“YOU BAGI WANG PADA I NANTI I BAGI PROJEK PADA YOU. WANG YANG YOU BAGI TU KITA JADIKAN DANA POLITIK. ITU BUKAN RASUAH, ITU DANA UNTUK POLITIK. MANA ADA PERATURAN LARANG… SETUJU?”
Sebelum saya mengupas lebih lanjut di sini saya nyatakan bahawa maksud ‘suapan’ dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang berkuat kuasa 1 Januari 2009, termasuklah ‘derma’. Rujukhttp://www.sprm.gov.my/images/webuser/files/static_content/act/SPRM_akta_BM.pdf
SABTU lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, memberitahu bahawa semua ahli parti politik di negara ini bebas menerima sumbangan atau bantuan kewangan daripada mana-mana pihak, termasuk dari orang luar negara.
Sambil mengatakan Malaysia tidak seperti sesetengah negara yang mempunyai peraturan khas untuk mengekang ahli politik menerima dana daripada para penyokong, Azalina tidak saja mengakui Barisan Nasional (BN) juga menerima dana politik, malah beliau yakin parti pembangkang juga menerima dana asing.
Kata-kata Azalina ini kelihatannya seolah-olah langkah mula untuk memberitahu rakyat bahawa sejumlah wang yang masuk ke dalam akaun peribadi ketuanya – bukan akaun amanah – adalah ‘halal’, bukan wang rakyat atau wang rasuah.
Keesokkannya, lenggok Azalina disambut pula oleh Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, yang turut berkata bahawa Umno dalam peruntukan perlembagaannya membenarkan Presiden mempunyai akaun amanah bagi pihak parti.
Beliau juga memberitahu bahawa wang di dalam akaun amanah di bawah nama Najib sebagai Presiden Umno, bukannya wang milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atau wang rakyat, malah apa saja derma diambil sejak dahulu hingga sekarang oleh Umno, tidak ada kena-mengena dengan duit rakyat, sebaliknya ia adalah derma daripada penyokong parti.
Panjang lebar Abdul Rahman menyusun strategi bagaimana untuk menangkis serangan terhadap ketuanya, termasuk melampiaskan tuduhan kepada pihak pembangkang yang dikatakan menerima dana daripada agensi negara Barat termasuk daripada penyangak mata wang George Soros dan National Endowment for Democracy.
Namun, Abdul Rahman terlupa bahawa akaun peribadi dan akaun amanah adalah dua akaun yang berbeza. Dan, ini dinyatakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Kata Tun:
“Di waktu saya jadi Presiden UMNO, Ibu Pejabat mempunyai tiga trustees, iaitu pemegang amanah. Saya adalah antara pemegang amanah ini. Pemegang amanah memiliki akaun dalam bank. Semua derma, terutama semasa pilihan raya dimasukkan dalam akaun ini. Dua dari mana-mana tiga pemegang amanah diberi kuasa untuk mengurus akaun Ibu Pejabat dan menandatangani cek apabila mengeluarkan wang.”
Maknanya, akaun itu bukan atas nama peribadi. Tidak tahulah pula saya sama ada Umno telah menukar akaun amanah itu menjadi akaun peribadi.
Klik untuk bantah TPPA
Kini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah pun mengesahkan bahawa wang RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Najib bukan dana 1MDB, tetapi wang hasil derma.
SPRM hanya memberi kenyataan ringkas. Tidak menyatakan secara terperinci pergerakan wang itu sebelum masuk ke akaun peribadi Najib, sebagaimana dilaporkan oleh The Wall Street Journal (WSJ).
Akhbar kewangan antarabangsa itu sebelum ini melaporkan pergerakan wang bermula di SRC International (firma tenaga yang dimiliki Kementerian Kewangan di mana Najib juga adalah Menteri Kewangan).
Dari SRC International bergerak ke Gandingan Mentari (anak syarikat SRC International) dan kemudian ke Ihsan Perdana (syarikat yang mengendalikan projek tanggungjawab sosial bagi pihak 1MDB) sebelum masuk ke akaun Perdana Menteri, yang semuanya berjumlah RM42 juta. Transaksi ini dilaporkan bermula pada Disember 2014 hingga Februari tahun ini.
Dalam satu lagi pergerakan wang yang dilaporkan WSJ, sebuah syarikat di kepulauan British Virgin, Tanore Finance, memindahkan AS$681 juta dalam dua transaksi pada 21 dan 25 Mac 2013 melalui Falcon Private Bank di Singapura, ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.
Perlu diingat bahawa Pilihan Raya Umum Ke-13 diadakan pada 5 Mei 2013 dan dimenangi oleh Barisan Nasional (BN). Walaupun menang tipis, BN kekal berkuasa dan Najib mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.
Perlu juga diketahui bahawa Falcon Private Bank dimiliki oleh Aabar Investments PJS. Aabar pula dimiliki oleh firma Abu Dhabi – International Petroleum Investment Company (IPIC) – yang baru-baru ini ‘mendermakan’ dana AS$1 bilion untuk membantu melunaskan pinjaman 1MDB. Perjanjian ini dibuat secara rahsia tanpa diberitahu apakah imbuhan yang bakal diperoleh oleh IPIC. Namun ada yang memberitahu IPIC akan mendapat habuan dalam bentuk hartanah.
Aliran dan pergerakan wang ini lah yang SPRM tidak jelaskan. Betul atau tidak dari SRC International ke Gandingan Mentari dan ke Ihsan Perdana sebelum ke akaun Perdana Menteri. Mungkin juga di luar bidang kuasa SPRM untuk menjelaskannya. Wallahualam
P/S: Adakah ‘derma’ yang diterima oleh Ketua Eksekutif Kerajaan Malaysia boleh dikategorikan sebagai ‘suapan’ mengikut apa yang dinyatakan dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009?