Thursday, June 3, 2010

Ada bukti berlaku "anal penetration" - saksi


03/06/2010 4:09pm

KUALA LUMPUR - Pakar bedah am Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Mohd. Razali Ibrahim berkata, terdapat bukti bahawa berlakunyaanal penetration terhadap Mohd. Saiful Bukhari Azlan walaupun tiada kecederaan ditemui pada bahagian rectum.
Ketika memberikan keterangan sebagai saksi kedua pada perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau berkata, rumusan itu dibuat selepas meneliti beberapa laporan kimia serta membuat pemeriksaan ke atas pengadu.
Dr. Mohd. Razali berkata, beliau mengambil tiga sampel dari bahagian dubur Mohd. Saiful iaitu satu sampel dari bahagian luar anus manakala dua lagi di bahagian dalam rectum.
Bagaimanapun peguam, Karpal Singh membangkitkan isu bahasa kerana pakar forensik pihak pembelaan, Dr. David Wells tidak dapat memahami keterangan saksi yang diberi dalam bahasa Melayu.
Perbicaraan kes itu akhirnya ditangguhkan sehingga esok selepas mahkamah membenarkan permohonan Karpal yang ingin merujuk kepada pakar forensik dari Australia itu sebelum mula menyoal balas Dr. Mohd. Razali. - Utusan

Peniaga minta tapak gerai baru



SEBAHAGIAN peniaga menunjukkan notis arahan berhubung kerja merobohkan gerai makanan mereka di Kampung Gajah Mati, Pokok Sena, Kedah, semalam.


POKOK SENA - Kira-kira 14 peniaga makanan dan minuman di Kampung Gajah Mati di sini bakal kehilangan mata pencarian ekoran gerai di tepi jalan kampung itu akan diroboh untuk pembinaan Bandar Baru Puteri.
Berikutan itu mereka berharap kerajaan negeri dapat menyediakan tapak baru untuk mereka berniaga dan menyara keluarga.
Seorang peniaga, Mariah Samsu, 61, berkata, dia berniaga di situ sejak 18 tahun lalu dan sedih apabila mendapat tahu gerainya bakal dirobohkan.
"Saya membesarkan 10 orang anak hasil berniaga makanan di gerai ini. Jika dirobohkan di mana lagi saya dan peniaga lain hendak mencari rezeki," katanya ketika ditemui di sini semalam.

12 sukarelawan Malaysia selamat tiba di Jordan



DUBAI - Seramai 12 sukarelawan Malaysia yang berada dalam kapal membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza ketika diserang Israel selamat tiba ke Amman, Jordan, semalam. 

Rombongan itu diiringi Duta Malaysia ke Jordan, Datuk Abdul Malek Abdul Aziz dan pegawai kedutaan yang lain. 

Sebelum itu, rakyat Malaysia melepasi sempadan Jordan. 

“Semua mereka selamat dan berada dalam keadaan baik,” katanya. 

Katanya, semua sukarelawan hanya sehelai sepinggang dan tidak mempunyai pasport. 

Semua 12 rakyat Malaysia itu adalah antara mereka yang ditahan tentera Israel yang menyerbu kapal Mavi Marmara sebuah kapal Turki iaitu sebuah daripada armada kecil kapal yang membawa bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza pada Isnin. 

Abdul Malek berkata, Kementerian Luar Malaysia dan pihak kedutaan akan menyediakan semua persiapan bagi memudahkan sukarelawan itu pulang ke Malaysia. 

Seorang daripada mereka, Noor Azman Muhamad Samsuddin, memberitahu menerusi telefon, serangan yang dilakukan pada awal pagi oleh tentera komando Israel adalah pengalaman yang mengerikan. 

Katanya, sebahagian besar penumpang kapal yang membawa bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza yang disekat Israel sepanjang tiga tahun lalu, tidak menyangka akan menerima tentangan daripada tentera Israel sewaktu insiden maut berkenaan. - Bernama 

124 aktivis pro-Palestin tiba di Jordan



JORDAN - Aktivis pro-Palestin yang menyertai misi penghantaran bantuan kemanusiaan dan diserang tentera Israel mendedahkan layanan buruk serta penghinaan yang diterima sebelum mereka dihantar ke Jordan, semalam. 

Walid al-Tabtabai dari Kuwait yang merupakan salah seorang daripada hampir 700 aktivis dari 12 negara Islam itu berkata, lelaki, wanita dan kanak-kanak dikasari dan diperlakukan dengan cara yang amat hina dan tanpa perikemanusiaan.

"Layanan yang kami terima memang amat teruk tetapi sekurang-kurangnya mesej sudah sampai ke seluruh pelosok dunia bahawa sekatan Israel di Gaza tidak adil dan perlu ditamatkan segera," katanya. 

Semalam, 124 aktivis berkenaan menaiki lima bas untuk melintas jambatan merentas Sungai Jordan yang berada di bawah kawalan Israel. 

Izzaddine Zahrour dari Algeria mendedahkan, aktivis yang ditahan tidak diberi makan dan minum serta tidak dibenarkan tidur atau menggunakan tandas. 

"Aktivis yang menyertai misi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza tidak membawa apa-apa senjata tetapi cara kami diperlakukan amat memalukan. 

Seorang lagi peserta misi, Mohammed Gholam dari Mauritius berkata, aktivis yang ditahan diminta me-nandatangani dokumen untuk mengaku memasuki Israel secara haram. 

"Kami enggan menandatangani sebarang dokumen kerana kami tidak pernah merancang untuk ke Israel, sebaliknya kami dalam perjalanan ke Gaza tetapi tentera Israel yang menculik kami dari perairan antarabangsa," katanya.

Wartawan cerita detik cemas



KUALA LUMPUR - Kesemua 12 rakyat Malaysia yang berada di atas kapal Mavi Marmara yang diserang tentera Israel dua hari lepas sudah dibebaskan dan kini berada di Jordan, kata wartawan penyiaran Astro Awani, Ashwad Ismail, 25 yang juga merupakan salah seorang daripada rakyat Malaysia yang turut berada di atas kapal itu semasa ia diserang. 

Dalam satu lintas langsung dengan stesen itu pagi semalam, Ashwad berkata, mereka berada dalam keadaan selamat tetapi keletihan. 

Mereka dihantar dengan bas bersama sukarelawan daripada beberapa negara lain ke sempadan Israel-Jordan, dan kini dalam perjalanan ke Amman. 

“Kami berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia, piha:k kedutaan (di Jordan) dan masyarakat antarabangsa yang banyak berusaha untuk keluarkan kami,” katanya 

:Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mendoakan agar mereka selamat dan mengadakan sembahyang hajat. 

:Mavi Marmara, sebuah kapal Turki ialah satu daripada konvoi kapal yang membawa bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza. 

Ketika ditanya pengalaman sepanjang insiden itu, Ashwad berkata, layanan yang diterima dalam tempoh 28 jam itu mengambarkan konflik enam dekad yang dialami oleh rakyat Palestin yang tertindas. 

Katanya, kejadian itu bermula apabila tentera Israel mengepung kapal mereka ketika ia berada kira-kira 68 batu di luar perairan Israel pada pukul 4.20 pagi. 

“Tentera Israel mengepung kami dari semua pelosok... mereka menggunakan 19 bot, lapan kapal laut dan tiga helikopter,” katanya. 

Menurut beliau, tentera Israel menggunakan peluru hidup ketika menyerang kapal itu dan berdepan dengan sukarelawan yang hanya menggunakan peralatan bukan senjata, seperti air dari pili bomba. 

“Kami diserang bertubi-tubi oleh komando yang naik ke atas kapal. Saya dan Samsul (jurukamera) terselamat tetapi dua sukarelawan yang berada di tepi kami terkena tembakan di tangan dan bahu,” katanya. 

“Kami kemudian lari ke kawasan lebih selamat... kami lihat ada sukarelawan yang berlumuran darah...ini pengalaman memeritkan yang berjaya membuka mata dunia apa yang berlaku. Tak sangka Israel bertindak demikian... kami hanya orang awam,” katanya. 

Ditanya keadaan Samsul Kamal Abdul Latip, Ashwad berkata, beliau selamat tetapi mereka terpisah selepas mereka ditahan tentera Israel. - Bernama

Sukarelawan Malaysia dijangka pulang Ahad ini


KUALA LUMPUR - Dua belas orang sukarelawan Malaysia yang terselamat dalam serangan komando Israel ke atas kapal Mavi Marmara milik Turki yang sedang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza Isnin lalu, dijangka pulang ke tanah air Ahad ini.

Menurut Kementerian Luar, kumpulan tersebut dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 5.40 pagi.

Petugas Wisma Putra dan Kedutaan Malaysia di Amman kini sedang membantu para sukarelawan tersebut untuk menguruskan perjalanan pulang mereka.

Menurut kenyataan Wisma Putra, urusan juga dibuat untuk mereka bertolak ke Istanbul, Turki bagi mengambil barangan mereka.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman yang bertemu para sukarelawan berkenaan di Jordan malam tadi, merasa lega apabila mendapati kesemua mereka selamat dan proses mengeluarkan mereka dari Israel berjalan lancar.

"Bagi pihak kerajaan Malaysia, Kementerian Luar ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Jordan di atas kejayaannya membawa keluar 12 sukarelawan Malaysia dari Israel," kata Anifah yang dijangka turut pulang Ahad ini.

Pengasas Gerakan Aceh Merdeka meninggal dunia


JAKARTA - Hasan Tiro, pengasas Gerakan Aceh Merdeka (GAM), gerakan pemisah di Aceh, meninggal dunia di Hospital Zainoel Abidin (RSUZA) Banda Aceh, Khamis, sehari selepas beliau diberikan kembali status sebagai warganegara Indonesia.

Hasan Tiro telah memohon mendapatkan kembali kewarganegaraan Indonesia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Sebelum ini, beliau memegang pasport Sweden dan tinggal dalam buangan di Stockholm sejak tahun 1979 akibat konfrontasi dengan kerajaan Indonesia yang dipimpin Presiden Soeharto ketika itu.

Agensi berita Antara menyebut, tokoh yang lahir di Pidie, Aceh, pada 25 Sept 1925 itu, meninggal dunia pada pukul 12.02 tengah hari setelah mengalami kemerosotan kesihatan sejak Rabu malam.

"Hasan Tiro sudah meninggal pada pukul 12.02 WIB (waktu Indonesia Barat)," kata bekas pemimpin kanan GAM Malek Mahmud di RSUZA Banda Aceh.

Hasan Tiro sudah lebih seminggu dirawat di unit intensif RSUZA.

Ada laporan menyebut bahawa beliau akan dikebumikan petang ini, namun belum diketahui di mana tempat persemadiannya.

Semalam, Menteri Koordinator Politik, Undang-undang dan Keselamatan Djoko Suyanto menyerahkan surat kewarganegaraan Indonesia untuk Hasan Tiro kepada Malek dan anggota keluarga terdekat pejuang itu di Banda Aceh.

Sementara itu Menteri Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Patrialis Akbar dilaporkan berkata, bahawa tidak tertutup kemungkinan pemberian kembali status warganegara kepada pengasas gerakan pemisah yang lain.

Ia merupakan sebahagian daripada dasar Keadilan Untuk Semua yang diterapkan kerajaan sekarang.

GAM berdamai dengan kerajaan Indonesia pada 15 Ogos 2005 setelah berpuluh tahun melakukan pemberontakan bersenjata.

Bagaimanapun tidak ada butiran dalam kesepakatan damai itu yang menyatakan bahawa gerakan pemisah itu dibubarkan.-Bernama

Peranan Israel harus dibuang - Husam



KOTA BHARU - Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa berkata, adalah sesuatu malang sekiranya Kerajaan Pusat terus mengekalkan peranan syarikat dari Israel, Upco setelah negara Zionis itu melakukan tindakan zalim terhadap anggota misi bantuan Gaza, ‘Freedom Flotila’ Isnin lalu. 

Menurutnya, kebencian kepada kekejaman yang dilakukan Israel harus dibuktikan dengan menidakkan peranan negara itu dalam pentadbiran negara yang sebelum ini dikatakan berlindung di belakang syarikat penasihat. 

“Pembatalan serta merta kontrak Apco tidak boleh dilakukan oleh kita rakyat biasa. Ia hanya boleh dilakukan oleh Perdana Menteri dan kebencian kepada kekejaman Israel harus dibuktikan dengan menidakkan peranan Israel dalam urusan negara,” katanya dalam satu kenyataan, semalam. 

Dalam kejadian Isnin lalu, kapal yang membawa 700 aktivis kemanusiaan dari pelbagai negara diserang Komando Laut Israel mengakibatkan 19 maut, manakala 30 lagi cedera. 

Dalam pada itu, Husam yang juga Timbalan Pesuruhjaya II Pas Negeri berkata, tindakan rakyat berdemonstrasi ke kedutaan Amerika Syarikat kelmarin merupakan satu langkah yang tepat untuk mempamerkan respons dan kemarahan ke atas tindakan yang tidak berperikemanusiaan Israel. 

“Namun, selepas Kedutaan Amerika, tidak selesai demo bantahan ini jika kita tidak lanjutkan ke depan pejabat Perdana Menteri. Menaja syarikat dari Israel sama dengan menaja Israel. Bermakna, tangan kita telah terpercik darah saudara kita yang tertindas,” katanya. 

Dalam pada itu Husam berkata, cubaan mengenakan tindakan menggantung dewan ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana membongkar isu Apco harus ditarik balik. 

“Jika tidak, Israel mentertawakan kita. Baru beberapa bulan Apco diterima menjadi penasihat negara kita, kita sudah bersedia mengorbankan anak watan kita sendiri demi Israel. 

“Kita marahkan Amerika. Tapi jangan lupa, kalau kita sendiri gagal membetulkan tindakan Putrajaya, apa sangat yang hendak kita harapkan dari Amerika, apa lagi Israel?” katanya.

41 peratus penjawat awam terlibat rasuah



TEMERLOH - Seramai 418,200 atau 41 peratus daripada 1.2 juta penjawat awam dikesan terbabit dengan aktiviti penerimaan rasuah sepanjang tahun lalu.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Omar Osman berkata, jumlah itu adalah membimbangkan dan harus ditangani segera.

Bagi menangani masalah itu, katanya, Cuepacs akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya mereka terbabit dengan aktiviti rasuah diambil tindakan dan diheret ke muka pengadilan.

"Kita mahu memerangi rasuah dalam kalangan penjawat awam dan membuat laporan kepada SPRM terhadap pihak cuba menyogokkan rasuah kepada penjawat awam.

"Cuepacs tidak akan berkompromi atau bertolak ansur dengan melindungi mana-mana penjawat awam dengan gejala ini yang boleh menjejaskan pembangunan negara," katanya ketika ditemui selepas merasmikan mesyuarat Agung ke-8 Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Jabatan Kerja Raya dan Air Cawangan Temerloh di sini, hari ini.- Bernama

Ratusan penduduk lintasi sempadan





BEBERAPA penduduk Palestin melintasi sempadan Gaza dengan Mesir di selatan Genting Gaza semalam.

RAFAH, Mesir Sekitar 600 penduduk Palestin melintasi sempadan Rafah di selatan Genting Gaza setelah Mesir mengumumkan ia membuka pintu sempadan tersebut bagi tujuan kemanusiaan, kata seorang pegawai.
Langkah mengejutkan yang dibuat Presiden Mesir, Hosni Mubarak dengan mengarahkan pembukaan pintu sempadan itu diumumkan selepas serangan berdarah tentera Israel terhadap armada kecil yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza dengan menyebabkan sembilan orang terbunuh pada Isnin lalu.
Pegawai berkenaan berkata, sekitar 400 penduduk Palestin melintasi sempadan Rafah untuk ke Mesir manakala kira-kira 200 lagi memasuki wilayah Genting Gaza.
Menurutnya, lebih 800 warga Palestin dijangka melintasi pos sempadan itu di antara pukul 9 pagi dan 7 petang (waktu tempatan) pada setiap hari.
Hosni bagaimanapun tidak menetapkan berapa lama lintasan sempadan tersebut akan dibuka.
Golongan yang dibenarkan melintasi pintu sempadan itu merupakan pesakit yang memerlukan rawatan di luar negara atau pelajar yang memiliki visa untuk belajar di seberang laut negara atau mereka yang perlu meninggalkan Genting Gaza kerana sebab kemanusiaan.
Pihak berkuasa Mesir turut membenarkan kemasukan empat generator elektrik ke Genting Gaza, kata pegawai sama.
Sebanyak sembilan lagi generator dan bantuan dari Rusia, Jordan dan Bulan Sabit Merah Mesir termasuk pakaian, khemah, tilam serta penyaman udara dibawa masuk ke Gaza semalam.
Sempadan Rafah merupakan satu-satunya lintasan yang tidak menyeberangi Israel.
Pihak berkuasa Mesir sebelum ini menutup lintasan Rafah dan hanya membukanya bagi tujuan kemanusiaan selama dua hari pada setiap minggu.
Mesir dikritik hebat oleh masyarakat rantau Arab kerana menutup sempadannya dan membina dinding bawah tanah dalam usaha negara itu untuk mengekang aktiviti penyeludupan.
Mesir menganggap aktiviti bawah tanah itu menjejaskan keselamatan negara. AFP
kredit : kosmo.com.my