Monday, June 2, 2014

10 direkrut jadi pengebom berani mati


RAKYAT Malaysia (dua dari kanan) yang pernah menjalani latihan ketenteraan di luar negara untuk menjadi pengebom berani mati.
KUALA LUMPUR 31 Mei - Mengejutkan. Itulah yang boleh dirumuskan apabila sebanyak 10 ahli Jemaah Islamiah (JI) rakyat Malaysia yang pernah menjalani latihan ketenteraan di luar negara seperti Afghanistan dan selatan Filipina direkrut untuk menjadi pengebom berani mati.
Ini bermakna mereka yang telah berbai'ah atau melafazkan 'akujanji' untuk mati syahid dalam perjuangan, bersedia pada bila-bila masa dan di mana sahaja untuk meletupkan diri bersama bom.
Perkara itu didedahkan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti-Pengganas, Cawangan Khas, Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay kepada Utusan Malaysia baru-baru ini yang memberitahu, walaupun jumlah berkenaan bukanlah angka yang besar tetapi ketika ditangkap, mereka dalam persediaan untuk melaksanakan serangan pengeboman gelombang kedua selepas 11 September 2001.
“Siasatan mendapati serangan tersebut disasarkan ke atas kepentingan Singapura iaitu Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands (WTCP) menggunakan bom yang dipasang pada sebuah treler.
“Ketika lima daripadanya ditangkap pada 2001 di Johor, pihak polis turut menemui beberapa tan bahan untuk membuat bom, terdiri daripada baja ammonium nitrat dan bahan api yang boleh menghasilkan letupan jenis ANFO.
“Persediaan yang mereka lakukan untuk melancarkan serangan berkenaan sangat rapi dan kami percaya mereka yang mendapat pendidikan di Sekolah Islam Luqmanul Hakim (SILH) milik JI di Ulu Tiram, Johor, hanya menunggu masa untuk melaksanakannya," katanya.
Kata beliau, hasil soal siasat terhadap kelima-lima suspek, mereka turut mengakui diarah bersiap sedia menyerang sebuah kapal milik tentera Amerika Syarikat (AS) yang dijadualkan akan berlabuh di Pelabuhan Klang dalam program rangka lawatan ke negara ini.
Jelasnya, kelima-lima mereka adalah anak didik yang setia pada arahan pemimpin JI, Nordin Mat Top.
Ayob Khan seterusnya memberitahu, baki lima lagi pengebom berani mati telah direkrut oleh seorang lagi pemimpin JI iaitu Hambali untuk melaksanakan misi memusnahkan bangunan US Bank Tower di California, AS.
“Kumpulan kedua itu yang ditangkap pada 2003 pula dipercayai mempunyai hubungan secara langsung dengan Al-Qaeda dan bentuk serangan yang bakal dilancarkan juga berskala lebih besar.
“Salah seorang daripada mereka ketika itu sudah pun mempunyai kepakaran mengendalikan pesawat dan sedang memantapkan kemahiran membawa pesawat yang lebih besar.
“Pihak berkuasa percaya dia turut dilatih memahirkan diri dengan plot dan prosedur rampasan pesawat," tambahnya.
Kata Ayob Khan, jika pihak berkuasa gagal menghidu kegiatan pengganas di dalam negara dan perancangan mereka itu jika sempat direalisasikan, ia berupaya melumpuhkan sistem pentadbiran dan ekonomi negara yang mengambil masa bertahun-tahun untuk kembali pulih.
Tambahnya, sebanyak lapan pengebom yang telah ditangkap itu ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan dibebaskan manakala dua lagi telah dihantar ke Kem Tahanan Teluk Guantanamo di Cuba.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140601/je_01/10-direkrut-jadi-pengebom-berani-mati#ixzz33UX4bLNY
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Arab Saudi pula uji Cadbury


SEORANG wanita Indonesia membeli coklat di sebuah pasar raya di Jakarta kelmarin, ketika pihak berkuasa negara itu menjalankan ujian ke atas produk Cadbury yang dikhuatiri dicemari DNA babi. - AGENSI
JEDDAH 1 Jun - Jabatan Pemantauan Makanan dan Dadah Arab Saudi (SFDA) melakukan pemeriksaan secara rawak terhadap produk coklat jenama Cadbury di pasaran tempatan susulan kes makanan tersebut dicemari asid deoksiribonukliek (DNA) babi di Malaysia, baru-baru ini.
Arab Saudi menjadi negara kedua selepas Indonesia menjalankan ujian ke atas produk keluaran syarikat Mondelez International itu apabila pemeriksaan berkala yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia mengesahkan kewujudan DNA babi dalam produk Cadbury Dairy Milk Hazelnut dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond.
Portal berita Arab News yang memetik kenyataan Timbalan Pengerusi Eksekutif SFDA, Dr. Salah al-Maiman berkata, produk Cadbury yang dikilangkan di Malaysia tidak memasuki pasaran Arab Saudi kerana coklat yang dijual di pasaran tempatan diimport dari Mesir dan Britain.
Bagaimanapun katanya, SFDA akan mengambil langkah berjaga-jaga jika keputusan analisis oleh pihak makmal menunjukkan produk berkenaan mengandungi DNA babi.
"Saya meminta semua pelanggan melaporkan kepada pihak berkuasa jika mereka membeli atau terjumpa produk Cadbury Dairy Milk Hazelnut yang mempunyai nombor kod 200813M01HI2 dan tarikh luput 13 November 2014.
"Satu lagi produk adalah Cadbury Dairy Milk Roast Almond dengan nombor kod 221013N01RI1 dan tamat tempoh pada 15 Januari 2015," katanya.
Kelmarin, pihak berkuasa Indonesia menguji kandungan produk Cadbury yang dikhuatiri dicemari DNA babi yang dikategorikan sebagai bahan haram mengikut undang-undang Islam.
Keputusan ujian itu bagaimanapun hanya akan diketahui minggu depan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140602/lu_03/Arab-Saudi-pula-uji-Cadbury#ixzz33UTgxzOj
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Junta kerah ribuan askar, polis patahkan protes


ASKAR-ASKAR bersedia untuk beredar selepas mengawal 
sebuah lokasi beli-belah di pusat bandar raya Bangkok semalam.


BANGKOK - Kerajaan junta tentera Thailand mengerahkan beribu-ribu askar dan anggota polis ke pusat kota bandar ini semalam bagi mematahkan sebarang perhimpunan untuk menentang rampasan kuasa tentera yang berlaku pada 22 Mei lalu.
Junta tentera menggulingkan saki baki pentadbiran bekas Perdana Menteri Yingluck Shinawatra selepas berbulan-bulan Thailand berdepan tunjuk perasaan sehingga memaksa beberapa kementerian ditutup dan menjejaskan sektor perniagaan dalam negara.
Yingluck sendiri diarah meletak jawatan dua minggu sebelum rampasan kuasa tersebut selepas sebuah mahkamah mendapati beliau bersalah menyalahgunakan kuasa.
Timbalan ketua polis, Somyot Poompanmoung berkata, seramai 5,700 anggota polis dan askar dikerahkan ke pusat bandar raya ini semalam manakala beberapa pasukan khas turut bersiap sedia untuk mematahkan bantahan di lokasi-lokasi sekitarnya.
Pihak tentera sebelum ini melarang perhimpunan politik melibatkan lima orang atau lebih diadakan manakala beberapa bantahan yang diadakan di sini adalah berskala kecil dan singkat.
Namun, sekumpulan penunjuk perasaan sempat berhimpun di sebuah laluan eskalator di Pusat Seni dan Budaya di sini untuk membantah rampasan kuasa tersebut.
Tidak lama kemudian, beratus-ratus askar tiba di lokasi tersebut yang menyebabkan penunjuk-penunjuk perasaan itu bertempiaran lari meninggalkan lokasi itu.
Terdahulu, sekumpulan penunjuk perasaan yang disertai kira-kira 30 orang berhimpun di dalam pusat beli-belah Terminal 21 di kawasan Asoke manakala sebuah kumpulan serupa berkumpul di Universiti Thammasart di sini.
Kedua-dua tempat itu merupakan antara lokasi yang paling kerap dikunjungi oleh pelancong di sini. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0602&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz33Tz989rC 
Hakcipta terpelihara