Showing posts with label Sabah. Show all posts
Showing posts with label Sabah. Show all posts

Thursday, March 21, 2013

'Nur Misuari pembohong'

'Nur Misuari pembohong'
Pengganas (berbaju ungu) sedia untuk dibawa ke Mahkamah Tinggi Tawau, semalam.

Kuala Lumpur: Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) mengutuk Pengerusi Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari yang mendakwa pergerakan itu diperalatkan Malaysia.

Sambil menyifatkan Misuari sebagai pembohong, Ketua Sekretariat MILF, Mohammad Ameen, berkata pemimpin MNLF itu melakukan dosa besar kerana melemparkan pelbagai tuduhan tidak berasas terhadap MILF dan Malaysia.
Beliau berkata, hakikatnya Malaysia memainkan peranan penting dalam penubuhan Persidangan Perpaduan Bangsamoro (BSC) pada 2002 untuk menyatukan MNLF dan MILF dengan kerjasama Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).


“Ini (kenyataan Misuari) satu pembohongan yang amat ketara. Misuari berdosa besar atas kenyataan yang sangat tidak bertanggungjawab ini terhadap MILF dan Malaysia. Beliau patut menarik semula dan bertaubat atas dosa ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Mohammad berkata demikian dalam reaksinya terhadap tohmahan Misuari pada temu ramah dengan stesen televisyen Al-Jazeera yang disiar media Malaysia, kelmarin.

Dakwa KL penjajah

Dalam temu ramah itu, Misuari mendakwa MILF adalah alat penjajahan Malaysia, selain Kuala Lumpur menjajah Sabah dan Sarawak.
Dakwanya, perjanjian damai MILF dengan kerajaan Filipina yang dijangka dimuktamadkan bulan depan juga helah Malaysia memperkuatkan pengaruhnya di Sabah.

Misuari dilaporkan berkata, Malaysia penghalang sebenar kepada usaha menyatukan MILF dan MNLF.

“Bagaimana Malaysia boleh dikatakan memanipulasi MILF sedangkan Sabah tidak pernah dijadikan sebahagian agenda rundingan damai sejak 2001,” tanya Mohammad.

Beliau juga mengingatkan Misuari, Malaysia tidak pernah secara sukarela menawarkan diri menjadi jambatan kepada rundingan damai antara kerajaan Filipina dan MILF.

“Malaysia hanya berbuat demikian apabila diminta Presiden Filipina ketika itu, Gloria Macapagal Arroyo yang mahu membuka semula pintu rundingan selepas dihentikan atas arahan bekas Presiden Joseph Estrada.

“Estrada mengisytiharkan perang terhadap MILF dan Arroyo ketika lawatan sulungnya ke Malaysia, secara peribadi meminta bantuan Malaysia (jadi orang tengah),” katanya.

Permintaan Filipina

Malaysia katanya, bersetuju atas permintaan itu sebagai menghormati hubungan baik dengan Filipina.

“Mengapa sekarang Misuari sibuk membuat kenyataan sedangkan sepanjang rundingan damai, beliau tidak pernah bersuara.

“Sebagai ketua, Misuari gagal membuktikan apa-apa. Lebih baik beliau berdiam diri, berehat dan menulis buku sambil membiarkan kepemimpinan baru menerajui Bangsamoro untuk aspirasi perjuangan sebenar,” tegasnya.

Wednesday, March 20, 2013

38 pengikut Kiram ditahan perlu sedia RM475,000 untuk bebas

20 Mac 2013
BATU-BATU - Seramai 38 pengikut Kiram yang ditangkap pihak berkuasa Filipina  pada 13 Mac lalu perlu menyediakan wang jaminan P6.2 juta (RM475,000) jika mahu dibebaskan.
Mereka ditahan kerana memiliki senjata api secara haram dan mencetuskan konflik sehingga menjadi pencetus konflik di Sabah.
“Kami telah memfailkan usul untuk mengurangkan wang jaminan semalam tetapi ia masih belum selesai,” kata Ketua Pejabat Peguam (PAO), Persida Rueda-Acosta.

Acosta hanya mengikut permintaan Kesultanan Sulu membela nasib pengikut Kiram seramai 38 orang itu.

Beliau berkata, pihaknya cuba untuk meminta mahkamah mengurangkan wang ikat jamin kepada P3,000 (RM230) bagi setiap tertuduh.

Pihaknya turut meminta mahkamah menjalankan siasatan awal supaya boleh mengemukan afidavit mereka.

Setiausaha Kehakiman, Leila de Lima sebelum ini berkata Kiram dan pengikutnya boleh dibicara di Filipina di bawah Kanun Keseksaan yang diguna pakai jika rakyat negara itu melakukan kesalahan jenayah di luar negara.

Jul Asbi terbunuh



Manila: Jul Asbi yang merekrut sekurang-kurangnya 100 pengikut Esmail Kiram untuk menceroboh Sabah disahkan terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan Malaysia pada 8 Mac lalu.

Jurucakap Pengawal Pantai Filipina (PCG) Armand Balilo berkata, kematian Jul dimaklumkan oleh tiga pengikutnya yang dikenali sebagai Ruben Anok, 23, Joseph Mahabasal, 43, dan Andmursalun Yusop, 30.


Ketiga-tiga mereka adalah penduduk Pulau Tawi-Tawi. Balilo berkata, ketiga-tiga pengikut Jul itu dipintas anggota PCG pada 13 Mac lalu di kawasan perairan yang terletak 12 batu nautika dari Pulau Omapoy, Tawi-Tawi. “Pemeriksaan menemui sepucuk pistol .45 calibre dan enam peluru daripada tiga lelaki terbabit yang mengaku pengikut Esmail,” katanya. Berdasarkan pengakuan lelaki itu, mereka mendakwa direkrut Jul ke Sabah pada 6 Mac lalu.

Katanya, Jul adalah individu paling dipercayai keluarga Kiram. “Pada hari sama, mereka dibawa dari Tawi-Tawi ke Tanjung Batu di Sabah menaiki bot yang dikendalikan Musa Abdullah,” katanya. - Inquirer.net

Kawalan di Pulau Bum Bum diperketat

Foto
PERKAMPUNGAN nelayan di Pulau Bum-Bum yang terletak berdekatan dengan perkampungan Simunul dan Sri Jaya.
Semporna: Seperti ‘kampung koboi’ sesuai bagi menggambarkan tanggapan pertama terhadap perkampungan Pulau Bum Bum, dekat sini, yang agak tersisih daripada penguatkuasaan pihak berkuasa, bukan kerana tidak dipedulikan, tetapi kerana tidak banyak jenayah di kawasan berkenaan.
Walaupun wujud pelbagai masalah termasuk jenayah seperti penyeludupan dan berkaitan dadah yang biasanya dilakukan pendatang asing, namun ia tidak serius.
Perkampungan Simunul dan Sri Jaya berhampiran, menjadi terkenal selepas menjadi medan tragedi apabila enam anggota polis maut dibunuh dengan kejam oleh pengganas ketika pertempuran dengan pihak berkuasa yang turut menyebabkan tujuh pengikut Jamalul Kiram III yang mendakwa dirinya Sultan Sulu, ditembak mati, 2 Mac lalu.

Difahamkan, sebelum kejadian berdarah itu, kurang pengawasan dilakukan pihak berkuasa, termasuk melakukan pemeriksaan terhadap pendatang asing.


Bagaimanapun, selepas kejadian itu, tahap penguatkuasaan di pulau itu diperketat bagi memburu pengganas serta tali barutnya.

Sunday, March 17, 2013

Rupa-rupanya Filipina Yang Nak Sangat Perangi Sabah!


Walaupun tidak pernah digugurkan secara rasmi, Filipina sudah agak lama tidak menyuarakan tuntutan ke atas Sabah secara terbuka.



Namun hari ini, di Baguio City, Presiden Benigno mengesahkan negaranya akan terus menuntut Sabah daripada kerajaan Malaysia.

Pendekatan Benigno bagaimanapun lebih terpuji kerana memilih kaedah dialog dan diplomasi dalam tuntutan berkenaan.

Benigno tidak mahu pendekatan kenteraaan digunakan terutama di kala negaranya sedang berhadapan dengan China berhubung tuntutan ke atas Kepulauan Spartly (Bajo de Masinloc) di dalam perairan Laut Filipina Barat (Laut China Selatan).

Beliau mengakui isu Sabah adalah kompleks dan tahu kedua negara tidak akan melepaskan wilayah yang kaya dengan hasil petroleum berkenaan.

Beliau memberitahu demikian pada satu majlis di Akademi Tentera Filipina di bandar berkenaan.

Walaupun Filipina mahu meneruskan tuntutan ke atas Sabah, namun ia dilihat sebagai satu tuntutan yang lemah termasuk di kalangan rakyat Filipina sendiri.

-Mynewshub

‘Dia sebenarnya syok sendiri’


Kuala Lumpur: “Dia sebenarnya syok sendiri dengan mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan Sulu. Bagaimanapun, dia tidak mempunyai daulat kerana sultan berdaulat hanyalah mereka yang mempunyai wilayah sendiri.

“Ini jelas menunjukkan Jamalul Kiram III hanya ingin mencari pengaruh untuk meluaskan kekuasaan tanpa berfikir siapa dirinya sebenar,” kata Pensyarah Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh.


Menurut beliau, banyak persoalan timbul mengenai identiti sebenar Jamalul Kiram III dan kebanyakan penerangan mengenai statusnya hanya dapat diperoleh daripada media Filipina.

Katanya, kesultanan Sulu sebenarnya sudah tidak wujud atas beberapa faktor seperti tidak mempunyai wilayah sendiri dan kebanyakan mereka yang mengaku sebagai sultan hanya melakukannya untuk mendapatkan kuasa.


“Kajian menyeluruh masih belum dibuat untuk mengetahui asal-usul sebenar Jamalul Kiram III. Kalau dia iktiraf dirinya sebagai sultan sekali pun, ia tidak akan membawa sebarang kesan kerana dia tidak mempunyai rakyat, sebaliknya hanya ada pengikut,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.


Wan Hashim berkata, berdasarkan perkembangan sekarang, mengaku sebagai sultan Sulu seakan-akan sudah menjadi perkara biasa kerana sesiapa saja boleh mendakwa sekiranya namanya ada kaitan dengan sejarah Kesultanan Sulu sebelum ini.

Pengganas lapar curi makanan


Bagan Datoh: Ada di antara pengganas yang menceroboh Kampung Tanduo, Lahad Datu sejak 12 Februari lalu keluar senyap-senyap dari tempat persembunyian untuk mencuri makanan di beberapa lokasi tertentu kerana kelaparan akibat kepungan anggota keselamatan negara.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengganas terbabit dilapor mencuri makanan di rumah kongsi dan kedai makan.


Katanya, saki-baki kumpulan pengganas itu semakin terdesak akibat ketiadaan bekalan makanan dan minuman kerana dikepung pihak keselamatan di kawasan kecil.

“Ketuanya sudah meninggalkan mereka, moral mereka terlalu rendah sekarang dan masyarakat di Sabah tidak menyokong tindakan mereka, ertinya mereka tidak dapat bantuan maklumat dan juga sokongan moral keturunan Sulu di negeri Sabah.


“Kita harap masyarakat setempat dapat lebih berhati-hati kerana mereka lapar dan tindakan mereka lebih agresif,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan 120 komputer untuk sekolah rendah kebangsaan dan jenis kebangsaan terpilih, di sini, semalam.

Muka depan akhbar ini Jumaat lalu melaporkan, pengganas yang kini semakin kekurangan sumber makanan dikesan mula keluar dari kawasan persembunyian dan menemui penduduk kampung, sekurang-kurangnya untuk mendapatkan bekalan makanan.


Ini berikutan tiga laporan polis dibuat penduduk kampung memaklumkan mereka didatangi pengganas yang meminta diberikan air minuman di beberapa lokasi berasingan dalam gugusan Felda Sahabat dalam tempoh dua hingga tiga hari lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata, kerajaan akan berbincang dengan pihak berkuasa bagi membenarkan diplomat Filipina di negara ini melawat suspek pengganas yang ditahan.


Katanya, beliau akan berbincang dengan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Polis Diraja Malaysia bagi tujuan itu.


“Diplomat Filipina, termasuk dutanya di Kuala Lumpur, mungkin dibenar melawat selepas urusan soal siasat oleh pihak keselamatan ke atas suspek selesai sepenuhnya,” katanya.


Pada masa sama, Ahmad Zahid juga menyangkal laporan portal berita Philippine Daily Inquirer bahawa Malaysia menyekat pasukan kemanusiaan dan media Filipina daripada berjumpa rakyat negara itu yang ditahan di pusat pemindahan di Lahad Datu.


Menurut Ahmad Zahid, semua media asing, termasuk dari Filipina, bukan saja dibenar berada di pusat media di Felda Sahabat, tetapi juga dibawa ke kawasan Operasi Daulat bagi mendapat gambaran sebenar, susulan ada dakwaan pihak keselamatan negara ini bertindak zalim dan mengetepikan hak asasi manusia.

Mesti makan darah


Kota Kinabalu: Tidak kira sama ada lawan masih hidup atau sudah mati, barung atau badung iaitu senjata tradisional masyarakat Suluk dari kepulauan selatan Filipina yang sentiasa terselit di pinggang perlu ‘makan darah’.

Sehubungan itu, tidak hairan kumpulan pengganas yang menceroboh Lahad Datu dan Semporna di Sabah tergamak menetak dan mencencang tubuh, malah memenggal kepala anggota keselamatan yang mati disebabkan terkena tembakan, semata-mata kerana mahu ‘menjamu’ barung mereka dengan darah.


Tindakan tidak berperikemanusiaan pengganas terbabit yang disifatkan lebih kejam daripada komunis, didakwa dilakukan kerana terlalu taksub dengan kepercayaan kuno masyarakat itu kononnya barung berkenaan mempunyai kuasa mistik.

Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan Suluk Bajau Tawau Abdul Ali Erilis berkata, mengikut sejarah nenek moyang yang diceritakan bapa saudaranya yang berasal dari kepulauan Sulu, pahlawan Suluk akan tetap ‘membunuh’ mangsa menggunakan barung walaupun musuh tidak bernyawa lagi.


“Perbuatan kejam, termasuk menyeksa sebelum membunuh lawan, dilakukan kerana mewarisi sejarah perjuangan nenek moyang kononnya ia lambang ‘pahlawan Suluk’ sejati.


“Tindakan memenggal kepala musuh yang tidak bernyawa dilakukan sebagai bukti mereka pejuang kuat dan ganas di mata dunia,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat Suluk di Filipina masih mempercayai kononnya barung mempunyai kuasa mistik tersendiri. Sehubungan itu, sebelum diasah, senjata itu akan ditangas terlebih dulu supaya ‘kekuasaan dan ketajamannya’ cukup untuk membunuh mangsa.


“Jika mangsa dibunuh menggunakan barung, mereka akan diangkat sebagai pahlawan oleh masyarakat Suluk pada zaman dulu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, dalam peperangan dulu kala, tidak sah kematian musuh jika barung tidak menjamah darah mangsa.


“Mungkin penceroboh terbabit masih memegang prinsip perjuangan dulu kala sehingga sanggup berlaku kejam terhadap mayat pasukan keselamatan kita yang terkorban.


“Prinsip mereka, tidak sah jika barung tidak melekat pada badan musuh dan mungkin sebab itu mereka bertindak kejam walaupun mangsa tidak bernyawa lagi,” katanya.


Menurut Ali, berbanding zaman dulu dengan situasi sekarang, jelas pengganas terbabit sengaja mahu menunjukkan kekuatan selain menakutkan pasukan keselamatan.


“Pengganas terbabit mungkin sengaja melakukan kekejaman terhadap anggota keselamatan kita sebagai satu peringatan kononnya mereka sangat kuat.


“Namun, saya tidak tahu mengenai kekebalan mereka. Walaupun mendakwa mempunyai kuasa mistik, ramai juga terbunuh kerana terkena peluru pasukan keselamatan,” katanya.


Berbeza pula dengan pendapat disuarakan Setiausaha Persatuan Rumpun Etnik Suluk Sabah (PRESS), Mohd Zaki Herry Susanto yang mendakwa kumpulan pengganas yang menceroboh Lahad Datu berkemungkinan dipengaruhi dadah jenis syabu.


“Saya pernah dimaklumkan bahawa pengganas terbabit menggunakan syabu supaya sentiasa bertenaga dan mampu bertahan ketika berperang meskipun berhari-hari tidak menjamah makanan.


“Selain itu, pengaruh penggunaan dadah menjadikan pengganas hilang pertimbangan, termasuk bertindak kejam terhadap mayat lawan,” katanya.


Katanya, kebanyakan pengganas menyasarkan kepala kerana menyedari satu das tembakan saja mampu menumbangkan lawan.


“Pengganas lebih gemar menembak kepala kerana mengetahui pasukan keselamatan memakai baju kalis peluru. Bagi saya, ia tiada kaitan dengan ilmu mistik seperti memiliki ilmu kebal atau ghaib,” katanya.

2,800 huni empat pusat penempatan


2,800 huni empat pusat penempatan Kanak-kanak dari Kampung Sungai Merah kelihatan ceria ketika ditemui di pusat penempatan sementara di Dewan Besar Cenderawasih dekat Felda Sahabat.
Lahad Datu: Keselamatan kira-kira 2,800 penduduk di empat pusat penempatan sementara sekitar FELDA Sahabat sejak pencerobohan pengganas, di kawal ketat pihak berkuasa.

Anggota pasukan keselamatan ditempatkan di semua pusat penempatan itu dengan dibantu anggota RELA, selain pemeriksaan kesihatan oleh kakitangan Jabatan Kesihatan.
Penduduk juga tidak dibenarkan keluar sesuka hati dari pusat penempatan itu dan perlu melaporkan kepada pegawai bertugas jika ingin keluar atau berpindah ke rumah saudara mara.

Kehadiran anggota pasukan memberi keyakinan kepada penduduk terbabit mengenai keselamatan mereka.

Tinjauan BH di penempatan sementara di Fajar Harapan mendapati penghuninya menjalani kehidupan seperti biasa, manakala kanak-kanak riang bermain futsal di gelanggang berhampiran.

Seorang penduduk yang ditemui di pusat penempatan sementara di Cenderawasih, Juhasni Muhtar, 40, berkata kebajikan dan keselamatan mereka sentiasa dijaga pasukan keselamatan.

"Sini bagus walaupun terpaksa tinggal beramai-ramai. Ada makan dan minum disediakan... kalau sakit pun diberi ubat.
"Rasa takut sudah tiada kerana kami jauh dari lokasi perang, lagi pun ada orang kawal di pintu masuk," katanya.

Selain di Fajar Harapan dan Cenderawasih, pusat penempatan sementara turut dibuka di Embara Budi dan Gemala Pura.

Agbimuddin Kiram berjaya lolos, Op Daulat diteruskan




16 Mac 2013
Sabah diceroboh
Sabah diceroboh
KOTA KINABALU - Operasi Daulat bagi mengesan dan memburu kumpulan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah akan diteruskan walaupun ketua kumpulan penceroboh itu, Azzumudie Kiram atau Agbimuddin Kiram telah meloloskan diri ke selatan Filipina.

Berdasarkan maklumat dan risikan daripada sumber tertentu, pihak berkuasa keselamatan berpendapat dan yakin Azzumudie telah meninggalkan pengikutnya di kawasan operasi dan melarikan diri ke tempat asalnya di selatan Filipina.

Perkara itu diumumkan oleh Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Jeneral Zulifeli Mohd Zain dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar pada sidang media bersama di sini, malam tadi.

Mereka berkata maklum balas daripada pasukan keselamatan negara di kawasan operasi di Kampung Tanduo, Lahad Datu dan kawasan sekitarnya menunjukkan Azzumudie tidak lagi bersama dengan pengikutnya di Sabah.

Bagaimanapun, mereka tidak memberi butiran lanjut ketika ditanya bagaimana ketua pengganas itu berjaya meloloskan diri daripada kepungan pasukan keselamatan yang melancarkan gerakan besar-besaran sejak 12 hari lepas.

Zulkifeli berkata, walaupun Azzumudie telah melarikan diri, Op Daulat akan diteruskan bagi memburu dan menangkap saki-baki kumpulan itu yang masih berada di Tanjung Batu, Lahad Datu.

Beliau berkata, pasukan keselamatan telahpun memasuki Kampung Tanjung Batu untuk membuat pembersihan dengan lebih terperinci dan yakin dalam beberapa hari lagi kawasan itu dapat dibersihkan.

Dalam operasi pagi semalam, pasukan keselamatan mengesan beberapa aktiviti yang dipercayai dilakukan oleh musuh dalam kumpulan yang kecil,
katanya.

Ismail pula berkata, pihaknya yakin dengan jumlah besar anggota pasukan keselamatan pada masa ini, usaha membersihkan kawasan-kawasan yang terbabit dapat dijalankan dengan lebih cepat dan berkesan.

Sebelum itu, kedua-dua mereka mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa.

Mengenai penubuhan kawasan keselamatan khas Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Ismail berkata pihaknya telah mengenalpasti beberapa kawasan dan berharap ianya dapat direalisasikan.

Sementara itu Zulkifeli pula berkata, pihaknya telahpun menyediakan kerangka penubuhan ESSCOM dan yakin ianya dapat diwujudkan dengan secepat mungkin.

Selepas sidang media itu, kedua-dua mereka telah menghadiri mesyuarat mengenai penubuhan ESSCOM, yang dipengerusikan oleh Ali di sini. - Bernama

Saturday, March 16, 2013

Pengganas tumbang lagi menjadikan 53 kesemuanya



LAHAD DATU: Seorang lagi pengganas ditembak mati dalam satu pertempuran bersama pasukan keselamatan di Kampung Tanjung Batu, di sini, pagi ini.

Pengganas terbabit yang dipercayai sudah berpecah kepada kumpulan kecil dan bersembunyi di hutan sekunder di kampung berkenaan dikesan, kira-kira jam 8 pagi.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, dalam kerjadian itu, berlaku tembak menembak dan akhirnya seorang pengganas ditembak mati.

Menurutnya, setakat ini, jumlah kematian pengganas bertambah kepada 53 orang.


Katanya, polis juga sudah menahan beberapa suspek di luar kawasan operasi (Kampung Tanduo dan Kampung Tanjung Batu) dan jumlah suspek yang disyaki terbabit dengan pengganas berkenaan berjumlah 79 orang.


"Pihak polis sedang mengesan beberapa lagi suspek. Semua suspek kini ditahan dan disoal siasat bagi melihat sejauhmana pembabitan mereka dalam kumpulan pengganas berkenaan," katanya pada sidang media harian bersama Panglima Angkata Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin di Felda Resedince Sahabat, di sini.

Beliau berkata, semua maklumat yang diterima daripada suspek akan disahkan.

Ketua pengganas cabut lari

Agbimuddin biarkan pengikut berdepan pasukan keselamatan
15 mayat lagi ditemui dalam tiga kubur

Kota Kinabalu: Ketua pengganas, Agbimuddin Kiram, dipercayai melarikan diri ke selatan Filipina dan meninggalkan pengganas lain untuk berdepan pasukan keselamatan di kawasan operasi Ops Daulat.


Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, berkata adik Jamallul Kiram III itu tidak mungkin berada di kawasan operasi pembersihan dalam gugusan Labian di Tungku, kerana pasukan keselamatan tidak menemui sebarang petanda kehadirannya.

"Berdasarkan maklumat dan risikan diperoleh menerusi sumber, kita berpendapat dan berkeyakinan besar Agbimuddin sudah meninggalkan pengikutnya yang berada di kawasan Ops Daulat," katanya pada sidang media bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar di sini, malam tadi

Filipina dakwa 35 pengikut Jamalul Kiram



Manila: Kerajaan Filipina semalam, mengemukakan dakwaan jenayah terhadap 35 pengikut Jamalul Kiram III yang ditahan di Tawi-Tawi ketika cuba melarikan diri dari Sabah.

Setiausaha Kehakiman Filipina, Leila de Lima, berkata mereka didakwa atas tuduhan memiliki senjata api.
“Saya yakin ada dakwaan lain ke atas mereka,” katanya merujuk aktiviti mereka ketika berada di Sabah.

De Lima berkata, pendakwaan dibuat selepas siasatan yang dilakukan ke atas mereka berakhir, kelmarin, lapor akhbar Manila Standard Today dan The Sunstar.

Katanya, mereka yang cuba lari daripada ditahan pasukan keselamatan Malaysia akan terus ditahan di markas tentera laut Panglima Sugala, Tawi-Tawi kecuali mahkamah memberi arahan lain.

Tiada peluang menang

Dalam taklimat media, jurucakap presiden, Edwin Lacierda, berkata kerajaan juga akan menganalisis mengapa pegawai perisikan gagal menghalang Jamalul Kiram daripada menghantar 200 pengikutnya ke Sabah, awal Februari lalu.
Mengulas lanjut, De Lima berpendapat Jamalul Kiram dan pengikutnya tiada peluang untuk menang tuntutan terhadap Sabah.

Katanya, Jamalul Kiram sudah diberi peluang untuk memanggil pulang pengikutnya dari Lahad Datu sebelum pertempuran meletus dengan tentera Malaysia, 1 Mac lalu.

Friday, March 15, 2013

Bedil sarang pengganas

Bedil sarang pengganas
» Kampung Sungai Nyamuk dihujani mortar

» Dua kampung air di Semporna digempur

Lahad Datu: Pasukan keselamatan pagi semalam mula membedil lokasi persembunyian pengganas di Kampung Sungai Nyamuk, FELDA Sahabat 22 dekat sini, menggunakan mortar.



Bedilan bertalu-talu itu bertujuan memaksa saki baki pengganas keluar dari tempat persembunyian mereka.

Kampung Sungai Nyamuk kini menjadi sasaran pasukan keselamatan selepas pertempuran dengan kumpulan pengganas di kampung itu, Selasa lalu, mengorbankan Allahyarham Koperal Ahmad Hurairah Ismail, 24.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, berkata pihaknya menyerang lokasi spesifik yang dipercayai menjadi tempat persembunyian pengganas
di kampung itu selepas mereka melarikan diri dari Kampung Tanduo dan Kampung Tanjung Batu.
“Kita melancarkan serangan mortar dulu sebelum melakukan operasi mencari dan menggeledah.

“Bagaimanapun, sejak petang semalam (kelmarin) tiada pertempuran dengan pengganas.

Penembak tepat

“Kita percaya mereka masih bersembunyi di kampung itu,” katanya pada sidang media bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar di FELDA Sahabat 16 dekat sini, semalam.

Allahyarham Ahmad Hurairah terkorban ketika bertempur dengan lima pengganas Sulu di kawasan ladang kelapa sawit di kampung itu pada jam 10.30 pagi, Selasa lalu.

Beliau yang ditugaskan sebagai ‘pointer’ iaitu anggota tentera paling depan dalam kumpulannya untuk menjejaki musuh, dipercayai ditembak penembak tepat musuh.

Allahyarham dari Batalion Ke-7 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Kukusan Tawau, Sabah dan berasal dari Pasir Mas, Kelantan gugur di tempat kejadian. Dua pengganas berjaya dibunuh pasukan keselamatan dalam pertempuran itu.

Zulkifeli berkata, pasukan keselamatan kini memperkecil kawasan kepungan di Kampung Sungai Nyamuk dan Kampung Tanjung Batu, selain meneruskan operasi mencari dan menggeledah di Kampung Sungai Bilis dan Kampung Tanjung Labian.

Dapatkan naskhah BH hari ini untuk berita yang lain atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

Pengganas cari air


Lahad Datu: Pengganas Sulu yang kini semakin kekurangan sumber makanan dikesan mula keluar dari kawasan persembunyian dan menemui penduduk kampung, sekurang-kurangnya untuk mendapatkan bekalan air minuman.

Ini berikutan tiga laporan polis dibuat penduduk kampung memaklumkan mereka didatangi pengganas Sulu yang meminta diberikan air minuman di beberapa lokasi berasingan dalam gugusan Felda Sahabat dalam tempoh dua hingga tiga hari lalu.

Seorang wanita berusia 25 tahun yang meminta namanya dirahsiakan memberitahu Harian Metro, dia didatangi tiga pengganas Sulu ketika mengutip buah kelapa sawit di Felda Sahabat 45, jam 1.30 tengah hari, kelmarin.

“Seorang daripada mereka berkata kepada saya, jangan takut...saya cuma jalan-jalan cari air,” katanya.

Foto
RUMAH penduduk Kampung Tanjung Batu musnah dibakar pengganas Sulu.

Foto
KEDAI runcit milik penduduk yang dipecah masuk pengganas Sulu.

Menurutnya, sebelum lelaki itu muncul dia terkejut apabila dibaling buah sawit sebanyak dua kali.

Tentera Filipina tempatkan 34 kapal untuk bantu pelarian dari Sabah




GAMBAR fail menunjukkan penduduk Filipina tiba di Jolo dari Sabah bagi melarikan diri daripada pertempuran antara kumpulan pengganas Sulu dengan anggota keselamatan Malaysia baru-baru ini.


MANILA - Tentera Laut Filipina menyatakan ia telah menempatkan sebanyak 34 unit kapal di sepanjang sempadan perairan negara ini bagi membantu pelarian dari Sabah untuk kembali ke sini, lapor portal berita Philstar.com. semalam.
Ia juga memberi jaminan tidak akan ada pengikut pemimpin puak pengganas Sulu, Jamalul Kiram III boleh melepasi sekatan itu untuk ke Sabah.
"Kita mempunyai kapal yang mencukupi untuk mengawal sempadan perairan negara," kata jurucakap tentera laut, Leftenan Komander Gregory Fabic.
Katanya, pasukannya masih berkemampuan untuk mengesan dan mencegah sebarang pencerobohan.
Kelmarin dua buah bot yang membawa seramai 36 orang yang merupakan saki-baki pengganas Sulu di Sabah berjaya dipintas kapal peronda milik negara ini.
Ketika pemeriksaan pihak tentera laut menemui sejumlah senjata api termasuk senapang patah dan raifal M16. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0315&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2NZqKne6O 
Hakcipta terpelihara 

36 pengikut Azzimuddie akan didakwa di Filipina



ANGGOTA polis Filipina cuba menghalang seorang penunjuk perasaan yang mendesak pasukan keselamatan Malaysia menghentikan operasi 
ke atas pengganas Sulu daripada mendekati pagar Kedutaan Malaysia 
di Manila semalam.


MANILA - Seramai 36 orang pengikut ketua gerombolan pengganas Sulu di Sabah, Azzimuddie Kiram yang ditahan oleh Tentera Laut Filipina selepas melarikan diri dari Sabah pada pagi kelmarin akan didakwa kerana memiliki senjata haram, kata Setiausaha Kehakiman Leila de Lima semalam.
Menurut laporan akhbar Philippine Daily Inquirer, De Lima berkata, 35 orang lelaki dan seorang wanita yang mendakwa sebagai anggota Tentera Kesultanan Sulu itu akan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan tersebut.
"Mereka boleh dikenakan tuduhan kerana memiliki senjata api dan senjata berbahaya," kata De Lima pada satu sidang media di Istana Malacanang.
Ketika mengulas kritikan yang mendakwa pemerintah bertindak menfailkan pertuduhan terhadap para pengikut itu dengan cepat berbanding membantah layanan tidak berperikemanusiaan oleh Malaysia terhadap warga Filipina, de Lima berkata: "Kumpulan itu telah melakukan tindakan menyalahi undang-undang dan perbuatan jenayah menyebabkan kita tidak boleh mengetepikan mereka."
Kelmarin, dua buah bot peronda Tentera Laut Filipina berjaya memintas dua bot yang membawa 36 pengikut Azzimuddie termasuk seorang wanita yang memasuki perairan Filipina dari Sabah.
Ketika pemeriksaan, kedua-dua bot itu didapati membawa sejumlah senjata api termasuk M16 dan senapang patah.
Salah seorang penumpang turut dilaporkan cedera.
De Lima berkata, semua penumpang memperkenalkan diri mereka sebagai Tentera Kesultanan Sulu.
Bot peronda tentera laut Filipina memintas sebuah bot yang membawa 18 orang penumpang termasuk seorang wanita di perairan Pulau Omapoy kira-kira pukul 6.35 pagi.
Kira-kira sejam selepas itu sebuah bot lagi yang membawa 18 penumpang dipintas di perairan Pulau Andulingan.
Mereka melarikan diri dari Sabah selepas berlaku pertempuran antara pasukan keselamatan dengan para pengikut Azzimuddie yang merupakan adik Jamalul Kiram III.
Pertempuran itu berlaku selepas para pengganas Sulu tersebut menceroboh Sabah pada 12 Februari lalu dengan alasan untuk menuntut tanah nenek moyang Kesultanan Sulu.
Namun, Azzimuddie bukan antara yang ditahan.
Menurut De Lima, beliau tidak tahu sama ada pegawai penyiasat memperoleh sebarang maklumat mengenai kedudukan Azzimuddie.
"Daripada semua petunjuk itu, mereka kemungkinan adalah saki-baki pengikut ke Sabah dan selepas diserang pasukan keselamatan Malaysia mereka pulang ke sini," katanya.
Kesemua mereka kini ditempatkan di sebuah kem tentera laut di bandar Panglima Sugala di Tawi-Tawi dan disoal siasat oleh para pegawai Biro Siasatan Kebangsaan dan polis. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0315&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2NZng4HyP 
Hakcipta terpelihara 

Wednesday, March 13, 2013

Komander Musa masih hidup dan ‘menikmati kopi’, kata keluarga Kiram



Sultan Jamalul Kiram III, yang mendakwa dirinya Sultan Sulu, berdoa bersama keluarga dan penyokongnya di Taguig, Manila 6 Mac 2013. — Gambar Reuters
KUALA LUMPUR, 13 Mac — Keluarga Kiram menyanggah kenyataan pasukan Malaysia telah membunuh “Komander Haji Musa” yang juga bekas komander Moro National Liberation Front (MNLF) yang merupakan salah seorang pemimpin tertinggi militan Sulu.
Jurucakap Sultan Sulu Abraham Idjirani memberitahu saluran media ABS-CBN News beliau telah bercakap dengan ketua kumpulan Agbimuddin Kiram yang mengesahkan Musa masih lagi hidup, bercanggah dengan laporan di sini.
“Beliau masih lagi hidup dan mereka telah berkumpul semula pada 1.00 pagi Rabu. Mereka minum kopi. Laporan berita Malaysia salah,” kata Idjirani menurut portal atas talian saluran tersebut.
Jurucakap tersebut juga mempertikaikan angka daripada pihak berkuasa Malaysia mengenai bilangan kematian militan Sulu, mengatakan hanya 23 anggota kumpulan itu telah dibunuh setakat ini.
Menurut angka daripada polis tempatan, 56 militan Sulu telah gugur sejak serangan bermula pada 1 Mac.

Agensi berita nasional melaporkan semalam pertempuran senjata yang terbaru antara pasukan keselamatan dan kumpulan pemberontak, dua lelaki bersenjata Sulu terbunuh, meningkatkan jumlah kematian militan Sulu kepada 56 orang.
Setakat ini, 10 rakyat Malaysia telah terbunuh, termasuk lapan anggota polis dan dua orang tentera. Seorang lagi remaja, yang identitinya masih tidak diketahui, tertembak mati semasa operasi Ops Daulat.
Agbimuddin, adik kepada lelaki yang mendakwa dirinya Sultan Sulu Jamalul Kiram III, mendarat di Lahad Datu, Sabah pada 9 Febuari dengan sekumpulan 235 lelaki bersenjata untuk menuntut negeri Malaysia timur itu.
Selepas percubaan berunding secara aman oleh kerajaan Malaysia dan pemerintah Filipina gagal, pasukan keselamatan menggempur pemberontak bersenjata di Kampung Tanduo.
Selepas dua hari Ops Daulat dilancarkan , keluarga Kiram menuntut gencatan senjata tetapi enggan menarik keluar tentera mereka dari Lahad Datu.
Sebagai tindak balas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menolak permintaan itu, memberitahu kumpulan bersenjata untuk menyerah tanpa syarat atau berhadapan dengan kematian.
Terdahulu hari ini, Ketua Polis Sabah Datuk Hamza Taib mengakui bahawa pasukan keselamatan masih belum memahami Agbimuddin, walaupun selepas sembilan hari Ops Daulat.
Polis juga percaya, Agbimuddin tidak pernah keluar dari kawasan berkenaan sejak pencerobohan pada 12 Februari lepas.
“Sebagai ketua dia tidak akan lari. Kami masih yakin dia bersama kumpulan itu,” katanya seperti dilapor oleh agensi berita Bernama pagi tadi.

13 tahun risikan tentera diguna untuk operasi politik – Lt Jen (B) Ghafir


PETALING JAYA 13 MAC: Risikan tentera yang lemah dan diguna untuk matlamat politik menyebabkan musuh menceroboh perairan dan membolos masuk ke dalam negara, kata mantan Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral (B) Datuk Ghafir Abdul Hamid.
Beliau mendedahkan, mulai tahun 2000, aset dan keupayaan Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) cenderung digunakan untuk operasi politik.
“Selama 13 tahun mereka hilang kepakaran dan aset untuk melaksanakan tugas utama untuk merisik. Sepatutnya kita boleh menjangka apa yang bakal berlaku dengan risikan yang baik.
“Dalam BSPP ada bahagian yang mengendali risikan luar. Mereka ini sepatutnya mengumpul maklumat dan analisis risikan. Itu kerja utama mereka. Tugas pemikiran politik bukan kerja mereka.
“Sumber maklumat yang diproses untuk perisikan. Ini yang akan kita gunakan untuk memberi pilihan berhubung tindakan yang akan diambil. Bukannya musuh dah sampai ke darat baru nak ambil tindakan. Ini sangat deactive (lambat),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, hari ini.
Beliau merujuk isu pencerobohan di Lahad Datu, Sabah mengakibatkan 10 anggota keselamatan negara terkorban sehingga ke hari ini.
Ghafir berkata, kerajaan tidak konsisten menangani isu pencerobohan itu dan hanya mengambil tindakan selepas 23 hari.

“Tindakan kerajaan tidak konsisten. Apabila tindakan lambat, mereka (penceroboh) telah ‘bekerja’. Dari kumpulan kecil menjadi besar. Kesalahan ini mesti diakui (kerajaan),” tegasnya.
Beliau mempertikai alasan kerajaan kononnya tentera tidak boleh dilibatkan dalam operasi keselamatan kerana perlu mematuhi Konvensyen Gineva 1949 dalam menangani insiden Lahad Datu.
“Bila ini berlaku, (bagaimana kerajaan) ubah pula dengan menggunakan angkatan tentera dengan konvensyen yang sama?” soal Ghafir.
“Mereka (penceroboh) datang untuk mengambil tanah wilayah kita dan mengancam nyawa rakyat,” kata Ghafir menjelaskan definisi pencerobohan adalah termasuk atas tujuan kepentingan ekonomi.
Dalam pada itu, beliau mendesak kerajaan memohon maaf kepada rakyat dan keluarga anggota keselamatan yang gugur akibat kegagalan menangani pencerobohan itu.
“Saya menjemput rakyat, tak kira apa bangsa, agama, fahaman, mana parti yang disokong untuk sama-sama bangkit dan menggesa kerajaan mengaku akauntabiliti ke atas kegagalan dan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia,” kata Ghafir.

Panglima: Kami lawan pengganas, bukan sandiwara.....!!


PASIR MAS - Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin menegaskan pasukan keselamatan bertempur dengan pengganas sebenar dan bukan satu sandiwara sebagaimana yang dicanangkan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Saya tidak faham jika orang kata sandiwara. Nyawa dipertaruhkan... kami menghadapi musuh sebenar dan bukan lakonan.

"Dua anggota tentera dan lapan anggota polis terbunuh, adakah itu sandiwara? Tepuk dada tanya selera," katanya kepada pemberita selepas menghadiri pengkebumian Allahyarham Kpl Ahmad Hurairah Ismail di Kampung Bayu Lalang, di sini, hari ini.

Ahmad Hurairah terkorban dalam pertempuran dengan pengganas di Sungai Nyamuk, Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu, Sabah.


Seorang lagi anggota tentera, Kpl Ahmad Farhan Ruslan pula terkorban dalam kemalangan jalan raya di Km 37 Lahad Datu-Tungku ketika menghantar makanan untuk anggota keselamatan dalam operasi itu.

Terdahulu, lebih 3,000 hadir di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra bagi menyambut ketibaan jenazah dua pahlawan negara itu, yang diterbangkan melalui pesawat Charlie C-130, pada kira-kira 9.50 pagi.

Jenazah Ahmad Farhan dibawa ke rumah ibu bapanya di Perumahan Desa Darulnaim II, Pasir Tumboh. Jenazah Ahmad Farhan dikebumikan mengikut istiadat ketenteraan di Tanah Perkuburan Islam Madrasah Pohon Celagi, Pasir Hor.

Menyifatkan Allahyarham seorang anggota yang berani, Zulkifli berkata siasatan mendapati Ammad Hurairah sempat berbalas tembakan dengan beberapa pengganas sebelum gugur di medan perang.

"ATM akan membantu keluarga Allahyarham, apa saja yang kita mampu," katanya.

(ATM) kepada Ismail Husin, 55, iaitu ayah kepada Ahmad Hurairah selepas pengkebumian tersebut.

Sementara itu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang turut hadir pada pengebumian itu meminta rakyat Malaysia bersatu dan menghentikan spekulasi berhubung soal keselamatan negara memandangkan ramai anggota keselamatan gugur ketika berjuang di perbatasan.

"Hentikan sagala tohmahan dan fitnah ini yang akhirnya akan meruntuhkan kita dan kita bertanggungjawab sebagai warganegara yang setia pada negara.

Kita tak mahu satu pun suara sumbang yang memberi kata-kata yang menunjukkan kita tidak peka dengan kehibaan (yang dialami keluarga mangsa).

"Kita semua rakyat Malaysia amat terhutang budi dan kita berdoa semoga barisan hadapan akan teruskan perjuangan mereka untuk pastikan negara
kita selamat sampai bila-bila," katanya.

Bekas Panglima Tentera Darat Tan Sri Mohd Sharom Nordin berkata pengorbanan yang dilakukan oleh Allahyarham mencerminkan sikap taat dan setia kepada negara walaupun nyawa yang menjadi pertaruhannya.

"Kalau ada lagi orang mengatakan ini semua sandiwara, saya tak tahu nak cakap apa... rakyat kita, tentera kita sendiri... hari ini anak Kelantan telah
mempertaruhakan nyawa untuk kedaulatan negara.

"Hilangkan syak wasangka, ini satu pengorbanan yang diterima Allah S.W.T.," katanya.