KAMPUNG SETIA JAYA - Seorang penduduk Kampung Setia Jaya, Ramlah Hussin, 57, merayu supaya mendapat bantuan kewangan berikutan keadaannya yang serba kekurangan dan masih mempunyai tanggungan.
Ramlah yang buta dan lumpuh di bahagian kanan badannya tidak mampu melakukan sebarang pekerjaan berikutan keadaannya lemah serta perlu mendapat sokongan suami dan anak untuk bergerak.
Lebih malang lagi, dia juga disahkan menghidapi ketumbuhan dalam kepala dua tahun lalu.
Berikutan ketiadaan wang, rawatan untuk ketumbuhan tersebut terpaksa ditangguhkan.
Akibat tekanan hidup, Ramlah sering bercakap perkara yang tidak benar dan dia tidak sedar dengan apa yang diperkatakannya.
Suaminya, Mansor omar, 67, berkata, keadaan isterinya itu berlaku sejak dua tahun dulu.
“Punca lumpuh dan buta tidak diketahui. Isteri saya tidak menunjukkan sebarang tanda dan tidak mengalami apa-apa masalah sebelum ini, contohnya demam panas. Selalunya buta seperti ini disebabkan demam panas, tetapi isteri saya tidak, tiba-tiba dia mengadu bahawa mata dia tidak nampak.
“Tidak lama kemudian, badannya sebelah kanan semakin lemah dan tidak dapat digunakan lagi. Selepas itu, kami pergi buat pemeriksaan di hospital, doktor bukan sahaja mengesahkan isteri saya buta dan lumpuh, malah turut mengatakan isteri saya mengalami ketumbuhan dalam kepala,” katanya.:
Menurutnya, rawatan kampung turut digunakan tetapi tidak menjadi.
“Dulu saya kerap pergi rawatan kampung. Cakap mana saja pengamal perubatan yang hebat, saya pasti bawa isteri untuk buat rawatan. Tetapi saya semakin kecewa kerana tiada perubahan yang berlaku.
“Selain itu, saya turut hilang kepercayaan dengan rawatan kampung ini kerana setiap kali saya pergi, saya akan diberitahu dengan punca penyakit yang berbeza, Ada yang kata hantu, santau dan banyak lagi sampai saya sendiri keliru,” katanya.
Menurutnya, kini isterinya terpaksa hidup dalam kegelapan kerana langsung tidak dapat melihat.
“Saya hairan, mata isteri saya elok, tiada selaput, tetapi tidak nampak. Itu yang saya musykil. Isteri saya turut mempunyai masalah untuk mengecam suara. Kalau nak cakap dengan dia kena bagi tahu nama dulu, baru dia kenal.
“Kadangkala isteri saya cuba berjalan, tetapi dia tak dapat tahan lama dan selalu jatuh. Setakat ini saja lebih dari lima kali isteri saya jatuh,” katanya.
Mansor yang juga mengidap penyakit gatal berkata, dia tidak dapat bekerja sejak 20 tahun lalu.
“Saya memang tidak dapat bekerja, kalau kerja, kulit saya akan mengelupas dan perlu mendapatkan rawatan doktor yang pastinya memerlukan wang yang banyak.
“Selama ini, saya hanya berharap bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) iaitu sebanyak RM130 sebulan. Saya amat bersyukur dengan wang bantuan itu, tetapi sebenarnya ia juga tidak mencukupi untuk menanggung keluarga saya,” katanya.
Mansor yang turut mengidap masalah tekanan darah rendah berharap bantuan JKM dapat dinaikkan supaya dapat meringankan beban keluarganya.
Sebarang bantuan dan sumbangan boleh menghubungi anak Mansor, Siti Fairuz Mansor menerusi talian 017-5858760.