Monday, January 16, 2012

Tokoh ulama saran contohi MB Kedah



Harakahdaily,16 Jan 2012
SIK, 16 Jan: Tokoh ulama, Tuan Guru Haji Salleh Musa (gambar) menyeru ahli dan pimpinan PAS Kedah agar mencontohi Menteri Besar, Datuk Seri Diraja  Azizan Abdul Razak yang tidak pentingkan diri sendiri, sebaliknya sentiasa mengutamakan keperluan-keperluan rakyat.

“Saya pujilah Ustaz Azizan ni. Semua kita perlu ikut contoh macam Ustaz Azizan, cukup elok. Jangan hendak tamak itu dan ini. Dia tidak pentingkan diri tetapi sentiasa utamakan keperluan rakyat,” ujarnya berucap pada Multaqa Daie dan Aktivis Islam di Kompleks PAS Kawasan Sik, awal bulan ini.

Ujarnya, setiap pendokong PAS perlu mengenang segala nikmat diberikan Allah terutamanya nikmat kemenangan yang diperolehi hari ini.

Jelas beliau, bersyukur dengan nikmat kemenangan adalah memanfaatkannya untuk menuju ke jalan keredaan Allah.
Nasihatnya, ahli PAS perlu mengelak menjadikan kemenangan ini untuk mendapatkan habuan kebendaan dan meminta-minta seperti mana Umno.

“Dasar kita bukan cari benda. Allah jadikan kita untuk takwa, dengan takwa Dia akan berikan rezeki yang kita tidak sangka-sangka. Maka, mesti ikhlas dan ikhlas itulah pintu untuk mencapai matlamat,” terang beliau yang juga Mudir Madrasah ar-Rahmaniah.

Para pimpinan PAS juga tegurnya, perlu mengelak perasaan hasad dengki kerana orang yang memiliki sifat itu tidak layak menjadi pemimpin.

Serunya, ahli PAS mesti kekal teguh berpegang kepada tali Allah dan terus bekerja kerana tidak ada lagi golongan yang dapat diharap untuk menyeru kepada kebaikan melainkan PAS.

Tempelak beliau, Umno tidak boleh diharap untuk menjaga agama kerana agama pada diri pemimpin mereka sendiri dipertikaikan.

Oleh itu katanya, seluruh pendokong PAS perlu mempersiapkan diri dengan agama untuk menghadapi segala cabaran itu.

“Jangan kuat kerja politik sahaja, kena ambil faham sama ilmu-ilmu akidah. Hari ini dah celaru macam-macam. Maka kitalah nak kena  ambil tanggung jawab ni,” ujarnya menyuntik semangat.

Multaqa bertemakan “Menghadapi Cabaran Ummah Dan Persiapan PRU13” itu dihadiri lebih 1,000 aktivis PAS Kedah dan diadakan sebagai kesinambungan Ijtimak Tarbawi PRU13 di Taman Melewar bulan lalu....Harakah cetak.

Najib dicabar isytihar harta macam Exco P Pinang



Mohd Sabri Said,16 Jan 2012
KEPALA BATAS, 16 Jan: Ketua Pengarah Pilihanraya PAS, Dr Hatta Ramli mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengisytiharkan harta peribadi diri dan keluarga serta semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) agar rakyat tahu menilai jurang perbezaan antara rakyat dan pemimpin.
Justeru, beliau memuji langkah yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang baru-baru ini apabila mengisytiharkan harta semua exconya.
"Sepatutnya Kerajaan Pusat malu dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana mendahului tanggungjawab dengan mengisytiharkan harta exco yang bertanggungjawab membuat polisi kerajaan. Bila istihar harta, rakyat akan tahu berapa banyak harta yang ada pada kepimpinan yang sering mengajak rakyat buat itu dan buat ini," jelasnya dalam ceramah anjuran Jabatan Pilihanraya PAS Negeri di Pongsu Seribu, Kepala Batas malam tadi.
Tambah beliau, pengisytiharan harta oleh Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat itu jelas membuktikan keprihatinan kerajaan yang berjiwa rakyat, tidak seperti kerajaan BN yang mengambil wang rakyat untuk kepentingan kroni.
Hasil pengisytiharaan tersebut mendapati Exco Kebajikan, Kesihatan dan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh menjadi Exco paling kaya iaitu memiliki tanah dan rumah di New Zealand bernilai RM1.39 juta,  kereta Alphard bernilai RM169,000 dan beberapa unit saham.
Manakala exco paling tidak berharta ialah Exco Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malek Kassim yang hanya mempunyai sebuah kereta Proton Tiara bernilai RM36,000 dan Honda CRV 2.0  berharga RM130,000 yang baru diberi menggunakan pinjaman kerajaan negeri. 
Beliau tiada mempunyai apa-apa harta pelaburan.
Hatta yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai berkata, keberanian Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng harus dipuji oleh rakyat kerana tidak takut berselindung berbanding dengan kepimpinan Umno dan BN.
Katanya, jika kepimpinan Umno dan BN isytihar harta tentu rakyat akan terkejut kerana walaupun baru sepenggal menjadi  wakil rakyat sudah mempunyai harta berjuta-juta ringgit.
"Pasti rakyat akan terkejut bila lihat senarai harta kepimpinan Umno dan BN. Sebab bukan diri mereka saja yang  kaya tapi suami, anak dan sanak saudara turut berpeluang membolot kekayaan harta rakyat," terangnya. 

NFC: Tekanan kepada Muhyidin semakin kuat



Harakahdaily,16 Jan 2012
KUALA LUMPUR, 16 Jan:Tekanan ke atas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin (gambar) semakin berat ekoran skandal Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) sekarang.

Selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meminta Muhyidin dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani sekarang, Datuk Seri Noh Omar mengkaji bagaimana mahu menyelesaikan isu ini,  Noh pula mengalihkan isu ini kepada Muhyidin.

Ketika yang sama, akhbar Business Times (BT) Singapura juga menyalahkan kementerian yang diterajui Muhyidin sebelum ini sebagai pihak yang bertanggung jawab dalam skandal ini.

Ketika mengumumkan pembekuan aset NFC, Najib berkata, beliau telah meminta Muhyidin dan Noh untuk mencari jalan menyelesaikan isu ini.

Hari ini, ketika ditanya wartawan mengenainya, dua kali Noh berkata, "Yang ini anda tanya TPM."

BT hari ini dalam laporannya berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani
mesti disiasat ekoran skandal National Feedlot Corporation.

"Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mesti disiasat kerana memberikan pinjaman mudah sebanyak RM250 juta kepada NFC," tulis BT dalam ruangan komentarnya.

"Peranan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ini juga harus disiasat," tulisnya.

Tindakan kementerian ini mengeluarkan pinjaman RM250 juta setahun lebih awal dari perjanjian untuk projek ini harus disiasat.

Ketika semua pihak meletakkan semua kesalahan di bahu Datuk Seri Shahrizat Jalil sebelum ini, Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu berkata, bukan Shahrizat sahaja yang bersalah.

"Muhyidin lebih bersalah kerana dia adalah menteri kementerian berkenaan ketika itu," kata beliau kepada Harakahdaily.

Beku aset NFC sia-sia kecuali gaji keluarga Shahrizat dipotong



January 16, 2012
KUALA LUMPUR, 16 Jan — Ahli Parlimen Ipoh Timor, Lim Kit Siang hari ini menegaskan, tindakan kerajaan membekukan aset Pusat Fidlot Nasional (NFC) adalah satu tindakan sia-sia kecuali jika gaji bulanan keluarga Shahrizat dipotong kepada dua pertiga daripada RM215,000 kepada RM71,000.
Lim dalam kenyataannya hari ini berkata, pengumuman Pengarah Eksekutif NFC, Wan Shahinur Izmir Salleh bahawa pembekuan aset syarikat berkenaan tidak mengganggu perjalanan syarikat adalah satu tindakan yang mengecewakan kerana menunjukkan tindakan pembekuan tersebut adalah seperti satu tindakan yang sia-sia.
“Perkara itu mengecewakan rakyat Malaysia, dan mereka tertanya-tanya sama ada “pembekuan sementara” aset-aset NFC hanyalah satu kepura-puraan kerajaan untuk meredakan ketegangan penduduk Malaysia yang ingin tahu berkenaan projek tersebut.
“Siapa bekukan aset NFC? Bila aset berkenaan dibekukan? dan siapa yang berkuasa untuk membebaskan aset berkenaan?” soal Kit Siang dalam kenyataan tersebut.
Menurutnya, perkara pokok adalah berapa nilai sebenar aset NFC yang telah dibekukan, kerana rakyat Malaysia tidak akan terkejut sekiranya NFC tidak lagi mempunyai sumber kewangan ekoran penyelewengan yang berlaku dalam projek tersebut yang bermatlamat untuk menghasilkan projek ternakan lembu berimpak tinggi itu.
“Boleh Najib jelaskan dengan teliti berapa lama tempoh pembekuan aset tersebut-oleh siapa, bila, bagaimana, dan aset apa yang telah dibekukan beserta jumlahnya?” tambahnya.
“Bila Izmir mengumumkan bahawa “perniagaan berjalan seperti biasa” walaupun  aset NFC mengalami “pembekuan sementara”, apa yang mengejutkan rakyat Malaysia adalah penyalahgunaan dana masih lagi berlaku tanpa sekatan, yang mana menyaksikan keluarga Shahrizat menggunakan dana dalam projek NFC tersebut sebagai sumber pendapatan mereka,” tambahnya.
Menurut Lim (gambar), suami Shahrizat Dr. Mohammad Salleh Ismail selaku Pengerusi Eksekutif  NFCorp mendapat pendapatan sejumlah RM100,000 gaji bulanan, anak lelaki mereka yang berumur 31 tahun, Izmir selaku Pengarah Eksekutif berpendapatan RM45,000 sebulan, manakala, seorang lagi anak lelaki mereka,  Wan Shahinur Izran berumur 27 selaku CEO berpendapatan RM35,000 sebulan, manakala  Wan Izzanah Fatimah,  25 tahun, berpendapatan RM35,000 atas jawatan sebagai pengarah. - satu jumlah keseluruhan bernilai RM215,000 gaji bulanan untuk suami dan tiga anak Shahrizat.
“Selepas hampir enam bulansejak pemdedahan Laporan Ketua Audit Negara, berkenaan terdapatnya kecelaruan dalam NFC, tiada sebarang tindakan yang dilakukan kabinet untuk membetulkan keadaan.
“Lebih malang lagi, apabila Shahrizat tidak menunjukkan sebarang rasa bersalah mahupun menyesal terhadap tindakannya itu,” kata Kit Siang.
Tambah Lim, sekurang-kurangnya, rakyat Malaysia menjangkakan aset NFC yang dibekukan adalah termasuk potongan sebanyak dua pertiga daripada gaji keseluruhan Pengerusi. Pengarah Eksekutif, CEO dan pengarah lain daripada pendapatan bernilai RM215,000 hanya kepada RM71,000.
Adakah ini akan dibincangkan di Kabinet esok? Menteri mana yang bernai untuk mengutarakan perkara ini,” soal Kit Siang.

Penjara nafi pukul 200 banduan

KUALA LUMPUR - Jabatan Penjara menafikan dakwaan warga kerja Penjara Sungai Buloh menggunakan kekerasan berlebihan sehingga menyebabkan kecederaan ke atas 200 banduan Blok Berkat dalam satu kejadian 4 Januari lalu.

Ketua Seksyen Dasar Bahagian Dasar Kepenjaraan Jabatan Penjara Supri Hashim berkata hanya empat banduan dan dua petugas mengalami cedera ringan dalam bentuk calar dan telah diberi rawatan di klinik penjara itu.

"Begitu juga tiada kejadian memukul berlaku selepas banduan berkenaan  telah dapat dikawal dan dimasukkan ke bilik masing-masing," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah portal berita pada Rabu lepas yang mendakwa  kekerasan berlebihan diguna bagi mengawal banduan terbabit yang dikatakan tidak berpuas hati dengan pemeriksaan ke atas diri dan sel mereka.

Supri berkata ketegangan itu berlaku dalam tempoh kira-kira 10 minit dan telah dapat dikawal oleh 10 anggota yang bertugas.

Sementara itu, Lembaga Siasatan Jabatan Penjara telah ditubuhkan bagi menjalankan siasatan mengenai kejadian tersebut, dan laporan polis juga telah dibuat di Balai Polis Batu Arang pada 5 Januari bagi mengelakkan sebarang bentuk keraguan.

"Jabatan Penjara tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana anggota yang bertindak melakukan kekerasan di luar dari batasan peraturan yang ada," katanya. - Bernama

MB Perak: Ada orang geram tengok poster saya

PARIT BUNTAR - Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan berhubung poster wajahnya yang dipasang di kawasan Masjid Tinggi, Bagan Serai di sini, dibakar pihak tidak bertanggungjawab pagi semalam.

Beliau berkata tindakan pihak tersebut kemungkinan disebabkan kemarahan mereka terhadap perjuangannya untuk membela serta memperjuangkan nasib rakyat supaya sayang dan kasih kepada Barisan Nasional (BN).

"Mungkin pihak itu geram tengok poster yang tertera gambar saya bersama orang tua dan di situ ada tulisan "Tiada Tertinggal, Tiada Terpinggir". Bagaimanapun saya tidak menuduh sesiapa sebab kita tak tahu siapa yang buat.

"Saya serahkan kepada polis untuk siasatan...dia (pihak) yang buat macam itu, orang ramai dapat menilai sikap dan cara kita, jadi orang tahu siapa sebenarnya yang buat perangai macam ini. Saya serah kepada polis untuk siasat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Hari Peladang, Penternak dan Nelayan di sini hari ini.

Sementara itu, ketika bertemu Ketua Pemuda Umno Bagan Serai Sharudin Ahmad pada majlis itu, beliau berkata laporan polis berhubung perkara itu akan dibuat di Ibu Pejabat Polis Kerian kira-kira pukul 3 petang tadi. – Bernama

NFC: Siasatan SPRM telus, kata Mustafar

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneliti pelbagai aspek berhubung kes dakwaan penyelewengan dana kerajaan dalam Pusat Fidlot Nasional (NFC).
Pengarah Siasatan SPRM Datuk Mustafar Ali berkata badan itu memberi jaminan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus sebelum laporan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara.
"Saya tidak boleh mengulas dengan lebih lanjut isu ini bagi mengelakkan gangguan terhadap siasatan yang sedang dijalankan," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.
Media semalam melaporkan aset NFC dibekukan bagi membantu siasatan dakwaan berlaku penyelewengan dana kerajaan dalam projek yang turut dikaitkan dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan pembekuan aset berkenaan turut meminta Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar menjalankan kajian untuk mencari penyelesaian terbaik bagi menangani kes itu.
Operasi pusat itu masih berjalan seperti biasa sekalipun aset syarikat dibekukan sejak tiga minggu lalu.
Isu NFC berbangkit berikutan Laporan Ketua Audit Negara 2010 Oktober lepas yang menyatakan ia gagal memenuhi matlamat penubuhannya, manakala pembangkang mendakwa berlaku penyelewengan dalam pengurusan dana terutama berkaitan
pembelian kondominium mewah di Lembah Klang. - Bernama

NFC nafi guna kad kredit biaya peribadi RM600,000

SHAH ALAM - Pengurusan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) menafikan empat ahli keluarga Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil membelanjakan RM593,500 pada 2009, dengan kad kredit yang wangnya berpunca dari dana NFC, untuk tujuan peribadi.
Pengarah Eksekutif NFCorp, Wan Shahinur Izmir Salleh berkata, kad-kad kredit yang dimaksudkan adalah kad korporat dan bagi tujuan pembangunan bisnes.
"Tiada perbelanjaan peribadi sebagaimana didakwa. (Sebenarnya) Perbelanjaan pembangunan bisnes oleh empat pengarah menggambarkan magnitud jualan berjuta ringgit," katanya sambil menegaskan, fakta-fakta berkenaan ada pada pihak berkuasa.
Dilihat sebagai usaha memberi tekanan ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak agar bertanggungjawab terhadap skandal projek ternakan lembu daging NFC, pagi tadi PKR membuat satu lagi pendedahan mengenai dakwaan penyalahgunaan dana NFC.
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, empat ahli keluarga Shahrizat membelanjakan RM593,500 dengan kad kredit yang wangnya dari dana NFC.
Kelmarin, Najib mengumumkan keputusan membekukan aset NFC.
Menurut Rafizi, empat ahli keluarga yang memegang jawatan pengurusan dalam NFC telah menggunakan kad kredit yang bayarannya dituntut dari NFC bagi perbelanjaan antara RM122,402 dan RM182,525 setiap seorang.
Mereka adalah suami Shahrizat, Datuk Mohammad Salleh Ismail iaitu Pengerusi Eksekutif NFC, Shahinur Izmir sendiri, seorang lagi anak mereka, Wan Shahinur Izran yang memegang jawtaan Ketua Pegawai Eksekutif dan anak perempuan mereka, Wan Izzanah Fatimah, yang merupakan pengarah.
“PKR tidak ada pilihan kecuali terus membongkarkan pelbagai penyelewengan yang ada dalam rekod kami untuk meningkatkan tekanan politik terhadap Datuk Seri Najib Razak
untuk bertindak dengan telus dan tidak berdolak dalih,” kata Rafizi.
Katanya, aktivis PKR akan membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi mengenai perbelanjaan kad kredit itu yang didakwa melampaui batas.
Mengulas lanjut isu melibatkan NFC, Shahinur Izmir berkata, pihaknya dalam masa yang sesuai akan tampil menjelaskan dakwaan-dakwaan yang telah menjejaskan persepsi rakyat terhadap syarikat itu.
"Sebagai permulaan, tidak di mana-mana bahagian dan tidak pada bila-bila masa, Ketua Audit Negara dalam laporan 2010 menyatakan bahawa NFC berada dalam kepincangan.
"Perkataan kepincangan tidak pernah digunakan dalam Laporan Ketua Audit Negara.
"Jelas ini adalah satu lagi bentuk dakwaan dibuat dengan maklumat palsu dan berniat jahat," katanya lagi.

Semua kena tutup mulut, ikut nasihat Nik Aziz



Hasan Ali: Semua kena ikut nasihat Nik Aziz
PETALING JAYA - Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali hormati nasihat Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang memintanya supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan isu pemecatannya.

Namun, Hasan juga menegaskan, nasihat tersebut perlu diikuti oleh semua pihak termasuk pimpinan tertinggi Pas.

Beliau dipecat sebagai ahli Pas Ahad lalu.

Hasan berkata, walaupun keahliannya dipecat serta-merta, namun beliau masih lagi menganggap Menteri Besar Kelantan itu sebagai guru beliau.
Menurutnya, segala nasihat yang diberikan oleh Nik Aziz akan menjadi panduan utama dalam perjuangan beliau pada masa hadapan.

"Saya hormati Nik Aziz sebagai tok guru, beliau suruh tutup mulut, semua orang perlu tutup mulut, termasuk orang yang bercakap itu sendiri," katanya pada sidang media di kediamannya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gesaan Nik Aziz agar beliau tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengkritik dasar parti.

Kelmarin, Nik Aziz menegaskan tindakan Hasan terus membuka mulut dan bercakap secara terbuka, menunjukkan seolah-oleh beliau tidak cerdik dalam membuat keputusan.

Sultan Kedah puji Azizan laksana pembaharuan di Kedah



istana
ANAK BUKIT - Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah memuji pentadbiran negeri diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak kerana berjaya melaksanakan beberapa pembaharuan dan kemajuan pembangunan dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Baginda bertitah, pelbagai program pembangunan yang sedang giat direncanakan oleh Kerajaan Negeri termasuk memajukan sektor pertanian untuk meningkatkan taraf hidup rakyat kini menampakkan hasil.
“Beta harap aktiviti pembuatan yang kini berkembang pesat dapat terus dimajukan sehingga menjadi tumpuan utama selain menarik pelabur asing dan tempatan untuk melabur dan mendirikan kilang perindustrian di Kulim Hi-tech Park, Sungai Petani, Kuala Ketil, Gurun, Yan dan Bukit Kayu Hitam".
Baginda bertitah pada istiadat menyembah tahniah dan penganugerahan darjah serta bintang kebesaran sempena ulang tahun keputeraannya ke-84, di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit, semalam.
Titah ucapan baginda dibacakan oleh Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Bendahara, Tunku Annuar Sultan Badlishah.          
Tuanku Abdul Halim bertitah, kerancakan aktiviti ekonomi ini menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat selain berharap taraf hidup rakyat dapat terus dipertingkat menerusi kemudahan prasarana yang menjadi asas kepada perkembangan aktiviti komersil seperti perumahan, perkilangan dan perkhidmatan.          
 “Beta amat sukacita kerana Kedah sentiasa aman dan sejahtera setiap masa. Walaupun terdapat beberapa peristiwa hangat yang berlaku akhir-akhir ini, tetapi ia dapat dikawal hasil kerjasama Kerajaan Negeri dan rakyat,” titah baginda.          
Baginda turut melahirkan kesyukuran kerana Kedah terhindar daripada keganasan dan ketegangan antara kaum yang kritikal seperti yang berlaku di beberapa negara lain, selain berpuas hati dengan corak pentadbiran Kerajaan Negeri yang mendokong prinsip keadilan tanpa mengira latar belakang.          
 “Tidak ada peristiwa yang tidak diingini berlaku dan rakyat yakin dengan kestabilan politik negeri ini. Beta harap semua pihak komited menjalankan tugas, ikhlas, amanah serta telus dalam mengendalikan urusan pentadbiran,” titah baginda.          
Tuanku Abdul Halim bertitah, untuk memastikan dasar ini dapat dilaksana, seluruh kepimpinan kerajaan, anggota pentadbiran dan rakyat haruslah bertakwa kepada ALLAH SWT agar mendapat keberkatanNya.          
“Jentera pentadbiran dan pengurusan negeri yang cekap amat penting untuk merancang dan melaksana dasar dan program Kerajaan Negeri. Oleh itu, anggota perkhidmatan awam perlu berpegang teguh pada konsep amanah dan kepimpinan berintegriti,” titah baginda.          
 Tuanku Abdul Halim turut mengingatkan Menteri Besar supaya memastikan keadilan dapat terus dilaksana sebaik mungkin, selain setiap rakyat hendaklah diberi hak masing-masing tanpa mengira perbezaan anutan agama, bangsa mahupun fahaman politik.

Hasan Ali bidas, mahu rakyat tolak Anwar


Anwar Ibrahim
PETALING JAYA - Datuk Dr Hasan Mohamed Ali membidas kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan keperluan untuk menyemak semula undang-undang lapuk Malaysia berkaitan golongan gay sambil menegaskan, ia "tidak wajar dan rakyat perlu menolak perjuangan" Ketua Pembangkang itu.

Menurut Hasan, perkara seperti ini menjadi salah satu punca beliau tidak boleh bersama Anwar dalam Pakatan Rakyat (PR).

Pas memecat Hasan awal minggu lalu.

"Inilah salah satu (sebab) saya tak boleh bersekongkol dengan Anwar. Sebab inilah, rakyat perlu menolak perjuangan Anwar Ibrahim," katanya pada sidang media di kediamannya hari ini, yang kedua selepas dipecat dari Pas.

Dalam temu bual dengan BBC baru-baru ini, Anwar berkata, terdapat keperluan untuk menyemak semula undang-undang lapuk Malaysia supaya tidak dilihat sebagai menyusahkan dan dianggap sebagai relevan.

Menjawab soalan berkaitan hak-hak golongan gay dan sama ada beliau bersedia untuk menerima "idea antidiskriminasi yang melibatkan hak-hak golongan gay", Anwar berkata, "kami perlu menyemak semula sebahagian daripada undang-undang lapuk kami."

"Kami masyarakat Islam dan bukan Islam di Malaysia secara keseluruhannya percaya dan komited untuk menyokong kesucian perkahwinan antara lelaki dan wanita tetapi kami tidak harus dilihat sebagai menyusahkan dan menganggap undang-undang lapuk sebagai relevan," katanya.

Justeru Hasan menambah, masyarakat di negara ini akan bergolak, berpecah dan huru-hara akan berlaku jika hak-hak golongan lesbian, gay, biseksual dan homoseksual dihalalkan.

Hasan turut berkata, kenyataan Anwar dalam wawancara bersama media antarabangsa BBC merupakan pandangan peribadi ketua umum PKR itu.

"Pandangan Anwar Ibrahim bukan hanya di BBC. Tetapi kalau dilihat balik, itulah pandangan peribadi dan asasi yang dipegangnya. Atas alasan itulah kenapa saya tidak sepatutnya bersama beliau. Pendirian saya tak wajar untuk bersama Anwar," katanya.

Sementara itu mengulas kenyataan Anwar dalam Konvensyen Pakatan Rakyat Sabtu lalu mengenai Pakatan perlu dibersihkan daripada individu yang gila kuasa dan gila duit, Hasan berkata, masyarakat perlu berfikir siapa sebenarnya yang gila kuasa.

Katanya, beliau mempunyai keselesaan, kuasa dan jawatan ketika menjadi Exco negeri Selangor tetapi sanggup dikorbankan jawatan itu kerana satu idealisme.

"Saya nak tuan-tuan fikir ya, ada seorang ini yang kumpul orang-orang di Sabah dan Sarawak dan kata mahu tawan Putrajaya pada 16 September. Jadi sekarang, siapa yang gila kuasa? Saya ke, dia? Bayangkan, atas nama gila kuasa, dia berkata 'dalam penjara pun saya akan menjadi perdana menteri'. Hasan tak pernah sebut. Jadi saudara semua timbangkanlah... saya tahu saudara semua bijak," katanya.

Hasan berkata, beliau yang sebelum ini mempunyai pendapatan lumayan ketika menjadi pengurus dan pakar motivasi tidak pernah menceritakan kepada sesiapa jumlah kerugian yang dialaminya selepas menyertai Pas.

"Mengenai gila duit... Masya-Allah... saya dulu pengurus dan pelatih perundingan. Tanya isteri saya berapa pendapatan saya sebulan. Tetapi saya masuk Pas kerana perjuangan.

"Jangan tanya berapa kerugian saya bila hampir 15 tahun masuk dalam Pas. Saya tak pernah beritahu sesiapa.

"Ketika saya memegang Exco infrastruktur dan kemudahan awam, projek-projek  JKR (Jabatan Kerja Raya) saya tak ambil satu sen pun. Rekod saya bersih. Saya tak biasa duduk dengan penyogok, disogok ni. Saya tak biasa. Psikologinya, kadang-kadang kita buat benda itu, jadi kita nak nafikan, kita tuduh orang lain buat," katanya sinis.

Hasan Ali: Saya dedah 'parasit' Pas waktu terdekat


Hasan Ali
PETALING JAYA - Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata, beliau akan mendedahkan ketua dan pengikut 'parasit' yang wujud dalam parti Islam itu dalam satu siri jelajah ke seluruh negeri, yang akan diadakan dalam waktu terdekat.

"Siapa ketua dan pengikut parasit itu, saya tidak akan sebut hari ini, tetapi saya akan nyatakan dalam satu siri ceramah jelajah ke seluruh negeri yang akan diumumkan dalam masa terdekat," kata beliau menjawab Pesuruhjaya negeri itu, Dr Abd Rani Osman yang semalam mencabar agar beliau mendedahkan senarai nama sekumpulan parasit yang didakwa wujud dalam Pas.

Selain itu, Hasan turut menegaskan, kumpulan parasit yang menggunakan strategi licik ini juga telah masuk ke dalam Pas dan menjadi salah satu punca beliau dipecat awal minggu lalu.

"Saya yakin dan juga telah berunding dari luar dengan mereka yang ada di dalam (parti) untuk memastikan agar parasit ini akan dilepaskan dari Pas.

"Saya akan lakukan dengan penuh kebijaksanaan dan intelektual untuk bersama menggerakkan Pas agar parti itu berada seperti zaman (Allahyarham) bekas Presiden Datuk Fadzil Mohd Noor," kata Hasan pada sidang media di kediamannya hari ini.

Dalam laporan Sinar Harian hari ini, Dr Rani meminta pendedahan senarai nama dikemukakan agar boleh membantu Pas untuk mengambil tindakan sewajarnya.

“Kalau dia ada bukti mengatakan dalam Pas ini ada parasit, maka perkara itu perlu didedahkan kerana dalam Islam sendiri setiap tuduhan itu perlu ada buktinya.

“Kita pun nak tahu juga siapa parasit yang ada dalam Pas ini supaya kita sendiri boleh mengambil tindakan terhadap mereka,” katanya.

Dalam pada itu, bekas Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam itu berkata, parasit yang wujud dalam Pas itu juga terdiri daripada kumpulan-kumpulan yang mempunyai matlamat dan visi mereka tersendiri.

Jelasnya, sebahagian daripada mereka telah bergerak cergas ketika masih belajar di luar negara dan kini menyusup masuk ke dalam Pas.

"Mereka kini telah memegang jawatan-jawatan penting dalam Pas dan memang mereka meminta jawatan strategik ini dalam parti," katanya.

Sementara itu, Hasan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia turut menegaskan bahawa pemecatannya dibuat bukan atas dasar kesilapannya yang telah diharmonikan dan dianggap selesai sebelum ini tetapi, katanya, beliau dipecat kerana menegur komponen parti yang ada di dalan Pakatan Rakyat, iaitu PKR.

Beliau turut melahirkan rasa hairan bagaimana Pas selaku parti yang memperjuangkan Islam boleh mengikut telunjuk parti itu.

Kata Hasan, "adakah Pas telah hilang jati dirinya?"

"Dalam apa juga keadaan sekalipun, saya akan berjuang sama ada di dalam atau di luar Pas. Saya hidup kerana Islam dan saya redha mati kerana Islam," tegasnya.

http://www.sinarharian.com.my/hasan-ali-dedah-parasit-pas-waktu-terdekat-1.18497

PKR dakwa NFC ingkar arahan Najib

SHAH ALAM - Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata, beliau memandang serius kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC), Wan Shahinur Izmir Salleh semalam bahawa operasi syarikat itu berjalan seperti biasa walaupun kerajaan mengarahkan agar asetnya dibekukan.

Kata beliau, kenyataan itu menimbulkan persoalan apakah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hanya membuat kenyataan kosong tanpa memberi arahan khusus atau NFC mengingkari arahan kerajaan.

Rafizi menambah, pihaknya mengulangi desakan supaya Najib bertindak lebih berani dengan menggantung penglibatan kaum keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil dalam operasi NFC dan melantik pentadbir korporat untuk mengambil alih pengurusan dengan mandat membongkar semua penyelewengan yang telah berlaku.

"PKR konsisten mendesak supaya aset NFC dibekukan dan pentadbir korporat  dilantik untuk mengambil alih pengurusan NFC dan melakukan audit penuh bagi membongkar kesemua penyelewengan yang telah berlaku," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam satu kenyataan semalam, Wan Shahinur Izmir  berkata, walaupun aset telah dibekukan, namun operasi NFC berjalan seperti biasa dan bekalan daging lembu akan diteruskan dan semua tempahan turut dipenuhi.

Katanya, bagi meyakinkan para pelanggan, pekerja dan vendor, tiada sebarang gangguan kepada operasi harian.

Sehubungan itu kata Rafizi, sebarang perbelanjaan selain membayar gaji pekerja-pekerja yang bertugas dalam operasi penternakan lembu perlu dibekukan.

Malah katanya, pengurusan sedia ada yang terdiri daripada kaum keluarga Shahrizat tidak wajar dibenarkan membuat sebarang keputusan bersabit operasi, kewangan, sumber manusia dan keputusan-keputusan penting lain.

"Sebarang pemindahan wang keluar dari NFC, termasuk pembayaran gaji dan perbelanjaan syarikat-syarikat lain yang dimiliki oleh keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil perlu dihentikan serta-merta," katanya lagi.

Malah menurut beliau, sebarang keputusan mengenai aset atau struktur syarikat dan pelaburan tidak dibenarkan dibuat bagi mengelakkan pemindahan aset.

"Secara lazimnya dalam amalan korporat yang berdasarkan tata kelola yang baik, apabila seseorang disiasat akibat tuduhan pecah amanah, beliau tidak dibenarkan masuk ke pejabat dan digantung serta-merta bagi mengelakkan cubaan menghapuskan bukti.

"Kenyataan NFC yang menunjukkan kaum keluarga Datuk Seri Shahrizat masih bebas menggunakan wang dan menguruskan operasi NFC membawa risiko besar yang menjejaskan bukti dan rekod kewangan NFC," katanya.

Rafizi juga berkata, sekiranya desakan itu tidak diberi perhatian, PKR tidak ada pilihan kecuali terus membongkar pelbagai penyelewengan lagi untuk meningkatkan tekanan politik terhadap Najib untuk bertindak dengan telus dan tidak berdolak dalih.

Esok, katanya, aktivis PKR akan membuat satu lagi laporan polis mengenai perbelanjaan kad kredit oleh keluarga Sharizat sepanjang tahun 2009, yang didakwanya telah melampaui had.

Zambry serah kepada polis siasat kes bakar poster





2012/01/16

PARIT BUNTAR: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan berhubung poster wajahnya yang dipasang di kawasan Masjid Tinggi, Bagan Serai di sini, dibakar pihak tidak bertanggungjawab pagi semalam. 

Beliau berkata, tindakan pihak tersebut kemungkinan disebabkan kemarahan mereka terhadap perjuangannya untuk membela serta memperjuangkan nasib rakyat supaya sayang dan kasih kepada Barisan Nasional (BN).
"Mungkin pihak itu geram tengok poster yang tertera gambar saya bersama orang tua dan di situ ada tulisan 'Tiada Tertinggal, Tiada Terpinggir'. Bagaimanapun saya tidak menuduh sesiapa sebab kita tak tahu siapa yang buat.
"Saya serahkan kepada polis untuk siasatan...dia (pihak) yang buat macam itu, orang ramai dapat menilai sikap dan cara kita, jadi orang tahu siapa sebenarnya yang buat perangai macam ini. Saya serah kepada polis untuk siasat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Hari Peladang, Penternak dan Nelayan di sini hari ini. 

Sementara itu, ketika bertemu Ketua Pemuda UMNO Bagan Serai, Sharudin Ahmad, pada majlis itu, beliau berkata laporan polis berhubung perkara itu akan dibuat di Ibu Pejabat Polis Kerian. - BERNAMA 

Bekas menantu Ketua Menteri Sarawak tuntut mutaah RM100j


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Syariah menetapkan 31 Jan ini untuk membuat keputuskan berhubung beberapa permohonan dalam kes tuntutan mutaah berjumlah RM100 juta yang difailkan bekas menantu Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Shahnaz A. Majid.

Ketua Hakim Syarie Datuk Muhammad Abdullah menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah peguam Saadiah Din yang mewakili Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Abdul Taib dan peguam Shahnaz, Dr Mohd Rafie Mohd Shafie.Beliau turut memberi tempoh seminggu kepada Shahnaz untuk memasukkan hujah terakhir.

Antara permohonan yang difailkan Shahnaz, 49, dalam tuntutan mutaah yang bermaksud saguhati selepas perceraian itu ialah permohonan notis tunjuk sebab terhadap bekas suaminya, Mahmud Abu Bekir, 49, yang didakwa telah mengingkari perintah mahkamah.

Pada 31 Jan itu juga, mahkamah akan membuat keputusan permohonan anak sulung kepada Ketua Menteri Sarawak itu untuk mengenepikan notis tunjuk sebab itu.

Di luar mahkamah, Saadiah memberitahu pemberita bahawa Shahnaz mengemukakan bantahan terhadap peguam syarie Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang turut mewakili bekas suaminya.

Ini kerana Zainul Rijal merupakan Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan dibimbangi akan berlaku konflik kepentingan jika beliau mewakili Mahmud Abu Bekir dalam kes itu.

Hantar sapina


Sementara itu, Mohd Rafie berkata pihaknya menghantar sapina kepada tujuh saksi termasuk Abdul Taib dua minggu lepas untuk memberi keterangan dalam kes tuntutan mutaah tersebut.Shahnaz, kakak Ratu Jazz negara Datuk Sheila Majid, turut menfailkan tuntutan harta sepencarian berjumlah RM300 juta terhadap Mahmud Abu Bekir.

Pada 5 Ogos tahun lepas, Shahnaz memperoleh kebenaran bagi memulakan prosiding tunjuk sebab terhadap Mahmud Abu Bekir mengapa bekas suaminya itu tidak boleh dikenakan tindakan selepas didakwa mengingkari perintah mahkamah.

Perintah itu adalah untuk Mahmud Abu Bekir, seorang ahli perniagaan, menzahirkan semua dokumen berkaitan harta miliknya termasuk akaun simpanan bank, akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), penyata cukai dan penyata kewangan bulanan atau tahunan.

Jika gagal berbuat demikian, beliau boleh disabit dan dikenakan hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda RM2,000.Antara lain, Shahnaz menuntut beberapa rumah, beratus hektar tanah di Sarawak dan di Bukit Tunku di sini serta beberapa kereta mewah diisytiharkan sebagai harta sepencarian.

Pada 11 Mei tahun lepas, Mahkamah Tinggi Syariah mengesahkan penceraian Mahmud Abu Bekir dan Shahnaz dengan talak satu.Pasangan itu, yang berkahwin pada 9 Jan 1992, dikurniakan seorang anak lelaki, Raden Murya, 19.

- Bernama
TINTA HIJAU DARI KAKI BUKIT: Bekas menantu Ketua Menteri Sarawak tuntut mutaah RM100j:

'via Blog this'

Keluarga Shahrizat belanja RM600,000 kad kredit NFC



Dalam usaha memberi tekanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk bertanggungjawab terhadap skandal projek ternakan lembu Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC), PKR hari ini membuat satu lagi pendedahan mengenai dakwaan penyalahgunaan dana NFC.

NONEKali ini, dakwa pengarah strategi PKR Rafizi Ramli, empat ahli keluarga Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil membelanjakan RM593,500 pada tahun 2009 dengan kad kredit yang wangnya dari dana NFC.

Menurut Rafizi, empat ahli keluarga yang memegang jawatan pengurusan dalam NFC telah menggunakan kad kredit yang bayarannya dituntut dari NFC bagi perbelanjaan antara RM122,402 dan RM182,525 setiap seorang.

Mereka adalah suami Shahrizat, Datuk Mohammad Salleh Ismail, iaitu pengerusi NFC, anak lelaki mereka yang berusia 31 tahun, Wan Shahinur Izmir (pengarah eksekutif), seorang lagi anak mereka Wan Shahinur Izran yang berusia 27 (ketua pegawai eksekutif) dan anak perempuan mereka Wan Izzanah Fatimah (pengarah) yang berusia 25 tahun.

“PKR tidak ada pilihan kecuali terus membongkarkan pelbagai penyelewengan yang ada di dalam rekod kami untuk meningkatkan tekanan politik terhadap Datuk Seri Najib Razak
untuk bertindak dengan telus dan tidak berdolak dalih,” kata Rafizi dalam satu kenyataan hari ini.

azlanMenurutnya, petang esok pada jam 2 petang, aktivis PKR yang diketuai Fariz Musa akan membuat satu lagi laporan di Balai Polis Dang Wangi mengenai perbelanjaan kad kredit oleh keluarga Ketua Wanita Umno itu yang didakwa melampaui batas.

Mengenai kenyataan Izmir, semalam, bahawa NFC masih menjalankan "perniagaan seperti biasa" walaupun Sabtu lalu kerajaan mengumumkan bahawa aset syarikat berkenaan telah dibekukan sementara menunggu sisatan, Rafizi mempersoalkan sama ada Najib hanya membuat kenyataan kosong tanpa memberikan arahan khusus, atau NFC mengingkari arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan.

Katanya, tindakan “membekukan aset NFC” sepatutnya bermakna:
  • Sebarang perbelanjaan selain dari membayar gaji pekerja-pekerja yang bertugas dalam operasi penternakan lembu (seperti yang dimandatkan di dalam perjanjian pembiayaan oleh kerajaan) perlu dibekukan;
  • Pengurusan sedia ada yang terdiri dari kaum keluarga Shahrizat tidak dibenarkan membuat sebarang keputusan bersabit operasi, kewangan, sumber manusia dan keputusan-keputusan penting lain;
  • Sebarang pemindahan wang keluar dari NFC, termasuk pembayaran gaji dan perbelanjaan syarikat-syarikat lain yang dimiliki oleh keluarga Shahrizat perlu dihentikan serta-merta; dan
  • Sebarang keputusan mengenai aset atau struktur syarikat dan pelaburan tidak dibenarkan dibuat bagi mengelakkan pemindahan aset.
Menurut Rafizi, secara lazimnya dalam amalan korporat yang berdasarkan tata kelola yang baik, apabila seseorang disiasat akibat tuduhan pecah amanah, beliau tidak dibenarkan masuk ke pejabat dan digantung serta-merta bagi mengelakkan cubaan menghapuskan bukti.

“PKR mengulangi desakan supaya Najib bertindak lebih berani dengan menggantung penglibatan kaum keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil di dalam operasi NFC dan melantik pentadbir korporat (corporate administrator) untuk mengambil alih pengurusan dengan mandat membongkar semua penyelewengan yang telah berlaku,” katnya lagi.Malaysiakini
jengkeng:

'via Blog this'

18 tahun kahwin menderita


WARTAWAN SINAR HARIAN
January 16, 2012
ibu-didera

BAYAN BARU – Kehidupan sebagai ibu tunggal amat memeritkan, apatah lagi apabila diancam bekas suami yang sering memantau pergerakan Ros (bukan nama sebenar), 49, tahun melalui rondaan di sekitar kawasan rumahnya.

Dia yang sudah bercerai sejak empat tahun lalu kini dihimpit kesusahan apabila bekas suami yang berusia 48 tahun itu bukan sahaja enggan membayar nafkah, malah rumah yang diduduki kini terpaksa dikosongkan.

“Selepas bayaran ansuran bulanan gagal dijelaskan dalam tempoh masa yang ditetapkan, kami tiga beranak diarahkan untuk berpindah.

“Bekas suami yang sudah berkahwin lain bukan sahaja tidak peduli akan dua anaknya, malah bertekad memutuskan hubungan melalui nota amaran yang dihantar ke rumah,” katanya ketika ditemui di Persiaran Mahsuri.

Menurutnya, dirinya didera secara fizikal dan mental sepanjang 18 tahun perkahwinan yang dibina atas dasar cinta.

“Dia yang bekerja sebagai penyelia hotel akan memukul menggunakan objek keras seperti seterika sekiranya ada yang tidak kena.

“Keadaan berlarutan sehingga saya sendiri akhirnya ke pejabat agama untuk menyelesaikan kemelut yang dihadapi,” katanya.

Dia yang berasal dari Perlis mendakwa, bekas suami dan isteri barunya turut mengancam untuk menyimbah dengan asid sekiranya perihal mengenai nafkah dibangkitkan selepas proses penceraian selesai.

“Saya bimbang akan keselamatan kami sekeluarga memandangkan jiran sering memaklumkan bahawa mereka ternampak bekas suami berlegar–legar di sekitar taman perumahan.

“Saya akan terus bekerja untuk menyara kehidupan kami sekeluarga memandangkan anak sulung yang berusia 19 tahun berjaya melanjutkan pengajian ke Universiti Islam Antarabangsa, manakala anak bongsu pula berada di tingkatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan (Agama) Al – Mashoor,” katanya.

Menurutnya, kata-kata perangsang yang diberikan rakan-rakan menguatkan semangatnya untuk meneruskan kehidupan.

“Saya pasti dugaan yang melanda ini ada hikmahnya dan semoga kami sekeluarga dapat memulakan hidup baru dengan tenang,” katanya.

18 tahun kahwin menderita - Utara - Sinar Harian:

'via Blog this'