Sunday, August 7, 2011

Konflik Penduduk Sarawak Dan Buaya Berterusan



SARIKEI: Sementara buaya di Sungai Seblak mungkin terlepas daripada langkah penakaian yang dibatalkan pada saat-saat akhir, kira-kira 1,000 penduduk Kampung Empelam di Kabong, kira-kira 60 kilometer dari sini masih bimbang akan keselamatan mereka.
Sejak 2007 penduduk kampung ini dilanda ketakutan ekoran serangan maut ke atas dua penduduk kampung dan bilangan buaya yang terus meningkat di sungai berkenaan.
Malahan sejak itu penduduk kampung berasa rimas dan cuba mengelakkan sebarang aktiviti di sungai itu yang mengalir di belakang rumah mereka dan ini menjejaskan kehidupan harian serta pendapatan mereka.
"Sungai ini dipenuhi buaya termasuk ada yang boleh sampai saiz 20-kaki," kata ketua kampung Johan Jok, 64 tahun.
Apabila ditemui di kediamannya, Johan, bekas kakitangan awam, berkata Jun terutamanya adalah bulan berbahaya kerana buaya betina mula bertindak agresif kerana ia musim bertelur.
"Oleh itu Jun setiap tahun, saya akan menasihatkan berulang kali kepada penduduk kampung supaya elakkan menangkap ikan di Sungai," kata beliau.
HIDUP TERLALU DEKAT DENGAN MANUSIA
Mangsa pertama reptilia di kampung ini ialah Khamis Achong yang diserang pada Ogos 2007 dan yang kedua ialah Mankay Goheh yang menjadi mangsa pada Mei lepas.
Beliau berkata mayat Khamis ditemui di Sungai Nyiar, kira-kira 13 kilometer dari kampung ini sementara mayat Mankay belum ditemui sehingga kini.
Walaupun jarang sekali manusia dibaham buaya, ketika air pasang pada sebelah petang reptilia ini seringkali menyambar ayam dan itik milik penduduk yang berada di bawah rumah, jelas Johan.
"Saya takut untuk memikirkan apa yang akan berlaku jika seekor buaya besar turut terlanggar tiang kaki rumah dalam proses itu," katanya.
Johan berkata, mata pencarian 28 orang penduduk kampung yang rezeki mereka bergantung dari sungai itu terjejas kerana ancaman buaya.
"Sungai Seblak terkenal kerana udang galahnya mampu mencapai harga RM40 sekilogram. Jika rezeki murah, mereka boleh menangkap sehingga 50 kg," katanya dan menambah bahawa kerana ancaman buaya ini kebanyakan mereka tidak berani turun ke sungai.
Johan berkata beliau mendapat tahu tinjauan yang dijalankan oleh Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) menganggarkan terdapat sekurang-kurangya 306 ekor buaya di sungai itu dari Roban hingga Sessang.
"Kami tidak tahu apa lagi yang perlu dilakukan. Kami tidak boleh menembaknya kerana ia adalah spesies yang dilindungi. Lagipun, kami tidak berminat membunuhnya kerana ada antara kami yang percaya reptilia ini bersifat pendendam.
"Saya meragui yang penduduk tempatan sedia membunuhnya. Lagipun untuk membunuh buaya yang besar, anda memerlukan senjata yang berkuasa selain daripada senapang patah biasa," katanya.
Pilihan lain ialah mendapatkan khidmat pakar atau "bomoh" untuk mengusir reptilia ini tetapi sekarang ini pilihan ini sukar dipertimbangkan kerana bayaran yang mereka kenakan boleh mencapai sehingga RM5,000 atau lebih.
OPERASI PENAKAIAN TIDAK MENJADI
Operasi penakaian selama seminggu, yang pertama seumpamanya di kawasan itu, sebenarnya dicadangkan pada minggu ketiga Julai membabitkan tentera, polis, RELA, Jabatan Bomba dan Penyelamat, pejabat daerah kecil Roban dan penduduk tempatan.
Bagaimanapun operasi ini dibatalkan pada saat-saat akhir kerana kekurangan sumber dan kesukaran dalam mengenalpasti buaya-buaya ganas.
Ketua Daerah Polis Saratok Deputi Supritendan (DSP) Lee Phai Lien berkata rancangan awal adalah untuk memburu sehingga 60 ekor buaya, yang panjangnya tidak kurang daripada 2.5 meter dan berpotensi mengancam manusia.
Sementara itu, pengurus besar SFC Wilfred Landong berkata perbadanan itu sedang mempertimbangkan aktiviti pemburuan komersil untuk mendapatkan kulit dan daging buaya dalam usaha mengawal bilangannya.
Beliau berkata Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 yang melindungi reptilia ini harus dipinda bagi membolehkan pemburuan komersil dari masa ke masa.
Beliau berkata pada 1961, Sarawak mengeksport 7,245 kg kulit bernilai RM148,000, sementara pada 1970 ia mengeksport 692 kg bernilai RM13,000.
"Berdasarkan tinjauan kami yang dilakukan sejak 1995, populasi buaya tembaga (crocodylus porosus) di beberapa sungai telah meningkat dengan ketara.
"Kejadian serangan ke atas manusia juga meningkat selaras dengan bilangannya," kata beliau.
Wilfred menunjukkan bahawa reptilia ini lazim ditemui di 22 lembangan sungai di negeri ini dan SFC sedang memantau lima sungai utama khasnya Batang Sadong, Batang Lupar, Sungai Sarawak (Kiri dan Kanan), Batang Saribas dan Batang Samarahan.
Beliau berkata sungai-sungai ini paling banyak menyaksikan konflik buaya-manusia dengan 42 kematian manusia dilaporkan dari 1980 hingga 2009.
"Batang Lupar paling banyak menyaksikan insiden serangan buaya dengan 16 kematian disusuli Sungai Sarawak dengan lima kematian dan empat di Sungai Saribas," katanya. -BERNAMAmstar

Tender plat “KDA” berjumlah RM762,601

ALOR SETAR – Nombor pendaftaran kenderaan “KDA” mencatat jumlah tender tertinggi dalam sejarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah iaitu RM762,601 sejak dibuka kepada orang ramai pada 12 Jun lepas.
Pengarah JPJ Kedah, Ahmad Musadad Sulaiman, berkata pihaknya menerima 851 tender untuk nombor tersebut.
"Bagi nombor emas, KDA 1, ia ditender sebanyak RM112,200 dan nilai itu adalah yang tertinggi pernah diterima JPJ Kedah,” katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata, bagi nombor pendaftaran dalam kategori nombor menarik, tender tertinggi yang diterima ialah RM18,480 bagi nombor KDA 11 manakala dalam kategori nombor popular KDA 212 sebanyak RM11,100.
KDA bererti Kedah Darul Aman dan menjadi rebutan penduduk negeri ini kerana telah memberikan sambutan luar biasa dan dijangka habis dalam masa dua minggu lagi, katanya.
Beliau berkata, dalam tempoh lima hari selepas nombor KDA dibuka Isnin lepas, sebanyak 4,300 kenderaan telah didaftarkan berbanding purata 200 kenderaan sehari bagi nombor pendaftaran sebelum ini.
Ahmad Musadad berkata pendaftaran bagi KDB telah dibuka 3 Ogos sehingga 17 Ogos ini. - Bernama

Ibu saudara timbalan menteri mati disamun


FAUZI (kanan) menunjukkan pisau yang digunakan suspek kes samun dan bunuh pada sidang akhbar di Parit Buntar semalam.


PARIT BUNTAR - Seorang warga emas yang juga ibu saudara Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai ditemui mati akibat dicekik selepas disamun pekerjanya di sebuah rumah di Bagan Selatan, Tanjung Piandang dekat sini semalam.
Mayat mangsa, Teoh Ah Nya @ Teoh Kooi Lan, 73, ditemui di bilik tidurnya oleh adik mangsa yang juga pemilik rumah berkenaan pada pukul 1.30 pagi.
Kejadian itu adalah yang kedua dalam tempoh kurang tiga hari membabitkan kes pecah rumah yang berakhir dengan kematian di Perak selepas pembunuhan Timbalan Pengarah (Kesihatan) Jabatan Veterinar Perak, Dr. Rohani Kasim, 38, di Ipoh pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Kerian, Supritendan Mat Fauzi Nayan berkata, kejadian dipercayai berlaku di antara pukul 12 malam dan 1 pagi apabila seorang lelaki yang juga pekerja sambilan mangsa menceroboh ke rumah berkenaan.
"Mangsa ketika kejadian tidur berseorangan di bilik tidur tingkat bawah rumah manakala suaminya tidur di sebuah pondok berdekatan kediaman terbabit.
"Suspek dipercayai menceroboh rumah mangsa menerusi pintu belakang rumah dan melarikan barang kemas dan wang tunai bernilai RM7,000 milik mangsa," katanya di sini semalam.
Katanya, mayat mangsa ditemui adik perempuannya berusia 65 tahun pada pukul 1.30 pagi yang ketika itu tidur di tingkat atas selepas terdengar bunyi bising di bawah.
Adik mangsa kemudiannya membawa wanita terbabit ke Klinik Kesihatan Tanjung Piandang tetapi disahkan sudah meninggal dunia, ujarnya.
"Ekoran laporan polis, pada pukul 2.30 pagi, polis menahan seorang lelaki warga Myanmar berusia 25 tahun yang bekerja sebagai pemotong babi sambilan di rumah mangsa kira-kira tujuh kilometer dari kediaman terbabit.
"Polis merampas sebilah pisau daripada suspek yang dipercayai digunakan untuk mengumpil pintu rumah mangsa," jelasnya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.kosmo

Rugi RM1.2 juta akibat bena perang


JOHARI (dua dari kanan) meneliti padi yang rosak akibat serangan bena perang ketika meninjau sawah padi di Kampung Pida 3 1/2, Tunjang, Jitra semalam.


JITRA - Lebih 200 pesawah mengalami kerugian kira-kira RM1.2 juta apabila seluas 211 hektar sawah padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Kedah dan Perlis rosak akibat diserang makhluk perosak yang dikenali sebagai bena perang.
Kawasan yang dikesan terjejas melibatkan empat wilayah MADA iaitu Kangar, Perlis dan tiga di Kedah iaitu Jitra, Pendang dan Kota Sarang Semut.
Luas kawasan tanaman padi di MADA adalah 96,558 hektar.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Johari Baharom yang melakukan lawatan ke kawasan sawah padi di Kampung Pida 3 1/2, Tunjang di sini semalam berkata, seluas 211 hektar sawah padi di empat wilayah MADA rosak akibat bena perang.
"Kerosakan akibat bena perang ini melibatkan kerugian kira-kira RM1.2 juta dan ia menjejaskan pendapatan petani di empat wilayah dalam MADA," katanya.
Kata beliau, penggunaan racun secara berlebihan mungkin menjadi penyebab sawah padi diserang bena perang.
Jelas beliau, ia berlaku apabila racun berlebihan membunuh sahabat ladang seperti labah-labah yang memakan bena perang seterusnya menyebabkan bilangan bena perang bertambah dan menyerang pokok padi.
Menurutnya, para petani sepatutnya menggunakan kapasiti racun mengikut ukuran yang telah ditetapkan MADA.
"Apa yang boleh kita buat sekarang adalah menyiasat perkara ini dengan lebih lanjut untuk mencari jalan bagi mengelakkan masalah serupa berulang pada musim padi akan datang," tambahnya.
Sementara itu, seorang petani, Azmi Ali, 63, berkata, sebanyak satu hektar daripada dua hektar sawah padinya rosak diserang bena perang dengan anggaran kerugian RM5,000.
Katanya, sawah menjadi kering dalam masa 10 hari selepas diserang bena perang dan dia mungkin hanya mendapat hasil padi sekitar RM10,000 selepas ditolak padi rosak.
Sulaiman Puteh, 59, pula terkilan kerana separuh daripada 1.4 hektar sawah padinya rosak akibat serangan makhluk perosak itu dengan anggaran kerugian lebih RM5,000.
"Serangan ini amat cepat dan jika populasinya bertambah serta dibiarkan tanpa kawalan, ia boleh menyebabkan petak sawah kering dengan cepat dan mengakibatkan padi kuning serta kering," jelasnya.kosmo

Ramai orang tua Jepun mati kesepian

Program dekati masyarakat veteran
TOKYO: Pihak berkuasa Jepun bekerjasama dengan agensi kerajaan seperti pejabat pos untuk memeriksa keadaan warga tua, memastikan mereka berhubungan dan memperbaiki kehidupan dalam usaha mengelak mereka mati sendirian.
Masyarakat Jepun yang semakin tua, dengan satu dalam empat penduduknya berusia 65 tahun ke atas, bermakna lebih ramai warga tua tinggal bersendirian setiap tahun, dan lebih menyedihkan ada mayat mereka ditemui selepas beberapa hari mati.
Wad kebajikan Shinagawa memulakan kerjasama dengan Pos Jepun yang membolehkan posmen memeriksa penduduk berusia 65 tahun ke atas sebulan sekali dengan menyerahkan kad ucapan.
“Kami berharap dapat mengukuhkan ikatan dengan masyarakat,” kata pegawai badan kebajikan itu, Akihiro Hara.Program ujian berkenaan meminta posmen memastikan semuanya dalam keadaan baik apabila melawat kediaman warga tua dan menghubungi pusat khas di pejabat wad itu jika ada sesuatu yang tidak kena. Pegawai akan menghubungi hospital dan pegawai kebajikan jika diperlukan.Pertambahan warga tua yang keseorangan menjadi masalah sosial yang penting. Tahun lalu, 4.6 juta warga tua tinggal bersendirian di seluruh Jepun, dan bilangan yang mati di rumah meningkat 61 peratus antara 2003 dan 2010, daripada 1,364 kepada 2,194, menurut Biro Kebajikan Sosial dan Kesihatan Awam di Tokyo.Keengganan penduduk Jepun untuk campur tangan dalam kehidupan orang lain, walaupun jiran, bermakna sebahagian warga tua ini menjalani hari tua mereka tanpa bercakap dengan sesiapa.Masalah lain ialah tradisi menghormati warga tua yang semakin dilupakan dan ikatan kemasyarakatan yang sudah tidak sekuat dulu, menjadi punca keadaan itu meningkat, kata pakar.Satu karakter teruk masyarakat Jepun pada masa kini ialah kita melayan warga tua seperti mereka haiwan yang tidak mempunyai kehidupan,” kata pengulas sosial, Tomoko Inukai.Beberapa pendekatan kreatif lain diambil untuk memastikan masyarakat sentiasa berhubung dengan warga tua.Seorang ejen hartanah mula mempromosikan idea perkongsian rumah oleh ibu tunggal dan warga tua, menghimpunkan warga emas yang berminat menyewakan ruang dalam rumah selepas keluarga sendiri meninggalkan mereka kepada ibu tunggal yang mencari rumah pada harga berpatutan.Namun, idea itu masih ada masalahnya, kata Hiroshi Kuwayama, Ketua Pengarah Eksekutif Now-e, firma hartanah yang terbabit.Ibu tunggal masih muda dan lebih mudah menerima idea berkongsi rumah tetapi warga tua mengambil masa untuk menerima konsep ini,” katanya.Usaha lain membabitkan keperluan seperti makanan. Sebuah firma di Niigata, Mills, menghantar makanan setiap hari kepada warga tua yang sudah tidak mampu membeli makanan atau memasak dan memeriksa untuk memastikan mereka sihat. – Reuters bharian

Air mata berlinang dengar rintihan anak


MAZLINA  bersama Athirah mengenang nasib mereka selepas   Mohd Nazarrudin diculik sejak 8 Mei lalu oleh kumpulan penculik di Filipina.
MAZLINA bersama Athirah mengenang nasib mereka selepas Mohd Nazarrudin diculik sejak 8 Mei lalu oleh kumpulan penculik di Filipina.

Bekas isteri mangsa culik buntu fikir kebajikan keluarga

KUALA LUMPUR: Hanya linangan air mata menemani Mazlina Mohamad, 38, setiap kali anak kecilnya, Nur Athirah Mohd Nazaruddin, 4, bertanya mengapa bapanya tiada bersama untuk berbuka puasa dengan mereka, malah masih belum pulang sejak awal Mei lalu.

Bagai jatuh ditimpa tangga, bekas isteri kepada penganggur, Mohd Nazarrudin Saidin yang kini dijadikan tebusan kumpulan penculik di selatan Filipina itu sudah tidak lagi dapat menjual kuih bagi menyara enam anaknya.
“Memang ada yang bertanya mengapa saya perlu bersusah payah kerana sudah bercerai. Athirah anak saya juga. Saya terpaksa menyara mereka terutama sewaktu bekas suami tiada. Keadaan makin buruk kerana saya tidak lagi dapat menjual kuih.
“Sebelum ini saya menumpang tapak berniaga dengan keluarga bekas suami yang berniaga nasi lemak pada sebelah pagi, sekarang mereka berniaga di bazar Ramadan dan saya pula tidak sempat untuk melayan kerenah anak-anak sambil membuat kuih,” katanya kepada Berita Minggu baru-baru ini.

Mohd Nazarrudin, nekad meletak jawatan sebagai pemandu lori untuk menjadi orang tengah dalam urus niaga cicak tokek atau gecko sebelum dia ditahan kumpulan penculik di Pulau Jolo, selatan Filipina 8 Mei lalu.

Laporan awal menyatakan kumpulan penculik disyaki mempunyai kaitan dengan Abu Sayyaf serta terbabit dalam keganasan dan menculik demi mendapatkan wang, menuntut wang tebusan sebanyak RM5.6 juta.

Mazlina juga amat berharap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Pusat Zakat Selangor segera memproses permohonan bantuannya lebih-lebih lagi Aidilfitri semakin hampir.
“Saya mendapat surat daripada JKM menyatakan mereka bersetuju memberikan bantuan bulanan tetapi sehingga kini saya masih belum menerima pengesahan atau bantuan berkenaan. Bagi kami sekeluarga, Ramadan dan Aidilfitri sudah tiada maknanya, tiada serinya kerana pelbagai penderitaan terpaksa diharungi,” katanya.

Bapa Mohd Nazarrudin, Saidin Abdul Aziz sebelum ini menyatakan, mereka tidak berupaya menyediakan wang tebusan seperti diminta kerana hidup seumpama kais pagi makan pagi saja.

“Usahkan berjuta-juta, nak cari seratus dua sebulan pun sukar buat kami. Kami berharap kumpulan penculik di Filipina dapat menimbangkan semangat persaudaraan sesama Islam sempena kesucian Ramadan dengan membebaskan Mohd Nazarrudin tanpa syarat.

“Dia pun bukannya berduit ketika ke sana. Dia pergi kerana terpedaya dengan dakwaan pihak tertentu yang menyatakan dia boleh mendapat untung lumayan andai memiliki cicak tokek. Bila ini berlaku, dia dan kami benar-benar tersepit,” katanya.

Dua minggu lalu, kumpulan penculik itu menuntut wang tebusan segera dibayar dan mengugut mahu menyembelih Mohd Nazarrudin andai tuntutan itu tidak dipenuhi. bharian

Tiga kali Ramadan terlantar di katil


  BAHARUDDIN dan Noriza sedang  membelai Syamsul yang terlantar sejak empat tahun lalu akibat dipanah petir ketika berlatih bola sepak.
BAHARUDDIN dan Noriza sedang membelai Syamsul yang terlantar sejak empat tahun lalu akibat dipanah petir ketika berlatih bola sepak.

Syamsul Hazriq sukar bergerak, tidak boleh bercakap selepas dipanah petir pada usia 12 tahun

SUNGAI MANIK: “Sudah tiga Ramadan dan Aidilfitri berlalu dan kini Ramadan muncul lagi dengan umat Islam bakal menyambut Aidilfitri tidak lama lagi, namun anak kami terus terbaring di atas katil,” kata Noriza Sabar, 37, ibu kepada Syamsul Hazriq Baharudin, 16, remaja yang dipanah petir empat tahun lalu.

Kejadian yang berlaku ketika mangsa berlatih bermain bola sepak pada usia 12 tahun di Sekolah Kebangsaan Sungai Tungku, dekat sini, kira-kira jam 5 petang pada 29 Januari 2008 itu menyebabkan anak ketiga dari enam beradik itu hanya terlantar di atas katil kerana sukar bergerak dan tidak boleh bercakap.
“Sejak Syamsul ditimpa musibah itu sambutan Aidilfitri disambut ala kadar saja. Kami tidak boleh berkongsi kegembiraan menyambut lebaran kerana tidak sampai hati melihat dia terus terlantar di atas katil,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Lot 1214, Parit 3A, Sungai Manik, dekat sini, semalam.
Noriza yang ditemani suaminya, Baharuddin Baharan, 48, berkata anaknya disuapkan bubur dan hanya minum susu tepung untuk membolehkannya terus bernafas.

Sementara itu, Baharuddin yang mengusahakan bengkel cuci kereta di hadapan rumah dengan pendapatan RM700 sebulan berkata, anaknya dulu seorang pelajar yang cergas, periang dan dilantik sebagai ketua pasukan bola sepak sekolah.

“Cita-citanya untuk memimpin skuad bola sepak sekolahnya ke peringkat negeri tetapi semuanya hancur berkecai apabila musibah itu berlaku.

“Kami suami isteri sudah puas menangis namun kami reda menerima ujian Ilahi,” katanya.
Baharuddin berkata, anaknya menerima bantuan perlindungan Takaful bernilai RM15,000 sumbangan Jabatan Pelajaran Perak selain menerima bantuan RM300 sebulan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan RM600 sebulan dari Baitulmal untuk menguruskan anak mereka termasuk membeli lampin pakai buang.

Pembaca yang mahu meringankan beban keluarga itu boleh menghubungi Baharuddin menerusi talian 013-5761280.bharian

Tiada lagi manusia lebih bijak


LONDON: Sekumpulan penyelidik berpendapat ‘kuasa otak’ manusia sudah mencapai kemuncaknya dan secara fizikal tidak mungkin mereka boleh menjadi lebih bijak lagi. 


Penyelidik Universiti Cambridge berhujah, sekiranya ingin menjadi lebih bijak, otak manusia perlukan sejumlah besar kuasa dan oksigen tambahan yang tidak mungkin dapat dimiliki.
Manusia mencipta penisilin, kapal angkasa lepas, komputer malah jantung palsu dan banyak lagi. Oleh itu, mereka berkata, menghasilkan sesuatu yang lebih baik selepas ini tidak mungkin.
Penyelidik dari universiti terbabit turut menganalisis terhadap struktur otak dan mengenal pasti jumlah tenaga yang digunakan dalam sel terbabit. 

Simon Laughlin, profesor saraf berkata: “Kami menjalankan ujian bahawa otak perlu menggunakan tenaga untuk berfungsi dan ini memerlukan sesuatu yang lebih besar menyebabkan prestasi manusia terbatas. 

“Banyak tenaga diperlukan untuk mempunyai kuasa berfikir tinggi kerana bagi otak untuk memahami sesuatu yang baru ia perlu berterusan mengaitkan maklumat daripada sumber berbeza. 

“Ini bermakna, wujud had kepada berapa banyak maklumat yang dapat kita proses kerana ia memerlukan kuasa yang tinggi,” katanya lagi. 
Saintis lain pula mendakwa bahawa ‘pendawaian’ otak atau rangkaian ‘fiber’ mengaitkan kawasan berbeza dengan yang lain tidak boleh menjadi lebih baik. 

Mereka mendakwa, proses berkenaan memerlukan lebih banyak kuasa tambahan untuk menjadi lebih lancar. Jadi, tidak hairanlah mustahil bagi manusia untuk memilikinya, sekali gus kita tidak boleh menjadi lebih bijak lagi. 

Tambahan lagi, faktor usia yang menyaksikan manusia menjadi buncit atau gemuk juga boleh menyebabkan otak manusia mengecil. – Agensi bharian

Pujukan gereja

NUR mendakwa kerap dihubungi gereja untuk diberikan bantuan.
NUR mendakwa kerap dihubungi gereja untuk diberikan bantuan.

Ibu tunggal tak dapat bantuan Baitulmal dalam dilema

SEREMBAN: Seorang lagi mangsa mendedahkan bagaimana dia dipujuk secara berterusan untuk mendekati gereja walaupun selepas membuat keputusan untuk tidak lagi menerima bantuan kewangan yang dihulurkan gereja terbabit di Rahang, dekat sini sejak Disember lalu.

Wanita yang ingin dikenali sebagai Nur, 40, berkata pada mulanya dia sanggup menerima bantuan yang dihulurkan gereja terbabit bagi memastikan empat anak perempuannya berusia lima hingga 12 tahun meneruskan kehidupan, selepas gagal mendapat bantuan berterusan daripada Baitulmal.
Katanya, pada mulanya dia berat hati tetapi selepas memikirkan nasib anak-anak yang masih bersekolah, dia menerima bantuan dihulurkan dalam bentuk makanan keperluan harian setiap bulan sejak April tahun lalu.
“Setiap bulan pihak gereja itu akan telefon dua hingga tiga kali untuk bertanyakan khabar. Mereka juga tidak lupa bertanyakan masalah dihadapi.

“Mereka turut menawarkan supaya saya dan anak-anak tinggal di asrama yang disediakan di pusat ibadah itu dan sanggup menanggung segala keperluan kami anak beranak termasuk keperluan persekolahan tapi saya menolak.

“Bagaimanapun, sejak Januari lalu, saya turut menolak semua bantuan yang diberikan setiap bulan memandangkan jiran sudah memandang serong,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Ampangan, di sini, semalam.

Nur berkata, sejak berhenti kerja sebagai pembantu akaun pada 2008 akibat masalah kesihatan, antaranya asma yang teruk, darah tinggi dan kencing manis, dia masih perlu mencari rezeki bagi membesarkan anak-anak memandangkan suami lalai memberi nafkah.
Katanya, selain meminta ihsan saudara mara, dia turut menjalankan beberapa pekerjaan seperti membantu rakan menjual makanan kesihatan, makanan segera dan juga buku sekolah tadika.

“Namun sejak pengsan beberapa kali bulan lalu ketika menghantar buku ke sekolah tadika, saya tidak lagi bekerja. Saya cuba mendapatkan bantuan Baitulmal sekali lagi namun mereka memberi pelbagai alasan, antaranya saya pernah mendapat bantuan sebelum ini.

“Saya mengaku memang pernah dapat bantuan sebelum ini tetapi sekali saja. Kini saya sedang memikirkan sama ada mahu menerima sekali lagi tawaran daripada pusat ibadah itu atau tidak memandangkan mereka kerap telefon bertanyakan khabar dan menawarkan apa saja bantuan yang diperlukan,” katanya. bharian

Kumpulan penggodam isytihar perang siber terhadap polis AS

LAS VEGAS: Satu kumpulan Penggodam mendakwa "merosakkan dan menghapuskan" banyak laman web agensi polis Amerika Syarikat (AS) sebagai tindak balas susulan penahanan rakan seperjuangannya yang dituduh menggodam laman web Pusat Agensi Risikan (CIA), Agensi Jenayah Britain SOCA dan Sony. 
Kumpulan yang dikenali sebagai AntiSec (Anti-Security) dalam kenyataan di dalam talian, berkata pihaknya mengesahkan dakwaan yang dibuat dengan mengedarkan maklumat yang berjaya diambil daripada 70 agensi polis tempatan ketika serangan siber.

"Kami mengedarkan sejumlah besar maklumat sulit yang pastinya memalukan, menimbulkan kesangsian dan membukti bahawa mereka (polis) bersalah di sekitar AS," kata satu pesanan daripada kumpulan berkenaan.
"Tindakan ini diambil atas semangat perjuangan terhadap defendan Topiary dan Anonymous PayPal LOIC, serta banduan politik yang lain yang terpaksa berdepan dengan sistem mahkamah yang rosak," katanya lagi. 

Awal minggu ini, banduan politik iaitu remaja berusia 18 tahun warga Britain, Jack Davis dipercayai penggodam dengan nama dalam talian "Topiary" dibenarkan ikat jamin oleh mahkamah London. - AFP bharian

Bot sarat dengan pencari suaka dipintas Australia

MELBOURNE: Sebuah bot yang sarat dengan pencari suaka telah dipintas di barat laut Australia pada pagi Ahad dan penumpangnya akan menjadi kumpulan pertama orang asing yang akan dihantar ke Malaysia di bawah perjanjian pertukaran pendatang antara kedua-dua negara.
Dalam kenyataan hari ini, kerajaan Australia berkata bot berkenaan yang membawa 54 pencari suaka dan dua anak kapal dipintas HMAS Ararat di barat laut Scott Reef di Laut Timor.

Perjanjian yang dimeterai kerajaan kedua-dua negara Isnin lepas memperuntukkan bahawa Malaysia akan mengambil 800 pencari suaka, manakala Australia pula akan mengambil 4,000 orang pelarian tulen dalam tempoh empat tahun.

Menteri Imigresen Chris Bowen memberitahu Sky News bahawa pencari suaka itu akan dibawa ke Pulau Krismas sebelum diterbangkan ke Malaysia tiga hari kemudian setelah semua urusan mengenainya selesai dilaksanakan.hmetro

ketagih berhutang


BEIJING: Media China menyelar sikap AS sebagai “ketagih berhutang” selepas Washington mengambil tindakan mengejut menurunkan tahap status ekonominya, semalam.
Dalam komentar tajamnya, agensi berita Xinhua berkata, sebagai rakan dagang utama AS, kini Beijing “berhak” menuntut Washington menguruskan masalah struktur hutang semasa, selain memastikan aset China terjamin.

Penurunan status AS itu berlaku kali pertama dalam sejarah dan Beijing menganggap Washington mesti menerima hakikat pahit bahawa masa gemilang mereka kini berakhir.

“Untuk memulihkan ketagihan kepada amalan berhutang, AS perlu mengukuhkan semula prinsip bahawa seseorang mesti hidup mengikut kemampuan,” kata agensi berita itu.

Sementara itu, pegawai Jepun - rakan dagang kedua terbesar AS - memberi reaksi lebih berhati-hati dengan menyatakan keyakinan mereka terhadap Perbendaharaan “tidak terjejas.” Australia dan Korea Selatan pula mengingatkan pelbagai pihak supaya tidak memberikan reaksi berlebihan kepada perkembangan terbaru kegawatan ekonomi AS itu.

India pula menganggap perkembangan terbaru itu sebagai situasi “mengerikan.” Menteri Kewangan India, Pranab Mukherjee, berkata New Delhi akan menganalisis situasi itu sebelum membuat komen lanjut.


“Ia akan mengambil sedikit masa,” katanya.

Firma Standard & Poor (S&P) menurunkan pengiktirafan terhadap ekonomi AS daripada AAA (status tertinggi) kepada AA+, semalam.
Menurut firma itu, pegawai AS kini kurang berkemampuan mengekang defisit besar kewangan serta bebanan hutang ditanggung negara itu.

S&P juga memberi amaran, status itu boleh terus merosot dalam tempoh dua tahun jika tiada sebarang kemajuan dibuat Washington bagi mengurangkan jurang bajet kerajaan. - AFPhmetro

38 tentera elit AS, Afghanistan maut helikopter terhempas

KABUL: Seramai 31 anggota tentera khas AS dan tujuh tentera tempatan terbunuh dalam kemalangan helikopter di timur Afghanistan, lapor Pejabat Presiden, semalam.
Menurut kenyataan dikeluarkan itu, kemalangan berlaku di wilayah Wardak kelmarin.

Ia mencatat insiden terburuk dalam satu kemalangan menimpa pasukan tentera antarabangsa yang bertugas di Afghanistan sejak 2001.

“Presiden Hamid Karzai merakamkan rasa sedih dan takziah atas kemalangan itu,” kata kenyataan berkenaan.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan Afghanistan berkata, tujuh tentera mereka yang terbunuh adalah anggota pasukan khas. - AFPhmetro

Mr Bean dibenar keluar hospital

LOS ANGELES: Bintang siri Mr Bean, Rowan Atkinson, dibenarkan keluar dari hospital semalam, selepas dia dirawat akibat terbabit dalam kemalangan jalan raya.
Menurut stesen penyiar Sky News, Atkinson dilihat meninggalkan Hospital Peterborough di utara London menaiki kerusi roda.

Aktor Britain berusia 56 tahun itu cedera di bahu selepas kereta dipandunya merempuh pokok dan tiang lampu di Haddon, kelmarin. - Reutershmetro

Harry mengidam ke angkasa

HARRY...kini  bertugas di Afghanistan.
HARRY...kini bertugas di Afghanistan
LONDON: Putera Harry dilaporkan merancang untuk melakar nama sebagai anggota keluarga diraja pertama terbang ke angkasa lepas.
Media semalam melaporkan, Harry bercadang mengemukakan permohonan untuk mengikuti latihan khas di agensi angkasa lepas AS, Nasa.

Kini berkhidmat sebagai juruterbang tentera, Harry, 26, adalah peminat tegas siri sains fiksyen Star Trek dan sangat obses kepada angkasa lepas.

Sumber berkata, Harry meminta bantuan anak bilionair Britain, Sam Branson, mendapatkan tempat untuknya mengikuti penerbangan pertama pesawat Virgin Galactic ke ruang angkasa.

Pada masa sama, kata sumber, Harry berharap dia diterima menjadi anggota kehormat dalam program angkasa lepas AS selepas dia menamatkan tugas di Afghanistan tahun depan.

Untuk melayakkannya menyertai program itu, sekali gus membuka peluang menjadi angkasawan, Harry mesti menghabiskan masa sekurang-kurangnya 1,000 jam menjalani latihan penerbangan khas intensif dikendalikan Nasa.


Berdasarkan rekod perkhidmatannya yang cemerlang sebagai juruterbang helikopter tentera, Harry dipercayai tidak menghadapi banyak masalah untuk memenuhi syarat berkenaan.
Sementara itu, sumber diraja pula berkata, Harry menamatkan kursus kajian khas yang diperlukan bagi seseorang bakal angkasawan.
“Ketika ini, Harry tidak sabar-sabar memulakan latihan bersama Nasa dan merealisasikan impiannya menjadi anggota keluarga diraja pertama berada di angkasa lepas,” katanya. - TS

Baju Bruce Lee dilelong 9 kali lebih tinggi daripada jangkaan

HONG KONG: Kot dipakai Bruce Lee dalam filem terakhirnya, Game of Death, dijual pada harga RM231,615 dalam sesi lelongan di Hong Kong, semalam.
Nilai itu jauh lebih tinggi daripada anggaran awal.

Sebanyak 13 barang milik aktor filem aksi itu dilelong dalam majlis itu.

Antara yang ditawarkan, kot bulu berwarna biru tua yang dihasilkan pada 1973 untuk filem Game of Death.

Filem itu mula ditayangkan kepada umum selepas Lee mati pada Julai 1973.

Sebelum lelongan, kot itu dijangka dijual pada harga kira-kira RM27,000 saja, tetapi seorang pengumpul barangan lama dari AS menawarkan harga hampir sembilan kali ganda daripada asal.


Sepucuk surat ditulis Lee 45 tahun lalu (gambar) pula dijual pada harga RM154,127. Barangan lain yang dilelong termasuk kad keahlian Lee dalam satu pusat latihan kung fu serta sampul surat beralamat seorang pelajarnya di Hong Kong. - AFPhmetro

Letak berasingan Golden Churn

KUCHING 6 Ogos - Semua pasar raya di negeri ini diarah mengasingkan Golden Churn Creamery Butter daripada produk halal yang lain supaya umat Islam tidak keliru sehingga terbeli mentega itu.
Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, arahan itu berkuat kuasa serta-merta setelah mentega tersebut disahkan tidak halal baru-baru ini.
Jika gagal berbuat demikian katanya, mereka boleh didakwa di bawah Akta Perihal Dagangan 1972 yang membawa kepada denda maksimum RM100,000 atau penjara tiga tahun kerana melakukan penipuan berkaitan logo halal.
"Kita tidak boleh memberi arahan untuk memusnahkan atau menarik balik mentega ini daripada pasaran memandangkan ada pelanggan bukan Islam menggunakannya.
"Bagaimanapun, kita telah mengarahkan semua pasar raya meletakkan mentega ini di bahagian produk tidak halal serta menutup atau memadamkan logo halal yang tertera pada labelnya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Majlis Islam Sarawak dan Jabatan Agama Islam Sarawak baru-baru ini mengesahkan mentega Golden Churn Creamery Butter tidak halal kerana mengandungi Asid Deoksiribonukleik (DNA) babi.
Pengesahan itu mengejutkan banyak pihak memandangkan mentega berkenaan dipercayai digunakan secara meluas dalam industri roti dan kek di negeri ini, termasuk perusahaan kek lapis Sarawak.utusan

Pemimpin Melayu perlu bersatu dalam isu akidah

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Pemimpin Melayu sepatutnya bersatu dalam isu akidah, bukannya melatah sehingga menyalahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam isu pemeriksaan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama, jika benar tindakan itu dibuat demi menyelamatkan akidah orang Islam.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata, contoh yang ditunjukkan segelintir pemimpin Melayu dalam isu tersebut adalah tidak betul kerana tegasnya, selaku Muslim adalah wajib memelihara dan mempertahan akidah umat Islam yang lain.
Menurutnya, walau apa sekalipun pendirian politik setiap pemimpin berkenaan, mereka perlu meletakkan kepentingan Islam melebihi segalanya dalam isu berkenaan, kerana tindakan JAIS itu berhubung kait dengan dakwaan berlakunya penyebaran agama Kristian kepada orang Islam.
"Kalau benar dakwaan itu (penyebaran agama Kristian) wujud, kita (Pemuda Pas) memandang berat perkara ini kerana selain menyalahi Perlembagaan Persekutuan, ia membabitkan soal akidah. Jadi wajib ke atas semua Muslim termasuk JAIS untuk menyelamatkan akidah umat Islam.
"Kita kena letak agama di depan. Islam kena melebihi segala kepentingan lain dan adalah tidak betul kalau pemimpin (Islam) tertentu terlalu cepat melatah dalam perkara ini. Sepatutnya kita bersatu dalam soal agama," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, di sini hari ini.
Nik Abduh membuat kenyataan tegas itu ketika sebahagian besar pemimpin Pas lain dilihat ragu-ragu untuk mempertahankan tindakan JAIS atau berdiri di belakang Exco Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali, sebaliknya ada antara mereka secara terbuka mempertikai tindakan jabatan berkenaan.
Meskipun anak kepada Mursyidul Am Pas itu tidak menyatakan secara tepat siapa pemimpin politik yang dimaksudkan, tetapi ia dipercayai merujuk kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor, Khalid Abdul Samad.
Ini kerana, Menteri Besar Selangor itu kesal dengan tindakan JAIS dan memberitahu, niat serta tujuan baik jabatan itu tidak menghalalkan perbuatan yang gagal mempamerkan keadilan dan kebijaksanaan, manakala Khalid pula berkata, JAIS perlu ada 'kawalan diri'.
Mengulas lanjut, Nik Abduh berkata, walaupun umat Islam merupakan majoriti di negara ini tetapi ia tidak memberi apa-apa kelebihan, jika pemimpin Melayu tidak bersatu dalam hal yang sepatutnya mereka bersatu, terutamanya isu membabitkan agama.
Dalam pada itu, beliau menambah sudah tiba masanya untuk kerajaan memperkasakan undang-undang sedia ada dan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan agar tiada ruang untuk mana-mana pihak mencabar kesucian agama Islam di mahkamah sivil.
"Cara terbaik pinda atau perkasakan undang-undang sedia ada bagi menyelamatkan akidah. Memang Islam dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan tetapi banyak ruang untuk bukan Islam mencabar kesucian agama kita dan dalam beberapa kes mereka menang," katanya.utusan

Anne Hathaway pegang watak Catwomen



SALAH SATU adegan Anne Hathaway dalam filem Catwomen, The Dark Knight Rises. - AGENSI


LOS ANGELES 6 Ogos - Syarikat penerbitan Warner Bros. semalam mengeluarkan imej promosi pertama filem terbaru Catwomen,The Dark Knight Rises, yang menampilkan aktres baru yang sedang menyinar, Anne Hathaway sebagai watak utama.
Dalam filem aksi terbaru arahan Christopher Nolan itu, aktres tersebut akan berganding dengan Christian Bale, Gary Oldman, Morgan Freeman dan Michael Caine.
"Saya teruja apabila berpeluang bekerja dengannya (Hathaway) dan dia akan menjadikan Catwomensebuah cerita yang hebat," kata Nolan.
Hathaway, 28, yang pernah membintangi filem The Princess Diaries pada 2001, bagaimanapun kurang mendedahkan mengenai wataknya dalam filem tersebut, namun berjanji untuk memberikan komitmen terbaik.
"Saya mahu menjadi seorang pelakon yang baik, bekerja dengan orang yang hebat dan memegang watak-watak mencabar," kata Hathaway.
Sebelum ini, Julie Newmar merupakan aktres pertama memegang watak Catwomen dalam siri televisyen Batman pada 1966, watak itu kemudian diambil alih oleh aktres Eartha Kitt pada musim ketiga siri tersebut.
Pada 1992, pelakon Michelle Pfeifer memegang watak Catwomen dalam filem Batman Returnsdan Halle Berry muncul sebagai heroin yang seterusnya pada 2004.
The Dark Knight Rises bakal menggegar layar perak pada 20 Julai tahun depan. - Agensiutusan

Selebriti Hollywood gilakan kecantikan



Mila Kunis


LOS ANGELES 6 Ogos - Golongan selebriti di Hollywood sanggup melakukan apa sahaja untuk kelihatan cantik sepanjang masa termasuk mengeluarkan belanja besar bagi mendapatkan produk kecantikan yang berkesan.
Seorang daripada mereka, aktres filem komedi romantik Friends With Benefits, Mila Kunis, 27, yang baru-baru ini mendedahkan dia berbelanja sebanyak AS$7,000 (RM21,000) untuk melakukan rawatan muka menggunakan berlian.
Pelakon seksi Angelina Jolie, 36, turut tidak ketinggalan apabila sanggup berbelanja besar untuk mendapatkan krim muka berharga AS$710 (RM2,130) bagi bekas 100 mililiter (ml).
Krim muka tersebut mengandungi ekstrak telur ikan air tawar Siberia yang kaya dengan protein untuk melembap dan menegangkan kulit.
Dalam pada itu, rejim produk kecantikan pelakon Gwyneth Paltrow agak berbeza berbanding Kunis dan Jolie.
Bintang tersebut menggunakan krim bisa ular berharga AS$185 (RM555) bagi bekas 30ml untuk melambatkan proses penuaan.
Krim unik tersebut mengandungi bisa ular sintetik dan dipercayai bertindak seperti Botox, namun lebih lembut terhadap kulit. - Agensiutusan

Noraniza Idris nikah lepas raya



Noraniza Idris dan Jeffri Iman menunggu saat bahagia mereka selepas Aidilfitri ketika ditemui pada Program Amal Ziarah Ramadan 7, Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 6 Ogos - Penyanyi Noraniza Idris, 43, akan berkahwin dengan seorang ahli perniagaan, Jeffri Iman, 52, di salah sebuah masjid di Singapura, selepas sambutan Aidilfitri ini.
Menurut Noraniza, selepas hampir tiga tahun bergelar ibu tunggal, hatinya terbuka untuk mendirikan rumah tangga setelah dilamar Jeffri.
"Saya bertemu dengannya ketika menjayakan program amal beberapa bulan lalu di sebuah masjid di sini, ketika itu saya ingin menyerahkan tabung jualan amal kepada salah seorang ustaz di masjid tersebut.
"Selepas itu, kami saling bertukar kad perniagaan dan nombor telefon dan mula mengenali hati budi masing-masing. Jeffri seorang yang penyayang dan lembut hati," katanya kepada pemberita pada Program Amal Ziarah Ramadan 7 di sini, hari ini.
Noraniza sebelum itu, sudah mengikat tali pertunangan dengan duda anak empat itu pada 22 April lalu dalam satu majlis yang diadakan di rumah abang sulungnya, Mohd. Arshad, 57, di Kong Kong, Masai, dekat sini.
Beliau yang sudah dua kali melalui kegagalan dalam melayari bahtera rumah tangga, menerima sembilan dulang hantaran daripada pihak lelaki dan pihaknya membalas dengan 11 dulang.
Noraniza Idris juga adalah ibu kepada Mohd. Aliff Haikal, 22, dan Mohd. Alfeeq Haikal, 17, menjelaskan, majlis pernikahan akan diadakan di Johor selepas sambutan Hari Raya Aidilfitridan pihaknya juga bercadang bersanding pada Program Kahwin-kahwin Mashur Malaysia Johor di Plaza Angsana, di sini.
"Program tersebut akan bermula 29 September hingga 2 Oktober di Padang A, Plaza Angsana pada pukul 9 pagi hingga 11.30 malam," katanya.utusan

'Saya rela dipecat'






KUALA LUMPUR 6 Ogos - Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali, yang tidak disenangi oleh anggota Exco yang lain atas ketegasannya mengenai soal Islam, menegaskan beliau sanggup dipecat demi kepentingan akidah ummah.
Katanya: "Saya sanggup melakukan apa sahaja termasuk menerima kenyataan jika saya diminta melepaskan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri dan apa-apa jawatan sekali pun demi memperjuangkan apa yang saya yakin dapat membantu umat Islam, khususnya di negeri Selangor."
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas entri terbaru blog Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin (http://zul4kulim.blogspot.com) bertajuk Genggam Bara Api!
Zulkifli dalam tulisannya yakin Dr. Hasan akan digugurkan daripada jawatan Exco Kerajaan Selangor ekoran tindakannya menyokong Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu sebuah gereja Methodist yang dikatakan menjalankan kegiatan dakwah terhadap orang Islam di Damansara Utama baru-baru ini.
Beberapa pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas sebelum ini turut membid as Dr.Hasan yang mempertahankan tindakan JAIS itu.
Malahan seorang pemimpin Pas menganggap kenyataan Dr.Hasan dalam isu berkenaan tidak mewakili parti itu.
Mengulas lanjut, Dr. Hasan menegaskan, beliau telah memperjuangkan isu mengenai umat Islam di Selangor sejak dulu lagi, terutamanya berhubung isu penjualan arak di Shah Alam.
"Saya tidak mahu menyentuh isu gereja itu kerana mematuhi arahan tutup mulut (gag order) oleh Menteri Besar. Tapi saya hanya menjawab mengenai soalan saudara berhubung persoalan yang ditimbulkan oleh YB Zul mengenai nasib saya itu.
"Jika sesiapa pun yang percayakan kepada soal keharmonian beragama, maka soal kesucian agama Islam tidak boleh diganggu-gugat sama sekali dan itulah yang saya perjuangkan, adakah itu salah?" katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengikut rekod terdahulu, Dr. Hasan pernah diberi amaran oleh Jawatankuasa Disiplin Pas kerana membangkitkan mengenai soal penjualan arak di Shah Alam.
Tindakan itu diambil kerana Pas tidak mahu hubungannya dengan parti-parti dalam pakatan pembangkang, terutamanya DAP, terjejas ekoran pendedahan Dr. Hasan itu.
Dalam Muktamar Pas baru-baru ini Dr. Hasan gagal mempertahankan jawatannya sebagai Naib Presiden kerana tidak mendapat sokongan daripada puak-puak Erdogan yang didokong oleh Anwar Ibrahim.
Ekoran kekalahan itu, Dr. Hasan turut digugurkan sebagai Pesuruhjaya Pas Selangor.
Mingguan Malaysia difahamkan Pas Pusat dijangka bermesyuarat esok dan soal mengenai tindakan terbaru Dr. Hasan dalam soal gereja itu dijangka turut dibincangkan.
Difahamkan Dr. Hasan sering menerima tekanan daripada anggota-anggota Exco bukan Islam DAP dan PKR, jika soal-soal mengenai Islam disentuh.
Sebagai rekod selain Dr.Hasan terdapat sembilan lagi yang menduduki jawatan Exco Kerajaan Selangor iaitu Teresa Kok (DAP), Yaakob Sapari (PKR), Rodziah Ismail (PKR), Dr. Xavier Jayakumar (PKR), Dr. Halimah Ali (Pas), Iskandar Abdul Samad (Pas), Ronnie Liu (DAP), Elizabeth Wong (PKR) dan Ean Yong Hian Wah (DAP).
Dalam semua Exco itu, dikatakan Teresa Kok, Dr. Xavier, Ronnie Liu dan Elizabeth Wong adalah antara mereka yang sering menentang Dr. Hasan.
Dalam pilihan raya umum 2008, pakatan pembangkang merampas Selangor daripada Barisan Nasional setelah memenangi 36 daripada 56 kerusi. DAP mendapat 13 kerusi, PKR 15 dan Pas lapan kerusi.utusan