Thursday, August 18, 2011

Baca Quran

Laporan perubatan kes Strauss-Kahn bercanggah

NEW YORK 17 Ogos – Peguam Dominique Strauss-Kahn dan pekerja hotel yang menuduh ahli politik Perancis itu merogolnya, semalam bercanggah pendapat berhubung laporan perubatan tentang keadaan fizikal wanita berkenaan bagi mengukuhkan dakwaan tersebut.
Peguam kepada pekerja hotel itu, Nafissatou Diallo memberitahu akhbar Perancis, L’Express bahawa laporan perubatan oleh doktor yang memeriksanya menemui luka akibat dirogol selepas kejadian itu.
Bagaimanapun, peguam Strauss-Kahn, Taylor dan Benjamin Brafman menyatakan keadaan fizikal Diallo mungkin juga menunjukkan wanita itu baru sahaja mengadakan hubungan seks sebelum kejadian tersebut.
‘‘Penggunaan laporan kesihatan untuk mengesahkan atau menguatkan tuduhan terhadap Strauss-Kahn bersifat cuba menipu atau mengaburi fakta kejadian.
‘‘Laporan perubatan itu mengesahkan pengadu tidak mempunyai kecederaan akibat dirogol. Keadaan fizikal pengadu dalam laporan itu bukan satu kecederaan. Ia mungkin berlaku akibat pelbagai kemungkinan termasuk aktiviti seksual beberapa hari sebelum kejadian tetapi bukan rogol,’’ kata mereka dalam satu kenyataan. – AFP, utusan

Megawati tidak bersetuju dengan Susilo





Megawati


JAKARTA 17 Ogos - Bekas Presiden Indonesia, Megawati Sukarnoputri terus memperlihatkan sikapnya yang tidak bersetuju dengan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dengan tidak menghadirkan diri pada upacara peringatan ulang tahun ke-66 kemerdekaan negara ini di Istana Merdeka, di sini pagi ini.
Biarpun tanpa kehadiran Megawati, anggota keluarga beliau yang lain hadir pada upacara itu termasuk suami beliau, Taufiq Kiemas yang juga Ketua Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) dan anak perempuannya, Puan Maharani Sukarnoputri yang juga anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR).
Ketika ditanya alasan ketidakhadiran Megawati, yang juga Ketua Umum Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan pada upacara itu, Taufiq hanya tersenyum.
Selain tidak menunjukkan muka pada upacara itu, kelibat bekas presiden kelima Indonesia itu juga tidak kelihatan pada acara pidato negara yang disampaikan Susilo semalam di DPR.
Menurut Puan Maharani, awal- awal lagi ibunya sudah memaklumkan tidak dapat hadir pada acara pidato negara kerana terikat dengan komitmen lain.
Bagaimanapun, Puan Maharani enggan mendedahkan acara apa yang terpaksa dihadiri ibunya.
"Ada acara lain dan beliau memang sudah memaklumkan tidak dapat hadir hari ini. Tidak ada alasan-alasan tertentu melainkan sibuk dengan tugasan lain," jelas Puan Maharani. - Utusan

Negara rugi RM800 juta setahun kerana bir seludup

SUNGAI PETANI 17 Ogos - Perbendaharaan Negara dianggarkan mengalami kerugian lebih RM800 juta setahun akibat kegiatan penyeludupan arak terutamanya bir yang dikesan semakin berleluasa ketika ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai berkata, selain menjejaskan sumber pendapatan negara, aktiviti berkenaan turut menimbulkan masalah kepada pengusaha industri minuman keras.
"Bir yang tidak dibenarkan diimport itu diseludup melalui jalan darat dan laut seperti di jeti-jeti haram yang sukar dikawal kegiatannya.
"Selain itu, ada kemungkinan juga bir dibawa masuk di pelabuhan melalui ikrar barangan yang tidak betul dan juga penipuan label BFE iaitu bir untuk eksport," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek Kompleks Pangkalan Pencegahan Kastam Tanjung Dawai dekat sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Kastam negeri, Datuk Abd. Aziz Abdul Latif dan Jurutera JKR Daerah Kuala Muda, Mohd. Fadhil Dashah.
Menurut Donald, bagi mengatasi masalah penyeludupan itu, pihaknya mengambil beberapa langkah termasuk menambah bilangan anggota penguat kuasa selain mendirikan pos kawalan di lokasi terdedah risiko penyeludupan.
"Di samping itu, kerajaan telah merancang untuk menambah beberapa lagi pejabat Bahagian Pencegahan Kastam bagi meningkatkan keberkesanan aktiviti penguatkuasaan," jelasnya.
Sementara itu, beliau memberitahu, projek Kompleks Pangkalan Pencegahan Kastam Tanjung Dawai bernilai RM12.1 juta mengalami kelewatan agak ketara ekoran beberapa masalah yang timbul.
"Projek ini bermula 12 April 2010 dan sepatutnya siap Jun lalu, tetapi kemajuan sebenar fizikal pembinaan hanya sekitar 38 peratus," katanya.-utusan

Didakwa terap ajaran Kristian

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Sepasukan pegawai dari Jabatan Pelajaran Kuala Lumpur dipercayai mengunjungi sebuah sekolah di Jalan Kuchai Lama di sini, hari ini, untuk mengambil keterangan seorang murid tahun satu berhubung dakwaan murid itu cuba dipengaruhi dengan ajaran Kristian.
Pasukan dari Bahagian Sektor Pendidikan Islam itu difahamkan hadir pukul 8.30 pagi sebelum dilihat keluar dari sekolah tersebut kira-kira empat jam selepas itu.
Menurut sumber, pegawai berkenaan telah menemu bual seorang murid yang turut dihadiri ibu nya serta seorang guru sekolah itu.
Sementara itu, guru besar sekolah tersebut ketika ditemui hari ini mengesahkan pertemuan antara murid dan pegawai dari Jabatan Pelajaran Kuala Lumpur itu, namun enggan mengulas lanjut.
Ruangan Cuit di dalam Utusan Malaysia oleh Zaini Hassan hari ini mendedahkan dakwaan seorang guru sekolah berbangsa India yang memberitahu, terdapat murid tahun satu dan enam sekolahnya mampu menyanyikan dengan bersemangat lagu memuji kebesaran Nabi Isa.
Lagu dinyanyikan adalah 'Yes, I know Jesus loves me' dan lagu 'Hari Ini Ku Rasa Bahagia' yang memuji Nabi Isa sambil menunjukkan isyarat tangan simbol salib, selain boleh bercerita kisah-kisah Nabi Isa termasuk kisah Nabi Isa disalib.
Difahamkan, para murid diterapkan ajaran agama Kristian secara halus ketika belajar di kelas tuisyen yang diberikan percuma oleh sekumpulan pemuda-pemudi bukan berbangsa Melayu di kawasan itu.-utusan

Ambulans terbalik, tiga cedera parah





Seorang pegawai perubatan terbaring menunggu bantuan setelah ambulans yang membawa seorang pesakit terbalik dalam kemalangan di persimpangan Seri Negeri - MITC, Ayer Keroh, Melaka, kelmarin.



MELAKA 16 Ogos – Seorang doktor, jururawat dan pesakit wanita parah apabila ambulans yang mereka naiki dirempuh sebuah teksi di persimpangan lampu isyarat Seri Negeri-MITC, Ayer Keroh di sini semalam.
Bagaimanapun, dalam kejadian pukul 6.50 petang itu, pemandu ambulans dan seorang pembantu perubatan yang menaiki ambulans itu serta pemandu teksi, hanya cedera ringan.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Melaka Tengah, Asisten Supritendan V. Gunasegaran berkata, kemalangan berlaku ketika ambulans itu dalam perjalanan menghantar pesakit ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dari Hospital Melaka.
Menurut beliau, sebaik sahaja tiba di simpang empat lampu isyarat itu, sebuah teksi yang datang dari arah MITC menghala ke Seri Negeri gagal dikawal lalu merempuh ambulans tersebut.
“Akibat rempuhan itu, doktor dan jururawat yang mengiringi pesakit wanita di dalam ambulans mengalami cedera parah. Kesemua mereka dibawa ke HKL untuk mendapat rawatan lanjut,” katanya.
Difahamkan, pesakit yang menaiki ambulans itu ialah mangsa samun yang ditetak dan perlu dirujuk ke HKL untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, seorang saksi, Tan Bun Han, 40 berkata, ketika kejadian dia berada di belakang ambulans tersebut namun terpaksa berhenti di persimpangan apabila lampu isyarat bertukar merah.
“Tiba-tiba, saya nampak sebuah teksi muncul dari arah MITC lalu merempuh bahagian belakang kiri ambulans yang menghala ke arah plaza tol Ayer Keroh.
“Rempuhan kuat itu menyebabkan ambulans tersebut hilang kawalan lalu terbalik ke sebelah kanan jalan,” katanya.
Polis menyiasat kes ini di bawah Seksyen 43(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.hmetro

‘Kasihani bayi kami’

GEORGETOWN: Seorang bayi lelaki yang menghidap penyakit jantung berlubang memohon bantuan dan ihsan orang ramai menghulurkan sumbangan kewangan bagi membiayai kos pembedahan dan rawatan segera di Pusat Perubatan Gleneagles (GMC).
Wan Azriey Wan Nasir, yang berusia tiga bulan menderita penyakit berkenaan selepas ‘ventrikular septal’ (VSD) mengalami masalah menyebabkan berlaku kecacatan pada jantung selain gagal berfungsi dengan baik.

Dia memerlukan kos pembedahan sebanyak RM35,000 untuk menutup VSD yang mengalami masalah itu.

Bayi itu juga turut mengalami kegagalan menambah berat badan, dengan ketika lahir berat badannya 3.5 kilogram dan selepas tiga bulan berat badannya hanya mencecah 3.8 kilogram.

Wan Azriey juga terpaksa menggunakan bantuan tiub setiap hari untuk minum susu dan sebagainya, selain tiub itu juga memudahkan dia bernafas dengan agak sempurna.

Bapanya, Wan Nasri Ishak, 41, kakitangan penguat kuasa di Kuala Krai, Kelantan hanya memperoleh pendapatan sekitar RM920 sebulan, manakala ibunya, Hasrah Deraman, 36, seorang suri rumah. Selain Wan Azriey, pasangan itu turut mempunyai empat lagi anak berusia antara 11 hingga 19 tahun dan kos yang tinggi selain untuk pembedahan bayinya itu tidak mampu ditanggung mereka. Menurutnya, impian dan harapannya cuma satu untuk melihat anaknya kembali pulih seperti kanak-kanak yang lain.

“Sebagai bapa, iringan doa sentiasa diberikan ada pihak yang sudi membantu dan menghulurkan sumbangan serta pembedahan Wan Azriey dapat dilakukan dengan segera di GMC,” katanya. Orang ramai yang ingin menderma boleh menghantar cek atau wang pos kepada The New Straits Times Press (M) Sdn Bhd, Bahagian Kewangan / Tabung Kebajikan NSTP, The New Straits Times Press (M) Berhad, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur dengan menulis nama kanak-kanak berkenaan di belakang cek berkenaan.hmetro

4 Tan rebut jawatan Presiden Singapura

SINGAPURA: Pilihan raya presiden paling hangat di negara ini sejak jawatan itu dipertandingkan 18 tahun lalu bermula semalam dengan pemenangnya akan bergelar Presiden Tan, tidak kira siapa di antara empat calon yang bertanding, menang.
Ini kerana kesemuanya berkongsi nama keluarga yang sama.

Tan ialah nama keluarga paling banyak digunakan di republik itu di mana 75 peratus daripada 3.3 juta populasinya terdiri daripada etnik Cina. Pilihan raya selama 10 hari itu dilihat sebagai pungutan suara terhadap Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang berkuasa sejak kemerdekaan pada 1965.

Keempat-empat calon yang merebut jawatan yang lebih kepada menjalankan tugas istiadat itu akan berdepan dengan pengundi yang memandang berat terhadap peningkatan mendadak jumlah warga asing yang mendapat pekerjaan di negara itu.

Pengundian akan berakhir pada 27 Ogos depan, empat bulan selepas PAP kembali berkuasa dengan hanya 60 peratus undi. Meskipun PAP tidak mempunyai sebarang calon pilihan untuk jawatan berkenaan, Perdana Menteri Lee Hsien Loong menyuarakan sokongan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri, Tony Tan. Bloger, Alex Au, yang laman blognya, Yawning Bread menjadi antara blog sosio-politik paling popular di negara itu meramalkan kemenangan Tony Tan tetapi dengan undian kurang daripada 50 peratus.
Menurut laporan media, jawatan presiden Singapura menawarkan gaji kira-kira S$3.329 juta (RM8.24 juta) setahun.
Kerajaan berdepan dengan masalah sekiranya seorang daripada tiga Tan yang lain menang kerana mereka mungkin menggunakan kuasa veto secara agresif, termasuk dalam melantik pegawai kanan kerajaan. - AP
hmetro

20 barang terkawal Aidilfitri






KUALA LUMPUR - Kerajaan semalam menetapkan harga terkawal bagi 20 jenis barangan untuk dikuatkuasakan mulai 23 Ogos hingga 6 September ini di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2010.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar) berkata, dua barang telah ditambah ke dalam senarai pada tahun ini iaitu bawang merah kecil (India) dan bawang putih (China).
"Penentuan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit ini dibuat berdasarkan kepada maklumat hasil pemantauan di semua daerah, pandangan agensi kerajaan berkaitan dan perbincangan dengan pengeluar, pengimport, pembekal serta pemborong barangan terlibat," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Ismail Sabri berkata, peniaga diwajibkan menjual harga barang terkawal mengikut harga maksimum yang ditentukan oleh kerajaan dan meletakkan tanda harga berwarna merah jambu pada barangan tersebut.
Jelasnya, tindakan tegas akan diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim berkenaan.
Menurutnya, individu yang menjual barang harga terkawal melebihi harga maksimum boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali atau dikompaun sehingga RM50,000.
Katanya, syarikat yang melakukan kesalahan tersebut boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikenakan kompaun sehingga RM250,000.
"Mereka yang gagal meletak tanda harga merah jambu boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 dan syarikat yang gagal melakukannya boleh didenda RM20,000 atau kompaun sehingga RM10,000," jelasnya.
Ismail Sabri berkata, kira-kira 2,000 pegawai penguat kuasa KPDNKK bersama 1,000 pegawai pemantauan harga akan memantau penjualan barang terkawal bagi memastikan peniaga mematuhi arahan yang ditetapkan.
Ujarnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai peniaga yang enggan mematuhi peraturan itu diminta menghubungi talian bebas tol 1-800-886-800 atau e-mel kepada e-aduan@kpdnkk.gov.my.-kosmo

Kes Roslin mula bicara 13 Oktober ini




ROSLIN Hashim (kiri) melihat papan kenyataan ketika hadir di Mahkamah Tinggi dan Syariah Kuala Lumpur semalam untuk mengenepikan tuntutan ganti rugi perkahwinan bekas isterinya.


KUALA LUMPUR 16 Ogos - Kes tuntutan ganti rugi perkahwinan yang dikemukakan oleh jaguh badminton negara, Muhammad Roslin Hashim terhadap bekas isteri, Faizah Mohamad akan dibicarakan pada 13 Oktober ini.
Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menetapkan demikian selepas menolak permohonan interlokutari (permohonan dalam permohonan) yang difailkan oleh Faizah pada 30 Mei lalu selepas Roslin gagal hadir pada hari perbicaraan yang ditetapkan pada 23 dan 24 Mac lalu.
Menurut Hakim Syarie, Abdul Walid Abu Hassan, beliau membuat keputusan itu selepas menerima alasan cuti sakit yang dinyatakan oleh peguam syarie yang mewakili Roslin, Roslizam Rahim serta berpendapat ia tidak menimbulkan prejudis terhadap defendan.
Pada prosiding hari ini, Roslin hadir ditemani penerbit filem kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman, 52, dan suaminya, bekas pemain badminton kebangsaan, Jalani Sidek, 48.
Sementara Faizah yang diwakili peguam syarie, Amir Nazli Hussin tidak hadir.
Menurut Roslizam, pihaknya akan mengemukakan tiga saksi dalam perbicaraan tersebut iaitu Raja Azmi, Jalani serta ibu Roslin.
Isu rumahtangga bekas pasangan suami isteri itu hangat diperkatakan umum apabila Roslin, 35, menceraikan Faizah, 34, selepas 12 hari mereka melangsungkan perkahwinan.
Pasangan itu bernikah di rumah Faizah di Puchong pada 30 Januari 2009 dan disahkan bercerai pada 12 Mei tahun tersebut oleh Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya menerusi talak yang jatuh dalam kategori bain sughro (talak yang tidak boleh rujuk kembali kepada perkahwinan asal).
Roslin dalam prosiding pengesahan perceraiannya turut bersumpah bahawa tiada hubungan kelamin berlaku dalam tempoh 12 hari perkahwinan mereka.
Pada 12 Ogos 2009, Roslin memfailkan tuntutan ganti rugi perkahwinan yang merangkumi perbelanjaan yang dikeluarkan ketika merisik dan berkahwin dengan wanita yang pertama dinikahinya itu.
Roslin antara lain menuntut semua perbelanjaan yang dikeluarkan semasa merisik, bertunang dan berkahwin termasuk cincin risik bernilai RM1,900, kos pengangkutan (RM200) dan barangan pertunangan (RM2,915).
Bagi perbelanjaan sewaktu perkahwinan pula, Roslin menuntut duit hantaran dan mas kahwin (RM15,080); bayaran juru nikah (RM150), upah solekan pengantin dan sewa barang kemas (RM500); barang hantaran (RM11,465); baju dan kasut pengantin perempuan (RM6,750).
Turut dituntut adalah khidmat video (RM2,000), kad jemputan kahwin (RM700), pengangkutan dan penginapan (RM1,300), perbelanjaan kenduri di Kelantan (RM10,000) serta tiket kapal terbang pengantin (RM500).-utusan

Musa hadir temu bual kes Anwar

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan akan hadir ke Kompleks Mahkamah di Jalan Duta di sini petang esok bagi sesi temu bual dengan barisan pembelaan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sesi temu bual tersebut akan turut disertai oleh Ketua Pembangkang itu.
Musa sebelum ini pernah 'menolak' untuk ditemu bual selepas mengetahui Anwar akan turut serta dalam sesi tersebut.
Turut dijangka hadir pada sesi temu bual esok ialah salah seorang jururawat Hospital Pusrawi dan pengawal peribadi Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.
Peguam bela, Sankara Nair ketika ditemui pemberita memberitahu, pada hari ini, hanya pembantu rumah pemilik kondominium tempat kejadian liwat didakwa berlaku, Hasanuddin Abd. Hamid yang dikenali dengan nama Suchiati hadir untuk ditemu bual.
Sementara itu, seorang lagi peguam bela Anwar, Ram Karpal Singh, mengambil kesempatan menjelaskan mengenai laporan media yang menyatakan Anwar akan memberi keterangan pada perbicaraan peringkat bela diri itu nanti.
Pada peringkat ini katanya, anak guam mereka masih belum membuat pilihan sama ada akan berdiam diri, memberi keterangan dari kandang tertuduh atau memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi.
Beliau memaklumkan, pilihan tersebut hanya akan dibuat selepas kesemua saksi selesai ditemu bual.
Perbicaraan kes liwat membabitkan Anwar, 64, dan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 27, ditetapkan untuk disambung pada Isnin ini.-utusan

Ummi Hafilda sumpah, tiada hubungan intim

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Ahli perniagaan Ummi Hafilda Ali hari ini sekali lagi melafazkan sumpah laknat bagi menafikan dakwaan bahawa beliau pernah menjalin hubungan intim dengan bekas rakan perniagaannya, Nor Azman Abdullah @ Baginda Minda.
Ummi Hafilda, 43, yang ditemani Penasihat Undang-Undangnya, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz melafazkan sumpah tersebut ketika ditemui pihak media di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Beliau yang berbaju kaftan dan bertudung warna merah jambu dengan tegas berkata: "Wallahi, Wabillahi, Watallahi. Saya Ummi Hafilda Ali tidak pernah mengadakan apa-apa hubungan seks dengan Dayak bernama Baginda Minda. Minnal nauzubillah."
Adik Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali itu menyatakan, beliau telah difitnah dan mendakwa mengetahui individu yang melakukannya.
Ummi Hafilda turut mencabar Nor Azman supaya hadir ke mahkamah bagi menjawab kes saman RM100 juta yang difailkan terhadap lelaki itu dan Mkini Dotcom Sdn. Bhd. (Mkini Dotcom) atas dakwaan menyiarkan artikel berunsur fitnah dan menjatuhkan maruahnya.
Beliau hadir di kompleks mahkamah tersebut untuk memfailkan permohonan bagi mendapatkan perintah penghakiman ingkar terhadap Nor Azman yang tidak mengemukakan sebarang respons sejak saman itu pertama kali difailkan pada 17 Mac lalu.
Permohonan tersebut difailkan melalui firma guaman Tetuan Sahrihan & Hamdan di kaunter pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini.
Kes saman itu akan disebut di hadapan Hakim Datuk V.T. Singham, Jumaat ini.
Pada 13 April lalu, mahkamah membatalkan saman itu setelah peguam kesemua pihak yang terlibat tidak hadir sebelum ia difailkan semula oleh plaintif pada 25 April lalu.
Sementara itu, Ummi Hafilda menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) berkata: "Dalam setiap ceramah, saya akan sumpah laknat atas dua perkara salah satunya mengenai Baginda Minda. Dan satu lagi mengesahkan tiada unsur konspirasi dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin tidak pernah mengupah atau membayar saya (walau) sesen pun seperti yang didakwa."-utusan

Risalah Allah triniti sekitar Lembah Klang

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Beberapa keping risalah berbahasa Melayu yang memesongkan penggunaan kalimah Allah dalam bentuk triniti dikesan diedarkan oleh pihak yang dipercayai sebagai mubaligh Kristian kepada orang awam dan kanak-kanak Islam.
Perkara itu didedahkan oleh Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin hari ini yang memuatkan lapan risalah itu menerusi blog beliau di http://zul4kulim.blogspot.com/dengan entri bertajuk 'Allah Triniti'.
Menurut Zulkifli, risalah yang diedarkan di beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang dekat sini itu menggambarkan Allah dalam bentuk triniti iaitu Tuhan Bapak, Tuhan Anak dan Roh Suci.
"Persoalannya adalah apakah kita bersetuju apabila kaum Kristian ini menyalahgunakan kalimah Allah sebagaimana yang tercatat dengan jelas dalam risalah itu?" kata beliau.
Antara yang terkandung dalam risalah itu dakwa Zulkifli, termasuk rencana "Allah menyelamatkan kita dari dosa dengan mengutus Anaknya yang Tunggal"; "Yesus adalah Allah dalam bentuk manusia" dan "Semua orang yang percaya kepada Anak Allah mempunyai hidup".
Zulkifli turut menempelak pihak-pihak yang menyokong mubaligh Kristian itu yang mana katanya, disebabkan sokongan itu, mubaligh Kristian tersebut semakin berani menyalahgunakan kalimah Allah dalam bentuk triniti.
"Hari ini mereka semakin berani, kurang ajar dan biadab 'merakusi', mencabul dan meliwat kalimah tauhid Allah untuk memesongkan akidah umat Islam," katanya.-utusan

Harga makanan dunia melambung




Mulmillo (kiri) menutup mata anak lelakinya, Mahmud, berusia dua tahun yang mati akibat kekurangan zat makanan, beberapa detik semasa gambar ini dirakamkan di hospital Somalia, Mogadishu kelmarin. - afp


WASHINGTON 16 Ogos - Harga makanan yang melambung tinggi dan pasaran komoditi yang tidak stabil dilapor mengancam kehidupan penduduk termiskin di dunia, menurut Bank Dunia semalam.
Laporan suku tahunan institusi kewangan itu mendapati harga makanan global bulan lalu meningkat 33 peratus lebih tinggi berbanding setahun lalu, sementara harga minyak naik 45 peratus sekali gus mengakibatkan kenaikan harga baja.
"Kenaikan harga makanan yang berterusan dan bekalan yang kurang menunjukkan kita masih berada dalam zon bahaya, dengan kebanyakan golongan miskin terus terdedah dan tidak mampu berdepan masalah ini.
"Kita perlu sentiasa berjaga-jaga mengambil kira ketidaktentuan serta keadaan tidak stabil ini. Tiada perlindungan kepada kita dalam perkara ini," kata Presiden Bank Dunia, Robert Zoellick dalam satu kenyataan.
Menurut laporan Pemantau Harga Makanan bank itu, harga makanan kini hampir menyamai rekod tertinggi pada 2008 dan ia merupakan penyumbang utama kepada masalah kebuluran di negara-negara Afrika.
Jelas Bank Dunia, sejak tiga bulan lalu, seramai 29,000 kanak-kanak di bawah usia lima tahun mati di Somalia dan 600,000 yang lain di rantau itu berisiko kehilangan nyawa dalam krisis yang turut mengancam kehidupan lebih 12 juta penduduk dunia.
"Tidak kira di mana berlaku kenaikan harga makanan, gabungan kemiskinan dan ketidakstabilan boleh mengakibatkan penderitaan dahsyat lebih buruk berbanding yang berlaku di negara-negara Afrika," katanya.
Zoellick berkata, Bank Dunia juga telah menyalurkan sejumlah AS$686 juta (RM2.06 bilion) kepada penduduk negara-negara Afrika bagi menyelamatkan nyawa, memperbaiki perlindungan sosial, menggalakkan pemulihan ekonomi dan daya pemulihan mereka akibat kemarau.
Beliau bagaimanapun berkata, sebanyak AS$1.45 bilion (RM4.35 bilion) dana tambahan diperlukan bagi membantu penduduk terlibat.
Daripada AS$1.03 bilion (RM3.09 bilion) dana, kira-kira AS$870 juta (RM2.6 bilion) telah diperuntukkan untuk usaha kecemasan sementara bakinya disalurkan untuk projek jangka panjang. - AFP, utusan

Semua pihak di Somalia bersalah

MOGADISHU 16 Ogos - Pemerhati Hak Kemanusiaan (HRW) mendakwa semua pihak bertelagah dalam konflik di Somalia telah melanggar undang-undang perang dan bersalah menyebabkan kematian orang awam, keadaan yang menyumbang kepada bencana kemanusiaan di negara ini.
Kumpulan yang berpangkalan di New York itu berkata, al-Shabab, kumpulan militan yang mengawal sebahagian besar kawasan di negara ini, bersalah melakukan kekejaman manakala tentera kerajaan pula melakukan penangkapan dan penahanan tanpa usul periksa.
''Kedua-dua pihak telah menggunakan senjata berat di Mogadishu yang melanggar undang-undang dan menyebabkan kematian orang awam.
''Al-Shabab melancarkan serangan mortar ke kawasan yang padat dengan penduduk. Kerajaan dan tentera AMISOM pula membalas dengan pelbagai diskriminasi,'' kata kumpulan hak asasi itu dalam satu laporan yang diterbitkan kelmarin.
Akibatnya, orang awam tidak tahu di mana untuk mencari tempat perlindungan, kata HRW.
Al-Shabab pada 6 Ogos lalu berundur dari Mogadishu dengan menyatakan ia merupakan satu langkah taktikal yang bermaksud ia mungkin menggunakan serangan berani mati selepas anggota kumpulan militan itu berikrar terus menentang kerajaan.
Keganasan di Mogadishu telah mengganggu pengagihan bantuan kepada berpuluh ribu orang yang kebuluran selepas mereka melarikan diri ke bandar itu bagi mencari makanan dan minuman.
Dalam pada itu, jurucakap kerajaan Somalia, Abdirahman Omar Osman menafikan dakwaan HRW.
''Kami menolak dakwaan itu dan kerajaan bersedia untuk bertemu HRW bagi membincangkan kebimbangan mereka.
''Angka sebenar yang boleh dipercayai sukar dicari di Somalia yang menunjukkan maklumat mereka tidak mempunyai kredibiliti,'' katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, al-Shabab bertanggungjawab dalam kebanyakan pelanggaran hak asasi manusia di Somalia. - Agensi, utusan