Showing posts with label jepun. Show all posts
Showing posts with label jepun. Show all posts

Tuesday, December 18, 2012

Bakal PM Jepun mahu bertegas dengan China



ABE (dalam bulatan) bercakap pada sidang akhbar di ibu pejabat partinya di Tokyo semalam.


TOKYO - Bakal Perdana Menteri Jepun yang baharu, Shinzo Abe yang mewakili Parti Liberal Demokratik (LDP) berkata, beliau tidak akan berkompromi dengan China terhadap tuntutan sebuah kepulauan di Laut China Timur.
Kenyataan itu dibuat sehari selepas LDP memenangi pilihan raya Jepun kelmarin dengan memperoleh 294 daripada 480 kerusi parlimen di Dewan Perwakilan.
Pemerintah China kini lebih berhati-hati dengan Abe selepas kemenangan beliau.
"Kepulauan Senkaku merupakan wilayah yang diwarisi Jepun," kata Abe pada satu sidang akhbar.
Kepulauan Senkaku yang menjadi perebutan itu turut dikenali sebagai Diaoyu di China.
Abe juga berikrar untuk memulihkan kembali ekonomi Jepun ke landasan yang betul selepas setahun mengalami deflasi.
Memburukkan lagi apabila mata wang yen melambung tinggi sehingga menyebabkan harga barang yang dieksport turut naik.
Menurut Pengarah Institut Pengajian Jepun di Seoul Korea Selatan, Park Cheol-Hee, Abe, 58, memiliki semangat nasionalisme yang tinggi dan kadangkala mengeluarkan kata-kata kontroversi.
Abe yang merupakan Presiden LDP ialah Perdana Menteri ke-90 Jepun yang mula berkhidmat pada 26 September 2006 sebelum meletak jawatan pada 27 September 2007.
Jawatan beliau diambil alih oleh Yasuo Fukuda sebelum LDP kalah pada pilihan raya pada tahun 2009 kepada Parti Demokratik Jepun (DPJ).
Parti LDP hanya memenangi sebanyak 118 kerusi dan parti pembangkang DPJ berjaya memperolehi sebanyak 230 kerusi pada tahun itu.
Dalam pilihan raya kelmarin, DPJ hanya berjaya memenangi 57 kerusi sahaja.
Kekalahan teruk parti DPJ pimpinan Perdana Menteri Yoshihiko Noda itu disebabkan pentadbiran beliau gagal menangani pelbagai masalah termasuk bencana gempa bumi, tsunami dan kebocoran loji tenaga nuklear di Fukushima.
Rakyat Jepun juga marah apabila Noda bertindak meluluskan kenaikan cukai jualan sebanyak 10 peratus pada Jun lalu. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1218&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2FLkwAcDH 
Hakcipta terpelihara 

Thursday, October 25, 2012

Kapal China dikesan memasuki perairan pulau Senkaku milik Jepun



TOKYO: Jepun berkata, kapal China memasuki perairan berhampiran gugusan pulau yang menjadi pertikaian di antara kedua-dua negara terbabit, pertama kali dalam tempoh tiga minggu.

Pengawal Perairan Jepun berkata, empat kapal pengawasan China ditemui di wilayah yang dianggap sebagai milik Jepun, awal pagi tadi. Sementara itu, pegawai tentera Jepun berkata, terdapat serangan udara dari China mengakibatkan jet pejuang Jepun berada dalam keadaan kecemasan.
Aktiviti laut berdekatan pulau tidak berpenghuni dipanggil Senkaku di Japun dan Diaoyu di China dikesan selepas pegawai dari Jepun dan China mengadakan rundingan minggu lalu di Shanghai bagi membincangkan pertikaian yang masih berlarutan.

Pertikaian itu meningkatkan ketegangan antara kedua-dua negara sejak beberapa bulan kebelakangan ini. - AP

Wednesday, October 24, 2012

Keisu Tanaka akur desakan

pix_gal0Menteri Jepun kawan Yakuza letak jawatan masalah baru PM 

Tokyo: Menteri Kehakiman Jepun, Keisu Tanaka (gambar), meletak jawatan selepas dilaporkan tidak sihat, akur kepada desakan berbuat demikian selepas hubungannya dengan sindiket jenayah Yakuza didedahkan.
Peletakan jawatan itu memberi tamparan hebat terbaru kepada Perdana Menteri, Yoshihiko Noda, yang tidak popular di kalangan penduduk negara itu.

“Saya tidak mahu biar masalah saya menjejaskan Kementerian Kehakiman, Diet (Parlimen) dan negara. Saya memutuskan untuk meletak jawatan,” katanya kepada Yomiuri Shimbun.

Tanaka, 74, baru memegang jawatan menteri selepas rombakan Kabinet pada 1 Oktober lalu, peletakan jawatan kedua sejak Noda mengambil alih pada September 2011.

Ketua Setiausaha Kabinet, Osamu Fujimura memberitahu sidang akhbar bahawa Tanaka meletak jawatan atas sebab kesihatan.

Peletakan jawatan berkenaan dibuat sehari selepas beliau meninggalkan hospital Tokyo.
Tanaka masuk hospital disebabkan sakit dada, masalah denyutan jantung dan tekanan darah tinggi selepas beberapa hari dituduh ada hubungan sindiket jenayah terancang Yakuza.

Tanaka berkata, beliau membantu mencari jodoh dalam satu perkahwinan sindiket berkenaan 30 tahun lalu. - Reuters

Saturday, October 6, 2012

Syarikat Jepun di China tidak dilindungi insurans

TOKYO 5 Okt. - Beberapa syarikat insurans utama Jepun bertindak menghentikan perlindungan kepada syarikat-syarikat milik rakyat negara ini yang berdepan dengan rusuhan di China, satu tindakan yang dilihat memberi kesan terhadap pelaburan berikutan krisis pertikaian wilayah maritim di Laut China Timur yang melibatkan kedua-dua negara.
Menurut akhbar Nikkei hari ini, sebelum ini kebanyakan syarikat insurans bukan hayat, termasuk Tokio Marine dan Nichido Fire Insurance, menawarkan polisi melindungi kerosakan akibat rusuhan, tunjuk perasaan dan kekecohan.
Namun kini, syarikat-syarikat itu menghentikan permohonan baru atau permintaan untuk menambah nilai perlindungan, sejak tunjuk perasaan yang ditujukan kepada perniagaan rakyat Jepun berlaku di beberapa bandar sekitar China.
Sesetengah tunjuk perasaan bertukar menjadi ganas, dengan beberapa kedai dan kilang milik rakyat Jepun menjadi sasaran, memaksa ia ditutup atau pengeluarannya dirangka semula.
Menurut laporan Nikkei, syarikat tersebut menilai kerosakan yang dialami oleh pemegang polisi sedia ada.
Seorang pegawai daripada syarikat insurans yang tidak dinamakan berkata, syarikatnya tidak lagi menerima permohonan sehingga awal tahun depan.
Laporan Nikkei itu memberi amaran, tindakan seperti itu akan memberi kesan kepada syarikat Jepun di China yang kini tidak dilindungi insurans jika berlaku rusuhan.
Menurut institut penyelidikan Jepun, sebanyak 14,000 syarikat Jepun beroperasi di China sehingga penghujung Ogos lalu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121006/lu_07/Syarikat-Jepun-di-China-tidak-dilindungi-insurans#ixzz28VbolPKZ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Monday, October 1, 2012

Pasangan Jepun pilih tradisi adat Melayu



Rakan sekerja Kosenda, Torishima tidak ketinggalan menepung tawar pengantin pada majlis itu.
Rakan sekerja Kosenda, Torishima tidak ketinggalan menepung tawar pengantin pada majlis itu.
KUANTAN - Tempoh dua tahun berada di Malaysia cukup membuatkan pasangan Jepun, Tetsu Kosenda, 28, dan Chiaki Kosenda, 27, jatuh cinta dengan budaya dan adat masyarakat Melayu.

Justeru, mereka memilih untuk mengadakan majlis resepsi perkahwinan bertemakan adat Melayu yang kaya dengan keunikan seperti acara persandingan dan menepung tawar.

Kosenda, yang bekerja sebagai Jurutera Kawalan Kualiti di TDK Lambda Malaysia Sdn Bhd di Jaya Gading melangsungkan perkahwinan dengan pasangannya di Jepun Ogos lalu itu kelihatan sepadan dalam persalinan merah jambu sempena perkahwinan mereka.

Menurutnya, dia memilih mengabadikan kenangan manis perkahwinan dengan isteri tercinta bersama kakitangan syarikat yang terdiri daripada masyarakat Melayu.

“Selain kagum dengan adat Melayu, saya juga suka dengan pakaian pengantin seperti tanjak yang unik.

“Saya gembira apabila majlis perkahwinan saya berlangsung dengan meriah malah turut diraikan rakan sekerja,” katanya ketika ditemui di Kampung Jaya Gading, di sini.

Turut meraikan perkahwinan pasangan ini, Pengarah Urusan TDK Lambda Malaysia Sdn Bhd, Yuzuru Honma dan Jurutera Kanan, Nakazawa.
Kosenda berkata, dia dan isteri masih belum berpeluang berbulan madu namun merancang untuk ke tempat menarik di Malaysia.

Friday, September 28, 2012

Jepun keluar amaran pada China



Perdana Menteri Jepun, Yoshihiko Noda
Perdana Menteri Jepun, Yoshihiko Noda
NEW YORK - Perdana Menteri Jepun, Yoshihiko Noda menegaskan Jepun tidak berkompromi dengan China berhubung isu pertikaian hak wilayah kepulauan Senakakus yang mencetuskan protes anti-Jepun.

Menurutnya, Jepun menggunakan cara tersendiri bagi memastikan isu itu tidak menjejaskan hubungan diplomatik kedua-dua negara terbabit.

“Ia sepatutnya diselesaikan secara aman mengikut undang-undang dan bukan menggunakan ketenteraan,” katanya selepas berucap pada Perhimpunan Agong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam. -AP

Thursday, September 27, 2012

Abe menang pemilihan parti pembangkang Jepun




PRESIDEN baharu LDP, Abe (tengah) bersama bekas Presiden, Sadakazu Tanigaki (kiri) dan calon Presiden, Ishiba (kanan) mengangkat tangan selepas selesai undian di ibu pejabat parti itu di Tokyo semalam.


TOKYO - Bekas Perdana Menteri, Shinzo Abe memenangi pilihan raya parti semalam, sekali gus melayakkan beliau menjadi pemimpin kumpulan pembangkang di Jepun.
Kedudukan itu bakal meletakkan Abe dalam kelompok calon yang layak untuk dipilih sebagai Perdana Menteri pada pilihan raya umum akan datang.
Abe menewaskan Shigeru Ishiba dalam pemilihan pemimpin teratas Parti Liberal Demokratik (LDP) yang dijangka memainkan peranan penting bagi membentuk kerajaan baharu menjelang pilihan raya berkemungkinan diadakan pada musim luruh nanti.
Dalam ucapan selepas kemenangannya, Abe berikrar untuk bekerjasama dengan wakil rakyat, selain menerajui LDP bagi membentuk semula kerajaan, tiga tahun selepas dia disingkirkan daripada jawatan tertinggi Jepun itu.
"Bukan untuk diri kita dan LDP sahaja, namun demi membina negara yang kuat dan makmur, serta negara yang membuatkan rakyatnya berasa gembira kerana menjadi orang Jepun," kata beliau.
Abe menjadi Perdana Menteri Jepun dari 26 September 2006 hingga 26 September 2007 sebelum digantikan oleh Yasuo Fukuda yang mentadbir Jepun bermula 26 September 2007 hingga 24 September 2008. - Agensi

Saturday, September 3, 2011

Noda tampilkan Kabinet muda



Renho


TOKYO 2 Sept. – Perdana Menteri baru Jepun, Yoshihiko Noda mengumumkan barisan Kabinet pertamanya hari ini, sebelum memulakan usaha untuk menyatukan partinya yang berpecah-belah dan memantapkan program pemulihan berikutan gempa bumi dan tsunami pada awal tahun ini.
Noda, Perdana Menteri keenam Jepun dalam tempoh lima tahun, memberikan jawatan-jawatan Menteri Luar dan Kewangan kepada ahli Parlimen berusia lewat 40-an, dianggap muda dalam politik negara ini bagi portfolio sedemikian.
Paling muda ialah Goshi Hosono, 40, berperanan sebagai Menteri Alam Sekitar yang bertanggungjawab menyelesaikan krisis loji nuklear Fukushima.
Kabinet Noda menampilkan dua wanita iaitu Renho, 43, yang menggunakan hanya satu nama sebagai Menteri Pemerkasaan Kerajaan dan bekas tonggak stesen NHK, Yoko Komiyama, 62, sebagai Menteri Kesihatan.
Jun Azumi, 49, dilantik ke jawatan Menteri Kewangan sementara Koichiro Gemba, 47, menjadi Menteri Luar.
Azumi yang berasal dari Miyagi, wilayah timur laut yang musnah dilanda gempa bumi dan tsunami 11 Mac lalu, pernah bekerja sebagai wartawan stesen NHK sebelum melancarkan kerjaya politiknya.
Beliau menjadi ketua hal-ehwal Parlimen Parti Demokrat di bawah Perdana Menteri sebelum ini, Naoto Kan.
Sebagai Menteri Kewangan, jawatan pertamanya dalam Kabinet, Azumi menghadapi tugas sukar untuk melindungi ekonomi Jepun daripada kesan mata wang yen yang kukuh dan menangani hutang awam yang makin meningkat apabila penduduk yang semakin tua menyebabkan kos keselamatan sosial bertambah.
Menteri Luar baru, Gemba ialah Menteri yang bertanggungjawab terhadap dasar negara dalam Kabinet sebelum ini.
Yoshio Hachiro, 63, dilantik sebagai Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri.
Noda dipilih sebagai Perdana Menteri pada Selasa lalu, untuk mewarisi cabaran getir bagi melaksanakan program pemulihan selepas bencana, menamatkan krisis nuklear, mengatasi kesan lonjakan nilai yen dan menyelesaikan masalah hutang awam yang menimbun.
Kan meletakkan jawatan selepas 14 bulan menjadi Perdana Menteri, ekoran kritikan hebat kerana kerajaan beliau gagal mengendalikan proses pemulihan selepas bencana dan mengatasi krisis nuklear yang berlarutan. – AFP

Tuesday, August 30, 2011

Yoshihiko Noda PM baru Jepun



Yoshihiko Noda


TOKYO 29 Ogos – Menteri Kewangan, Yoshihiko Noda dipilih sebagai pemimpin parti pemerintah, Parti Demokratik yang baru, sekali gus menjadi Perdana Menteri Jepun keenam dalam satu pemilihan parti itu, hari ini.
Noda, 54, yang menewaskan Menteri Perdagangan dan Industri, Banri Kaieda dalam pusingan kedua pemilihan tersebut, kini perlu menghadapi cabaran peningkatan semula mata wang yen yang mengancam eksport, membentuk polisi bekalan tenaga baru dan pada masa sama menyelesaikan krisis nuklear ekoran bencana tsunami dan gempa bumi pada Mac lalu.
Menteri Kewangan tersebut menerima 215 undi berbanding Kaieda yang memperoleh 177 undi daripada 392 ahli Parlimen parti itu.
Keputusan tersebut diumumkan oleh pegawai parti selepas kertas undi dimasukkan ke dalam mesin mengira.
Noda dijangka mengangkat sumpah untuk menjawat jawatan berkenaan di Parlimen esok.
Pemilihan itu berlaku selepas penyandang Perdana Menteri, Naoto Kan pada Jumaat lalu, mengumumkan pengundurannya selepas 15 bulan menjawat jawatan itu.
Sebanyak lima calon termasuk Noda bertanding bagi merebut jawatan tersebut dalam pemilihan yang kira-kira pukul 11 pagi (10 pagi waktu Malaysia) ini.
Antara calon yang bertanding adalah bekas Menteri Luar, Seiji Maehara sehingga minggu lalu dilihat sebagai pilihan rakyat dan dijangka menewaskan pesaing terdekat, Noda.
Bagaimanapun, keadaan berubah apabila pemimpin berpengaruh, Ichiro Ozawa menyatakan beliau akan menyokong Kaieda, menjadikannya pesaing terbaru Maehara.
Bagaimanapun, Kaieda dan Noda menerima undian paling tinggi dalam pusingan pertama pemilihan tersebut hari ini. - Agensi

Saturday, August 27, 2011

Naoto Kan letak jawatan PM



TOKYO 26 Ogos - Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan hari ini mengumumkan perletakan jawatannya sebagai presiden Parti Demokratik Jepun (DPJ), lapor media Jepun, secara langsungnya menamatkan jawatannya sebagai pemimpin Jepun.
"Saya meletak jawatan (parti) presiden berkuat kuasa hari ini," kata Kan kepada pegawai kanan parti, Jiji.
Langkah yang telah lama dijangka itu membuka jalan kepada pilihan raya perdana menteri keenam untuk penggal lima tahun sambil Jepun mencari jalan pulih dari bencana gempa bumi dan tsunami 11 Mac lalu serta krisis nuklear yang masih berlaku.
Pilihan raya bagi presiden parti yang baru yang kemudian akan menjadi perdana menteri dijangka berlangsung Isnin depan.
Parlimen kemudian akan mengundi jawatan Perdana Menteri itu pada hari Selasa minggu hadapan.
Selepas Kan terselamat daripada undi tidak percaya pada bulan Jun lalu, beliau berjanji akan meletakkan jawatan dengan syarat tiga rang undang-undang diluluskan iaitu belanjawan kedua, belanjawan bagi membiayai rang undang-undang baru dan penggubalan undang-undang mempromosikan penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui.
Seramai sembilan orang calon mahu merebut jawatan Kan termasuk bekas Menteri Luar Negara, Seiji Mehara yang digemari ramai. - AFP

PM Jepun umum peletakan jawatan


Foto
KAN (kanan) menghadiri mesyuarat agung DPJ di Bangunan Parlimen Jepun di Tokyo, semalam.

Foto
Seiji Maehara



Pengganti Kan pikul tugas berat pulih imej

TOKYO: Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan semalam mengumumkan peletakan jawatan sebagai Presiden Parti Demokrat Jepun, lapor media Jepun berkuatkuasa serta-merta mengakhiri tempoh pemerintahan beliau sebagai pemimpin Jepun.
“Saya meletak jawatan sebagai presiden (parti) berkuatkuasa hari ini,” katanya kepada pegawai kanan parti itu, yang dipetik akhbar Jiji.
Langkah berkenaan memberikan laluan kepada pilihan raya untuk memilih Perdana Menteri keenam negara itu dalam masa lima tahun berikutan Jepun berhadapan dengan pemulihan dari gempa bumi 11 Mac lalu , tsunami dan juga krisis nuklear berterusan.

Satu pilihan raya kepimpinan bagi presiden baru parti yang kemudian akan menjadi Perdana Menteri dijangka pada Isnin ini.
Parlimen akan mengundi untuk pemimpin sebagai Perdana Menteri pada Selasa minggu depan.

“Saya akan meninggalkan jawatan perdana menteri sebaik saja seorang pemimpin baru diputuskan,” kata Kan. Kan dijadualkan mengadakan satu sidang media Jumaat depan.
Selepas selamat daripada undi tidak percaya pada Jun, Kan berkata beliau akan meletak jawatan dengan syarat tiga rang undang-undang utama akan diluluskan, iaitu bajet kedua, rang undang-undang kewangan, dan peraturan yang menggalakkan penggunaan tenaga baru.

Dua rang undang-undang akhir diluluskan Jumaat lalu, memberi laluan kepadanya untuk meletak jawatan.

Sekurang-kurangnya sembilan calon akan menggantikan Kan, termasuk calon pilihan, bekas Menteri Luar, Seiji Maehara. Menteri Kewangan Yoshihiko Noda juga akan memfailkan pencalonan apabila kempen bermula Sabtu depan.

Sesiapa saja yang menang berhadapan tugas berat untuk memastikan pemulihan semula Jepun selepas perang, menyelesaikan krisis nuklear terburuk dunia sejak Chernobyl 25 tahun lalu dan melindungi ekonomi negara itu dari kejatuhan yen.

Mereka juga perlu menyatukan parlimen yang berpecah dan memulihkan keyakinan pasaran Jepun boleh mengatasi perundangan yang lemah bagi memulihkan hutang dunia.

Selepas mengambil alih tugas perdana menteri Jun tahun lalu, Kan berusia 64 tahun berhadapan dengan sokongan rendah, masalah kuasa dalam DPJ dan perpecahan parlimen di mana Parti Demokratik Liberal pembangkang menghalang pelbagai rang undang-undang.

Bencana alam Jepun pada Jun lalu yang mengakibatkan 20,000 terbunuh atau hilang, memusnahkan seluruh bandar dan mencetuskan kemalangan nuklear Fukushima menguji kepimpinan dan mengundang dakwaan bahawa beliau gagal untuk bertindak balas terhadap bencana itu. – AFP 

Sunday, August 7, 2011

Ramai orang tua Jepun mati kesepian

Program dekati masyarakat veteran
TOKYO: Pihak berkuasa Jepun bekerjasama dengan agensi kerajaan seperti pejabat pos untuk memeriksa keadaan warga tua, memastikan mereka berhubungan dan memperbaiki kehidupan dalam usaha mengelak mereka mati sendirian.
Masyarakat Jepun yang semakin tua, dengan satu dalam empat penduduknya berusia 65 tahun ke atas, bermakna lebih ramai warga tua tinggal bersendirian setiap tahun, dan lebih menyedihkan ada mayat mereka ditemui selepas beberapa hari mati.
Wad kebajikan Shinagawa memulakan kerjasama dengan Pos Jepun yang membolehkan posmen memeriksa penduduk berusia 65 tahun ke atas sebulan sekali dengan menyerahkan kad ucapan.
“Kami berharap dapat mengukuhkan ikatan dengan masyarakat,” kata pegawai badan kebajikan itu, Akihiro Hara.Program ujian berkenaan meminta posmen memastikan semuanya dalam keadaan baik apabila melawat kediaman warga tua dan menghubungi pusat khas di pejabat wad itu jika ada sesuatu yang tidak kena. Pegawai akan menghubungi hospital dan pegawai kebajikan jika diperlukan.Pertambahan warga tua yang keseorangan menjadi masalah sosial yang penting. Tahun lalu, 4.6 juta warga tua tinggal bersendirian di seluruh Jepun, dan bilangan yang mati di rumah meningkat 61 peratus antara 2003 dan 2010, daripada 1,364 kepada 2,194, menurut Biro Kebajikan Sosial dan Kesihatan Awam di Tokyo.Keengganan penduduk Jepun untuk campur tangan dalam kehidupan orang lain, walaupun jiran, bermakna sebahagian warga tua ini menjalani hari tua mereka tanpa bercakap dengan sesiapa.Masalah lain ialah tradisi menghormati warga tua yang semakin dilupakan dan ikatan kemasyarakatan yang sudah tidak sekuat dulu, menjadi punca keadaan itu meningkat, kata pakar.Satu karakter teruk masyarakat Jepun pada masa kini ialah kita melayan warga tua seperti mereka haiwan yang tidak mempunyai kehidupan,” kata pengulas sosial, Tomoko Inukai.Beberapa pendekatan kreatif lain diambil untuk memastikan masyarakat sentiasa berhubung dengan warga tua.Seorang ejen hartanah mula mempromosikan idea perkongsian rumah oleh ibu tunggal dan warga tua, menghimpunkan warga emas yang berminat menyewakan ruang dalam rumah selepas keluarga sendiri meninggalkan mereka kepada ibu tunggal yang mencari rumah pada harga berpatutan.Namun, idea itu masih ada masalahnya, kata Hiroshi Kuwayama, Ketua Pengarah Eksekutif Now-e, firma hartanah yang terbabit.Ibu tunggal masih muda dan lebih mudah menerima idea berkongsi rumah tetapi warga tua mengambil masa untuk menerima konsep ini,” katanya.Usaha lain membabitkan keperluan seperti makanan. Sebuah firma di Niigata, Mills, menghantar makanan setiap hari kepada warga tua yang sudah tidak mampu membeli makanan atau memasak dan memeriksa untuk memastikan mereka sihat. – Reuters bharian

Friday, April 15, 2011

Pembangkang utama gesa PM Jepun letak jawatan



TOKYO: Kedamaian politik sementara selepas bencana di Jepun terurai semalam apabila ketua parti pembangkang utama menggesa Perdana Menteri Naoto Kan meletak jawatan ekoran cara beliau menangani bencana gempa bumi, tsunami dan krisis nuklear itu.
Di loji Fukushima Daiichi yang rosak akibat tsunami 11 Mac lalu, para jurutera masih bertungkus lumus mencari kaedah baru bagi menyejukkan salah sebuah reaktor yang rosak, sedang air beradioaktif yang terlalu banyak telah menghalang pekerja mendekati sistem penyejukan dalaman bagi disambung kembali.Encik Kan telah cuba mendapatkan satu pergabungan besar bagi membantu negara itu pulih daripada bencana paling teruknya, serta menggubal undang-undang mengeluarkan belanja bagi projek pembinaan semula terbesar sejak Perang Dunia Kedua.Parti Demokratik Encik Kan menguasai Dewan Rakyat (dewan rendah parlimen) tetapi memerlukan bantuan pembangkang untuk menggubal undang-undang kerana ia kekurangan majoriti dalam Dewan Senat (dewan tinggi parlimen), yang boleh menghalang penggubalan.Namun ketua pembangkang utama, Parti Demokratik Liberal (LDP), yang minggu lalu menolak kemungkinan bergabung, semalam menggesa Encik Kan berundur.Lima minggu lalu satu gempa bumi besar dan tsunami menyebabkan 28,000 orang mati atau hilang, memusnahkan sebahagian besar pantai timur laut dan merosakkan loji nuklear di Fukushima itu.Agensi keselamatan nuklear berkata satu rancangan baru bagi menyejukkan sebuah daripada enam reaktor di loji itu mungkin diperlukan ekoran banyaknya air beradioaktif terkumpul di situ. Ujian juga perlu dilakukan bagi menentukan apakah batang bahan api terpakai ada mengeluarkan radiasi.'Mungkin sukar mengeluarkan semua air tercemar itu dan membolehkan kerja diteruskan. Kami perlu fikirkan pilihan lain,' kata timbalan ketua pengarah Agensi Keselamatan dan Perusahaan Nuklear, Encik Hidehiko Nishiyama. -- Reuters, cyberita

Tuesday, March 22, 2011

Pertaruh nyawa demi jutaan rakyat


OSAKA: Dalam usaha menghindari krisis di loji nuklear Fukushima, sekumpulan petugas rela menghadapi radiasi tahap tinggi demi keselamatan jutaan orang ramai.
Sekali pun kumpulan jurutera terbabit berjaya mengembalikan bekalan tenaga di loji itu yang lumpuh akibat gempa dan tsunami, mereka tetap berdepan risiko terhadap kesihatan.

Bagaimanapun, mereka dengan sukarela ingin kembali ke kawasan dipenuhi toksik itu bagi memulihkan semula kabel tenaga, memeriksa jentera dan mengenal pasti di mana pasukan bomba perlu menyemburkan air bagi menyejukkan reaktor yang mengalami pemanasan.

“Saya akan bekerja sepenuh kemampuan saya supaya keadaan di sini pulih semula,” kata seorang juruteknik yang berusia 30-an kepada majikannya, pengendali loji Syarikat Bekalan Elektrik Tokyo. - AFP

metro

Jepun rugi RM705b, perlu 5 tahun bangun semula


SINGAPURA: Bencana gempa dan tsunami yang melanda Jepun mungkin mengakibatkan ekonomi negara itu mengalami kerugian sehingga AS$235 bilion (RM705 bilion) atau empat peratus pengeluarannya dan pembangunan semula dijangka akan memakan masa lima tahun, lapor Bank Dunia, semalam.
“Mengikut panduan sejarah, pertumbuhan KDNK akan dipengaruhi secara negatif sepanjang pertengahan 2011,” kata bank itu dalam Laporan Ekonomi Asia Timur dan Pasifik yang dikemas kini.

Namun, pertumbuhan dijangka akan menyusul dalam suku berikutnya sebagai usaha pembangunan semula yang mungkin mengambil masa selama lima tahun, tambah laporan itu. - AFP

metro

Saturday, March 19, 2011

Sambungan kabel tenaga di luar loji Fukushima selesai





2011/03/19

TOKYO: Jurutera sudah menyambung kabel kuasa pada bahagian luar loji tenaga nuklear yang lumpuh akibat tsunami dalam usaha terdesak menghidupkan semula pam air bagi menyejukkan rod bahan api yang terlampau panas dan menghalang pelepasan radiasi. 

Penyambung kabel di bahagian dalam loji berkenaan sedang dilakukan sebelum cubaan menghidupkan semula pam air sistem penyejukan loji Fukushima Daiichi itu dapat dilakukan.
Hampir 300 jurutera berusaha mencari penyelesaian kepada usaha menyambung semula bekalan elektrik ke loji dengan enam reaktor itu.
Menurut pihak berkuasa, jurutera terbabit berjaya menghidupkan semula pam diesel yang pernah digunakan untuk menyejukkan reaktor No.5. 

Agensi berita Jiji melaporkan TEPCO sudah mula menggunakan pam air berkuasa diesel di reaktor No.5. - Reuters 

Friday, March 18, 2011

Empat helikopter curah air di loji nuklear




DUA buah helikopter mengambil air laut di Jepun semalam dengan menggunakan sebuah bekas untuk dicurahkan ke reaktor loji nuklear Fukushima Daiichi di Fukushima, Jepun.


TOKYO - Sebanyak empat buah helikopter tentera Jepun digunakan bagi mencurahkan bertan-tan air ke loji jana kuasa nuklear Fukushima Daiichi di Fukushima semalam bagi tujuan menyejukkan batang bahan bakar daripada berlaku kebocoran radiasi.
Helikopter Pasukan Pertahanan daripada jenis CH-47 Chinooks berkuasa dua enjin itu memulakan misi pertama dengan membawa sebuah bekas yang berkapasiti tujuh tan air ke loji tersebut.
Operasi itu dilakukan bertujuan supaya batang bahan bakar dalam reaktor dan kolam penghadang ditenggelami air bagi mengurangkan pendedahan bahan pada udara dan menyebabkan bahan radioaktif tersebar ke alam sekitar.
Sebelum ini radiasi bocor dari reaktor nuklear itu tetapi dalam kadar yang masih tidak dianggap membahayakan kesihatan manusia.
Menteri Pertahanan Jepun, Toshimi Kitazawa berkata, sebanyak 11 kenderaan tentera juga akan dihantar bagi menyertai usaha untuk menyejukkan reaktor itu.
Agensi Keselamatan Nuklear Jepun menyatakan keutamaan akan diberikan kepada reaktor nombor tiga dan empat yang kemungkinan berada pada tahap terlalu panas.
Menurut seorang jurucakap loji nuklear itu yang dikendalikan syarikat Tokyo Elektric Power Co (TEPCO), kolam penghadang di reaktor nombor empat seperti sudah ditenggelami air pada Rabu lalu berdasarkan kepada pemerhatian dari helikopter.
"Kami tidak pasti berapa banyak air sudah berada di dalam reaktor tersebut dan kami juga tidak mempunyai informasi berapa banyak batang bahan bakar yang sudah terdedah," kata seorang jurucakap TEPCO.
Sebelum ini, pekerja-pekerja TEPCO sedang berusaha membaikpulih bekalan tenaga sistem penyejukan yang lumpuh ketika serangan gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun.
Loji itu pernah meletup sebanyak empat kali selepas ia rosak akibat gegaran gempa bumi yang berpusat di timur laut Jepun pada Jumaat lalu.
Gempa bumi kuat itu turut menyebabkan ombak tsunami setinggi 10 meter berlaku dan melanda kawasan di utara dan timur Jepun. - Agensi
-kosmo

Thursday, March 17, 2011

Berpuluh penerbangan ke Jepun dibatal



Penduduk bandar raya sendai berbaris panjang di terminal bas di hadapan stesen kereta api Sendai semalam bagi meninggalkan bandar raya itu yang teruk dilanda gempa bumi dan tsunami jumaat lalu. - AFP


FRANKFURT 16 Mac - Berpuluh-puluh penerbangan ke Jepun dibatalkan atau dilencongkan semalam dan penumpang udara mengelakkan perjalanan ke Tokyo kerana bimbang ancaman radiasi dari sebuah loji nuklear yang rosak teruk akibat gempa bumi pada Jumaat lalu.
Paling teruk terjejas ialah syarikat penerbangan Asia dan Eropah.
Deutsche Lufthansa berkata, ia melencongkan penerbangan dari Tokyo ke Osaka dan Nagoya, sekurang-kurangnya sehingga ke hujung minggu ini.
Katanya, pesawat yang pulang dari Tokyo kelmarin tidak dicemari radiasi.
Air China berkata, ia membatalkan penerbangan ke Tokyo dari Beijing dan Shanghai, terutamanya disebabkan kekurangan kapasiti operasi di beberapa lapangan terbang.
EVA Airways dari Taiwan mengumumkan akan membatalkan penerbangan ke Tokyo dan Sapporo sehingga akhir bulan ini.
Syarikat penerbangan Amerika Syarikat (AS) tidak melaporkan perubahan besar dalam jadual penerbangan mereka ke Jepun, tetapi pihak berkuasa penerbangan AS berkata, mereka bersedia mengambil tindakan termasuk melencongkan penerbangan jika krisis nuklear bertambah buruk.
Kerajaan lain termasuk Britain, Itali dan Belanda mengeluarkan amaran perjalanan dan penerbangan bagi mengelakkan persinggahan di ibu negara Jepun itu. - Reuters

Helikopter Jepun guna air ke atas loji nuklear





2011/03/16

TOKYO: Helikopter kargo rotor kembar milik tentera jepun kelihatan berada di udara, hari ini, untuk misi melepaskan air ke reaktor loji jana kuasa nuklear Fukushima.

Berdasarkan imej yang dipapar menerusi televisyen negara itu, helikopter Chinook CH-47 kelihatan berada di udara; yang mana satu daripada empat pesawat yang Pasukan Pertahanan Sendirian yang sudah diterbangkan.
Yomiuri Shimbun daily menerusi edisi dalam taliannya, melaporkan ia bertujuan menyejukkan saluran minyak di loji nuklear Fukushima terbabit. - AFP
Berita Harian Online