Monday, August 30, 2010

Jangan biar penghinaan, 'pencerobohan' ke atas umat Islam, titah Raja Nazrin





2010/08/30

IPOH: Penderitaan dan penghinaan yang menimpa sebahagian umat Islam hari ini, bermula dari pemesongan di kalangan pemimpin sehingga pemimpin reda membuka laluan membolehkan yang bukan Islam melakukan pencerobohan terhadap bumi serta umat Islam. 

Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, bertitah pencerobohan besar bermula dari perbuatan kecil, mungkin bermula dari sebuah surau, madrasah, masjid atau mimbar.
Titah baginda, pencerobohan itu itu juga boleh bermula daripada satu ungkapan, ucapan, khutbah, tazkirah atau satu doa.
"Ia bermula daripada pencerobohan kecil dan jika dalam menghadapi pencerobohan kecil, umat Islam masih belum insaf, masih berdegil dan masih sombong mempertahankan ego, masih memilih untuk bertelagah, umat Islam sebenarnya memberikan petanda yang salah. 

"Petanda seolah-olah menggalakkan pencerobohan lebih besar boleh dilakukan ke atas umat Islam dan terhadap institusi Islam," titah baginda di sini, petang ini. 

Baginda bertitah demikian di Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Peringkat Perak dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidil Fitri Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), di Kompleks Islam Darul Ridzuan, di sini. 

Turut berangkat Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim.

Kerajaan Kelantan saman Petronas





2010/08/30

KUALA LUMPUR: Kerajaan Kelantan hari ini memfailkan saman terhadap Petroliam Nasional Berhad (Petronas) di Mahkamah Tinggi di sini berhubung dakwaan melanggar kontrak.

Saman pemula itu difailkan di Bahagian Pendaftar Mahkamah Dagang pada 9.30 pagi ini melalui pejabat peguam Tetuan Tommy Thomas.
Turut hadir Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ahli Exco Kerajaan Negeri Kelantan.
Saman itu turut melibatkan beberapa isu Perlembagaan.

Antara relif yang lain dituntut adalah satu penjelasan diambil atau satu siasatan diperintahkan yang menghendaki Petronas untuk membuat pendedahan penuh dan benar berhubung semua fakta berkaitan dengan bayaran-bayaran tunai yang perlu dibuat kepada Kelantan, termasuk tempoh dari mana petroleum telah dikeluarkan, didapati atau diperoleh di luar pantai Kelantan, kawasan-kawasan/blok-blok dari mana petroleum telah didapati dan diperoleh, serta jumlah bayaran tunai yang perlu dibuat kepada Kelantan. 


Kerajaan negeri turut menuntut agar semua tunggakan pembayaran tunai yang telah diperjelaskan, hendaklah dibayar dalam tempoh satu bulan daripada perintah mahkamah.
Ia juga memohon satu perintah supaya semua bayaran tunai pada masa hadapan hendaklah dibayar kepada kerajaan negeri Kelantan oleh Petronas bagi petroleum yang dikeluarkan di luar pantai Kelantan seperti mana Perjanjian Petroleum Kelantan.

Turut dituntut lima relif yang lain, termasuk relif ganti rugi dan kos.

Saman pemula itu tidak menyatakan jumlah keseluruhan tuntutan daripada Petronas.

Dalam kenyataan tuntutan, kerajaan negeri menjelaskan bahawa Perjanjian Petroleum Kelantan yang ditandatangani pada 9 Mei 1975, secara jelas menyatakan bahawa Petronas hendaklah membayar secara tunai sebanyak lima peratus bagi segala hasil minyak sama ada di pantai ataupun di luar pantai negeri berkenaan. 

Mengikut klausa kedua perjanjian, bayaran tunai itu hendaklah dibayar dua kali dalam setahun, pada atau sebelum 1 Mac, atau sebelum 1 September.

Menurut Klausa 3 pula, pembayaran tersebut hendaklah terus dibayar selama mana petroleum diperoleh dari negeri berkenaan dan tidak perlu membayar sekiranya petroleum tidak lagi diperoleh. 

Dalam kenyataan tuntutan itu, kerajaan negeri turut menjelaskan bahawa hak milik sumber petroleum dan hak-hak keistimewaan untuk mencari gali bukan satu pemberian kepada Petronas tanpa sebarang balasan ataupun pampasan.

Selepas sahaja saman itu difailkan, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama hampir kesemua ahli exco kerajaan negeri serta seramai 200 penyokong mengadakan sembayang hajat di Masjid Wilayah Persekutuan berhampiran. 

Dalam kenyataan ringkas kepada media selepas itu, Nik Aziz berkata beliau sebagai ketua kerajaan negeri perlu menjaga kehormatan harta kerajaan negeri Kelantan. - BERNAMA

Hasan Ali cadang peraturan terperinci masuk surau digubal





2010/08/30

SHAH ALAM: Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, hari ini mencadangkan supaya satu peraturan lebih terperinci digubal berhubung cara dan tatasusila yang mesti dipelihara ketika menggunakan dan memasuki surau serta masjid di Selangor. 

Beliau berkata, peraturan yang lebih jelas seperti jenis pakaian yang sesuai serta jenis tudung yang dipakai juga perlu diperincikan bagi memudahkan ia difahami oleh pihak yang mengunjungi surau atau masjid.
"Mereka yang menjemput atau menganjur sepatutnya perlu memaklum perkara-perkara ini kepada orang yang dijemput (ke surau/masjid) lebih-lebih lagi bila membabitkan bukan Islam," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu mengenai kehadiran Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching, di Surau Al-Huda di Kajang pada 22 Ogos. 

Gambar wakil rakyat wanita itu sedang berucap di ruang solat yang disiarkan oleh sebuah akhbar telah menimbulkan kemarahan umat Islam termasuk Sultan Selangor Sultan Sharifuddin Idris Shah. 

Hasan berkata, beliau akan menasihatkan semua pihak termasuk ahli politik supaya menjaga sensitiviti awam sekiranya ingin melawat kawasan membabitkan rumah ibadat. - BERNAMA

Penyokong Bashir guna laman siber





2010/08/30

Lancar kempen bebas ulama menerusi Facebook 

JAKARTA: Penyokong Abu Bakar Bashir melancarkan kempen besar-besaran dalam laman siber menuntut pembebasan ulama terkenal Indonesia itu dengan membuka akaun Facebook, menubuhkan laman web sendiri dan menggodam laman web syarikat swasta.
Bashir, dituduh menjadi pemimpin spiritual rangkaian pengganas Jemaah Islamiah (JI) yang dikaitkan dengan al-Qaeda, ditahan buat kali ketiga 9 Ogos lalu kerana didakwa menubuhkan sel baru berkomplot melakukan serangan ala Mumbai, menyasarkan warga asing di hotel mewah dan kedutaan negara barat di Jakarta.Jika didapati bersalah, dia mungkin berdepan hukuman mati.

“Ia semuanya satu penipuan!” tulis pengguna Facebook, Asy’Hari Siregar antara beratus orang yang pernah berarak di jalan raya di ibu kota itu, kini sunyi sepi kerana negara didominasi penduduk Islam itu sedang berpuasa pada Ramadan.
Yang lain turut menyokong bahawa Bashir adalah mangsa konspirasi Amerika Syarikat.

Indonesia, negara sekular dengan 237 juta penduduk, menyaksikan ledakan kempen akar umbi berteknologi tinggi berikutan mudahnya mendapatkan telefon bimbit murah yang boleh mencapai internet.

Jumlah pengguna Facebook meningkat daripada kurang sejuta dua tahun lalu kepada 22 juta pada hari ini, menjadikannya negara ketiga terbesar untuk laman rangkaian sosial terbabit. 
Ia juga memiliki kadar penembusan penggunaan Twitter yang tinggi.

Robertus Robert, seorang penganalisis Universiti Nasional Jakarta berkata pelancaran kempen siber berkenaan tidak bermakna penyokong Bashir sudah tidak lagi melancarkan bantahan jalanan.

“Mereka melihat web sebagai cara melebarkan kempen mereka,” katanya. “Ia agak paradoks sebenarnya. Kebanyakan fundamentalis menolak teknologi moden kerana ia dianggap alat untuk barat, namun ia membenarkan mereka mencari penyokong baru, kelas pertengahan dan yang lain menerusi web.”

Dalam tempoh beberapa jam penahanan Bashir, pengikutnya menubuhkan laman web freeABB.com yang menarik lebih 65,000 pelawat. Ia mengandungi video polis mengiringi ulama yang tersenyum itu ke balai polis, artikel mendakwa pembabitan Amerika dalam penahanannya dan satu mesej dihantar oleh ulama itu dari dalam selnya. 

Beberapa hari kemudian, penyokongnya membuka satu akaun Facebook. – AP

Dua anak derita talasemia: Jujinah



Oleh Suzianah Jiffar
suzianah@bharian.com.my
2010/08/30

Adaniah, Addzeq kerap dapat rawatan 

KOTA KINABALU: Saat mengetahui dua daripada tiga anaknya menghidap talasemia ketika masing-masing belum mencapai usia setahun adalah detik paling mengharukan bagi Jujinah Nining, 30.
Beliau yang bekerja di sebuah kolej kejururawatan di ibu negeri berkata, lebih menyedihkan kedua-dua anaknya iaitu Adaniah Hardin, 4 dan Addzeq, 3, kelihatan sihat dan riang walaupun menanggung penderitaan.
"Setiap bulan saya membawa mereka ke hospital untuk menerima rawatan penambahan darah. Ibu mana yang tidak sedih melihat anak sekecil itu meraung kesakitan," katanya ketika ditemui di Wad Pediatrik Hospital Likas di sini, baru-baru ini. 

Adaniah dan Addzeq adalah antara 200 kanak-kanak di Wad Pediatrik Hospital Likas yang menerima sumbangan Aidilfitri daripada Bank Rakyat cawangan Sabah. 

Sumbangan disampaikan Ketua Wilayah Sabah Bank Rakyat, Latif Seeni. 

Jujinah yang gembira dengan sumbangan hamper dan wang tunai itu mengakui ia sekurang-kurangnya menggembirakan kedua-dua anaknya. 
"Mereka seronok tengok orang datang beri hadiah walaupun belum faham. Melihat mereka tersenyum sudah memadai bagi saya," katanya. 

Sementara itu, Latif berkata, sumbangan sempena Aidilfitri di Wad Pediatrik Hospital Likas dilakukan Bank Rakyat sejak tiga tahun lalu. 

"Hospital Likas dipilih kerana mempunyai ramai pesakit kanak-kanak dan wanita, sekali gus ia bersesuaian dengan matlamat kita bagi memberi sumbangan kepada golongan ini. 

"Kami terharu melihat keseronokan mereka mendapat sumbangan, lebih-lebih lagi mengenangkan ada yang terpaksa beraya di hospital," katanya. 

Latif juga tidak menolak untuk mempertimbangkan cadangan agar sumbangan Aidilfitri oleh Bank Rakyat dipanjangkan di hospital lain di negeri ini termasuk di pedalaman. 

"Bank Rakyat akan mempertimbangkan jika ada cadangan untuk menyerahkan sumbangan di hospital lain di negeri ini termasuk di pedalaman. Lazimnya, jika ada keperluan di hospital terbabit termasuk jumlah pesakit kanak-kanak yang ramai, kita akan berkunjung ke situ untuk menyerahkan bantuan," katanya. 

Dalam perkembangan lain, Latif berkata Bank Rakyat mengalu-alukan lebih banyak koperasi di Sabah menyertai francais Skim Ar-Rahnu yang diperkenalkan di cawangan bank itu di seluruh negeri.

Tebing dikhuatiri runtuh



Oleh Umi Nadirah Abdul Rahman
uminadirah@bharian.com.my
2010/08/30

Penduduk Taman Sri Pelentong resah projek tambakan seperti terbengkalai 

PASIR GUDANG: Walaupun dijanjikan keselamatan mereka terjamin, kira-kira 50 penghuni di 10 rumah di Taman Sri Pelentong, di sini dibayangi keresahan apabila projek penambakan tebing yang sepatutnya dijalankan bagi mengurangkan hakisan di kawasan rumah mereka seperti tidak dijalankan.
Kebimbangan penduduk kian memuncak terutama apabila hujan lebat. Mereka khuatir hakisan tanah berlaku bila-bila masa saja apatah lagi kedudukan rumah dan jarak sungai yang menjadi tebing berkenaan adalah kurang daripada 50 meter.
Penduduk, Che Ali Che Ya, 39, berkata keadaan tebing berkenaan membahayakan nyawa penduduk sekitar terutama penghuni di 10 rumah yang terjejas, sekali gus mengundang perasaan tidak senang hati dengan janji pihak terbabit dalam melaksanakan kerja berkenaan. 

Katanya, hakisan tanah itu wajar dibendung dengan segera apatah lagi turut membahayakan nyawa kanak-kanak yang dilihat kadang-kadang menghabiskan masa mereka bermain bersama rakan di kawasan terbabit. 

"Projek itu untuk menghalang tanah runtuh, sekali gus menyebabkan kekotoran Sungai Pelentong dan mengurangkan hakisan tanah yang menjejaskan 10 rumah. 

"Namun, sikap acuh tak acuh pihak yang terbabit dalam menjalankan kerja penahan hakisan tebing mengecewakan penduduk sedangkan saya difahamkan ia sudah memasuki bulan keenam," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini. 
Che Ali berkata, sekiranya masalah itu berlarutan tanpa tindakan susulan, beliau dan penduduk lain khuatir suatu hari nanti tebing berkenaan akan runtuh, selain berlaku banjir akibat hujan lebat. 

"Saya memohon pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan segera dan menyiapkan projek terbabit kerana kita tidak mahu ada kejadian tidak diingini berlaku pada masa depan," katanya yang tinggal di kawasan berkenaan lebih 20 tahun. 

Penduduk, Muhammad Sani Surip, 27, berkata walaupun setakat ini tiada kejadian buruk membabitkan hakisan tanah di kawasan berkenaan, dia berharap pihak yang terbabit segera melakukan kerja penahanan tebing yang secara tidak langsung turut mencemarkan Sungai Pelentong. 

"Apabila hakisan tanah berlaku, ia secara tidak langsung menyebabkan keadaan sungai menjadi kotor, malah kita turut risau sekiranya sungai berkenaan turut dipenuhi sampah sarap akibat tersumbat," katanya.

Hidup ketakutan



Oleh Khirriah Idzihar Md Kodry
bhnews@bharian.com.my
2010/08/30

Penghuni Rumah Rakyat Kampung Panchor bimbang kain kanvas tak berupaya menahan gelongsoran tanah lereng bukit 

PAROI: Pengalaman dua kali mengalami kejadian tanah runtuh menyebabkan tiga beranak di Rumah Rakyat Kampung Panchor, di sini hidup dalam kebimbangan kerana lereng bukit yang terletak kira-kira dua meter di belakang rumah mereka hanya ditutup kanvas.
Ia menyebabkan keluarga berkenaan khuatir kanvas itu tidak mampu menahan gelongsoran lereng bukit dan mungkin menyebabkan tanah runtuh yang kali terakhir berlaku awal bulan lalu berulang, sekali gus membahayakan nyawa mereka.
Pemilik rumah, Abu Bakar Tamin, 67, bimbang kejadian lebih buruk berlaku kerana setakat ini mereka tidak pasti tahap ketahanan kanvas yang digunakan untuk menutup lereng bukit terhakis. 

Katanya, kejadian tanah runtuh pada 9 Julai lalu mendapat perhatian pegawai kanan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) yang hadir bersama Ahli Dewan Undangan (ADUN) Lenggeng, Datuk Mustafa Salim, melawat tempat kejadian. 

"Ia diikuti dengan pemasangan kanvas lebih tebal, berbanding kanvas asal yang hanya boleh bertahan dua minggu. Bagaimanapun, saya tidak tahu berapa lama kanvas tebal itu bertahan. 

“Selain itu, apa jaminan keselamatan selepas kawasan itu ditutup kanvas kerana bagi saya, ia masih tidak berupaya menahan gelongsoran tanah di situ," katanya. 
Beliau juga tertanya-tanya tindakan yang akan diambil MPS kerana bimbang keadaan lereng bukit itu jika terus dibiarkan bukan saja mengancam keselamatan keluarganya, malah penduduk di kawasan lorong yang sama. 

Jirannya, Mohd Nor Seedi, 62, berkata kejadian tanah runtuh terakhir itu disusuli mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) beberapa hari selepas kejadian itu untuk memikirkan kaedah penyelesaian terbaik masalah berkenaan. 

"Saya wakil fasa perumahan di sini dan mesyuarat memutuskan untuk menghantar laporan kepada pihak berkaitan termasuk MPS. 

"Difahamkan, laporan itu mendapat perhatian khusus MPS yang menyatakan tindakan penyelesaian akan dilakukan tetapi setakat ini, tiada perkembangan. Kami ingin tahu tindakan yang akan diambil dan bila kerja membaiki lereng bukit dimulakan," katanya. 

Sehubungan itu, beliau berharap MPS dapat memberitahu status terkini tindakan yang bakal dilakukan kerana penduduk menyerahkan sepenuhnya penyelesaian masalah itu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan berikutan tanah di bahagian atas lereng bukit adalah milik persendirian. 

Berita Harian pada 4 Mac tahun lalu melaporkan, sebahagian lereng bukit di situ runtuh selepas hujan lebat menyebabkan tanah dan air lumpur melanda mengakibatkan kerosakan beberapa rumah penduduk. 

Ini termasuk kemusnahan sebahagian rumah Abu Bakar apabila tanah yang runtuh merosakkan seluruh bahagian belakang rumahnya. 

Pada 9 Julai lalu, penduduk digemparkan lagi dengan kejadian sama apabila sebahagian tandas di luar rumah Abu Bakar ditimbus tanah runtuh beberapa jam selepas hujan lebat, dipercayai berikutan kanvas dipasang tidak mampu menahan hakisan. 

Ketika kejadian, Abu Bakar bersama isteri dan anak yang berehat di ruang tamu dikejutkan bunyi dentuman kuat dari arah belakang rumah menyebabkan mereka berlari melihat apa yang berlaku sebelum menyedari rumah mereka dilanda tanah runtuh buat kali kedua.

Kalau jumpa kling dengan ular...


Pakatan putar belit 
SHAH ALAM - Pakatan Rakyat disifatkan sebagai bijak menggunakan pendekatan mengalih isu sebenar bagi menutup kelemahan parti itu daripada terus fokus kepada isu yang perlu diperjelasakan. 

Penganalisis politik tempatan, Profesor Datuk Dr Zainal Kling berkata, PR sentiasa menggunakan kaedah melemparkan tuduhan dan mengalihkan isu sebenar dan tidak hairanlah jika pemimpin PR tidak menjawab persoalan kepada isu sebenar, mereka akan putar belit kepada isu lain dan akhirnya meletakkan kesalahan kepada kepimpinan Barisan Nasional. 

“Mereka (pembangkang) sengaja mengelak fokus kepada persoalan isu sebenar untuk melindungi kelemahan – kelemahan mereka dari segi pentadbiran, hubungan antara parti gabungan dan kepimpinan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. 

Beliau berkata, tindakan melemparkan tuduhan kepada BN dilakukan sebagai survivor politik mereka bagi menjamin kekuatan parti dan mempengaruhi minda rakyat untuk terus memberi sokongan kepada mereka. 

“Tindakan seumpama ‘menyapu keburukan ke bawah tikar ini’ dengan melemparkan tuduhan kepada BN sebenarnya dapat dihidu oleh rakyat di mana jika ada isu yang membabitkan pemimpinnya, PR akan memberi kenyataan yang klise, berulang- ulang dan bukan isu sebenar yang hendak diketahui umum. 

“Inilah kaedah kepintaran untuk memutarbelitkan isu sebenar dan mematahkan hujah parti lawan dengan melindungi mereka daripada menjawab persoalan sebenar yang mungkin akan ‘memakan diri’ mereka,” katanya. 

Mengambil contoh isu kontroversi doa ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam dibaca dalam khutbah Jumaat, Zainal berkata, PR akan selamanya menggunakan pendekatan memutarbelitkan dan mengalihkan isu sebenar bagi menjamin kekuatan parti dan langkah berjaga- jaga agar tidak terjerumus percanggahan pendapat antara parti yang diwakili. 

“Hal demikian tidak dilakukan oleh UMNO, UMNO kebiasaannya akan fokus kepada isu sebenar walaupun berkaitan dengan parti dan pemimpinnya. 

“Oleh itu, selama-lamanya kita akan melihat PR menyerang parti pemerintah, membangkitkan isu lain dari isu yang hangat yang dihadapi mereka dan semestinya yang menjadi mangsa adalah BN,” katanya.

Saifuddin jumpa Pemuda Pas, Gerakan isu mahasiswa berpolitik




GEORGETOWN - Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah bercadang mengadakan pertemuan dengan Pemuda Pas dan Gerakan berhubung soal sama ada dibolehkan pelajar institusi pengajian tinggi aktif dalam politik. 

Beliau berkata, ia bertujuan bagi mendapatkan pandangan terbaik daripada pelbagai pihak sebelum sebarang keputusan mengenai perkara itu diputuskan. 

“Kementerian Pengajian Tinggi tetap akan meneruskan perbincangan mengenai cadangan membenarkan pelajar IPT menganggotai parti politik berikutan sikap terbuka Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung perkara ini. Ini menunjukkan ia masih boleh dibincangkan sama ada setuju atau tidak dan saya lihat kita harus berfikiran terbuka mengenainya," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan ‘DiGi Youth Jam’ sempena sambutan Hari Kemerdekaan, di sini semalam. 

Kelmarin, Najib dikatakan masih terbuka untuk membincangkan cadangan membenarkan pelajar IPT menganggotai parti politik walaupun Kabinet sudah membuat keputusan melarangnya. 

Katanya, banyak faedah sekiranya pelajar IPT dibenarkan menyertai parti politik antaranya dapat mematangkan sistem demokrasi selain dapat memberikan hak kepada pelajar melibatkan diri dalam politik. 

"Kumpulan pelajar yang berminat dengan politik sangat kecil, walaupun begitu hak mereka tetap tidak boleh dinafikan untuk sertai politik, kita harus fahami matlamat cadangan itu dan lambat laun perkara ini akan menjadi kenyataan,” katanya. 

Menurutnya, masyarakat perlu memahami matlamat cadangan ini dan ia memerlukan sedikit masa. Jika perkara itu direalisasikan, diharap tidak berlaku kekacauan dalam kampus seperti yang didakwa. 

“Masyarakat memerlukan masa untuk memahami matlamat cadangan ini dan saya sudah membuat analisa secara ilmiah serta menjawab setiap soalan yang diajukan berhubung isu ini,” katanya.        

Beliau turut meminta masyarakat supaya tidak mengkritik cara generasi muda hari ini menyambut kemerdekaan dan memahami pengertian patriotisme dalam situasi berbeza. 

Menurutnya, apa yang perlu adalah menghargai cara generasi muda dalam mengekspresikan pengertian patriotisme.

“Tiada krisis”


KUALA LUMPUR - Tengku Temenggung Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra menafikan dakwaan mengatakan hubungan beliau dan kekandanya, Tengku Muhammad Faris Petra dilanda krisis berikutan beberapa isu kebelakangan ini. 

Katanya, hubungan beliau dengan Tengku Mah- kota amat baik tanpa wujud sebarang masalah seperti mana yang digambarkan media dan laman Internet seolah-olah mereka dua beradik 'bermasam muka'. 

"Saya pun pelik kenapa cerita ini muncul, mungkin orang suka buat cerita yang tak elok ini. Langsung tidak pernah terfikir saya hal ini. Biasalah mulut orang, mana boleh kita menghalang apa yang nak diperkatakan," katanya selepas berbuka puasa bersama :Sinar Harian:, kelmarin. 

Antara pertelingkahan yang membabitkan kedua-dua beradik itu ialah pemilikan kereta Bentley Brooklands bernilai RM1.6 juta, bagaimanapun diselesaikan secara aman selepas Tengku Muhammad Fakhry menarik balik saman pemulanya. 

Kes berkenaan ditarik balik berikutan kereta tersebut yang sebelum ini ditempatkan di Istana Telipot di Kota Bharu, yang merupakan kediaman rasmi Tengku Mahkota, sudah dikembalikan ke Istana Mahkota di Kubang Kerian, Kota Bharu. 

Mengulas mengenai kesihatan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra, Tengku Muhammad Fakhry berkata, kesihatan ayahandanya semakin baik dan boleh dikatakan seperti 'kereta yang mendapat enjin baru' selepas mendapatkan rawatan di Singapura baru-baru ini. 

"Baginda sudah mula boleh bercakap sejak pulang dari rawatan berkenaan dan kini dalam proses pulih sepenuhnya. Kita menyerahkan kepada doktor yang menjalankan rawatan dan setakat ini doktor memberi harapan yang positif," katanya. 

Mengenai kos rawatan ayahandanya, beliau berkata, walaupun kos sepatutnya ditanggung oleh Kerajaan Negeri namun ahli keluarga turut mengeluarkan belanja. 

"Takkan seorang Sultan pun tidak boleh dijaga," katanya dengan nada sinis. 

Bagaimanapun beliau tidak menyalahkan Kerajaan Negeri sepenuhnya dan mengucapkan terima kasih kerana melakukan solat hajat bagi mendoakan kesihatan Tuanku Sultan pulih daripada gering. 

"Terima kasih juga kepada Kerajaan Pusat di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberikan pegawai perubatan Kementerian Pertahanan menjaga Tuanku sepanjang masa," katanya. 

Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan agar rakyat mempercayai kenyataan yang dikeluarkan oleh ahli keluarga terdekat Sultan sahaja kerana mereka (ahli keluarga) yang sentiasa berada menjaga Tuanku. 

"Orang lain tidak berada malahan langsung tidak bersama, bagaimana boleh mengeluarkan kenyataan baginda," katanya. 

Suasana aman tukar kecoh



IPOH – Keengganan kira-kira 300 penyokong yang mendakwa dari parti Hak Asasi Manusia (HRP) mematuhi arahan polis supaya bersurai membawa padah apabila seorang daripada mereka ditahan ketika cuba menyerahkan memorandum kebebasan beragama kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berhampiran Istana Kinta di sini, semalam. 

Keadaan aman bertukar kecoh apabila seorang anggota polis dikatakan mencampakkan memorandum yang diletakkan kumpulan berkenaan di belakang kenderaan pasukan keselamatan itu supaya dapat diserahkan kepada pihak istana. 

Kumpulan itu akhirnya bersurai kira-kira jam 12.30 tengah hari dan bertindak membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh atas dakwaan bertindak ganas dan penyalahgunaan kuasa oleh pegawai berkenaan. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superinten-dan Ibrahim Abu Bakar berkata, dalam kejadian jam 11.40 pagi, lelaki berusia 50 tahun itu, ditahan selepas mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah kepada Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Deputi Superintendan Rodzi Rajab ketika ditahan untuk diperiksa dalam sekatan polis. 

Menurutnya, lelaki yang dipercayai seorang ahli kumpulan terbabit memandu kenderaan bersama tiga penumpang lain ditahan selepas melanggar sekatan polis dalam usahanya mengikuti perarakan bersama penyokong HRP bagi menghantar memorandum ke Istana Kinta. 

“Lelaki itu kini ditahan bagi siasatan lanjut di atas kesalahannya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. 

Dalam perkembangan sama, Ibrahim berkata, pihaknya sudah memberi kebenaran kepada penyokong kumpulan itu menghantar memorandum dengan syarat hanya sebuah kereta dengan empat penyokong termasuk pemandu dibenarkan memasuki istana seawal 9 pagi. 

“Bagaimanapun, kumpulan itu mendakwa memorandum ada pada rakannya yang belum tiba dan mereka menunggu sehingga hampir jam 12 tengah hari. 

“Syarat ini ditetapkan wakil istana dan polis bersetuju, tetapi kumpulan ini masih berdegil sehingga kami terpaksa menghalang tindakan mereka itu,” katanya. 

Tinjauan Sinar Harian mendapati, lebih 50 anggota polis berkawal di Jalan Raja Dr Nazrin Shah untuk memastikan tiada perarakan besar-besaran berlaku yang boleh menggugat ketenteraman awam. 

Sementara itu, Setiausaha Agung Jawatankuasa Penaja HRP, P Uthayakumar berkata, perhimpunan dan perarakan itu diadakan secara aman dan tidak berniat untuk mengganggu ketenteraman awam. 

Menurutnya, tujuannya adalah untuk menghantar memorandum yang mengandungi 5,000 tandatangan rakyat kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja supaya dapat diserahkan kepada Sultan Perak bagi mempertimbangkan rayuan terhadap hak kebebasan beragama sepertimana terkandung dalam Artikel 11 Perlembagaan Negara. 

“Malangnya, kami dihalang daripada berbuat demikian oleh polis yang sudah mula berkawal di kawasan istana sejak jam 9 pagi,” katanya di sini, semalam. 

Uthayakumar berkata, memorandum itu dihasilkan selepas beberapa rakyat tidak mendapat keadilan daripada kerajaan, mahkamah dan polis. 

“Alternatif terakhir ialah bertemu dengan sultan untuk membuat rayuan mendapatkan keadilan bagi mereka yang menuntut hak kebebasan beragama,” katanya. 

Selain itu, beliau berkata, surat untuk membuat temu janji dengan pihak istana sudah dihantar pada 24 Ogos lalu. 

Mereka yang tidak berpuas hati kerana didakwa kononnya dipaksa untuk menganut agama Islam tanpa kerelaan ialah S Banggarma, 28; K Rani, 46; dan tiga adik beradik, K Rajiwah, 34; Rajina Mohd Zaini @ Krishnan, 32; dan Rajeni Mohd Zaini.

Wang pelajar lesap



SKUDAI – Tindakan seorang pengurus sebuah pusat tuisyen di sini yang menghilangkan diri selain dipercayai melarikan RM40,000 hasil bayaran yuran pelajar berkenaan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pelajar termasuk tenaga pengajarnya. 

Susulan kejadian itu salah seorang tenaga pengajar pusat tuisyen berkenaan tampil untuk mendedahkan tembelang pengurus itu selain melaporkannya kepada pihak berkuasa disebabkan simpati dengan pelajarnya yang menghadapi kerugian. 

Guru Bahasa Inggeris yang enggan identitinya disiarkan mengakui turut ditipu apabila gajinya tidak dibayar oleh pengurus terbabit, manakala kira-kira 15 pelajarnya yang mengikuti kursus Bahasa Inggeris turut menjadi mangsa disebabkan baru menjelaskan bayaran sebanyak RM2,400 setiap seorang. 

Beliau ke pusat tuisyen berkenaan pada 21 Ogos lalu untuk mengajar seperti biasa pada jam 7 malam, namun pintu premis itu berkunci menyebabkannya beliau segera menghubungi pengurus itu untuk mendapatkan penjelasan. 

“Saya rasa seperti ada yang tidak kena apabila gagal menghubungi lelaki berkenaan, namun saya bersama rakan lain terus menunggu di tingkat bawah premis itu dengan harapan lelaki itu akan datang semula,” katanya. 

Katanya, pada mulanya mereka beranggapan lelaki itu keluar seketika kerana ada urusan di tempat lain dan akan pulang semula. Ini kerana lelaki berusia 40-an itu turut menjadikan Pusat Tuisyen berkenaan sebagai tempat tinggal. 

“Selepas menunggu sehingga jam 9.30 malam, saya cuba untuk menghubungi lelaki berkenaan namun gagal dan menganggap dia cuba menipu kami, sekali gus melarikan diri selepas berjaya memperoleh bayaran daripada pelajar,” katanya yang sudah bekerja di situ sejak tiga tahun lalu. 

Difahamkan pusat tuisyen berkenaan menawarkan khidmat Kursus Bahasa Inggeris selain menyediakan perkhidmatan tuisyen kepada murid sekolah rendah. Namun jumlah keseluruhan pelajarnya tidak diketahui kerana segala dokumen turut dilarikan pengurus berkenaan. 

Sementara itu, jurujual, Wong Poon Kui, 27 berkata, beliau telah mengikuti Kursus Bahasa Inggeris situ sejak Januari lalu namun hasratnya untuk melanjutkan kursus berkenaan ke tahap kedua gagal disebabkan masalah ini. 

“Semasa mengikuti kursus tahap pertama semuanya berjalan dengan lancar menyebabkan saya berminat untuk melanjutkan kursus ke tahap seterusnya apabila berpuas hati dengan kursus yang ditawarkan,” katanya. 

Poon Kui yang turut mengakui baru menjelaskan bayaran untuk yuran kursus berkenaan sebanyak RM2,400, namun terkilan disebabkan tidak dapat meneruskan pembelajaran kerana tindakan penipuan yang dilakukan suspek. 

Sinar Harian turut dimaklumkan bahawa satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Taman Ungku Tun Aminah, di sini pada hari yang sama manakala kes ini turut dirujuk kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Dr Boo Cheng Hau. 

Dr Boo juga menasihatkan ibu bapa yang menghantar anak di Pusat Tuisyen terbabit untuk tampil memberikan kerjasama termasuk menghubunginya bagi mengesan jumlah mangsa yang terlibat dalam kes itu.

Namewee berdepan hukuman



KUALA LUMPUR - Perbuatan menghasilkan video yang membangkitkan sentimen perkauman perlu dikenakan tindakan tegas supaya ia tidak menjadi amalan di kalangan rakyat negara ini, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim. 

Beliau berkata perbuatan seperti itu boleh dikategorikan sebagai perkara yang menyalahi seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. 

Perbuatan seperti itu, katanya, tidak harus dilihat semata-mata sebagai kebiasaan, malah ia sangat menyedihkan kerana setelah sekian lama berjuang untuk mencapai kemerdekaan dan membina negara, sepatutnya masyarakat negara ini menjadi lebih matang. 

“Apalah seronoknya bagi kita, misalnya memperkecil-kecilkan lagu Negaraku, mengubah seni katanya, menconteng wajah Yang di-Pertuan Agong atau membuat video seperti itu. 

“Ini jelas merendahkan lagi martabat kita sebagai satu negara dan satu bangsa di bawah gagasan 1Malaysia,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai tindakan Wee Meng Cheng atau dikenali sebagai Namewee yang mengulangi perbuatan yang dianggap biadab dengan menerbitkan klip video yang boleh menyemarakkan api perkauman. 

Namewee, seorang pemuda dari Muar, Johor sepertimana yang disiarkan dalam laman web YouTube, membuat klip berbaur perkauman dengan merujuk kepada kes seorang guru yang dikatakan membuat kenyataan berbaur perkauman, antara lain mencerca guru berkenaan serta menyebut Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai kurang ajar. 

Rais berkata dalam hal ini, kementeriannya berharap Peguam Negara bertindak lebih tangkas bagi membendung perkara-perkara yang berunsur perkauman daripada terus berlaku. 

Rais berkata, pihaknya menyerah kepada Jabatan Peguam Negara dan pihak penguatkuasaan sama ada tindakan undang-undang layak diambil. 

“Kalau di Britain orang tak conteng muka the Queen... kenapa kita di Malaysia suka sangat buat perkara seperti ini. Jadi, untuk mencegahnya undang-undang harus tegas,” katanya. - Bernama

Bela prihatin nasib pemilik kereta lama



KUALA LUMPUR - Gerakan Bela Rakyat (Bela) terus memperjuangkan nasib pemilik kenderaan berusia lebih 10 tahun yang mengalami kesulitan membayar dan mendapatkan perlindungan insurans dengan menubuhkan Sekretariat Bela Peringkat Nasional.

Pengerusinya, Salahuddin Ayub berkata, penubuhan sekretariat diketuai Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Pusat, Suhaizan Kayat adalah untuk bertindak lebih serius, membuat persiapan rapi dan mengumpul lebih banyak maklumat daripada semua pihak berhubung perkara ini. 

Beliau yang juga Naib Presiden Pas berkata, Bela dilancarkan tiga minggu lalu telah mendapat perhatian dan maklum balas positif daripada rakyat yang menghadapi masalah berkenaan. 

“Ini membuktikan betapa seriusnya kita menghadapi isu ini kerana isu melibatkan pemilikan kereta 10 tahun ke atas adalah isu rakyat yang memerlukan kepada satu pembelaan sewajarnya,” katanya pada sidang media Penubuhan Sekretariat Bela Peringkat Nasional & Agenda Bertindak Bela, di sini. 

Salahuddin berkata, kerajaan dan Bank Negara perlu memperbaiki sistem sedia dengan membenarkan semua syarikat insurans mengeluarkan polisi mereka dan menetapkan kadar atau premium munasabah yang mampu dimiliki oleh rakyat di negara ini. 

“Kerajaan perlu mencari mekanisme terbaik untuk memudahkan pemilik kenderaan ini memperoleh perlindungan insurans,” katanya. 

Sehubungan itu, beliau berkata, Suhaizan akan menghantar memorandum kepada Bank Negara dalam tempoh terdekat bagi memberikan cadangan terbaik supaya perkara ini diselesaikan secepat mungkin. 

Bahagia bersuami muda



Jarak usia 26 tahun bukanlah penghalang bagi wanita yang berusia seperti Rosnah Mat Aris, 55, untuk menikmati kebahagiaan bersama suami tercinta, Thaj Afendi, 29. 

Bahkan, pelakon veteran mengaku, perkahwinannya yang masuk tahun kedua tidak pernah dilanda badai, sebaliknya semakin mekar dengan perasaan cinta dan kasih sayang. 

“Secara jujurnya, kami tak pernah bergaduh. Malah, suami pernah tanya saya ‘kenapa kita tak pernah gaduh sejak kahwin? Tapi saya kata jangan mintak, nantikan gaduh besar pula. 

“Orang mungkin nampak saya macam ni, kecoh dan ‘cengih’ (garang), tapi saya sebenarnya sangat menghormati suami. Malah, hubungan kami sangat romantis dan saling memanjakan antara satu sama lain. 

“Dia pula, walaupun masih muda, tapi sangat matang dan tahu tanggungjawab. Sebab itulah hubungan kami masih bertahan hingga ke hari ini,” kata Rosnah yang pernah merahsiakan perkahwinannya itu dari pengetahuan umum dan juga pihak media. 

Menurutnya, dia tidak pernah terfikir untuk berkahwin dengan lelaki muda, apatah lagi yang boleh dianggap seperti anaknya sendiri. Namun, itulah yang dikatakan jodoh, dan dia tidak mampu menolaknya. 

“Saya dah berkawan dengan dia lima tahun dan saya tak pernah fikir akan sampai ke tahap ini kerana saya menganggapnya sebagai kawan biasa saja. 

“Tapi dia sebenarnya menyimpan perasaan terhadap saya dan begitu bersungguh-sungguh mahu mengahwini saya. Dan syukurlah hubungan kami tidak pula mendapat tentangan orang tuanya,” katanya yang menjalinkan hubungan baik dengan keluarga mentuanya. 

Ketika ditanya tentang zuriat, Rosnah berkata, suaminya akur yang dia tidak lagi mampu memberikan zuriat. 

“Sebelum kahwin lagi saya dah bincang perkara ini dengannya. Tapi, dia sedia terima dan berkata, dia ingin berkahwin dengan saya bukannya sebab zuriat, tapi dia ingin buat saya bahagia dan gembira selagi masih ada hayat kami berdua,” katanya yang turut memanjatkan kesyukuran pada Allah kerana mengurniakan suami yang baik untuknya.

Hukuman rejam wanita dipertimbang




TEHERAN - Kerajaan Iran mengumumkan bahawa mahkamah negara itu belum membuat keputusan muktamad bagi mengenakan hukuman rejam terhadap seorang wanita warga Iran. 

Kes wanita itu, Sakineh Mohammadi-Ashtiani, 43, mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa apabila dia dijatuhkan hukuman rejam sampai mati selepas didapati bersalah berzina dan bersubahat dalam pembunuhan suaminya. 

Kementerian Luar Iran dalam satu kenyataan melaporkan, pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan sementara ia dikaji oleh mahkamah. 

Jurucakap kementerian itu, Ramin Mehmanparast berkata, Sakineh yang mempunyai dua orang anak dijatuhkan hukuman itu selepas dia didapati bersalah atas kesalahan berzina dan menjadi rakan subahat dalam pembunuhan suaminya. 

"Hukuman seberat itu hanya akan dijalankan selepas pertimbangan menyeluruh dilakukan," katanya. 

Hukuman ke atas Sakineh mendapat perhatian dan campur tangan dunia, terutama negara Barat seperti Perancis yang menuntut Kesatuan Eropah mengenakan sekatan baru ke atas Iran sekiranya Sakineh direjam sampai mati.

Israel enggan tambah bekalan elektrik Gaza


 

TEL AVIV - Kerajaan Israel menolak mentah-mentah permintaan wakil Kuarter, Tony Blair supaya rejim itu meningkatkan bekalan elektrik ke Genting Gaza atas alasan enggan bekerjasama dengan kerajaan Hamas yang memerintah wilayah Palestin itu. 

Blair membuat pemintaan itu semasa mesyuarat dengan Timbalan Perdana Menteri Israel, Silvan Shalom bagi pihak kerajaan Palestin, Isnin lalu. 

Gaza menghadapi catuan bekalan elektrik sehingga lapan hingga 10 jam sehari sejak awal tahun ini akibat kekurangan bekalan minyak di satu-satunya penjana elektrik di Genting Gaza yang terletak berhampiran kem pelarian Nuseirat. 

Israel membekalkan Gaza dengan hampir 60 peratus daripada keperluan elektrik di wilayah itu selepas mengenakan sekatan ke atas Gaza.

Shalom menolak permintaan Blair itu dan sebaliknya menuntut masyarakat antarabangsa memberikan tekanan kepada Hamas supaya menerima syarat yang diberikan Kuartet berhubung sekatan ke atas Gaza. 

"Saya melihat Hamas sebagai bertanggungjawab terhadap penderitaan yang dihadapi penduduk Genting Gaza dan Israel tidak akan bekerjasama dengan pengganas yang cuba memusnahkan kami," katanya.