Showing posts with label lelong. Show all posts
Showing posts with label lelong. Show all posts

Friday, September 28, 2012

Nik Aziz lelong tongkat jana dana PRU13

Nik Aziz
Nik Aziz menggunakan tongkat, yang dilelong, semasa berjalan untuk
menemui orang ramai yang mengikuti kuliah mingguan di sini, baru-baru ini
KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini secara sukarelanya melelong tongkat yang digunakan sejak sekian lama untuk untuk menaja dana Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
Pengumuman berkenaan dibuat kira-kira pagi tadi selepas beliau menyampaikan kuliah mingguan di Dataran Ilmu di sini.

Sejurus itu Nik Aziz menyerahkan tongkat kesayangan tersebut kepada seorang wakil untuk menyempurnakan hasrat murninya itu.

Nik Aziz berkata, sebelum ini wakil Pas Pusat memaklumkan kepadanya mahu mengumpul dana bagi tabung menjelang PRU13 dan meminta beliau melelong barangan tertentu.

“Bagi tujuan itu hari ini saya mengisytiharkan akan melelong tongkat saya ini untuk membantu mengumpulkan dana bagi pilihan raya umum nanti,” katanya hari ini.

Ribuan orang mengikuti kuliah tersebut berdiri sebagai sokongan terhadap tindakan Nik Aziz yang juga merupakan Menteri Besar Kelantan.

Friday, September 23, 2011

JPJ lelong 25 kenderaan





2011/09/23

KOTA BHARU: Sebanyak 25 kenderaan pelbagai jenis yang tidak dituntut pemiliknya sejak 1999, dilelong Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kepada orang awam dan memperoleh hasil lelongan berjumlah RM32,900. 

Pengarah JPJ negeri, Abd Ghani Che Kassim, berkata dalam lelongan kali kedua bagi tahun ini, 54 pembida kalangan pelesen barangan lusuh dan orang awam mendaftar untuk membida pelbagai kenderaan termasuk sebuah pikup hilux yang mendapat harga bidaan tertinggi RM15,000, manakala nilai terendah RM50 bagi sebuah motosikal.
Katanya, daripada keseluruhan kenderaan dilelong itu, 12 kenderaan boleh didaftarkan semula, manakala 13 lagi akan dilupuskan dan tidak boleh didaftarkan dengan JPJ.
"Pada lelongan awam itu, JPJ melelong 10 motosikal, tujuh kereta, dua lori dan masing-masing satu pikup serta satu kenderaan pacuan empat roda, selain empat motosikal bernombor pendaftaran Thailand. 

"JPJ turut memperoleh hasil jualan dokumen tender berjumlah RM2,700 dengan setiap satu naskhah dijual RM50 kepada orang awam untuk diisi pembida sebelum dikembalikan kepada jawatankuasa lelongan awam kenderaan disita JPJ sepanjang tahun ini," katanya pada sidang media di sini, semalam. 

Abd Ghani berkata, antara kesalahan dikesan JPJ daripada 25 kenderaan yang disita itu ialah pemiliknya cuba mengganggu nombor casis, tamat tempoh cukai jalan, menggunakan cukai jalan palsu, kenderaan dipotong dan sambung serta kenderaan tiada lesen. 

"Kita menghadapi masalah tempat menyimpan kenderaan yang tidak dituntut pemiliknya sejak 1999 hingga tahun ini. Kawasan pekarangan JPJ termasuk di enam stesen penguat kuasa JPJ di seluruh negeri kini dipenuhi 351 pelbagai kenderaan yang sedang menunggu untuk proses lelongan awam," katanya. 

Thursday, September 8, 2011

Barang kemas Elizabeth Taylor akan dilelong


CINCIN berlian Elizabeth Taylor berharga RM7.4 juta hingga RM10.4 juta.

NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) – Firma lelongan AS, Christie akan menjual koleksi penuh barang kemas milik pelakon legenda Hollywood, mendiang Elizabeth Taylor dalam satu lelongan di sini.
Koleksi bernilai jutaan dolar AS tersebut yang akan dilelong pada 13 dan 14 Disember depan melibatkan tiara, rantai leher, gelang tangan dan cincin berlian.
Antara barang kemas yang bakal menarik perhatian pembeli termasuk sebentuk cincin berlian seberat 33.19 karat yang dianggarkan berharga antara AS$2.5 juta (RM7.4 juta) hingga AS$3.5 juta (RM10.4 juta).
Cincin tersebut dihadiahkan kepada aktres itu oleh aktor legenda Hollywood, Richard Burton yang merupakan bekas suaminya.
Seutas loket bertatahkan mutiara, berlian dan delima dari abad ke-16 dikenali sebagai La Peregrina dianggarkan berharga antara AS$2 juta (RM5.9 juta) hingga A$3 juta (RM8.9 juta) akan juga dilelong.
Turut akan dilelong ialah seutas rantai berlian berharga di antara AS$200,000 (RM596,800) hingga AS$300,000 (RM895,349) yang dihadiahkan oleh bekas suaminya, Mike Todd dan rantai leher berlian bertatahkan zamrud yang tidak dinyatakan harganya.
Selain itu, Christie akan juga melelong sebentuk kerongsang yang dianggarkan berharga di antara AS$400,000 (RM1.19 juta) hingga AS$600,00 (RM1.7 juta), sebuah tiara berharga di antara AS$60,000 (RM178,920) hingga AS$80,000 (RM238,759) gelang tangan berharga di antara AS$12,000 (RM35,784) hingga AS$15,000 (RM44,767), seutas rantai emas gading dari kurun ke-19 yang berharga di antara AS$1,500 (RM4,476) hingga AS$2,000 (RM5,969) dan sepasang anting-anting bernilai di antara AS$100,000 (RM298,449) hingga AS$150,000 (RM447,674) serta barang kemas loket bertatahkan berharga di antara AS$70,000 (RM208,740) hingga AS$100,000 (RM298,449).
Elizabeth yang meninggal dunia pada 23 Mac lalu ketika berusia 79 tahun kerana kegagalan jantungnya berfungsi telah membintangi lebih 54 buah filem sejak dia berusia seawal 12 tahun.
Sepanjang hidupnya, aktres berkenaan pernah berkahwin sebanyak lapan kali termasuk dengan Burton, penyanyi Eddie Fisher, aktor Michael Wilding dan penerbit filem Michael Todd. – Agensi

Monday, May 23, 2011

Kereta Aston Martin dilelong AS$377,000



Contoh model Aston Martin yang dilelong di Newport Pagnell, Buckinghamshire, England, semalam. – Agensi


LONDON 22 Mei – Dua buah kereta Aston Martin sama seperti yang digunakan oleh Putera William dan Kate Middleton semasa perkahwinan mereka berjaya dijual dalam acara lelong kereta klasik di Newport Pagnell, Buckinghamshire, malam tadi.
Kedua-dua kereta tersebut yang merupakan model DB6 berwarna hitam dan platinum, masing-masing dilelong pada harga AS$377,000 (RM1.2 juta).
Walaupun kedua-dua kereta tersebut berada di bawah nilai jangkaan ketika pra-lelong, namun jualan Bonhams menunjukkan peningkatan permintaan terhadap kereta buatan tangan itu.
Pengasas Kumpulan Automobil Bersejarah Antarabangsa (HAGI), Dietrich Hatlapa berkata, sekurang-kurangnya dua jutawan telah membeli Aston Martin dalam masa tiga atau empat tahun lalu.
“Perkahwinan William dan Kate mengesahkan kereta tersebut (Aston Martin) sebagai Perlembagaan British,” kata Hatlapa.
Dalam pada itu, replika kereta Aston Martin model V8 Volante yang dipandu oleh aktor Timothy Dalton dalam filem James Bond 1987, The Living Daylights, berjaya dilelong pada harga AS$279,130 (RM840,181).
Model kereta yang mencatat nilai lelong tertinggi adalah siri Aston Martin DB4, V Vantage 4.2 liter yang dijual pada harga AS$823,596 (RM2.5 juta).
Sementara itu, acara tersebut berjaya meraih kutipan lelong berjumlah AS$9.7 juta (RM29.3 juta) dan sebanyak 43 daripada 45 kereta yang dilelong berjaya dijual. – Agensi

Wednesday, May 11, 2011

Kepala lori dilelong jika tidak dituntut


KEPALA lori yang belum dituntut.
KEPALA lori yang belum dituntut.

JOHOR BAHRU: Pengurusan Balai Polis Masai di sini, meminta kerjasama orang ramai untuk mengesan pemilik sebuah kepala lori yang tersadai dalam kawasan balai itu sejak kira-kira 20 tahun lalu.

Ketika ini, polis berdepan masalah mengesan pemilik lori terbabit, berikutan tiada sebarang maklumat mengenai latar belakang kenderaan berkenaan selepas diletakkan di situ kerana ditahan kerana tiada nombor casis.
Ketua Balai Polis Masai, Inspektor Azman Ismail berkata, kepala lori terbabit hanya ditumpangkan dalam kawasan balai berkenaan selepas lori itu ditahan seorang pegawai polis dari luar daerah.
“Kami tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai pemilik lori ini kerana ia juga tidak dapat dikesan dalam rekod berikutan ketiadaan nombor casis. Nombor pendaftaran kenderaan ini juga tiada.

“Secara umumnya, pengenalan lori ini berdasarkan jenamanya saja iaitu Mercedes Benz. Usaha mengesan pemiliknya menerusi sebaran media ini terpaksa dibuat sebelum ia dilelong, " katanya.

Katanya, langkah melelong kepala lori yang tersadai itu terpaksa diambil kerana kedudukan kenderaan terbabit dalam kawasan balai berkenaan mencacatkan pemandangan serta menimbulkan persoalan di kalangan orang ramai.

Beliau berkata, pemilik kenderaan itu atau orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kenderaan terbabit, diminta tampil menghubungi pihaknya di Balai Polis Masai, menerusi telefon, 07-251 1222 atau pegawai bertugas pengendali barangan itu, Zaharin Zakaria, 012-761 7434. bharian

Thursday, March 3, 2011

Kereta Ahmadinejad dilelong RM7.8j




Mohammad Isari, peguam bagi sebuah firma Iran yang enggan dikenali, berdiri di sebelah kereta yang pernah dimiliki Mahmoud Ahmadinejad yang dimenanginya dalam bidaan sebanyak RM7.8 juta di Abadan, kelmarin. - AFP


TEHERAN 2 Mac - Sebuah kereta sedan Peugeot tahun 1977 milik Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad dijual dengan harga AS$2.5 juta (RM7.8 juta) dalam satu acara lelong amal semalam, lapor media Iran.
Ahmadinejad mengumumkan tahun lalu, hasil lelongan tersebut akan didermakan untuk projek perumahan keluarga berpendapatan rendah dan untuk itu, sebuah laman web pelbagai bahasa direka bagi menerima bidaan ke atas kenderaan tersebut.
"Kereta Peugeot 504 milik Presiden Ahmadinejad dijual dengan harga AS$2.5 juta (RM7.8 juta) kepada seorang rakyat Iran yang mengambil bahagian dalam acara lelong tersebut," lapor agensi berita Isna.
Sementara itu, Ketua Organisasi Kebajikan Iran berkata, laman web tersebut mencatatkan jumlah pelawat paling ramai dari Iran dan diikuti Amerika Syarikat ketika majlis penyerahan kunci kereta kepada pemilik barunya.
Ahmadinejad telah memperjuangkan isu kemiskinan di Iran terutamanya di kawasan luar bandar yang sebelum ini diabaikan oleh pemerintahan kerajaan lalu dan perkara tersebut membantu beliau mengambil alih pentadbiran Iran pada 2005.
Menurut media, Ahmadinejad sering memandu kereta Peugeot putih tersebut ketika beliau bertugas sebagai Datuk Bandar Teheran sebelum menjawat jawatan sebagai Presiden.
Kereta itu dianggarkan bernilai kira-kira AS$2,000 (RM6,200) dalam pasaran tempatan. - ReutersUtusan Malaysia Online - Luar Negara

Monday, October 4, 2010

Polis lelong motosikal RM30



NIBONG TEBAL – Sebanyak RM2,375 berjaya dikumpulkan apabila 20 motosikal yang tidak dituntut pemilik dan dirampas, dilelong kepada orang ramai. 

Lelongan yang dimulakan sekitar jam 9 sehingga 10 pagi itu dilakukan di pekarangan Balai Polis Nibong Tebal dan dikendalikan oleh beberapa pegawai dan anggota polis yang ditugaskan. 

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafien Mamat berkata, RM2,375 berjaya diperoleh hasil dari lelongan itu. Harga tertinggi yang ditawarkan oleh pembeli ialah sekitar RM500. 

“Tujuan diadakan lelongan berkenaan adalah untuk mengurangkan barang-barang yang tidak dikehendaki dan tidak dituntut oleh pemilik yang terdapat di IPD. 

“Wang yang diperoleh akan diberikan kepada tabung polis manakala bakinya akan diberikan kepada perbendaharaan. 

“Bagi tabung polis sebanyak RM885 akan diberikan manakala RM1,490 pula akan diberikan kepada perbendaharaan ,” katanya ketika ditemui Sinar Harian. 

Menurutnya, lelongan berkenaan merupakan kali kedua yang diadakan pada tahun ini dan setakat ini sambutan yang diberikan ketika lelongan dijalankan amat menggalakkan. 

“Apa yang menarik pada lelongan kali ini ialah, harga terendah yang ditawarkan ketika lelongan dijalankan adalah sekitar RM30 bagi motosikal yang hanya memiliki rangka badannya sahaja. 

“Lelongan pada kali itu juga melibatkan pelbagai motosikal antaranya seperti Modenas Kriss, Yamaha, Honda dan Suzuki,” katanya kepada Sinar Harian.