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin bagi mendengar penjelasan dan permohonan maaf beliau berhubung cubaan mengaitkan Perdana Menteri dan isteri dalam kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibu.
''Saya hendak tahu kebenarannya dan seperti yang selalu saya percaya kebenaran akan mengatasi kebatilan dan saya serah kepada polis untuk melakukan siasatan," katanya.
Mengenai langkah kerajaan negeri Kelantan melantik Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai perunding dalam isu royalti minyak, beliau berkata, itu merupakan hak kerajaan negeri untuk berbuat demikian.
''Apa pun kerajaan Pusat berpendapat pemberian wang ihsan selari dengan perundangan negara," katanya.
Ditanya mengenai Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman yang dikatakan menjalani pembedahan pintasan jantung, beliau mengesahkan dan mengatakan Anifah sudah beransur pulih dan akan kembali bertugas.

Mat Taib mungkin dicalon



SHAH ALAM 26 Mac - UMNO negeri tidak menafikan khabar angin yang Tan Sri Muhammad Muhd. Taib (gambar) mungkin dicalonkan mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor.
Ketua Penerangannya, Abdul Shukor Idrus berkata, desas-desus pencalonan bekas Menteri Besar Selangor itu memang wujud terutamanya di peringkat akar umbi yang mahukan Muhammad.
Sungguhpun begitu katanya, UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri masih belum membuat ketetapan mengenai calon yang layak bertanding bagi merebut kerusi ahli Parlimen kawasan itu.
"Memang kita ada dengar khabar angin mengenai perkara ini di peringkat akar umbi. Tetapi, setakat ini kita belum mengemukakan senarai nama calon yang akan bertanding.
"Siapa yang dipilih menjadi calon akan ditentukan dalam perbincangan di peringkat BN negeri dan ketika ini kita masih belum mengadakannya.
"Sebarang keputusan mengenai siapa calon yang layak pula akan diputuskan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas khabar angin yang mengaitkan Muhammad sebagai calon pilihan UMNO Selangor untuk bertanding pada pilihan raya kecil tersebut.
Kerusi Ahli Parlimen Hulu Selangor kini kosong ekoran kematian penyandangnya, Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) akibat barah otak di kediamannya di Kajang, malam tadi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual mengumumkan tarikh pilihan raya kecil itu pada 2 April ini.
Dalam pada itu, Abdul Shukor berkata, kerusi Parlimen Hulu Selangor sebelum ini diperuntukkan kepada calon daripada MIC.

Allah Mahaadil segala perbuatan didunia akan dibalas