Wednesday, March 25, 2015

DAP beri Hadi kata dua, hudud atau PR?


Abdul Hadi Awang
Hadi Awang
KUALA LUMPUR - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang digesa keluar PR sekiranya masih mahu meneruskan  pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Persendirian berkaitan hudud di sidang Dewan Rakyat.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ketika ditemui media di lobi Dewan Rakyat berkata, Abdul Hadi tidak seharusnya membentang RUU berkaitan hudud atas kapasitinya sebagai pemimpin pakatan pembangkang kerana ia diluar perbincangan pihak Pas dan PR.

"Jika Hadi terus nak bentangkan usul tersebut (hudud), lebih baik dia tinggalkan Pakatan Rakyat, dia tentu berhak sebagai seorang Ahli Parlimen untuk berbuat demikian," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Selain itu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan itu turut mengumumkan pendiriannya untuk memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi.

"Saya kesal dengan tindakan tidak jujur dia (Abdul Hadi).

"Hadi telah mengkhianati serta memungkiri janji yang dibuat kepada PR. Oleh itu dia harus keluar dari Pakatan," tegasnya.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Guan Eng: DAP sudah hilang kepercayaan kepada Hadi ]

'Siapa nak keluar, dialah keluar!'


Nik Abduh Nik Abdul Aziz
Nik Abduh Nik Abdul Aziz
KUALA LUMPUR – ‘Siapa nak keluar Pakatan, dialah (yang patut) keluar!’ demikian reaksi Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang memutuskan hubungan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana hudud.

Nik Abduh berkata, pihaknya tidak akan sesekali keluar dari PR kerana parti tersebut sentiasa berpegang kepada perikatan tersebut.

"Sebelum ini, Pas sudah berkali-kali tegaskan bahawa parti ini tidak akan tinggalkan PR kerana kami cintakan negara dan perikatan ini.

"Kami tak akan keluar. Seperti yang kita nyatakan sebelum ini, Pas tidak akan tinggalkan pakatan," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: DAP beri Hadi kata dua, hudud atau PR?]

Guan Eng hari ini mengeluarkan kenyataan menggesa Abdul Hadi supaya keluar dari PR sekiranya bertegas mahu membentangkan Rang Undang-undang Persendirian berkaitan hudud di Dewan Rakyat.

Guan Eng mendakwa Abdul Hadi mungkir janji terhadap PR dan beliau turut mengumumkan akan memutuskan hubungan dengan Presiden Pas itu.

Nik Abduh berkata, DAP seharusnya tidak menjadikan hudud alasan untuk PR berpecah kerana hudud tidak zalim.

"Saya sudah sebut kepada pimpinan DAP, jangan jadikan hudud sebagai alasan untuk PR berpecah.

"DAP sekarang sedang menipu rakyat negara ini untuk menolak Pas dengan cara yang tidak betul; iaitu dengan menggunakan hudud. Hudud ini seperti yang kita tahu, bersifat tidak zalim. Kalau hudud ini zalim bolehlah kita berpecah," katanya.

DAP putus dengan Pas bukan Presiden sahaja


Suhaizan Kaiat
Suhaizan Kaiat
KUALA LUMPUR - Tindakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang memutuskan hubungan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sama seperti memutuskan hubungan baik yang terjalin dengan Pas selama ini.

Ketua Pemuda Pas Pusat, Suhaizan Kaiat berkata, presiden adalah pimpinan utama parti dan tindakan menggesa Abdul Hadi keluar PR akan melemahkan Pas dalam PR.

"Abdul Hadi adalah Presiden kepada semua ahli Pas. Pemuda Pas adalah sayap utama menjaga kepentingan pemimpin dan ahli Pas.

"Saya sangat kecewa dengan keputusan DAP memutuskan hubungan dengan Presiden kami. Kami Pemuda Pas mahu Pas kuat bersama PR. Bagaimana Pas boleh kuat bersama PR tanpa Presiden kami? Memutuskan hubungan dengan Presiden Pas adalah umpama memutuskan hubungan dengan Pas," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Putus dengan bapa, kawan dengan anak]

Guan Eng hari ini mengumumkan  memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi ekoran kedegilan Abdul Hadi salam meneruskan pembentangan Rang Undang-undang Persendirian berkaitan hudud di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, Suhaizan berkata, beliau lebih selesa memilih langkah optimis dalam mencari penyelesaian kemelut dua parti ini.

"Sebesar mana pun masalah pasti ada penyelesaiannya. Mari kita lihat masa depan Pakatan Rakyat yang cerah. Mari kita mencari titik temu bagi menyelesaikan masalah ini.

"Pemuda Pas sangat optimis bahawa adanya jalan penyelesaian terhadap masalah ini. Berdamailah. Kerana rakyat Malaysia mahu kita semua berdamai," katanya.