Friday, February 7, 2014

Dakwat kekal: Mejar Zaidi mengaku tidak bersalah

KUALA LUMPUR: Mejar Zaidi Ahmad hari ini mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan yang dikenakan ke atas beliau ekoran pendedahan mengenai dakwat kekal yang digunakan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan itu di hadapan Hakim Mahkamah Tentera di pangkalan TUDM, Sungai Besi, petang tadi.

Biarpun pihak peguambela mengemukakan bantahan awal terhadap tuduhan yang dikenakan, mahkamah menolak bantahan itu dan memutuskan untuk meneruskan perbicaraan tersebut.

Hakim kemudiannya menetapkan 8 hingga 10 April depan bagi sebutan semula kes tersebut.

Lima daripada pertuduhan berkenaan di bawah Seksyen 50(2) Akta Angkatan Tentera 1972, sementara dua lagi membabitkan Seksyen 51 akta sama.

Seksyen 50(2) adalah membabitkan kesalahan tidak patuh kepada pegawai atasan yang boleh dipenjara tidak lebih dua tahun, manakala Seksyen 51 pula tidak patuh kepada perintah tetap yang boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau hukuman ringan lain.

Semua pertuduhan berkenaan merujuk pada tarikh 1 Mei 2013 di dua lokasi berbeza iaitu perkarangan Balai Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kepala Batas dan Pangkalan Udara Butterworth.

Sementara itu, isteri beliau, Shafinah Abdul Hamid ketika ditemui menyatakan sokongan penuh kepada suaminya dan menyifatkan tindakan mendedahkan isu dakwat kekal itu merupakan hak suaminya sebagai pengundi.

"Dia (Mejar Zaidi) tahu apa yang akan berlaku jika buat pendedahan itu, tapi baginya itu adalah haknya untuk menyatakan pendiriannya sebagai pengundi," ujar beliau ringkas.

Beliau kemudiannya enggan mengulas lanjut apabila ditanya tentang perasaannya dan harapan beliau terhadap perbicaraan yang akan bermula April depan.

Turut hadir pada sebutan kes petang tadi ialah Ketua dan Naib Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat dan Ir. Khairil Nizam Khirudin.

Semalam, PAS menggesa TUDM membatalkan tindakan pendakwaan terhadap Mejar Zaidi dan menyifatkan pendakwaan ke atas Zaidi adalah satu tindakan yang tidak wajar, malah akan memalukan institusi tentera secara keseluruhannya memandangkan anggota itu hanya menzahirkan haknya sebagai seorang pemilih yang sah.

"Kes ini adalah berkaitan hak dan kebebasan demokrasi berparlimen. Ianya bukan kes salah laku dalam tentera secara khusus.

"Dia buat atas dasar hak dia sebagai seorang rakyat, dan terpanggil untuk menyatakan kepincangan yang berlaku dalam pilihan raya yang dia alami sendiri.

"Jadi kita mintak pihak tentera membatalkan, atau tarik balik pendakwaan kes tersebut," kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar kepada Harakahdaily.

Ambil upah rebut ruang solat dikecam


Mekah: Sekumpulan wanita warga asing meraih pendapatan tinggi dengan mengambil upah menempah tempat bagi jemaah tertentu yang ingin menunaikan solat di Masjidil Haram.

Mereka menggunakan beg tangan, barangan peribadi atau kerusi untuk menempah tempat bagi jemaah yang membayar khidmat mereka kerana lambat datang atau tidak dapat mencari tempat sesuai untuk menunaikan solat.


Sesetengah jemaah sanggup membayar wanita asing itu sebanyak SR200 (RM177) sehari.



Keadaan berlaku terutamanya pada malam Jumaat, Isnin dan Khamis dan sepanjang Ramadan.


Kawasan yang menjadi tumpuan ialah di sekitar pintu masuk Hunayn, Bilal dan King Abdulaziz Gates.


Seorang pengawal wanita di masjid berkenaan, berkata wanita asing itu membuat keuntungan besar melalui perkhidmatan mereka dan ada di antara mereka meraih pendapatan secukupnya untuk setahun.

Sehubungan itu, Mufti Saudi, Sheikh Abdulaziz Al-Alsheikh mengeluarkan fatwa menyatakan perbuatan menempah tempat bagi jemaah lain bertentangan dengan ajaran Islam. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/07

Polis Hentak Kepala Pekerja Hotel Dengan Pistol Lah!

Like "SEREMBAN – Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor yang menghentak kepala seorang pekerja hotel dengan pistol hanya kerana salah faham mengenai pemulangan baki wang pembelian ais krim ditahan kelmarin.

Kejadian pukul 2.50 pagi di sebuah hotel bajet di Seremban 2 itu berlaku apabila pegawai berusia 32 tahun tersebut datang bersama tiga rakannya untuk menginap di hotel tersebut.

Ketika hendak mendaftar masuk hotel, pegawai terbabit dikatakan bertengkar dengan dua pekerja hotel kerana salah faham di kaunter lobi. Kejadian itu dirakamkan selama 10 minit menerusi kamera rakaman litar tertutup (CCTV) hotel.

Menurut laporan polis yang dibuat mangsa, akibat tidak berpuas hati, pegawai terbabit bertindak memanjat kaunter lobi lalu menunjukkan pistol sebelum menghentak kepalanya dengan belakang pistol selepas berang dengan ugutan mangsa yang ingin membuat laporan polis.

Selain kepala, hentakan itu turut mengenai telinga mangsa.

Suspek kemudian ditahan selepas dua anggota polis yang menaiki sebuah kereta peronda tiba. Mangsa turut dihantar ke hospital oleh polis. – Kosmo"

jangan lupa like Media Lah
https://www.facebook.com/medialah
 —

Ibu 100 tahun bela anak OKU 62 tahun


7 Februari 2014
Ibu 100 tahun bela anak OKU 62 tahun
Ibu 100 tahun bela anak OKU 62 tahun Meliah Md Diah yang berusia 100 tahun (kiri) memberi minum kepada anaknya Abd Rahman Saud, 62, yang juga orang kelainan upaya (OKU) ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Bukit Nambua, Mukim Belimbing Kanan di Kuala Nerang hari ini. Turut memerhati Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan, Badrol Hisham Hashim yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Nerang yang turun padang melawat keluarga tersebut. Warga emas itu masih mempunyai kudrat yang kuat untuk menjaga dan menguruskan anak bongsu daripada empat baradik itu yang mengharapkan bantuan orang lain untuk bergerak selepas diserang penyakit sawan sejak kecil. Suaminya Saud Ismail meninggal dunia sejak 20 tahun lepas dan tiga anaknya turut meninggal dunia pada usia muda. Kegigihan dan kecekalan warga emas ini perlu dijadikan tauladan kepada orang ramai dalam menjaga dan menguruskan anak istimewa ini. - Foto Bernama



KUALA NERANG - Sudah 62 tahun, seorang ibu yang kini dipercayai berusia lebih 100 tahun membela anak lelakinya yang kelainan upaya (OKU).

Meliah Md Diah yang kematian suami 20 tahun lalu berseorangan menjaga anaknya Abd Rahman Daud, 62, di rumah mereka di Kampung Bukit Nambua, Mukim Belimbing, di sini.

Abd Rahman cacat anggota badan akibat diserang sawan sejak kecil.

Anak bongsu dari empat beradik itu hanya terbaring dan tidak boleh bercakap serta memerlukan bantuan ibunya untuk makan, mandi dan bergerak.

Adik-beradik Abd Rahman yang lain sudah meninggal dunia.

"Hari-hari mak cik suap nasi sebab dia tak boleh makan sendiri. Mak cik mandi dia, pakaikan baju dan dudukkan dia di beranda rumah berehat. Ada adik beradik mak cik mai jenguk(datang ziarah) dan tolong," katanya kepada pemberita di rumahnya di sini, hari ini.

Ditanya mengenai usianya yang panjang, Meliah berkata beliau banyak memakan ulam dan makanan berebus.

"La ni (sekarang) cuma sakit tua saja, tak larat, telinga pun tak berapa nak dengar dan mata sikit kabur," katanya yang turut mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Mak Cik bersyukur sebab diberi nikmat kesihatan dan kekuatan untuk jaga anak istimewa ni. Kalau kata satu hari nanti Mak Cik pergi dulu (meninggal dunia), harap adik beradik lain dapat jaga dia (Abd rahman) dengan baik," katanya.

Namun nasib dua beranak ini mendapat pembelaan apabila menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan Negeri, Badrol Hisham Hashim.

Badrol Hisham yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Nerang berkata, selain menyumbangkan keperluan harian, pihaknya akan membina sebuah rumah baharu bagi memudahkan dua beranak itu bergerak dan keluar masuk rumah tanpa perlu memanjat tangga.

"Kalau lihat rumah mereka agak uzur dan mereka terpaksa naik turun tangga. Kita akan bina rumah yang lebih selesa dan akan beri kelengkapan lain seperti kerusi roda," katanya yang turut meminta pihak korporat menghulurkan sumbangan.

Pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) turut membantu dengan membuat kad pengenalan baharu untuk Abd Rahman yang kali terakhir dibuat pada Januari 1969 ketika berusia 17 tahun.

Ketua Unit Komunikasi Korporat JPN Kedah, Basharudin Ibrahim berkata kad pengenalan baharu itu akan siap dalam tempoh 10 hari lagi. - Bernama

Soalan seks untuk murid sekolah?


KHAIRULKHEIZA MOHD NAJIB
7 Februari 2014
Soalan seks untuk murid sekolah?
Soalan seks untuk murid sekolah? Soalan kaji selidik yang menjadi punca kontroversi.



SEREMBAN - Soalan berunsur seks dalam borang soal selidik yang diedarkan kepada murid sekolah rendah di Nilai mendorong dua wakil rakyat membuat aduan sekali gus menuntut tindakan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, semalam.

Adun Nilai, J Arul Kumar yang hadir bersama Adun Senawang, P Gunasekaran, mempersoalkan apa relevannya soalan berkaitan keguguran kandungan, kaedah mencegah kehamilan, penukaran jantina, masturbasi, bertukar-tukar pasangan dan hubungan seks luar tabii ditanya kepada murid sekolah rendah.

"Soalan seperti ini tidak sepatutnya ditanya kepada murid sekolah rendah," kata Arul Kumar.

Beliau turut menunjukkan borang soal selidik itu yang antara soalannya ialah 'Saya mempunyai keinginan seks terhadap (a) kaum (jantina) sejenis (b) keinginan untuk menjadi berlainan jantina'.

Satu lagi soalan, 'saya pernah melakukan perkara-perkara berikut (a) membaca/ menonton bahan-bahan lucah (b) melancap/ masturbasi (merangsang diri sendiri secara seksual).
Sinar Harian difahamkan, borang soal selidik itu diedarkan di sekolah-sekolah di negeri ini.

Menurutnya,  beliau dimaklumkan mengenai perkara itu Jumaat lalu oleh ibu bapa murid tahun empat yang bimbang persoalan yang dibangkitkan dalam soal selidik itu mencemarkan pemikiran anak mereka.

“Setelah diteliti, kita dapati soalan pada halaman tiga itu memang tidak sepatutnya diajukan kepada murid sekolah rendah. Kita pun hairan bagaimana pihak berkenaan boleh terfikir untuk menyoal selidik budak sekolah rendah dengan soalan seperti itu.

“Cuba bayangkan, apa yang kanak-kanak ini faham tentang keguguran kandungan, kaedah pencegahan kehamilan, penukaran jantina, masturbasi, bertukar-tukar pasangan dan hubungan seks luar tabii,” katanya.

Arul Kumar berkata,  tidak timbul masalah jika soalan itu diajukan kepada golongan remaja, khususnya pelajar sekolah menengah memandangkan topik dibangkitkan bersesuaian dengan mereka untuk tujuan kesedaran.

“Ibu bapa itu sendiri kata kepada saya, mereka serba salah apabila anak-anak yang masih kecil ini balik bertanya kepada mereka soalan-soalan yang mereka sendiri tak boleh nak jawab. Pada saya, perkara seperti ini boleh dedahkan anak-anak kepada perkara yang mereka tak sepatutnya tahu lagi pada peringkat usia itu," katanya.

Sehubungan itu, Arul Kumar minta Jabatan Pendidikan negeri mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan insiden sama tidak berulang.

“Kita harap Jabatan Pendidikan negeri memandang serius perkara ini kerana mengikut maklumat diterima, dipercayai kaji selidik berkenaan bukan saja diedarkan di sekolah terbabit, malah di semua jenis sekolah rendah di negeri ini sejak tahun lalu.

“Bagaimanapun, kita terpaksa menanti sehingga hari ini (semalam) untuk bertindak selepas mendapat bukti mencukupi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Kalsom Khalid ketika dihubungi Sinar Harian berkata, siasatan awal pihaknya mendapati, kaji selidik berkenaan dibuat klinik kesihatan berdekatan tanpa pengetahuan dan kebenaran Jabatan Pendidikan negeri.

"Setakat ini, kita tak pasti berapa banyak yang sudah diedarkan dan sekolah mana terlibat.

"Buat permulaan kita minta pengurusan sekolah yang menerima borang kaji selidik ini supaya menghentikan pengedarannya," katanya.

Kalsom berkata, pihaknya akan membuat siasatan lebih lanjut sebelum sebarang tindakan diambil.

Australia hadiahkan 2 bot peronda kepada Malaysia


Gambar tidak bertarikh menunjukkan, dua buah bot peronda agensi maritim Australia, cuba memintas sebuah kapal membawa mangsa-mangsa penyeludupan manusia di perairan negara itu. - AGENSI
SYDNEY 6 Feb. - Kerajaan Australia, hari ini menyatakan hasrat untuk menghadiahkan dua buah bot peronda kepada Malaysia sebagai sebahagian strateginya untuk membanteras kegiatan penyeludupan manusia di rantau ini.
Sempadan Thailand-Malaysia sering dijadikan sebagai transit bagi aktiviti penyeludupan manusia untuk ke Sumatera melalui Selat Melaka, dengan kebanyakan bot pencari suaka yang tiba ke Australia datangnya dari Indonesia.
Bot berkenaan akan diserahkan pada pertengahan 2015 dengan Menteri Imigresen Australia, Scott Morrison menyifatkan tindakan itu sebagai 'strategi operasi yang praktikal untuk membendung jenayah penyeludupan'.
Canberra pada tahun lalu pernah mengambil tindakan sama, apabila menghadiahkan dua buah bot peronda kepada Sri Lanka.
Morrison berkata, Malaysia merupakan rakan utama di rantau ini dan kerjasama dua hala bagi menghalang penyeludupan manusia adalah penting, selepas menyaksikan negara ini berterusan menjadi transit kepada mereka yang ingin ke Australia dengan menggunakan bot.
"Bot berkenaan akan meningkatkan keupayaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam mengawal sempadan perairan, selain membantu menyelamatkan mangsa penyeludupan,'' jelasnya.
Bot-bot yang digunakan oleh agensi pengawasan maritim Australia sejak 1990-an itu, boleh bergerak sejauh 1,000 batu nautika dengan kapasiti 12 orang anak kapal.
Sejak memegang semula tampuk pemerintahan negara pada tahun lalu, kerajaan pimpinan Parti Konservatif mengambil pendirian tegas dalam isu penyeludupan manusia dan pencari suaka di bawah 'Operasi Kedaulatan Sempadan'. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140207/lu_07/Australia-hadiahkan-2-bot-peronda-kepada-Malaysia#ixzz2saBmnO41
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Syariah dalam kalangan bukan Islam di Aceh


Dua orang polis syariah wanita (berdiri kiri), menasihati dua gadis yang memakai seluar ketat di Aceh, baru-baru ini. - AGENSI
JAKARTA 6 Feb. - Majlis Perundangan Aceh sedang menimbangan untuk memperkenalkan peraturan khas bagi membolehkan masyarakat bukan Islam di wilayah itu mematuhi undang-undang syariah.
Dikenali sebagai Qanun Jinayat, peruntukan di bawah undang-undang tersebut bakal menyaksikan seluruh penduduk di wilayah Aceh perlu mengenakan pakaian dan mematuhi etika kehidupan berlandaskan prinsip Islam.
Dalam usaha memperkenalkan undang-undang tersebut kepada golongan bukan Islam, Ketua Jabatan Penguatkuasaan Syariah Wilayah Aceh, Samsuddin berkata, pada masa ini, pihaknya meningkatkan rondaan di jalan-jalan bagi memantau kesalahan dilakukan penduduk termasuk bukan Islam.
Di Banda Aceh semalam, dua wanita bukan Islam yang menunggang motosikal, ditahan polis syariah dalam satu sekatan jalan raya kerana tidak mengenakan tudung.
Bagaimanapun, memandangkan kedua-dua wanita itu bukan Islam, mereka tidak dikenakan sebarang hukuman tetapi diberi amaran supaya mula menutup kepala setiap kali muncul di khalayak ramai.
"Kami mengharapkan semua wanita termasuk yang bukan Islam akan mengenakan tudung," kata Samsuddin seperti dilaporkan akhbar tempatan, hari ini.
Menurut Samsuddin, masyarakat Islam dan bukan Islam di wilayah Aceh, satu-satunya wilayah di Indonesia yang diberi hak autonomi untuk melaksanakan perundangan syariah, seharusnya mematuhi undang-undang Islam.
Selain menahan wanita yang tidak menutup aurat, polis syariah turut menahan lelaki Islam dan bukan Islam yang memakai seluar pendek ketika menunggang motosikal dengan memberi amaran bahawa mereka perlu mengenakan seluar panjang atau seluar di bawah paras lutut apabila berada di kawasan umum.
Berdasarkan Kanun Syariah No. 11 Tahun 2002, setiap anggota masyarakat wajib mengenakan pakaian yang bersesuaian dengan syariat Islam iaitu wanita harus mengenakan tudung, sementara kaum lelaki dilarang memakai seluar pendek.
"Seandainya seseorang itu didapati bersalah melanggar undang-undang syariah sebanyak tiga kali, mereka boleh dikenakan hukuman lebih berat seperti dikenakan hukuman sebatan di hadapan orang ramai," kata Samsuddin.
Aceh yang terletak di hujung utara pulau Sumatera merupakan wilayah paling barat di Indonesia dengan jumlah penduduk seramai 4.5 juta orang. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140207/lu_06/Syariah-dalam-kalangan-bukan-Islam-di-Aceh#ixzz2saBY1Vdg
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Projek mega sukarkan jemaah


Projek memperluas kawasan sekitar Masjidilharam, mengundang rungutan para jemaah yang mengadu sentiasa sesat dan sukar sampai ke Kaabah. - AGENSI
MEKAH 6 Feb. - Projek menaik taraf Masjidilharam bagi memperluas kawasan tanah suci itu di sini, telah menyebabkan para jemaah sukar mencari jalan untuk menuju ke Kaabah.
Dalam satu tinjauan akhbar Arab News baru-baru ini, pengunjung yang pertama kali menjejakkan kaki ke tanah suci itu sesat disebabkan kekurangan papan tanda dan maklumat jalan.
Seorang jemaah dari Turki yang pertama kali datang ke tanah suci, merungut tentang kesukaran untuk mencari jalan masuk ke Masjidilharam.
"Kesesakan jemaah serta projek memperluas kawasan di sini menyebabkan ramai jemaah sesat dan tidak dapat menentukan arah kiblat untuk menunaikan solat.
"Kami memerlukan lebih banyak petunjuk jalan dalam pelbagai bahasa di dalam serta di luar Masjidilharam untuk mengatasi masalah ini. Kakitangan yang mampu bertutur dalam pelbagai bahasa juga boleh membantu dalam hal ini," kata Fatima dari Istanbul.
Menurut pegawai, kira-kira 750,000 jemaah umrah datang ke Mekah setiap bulan dan jumlah tersebut dijangka meningkat sehingga enam juta pada akhir musim ini.
Selain itu, pemandu teksi turut didapati mengambil kesempatan mengenakan caj tinggi terhadap jemaah, terutama ketika waktu sibuk dan lalu lintas sesak.
Menurut seorang pengunjung, Abdul Rahman, kerajaan seharusnya meletakkan papan notis harga tambang teksi di Masjidilharam.
"Jika tidak, pemandu teksi akan terus mengenakan caj sebanyak 20 riyal (RM17.80) untuk perjalanan jarak dekat dan mengambil kesempatan ke atas jemaah yang tidak boleh menggunakan bas," katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140207/lu_03/Projek-mega-sukarkan-jemaah#ixzz2saB0YLu8
© Utusan Melayu (M) Bhd