Friday, October 15, 2010

Anak tak sekolah jaga ayah: Sapinah


Oleh Betty Subaryati
bhkb@bharian.com.my
2010/10/15

Rebuan terlantar di rumah selepas nahas dua tahun lalu 

PASIR MAS: Seorang pelajar Tingkatan Satu terpaksa meninggalkan persekolahan sejak Mei lalu, kerana terpaksa menjaga bapanya yang terlantar lumpuh akibat kecederaan saraf ketika ibunya keluar bekerja.Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ibrahim 2, Mohd Alif Iskandar Rebuan, terpaksa menemani bapanya, Rebuan Ab Rashid, 45, yang sakit selepas terbabit kemalangan jalan raya dua tahun lalu di rumah mereka dekat Kampung Kubang Badak di sini.Ibunya, Sapinah Ismail, 36, terpaksa keluar bekerja sebagai pembantu kedai makan di bandar ini bagi menyara kehidupan keluarga, termasuk perbelanjaan dua lagi anak pasangan itu berusia 10 tahun yang belajar di Sekolah Kebangsaan Sultan Ibrahim 2, selain anak bongsunya berusia dua tahun. 

"Alif rela tidak ke sekolah kerana saya terpaksa memintanya menjaga bapanya yang lumpuh dan memerlukan penjagaan rapi termasuk menjaga makan minumnya selain ke bilik air. 

"Sebelum itu, adiknya yang masih bersekolah dalam Tahun Empat juga sering bergilir dengan Alif untuk menjaga bapanya, namun dia tidak sampai hati melihat adiknya sering ponteng dan merelakan dirinya tidak bersekolah," katanya ketika ditemui di rumah mereka, semalam. 

Sapinah berkata, beliau bukan sengaja meminta anak sulungnya itu menjaga bapanya sendiri, namun keadaan suaminya lumpuh itu membuatkan mereka tiada pilihan. 
"Saya kini buntu memikirkan nasib yang terpaksa ditempuh, selain anak keciciran sekolah dan suami pula sakit memerlukan penjagaan rapi, kami terpaksa berdepan masalah ketiadaan tempat tinggal yang sempurna. 

"Rumah usang yang didiami ini adalah milik seorang saudara yang bersimpati, membenarkan kami tinggal di sini kerana tiada rumah lain. Suami saya lumpuh akibat kemalangan jalan raya di Jerantut, Pahang ketika saya sedang mengandung anak ketiga kami, menyebabkan saya terpaksa keluar bekerja untuk mencari rezeki. 

"Ekoran kesempitan hidup, saya tidak mampu menghantar suami menjalani fisioterapi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) kerana masalah kos pengangkutan,” katanya. 

Batu Sapi: Penamaan calon 26 Okt, pengundian 4 Nov




2010/10/15

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Oktober tarikh penamaan calon pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi, Sabah manakala 4 November hari pengundian, serentak dengan DUN Galas, di Kelantan.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sebentar tadi.Kerusi Parlimen Batu Sapi kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Edmund Chong Ket Wah daripada Barisan Nasional (BN) pada Sabtu lalu kerana terbabit dalam kemalangan motosikal berkuasa tinggi.

Dipindah ke Penjara Sungai Buloh



KATHAVARAYAN (depan), Matan (tengah) dan Thilaiyalagan (belakang) ketika dibawa 
ke Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting kelmarin.


KUALA LUMPUR - Selepas 46 hari ditahan reman dalam lokap polis bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga rakannya, peguam N. Pathmanabhan kini ditahan di Penjara Sungai Buloh, Selangor.
Peguam berusia 41 tahun itu dipindahkan ke Penjara Sungai Buloh selepas dia bersama tiga pekerjanya, R. Kathavarayan, 30, R. Matan, 20, dan T. Thilaiyalagan, 19, didakwa atas tuduhan membunuh jutawan kosmetik itu dan tiga lelaki lain di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting, Selangor kelmarin.
Keempat-empat tertuduh tersebut tiba di kompleks penjara itu kira-kira pukul 1 petang kelmarin.
Selain Sosilawati yang menjadi mangsa bunuh, pemandunya, Kamarudin Shansudin, 44, peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, turut menerima nasib yang sama dengan Sosilawati.
Pathmanabhan, graduan undang-undang dari Universiti Bond, Australia, ditahan pada 11 September lalu bersama tujuh yang lain ekoran laporan kehilangan Sosilawati dan tiga rakannya ketika mereka ke Banting bagi melakukan satu urusan perniagaan.
Sebelum didakwa kelmarin, peguam itu bersama tiga pekerja ladang ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan lokap Balai Polis Putrajaya.

A. Aida mahu saman, tuntut nafkah anak daripada Ameng

sumber

KUALA LUMPUR 14 Okt. - Pelakon A. Aida akan memfailkan saman malu terhadap bekas suaminya, Wan Aminuddin Wan Ismail atau Ameng selepas penyanyi itu mengeluarkan kenyataan mendakwa dia membuat konspirasi untuk memalukan lelaki itu seperti disiarkan akhbar Kosmo! hari ini.
Selain dakwaan konspirasi, A. Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 39, berkata, vokalis kumpulan Spring itu turut mendakwa dia sengaja mahu memisahkannya dengan dua anak hasil perkahwinan mereka iaitu Wan Aleesa, 14, dan Wan Natassha, 9.
Malah, penerbit drama televisyen bersiri popular Halimah Jongang itu berkata, dia juga akan membuat tuntutan nafkah anak-anaknya yang didakwa tidak dijelaskan oleh Ameng selepas mereka bercerai pada 2002.
"Melalui peguam Zulkifli B.C. Yong, saya akan memfailkan saman malu dan tuntutan nafkah anak-anak terhadap Ameng dalam waktu terdekat ini. Selepas bercerai dia tidak pernah memberi nafkah untuk anak-anak walau satu sen pun.
"Saya juga mahu menafikan kenyataan akhbar Ameng pada April lalu mengatakan saya tidak membenarkannya berjumpa dengan anak-anak. Dalam hal ini, ia bukan isu anak, sebaliknya ia tentang Ameng yang selalu mengganggu dan mengugut saya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).
"Selepas kenyataannya keluar dalam akhbar semalam saya tiada pilihan lagi. Selama ini saya sudah banyak bersabar terhadapnya dan kini sudah tiba masanya saya tampil membela diri bagi menyatakan kebenaran," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Hadir sama Zulkifli dari syarikat guaman Zulkifli Yong Azmi & Co. yang sedang mengumpul bukti bagi memfailkan saman terhadap Ameng, 41.
Ketika ditanya mengapa baru sekarang menuntut nafkah dua anak perempuannya itu, A. Aida menjelaskan, dia terpaksa berbuat demikian demi kepentingan dan hak anak-anaknya yang telah diabaikan oleh Ameng selama ini.
"Sekarang baru saya rasa terpanggil kerana selama ini saya cuba bersabar kerana saya faham dia (Ameng) pun bukannya hidup senang. Tetapi dalam pada saya bersabar dia terus mengganggu hidup saya.
"Saya fikir itu adalah 'perkara yang dia hendakkan sangat' (supaya dikenakan tindakan) atas tanggungjawab yang diabaikannya selama ini. Ia juga sebagai pengajaran kepada Ameng supaya 'jangan bermain dengan api'. Selama ini saya telah banyak beri peluang kepadanya," ujarnya.

Ibu mahu pembunuh anak dihukum gantung

sumber

BATU PAHAT 14 Okt. - "Ada ubi ada batas, ada budi ada balas, anak kita dibunuh dia itu juga dibunuh."
Itu luahan Yatimi Abdul Rahman , 80, ibu kepada jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya yang disahkan polis, mati dibunuh dengan kejam.
Warga emas itu mahu mereka yang bertanggungjawab membunuh anaknya mendapat pembalasan yang sewajarnya iaitu dikenakan hukuman gantung sampai mati.
Yatimi juga amat kesal dengan tindakan kejam pihak yang sewenang-wenangnya bertindak mencabut nyawa anak kesayangan yang menjadi tonggak dalam keluarganya.
"Anak orang kenapa dimatikan. Apa dia ingat dia Tuhan ke apa," luahnya dalam kekecewaan di rumahnya di Kampung Sri Menanti, Sri Medan di sini hari ini.
Sementara itu, adik Sosilawati, Rosnani, 45, berkata, penduduk kampung akan mengadakan solat kesyukuran sebagai tanda syukur selepas pihak berkuasa mendakwa empat lelaki berhubung kes pembunuhan Sosilawati.
"Kami sentiasa mengadakan solat hajat sebelum ini dan hari ini, kami akan melakukan solat kesyukuran kerana kes pembunuhan itu kini dibawa ke mahkamah," katanya.
Rosnani berkata, keluarganya berharap pendakwaan kes bunuh Sosilawati akan berjalan dengan lancar.
Dalam pada itu, Ketua Kampung Sri Menanti, Omar Salleh berkata, penduduk kampung mengerjakan solat hajat setiap minggu bagi memudahkan pihak berkuasa menemui jutawan kosmetik tersebut, sejak berita kehilangannya disiarkan media.
"Apabila Sosilawati dilaporkan dibunuh, penduduk tetap mengerjakan solat hajat bagi memudahkan siasatan dan berdoa agar mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan," katanya.

Dua lagi pekerja ladang didakwa hari ini

sumber

KUALA LUMPUR 14 Okt. - Dua suspek yang sebelum ini ditahan berhubung beberapa kes pembunuhan termasuk membabitkan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga yang lain akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Telok Datok di Kuala Langat, Selangor untuk didakwa pagi esok.
Peguam mereka, Avtar Singh Dhaliwal ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan memberitahu, kedua-dua suspek akan dibawa ke mahkamah berkenaan kira-kira pukul 9 pagi.
"Mahkamah dijangka akan membaca pertuduhan dan kemudian pihak pendakwa raya dijangka membuat permohonan memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk perbicaraan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, seorang peguam, N. Pathmanabhan didakwa di mahkamah yang sama dengan niat bersama-sama dengan tiga lelaki lain termasuk seorang remaja belasan tahun membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya.
Kesemua mereka juga didakwa membunuh pemandu Sosilawati, Kamarudin Shamsudin, 47; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB, Norhisham Mohammad, 38.
Mengikut pertuduhan, Pathmanabhan dan tiga lagi tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu antara pukul 8.30 hingga 9.45 malam, 30 Ogos lalu di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat.
Avtar Singh berkata, kedua-dua anak guamnya mungkin akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Esok kita semua akan tahu keputusan mahkamah berhubung pendakwaan tersebut," katanya.

Pelajar dengar 10 kali bunyi letupan

sumber

SHAH ALAM 14 Okt. - Seorang pelajar sebuah universiti swasta memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa dia terdengar bunyi letupan seakan-akan mercun lebih 10 kali diselangi siren kereta peronda polis pada malam Aminulrasyid Amzah mati ditembak pada 26 April lalu.
Zafrullah Ahmad Zainal Abidin, 28, berkata, bunyi itu semakin kuat menghampiri rumahnya di No. 7, Jalan Silat Gayung 11/3A di sini dan diakhiri dengan bunyi dentuman seperti objek melanggar dinding.
Menurut saksi pendakwa ke-15 itu, dia bergegas ke tingkap sebaik terdengar dentuman dan ternampak sebuah kereta telah melanggar dinding pagar rumah berhampiran.
"Pada kira-kira pukul 1.30 pagi, ketika berada di tingkat dua dan sedang membuat kerja di komputer, saya terdengar bunyi seperti letupan mercun dari arah belakang.
"Ia berbunyi secara rambang 'tat tat tat tat' selang satu hingga dua saat antara satu sama lain dan semakin lama semakin kuat," katanya menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Dusuki Mokhtar.
Dalam kes ini, Koperal Jenain Subi, 48, daripada Unit Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid, 15, di Jalan Tarian, Seksyen 11 di sini antara pukul 1.10 dan 2 pagi, 26 April lalu.
Dia dibicara mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Menurut Zafrullah, dia bergegas ke halaman rumah untuk melihat dengan lebih dekat sebelum menuju ke tempat kejadian.
Dia hanya menyedari bahawa bunyi yang didengar sebelum itu adalah letupan senjata api apabila melihat kesan tembakan pada kereta yang terlanggar dinding termasuk cermin belakangnya yang pecah.
"Semasa berada di tebing rumah saya, saya nampak seorang lelaki sedang berlari ke arah Jalan 11/2 sambil dikejar oleh beberapa anggota polis yang menjerit 'jangan lari'.
"Apabila sampai di tempat kejadian, saya nampak Iswara Aeroback dengan pintu sebelah pemandu terbuka dan satu mayat dalam keadaan kepala tersembam di tempat duduk pemandu manakala badannya di luar kereta," jelas saksi.
Katanya, dia melihat anggota polis bersama kereta peronda serta beberapa orang awam telah berada di tempat kejadian sebaik sahaja sampai di kawasan itu.
Selepas setengah jam, dia melihat polis mula memasang garisan kuning di sekeliling kawasan kemalangan dan orang ramai yang berada berhampiran diarah berundur.
Zafrullah berada di tempat kejadian sehingga pukul 3.30 pagi dan hanya mengetahui mayat yang dilihat pada malam itu adalah Aminulrasyid, adik kepada rakannya pada keesokkan hari.
Sementara Lans Koperal Shamsul Kamar Ismail pula memberitahu, dia tidak mendengar sebarang bunyi tembakan semasa melihat dua kereta peronda polis mengejar sebuah kereta Proton Iswara pada awal pagi hari kejadian.
Dia yang memandu sebuah lagi kereta peronda bersama Konstabel Mulkeet Singh di Bulatan Kayangan menuju ke arah Hotel Concorde dekat sini hanya mendengar bising daripada siren keretanya pada ketika itu.
Shamsul bagaimanapun mengesahkan dua kereta peronda tersebut memasang siren dan pembesar suara sambil mengejar Proton Iswara yang dipandu secara melulu dengan laju tanpa mematuhi lampu isyarat.
Bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas, Hakim Latifah Mohd. Tahar yang mendengar kes itu akan melawat tempat kejadian serta kawasan berhampiran bersama pasukan pendakwaan dan pihak pembelaan, pada Selasa ini.

Penahanan staf Imigresen pengajaran - Rahman

sumber

KUALA LUMPUR 14 Okt. - Penahanan tujuh kakitangan Jabatan Imigresen di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) suatu pengajaran dan peringatan paling bermakna untuk semua orang.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, tindakan ke atas kakitangannya itu yang didakwa terlibat dalam sindiket penyeludupan warga asing wajar kerana ia melibatkan imej negara.
Katanya, hukuman itu tidak harus dilihat sebagai berat sebaliknya ia dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada berdasarkan bukti kukuh.
"Isu keselamatan dalam negara merupakan fokus utama kerajaan. Penyeludupan manusia adalah satu isu serius yang menjejaskan maruah negara.
"Kita tidak mahu rakyat negara luar kata rakyat kita mudah dibeli dengan wang ringgit. Apa yang berlaku ke atas mereka yang ditahan bawah ISA perlu dijadikan pengajaran untuk semua orang," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Bersama Pelanggan Construction Labour Exchange Centre Berhad (CLAB) Wilayah Tengah di Pusat Konvensyen Sime Darby di sini hari ini.
Abdul Rahman yang akan memegang jawatan Setiausaha Bahagian Imigresen di Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkuat kuasa Jumaat ini mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar semalam, berhubung penahanan sembilan individu termasuk tujuh kakitangan Jabatan Imigresen di bawah ISA.
Penahanan kesemua suspek yang dilakukan dalam operasi besar-besaran selama tiga hari bermula Ahad lalu itu turut melibatkan dua warga asing yang bagaimanapun tidak didedahkan identiti negaranya.
Dalam pada itu, Abdul Rahman berharap bakal Ketua Pengarah Imigresen yang baru akan meneruskan misi dan visi jabatan terbabit melaksanakan dana RM100 juta yang baru-baru ini diluluskan kerajaan, untuk menaik taraf 13 depot tahanan sementara warga asing dengan sebaik mungkin.
"Ia perjuangan yang panjang dan amat malang jika usaha murni itu tidak diteruskan. Gunakan peluang ini sebaik mungkin," katanya.