Showing posts with label senjata. Show all posts
Showing posts with label senjata. Show all posts

Saturday, October 6, 2012

AS perlu hasilkan senjata serang untuk alam siber


         
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) perlu menghasilkan senjata menyerang di ruang maya bagi melindungi negara itu daripada serangan siber.

“Jika pertahanan anda hanya untuk menyekat serangan, anda tidak akan berjaya,” kata Pengarah Agensi Keselamatan Kebangsaan dan Pemerintah Markas Siber AS, Jeneral Keith Alexander.


Berucap di satu simposium di Washington, beliau berkata: “Ada masanya kerajaan perlu melihat apa yang anda perlu buat untuk menyekat serangan sebelum ia terjadi.

“Sebahagian pertahanan kita perlu menimbang langkah menyerang.” Beliau yang bercakap di sidang kemuncak keselamatan siber yang ditaja Dewan Perniagaan Amerika Syarikat berkata, sebarang tindakan serangan siber perlu mematuhi peraturan yang sama dengan situasi ketenteraan lain.


“Kita perlu berbincang mengenai hal ini,” katanya. - AP.

Friday, November 12, 2010

AS tambah stok senjata di Israel


BAITULMAQDIS 11 Nov. - Amerika Syarikat (AS) bakal menambah lebih banyak lagi kelengkapan tentera di Israel sebagai sebahagian langkah meningkatkan kerjasama keselamatan antara kedua-dua sekutu tersebut.
Langkah untuk menambah bekalan bom pintar, senjata-senjata dan kelengkapan tentera bernilai AS$400 juta (RM1.28 bilion) ke Israel dalam tempoh dua tahun akan datang itu, telah diluluskan Kongres AS minggu lalu, lapor koresponden Israel bagi akhbar Defense News.
Program naik taraf tersebut bakal menyaksikan bilangan stok kelengkapan tentera di Israel bertambah kepada AS$1 bilion (RM3.2 bilion) pada tahun depan, dengan sejumlah AS$200 juta (RM640 juta) lagi bakal ditambah pada 2012.
Pada 2007, stok bekalan senjata di Israel dilapor bernilai AS$800 juta (RM2.56 bilion).
Mengikut syarat undang-undang bantuan luar simpanan bekalan senjata untuk sekutu, kelengkapan berkenaan boleh digunakan tentera AS di seluruh dunia atau negara yang menyimpannya.
Menurut akhbar Haaretz, Israel menggunakan bekalan senjata AS semasa perang 2006 dengan Hizbullah di Lebanon. - AFP

Friday, October 22, 2010

Amerika jual senjata kepada Arab Saudi RM192b




2010/10/22

WASHINGTON: Amerika Syarikat mengumumkan jualan terbesar senjata dalam sejarah kepada Arab Saudi bernilai AS$60 bilion (RM192 bilion) bagi menyekat Iran mengancam Riyadh selain memberi jaminan jualannya tidak menggugat keselamatan Israel. 

Jualan itu termasuk 84 jet pejuang F-15, 70 helikopter penyerang Apache, 72 helikopter taktikal Black Hawk dan 36 helikopter ringan, kata Pembantu Setiausaha bagi Hal Ehwal Politik-Tentera, Andrew Shapiro.Jualan itu termasuk 70 pesawat F-15 yang dinaikkan taraf, katanya lagi sambil menegaskan keyakinan Washington bahawa Israel tidak akan membantah.“Penilaian kami ialah jualan ini tidak akan mengurangkan keupayaan Israel dari segi kelebihan ketenteraan dan sebab itu kami teruskan,” kata Shapiro. 

Amerika juga memaklumkan jualan itu kepada Israel, kata Penolong Setiausaha Pertahanan bagi Hal Ehwal Antarabangsa, Alexander Vershbow, Penolong Setiausaha Jabatan Pertahanan mengenai hal ehwal keselamatan dunia. 

“Ada perbincangan peringkat tertinggi selain rundingan peringkat kerja. Adalah adil untuk berkata Israel tidak membantah jualan ini,” kata Alexander Vershbow, penolong setiausaha pertahanan bagi hal ehwal keselamatan antarabangsa. 

Selain itu, senjata berkenaan akan diberi secara berperingkat dalam tempoh 15 hingga 20 tahun. 
“Jualan ini akan memberi mesej kuat kepada negara rantau itu bahawa kami komited menyokong keselamatan sekutu utama termasuk di Teluk Arab dan Asia Tengah,” katanya. 

Pegawai pertahanan Amerika berkata, perjanjian itu dirunding sejak beberapa bulan lalu selepas Arab Saudi bimbang dengan keupayaan peluru berpandu Iran. 

Seorang pegawai kanan pentadbiran berkata kepada wartawan bulan lalu: “Jika anda sedar, ancaman utama adalah dari Iran.” 

Senjata canggih yang dibeli termasuk bom pintar dikawal laser, peluru berpandu JDAMS, peluru berpandu Hellfire dan Sidewinder. 

Dalam satu kenyataan, Boeing berkata, ia jangka mendapat upah AS$24 bilion (RM76.8 bilion) daripada urus niaga berkenaan. 

Seramai 77,000 pekerja Boeing dan kontraktornya terbabit dalam projek senjata itu. 

Bulan lalu, jurucakap Jabatan Negara, Philip Crowley berkata jual beli senjata besar-besaran kepada Arab Saudi dan Israel memenuhi kepentingan Amerika bagi menyekat sebarang ancaman Iran. – AFP