Showing posts with label gantung. Show all posts
Showing posts with label gantung. Show all posts

Monday, December 17, 2012

Enggan tarik balik kenyataan, ADUN Temiang digantung daripada sidang DUN



SEREMBAN: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk Razak Mansor hari ini mengarahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temiang, Ng Chin Tsai keluar dewan selepas ADUN DAP itu enggan menarik balik kenyataannya.

Speaker yang membuat keputusan itu mengikut Peraturan 6(5) Peraturan Tetap dewan, turut menggantung Ng daripada menyertai sidang dewan selama dua hari termasuk hari ini.

Razak memutuskan demikian berikutan tindakan Ng yang enggan menarik balik perkataan 'jahat dan kotor' yang ditujukan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2013 pada sidang DUN di sini, hari ini.

Walaupun berkali-kali diminta untuk menarik balik kenyataan "jahat dan kotor" itu yang disifatkan Razak sebagai tidak sesuai digunakan di dalam dewan, Ng tetap berdegil sebelum diiringi oleh Bentara dewan untuk keluar meninggalkan dewan.

Persidangan dewan bersambung esok. - BERNAMA

Friday, November 2, 2012

Azhar digantung enam bulan lagi daripada sidang DUN Pulau Pinang

GEORGETOWN: Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim (BN-Penaga) digantung kali kedua daripada menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) selama enam bulan berkuatkuasa hari ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang membentangkan usul penggantungan Azhar itu pada persidangan DUN hari ini berkata, semua bayaran elaun dan gaji ketua pembangkang itu sebagai wakil rakyat dikekalkan.
Lim berkata, keputusan penggantungan itu dibuat oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan selepas Azhar gagal memberi penerangan dan penjelasan mengenai kenyataannya pada 8 Mei lalu yang menghina kemuliaan dewan, Speaker DUN Datuk Abdul Halim Hussain dan kakitangan DUN apabila menyebut bahawa catatan persidangan (verbatim) boleh dimanipulasi.


"Dewan sudah bermesyuarat sebanyak lima kali, mesyuarat kali pertama pada 7 Jun memang mengecualikan yang berhormat Penaga kerana isu yang dibentangkan melibatkan beliau, tetapi pada mesyuarat kali kedua dan ketiga yang berhormat dipanggil untuk memberikan penerangan dan penjelasan bagaimanapun tidak hadir.

"Oleh itu pada mesyuarat keempat dan kelima Jawatankuasa Hak dan Kebebasan telah memutuskan untuk menggantung YB Penaga dari menghadiri persidangan dewan selama enam bulan bermula 1 November," katanya.

Pada 8 Mei Azhar dikatakan membuat kenyataan menghina kemuliaan dewan, speaker dan kakitangan DUN, kenyataan yang disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab itu dianggap sebagai satu titik hitam kerana telah mempertikaikan integriti DUN.

Ketua pembangkang itu kemudiannya dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan 34 (4) dan 34(9) di bawah peraturan majlis dan mesyuarat negeri kerana menghina DUN, speaker dan kakitangan DUN.
Azhar sebelum itu pernah digantung menghadiri persidangan DUN selama enam bulan pada 17 Ogos 2010 kerana menggunakan perkataan ‘13 Mei’ ketika berlaku pertikaman lidah dengan Ketua Menteri Lim Guan Eng (DAP-Air Putih) pada sesi penggulungan Usul Terima Kasih Ucapan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas.

Sementara itu, wakil pembangkang Datuk Arif Shah Omar Shah (BN-Seberang Jaya) bangun mencelah memohon kepada speaker agar mempertimbangkan dengan budi bicara agar tidak menggantung Azhar dari menghadiri persidangan DUN memandangkan ketua pembangkang itu akan bersara sebagai wakil rakyat.

Bagaimanapun Azhar yang diminta oleh Abdul Halim untuk membuat ucapan bagi membahaskan usul penggantungannya membantah cadangan yang dibuat oleh Arif Shah itu. - BERNAMA 

Saturday, September 24, 2011

Kenyataan biadab: Manoharan digantung enam bulan



KUALA LUMPUR 23 Sept. - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan digantung selama enam bulan oleh partinya, DAP berhubung satu kenyataan kontroversinya dalam laman sosial Facebook minggu lalu.
Malaysiakini melaporkan keputusan itu diambil selepas satu mesyuarat Jawatankuasa Disiplin parti itu yang dipengerusikan, Tan Kok Wai di ibu pejabat DAP, di sini, hari ini.
Manoharan sebelum ini berkata, pembangkang akan bertindak menukar Jalur Gemilang jika memperoleh kuasa dalam pilihan raya umum akan datang dan tindakan itu mengundang kemarahan pelbagai pihak dan laporan polis telah dibuat.
Beliau menulis kenyataan berbunyi: "I distributed many DAP flags today in my constituency. I refused to fly the Malaysian flag because it looks more BN than Malaysian. (Saya mengedarkan banyak bendera DAP hari ini dalam kawasan Dewan Undangan Negeri saya. Saya enggan mengibarkan bendera Malaysia kerana ia kelihatan seperti BN berbanding Malaysia).
Sementara itu, The Star Online melaporkan Manoharan telah menerima surat penggantungan dan akan membuat rayuan.
Manoharan sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi apabila mempersendakan doa masuk tandas selain pernah mewujudkan sentimen perkauman berhubung isu novel Interlok.

Friday, January 14, 2011

Khusrin: Sultan arah 'Dato Seri' Khir Toyo digantung


dikemaskini 5:30pm Penyerahan balik Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) yang membawa gelaran “Dato' Seri” kepada Dr Khir Toyo, adalah sebenarnya atas arahan Sultan Selangor dan bukannya 'penyerahan sementara' seperti yang didakwanya.
sultan of selangor sharafuddin idris shahKeputusan berkenaan dibuat oleh baginda setelah berunding dengan Dewan Diraja Selangor pada 11 Januari lalu yang memutuskan darjah itu digantung, kata Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi dalam satu kenyataan hari ini.
“Penggantungan gelaran dan penggunaan Darjah Kebesaran ini akan disemak semula setelah mahkamah memutuskan Yang Berhormat tidak bersalah dan dibebaskan atas pertuduhan,” tambahnya.
Menurut beliau, keputusan itu berikutan pertuduhan rasuah terhadap mantan menteri besar Selangor itu di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Selain Dr Khir, darjah kebesaran Pengarah Ditamas, Shamsuddin Haryoni yang juga didakwa dalam kes yang sama, turut digantung.
Khir dianugerahkan gelaran 'Dato Seri' pada 2001 manakala Shamsuddin pula dianugerah gelaran 'Dato' pada 2002.
NONE“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor membuat keputusan di atas setelah mempertimbangkan bahawa kesalahan-kesalahan yang dipertuduhkan ke atas kedua-dua mereka ini adalah kesalahan serius yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara,” kata Khusrin.
Semalam, Dr Khir dalam blognya menulis beliau telah memulangkan sementara darjah kebesaran berkenaan tanpa menyebut tindakannya itu atas arahan sultan.
Beliau berkata pemulangan semula pingat itu bagi mengelak darjah kebesaran negeri turut terpalit dengan sebarang keaiban sepanjang pertuduhan dan perbicaraan yang akan berlangsung.
khir toyo mansion 060709 08Pada 6 Disember lalu, Dr Khir didakwa telah mendapatkan untuk dirinya dan isteri Zahrah Kechik, 45, suatu barang berharga dengan suatu balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat no 8 & 10, Jalan Suasa 7/1 L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarahnya, Shamsuddin Hayroni, dengan harga RM3.5 juta, sedangkan hartanah itu telah dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.
Perbicaraan kes rasuah terhadap menteri besar Selangor itu akan didengar pada 6 hingga 24 Jun ini.

Thursday, January 6, 2011

Gantung Segera Tugas Rais Yatim at Anwar Ibrahim

KENYATAAN MEDIA KETUA WANITA KEADILAN
MERANGKAP AHLI PARLIMEN AMPANG

Saya berasa amat kesal apabila insiden “Menteri Rogol Amah” ini seolah dipandang sambil lewa oleh kerajaan Malaysia sedangkan sudah jelas apa yang berlaku mencemarkan imej dan kredibiti Malaysia di peringkat antarabangsa. Tindakan PM sendiri yang mengambil jalan mudah dengan berdiam diri seolah ‘merestui’ jenayah pihak terbabit.
Sebagai sebuah negara Malaysia yang telah bersama menandatangani perjanjian Konvensyen Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), sikap sambil lewa ini amat bertentangan dengan CEDAW itu sendiri iaitu bertujuan menghapuskan semua bentuk diskriminasi, bukan sahaja terhadap wanita Malaysia semata-mata, tetapi juga merangkumi perlindungan daripada diskriminasi terhadap wanita imigran dan pekerja asing.
Sebagai respon kepada penafian Menteri Datuk Seri Rais Yatim terhadap isu ini, sya mempersoalkan tindakan Rais Yatim yang seolah-olah cuba menyalahkan pihak Pakatan, bloggers dan media bahawa kononnya insiden ini adalah ciptaan permainan politik berkepentingan. Wanita Keadilan menganggap ini sebagai suatu tuduhan keras dan Rais Yatim patut segera memohon maaf.
Pihak kerajaan juga seharusnya mengantung tugas Rais Yatim buat sementara dan berkuat-kuasa serta merta bagi menjamin sebuah pentadbiran yang benar-benar bersih, sehingga keputusan siasatan selesai.
Semakin lama kerajaan Umno-BN memerintah semakin bertimbun kes-kes penindasan, diskriminasi dan memalukan terhadap wanita berlaku. Bermula dari kes Rahim Tamby Chik, isu Penan, pemerdagangan manusia, penyeksaan pembantu rumah Bonita dan kini sudah sampai ke kemuncaknya apabila seoarang Menteri sendiri dikaitkan dengan jenayah serius ini. Kerajaan Malaysia nampakkan tidak menunjukkan ketegasan dan tiada ‘potical-will’ dalam menjanjikan keadilan hak kemanusiaan buat semua.
Maka, atas dasar kebimbangan dan kebertanggungjawaban terhadap keadilan buat semua wanita di negara ini saya menggesa agar Kemmenterian Pembangunan Wanita, Sumber Manusia, Kementerian Dalam Negeri dan Perdana Menteri memandang perkara ini dengan serius dan segera mendapatkan japawn kepada jenayah ini bagi membersihkan imej kerajaan Malaysia di peringkat antarabangsa sekaligus membawa penjenayah terbabit ke muka pengadilan.
Sekian. Terima kasih.
YB ZURAIDA BINTI KAMARUDDIN
KETUA WANITA KEADILAN
MERANGKAP AHLI PARLIMEN AMPANG

Saturday, December 18, 2010

Anwar bidas dan tuduh Umno salah guna kuasa

TUNJUK BANTAHAN: Ahli Parlimen pembangkang Malaysia menunjukkan pelekat di lobi Dewan Rakyat kelmarin selepas Datuk Seri Anwar dan tiga lagi Ahli Parlimen pembangkang digantung daripada sidang Parlimen selama enam bulan. -- Foto AFP


PENGGANTUNGAN EMPAT AHLI PARLIMEN PEMBANGKANG
Ahli Parlimen Permatang Pauh dakwa penggantungannya satu pencabulan kuasa secara terang-terangan


KUALA LUMPUR: Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali lagi membidas Umno yang didakwanya menyalahgunakan kuasa dengan menggantungnya daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan.
'Saya lihat tidak ada sebab untuk tergesa-gesa menggantung saya. Ini adalah pencabulan kuasa secara terang-terangan.'Saya rasa mereka tidak sabar lagi untuk menjawab isu yang ditimbulkan,' katanya, yang dipetik oleh laporan laman berita Malaysiakini semalam.Pada sidang akhbar di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Petaling Jaya pagi semalam, Ahli Parlimen (AP) Permatang Pauh itu berkata dakwaan ke atasnya itu adalah satu 'hiprokrasi Umno'.'Saya ulangi, 12 tahun lalu sampai sekarang saya dituduh ejen Yahudi. Umno guna kempen ini di kampung-kampung. Tapi saya buktikan mereka guna bukan sahaja syarikat Yahudi, malah syarikat yang berpangkalan di Israel,' kata Datuk Seri Anwar.'Saya buktikan dalam jawapan kepada mereka, Apco Worldwide ditubuhkan sebelum Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) jadi Perdana Menteri, maka soal '1Malaysia', 'One Israel' tidak berbangkit,' tambahnya dengan nada marah.Menurut Datuk Seri Anwar lagi, AP PKR bagi Gombak, Encik Azmin Ali, pula dihukum semata-mata kerana menyentuh mengenai surat Apco.'Dia tidak menyiarkannya pun. Apa Apco ini? Dewata Raya ke? Bahkan, Apco tidak ditegur kerana tidak dapat sertai jawatankuasa.'Mengapa Apco terlibat dalam politik negara? Apco jangan bersekongkol dengan Umno. Mereka harus jawab, harus bertanggungjawab kerana sebab merekalah empat ahli parlimen digantung tanpa proses yang wajar,' tambahnya.Dewan Rakyat kelmarin meluluskan usul menggantung Datuk Seri Anwar daripada menghadiri persidangan selama enam bulan kerana membuat kenyataan mengaitkan konsep '1Malaysia' dengan 'One Israel'.Turut digantung ialah Encik Karpal Singh, AP Parti Tindakan Demokratik (DAP) bagi Bukit Gelugor; Encik R. Sivarasa, AP PKR bagi Subang; dan Encik Azmin atas beberapa kesalahan.Encik Karpal dan Encik Sivarasa didakwa melanggar peruntukan Peraturan Mesyuarat 85, yang menetapkan bahawa apa sahaja keterangan yang diambil di hadapan sesebuah Jawatankuasa Pilihan dan apa-apa surat yang dikeluarkan kepadanya, tidak boleh disiarkan oleh sesiapa pun sebelum Jawatankuasa itu membawa penyata itu kepada Majlis (Dewan Rakyat).Encik Azmin pula, melalui pemberitahuan bersurat bertarikh 6 Disember 2010, di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1), didakwa menyentuh tentang keterangan dan surat yang dikemukakan semasa Mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan pada 3 Disember lalu.

Thursday, December 16, 2010

Dewan Rakyat gantung Anwar selama 6 bulan




2010/12/16

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, digantung daripada Dewan Rakyat selama enam bulan selepas usul berkenaan diluluskan tanpa bahas. 

PKR bincang tindakan susulan penggantungan: Anwar




2010/12/16

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau akan menggunakan pentas konvensyen pakatan pembangkang untuk memberi penjelasan mengenai penggantungannya daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat. 

Beliau berkata, Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan membincangkan perkara itu bagi tindakan selanjutnya.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh, mencadangkan untuk mencabar penggantungan Ketua Pembangkang itu di mahkamah.


Pagi tadi, Dewan Rakyat meluluskan usul menggantung Anwar selama enam bulan tanpa bahas selepas dibentangkan dan wakil rakyat pembangkang bertindak keluar Dewan sebagai tanda protes. 

Karpal, Azmin, Sivarasa turut digantung 6 bulan





2010/12/16

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat sebentar tadi turut menggantung Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), Azmin Ali (PKR-Gombak) dan R Sivarasa (PKR-Subang) selama enam bulan.

Thursday, December 2, 2010

Hukuman gantung sampai mati kekal



KUALA LUMPUR 1 Dis. - Hukuman gantung sampai mati bagi kesalahan membunuh kekal dan tidak akan dimansuhkan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, kerajaan masih belum bercadang berbuat demikian tetapi sedia menimbangkannya setelah kajian terperinci mengenainya dibuat.
Menurut beliau, kajian menyeluruh yang mengambil kira pandangan semua pihak amat perlu kerana pemansuhan hukuman itu akan memberikan impak besar kepada sistem perundangan negara.
"Pindaan yang sewajarnya juga perlu dibuat kepada undang-undang jenayah lain sekiranya hukuman mati dimansuhkan di negara ini.
"Namun kerajaan menyambut baik apa-apa cadangan yang diberikan oleh mana-mana pihak yang menyokong supaya ia dimansuhkan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Datuk Seri Mohd. Radzi Sheikh Ahmad (BN-Kangar) yang bertanyakan adakah kerajaan akan menghapuskan hukuman mati seperti yang dicadangkan oleh beberapa pihak sebelum ini.
Mohd. Radzi juga meminta kerajaan menyatakan bilangan perbicaraan kes bunuh di mahkamah sejak 2000 dan berapakah bilangan kes yang disabitkan kesalahan dan hukuman gantung dijalankan.
Vui Keong berkata, dalam tempoh 10 tahun itu sebanyak 1,601 kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan telah didaftarkan di Mahkamah Tinggi.
Katanya, setelah melalui proses rayuan di Mahkamah Rayuan, sebanyak 47 kes telah disabitkan di bawah seksyen itu yang direkodkan sabitannya di Mahkamah Persekutuan.
"Dalam tempoh 10 tahun itu, cuma sembilan hukuman gantung telah dijalankan bagi kes yang disabitkan di bawah seksyen itu dan selebihnya belum dilaksanakan kerana masih menunggu keputusan Petisyen Jemaah Pengampunan Negeri," katanya.

Tuesday, November 2, 2010

Azhar digantung enam bulan





Azhar Ibrahim keluar dari dewan persidangan di Bangunan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang , Georgetown, semalam.


PULAU PINANG 1 Nov. – Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Azhar Ibrahim digantung enam bulan daripada menghadiri sidang Dewan berkuat kuasa 17 Ogos lalu.
Bagaimanapun, segala saraan dan elaun beliau dikekalkan.
Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga DUN Ke-12 di sini hari ini selepas usul tersebut dibentangkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan disokong Timbalan Ketua Menteri, Datuk Mansor Othman.
Usul menggantung Azhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga dibuat oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Pulau Pinang dan diluluskan selepas menerima suara majoriti.
Sejurus usul tersebut diumumkan Speaker DUN, Datuk Abdul Halim Hussain, Azhar bangun dan meninggalkan Dewan diikuti 11 ADUN Barisan Nasional (BN) yang lain.
Azhar ketika membahaskan usul tersebut menegaskan, beliau tidak akan meminta maaf atau menarik balik perkara itu kerana beliau tidak bersalah dan memberi enam sebab enggan berbuat demikian.
“Usul itu cacat kerana ia tidak pernah dibahaskan, perkataan yang dirujuk telah ditarik balik dan diterima oleh Dewan dan ia juga tidak jelas mengenai siapa yang hendak didakwa sebagai melakukan kesalahan.
“Usul tersebut juga tidak terdapat dakwaan yang spesifik dan jelas yang menunjukkan kesalahan dilakukan, usul yang dibawa adalah di luar sesi pagi dan selepas Dewan berehat dan ia satu tindakan after thought,” tegasnya.
Jawatankuasa yang dipengerusikan Abdul Halim mengadakan mesyuarat berhubung perkara tersebut sebanyak tiga kali iaitu pada 7 Jun, 3 serta 17 Ogos dan Azhar hadir memberi keterangan pada mesyuarat terakhir.
Azhar yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri dirujuk ke jawatankuasa itu kerana didakwa melanggar peraturan berikutan mengeluarkan kata-kata berbaur hasutan ketika hari terakhir sidang DUN 6 Mei lalu.
Beliau dikatakan menggunakan perkataan ‘13 Mei’ ketika berlaku pertikaman lidah dengan Ketua Menteri, Lim Guan Eng pada sesi penggulungan Usul Terima Kasih Ucapan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas.
Usul menghadapkan beliau ke jawatankuasa itu sebelum ini telah dicadangkan oleh Jagdeep Singh Deo (DAP-Datuk Keramat).
Sementara itu, pada sidang akhbarnya di luar Dewan, Azhar berkata, penggantungan tersebut tidak betul dan yang pasti beliau ‘sakit hati’ dengan keputusan berkenaan sambil menyifatkan corak pentadbiran kerajaan negeri bersifat ‘ala Guan Eng’.
“Saya Ketua Pembangkang yang paling vokal dan selalu mengkritik pemerintahan mereka dan kes seumpama ini juga yang pertama kali berlaku dalam sejarah Pulau Pinang,” ujarnya.
Ditanya mengapa beliau enggan memohon maaf walaupun berkali-kali diminta berbuat demikian, jelasnya:
“Untuk apa saya minta maaf, saya tidak bersalah, saya teraniaya dan ini cara mereka untuk tutup mulut saya,” katanya.