Azmin Ali

SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Selangor telah berjaya uruskan 40 hutang yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu, dengan membayar sebanyak RM253 juta dari jumlah keseluruhan RM829.86 juta hutang kepada Kerajaan Pusat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa, Azmin Ali berkata, Selangor merupakan satu-satunya negeri yang berjaya membayar tunggakan hutang berserta anuiti dan menjadikan baki hutang pada akhir tahun 2010, sebanyak RM656 juta.

Menurutnya, kebanyakan negeri-negeri lain tidak berjaya membayar penuh jumlah yang diperuntukkan, sebaliknya hanya membayar anuiti dalam jumlah yang kecil sahaja.

“Negeri Selangor merupakan satu-satunya negeri yang berjaya mengurangkan tunggakan bayaran balik pinjaman setelah membayar membayar hutang pokok sebanyak RM173 juta berserta anuiti semasa RM79.7 juta.

“Manakala, negeri-negeri seperti Pahang hanya membayar anuiti sebanyak RM3 juta dan Melaka pula tidak membuat sebarang pembayaran sama ada tunggakan hutang pun anuiti,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai langkah Kerajaan Negeri menguruskan 40 hutang yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu.

Timbalan Presiden PKR itu berkata, keupayaan membayar hutang berkenaan, membuktikan bahawa kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat (PR) mampu mentadbir dan mengurus ekonomi dengan lebih baik dan efektif.

Azmin berkata, pengurangan hutang secara mendadak RM173 juta pastinya akan menghasilkan penjimatan kepada rakyat dan mengurangkan beban hutang rakyat kepada Kerajaan Pusat.

Menurutnya, pengurusan dan pentadbiran kewangan secara berhemah yang diamalkan Kerajaan Negeri merupakan pembaharuan yang perlu diteladani dalam memastikan tidak berlaku ketirisan dalam perbelanjaan kerajaan.

“Langkah Kerajaan Negeri membayar penuh tunggakan hutang ini membolehkan, perlaksanaan pelbagai program untuk kebaikan rakyat.

“Berbeza bagi negeri-negeri yang tidak membuat pembayaran penuh, jumlah hutang tersebut akan bertambah, dan pastinya akan membebankan rakyat kerana perlu membayar tambahan hutang pada tahun hadapan,” katanya.