Wednesday, March 27, 2013

Rusuhan agama di Meiktila merebak



Seorang lelaki berjalan di tengah-tengah kemusnahan bangunan akibat rusuhan agama di Meiktila, kira-kira 550 kilometer di utara Yangon, Myanmar, semalam. - AGENSI
MEIKTILA 25 Mac - Rusuhan agama yang tercetus sejak beberapa hari lalu di sini, dilaporkan semakin buruk apabila keganasan tersebut merebak ke dua lagi bandar berhampiran Meiktila pada minggu lalu.
Stesen televisyen tempatan semalam melaporkan, kumpulan perusuh membakar masjid dan 50 kediaman di bandar Yamethin, kira-kira 64 kilometer dari Meiktila dan insiden sama turut berlaku di bandar Lewei.
Kerajaan meletakkan angka korban kini seramai 32 orang, manakala lebih 10,000 kehilangan tempat tinggal.
Polis turut menahan 35 suspek yang disyaki terlibat dalam keganasan yang berlaku di bandar raya ini.
Peningkatan keganasan agama itu secara tidak langsung memberi cabaran kepada pasukan keselamatan untuk menstabilkan keadaan.
Tahun lalu, kejadian serupa turut berlaku di negeri Rakhine, membabitkan etnik Islam Rohingya dan penduduk beragama Buddha.
Beberapa pakar analisis berpendapat, rusuhan agama yang sering berlaku di negara ini boleh menjejaskan pembangunan Myanmar.
"Rusuhan keganasan yang berlaku di Meiktila menunjukkan keadaan tegang antara penduduk Islam dengan penduduk beragama Buddha di negara ini tidak hanya tertumpu di Rakhine sahaja.
"Jika Myanmar ingin merealisasikan impian untuk menjadi sebuah negara demokratik, mereka perlu berlaku adil terhadap semua lapisan masyarakat yang ada di negara ini," kata Jim Della-Giacoma dari Kumpulan Krisis Antarabangsa. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130326/lu_05/Rusuhan-agama-di-Meiktila-merebak#ixzz2OkrFvX6R
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Mazlan mahu mahkamah batal saman Azalina




27 Mac 2013
Mazlan Aliman
Mazlan Aliman
JOHOR BHARU - Anggota Jawatankuasa Pas Pusat, Mazlan Aliman hari ini memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini bagi membatalkan saman yang dikemukakan anggota Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said berhubung kenyataan berunsur fitnah.

Permohonan Mazlan menerusi peguam Mohd Harris Al Hajj Abdullah itu disebut di hadapan Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli di dalam kamar.

Mazlan dan peguam plaintif, Intan Azlina Mazlan, turut hadir di mahkamah.

Pada 20 Disember lepas, Azalina memfailkan saman terhadap Mazlan yang juga Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah berhubung projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) Petronas di Pengerang, Kota Tinggi semasa Perhimpunan Hijau 930 di Dataran Sungai Rengit, Pengerang, 30 September lepas.

Mazlan dalam ucapannya semasa perhimpunan terbabit mendakwa Azalina mempengaruhi Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak untuk memilih Pengerang bagi menjalankan projek Rapid itu.

Azalina mendakwa kenyataan Mazlan itu telah mencemarkan reputasinya sebagai anggota Parlimen dan nama baiknya juga telah terdedah kepada kebencian, penghinaan dan cemuhan.

Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif menuntut defendan memohon maaf umum selain ganti rugi bagi fitnah termasuk ganti rugi khas melampau dan teladan, injunksi menahan defendan menerbitkan perkataan memfitnah, faedah ke atas ganti rugi serta kos.

Ketika ditemui pemberita, Mohd Haris berkata permohonan bagi membatalkan saman itu dibuat dengan alasan kenyataan defendan pada perhimpunan terbabit tidak berunsurkan fitnah.

"Apa yang dikatakan oleh Mazlan lebih bersifat pujian kepada Azalina sebagai anggota Parlimen yang berjaya membawa pembangunan ke kawasannya dan ia bukan satu fitnah," kata Mohd Harris.

Beliau berkata, Abdul Rahman menetapkan 11 April ini untuk hujahan kes.- Bernama

Astaghfirullah.

Astaghfirullah... Dalam sibuk memperkatakan isu semasa, kita terlupa sesuatu. Pada tarikh ini, 22 Mac, sembilan tahun yang lalu, kita kehilangan seorang ulama yang sangat kita sayangi dan dicintai. Ingatlah pesanan beliau ini. Sememangnya kita sering lalai. Al-Fatihah

Subhanallah... Atas apa alasan lagi untuk kita meninggalkan solat???

Tentera Zionis menceroboh rumah penduduk Palestin

Gambar Tentera Zionis menceroboh rumah penduduk Palestin. InsyaAllah masa mereka akan tiba bila Syria dibebaskan. Ketika mujahideen bergerak ke Aqsa... Doakan

Wallahualam

anak-kanak muslim dibakar hidup-hidup di Bandar Meiktilar, Myanmar

anak-kanak muslim dibakar hidup-hidup di Bandar Meiktilar, Myanmar. reports say that Police and authorities didn't stop the mob to do violence. Laporan mengatakan bahawa Polis dan pihak berkuasa tidak menghentikan perusuh untuk melakukan keganasan.

hasbunallah wa ni'mal wakeel

.: Anda boleh dapatkan info tentang isu Rohingya disini :.
http://www.facebook.com/Rohingya

PBB pindah kakitangan



PBB pindah kakitangan
Bantuan makanan kepada penduduk Syria dijamin tidak akan terjejas walaupun bilangan kakitangan PBB dikurangkan.
NEW YORK - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kelmarin memutuskan untuk memindahkan secara sementara  sebahagian daripada kakitangan mereka dari Syria atas sebab keselamatan.

Dipetik AFP, jurucakap PBB di New York, Martin Nesirky berkata, terdapat 100 kakitangan antarabangsa dan 800 warga tempatan ditempatkan di ibu negara yang ditugaskan untuk memberi bantuan makanan kepada penduduk.

"Sebahagian daripada kakitangan antarabangsa tersebut akan dipindahkan ke Beirut dan pejabat utama Wakil PBB di Kaherah.

Kumpulan yang kekal berada di ibu negara juga dinasihatkan bekerja dari rumah dan tidak keluar menghantar bantuan sehingga arahan baru dikeluarkan pihak atasan," katanya lagi.

Difahamkan, langkah itu terpaksa diambil selepas kawasan berhampiran hotel penginapan mereka di Damsyik terus menjadi medan pertempuran selama dua hari berturut-turut sejak Ahad lalu.

Pyongyang siap sedia serang AS, Korea Selatan?



Korea Utara
Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un (tengah) sedang melihat model baru kenderaan tentera di sebuah lokasi rahsia di negara itu. Foto: AFP
PYONGYANG - Korea Utara, semalam didakwa sudah bersiap sedia untuk bertempur dengan mengarahkan unit pelancar roket strategik untuk membuat persediaan bagi melancarkan serangan ke atas tanah besar Amerika Syarikat (AS).

Dipetik Al-Jazeera, Pyongyang turut mengancam untuk menyerang Korea Selatan dan pangkalan tentera AS termasuk di Guam dan Hawaii.

Media melaporkan perintah tertinggi  tentera itu dikeluarkan   sebagai tindak balas terhadap AS dan Korea Selatan yang mengadakan latihan bersama ketenteraan, awal bulan lalu.

Pengumuman tersebut dibuat sehari selepas  Seoul dan Washington menandatangani perjanjian baru berhubung respons bersama terhadap sebarang  serangan atau provokasi Pyongyang pada masa hadapan.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan Korea Selatan mengesahkan tiada tanda berlaku aktiviti luar biasa di Pyongyang, namun mereka akan terus memantau perkembangan situasi tersebut.

Sebelum ini, Korea Utara pernah mengancam untuk melancarkan serangan balas ke atas AS selepas mendakwa mereka membuat persediaan perang dengan menggunakan pesawat pengebom B-52  yang dikesan terbang di ruang udara negara terbabit.

Oman beri suaka kepada keluarga Gaddafi




27 Mac 2013
DOHA - Menteri Luar Libya, Mohamed Abdelaziz, kelmarin memaklumkan isteri dan ahli keluarga bekas pemimpin Muammar Gaddafi mendapat suaka di Oman.

Dipetik AP, beliau yang berada di Qatar untuk menghadiri Sidang Kemuncak Liga Arab turut mengesahkan keluarga Gaddafi termasuk cucunya telah berpindah dari Algeria selepas mereka menerima tawaran itu.

Bagaimanapun, Abdelaziz menyatakan masih terlalu awal untuk bercakap mengenai keputusan untuk mengekstradisi mereka.

Isteri dan tiga anak Gaddafi dilaporkan melarikan diri ke Algeria pada Ogos 2011 selepas beliau dilaporkan menghilangkan diri. - AP

Ramai pelarian Somalia jadi mangsa dera, rogol



LONDON - Human Right Watch (HRW) melaporkan ramai pelarian wanita di Somalia berhadapan dengan keganasan seksual dan penderaan.

Jenayah ini berlaku melibatkan kumpulan bersenjata, termasuk tentera kerajaan.

Dalam laporan itu mendakwa wanita manjadi mangsa rogol di kem-kem pelarian.

BBC memetik laporan HRW yang menekankan pengurus kem sering bersekutu dengan pihak tentera.

HRW berkata, walaupun kerajaan baru Somalia yang berkuasa sejak September lalu mendakwa membawa perubahan, sebaliknya wanita menjadi mangsa keganasan seksual.

“Kami mendapati wanita yang tinggal di kem-kem sering menjadi mangsa rogol,” kata Pengarah HRW UK, David Mepham.

“Mangsa di kem itu tidak mampu melarikan diri ke tempat lain kerana penjaga kem itu mengawasi mereka,” ujarnya.

Laporan menyebut tumpuan kes ini diberi kepada pelarian yang melarikan diri ke kem Mogadishu sejak tahun 2011.

Paling menyedihkan, mangsa rogol tidak berani tampil ke hadapan dan enggan membuat sebarang laporan kerana sering diugut dan dikecam oleh pihak tentera.

Isu video seks: Anwar nasihat Umno istighfar



Anwar Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim
PETALING JAYA - Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Umno dan media yang didukungi parti itu supaya beristighfar dan memohon keampunan ALLAH SWT susulan laporan media bahawa akan muncul video seks dan foto melibatkan Ketua Pembangkang itu sendiri dan anaknya, Nurul Izzah, yang juga Naib Presiden PKR.
"Toksahlah.. saya nak nasihat Umno, ni waktu Maghrib, pi lah amik wuduk dan tau apa itu fitnah.
"Malu kita pada masyarakat bukan Islam kalau masyarakat Islam dan media yang mendukung Umno ini kerjanya itu sahaja," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Pimpinan PR, di sini, lewat petang ini.
Pagi tadi, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan pihaknya telah dipertontonkan video palsu seks beberapa hari lalu dipercayai diaturkan oleh pihak tertentu yang mendakwa diri mereka ejen Umno dan Barisan Nasional (BN).
Katanya, video tersebut memaparkan watak yang menyerupai Anwar manakala gambar statik pula seakan-akan anaknya, Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.
"Video ini merupakan manipulasi imej digital yang melibatkan pencantuman babak-babak yang tidak berkaitan untuk memberi gambaran pemimpin-pemimpin ini terbabit dalam salah laku seks.
"... Umno hari ini cuba menakut-nakutkan orang Melayu dan menggunakan pemblog untuk mereka dan menyebarkan video palsu yang kononnya memaparkan salah laku seks pemimpin PKR," kata beliau.
Lebih dua minggu lalu seorang pemblog yang dikaitkan dengan Umno menyebarkan siri gambar seakan-akan menunjukkan Anwar mengadakan hubungan intim dengan seorang lelaki.
Ekoran tindakan itu, Anwar yang juga Ketua Umum PKR telah menyaman pemblog berkenaan.
Ditanya sama ada hanya dua pemimpin itu sahaja yang menjadi mangsa spekulasi seks itu, Saifuddin berkata, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim antara sasaran selepas ini, yang akan menerima nasib yang sama.
"Mereka kata video seks Tan Sri Khalid Ibrahim dalam pembikinan," ujarnya sambil menyatakan imej video yang dirakamkan dalam video dan gambar itu tidak jelas dan agak kabur.
Dalam pada itu, PR hari ini sebulat suara menolak tawaran 10 minit kepada parti-parti politik untuk membentangkan manifesto pilihan raya menerusi RTM.
Anwar berkata, tawaran itu seolah memperolokkan sistem demokrasi dan kebebasan media kerana ia bermakna seolah-olah memberikan 23 jam dan 50 kepada Umno-BN manakala PR hanya diberikan 10 minit.
"Itu belum tentu disiarkan sepenuhnya kerana ia direkod awal.
"Prinsip yang dituntut PR ialah ruang yang adil dan media yang bebas. Kalau ada semangat yang merujuk ke arah itu, pastinya PR akan berikan pertimbangan," katanya.
Hadir sama, Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu; Saifuddin dan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua.
Pada 22 Mac lalu, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, peluang itu diberikan kepada parti BN dan juga pihak pembangkang, tetapi pembentangan itu akan dirakam terlebih dahulu selepas pembubaran Dewan Rakyat yang memberi laluan kepada PRU13.
"Semua parti politik yang berganding dan bertanding akan dapat peluang untuk mengumumkan manifesto mereka selama 10 minit dan kami beri peluang ini sekaligus, baik kepada BN ataupun pihak pembangkang," katanya.
Anwar berkata, dalam menghadapi PRU13 dalam masa terdekat, PR juga mengambil keputusan untuk bergerak pantas sebagai pasukan untuk maju dalam kempen pilihan raya.
Katanya lagi, beberapa program turut telah dirancang di beberapa negeri dengan menampilkan pimpinan PR seiring untuk menangkis tohmahan dan fitnah yang giat dilakukan oleh pihak Umno-BN.
Sehubungan itu, katanya, PR akan menganjurkan Forum Lahad Datu oleh bekas pimpinan tentera dan polis pada 31 Mac jam 8.00 malam di Shah Alam.
Jelasnya lagi, beberapa program lain turut dirancang pada sebelah pagi untuk memeriahkan sebelum forum itu.
Pada sidang media turut dilancarkan video yang menerangkan polisi utama PR dan tujuh dasar manifesto PR yang boleh dicapai di www.pakatan-harapan-rakyat.com.

Khianat tak sudah




Lahad Datu: Polis mengesan sesetengah individu di Semporna dan Sandakan yang menjadi pengkhianat negara dengan menyalurkan sumber kewangan kepada kumpulan pengganas di Pulau Jolo, selatan Filipina.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Ibrahim ketika mendedahkan perkara itu berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu dipercayai bagi membantu aktiviti kumpulan terbabit.


Sehubungan itu, pihaknya memberi amaran keras kepada mereka dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah Khas) 2012 (SOSMA).



“Kita tahu bahawa duit itu dihantar bagi membantu musuh. Tidak kira sama ada jumlahnya kecil atau besar.


“Siapa yang bantu musuh akan tetap dikenakan tindakan sama,” katanya sidang media Op Daulat di Felda Residence Sahabat di sini, semalam.


Sementara itu, Khalid mengesahkan seorang pengganas lelaki ditahan selepas menyerah diri di Kampung Tanjung Batu di sini, kira-kira jam 5 petang, kelmarin.

Beliau berkata, ketika ditahan, pengganas itu berada dalam keadaan amat lemah kerana tidak tidur dan tidak makan kira-kira 15 hari.


“Semalam, dia (pengganas) sudah serah diri kerana hilang arah (apabila) tiada arahan daripada ketua, bekalan makanan pula sudah terputus.

“Jadi tindakan terbaik adalah menyerah diri,” katanya sambil berharap lebih ramai pengganas mengikuti langkah sama.


Ketika ditahan, pengganas itu menyerah diri dengan mengangkat kedua-dua tangan dan meminta pasukan keselamatan tidak melepaskan tembakan terhadapnya.


Sumber pasukan keselamatan berkata, sepasukan anggota Grup Gerak Khas (GGK) diiringi dua kereta perisai Adnan dikerah menghampiri pengganas itu sebagai langkah keselamatan bagi memastikan ia bukan perangkap.


Dalam pada itu, Khalid berkata, sehingga kini seramai 429 individu sudah ditangkap sepanjang Op Daulat yang kini memasuki hari ke-22.


Katanya, 42 daripada 116 individu yang ditahan di bawah SOSMA sudah dibebaskan.

‘Ini bukan masa untuk mati’




Putrajaya: “Lalat, semut penuh menghurung tangan saya yang hampir putus ditetak, tetapi saya katakan pada diri akan terus bertahan,” kata Inspektor Mohamad Hasnal Jamil, anggota polis yang cedera parah dalam serangan hendap pengganas Sulu di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna, Sabah, 2 Mac lalu.

Hasnal, 31, berkata, sepanjang 21 jam berlindung di sebuah rumah papan, anggotanya menyuap air hujan bagi menghilangkan dahaga kerana tangannya tidak boleh bergerak akibat ditetak pengganas.


“Darah di muka dan tangan kanan hampir kering, manakala seluar serta baju mengeras akibat terlalu banyak darah mengalir. Bila cuba berdiri mahu pitam jadi terpaksa hanya berbaring. “Anggota yang terselamat berada di sisi saya, mereka tunggu dan bertahan kerana tidak tergamak meninggalkan saya dan jenazah rakan yang terbunuh,” katanya ketika ditemui selepas pada majlis penyerahan sumbangan Tabung Perwira Lahad Datu kepada balu dan waris anggota keselamatan yang terkorban dan tercedera di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), di sini, semalam.


Antara yang hadir ialah semua tujuh balu dan waris anggota keselamatan yang terkorban dalam operasi itu termasuk balu Sarjan Salam Togiran, Marlinah Utan dan dua anaknya Umie Amira Umairah Salam dan Umie Alia Aulia Salam.


Dalam kejadian jam 7.30 petang itu, enam polis terkorban, manakala anggota keselamatan yang terselamat dibawa keluar pasukan VAT69 kira-kira jam 5.30 malam keesokan harinya berikutan keadaan di kawasan perkampungan air itu belum selamat sepenuhnya ketika itu.


Hasnal cedera parah dan kehilangan banyak darah berkata, dia hanya mampu berserah dan berdoa segera diselamatkan selain sokongan daripada anggota supaya terus bertahan sehingga bantuan tiba.

“Saya tidak dapat membayangkan apa-apa cuma tunggu diselamatkan saja, bila semangat datang kembali saya cakap pada diri, ini bukan masa untuk mati, saya akan bertahan sampai siang atau lebih lama lagi, malah nekad kalau tiada yang datang menyelamat, saya akan cuba berjalan keluar,” katanya yang terkena enam tetakan masing-masing tiga di atas kepala dan tangan menyebabkannya hampir putus selain tiga tembakan menembusi perut serta tangan kiri.


Bapa kepada seorang anak berusia dua tahun tujuh bulan itu berkata, dia menerima rawatan kira-kira dua minggu di Hospital Tawau dan Selayang, tetapi sehingga kini tangan kanannya belum boleh digerakkan lagi, manakala tiga jari tangan kiri sudah boleh digerakkan.

Menceritakan kembali peristiwa yang berlaku, Hasnal berkata, sepanjang malam bertahan di sebuah rumah, dia terjaga setiap sejam, manakala anggota lain berkubu di luar. “Saya sempat menghubungi isteri, Wan Zukarneti Wan Said, 28, pada pagi 3 Mac untuk memaklumkan saya sudah melaksanakan tugas dan berjanji akan menghubungi semula pada sebelah petang.


“Bagaimanapun, saya tidak memaklumkan kecederaan yang saya alami atau keadaan saya yang masih terperangkap di perkampungan air bagi mengelakkan keluarga risau,” katanya.


Menurutnya, dia juga terkejut apabila dimaklumkan keluarga di Felda Telur Timur, Kuala Ketil, Kedah sudah mengadakan bacaan surah Yasin kerana beranggapan dia meninggal dunia dalam pertempuran itu.


Hasnal berkata, pada kejadian serang hendap itu, pertempuran berlaku dalam gelap tanpa henti selama 15 minit dan selang sejam sekali, selain dia dapat melihat percikan api peluru ke arah mereka.


“Ketika menghampiri sebuah rumah yang disyaki ada pengganas pasukan saya terus ditembak dari dalam, kebanyakan anggota dan pegawai yang terkorban berada dalam barisan hadapan. Saya terkena tembakan di perut dan dua di tangan, tapi saya bernasib baik kerana sempat tunduk.


“Selepas ditembak, saya ditetak dengan parang barong sebanyak tiga kali di kepala, saya melawan dengan menepis menggunakan tangan sebelum lari ke sebuah rumah yang terletak kira-kira 15 meter dari kawasan pertempuran bersama sembilan anggota yang sempat memapah seorang rakan yang terkorban.


“Saya tidak nampak dengan jelas wajah pengganas kerana keadaan gelap, tetapi ketika dikejar mereka kelihatan masih muda dan macam orang kampung, di situ,” katanya.

‘Langkah terbaik’




Putrajaya: Pembentukan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) langkah terbaik mengekang dan mengurangkan kes penyeludupan barangan ke negara jiran, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, kawasan pantai di timur Sabah sepanjang lebih 1,500 kilometer (km) sebelum ini sering menjadi tumpuan penyeludup membawa keluar pelbagai barangan termasuk bersubsidi seperti minyak masak dan gas.



“Dengan adanya zon keselamatan ini sukar untuk mereka membawa keluar produk dari negara kita ke seberang. “Mungkin dulu kita menganggap penyeludupan barangan bukan ancaman berbanding senjata. Faktor keselamatan lebih tertumpu kepada penyeludupan senjata dan pemerdagangan orang.

“Namun, sekarang ia meliputi semua aspek termasuk barangan,” katanya selepas perhimpunan bulanan dan penyerahan sumbangan Tabung Perwira Lahad Datu kepada balu serta waris anggota keselamatan yang terkorban dan tercedera di Lahad Datu, semalam.

Foto
ANAK Allahyarham Sarjan Salam Togiran Umie Amira Umairah, setahun, mengesat air mata kakaknya Umie Alia Aulia, 11.


Turut hadir, timbalannya, Datuk Rohani Abdul Karim.

Sayu lihat kampung




Lahad Datu: “Keadaan sebelum dan selepas kedatangan pengganas amat berbeza sekali.

“Dahulu, kampung kami aman, tetapi kini ia tak ubah seperti padang jarak padang terkukur,” kata Ben Hamidi, 48, antara 20 penduduk Kampung Tanduo, di sini, yang dibenarkan masuk ke kampung itu, semalam.


Menurut, tiada apa lebih menyedihkan apabila melihat rumah pernah menjadi tempat berlindung kini rosak teruk, manakala ada rumah jirannya sudah musnah sama sekali.

Katanya, dia tidak mampu lagi menahan air mata apabila melihat keadaan kampung yang sunyi sepi dengan apa yang ada hanyalah kesan kebakaran dan tembakan di sana sini.

Foto
PENDUDUK melihat sendiri kerosakan rumah mereka di Kampung Tanduo.
Foto
KONVOI diketuai Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar membawa penduduk kampung melihat dan menilai kerosakan kediaman mereka di Kampung Tanduo, semalam.

“Sebelum ini, saya hanya menyaksikan dan mengikuti insiden pencerobohan ini di televisyen dan surat khabar, tetapi amat terkejut seolah-olah tidak percaya melihat keadaan kampung hari ini (semalam),” katanya.

21 jam tanggung azab



21 jam  tanggung azab
Hasnal menceritakan pengalamannya pada majlis penyampaian sumbangan warga KPDNKK untuk balu serta waris anggota keselamatan yang terkorban dalam insiden pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu dan Semporna di Putrajaya, semalam. - Foto Fariz Iswadi Ismail
Putrajaya: “Luka di badan dihurung semut dan lalat, darah di muka dan tangan sudah kering, seluar dan baju jadi keras bila darah mengering, tangan kanan terkulai hampir putus selepas ditetak,” kata Inspektor Hasnal Jamil, 31.

Menceritakan pengalaman bertempur menentang pengganas di Simunul, Semporna, beliau antara anggota barisan hadapan, berkata azab itu terpaksa ditanggung hampir 21 jam sebelum diselamatkan.
Beliau terkena tiga tembakan, satu menembusi perut selain dua lagi di tangan kiri dan hanya dapat gunakan tiga jari tangan kiri untuk minum air hujan yang ditadah.

Pasukannya, termasuk seorang rakan yang terbunuh dan sembilan anggota lain, terperangkap di sebuah rumah papan selepas diserang hendap sekumpulan pengganas bersenjata di Kampung Sri Jaya pada 2 Mac lalu.

Mereka hanya diselamatkan pasukan VAT69 pada jam 5.30 petang keesokan harinya berikutan keadaan di kawasan perkampungan air itu belum selamat ketika itu.

“Selepas ditembak saya jatuh dan cuba lari tetapi dilihat pihak musuh. Kemudian saya ditetak di kepala dan mereka juga cuba menetak leher namun saya tepis menggunakan tangan.

Tangan hampir putus
“Akibatnya, parang ‘barong’ yang mereka hayun terkena tangan kanan dan kiri menyebabkan ia patah dan hampir putus,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk balu serta waris anggota keselamatan yang terkorban atau cedera dalam insiden pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu dan Semporna, Sabah.

Hasnal berkata kejadian tembak menembak selama 15 minit bermula pada jam 7.30 malam itu tidak ubah seperti ditonton di kaca televisyen.

“Saya terkulai di sebelah mayat rakan saya dan dibantu sembilan lagi anggota pasukan yang lain untuk cuba mendapatkan perlindungan di sebuah rumah papan lebih 15 meter dari tempat kejadian.

“Saya hanya ditemani dua anggota, selebihnya duduk di luar untuk memantau keadaan, hingga jam 5.30 petang keesokan hari. Kami hanya minum air hujan yang ditadah dalam tong sementara menunggu bantuan.

“Rumah kami duduk itu memang tidak sesuai untuk berlindung kerana mudah ditembusi peluru, namun kami hanya bertawakal dan berdoa supaya selamat,” katanya.

Hasanal berkata, pada malam kejadian beliau mengarahkan anggota lain menutup telefon bimbit supaya tempat perlindungan mereka tidak dikesan pihak musuh.

“Malam itu saya menerima banyak panggilan telefon tetapi tidak menjawabnya. Saya hanya buka telefon selepas diselamatkan dan mendapati panggilan daripada isteri yang berada di Semenanjung. Ketika itu, saya buat seperti biasa dengan memberi alasan ada urusan kerja dan akan telefon kembali,” katanya.

Anak kelahiran FELDA Telur Timur, Kedah itu berharap jangan ada lagi pihak memperlekehkan anggota polis mempertahankan negara dan mencabar mereka yang mempertikaikan pengorbanan pasukan keselamatan pergi ke Lahad Datu untuk lihat sendiri apa yang terjadi.

Lebih banyak masjid dibakar dalam keganasan di Myanmar



27/03/2013 5:25am

YANGON - Keganasan agama di Myanmar yang telah meragut 40 nyawa kini merebak menghampiri kota raya utama negara itu, Yangon, kata polis semalam.
Keganasan baharu melibatkan penduduk Islam dan penganut Buddha tercetus kelmarin dan sekali lagi semalam di beberapa buah kampung di rantau Bago, sekitar 150 ki lometer ke utara Yangon.
Beberapa buah masjid dan berpuluh-puluh kediaman telah dimusnahkan dalam kekacauan yang berlaku.
“Polis dan askar terpaksa mengawal pertempuran yang tercetus hampir sepanjang malam,” kata seorang anggota polis kepada agensi berita AFP.
Menurutnya, sebuah lagi masjid dimusnahkan di bandar Oakpho semalam.
Keganasan agama tersebut bermula pada 20 Mac lalu di Meiktila, sekitar 130 kilometer ke utara ibu kota Myanmar, Naypyidaw yang berpunca daripada pertengkaran di sebuah kedai emas. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0327&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_07.htm#ixzz2OgvaOeQf 
Hakcipta terpelihara 

Pelakon Fazurina, suami terpaksa bernikah semula



KUALA LUMPUR – Pelakon Fazurina didakwa telah dinikahkan semula dengan pasangannya, Muhammad Hykal Zulkifli, 32, selepas pernikahan mereka sebelum ini diputuskan sebagai tidak sah oleh Mahkamah Rendah Syariah Daerah Timur Laut, Pulau Pinang.
Akad nikah kali kedua Fazurina atau nama sebenarnya, Siti Fazurina Mohd. Famir, 31, telah diadakan di Pejabat Agama Islam Bahagian Timur Laut dengan berwalikan adik kandungnya, Mohd. Firdaus Mohd. Famir, 22, pada 20 Mac lalu.
Perkara itu telah disahkan sendiri oleh ibunya, Zubaidah Abu Bakar, 61, yang mengakui melaporkan perkara itu kepada mahkamah demi masa depan anaknya.
“Mahkamah mendapati perkahwinan mereka sebelum ini tidak sah kerana Fazurina telah memberi maklumat palsu kepada jabatan agama mengatakan dia anak tunggal sedangkan dia mempunyai dua adik lelaki kandung untuk menjadi walinya,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0327&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz2Ogv9B237 
Hakcipta terpelihara 

Pengkhianat negara diburu




PASUKAN keselamatan negara melakukan rondaan sekitar Kampung Tanduo, Lahad Datu semalam.


LAHAD DATU – Polis mengesan beberapa individu di Semporna dan Sandakan yang menjadi pengkhianat negara dengan menyalurkan wang sebagai dana untuk membiayai kumpulan pengganas Sulu di Pulau Jolo, Selatan Filipina.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, tindakan tersebut sememangnya tidak bertanggungjawab kerana dipercayai bertujuan untuk membantu dan memperkembangkan aktiviti kumpulan pengganas.
Ekoran itu tegas beliau, pasukan keselamatan kini memantau rapi perbuatan individu terbabit yang mengkhianati negara dan tangkapan akan dilakukan apabila tiba masanya.
“Perbuatan menghantar duit ke Pulau Jolo untuk membantu kumpulan pengganas adalah kesalahan yang amat berat dan mereka yang terbabit boleh dikenakan tindakan undang-undang yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau mati mandatori.
“Tidak kira sama ada jumlahnya kecil atau besar, kita tahu bahawa wang tersebut dihantar bagi membantu musuh dan tindakan itu merupakan pengkhianatan kepada negara,” katanya pada sidang akhbar di Markas Operasi di Felda Sahabat 16 di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0327&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz2OguAO8JJ 
Hakcipta terpelihara 

Datu Piah sembunyi di Semporna



DATU PIAH (tengah) diapit Azzumuddie (kanan) dan Amirbahar ketika proses rundingan dengan pasukan keselamatan di Kampung Tanduo, Lahad Datu Februari lalu.


SEMPORNA – Seorang lagi anggota kanan pengganas Sulu yang menceroboh Sabah, Datu Piah, salah seorang daripada adik-beradik kepada Jamalul Kiram III kini dipercayai berada di daerah ini.
Menurut satu sumber, lelaki yang berusia lewat 60-an itu dipercayai sedang menyembunyikan diri kerana takut menerima nasib yang sama seperti Menteri Pertahanan Sulu, Datu Amirbahar Hushin Kiram yang ditangkap pasukan keselamatan pada Sabtu lalu.
“Datu Piah juga dipercayai salah seorang daripada orang kanan yang terlibat dalam proses rundingan dengan pasukan keselamatan sebelum 1 Mac lalu,” kata sumber tersebut di sini semalam.
Rundingan antara pihak berkuasa Malaysia dengan pengganas terbabit yang diketuai Azzumuddie Kiram dan turut disertai Datu Piah itu bagaimanapun menemui jalan buntu.
Sumber itu berkata, sebagai ahli keluarga kepada Jamalul Kiram, dia juga dipercayai mempunyai peranan besar dalam kes pencerobohan di Lahad Datu.
“Sebelum 0ps Daulat dilancarkan pada 5 Mac lalu, Datu Piah dan Amirbahar dipercayai sempat melarikan diri ke Semporna dan cuba menggerakkan kumpulan pengganas di daerah ini dengan melakukan kekacauan,” kata sumber itu lagi.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0327&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2Ogu1X6DP 
Hakcipta terpelihara 

Jamalul Kiram berang anggota keluarganya ditangkap




GAMBAR fail menunjukkan Jamalul Kiram (duduk dua dari kanan) berada di rumahnya di bandar Taguig, selatan Manila pada 4 Mac lalu.-AFP


MANILA – Jurucakap kepada pemimpin puak pengganas Sulu, Jamalul Kiram III membidas tindakan keras pasukan keselamatan Malaysia terhadap anggota keluarganya di Sabah termasuk salah seorang bapa saudaranya bernama Janjan, lapor portal berita InterAksyon.com semalam.
Menurut jurucakap itu, Abraham Idjirani, seorang bapa saudara Jamalul Kiram, Janjan, 72, dibunuh sama ada kelmarin atau semalam.
Idjirani membuat dakwaan itu sehari selepas dia mengesahkan penangkapan Datu Amirbahar Hushin Kiram dan isterinya oleh pihak berkuasa Malaysia di Semporna pada Sabtu lalu.
Amirbahar merupakan anak Bantilan Esmail Kiram II yang merupakan adik kepada Jamalul Kiram.
Idjirani berkata, Janjan telah ditahan di Semporna pada minggu lepas.
Katanya, ketua gerombolan pengganas Sulu di Sabah, Azzimuddie Kiram memaklumkan mengenai nasib yang menimpa Janjan melalui perbualan telefon semalam.
“Dia (Janjan) telah ditahan dan dibunuh kerana dia saudara kepada Jamalul Kiram serta didakwa menjadi dalang ketegangan di Sabah.
“Namun, dia sebenarnya sudah menetap di Sabah sejak awal tahun 1990-an,” kata Idjirani.
Katanya, Amirbahar merupakan pemegang pasport Filipina.
Kumpulan pengganas Sulu itu menceroboh Sabah sejak 12 Februari lalu. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0327&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2OgsnHaDF 
Hakcipta terpelihara