Showing posts with label lari. Show all posts
Showing posts with label lari. Show all posts

Wednesday, December 19, 2012

Lelaki rayu ibu pulang ke pangkuan keluarga



Che Gayah Shaari
Che Gayah Shaari
KUALA NERANG - Mungkin berlaku salah faham kerana ayah tidak pernah menghalau ibu keluar dari rumah sebaliknya sekadar meminta ibu keluar untuk menenteramkan keadaan.

Demikian jelas Khadir Md Arshad, 29, sambil meminta ibunya, Che Gayah Shaari, 58, agar pulang semula ke rumah.

“Sebagai anak, saya merayu dan meminta agar ibu pulang ke rumah atau pergi ke Pejabat Agama Daerah Padang Terap untuk sesi kaunseling dan menyelesaikan masalah yang berlaku secara baik.” katanya yang lebih mesra dengan panggilan Sham.

Sham berkata, kali terakhir bertemu ibunya ialah pada Aidilfitri lalu.

Menurutnya, ibu keluar dari rumah setelah berlaku perselisihan faham dengan ayahnya, Md Arshad Md Noor, 80 tahun.

“Ayah tidak bermaksud menghalau ibu terus keluar rumah dan meninggalkan kami sekeluarga,” katanya yang turut membuat laporan polis mengenai kejadian berkenaan.

Sehubungan itu, Sham meminta kerjasama orang ramai dan saudara mara yang mengenali ibunya agar dapat memujuknya kembali ke pangkuan keluarga atau menghubunginya melalui telefon bimbit 013-4589395.

Thursday, October 25, 2012

Kesihatan nenek terjejas, tertekan cucu enggan pulang Aidiladha

Nur Fatini AmirahBariah (kiri) dan Shahidan menunjukkan laporan polis berkaitan kehilangan Nur Fatini Amirah (gambar kecil) dua minggu lalu.

KEPALA BATAS - Tindakan seorang remaja perempuan yang memilih tinggal di rumah tunangnya sejak dilaporkan hilang dua minggu lalu meneruskan episod sedih keluarga Bariah Ahmad, 64, dari Kampung Lahar Ikan Mati di sini.

Keengganan Nur Fatini Amirah Mohd Rashidi, 17, pulang ke pangkuan keluarga tersebut bukan sahaja membuatkan sambutan Hari Raya Aidiladha kali ini tidak meriah, malah mengundang masalah kesihatan neneknya itu.

“Saya cukup tertekan hingga menjejaskan tahap kesihatan diri kerana tindakannya untuk terus tinggal di rumah tunangnya itu membelakangkan keluarga.

“Dia merupakan cucu kesayangan dan ketiadaannya untuk bersama menyambut hari raya ini dirasakan tiada maknanya lagi,” katanya kepada Sinar Harian.

Bariah berkata, sepatutnya cucu yang dibesarkan sejak kecil menyedari tindakannya itu.

“Sepatutnya dia kembali ke pangkuan kami selepas ‘lari’ dari rumah.

“Kami sekeluarga tidak pernah menghalang hasrat mereka untuk berkahwin tetapi biarlah ianya dilakukan melalui perbincangan dan menurut cara yang betul,” katanya.

Nur Fatini Amirah merupakan anak pasangan Mohd Rashidi Mohd Rashid, 49, dan Norasiah Lazim, 48, dijaga Bariah sejak kecil kerana ibu bapanya bekerja di luar daerah.

Sebelum ini, tindakan Nur Fatini Amirah keluar meninggalkan rumah keluarganya selama tiga hari mencetuskan keresahan Bariah dan tunangnya, Shahidan Saari, 21. Nur Fatini Amirah bertunang dengan Shahidan, seorang pekerja kilang sejak Julai lalu dan mereka mendapat restu keluarga untuk berkahwin Disember ini.

Kehilangan cucu kelima Bariah itu kemudiannya dilaporkan kepada pihak polis, manakala Bariah dan Shahidan turut mencarinya di serata tempat.

Bariah berkata, selepas tiga hari dilaporkan hilang, cucunya itu kemudiannya dikesan tinggal di rumah Shahidan yang terletak di kampung bersebelahan, namun usaha mereka sekeluarga memujuknya pulang tidak berhasil.

Menurutnya jika dalam masa terdekat cucunya itu tidak pulang ke rumah, mereka sekeluarga terpaksa mengambil tindakan difikirkan wajar.

Tuesday, October 2, 2012

Doa ibu akhirnya termakbul


Faridah memeluk erat sambil mencium pipi ibunya sebagai tanda kasih seorang anak.
Faridah memeluk erat sambil mencium pipi ibunya sebagai tanda kasih seorang anak.
Fazilah dan Abu Bakar bertanggungjawab menemukan dua beranak itu.
Fazilah dan Abu Bakar bertanggungjawab menemukan dua beranak itu.
KUALA ROMPIN - Terpisah dengan anak selama 36 tahun adalah tempoh cukup lama dan amat memeritkan bagi seorang warga emas, Leha Mohamad, 79, namun, tarikh 18 September lalu menjadi memori paling indah dalam hidupnya.

Dalam pertemuan yang penuh emosi, Leha tidak dapat menahan air mata sebaik saja menatap wajah anaknya Zabidah Mat, 51, lantas terus memeluk dan mencium anak kelima daripada sembilan beradik itu.

Leha berkata, pertemuannya dengan Zabidah atau lebih mesra dengan panggilan ‘Faridah’ ibarat seperti mimpi menjadi kenyataan, apatah lagi ada yang menganggap anak perempuannya itu sudah lama meninggal dunia.

“Akhirnya dapat juga saya menatap wajah Faridah sebelum menghembuskan nafas terakhir kerana itu adalah impian saya sebelum saya pergi menghadap Ilahi,” katanya kepada Sinar Harian.

Leha berkata, dia berhasrat bertemu dengan Faridah sejak dari dahulu lagi, namun tidak tahu ke mana hilang anak perempuannya itu sehingga seorang anak saudaranya bertemu Faridah di Indonesia.

“Sudah lama saya menahan rindu terhadap Faridah dan alangkah gembiranya hati saya apabila dapat bertemu dan bertentang mata dengannya setelah lama terpisah,” katanya.

Leha berkata, meskipun penglihatannya semakin kabur, tetapi itu bukan penghalang kepadanya untuk melihat wajah anak kandungnya itu sepuas hati sementara masih diberi kekuatan.

“Biarpun sudah lama tidak bersua muka, namun pertemuan ini sungguh bererti kepada kami sekeluarga yang amat merindui dan menyayangi Faridah,” katanya.

Katanya, hubungan dengan anak yang disifatkannya seperti air dicincang tidak akan putus itu diharap berkekalan hingga ke akhir hayat sekali gus dapat mengeratkan lagi tali persaudaraan yang terpisah selama ini.

“Alangkah gembiranya apabila dapat menatap wajah insan yang saya kasihi di hadapan saya. Jika sewaktu berpisah dahulu, saya selalu menangis terkenangkannya, tapi kini tangisan kegembiraan pula keluar dari hati semasa menyambutnya kembali ke pangkuan keluarga,” katanya.
 
Mahu menetap di negara ini

Faridah berkata, pada mulanya dia memang berhasrat pulang sebelum Aidilfitri lalu, namun disebabkan beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan, hasratnya itu terpaksa dipendam begitu sahaja.

“Saya sayangkan keluarga ini dan bercadang untuk menetap di negara ini bersama suami dan anak serta cucu di negara ini,” katanya.

Menurutnya, semasa usianya remaja, dia tiada pilihan melainkan terpaksa melarikan diri ke Keluharan Urung Jawa, Indonesia untuk berkahwin dengan lelaki pilihannya, Mislan Mintor, 54, yang ketika itu bekerja sebagai buruh ladang kelapa sawit.
Hasil perkongsian hidup selama 33 tahun dengan Mislan, mereka dikurniakan, tiga cahaya mata iaitu, Wiwik Puwarno 32, Purwahyudi, 29, dan Wiwik Purwahyuni, 24.

Katanya, meskipun terpaksa menetap di Indonesia, namun jauh di sudut hatinya meronta-ronta ingin pulang ke negara ini yang disifatkannya sudah jauh berubah jika dibandingkan keadaannya suatu ketika dahulu.

“Setiap kali hari raya, saya hanya mampu menitiskan air mata kerana terkenangkan wajah emak dan adik beradik lain di kampung,” katanya.

Mohon kad pengenalan baru
Menurutnya, dia kini dalam proses memohon kad pengenalan baru bagi memudahkannya berurusan di negara ini.
Katanya, buat sementara waktu, dia tidak bercadang untuk pulang semula ke Indonesia, meskipun mengakui amat merindui keluarga di kampung.
“Saya teringin menyambut Aidiladha bersama emak dan adik beradik dan berharap agar anak-anak saya dapat menjejakkan kaki ke negara ini untuk bertemu nenek dan ibu saudaranya di sini,” katanya.
Adiknya, Fazilah Mat, 44, berkata, dia dan suami, Abu Bakar Md Ali, 56, tidak pernah jemu berusaha membawa Faridah pulang bertemu dengan ibunya.

“Emak saya berharap agar dapat bertemu dengan Faridah, malah saya sudah berjanji akan berusaha selagi boleh menemukan kedua-dua beranak itu.

"Alhamdulillah, berkat usaha kami akhirnya mereka bertemu jua,” katanya.

Sinar Harian 11 Januari lalu melaporkan seorang warga emas yang terpisah dengan anak perempuannya sejak 34 tahun lalu menerima khabar gembira apabila mengetahui anaknya itu kini berada di Keluharan Urung Jawa, Indonesia.
Bagaimanapun, Leha yang menghidap pelbagai penyakit kronik bimbang impiannya untuk menatap wajah Faridah mungkin tidak kesampaian apabila anaknya itu berdepan kesukaran untuk pulang ke negara ini.
Peristiwa kehilangan Faridah amat dirasai suatu ketika dahulu hingga ada yang menganggap bahawa anaknya itu kemungkinan besar sudah meninggal dunia sejak keluar dari rumahnya di Kampung Setajam.

Thursday, September 27, 2012

Rayu bantu bawa pulang anak dari Lampung



Mohd. Noor ditemani Aishah Baharom menunjukan gambar Hamidah Mohd. Noor ketika ditemui di Taman Wira, Mergong, Alor Setar, semalam.
ALOR SETAR 26 Sept. - Sepasang suami isteri yang tinggal di Taman Wira, Mergong di sini meminta bantuan kerajaan membantu membawa pulang anak perempuan mereka yang kini berada di Lampung, Indonesia.
Aishah Baharom, 67, berkata, anaknya Hamidah Mohd. Noor, 46, dipercayai telah berkahwin dengan seorang lelaki warganegara Indonesia yang hanya dikenali sebagai Taufik dan tidak pernah pulang ke negara ini sejak 11 tahun lalu.
Katanya, Hamidah yang merupakan anak keempat daripada enam beradik kini tinggal di Kampung Adi Mulyo, Lampung, Indonesia dan hanya mula menelefon keluarga setelah melahirkan seorang anak perempuan yang kini berusia lapan tahun.

Wednesday, September 26, 2012

Bapa sakit saraf rayu bantu bawa pulang anak dari Lampung

Aishah Baharom
Mohd Noor dan Aishah menunjukkan gambar Hamidah.

ALOR SETAR- “Saya sebak apabila mendengar tangisannya setiap kali dia menghubungi saya dan meminta mencari jalan untuk membantunya pulang ke tanah air,” demikian luahan Aishah Baharom, 67, yang menanti kepulangan anaknya.
Aishah buntu memikirkan cara untuk membawa pulang anaknya Hamidah Mohd Noor, 46, yang dipercayai mengikut teman lelakinya yang dikenali sebagai Taufik ke Indonesia sewaktu  bekerja di kilang di Pulau Pinang.
Aishah berkata, berdasarkan kiriman pesanan ringkas (SMS) yang dihantar anak keempat dari enam beradik itu, dia kini tinggal di Kampung Adi Mulyo, Lampung, Indonesia setelah pergi ke sana sejak 11 tahun lalu.
Menurutnya, Hamidah sering bertanyakan khabar dan menghubungi dia dan suami, Mohd Noor Shaari, 75, yang kini mengalami penyakit saraf.
“Setiap kali dia (Hamidah) menghubungi saya, dia pasti akan menangis merayu kepada saya untuk mencari jalan supaya dia dapat pulang ke pangkuan keluarga selain dia amat merindui kami.
“Dia juga ada memaklumkan mahu pulang untuk melihat bapanya yang tidak sihat namun katanya tidak mendapat keizinan daripada suami,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Wira, Mergong.
Aishah mendapat tahu Hamidah berada di Indonesia setelah menerima surat daripada anaknya yang memaklumkan dia berkahwin dan mempunyai seorang anak yang kini berusia lapan tahun.
Menurutnya, Hamidah ada memaklumkan yang dia sendiri tidak tahu bagaimana mengikut Taufik ke Indonesia dan hanya tersedar berada di sana setelah melahirkan anak tunggalnya.
Sebelum bekerja di Pulau Pinang, Hamidah pernah berkahwin selama lapan tahun namun, bercerai.
Menurutnya, ketika Hamidah bekerja di Pulau Pinang, dia langsung tidak pernah meluahkan hasratnya untuk berkahwin dengan Taufik atau mahu ke Indonesia walaupun pernah membawa Taufik ke rumah.
“Hamidah anak yang mendengar kata, saya juga terkejut bagaimana dia boleh mengikut lelaki pergi ke Indonesia.
“Saya amat berharap anak saya dapat pulang ke Malaysia kerana setiap hari saya membayangkan keadaannya di sana, apatah lagi setelah dimaklumkan mengenai kehidupannya sekarang yang serba kekurangan,” katanya.
Bapa Hamidah, Mohd Noor yang terlalu merindui anaknya tidak putus-putus memanjatkan doa supaya  ada pihak yang dapat membantu membawa Hamidah pulang.
Dia yang tidak mampu untuk berjalan terlalu lama, setiap hari akan menunggu panggilan daripada Hamidah untuk melepaskan rindu.
“Saya rindu sangat dengan anak saya dan merayu supaya ada pihak yang dapat membantu kami membawa pulang Hamidah agar kami dapat bertemu dan berkumpul seperti dahulu,” katanya.

Tuesday, September 25, 2012

Anak hilang kirim surat, penantian enam tahun terjawab



SITI ZUBAIDAH ZAKARAYA
25 September 2012
Anak hilang kirim surat, penantian enam tahun terjawab
Gambar terbaru Munirah dan anak lelaki yang dikatakan berusia tiga bulan turut dikirim kepada keluarga.
Anak hilang kirim surat, penantian enam tahun terjawab
Abdul Hamid menunjukkan surat yang diterima dari Pulau Adonara, Flores Timur, Indonesia kepada Tajul (kanan) yang berkunjung ke rumahnya kelmarin.
SUNGAI PETANI - “Alhamdulillah penantian kami selama enam tahun akhirnya terjawab apabila Munirah mengirimkan sepucuk surat menjelaskan kedudukannya kini berada di Indonesia dalam keadaan selamat,” demikian luahan Abdul Hamid Mat, 50, dari Kampung Nelayan Tanjung Dawai.

Munirah anak ketiga dari lima beradik yang dipercayai hilang sejak enam tahun lalu dipercayai terikut pengaruh teman lelakinya.
Abdul Hamid berkata, sepanjang tempoh itu keluarganya tidak henti-henti mendoakan agar anaknya, Munirah dipanjangkan umur dan sentiasa berharap dapat berjumpanya suatu hari nanti walaupun tiada sebarang berita selepas menghantar satu khidmat pesanan ringkas pada 2007 mengatakan dia berada di Batam, Indonesia.

Bagaimanapun, surat yang diterimanya bertarikh 8 Ogos lalu dengan setem Indonesia tiga hari lalu menjawab persoalannya selama ini.

“Kami bersyukur dan percaya kandungan isi surat ditulis oleh anak yang paling dirindu keluarga.
“Dalam surat itu ada menjelaskan dia sudah berkahwin dan memiliki seorang bayi lelaki berusia tiga bulan selain meminta maaf dengan tindakan berkenaan. Dia juga ada mengirimkan gambar terbaru dan bayinya.

“Muni juga ada memberitahu bahawa dia memerlukan wang untuk pulang ke Malaysia dan meminta keluarga mengirimkan duit melalui Bank Rakyat Indonesia (BRI), selain memerlukan Mykad yang berada dalam simpanan keluarga dihantar melalui pos ke alamat di Pulau Adonara, Flores Timur, Indonesia.
“Kami ada cuba hubungi nombor telefon yang diberikan namun ia tidak diaktifkan dan akaun nombor yang diminta untuk memasukkan duit pula menggunakan nama individu lain,” katanya.

Abdul Hamid berkata, keluarga bagaimanapun khuatir dengan keadaan itu kerana bimbang sekiranya Munirah dikawal pihak tertentu.
Kisah kehilangan Munirah juga pernah disiarkan Sinar Harian 10 Julai tahun lalu.
Terdahulu, ibunya, Robeah Hamid, 50, berkata, dalam kejadian April 2006, Munirah yang ketika itu berusia 16 tahun dan masih bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Badong, Singkir, keluar dari rumah jam 6.30 pagi.
“Namun, sejak hari itu, dia tidak pernah pulang ke rumah sehinggalah sekarang,” katanya.

Difahamkan, pada hari kejadian, keluarga dimaklumkan pihak sekolah, Munirah langsung tidak masuk ke kelas.

Laporan polis berhubung kejadian dibuat keluarga selepas menyedari kehilangannya.

Keluarga yang bimbang dengan keadaan Munirah merayu mana-mana pihak yang boleh membantu menyelamatkan anak mereka dari terus berada dalam kesusahan.
Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Merbok, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, pihaknya akan berhubung dengan Kelab Putera 1Malaysia yang berpengalaman mengendalikan kes berkenaan.

“Saya akan menghantar surat kepada Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Rahim untuk tindakan selanjutnya yang boleh membantu keluarga ini,” katanya.

Kelab Putera 1Malaysia sering membantu rakyat negara ini yang dilaporkan terkandas di Indonesia dan beberapa negara lain.

Monday, September 24, 2012

Cinta punca ramai gadis lari ruma

Foto
Suriani Abdul Wahab, 21, memeluk ibunya, Siti Zaleko Wahab, sebaik tiba dari Lombok, di LCCT Mei lalu.
Foto
Gambar fail, Salsabila Yunan mendakap bapanya Yunan Mat Ayat 78, setiba dari Lombok, di LCCT Sepang, pada 2010.

Kuala Lumpur: Lari mengikut kekasih dikenal pasti salah satu faktor utama remaja, termasuk gadis sunti yang masih bersekolah rendah lari dari rumah.

Jerat cinta Mengikut statistik polis bagi tempoh 2010 hingga Jun lalu, bahana cinta itu adalah punca kedua tertinggi mereka yang berumur 17 tahun ke bawah lari dari rumah dengan kebanyakan daripada mereka Melayu.
Daripada 1,309 kes lari mengikut kekasih sepanjang tempoh itu, 97.6 peratus atau 1,278 membabitkan gadis berusia sembilan hingga 17 tahun, berbanding 31 lelaki.

Sebahagian besar adalah remaja berumur 13 hingga 17 tahun, kecuali 14 kes yang semuanya membabitkan gadis sunti berusia sembilan hingga 12 tahun.

Gejala itu makin membimbangkan kerana 549 kes direkodkan tahun lalu berbanding 493 kes pada 2010. Setakat Jun tahun ini pula polis sudah menerima 267 laporan.

Bagaimanapun, berdasarkan laporan yang diterima oleh polis, punca utama remaja lari dari rumah ialah terpengaruh dengan kawan.
Sebanyak 74 peratus daripada kes terpengaruh dengan kawan membabitkan perempuan atau 1,061 daripada keseluruhan 1,436 kes.

Dua lagi faktor utama ialah mencari kebebasan di luar rumah dan berselisih faham dengan keluarga, di samping punca lain seperti hilang minat belajar, mencari pekerjaan, kurang mendapat perhatian keluarga dan penagihan dadah.

Selain itu, kegagalan dalam peperiksaan turut menjadi alasan lapan remaja perempuan lari dari rumah pada 2010 dan 2011, namun tiada kes dilaporkan setakat Jun lalu.

Lebih mengejutkan, kanak-kanak berumur lapan tahun ke bawah turut mencatat kes lari dari rumah kerana berselisih faham dengan keluarga yang membabitkan dua perempuan pada 2010 dan dua lelaki pada 2011. Selain itu, masing-masing seorang perempuan dan lelaki berbuat demikian setakat Jun tahun ini.

Turut menjadi punca remaja lelaki dan perempuan lari dari rumah ialah mencari kebebasan di luar rumah.

Friday, May 18, 2012

‘Saya sunyi tanpa isteri di sisi’



Nayan menunjukkan gambar isterinya yang masih dalam simpanannya.
Nayan menunjukkan gambar isterinya yang masih dalam simpanannya.
BALING - Seorang lelaki, Nayan Harun, 60, merayu agar isterinya, Fadilah Samsudin, 34, pulang ke pangkuannya setelah empat bulan menghilangkan diri.

Nayan berharap isteri yang baru dinikahinya selama setahun itu kembali pulang ke pangkuannya kerana dia terlalu mengasihi isterinya itu.

“Kami tidak mempunyai masalah. Namun, pergaduhan itu perkara biasa dalam rumah tangga. Tapi, tidaklah melibatkan sebarang pergaduhan besar.

“Saya tidak sangka dia terus meninggalkan saya tanpa pesanan. Saya cuba mencarinya di merata tempat, termasuk di kampung halamannya, tetapi tidak berjaya,” katanya kepada Sinar Harian di Kampung Bukit Terabak, Kupang, di sini.

Sebelum ini, Nayan berkata, isterinya pernah memfailkan tuntutan cerai, tetapi kes itu ditarik semula atas sebab yang tidak diketahui.

“Sebelum ini memang dia (isteri) ada buat tuntutan cerai, tetapi dia menarik semula kes itu. Saya ingatkan semuanya dah selesai. Tetapi dia terus menghilangkan diri sehingga kini,” katanya.

Menurutnya, Fadilah merupakan isteri kedua yang dinikahinya selepas isteri pertama, Azizah Wahab, 58, yang meninggal dunia akibat barah rahim sejak empat tahun lalu.

Hasil perkongsian hidup dengan isteri pertama, Nayan dikurniakan dua cahaya mata yang kedua-duanya sudah berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri.

“Sekarang, saya tinggal seorang. Kalau Fadilah ada, boleh juga dia jaga makan minum saya. Tidak dinafikan, saya sunyi tanpa isteri di sisi dan dengan kehidupan sebegini.

“Saya berharap dia berterus terang kepada saya kenapa dia menghilangkan diri tanpa sebarang berita. Sekurang-kurangnya saya tahu mengenai statusnya sekarang.

“Sekiranya saya tidak ditakdirkan bersamanya, biarlah dengan cara betul mengikut panduan ditetapkan agama. Bukannya terus meninggalkan saya,” kata Nayan.

Saturday, April 7, 2012

Rayu bawa anak pulang dari Lombok



WARTAWAN SINAR HARIAN
7 April 2012
Rayu bawa anak pulang dari Lombok
MACHANG - Penantian seorang ibu, Pah Zain Fatimah Mohd Noor, 64, untuk berjumpa anak sulungnya, Azhlina Azmi, 23, selepas mengikut teman lelaki ke Lombok, Indonesia, seolah-olah belum berakhir apabila masih lagi tiada tanda-tanda anaknya itu akan dibawa pulang.

Empat tahun yang berlalu, dirasakan satu penyeksaan yang panjang apatah lagi bagi terus menunggu dan menunggu, namun mereka terus berharap agar sinar kegembiraan akan kembali menerangi mereka sekeluarga.

Bagi Pah Zain Fatimah dan keluarga, mereka hanya mampu berharap agar ada pihak yang sudi membantu membawa pulang Azhlina, memandangkan mereka hidup susah dan tidak mampu menanggung kos perbelanjaan bagi mengusahakannya sendiri.

Pah Zain Fatimah berkata, anaknya mahu pulang ke Malaysia secepat mungkin dan menyesal dengan tindakannya apatah lagi kehidupan di sana sangat susah.

“Pelbagai usaha kami lakukan bagi membawa pulang Azhlina namun masih belum berhasil.


Minta wang belanja tinggi

Pah Zain Fatimah berkata, walaupun ada pihak yang menyatakan kesanggupan mereka bagi membantu keluarganya, namun masih belum berjaya.

“Ada orang perseorangan yang sanggup membantu kami namun meminta wang belanja yang tinggi hingga mencecah RM10,000 bagi membantu mereka pulang tetapi kami tidak mampu,” katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Tiu, semalam.

Azhlina dan suami yang dikenali sebagai Salleh Jaafar serta anak mereka, Darwin Darlina, kini tinggal di rumah kongsi di kawasan ladang kelapa sawit milik sebuah syarikat dari Singapura di Desa Kebun Agung Rantau Pulung, Balik Papan, Kalimantan Timur.

Jika sebelum ini, hanya Salleh yang bekerja namun sejak beberapa bulan lalu, Azhlina turut bekerja di kilang kepala sawit itu bagi menambah pendapatan keluarga dan menabung untuk pulang ke Malaysia.


Mahu lihat anak, cucu sebelum mati

Pah Zain berkata, pada usia emasnya, dia selalu berharap dapat bertemu Azhlina dan Darwin Darlina sebelum menutup mata.

Katanya, biarpun Azhlina ada mengirim gambar mereka sekeluarga namun ia tidak sama melihatnya di depan mata.

“Saya merayu kepada sesiapa sahaja, terutama pihak berkuasa dan pihak yang terbabit supaya tolong bawa pulang Lina. Saya bukannya orang senang yang boleh pergi ke sana untuk mengambil mereka pulang.

“Tolonglah kami, saya dan suami, Azmi Sulaiman, 52, sudah kering air mata mengenangkan nasib anak di sana yang entah cukup makan atau tidak,” katanya.

Sementara itu, Azmi ketika ditemui, sekali lagi merayu kepada pihak berkuasa supaya membantu anaknya pulang semula ke pangkuan keluarga.

“Pelbagai pihak saya merayu dan meminta pertolongan bagi membawa pulang anak saya namun masih belum menerima jawapan yang positif. Apabila melihat anak orang lain dibawa pulang dari Lombok, hati saya kembali berbunga dan berharap suatu hari nanti akan tiba giliran anak saya pula,” katanya.

Adiknya, Azura, 22, berkata, dia sangat berharap dapat berjumpa kakak dan anak saudaranya semula selepas terpisah hampir empat tahun lalu.

Katanya, walaupun ia berlaku akibat tindakan kakaknya mengikut kekasihnya yang sekarang ini bergelar suami, namun mereka tetap memaafkan Azhlina dan berharap akan bersatu semula dalam masa terdekat.

Sementara itu, kesusahan keluarga itu turut mendapat perhatian Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Machang yang berkunjung dan menyampaikan sumbangan kepada mereka.

Friday, September 2, 2011

14 banduan Iraq larikan diri ikut terowong penjara

MOSUL: Seramai 14 banduan yang disabitkan dengan kesalahan keganasan melarikan diri dari penjara melalui sebuah terowong di bandar raya ini, di utara Iraq, semalam, kata pegawai keselamatan.
“Kira-kira 35 banduan cuba melarikan diri dari penjara al-Faisaliyah di tengah Mosul,” kata polis wilayah Nineveh, Kolonel Mohammed al-Juburi. Katanya, petugas keselamatan dapat menahan 21 banduan, tetapi 14 lagi dapat meloloskan diri.

Menurutnya, semua 35 banduan itu disabitkan dengan kesalahan keganasan, sambil menambah perintah berkurung sudah dikuatkuasakan di Mosul pada jam 8 pagi semalam ekoran kejadian itu. Jurucakap polis Nineveh, Kolonel Rahim al-Shammari, berkata banduan dapat melarikan diri melalui terowong di bawah penjara itu yang berukuran 50 meter panjang.

Sebelum itu, Mohammed berkata, tiada pertempuran di antara banduan dan polis berlaku ketika insiden itu. Namun, pegawai prubatan Hospital City, Dr Mohammed Salem, berkata hospital itu menerima dua banduan yang cedera akibat terkena peluru di kaki mereka. - AFP, hmetro

Monday, August 29, 2011

Kerinduan ibu terubat

KULIM: Kerinduan seorang ibu terhadap anak perempuannya yang menghilangkan diri kerana mengikut teman lelakinya pulang ke Nepal terubat apabila wanita berkenaan menghubungi keluarga untuk bertanya khabar, semalam.
Noorshaheera Mohd Rasul, 21, menghubungi ibunya, Siti Fatimah Yassin, 45, di rumah mereka di Taman Kenangan, Sungai Karangan, di sini, kira-kira jam 1 tengah hari dan mereka sempat berbual selama 30 minit.

Siti Fatimah berkata, dia terkejut apabila menerima panggilan daripada anaknya tetapi pada masa sama gembira dapat mendengar suara anaknya yang menghilangkan diri sejak seminggu lalu.

Menurutnya, anaknya memaklumkan dirinya sihat dan berada di sebuah rumah di India selain meminta keluarga tidak bimbang dengan keselamatannya.

“Dia (Noorshaheera) menelefon dua kali tetapi panggilan pertama terputus. Dia memberitahu teringatkan saya menyebabkannya menelefon bagi mengubat rindu tetapi terkejut apabila dimaklumkan sudah berkahwin dengan lelaki Nepal berkenaan.

“Malah, dia turut memaklumkan akan menghantar satu borang kepada bapanya untuk ditandatangani tetapi saya cuba memujuknya pulang tanpa perlu menghantar borang itu berikutan Aidilfitri akan tiba.


“Namun, dia hanya mendiamkan diri dan cuma memberitahu akan pulang ke Malaysia nanti, namun bukan dalam masa terdekat ini,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Harian Metro Sabtu lalu melaporkan Noorshaheera keluar rumah dengan alasan mahu bertemu rakannya tetapi tidak pulang hingga menimbulkan kebimbangan ahli keluarganya.

Wanita berkenaan akhirnya dikesan apabila dipercayai mengikut kekasihnya, lelaki warga Nepal berusia 20-an yang dikenali sejak setahun lalu ketika bekerja di sebuah kilang di Sungai Karangan.

Berdasarkan maklumat, wanita berkenaan dan lelaki Nepal itu menaiki penerbangan dari Pulau Pinang sebelum transit di Bangkok dan menuju ke Kathmandu pada 23 Ogos lalu.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Padang Serai, Asmaidi Abu Talib berkata, pihaknya dimaklumkan Kedutaan Nepal di Kuala Lumpur bersedia membantu keluarga wanita yang melarikan diri dengan kekasihnya, Imatyaj Khan Paithan berasal dari Nepal.

Bagaimanapun, menurutnya, Duta Nepal, Dr Rishi Raj Adhikari meminta keluarga terbabit membuat laporan rasmi kepada kedutaan berkenaan dan urusan itu kini dilakukan Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno Malaysia.hmetro

Friday, August 5, 2011

‘Usah sentuh saya’


SAAT BAHAGIA...Mazlan dan isterinya ketika perkahwinan mereka.
SAAT BAHAGIA...Mazlan dan isterinya ketika perkahwinan mereka


KUALA LUMPUR: “Kita akan begini selamanya...tidur berasingan dan saya tak benarkan awak sentuh saya sampai bila-bila!” Demikian tegas seorang isteri yang membuat ‘kejutan malam pertama’ kepada pengantin baru, Mazlan Mustaffa sejurus melangsungkan pernikahan, awal Jun lalu.
Berikutan itu, Mazlan, 26, berkata perkahwinannya hanya bertahan dua minggu apabila isteri pulang ke rumah mentuanya dan tidak pulang ke pangkuannya sehingga hari ini.
“Saya anggap ia dugaan Tuhan di bulan Ramadan dan akan menempuhinya dengan sabar. Bagaimanapun, saya akan failkan tuntutan ganti rugi dan saman malu terhadap isteri sebanyak RM30,000 kerana berasa dianiayai,” katanya.

Mengimbas kisah perkahwinannya, Mazlan yang berniaga pasar awam Padang Matsirat, Pulau Langkawi, Kedah, berkata perkenalan dengan isterinya diatur seorang kenalan ibunya Disember tahun lalu dan ia berterusan ke jenjang pelamin selepas direstui keluarga kedua-dua pihak.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Wednesday, June 22, 2011

18,716 amah lari


DEWAN Rakyat semalam diberitahu 18,716 pembantu rumah asing melarikan diri daripada majikan mereka dengan 17,205 atau 92.3 peratus dari Indonesia.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Senator Datuk Maznah Mazlan, berkata sehingga Disember tahun lalu, seramai 247,069 pembantu rumah yang memasuki negara ini atau 76.7 peratus adalah dari Indonesia.

“Bagi menangani masalah pembantu rumah asing melarikan diri daripada majikan, khususnya pembantu rumah Indonesia, kerajaan mengambil beberapa langkah antaranya mewujudkan jawatankuasa kerja bersama apabila kita mengadakan beberapa siri perbincangan dan mesyuarat teknikal dengan kerajaan Indonesia bermula 2009 hingga Mei lalu.

“Hasil perbincangan itu, kedua-dua negara bersetuju menandatangani satu protokol pindaan terhadap memorandum persefahaman di antara kedua-dua negara pada 30 Mei lalu di Bandung, Indonesia,” katanya di Sidang Dewan Rakyat di sini, semalam.

Protokol itu bertujuan menyelesaikan pelbagai isu berkaitan penggajian pembantu rumah termasuk pembantu rumah lari daripada majikan antara kedua-dua negara serta memberikan perlindungan sewajarnya kepada majikan di negara ini.


Selain itu, majikan berhak mendapat penggantian pembantu rumah sekiranya mereka melarikan diri dalam tempoh enam bulan berkhidmat.

Maznah berkata, sistem bio metrik yang diperkenalkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 1 Jun lalu dapat membantu pihak berkuasa mengesan pembantu rumah asing yang cuba mendapat kerja lain.

Beliau berkata, selain itu, mulai Mac tahun lalu, kementeriannya melalui Jabatan Tenaga Kerja melaksanakan seminar dan dialog pembantu rumah asing yang dihadiri majikan serta syarikat membekalkan pekerja berkenaan.

“Sehingga kini, 89 seminar sudah diadakan membabitkan 1,869 majikan, 1,650 pembantu rumah dan 365 agensi pekerja asing untuk memaklumkan hak serta tanggungjawab ketiga-tiga pihak terbabit,” katanya. Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga sudah mewujudkan sistem biometrik bagi mengesan pembantu rumah yang melarikan diri.

“Garis panduan penggajian pembantu rumah dan talian Nur diwujudkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi menerima laporan sama ada secara terus daripada pembantu rumah atau majikan yang ingin membuat laporan,” katanya.

myMetro | 18,716 amah lari

Saturday, May 28, 2011

'Bawa anak saya pulang'

MARYAM bersama suami, merayu bantuan membawa anak mereka pulang.
MARYAM bersama suami, merayu bantuan membawa anak mereka pulang.
Ibu sedih janda beranak tiga hidup terseksa di Lombok

KUALA NERANG: Seorang ibu merayu bantuan orang ramai bagi membawa pulang anak perempuannya yang didakwanya hidup terseksa akibat didera dan hanya makan ubi kayu rebus di Lombok, Indonesia, selepas mengikut teman lelakinya, kira-kira dua tahun lalu.
Maryam Kasim, 49, dari Kampung Kuala Pai di sini, sering menangis setiap kali terkenangkan nasib anaknya yang juga janda beranak tiga, Zarina Abu Bakar, 30.
Malah, Maryam mendakwa anaknya menjadi mangsa janji kosong apabila hasrat berkahwin dengan lelaki dikenali Helmi, 30, tidak kesampaian selepas Zarina melahirkan anak hasil hubungan sulit itu.

“Saya sedih apabila dia menelefon dan memberitahu hanya makan ubi kayu rebus dicicah dengan air asam setiap hari.

“Zarina ke Lombok awal September 2009 mengikut teman lelakinya kerana dia berjanji akan mengahwini anak saya sebaik sampai di sana nanti. Zarina ada tiga anak berusia 6 hingga 10 tahun.

“Dia kata dia jatuh cinta dengan lelaki itu yang dikenalinya tidak sampai sebulan di Negeri Sembilan. Pujuk rayu lelaki itu menyebabkan Zarina mengikutnya ke kampungnya di Desa Jeruk Mani, Dusun Jawa Guar, Kacamatan Sipur,” katanya ketika ditemui, semalam.
Maryam berkata, selepas bercerai, Zarina ke Negeri Sembilan pada September 2009 untuk mencari kerja dan berkenalan dengan lelaki itu yang bekerja di FELDA di Bahau sebelum mengikutinya ke Lombok sebulan kemudian atas alasan untuk berkahwin.

Bagaimanapun, kata Maryam, impian Zarina bersuamikan lelaki itu berkecai apabila kekasihnya membatalkan hasrat mengahwininya selepas Zarina melahirkan seorang bayi perempuan hasil hubungan sulit mereka.

“Bayi itu kini berusia lima bulan dan dipelihara keluarga lelaki itu dengan baik. Setiap kali dia memberitahu makan ubi kayu yang dicicah dengan air asam, air mata saya bercucuran kerana pilu mengenang nasibnya di tempat orang.

“Kami bukan orang senang tetapi masih makan nasi setiap hari, selain itu Zarina juga mendakwa dia dipukul.

“Saya sangat berharap kepada mana-mana pihak dapat membantu membawa balik Zarina ke negara ini,” katanya.Berita Harian Online | 'Bawa anak saya pulang'

Monday, May 2, 2011

Wanita pulang dari Lombok


KUALA TERENGGANU: Seorang wanita Terengganu yang ditinggalkan oleh suaminya di Lombok, Indonesia, semasa mengandung dua bulan, akhirnya pulang ke kampungnya di sini, semalam.
Harlizan Ibrahim, 36, yang mengikut pemuda Indonesia ke Lombok lebih dua tahun lalu, tiba bersama anak bongsunya Zulfaqar Abdullah Asbi, 13 bulan, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 5 pagi semalam.

"Saya sungguh bersyukur kerana dapat pulang setelah dua tahun empat bulan meninggalkan kampung halaman. Setelah tiga bulan saya ke sana, ayah meninggal dunia...ini menguatkan lagi keinginan saya untuk pulang menemui ibu saya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Turut menemani Harlizan ialah kakaknya Hartini, 40 dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu Badrol Hisham Zaki.

Harlizan berkata pemergiannya ke Lombok bermula satelah mengikut pemuda Indonesia itu yang berjanji akan mengahwininya di sana.

Sebelum itu, beliau telah berumah tangga dengan dikurniakan tiga orang anak lelaki berumur antara enam dan 17 tahun namun telah bercerai dengan suaminya. Semua anaknya tinggal bersama bekas suami itu. - Bernama

Sunday, May 1, 2011

Pulang selepas 13 tahun diLombok


LANGKAWI: Seorang anak yang mengikut seorang lelaki ke Lombok, Indonesia sejak 13 tahun lalu pulang ke rumah ibunya di sini malam tadi.
Nooriah Abdullah, 30, tiba dari Surabaya di Lapangan Terbang Antarabangsa Padang Mat Sirat pada jam 11 malam.

Kepulangannya disambut oleh ibunya, Dayah Sibun, 64, anggota keluarga serta Ahli Dewan Undangan Negeri Kuah, Datuk Nawawi Ahmad dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Langkawi, Nur Saidi Nanyan.

Nooriah menghilangkan diri selepas memberitahu ibunya bahawa dia mahu menghadiri majlis kenduri di Padang Mat Sirat tetapi mengikut seorang jejaka Indonesia yang membawanya ke Lombok. Dia berkata, dia sudah berkahwin dengan lelaki itu dan mereka kini mempunyai dua orang anak berumur 12 dan 5 tahun. Bagaimanapun suami dan anaknya tidak mengikutnya pulang. Katanya, dia gembira dapat kembali ke tanah air tetapi masih memikirkan mengenai anak dan suaminya yang berada di Mataram. Dayah mengucapkan syukur dan berterima kasih kepada semua pihak terutama Pemuda UMNO Langkawi yang berusaha membawa anaknya pulang.

Friday, March 4, 2011

Puluhan ribu pelarian yang takut dan lapar banjiri sempadan



LARI DARIPADA KEKACAUAN: Warga Mesir yang melarikan diri daripada kekacauan di Libya sedang beratur untuk menaiki kapal tentera laut Mesir di Zarzis, yang terletak di bahagian timur Tunisia. Kapal tersebut akan membawa mereka pulang ke tanah air. -- Foto REUTERS

GENEVA: Sempadan-sempadan di Libya telah dibanjiri puluhan ribu pelarian yang kelaparan dan ketakutan.
Mesir dan beberapa negara Eropah telah mengambil langkah membawa keluar pelarian melalui pengangkutan udara selain menghantar kapal-kapal bagi menangani penghijrahan raksasa yang kelam-kabut itu.Jurucakap agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Cik Melissa Fleming, memberitahu AP bahawa lebih 180,000 pelarian telah tiba di sempadan Libya.Lebih 77,300 orang telah menyeberang dari Libya ke Mesir di bahagian timur, kebanyakan mereka warga Mesir, sedang jumlah yang sama pula telah menyeberang ke Tunisia di bahagian barat, kata beliau.Lagi 30,000 masih di Libya, menanti untuk ke Tunisia.Cik Fleming berkata pasukan Encik Muammar Gaddafi kelihatan menjadikan warga Mesir dan Tunisia sasaran mereka kerana mungkin menganggap warga kedua-dua negara itu penyebab utama pemberontakan di Libya.Beberapa pekerja Somalia dan Habsyah di sekitar Benghazi, bandar kedua terbesar Libya yang dikuasai pembangkang, kini terasa 'dalam buruan' kerana disangkakan askar upahan Encik Gaddafi, tambah beliau.Oleh kerana kebanyakan pelarian itu lelaki muda, pakar PBB memberi amaran mereka perlu segera dibantu bagi mengelakkan rusuhan.Cik Angelina Jolie, seorang pelakon yang juga duta muhibah PBB bagi pelarian, kelmarin menyeru semua negara agar memberikan para pelarian itu perjalanan selamat dan memastikan mereka diberi suaka.Duta Amerika Syarikat di Geneva, Cik Betty King, berkata Amerika akan memberikan AS$12 juta ($15.3 juta) bagi membantu memindahkan para pelarian itu.Penyelaras bantuan darurat PBB, Cik Valerie Amos, mengumumkan di New York bahawa beliau telah memperuntukkan AS$5 juta daripada dana tindakan kecemasan PBB.Perdana Menteri David Cameron bagi Britain berkata negaranya telah memulakan satu pengangkatan udara kelmarin bagi membawa pulang warga Mesir yang terkandas.Tentera Mesir juga telah menghantar dua kapal ke Tunisia bagi membantu warga mereka di sana.Perdana Menteri Sepanyol, Encik Jose Luis Zapatero, yang melawat Tunisia kelmarin, berkata negaranya telah menghantar 30 tan bantuan.Muktamar Islam (OIC), yang merangkumi 57 negara Islam, berkata ia akan menyediakan dua hospital lapangan dan ambulans.Ia juga akan menyediakan tempat perlindungan bagi 10,000 orang selain makanan.Pengarah Program Makanan Sedunia PBB, Cik Josette Sheeran, yang baru melawat sempadan Libya dengan Tunisia, berkata:'Jelas bagi saya, apabila melihat lautan manusia menyeberangi sempadan pada kadar 2,000 orang sejam, ia menunjukkan bahawa dunia mesti segera bertindak bagi menghalang bencana kemanusiaan.' - AP.Cyberita Online Luar Negara

Monday, January 17, 2011

Leila tak ikut suami, kini berada di Dubai





2011/01/17

Leila Ben Ali
Leila Ben Ali
TUNIS: Bekas wanita pertama Tunisia, Leila Ben Ali yang secara meluas banyak disamakan dengan Imelda Marcos dari Filipina, tidak bersama melarikan diri dengan suaminya Zein El Abidine Ben Ali ke Arab Saudi, sebaliknya dikatakan berada di Dubai, destinasi beli-belah sering dikunjunginya. 

Akhbar Britain The Telegraph melaporkan semalam, Leila yang berusia 20 tahun lebih muda daripada suaminya yang berusia 74 tahun dan dikenali sebagai kuasa di sebalik takhta, dikatakan melarikan diri lebih dulu ke Dubai.
Kerajaan Arab Saudi kelmarin mengesahkan presiden Tunisia yang digulingkan oleh revolusi rakyat itu kini berada di negara berkenaan.
Sementara itu, akhbar Britain itu juga melaporkan rakyat Tunisia yang selama sebulan mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran sehingga menyaksikan Ben Ali melarikan diri, turut gembira melihat Leila meninggalkan negara itu. 

Bekas pendandan rambut itu yang berasal dari keluarga sederhana, dituduh menggunakan perkahwinannya dengan Ben Ali untuk mengubah nasib keluarganya Trabelsis untuk menjadi antara keluarga terkaya di Tunisia. 

“Semua kuasa dan kekayaan Presiden Ben Ali jatuh kepada keluarganya, terutama isterinya,” kata seorang penganalisis politik Arab, Saad Djebbar. 

“Ben Ali terlalu bongkak dan ini menyisihkan penyokongnya sendiri.” 
Leila menonjolkan dirinya sebagai antara ahli politik wanita Arab paling progresif dan banyak mengetuai yayasan amal dan memperjuangkan hak wanita. 

Namun di sebaliknya, penonjolan awam itu bekas wanita pertama itu mengejar agenda yang dikatakan menyamai tindak-tanduk Imelda Marcos. – Agensi

Sunday, November 7, 2010

Lelaki asing ghairah bawa lari gadis tempatan


Oleh Mohd Azis Ngah dan Alzahrin Alias 
bminggu@bharian.com.my 
2010/11/07

pix_gal0
Kes gadis bawah umur hilang semakin membimbangkan 

KUALA LUMPUR: Kes warga asing melarikan gadis tempatan ke negara asal mereka semakin membimbangkan dengan purata dua hingga tiga kes sebulan sepanjang tahun ini dengan kebanyakan kes membabitkan gadis bawah umur.Walaupun kes seperti itu kini agak kurang didedahkan hingga dianggap ‘sejuk’ terutama selepas kes membabitkan lelaki Lombok, Indonesia, namun senario sebenar membuktikan keghairahan membawa pulang anak gadis tempatan tidak pernah pudar.
Jumlah itu hanya berdasarkan laporan diterima polis dan dirujuk kepada Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno Malaysia. Jika dikira kes tidak dilaporkan, jumlahnya barangkali lebih besar termasuk kes membabitkan wanita dewasa. 

Gadis yang hilang atau melarikan diri itu berusia seawal 14 hingga 24 tahun termasuk yang masih bersekolah dan dianggap terlalu mentah membuat pilihan. 

Sejak Januari hingga Jun lalu, Biro Aduan Komuniti Pemuda itu sudah memulakan siasatan terhadap 15 kes termasuk beberapa kes yang sudah diselesaikan. 

Pendedahan itu tidak menghairankan kerana berdasarkan laporan Bukit Aman mengenai siasatan kes orang hilang, terdapat 16 kes gadis dan remaja wanita yang dilaporkan hilang dalam tempoh tiga bulan sejak Julai hingga September lalu. 
Kebanyakan mereka berusia 14 hingga 30 tahun dan Biro Aduan Komuniti Pemuda tidak menolak kemungkinan ada antara mereka terbabit dalam gejala yang sama, iaitu mengikut teman lelaki atau dilarikan teman lelaki. 

Ketua Biro Aduan Komuniti, Datuk Mohd Khairun Aseh menyifatkannya sebagai serius dan jelasnya, berdasarkan pengalaman mengendalikan kes, beliau mendapati warga asing cukup berbangga dengan tindakan mereka walaupun menyalahi undang-undang. 

“Biro terima 15 kes melarikan diri bersama kekasih warga asing atau anak gadis bawah umur dilarikan ke negara jiran sejak Januari hingga Jun lalu. Walaupun nisbah kes tidak begitu besar berbanding keseluruhan 300 aduan pelbagai kes, ia berpotensi untuk meningkat. 

“Bagi kes bawah umur, secara automatik ia dikategorikan sebagai melarikan gadis mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 dan kebanyakan mereka diseludup ke sana secara haram. Mereka jadi pendatang haram di sana dan itu kesalahan besar,” katanya. 

Katanya, gadis dewasa akan dibantu dengan memberikan nasihat dan rundingan, tetapi keluarga mereka mesti ada keinginan untuk selesaikan kes kerana ada keluarga yang kecewa hingga berputus asa untuk selamatkan anak mereka. 

Biarpun Lombok masih dilabel kawasan paling tinggi kes melarikan gadis Malaysia, Khairun menjelaskan trend semakin berubah dengan lelaki Indonesia di kawasan lain juga terbabit seperti dari Kalimantan, Surabaya dan Yogyakarta , Indonesia. 

Ketika ini pihaknya memfokuskan kes gadis bawah umur yang disifatkan mudah terpedaya dengan pujuk rayu hingga terlanjur dengan teman lelaki dan ada yang mengandung anak luar nikah. 

Mengikut Akta Kanak-Kanak, mereka berusia bawah 18 tahun akan diberi perlindungan kerana tidak boleh membuat keputusan berdasarkan kemahuan atau pemikiran sendiri. Segala yang berlaku ke atas mereka akan disabitkan seperti gangguan atau serangan seksual. 

“Dalam kebanyakan kes terlanjur, biasanya gadis akan diberi bayangan mereka akan mengikut ‘sang kekasih’ ke negara asal dan tidak akan terabai, kononnya untuk menyelesaikan masalah. Sebenarnya itu menambah masalah kerana tidak menggunakan dokumen sah,” katanya. 

Difahamkan, kos membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di sana selepas melarikan diri ke Indonesia termasuk Lombok dianggar mencecah RM30,000 seorang. 

Thursday, October 21, 2010

Lari tak mahu nikah

PUJUK...Rozaliya ditenangkan Mat Lazim pada sidang akhbar 
di IPD Kuantan, malamtadi.
PUJUK...Rozaliya ditenangkan Mat Lazim pada sidang akhbar di IPD Kuantan, malamtadi.
KUANTAN: “Jika dia (Rozaliya) setuju, perkahwinan mereka akan dibatalkan,” kata Mat Lazim Mat Ismail, 52, bapa kepada Rozaliya, 20, bakal pengantin yang dilaporkan hilang pada 13 Oktober lalu ketika membeli persiapan perkahwinan bersama tunangnya di Pasar Besar Kuantan, di sini.
Menurut Mat Lazim, punca anak perempuannya melarikan diri dipercayai kerana tidak mahu meneruskan perkahwinan dengan tunangnya, Mohd Helmi Mohd Noor, 24, selepas hubungan mereka berdepan masalah kira-kira setahun lalu.

“Anak saya memaklumkan mereka sudah tidak sehaluan dan Mohd Helmi dikatakan mulai berubah sikap.


“Dia memberitahu tunangnya itu bertukar menjadi panas baran, suka mengongkong dan susah diajak ke mana-mana selepas mereka mengikat pertunangan, berbeza ketika mereka masih berkawan dulu,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, malam tadi.

Terdahulu, Rozaliya ditemui kira-kira jam 12.30 tengah hari, semalam di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, selepas dikatakan dua hari bekerja di sebuah kedai serbaneka 24 jam di kawasan berkenaan.

Difahamkan, penyelia kedai berkenaan memaklumkan perkara itu kepada polis selepas wajah dan berita kehilangan gadis terbabit terpampang dalam akhbar sebelum dia dibawa anggota polis ke IPD Kuantan malam tadi untuk diserahkan kepada keluarganya.

Ketika sidang media di IPD Kuantan, Rozaliya turut hadir, tetapi enggan memberikan sebarang ulasan, sebaliknya lebih banyak tunduk dan menutup mukanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan Rozaliya, 20, seorang jurujual di kedai menjual telefon milik bapa saudaranya di Bandar Cheneh Baru, Kemaman, Terengganu dilaporkan hilang sejak 13 Oktober lalu.

Sebelum kejadian itu, dia dikatakan keluar dari rumah keluarganya di Bandar Cheneh Baru dengan berpakaian blaus hitam dan seluar denim gelap bersama tunangnya, kira-kira jam 11 pagi untuk membeli persiapan perkahwinan mereka yang dijadualkan pada 12 November depan.

Selepas membeli-belah di sebuah kedai peralatan pengantin berhampiran Pasar Kuantan di sini, tunang wanita itu bergegas pulang ke pejabatnya di Bandar Cheneh Baru kerana perlu menyelesaikan urusan penting dan berjanji menemui Rozaliya, kira-kira jam 3 petang hari sama.

Bagaimanapun, Mohd Helmi gagal menemui Rozaliya di tempat dijanjikan dan terus mencarinya hingga jam 6 petang sebelum menghubungi keluarga wanita itu.

Kelmarin, akhbar melaporkan ibu Rozaliya, Sabariah Mansor, 42, sebagai berkata dia mengesyaki ada yang tidak kena dalam perhubungan anaknya dan Mohd Helmi.

Wanita itu mendakwa, Rozaliya pernah berhasrat memutuskan pertunangannya.

Semalam, akhbar melaporkan Mohd Helmi tampil di IPD Kuantan untuk menafikan andaian dia terbabit dalam kehilangan tunangnya itu.

Bapa Mohd Helmi, Mohd Noor Juah, 53, turut menafikan anaknya membawa lari dan menyembunyikan Rozaliya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berharap kedua-dua pihak mencari penyelesaian terbaik menyelesaikan masalah itu.

“Siasatan mendapati kejadian ini bebas unsur jenayah dan lebih kepada masalah peribadi atau keluarga,” katanya sambil memaklumkan polis turut mengambil keterangan Rozaliya selepas ini bagi melengkapkan siasatan berhubung kehilangannya.

Sementara itu, Mohd Helmi ketika ditemui selepas sidang media sama berkata, sebelum ini, dia begitu menyayangi Rozaliya, namun selepas kejadian itu, hatinya sudah tawar.

“Saya maafkan perbuatannya dan biarlah takdir menentukan nasib kami,” katanya.