Tuesday, March 31, 2015

Parlimen Kanada lulus serangan ke atas IS

TORONTO: Ahli Parlimen Kanada mengundi menyokong rancangan kerajaan untuk menyerang kedudukan kumpulan IS di Syria, langkah yang disifatkan pembangkang sebagai bakal mengheret Kanada ke kancah peperangan yang berlanjutan.
Dewan Rakyat meluluskan pelan dengan undi 142-129.
Keputusan itu sudah dijangkakan kerana parti Konservatif yang memerintah itu memiliki majorit dalam Dewan.
Undian itu juga meluluskan perlanjutan misi enam bulan Kanada untuk selama setahun lagi sehingga Mac tahun depan.
Kanada mempunyai kira-kira 70 anggota pasukan khas di utara Iraq dan enam pesawat perang yang mengambil bahagian dalam serangan yang diketuai Amerika Syarikat ke atas kumpulan IS di Iraq.
Perdana Menteri, Stephen Harper, minggu lalu berkata Kanada perlu menyerang kawasan selamat IS di Syria.
Kaji selidik menunjukkan Harper akan menghadapi kesukaran untuk mengekalkan kuasa pada pilihan raya Oktober depan.
Parti Demokrat Baharu dan Liberal - dua parti pembangkang utama - menyatakan serangan Kanada di Syria hanya akan memperkukuhkan kedudukan Presiden Bashar al-Assad. - Reuters

Beri Saya Peluang Terajui Britain Semula - Cameron


Diterbitkan: Selasa, 31 Mac 2015 12:23 PM
David Cameron.

DAVID Cameron pada Isnin menggesa pengundi untuk terus memberi kepercayaan kepadanya menerajui Britain dalam tempoh lima tahun lagi.

Selepas melawat Ratu Elizabeth di Istana Buckingham sebagai isyarat untuk memulakan kempen pilihan raya umum negara itu, Cameroon dalam ucapannya berkata Britain mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang memerintah.

Ia dilihat sebagai usaha untuk mengetepikan impak parti-parti kecil dalam keputusan pilihan raya di negara itu.

"Perdana Menteri yang akan berjalan melalui pintu itu boleh jadi saya atau Ed Miliband."

Cameron dan Nick Clegg melawat Istana Buckingham untuk bertemu Ratu Elizabeth sebagai isyarat kepada permulaan kempen pilihan raya umum di negara itu.

Beliau meninggalkan pejabatnya kira-kira pukul 11.45 pagi.

Nick Clegg.
Cameron dan Timbalannya meninggalkan pejabat tersebut menggunakan kereta berasingan.

Parlimen Britain dibubarkan pada Isnin dan pilihan raya umum ditetapkan pada 7 Mei ini.

Selepas kembali ke Downing Street, Perdana Menteri memberikan ucapan ringkas dengan mengingatkan pengundi akan berdepan 'pilihan sebenar' berhubung siapa yang akan memasuki pejabat No.10 selepas hari pengundian pada 7 Mei ini.
"Bersama kita membangunkan negara demi anda, keluarga dan masa depan anak-anak anda. Kita terpaksa melalui pilihan raya umum ini semula.
"Lima tahun lalu, apabila saya berjalan melalui pintu hitam itu, jutaan rakyat menganggur, tiada keselamatan ekonomi kepada keluarga kita dan wujud kebimbangan sama ada negara kita boleh membayar bebanan hutangnya.

"Lima tahun kemudian, berbekalkan rancangan ekonomi jangka masa panjang dan keputusan sukar yang diambil, ramai rakyat di negara ini mendapat pekerjaan dalam sejarah, taraf kehidupan meningkat dan ekonomi lebih selamat," katanya.

Bayi Dilahirkan Dengan Belalai Diangkat Sebagai Tuhan


Diterbitkan: Selasa, 31 Mac 2015 9:53 AM

SEORANG bayi perempuan yang baru dilahirkan di India diangkat sebagai tuhan Hindu kerana mempunyai hidung seperti belalai gajah.
Bayi yang belum diberi nama itu dilahirkan di Kampung Aligarh, Uttar Pradesh, India pada Khamis sebelum dipuja oleh penganut agama berkenaan kerana percaya dia merupakan jelmaan tuhan.
Berikutan itu juga kampung tersebut sesak dengan orang ramai yang mahu melihat keadaan bayi berkenaan dan bersembahyang untuk mendapatkan tuah.
Ibu saudara kepada bayi itu yang enggan dikenali berkata, orang ramai bukan sahaja mengunjungi rumah abangnya tetapi turut menawarkan pelbagai  ganjaran kepada bayi terbabit.
"Kakak ipar saya telah melahirkan bayi terbabit pada pukul 7 pagi Khamis dan mukanya seperti tuhan Ganesha.
"Tidak lama selepas itu orang ramai mula mengunjunginya untuk mendapatkan tuah dan berkat," katanya.
Difahamkan, ibu bapa bayi yang mengalami kecacatan pada muka itu bakal menjadi kaya sekiranya terus membenarkan orang ramai mengunjungi anaknya untuk mendapat tuah.

Pembangkang Biadab Berpakaian Hitam Pada Pembukaan Sidang DUN - Zambry


Diterbitkan: Selasa, 31 Mac 2015 7:17 PM
-foto THE STAR/Ronnie Chin

IPOH: Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menyifatkan tindakan semua anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang berpakaian serba hitam pada Istiadat Pembukaan Dewan Undangan Negeri pada Selasa sebagai biadab dan tidak menghormati institusi Diraja.

Zambry turut melahirkan rasa kecewa dengan tindakan Adun pembangkang yang tidak menghormati Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang pada Selasa mencatatkan sejarah keberangkatan pertama baginda ke Dewan Undangan Negeri selaku Sultan Perak ke-35 dengan mengenakan pakaian rasmi Sultan.

Menurut beliau, perbezaan yang wujud antara kerajaan dan pembangkang tidak perlu dipanjangkan sehingga ke tahap memalukan Sultan.

"Hari ini merupakan majlis istiadat pembukaan dewan yang memerlukan mereka ) memakai pakaian seperti sebelum ini, tetapi mengapa hari ini jadi begini, apa pun alasan yang mereka berikan saya tidak terima sama sekali.

"Pembangkang memakai serba hitam melambangkan kematian, kesedihan, kegelapan dan berkabung," katanya kepada pemberita selepas istiadat itu Selasa.

Zambry berkata tindakan biadab Adun pembangkang itu juga menyebabkan Sultan Nazrin menitahkan untuk tidak menghadiri sesi bergambar dan majlis santapan.

Ditanya adakah Sultan Nazrin Shah murka dengan tindakan Adun terbabit, menteri besar berkata: "Saya tidak berhak mengatakan Sultan murka atau tidak tetapi kita tahu tindakan tiada sesi bergambar dan sebagainya, kita boleh baca dan sangat mengejutkan baginda.

"Tuanku amat berharap sesi bergambar diadakan kerana pertama kali baginda dengan penuh bersejarah merasmikan Dewan Undangan Negeri dan dalam titah ucapan, tuanku menyebut hari ini adalah pembukaan dewan yang bersejarah bagi baginda selaku seorang Sultan," katanya.

Beliau berkata kemungkinan Adun pembangkang itu akan memohon maaf kepada Sultan Nazrin Shah atas keterlanjuran mereka tetapi perbuatan memakai pakaian serba hitam telah memperlihatkan sikap sebenar mereka.

"Rakyat akan lihat watak mereka ini... mungkin dia nak elak daripada isu lain, ini strategi mereka, tetapi janganlah sampai perkara yang tidak sewajarnya dipolitikkan turut dipolitikkan," katanya.

Sejumlah 26 Adun pembangkang tiba di perkarangan bangunan Perak Darul Ridzuan pagi tadi, secara berkumpulan dengan berpakaian serba hitam.

Terdahulu, pada sidang akhbar berasingan, Ketua Pembangkang Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata tindakan mereka memakai pakaian serba hitam antaranya sebagai tanda protes dan solidariti terhadap Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini menjalani hukuman penjara.

Tindakan protes itu juga sebagai menunjukkan rasa marah atas kenaikan harga barang kini dan penguatkuasaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) esok, katanya.

Diuji baca al-Quran sebelum jadi Datuk Bandar

Banda Aceh: Dua calon Datuk Bandar Aceh semalam menjalani ujian bacaan al-Quran sebagai syarat untuk dipilih ke jawatan berkenaan yang berlangsung pada 2 April ini.
Ujian itu dilakukan di Dewan Perwakilan Bandar Aceh dan disaksikan semua anggota dewan.
Dua calon yang menjalani ujian itu Zainal Arifin dari Parti Amanat Nasional dan Ibnu Rusdi dari Parti SIRA.
Kedua-dua mereka berebut untuk dipilih menjadi Datuk Bandar untuk penggal 2012 hingga 2017 selepas Datuk Bandar sebelum ini, Illiza Saaduddin Djamal meletak jawatan.
Ketua pemilih datuk bandar, Ramza Harli berkata, ujian bacaan al-Quran syarat utama untuk dipilih ke jawatan berkenaan.
“Ujian ini dinilai pasukan juri dari majlis ulama dan Kementerian Pejabat Agama Bandar Aceh.
“Jika ada calon yang gagal, maka pencalonannya digugurkan,” katanya.
Setiap calon dinilai dari segi kelancaran bacaan dan taj- wid serta perlu memperoleh 50 markah untuk lulus.
“Keputusan pasukan juri diumumkan di dalam dewan perwakilan,” jelasnya.
Selain ujian bacaan al-Quran, kedua-dua calon berkenaan juga perlu menjalani ujian kesihatan.
Mereka kemudiannya perlu membentangkan visi dan misi masing-masing jika dilantik sebagai Datuk Bandar sebelum anggota dewan perwakilan membuat pemilihan dalam satu sidang khas pada 2 April ini.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2015 @ 10:03 AM


CALON Datuk Bandar Aceh menjalani ujian bacaan al-Quran di Dewan Perwakilan Aceh semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/40466#sthash.nEUkAcvQ.dpuf

Ulama gesa bubar Densus 88

Jakarta: Ulama di Indonesia mengkritik tindakan skuad antikeganasan negara itu yang dikenali sebagai Densus 88 menyerbu sebuah sekolah tahfiz dan menyebabkan kanak-kanak yang menghafal al-Quran ketakutan.
“Tindakan Densus 88 ini di luar batas kemanusiaan kerana mengacukan senjata kepada kanak-kanak yang masih muda,” kata pemimpin Majlis Ulama Indonesia, Tengku Zulkarnain
Anggota Densus 88 menyerbu sebuah sekolah tahfiz di Malang kerana mengesyaki pengasas sekolah berkenaan, Helmi Alamudi menyertai militan Negara Islam (IS).
“Apapun alasan, mereka tidak boleh bertindak biadap seperti itu,” katanya,
Menurutnya, pihak berkuasa sepatutnya menggunakan cara yang lebih sesuai dan mengikut prosedur sebelum melakukan serbuan.
“Densus 88 sudah lama terkenal dengan tindakannya seperti anti-Islam dan bermusuh dengan penduduk Islam.
“Sudah sampai masanya Densus 88 dibubarkan,” tegasnya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2015 @ 10:05 AM


GAMBAR menunjukkan anggota Densus 88 menahan seorang suspek IS baru-baru ini.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/40468#sthash.AQ7T2fbW.dpuf

Mandatori dua kru dalam kokpit





CANBERRA – Syarikat penerbangan Australia perlu memastikan dua kru berada di dalam kokpit pesawat pada setiap masa, kata Timbalan Perdana Menteri Warren Truss semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas nahas Penerbangan Germanwings 4U9525.

Dalam nahas tersebut, pembantu juruterbang Andreas Lubitz mengunci dirinya di dalam kokpit dan sengaja menghempas pesawat Airbus A320 yang dikendalikan ke lereng gunung di Banjaran Alps, Perancis.

Ketika kejadian, juruterbang pesawat itu meninggalkan kokpit untuk seketika.

Nahas itu mengorbankan semua 150 penumpang dan kru Penerbangan 4U9525.

“Kerajaan sudah berbincang dengan syarikat-syarikat penerbangan sejak beberapa hari lalu. Kami bersetuju agar dua petugas berada di dalam kokpit pada setiap masa,” kata Truss.

“Dasar baharu ini akan dilaksanakan segera beberapa syarikat penerbangan utama Australia,” tambahnya.

Pada minggu lalu, Agensi Keselamatan Penerbangan Eropah mencadangkan supaya sekurang-kurangnya dua orang berada di dalam kokpit pada setiap masa susulan nahas 4U9525 yang diklasifikasikan sebagai kes bunuh diri dan pembunuhan beramai-ramai.

Banyak syarikat penerbangan di Eropah kini melaksanakan peraturan tersebut yang telah menjadi amalan di Amerika Syarikat.

Di Australia, Truss memberitahu bahawa peraturan baharu itu melibatkan semua pesawat yang membawa 50 atau lebih ramai penumpang. Peraturan tersebut menyatakan seorang kru perlu berada di kokpit jika juruterbang atau pembantu juruterbang mahu meninggalkan dek berkenaan.

“Terdapat banyak juga kes iaitu lebih 24 kejadian dalam tempoh 30 atau 40 tahun lalu yang melibatkan pesawat terhempas kerana juruterbangnya bertindak membunuh diri,” jelas Truss. – AFP



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0331&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3VuqjV5fo
Hakcipta terpelihara