Wednesday, August 25, 2010

Perkasa, Ibrahim Ali, PRU 13: Satu mitos


SAHABAT blogger saya, Rocky‘s Bru menulis dalam entri terbarunya mengenai kemungkinan kemunculan kuasa ketiga dalam PRU ke-13, yang bakal berlaku sekitar setahun setengah ke dua tahun lagi.
Kuasa itu ialah Parti Peribumi Perkasa Negara atau istilah yang sering kita dengar sekarang iaitu Perkasa. Persoalannya, benarkah Perkasa akan menjadi sebuah parti politik?
Apakah benar-benar ia akan menjadi satu kuasa - selepas kuasa BN, kuasa pakatan pembangkang dan Perkasa? Siapakah yang akan memimpinnya kelak? Ibrahim Alikah?
Namun, seperti kata Rocky kita tidak boleh menolak kemungkinan itu. Dengan keahlian seramai 200,000 sekarang -- ia besar, gedebe (bahasa orang Kelantan bererti ganas) dan bagi sesetengah pihak, ia jahat.
Orang Cina amat membenci Perkasa ini. Pemuda UMNO, melalui ketuanya pun dikatakan membencinya. Hakikatnya, orang Melayu, terutamanya yang tidak meminati UMNO, Pas dan PKR, sekarang sedikit demi sedikit menyertai dan menyokong pertubuhan itu.
Bermula sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atas nama memperjuangkan hak-hak bangsa Melayu dan kedaulatan raja-raja Melayu, sedikit demi sedikit nafsunya boleh menjadi lebih besar. Ia, akhirnya mungkin mahu terbabit secara langsung dalam aktiviti siasah.
Benarkah orang Melayu berminat dengan Perkasa. Dalam Cuit yang terdahulu saya ada menulis ‘NGO semakin garang, parti Melayu semakin...’ yang memperlihatkan orang Melayu mahukan suara yang lebih lantang dalam menyuarakan hak mereka. Mungkin kerana itulah dalam setahun jagung penubuhannya, Perkasa telah berjaya mengumpulkan seramai itu keahliannya.
Dalam tulisan itu (Cuit 11 Ogos) saya menulis sebab-sebab orang muda mulai berubah angin kepada NGO: ‘‘NGO - Pertubuhan Bukan Kerajaan atau ada yang menyebut No Gaji Organisation mula mengambil alih peranan sayap muda yang lesu.
Pertumbuhan mereka kini merata. Rata-ratanya atas nama orang Melayu, mereka mula mengambil alih peranan parti politik tertentu.
‘‘NGO kini sedang diperhatikan oleh banyak pihak. Orang-orang Melayu pun mula tertarik dengan mereka. Yang tidak suka PKR masuk NGO, yang tidak suka Pas dan DAP pun masuk NGO dan yang keluar dari UMNO dan pemudanya yang berhemah pun khabarnya menyertai NGO.
‘‘Mereka ini bukan tidak suka parti pemerintah, tapi tidak sukakan parti pembangkang. Mereka ini mahukan suara yang lebih lantang, dan gerak- geri yang lebih kelihatan.”
Menurut Rocky pula, kebanyakan ahli-ahli Perkasa terdiri daripada ahli UMNO dan banyak juga terdiri daripada Melayu cerdik-cerdik, berasal dari bandar, yang tidak berhasrat menyertai UMNO (dan sudah tentu tidak percayakah Anwar Ibrahim dan PKR/Pas yang diterajuinya). Tambah lagi, penglibatan Dr. Mahathir Mohamad dengan Perkasa telah menarik penyertaan yang banyak, terutamanya dari kaum muda Melayu.
Seperti juga pendapat Rocky, Perkasa sepatutnya hanya wujud sebagai satu kumpulan pendesak tetapi dalam suasana politik Malaysia yang memuncak sekarang, Perkasa boleh menjadi satu kuasa yang tidak boleh diketepikan peranannya dalam pilihan raya umum kelak.
Persoalannya dengan siapa Perkasa akan bertaut? Dengan UMNOkah, atau dengan Paskah? Inilah persoalannya yang akan wujud sekiranya benar ia akan menjadi parti politik.
Perlu diingat kuasa 200,000 (dan semakin meningkat) tidak boleh dipandang enteng sama sekali oleh gergasi UMNO, Pas, malah pakatan pembangkang lain.
Bijak sungguh Ibrahim Ali. Kini beliau sudah mempunyai bargaining power (kuasa tawar menawar) di dalam tangan beliau. Tidak sia-sia Tok Him menjerit sana, menjerit sini. Kini Perkasa bakal menjadi kuasa ketiga terpenting dalam persaingan politik negara ini.
Apakah Tok Him juga bercita-cita menjadi Perdana Menteri? Hahaha, janganlah gelojoh macam Pak Sheikh kita tu, nanti tersungkur cepat.
Apakah Ibrahim Ali diletakkan situ hanya sementara sahaja? Seorang tokoh lain yang lebih kredibel, berketrampilan akan dibawa masuk? Mungkinkah Tun Dr. Mahathir akan kembali? Ku Li? Atau, Musa Hitam? Mungkinkah perancangan awalnya begitu. Allahualam.
Namun, tidak mustahil itu semua boleh berlaku. Semua orang tahu Ibrahim juga mempunyai hubungan yang rapat dengan Ku Li, putera raja Kelantan yang dalam hati kecilnya masih menyimpan impian untuk menjadi Perdana Menteri satu masa nanti.
Mungkin juga itu perancangan awalnya, satu `grand design’ yang dibentuk bagi menyelamatkan parti Melayu sekiranya sesuatu berlaku kepada UMNO kelak? Ini semua ialah satu andaian yang dalam suasana masa kini - tidak boleh ditolak ke tepi sama sekali.
Saintis politik dan penganalisis politik pun membuat kajian dan ramalan seumpama ini. Orang Melayu harus mempunyai plan B bagi menyelamatkan bangsa itu daripada terus hanyut sekiranya sesuatu terjadi kepada UMNO kelak.
Menurut Rocky, walaupun rancangan itu akan memecahkan lagi kuasa Melayu tetapi sekurang-kurangnya mereka akan sedar mengenai keperluan untuk bersatu kembali demi survival bangsa itu.
Kini kuasa penentu di tangan penerajunya. Seorang bekas exco Pemuda UMNO - seorang doktor perubatan -- yang meninggalkan sayap itu pernah memberitahu saya dengan bangganya: ‘‘Saya kini bergerak aktif dalam Perkasa.”
Benar kata Rocky, apa yang kita katakan ini hanyalah satu mimpi. Tetapi kata beliau lagi: ‘‘Saya memikirkannya hari ini, jika Perkasa menjadi parti politik dan tidak semena-mena bergabung dengan PKR, DAP dan Pas dalam Pakatan Rakyat, maka kemungkinan - berakhirnya BN - akan menjadi, begitu real.
‘‘Najib Razak UMNO/BN harus mempunyai rancangan strategi semula yang serius untuk difikirkan, sebelum Perkasa membuat keputusan BESAR itu.”
Sekali lagi Tok Him, kini kuasa di tangan anda. Anda (mungkin) bakal survive buat kesekian kalinya. Hebat-hebat...

Kes keganasan menggerunkan


Golongan wanita sering menjadi mangsa keganasan rumah tangga. - gambar hiasan.


BAGAI tiada kesudahan apabila saban hari masyarakat disajikan dengan cerita-cerita keganasan rumah tangga yang berlaku terhadap wanita.
Ia umpama wabak yang berjangkit dalam masyarakat tanpa ada sempadan negara, bangsa, warna kulit, status mahupun agama.
Menurut Peguambela dan Peguamcara Tengku Naufal & Co.,Dr. Tengku Naufal Tengku Mansor, statistik kes keganasan rumah tangga terhadap wanita secara puratanya meningkat dari setahun ke setahun.
Tambah beliau, apa yang menggerunkan, keganasan terhadap wanita turut membabitkan anak-anak di bawah umur (remaja).
''Apabila kita bercakap mengenai keganasan terhadap wanita, isu rogol dan sumbang mahram merupakan salah satu cabangnya.
''Apa yang paling menyedihkan apabila ia melibatkan remaja bawah umur (16 tahun ke bawah) di mana jika dilihat dari segi undang-undang, mereka ini tidak boleh terlibat dalam sebarang bentuk perhubungan seks.
''Jika ini berlaku, lelaki itu dianggap perogol,'' ujarnya ketika ditemui di ibu pejabat Avon, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Tambah beliau, di Malaysia, kes keganasan rumah tangga yang berlaku dianggap sangat serius dan menggerunkan.
Ini kerana, jika dikaitkan dengan isu-isu keganasan rumah tangga, natijah daripada perkara itu berlakulah kes pembuangan bayi, pengasingan sosial (diri rasa teraniaya dan dizalimi seterusnya mangsa akan mengambil langkah mengasingkan diri atau diasingkan daripada keluarga) dan juga isu-isu sampingan.
Apabila bercerita mengenai undang-undang pula, beliau yang juga merupakan peguam syarie menjelaskan, dari segi perundangan di Malaysia ia mencukupi untuk mengawal gejala itu. Tetapi yang menjadi permasalahan serta isu ialah dari segi perlaksanaan.
''Pada pendapat saya, apa yang berlaku hari ini, berbalik kepada kesedaran dan walau ada pun undang-undang, tetapi tiada kesedaran, tiada ertinya juga.
''Undang-undang hanyalah satu garis panduan dan dasar dalam masyarakat yang membolehkan kita hidup dalam keadaan stabil tetapi kestabilan itu tidak boleh dikaitkan semata-mata dengan kewujudan undang-undang kerana kewujudan undang-undang itu bukanlah penyelesaian mutlak kepada permasalahan ini.
''Apa yang penting di sini ialah kesedaran dalam diri masing-masing,'' ulasnya.
Jika dilihat kembali maksud keganasan, ia merupakan perbuatan atau pengabaian terhadap seseorang yang mengakibatkan penderitaan fizikal dan mental.
Kepada wanita, undang-undang telah sedia digubal untuk melindungi mereka daripada semua perbuatan jenayah seperti contoh, Kanun Keseksaan, Akta Keganasan Rumah tangga 1994, Kod Amalan Bagi Pencegahan dan Pembasmian Gangguan Seksual di Tempat Kerja 1999 dan Akta Kanak-Kanak 2001.
Lebih 90 peratus kes-kes keganasan rumah tangga dilakukan oleh lelaki (suami) terhadap isteri, manakala hanya lima peratus kes wanita mengkasari lelaki.
''Bukan hendak mengetepikan kewujudan kes-kes yang sebaliknya tetapi itulah hakikatnya. Disebabkan itu, tumpuannya lebih kepada wanita dan ini dilihat sebagai masalah suami atau lelaki yang tidak bertanggungjawab terhadap isteri.
''Sebenarnya, hal rumah tangga bukanlah 100 peratus milik individu tersebut malah perlu diingatkan bahawa wanita bukanlah golongan kelas kedua malah mereka mempunyai peranan yang besar dalam membentuk agama, bangsa dan negara,'' katanya mengakhiri perbualan.
Sementara itu, menurut Presiden Avon Malaysia, Mansoor Wan Abdullah, syarikat kosmetik itu sentiasa berkerjasama bagi menjalin satu hubungan pintar yang mampu memberi kesedaran kepada masyarakat terutamanya wanita dalam usaha membanteras keganasan .
''Selama ini, Avon telah mengadakan pelbagai program dan aktiviti dalam usaha memperkasakan wanita. Kami telah mulakannya dengan program Keganasan Rumah Tanggapada tahun 2008 melalui risalah-risalah produk Avon dan kami turut menyokong Jabatan Pembangunan Wanita untuk setiap siri keganasan rumah tangga yang mereka adakan,'' katanya.
Menyedari akan hakikat tersebut, Avon menjalinkan kerjasama pintar dengan Utusan Malaysiamelalui peraduan Gerbang Cinta dalam usaha memberi kesedaran kepada masyarakat setempat.
Untuk itu, sebanyak 12 artikel Tengku Naufal akan dikeluarkan di dalam Utusan Malaysiamelalui sisipan Mega yang berkisar tentang keganasan rumah tangga.

Sifat kehambaan sangat dituntut


MANUSIA tidak akan dicipta-Nya kecuali untuk memperhambakan diri kepada-Nya yang mempunyai 99 nama (Asma-ul-Husna) yang memberikan gambaran secara jelas tentang sifat-sifat Allah SWT.
Belajar dan berusaha mengenali sifat-sifat Allah adalah merupakan ibadah. Ilmu mengenali Allah dan sifat-Nya amat dituntut daripada kita berada dalam buaian hingga ke liang lahad.
Manusia yang benar-benar kenal Allah dan sifat-Nya tidak akan berani berbuat sebarang dosa atau kemungkaran. Malah tidak akan sanggup melakukan walaupun termasuk dalam apa yang dinamakan dosa-dosa kecil.
Masalah rasuah, tuang kerja, rompak, curi, tipu, tidak amanah, edar dan penyalahgunaan dadah, putus silaturahim, kes-kes buang anak dan janin serta pelbagai kemungkaran lagi tidak akan berlaku bagi mereka yang kenal Allah dan sifat-sifat-Nya.
Hanya hamba-Nya yang hilang sifat kehambaan akan sanggup berbuat dosa dan kemungkaran. Apatah di kalangan mereka yang memisahkan diri darpada al-Quran yang merupakan himpunan kata-kata Allah yang sarat dengan tegahan dan larangan.
Sedangkan sikap kehambaan terhadap Allah itu sangat dituntut. Ini terbukti apabila daripada 6,236 keseluruhan ayat al-Quran, terdapat 2,799 kali sebutan nama Allah dan keesaan-Nya yang sangat- sangat layak disembah dan diperhambakan diri oleh kita hamba-Nya.
Daripada 2,799 sebutan nama Allah dalam al-Quran itu pula, terdapat 967 sebutan Rabbi yang membawa maksud memiliki, mendidik dan memelihara, manakala Rahman (Maha Pemurah) dan Rahiim (Maha Penyayang) ada disebut 560 kali.
Perkataan Ghafuur yang merupakan antara nama-Nya yang membawa maksud maha pengampun ada disebutkan sebanyak 233 kali sebagai tanda bakti, selain daripada pemurah dan penyayang kepada hamba-Nya, Allah juga maha pengampun.
Juga kerap disebut dalam al-Quran adalah Maalik yakni yang memiliki atau jika dipendekkanmimnya ia akan membawa maksud 'Raja' yang memerintah dan menguasai alam ini dan juga alam akhirat.
Maknanya, kita kena sedar bahawa kita kepunyaan Allah dan kita tidak boleh lari daripada tidak menjadi kepunyaan-Nya.
Oleh kerana kita kepunyaan-Nya, maka kita kena patuh kepada apa yang disuruh dan kena menjauhi daripada apa yang ditegah.
Allah pula maha pemurah, apa yang dikehendaki mesti diminta daripada-Nya. Allah juga maha penyayang. Tidak ada sebab untuk kita benci dan menjauhkan diri atau mengingkari apa yang disuruh dan ditegah oleh-Nya.
Sebagai manusia kita tidak dapat bebaskan diri daripada melakukan dosa kerana kejahilan kita.
Tetapi sifat maha pengampun-Nya patut dieksploitasi untuk kita bertaubat nasuha supaya daripada banyak membuat dosa kita bertukar menjadi hamba-Nya yang rajin mengumpul pahala dan daripada jahil menjadi alim.
Dalam bulan puasa inilah masanya untuk yang masih tidak kenali Allah kena berusaha mengenali Allah, yang jahil berusaha untuk alimkan diri dan yang bergelumang dengan dosa berhenti daripada melakukan kerja dosa kemaruk serta ketagihkan diri melakukan kerja-kerja yang mendatangkan pahala.
Paling penting, bina, pelihara dan tingkatkan kualiti perhambaan diri terhadap-Nya kerana Dia adalah pemilik kita.

ISU-ISU AKHBAR CINA


Pengetua dan ‘Balik China’
PERISTIWA seorang pengetua sekolah di Kulai Jaya, Johor yang didakwa menyebut pelajar Cina tidak diperlukan dan boleh pulang ke China mengundang kemarahan masyarakat Cina yang menulis mengenainya di dalam kebanyakan akhbar utama Cina. Antaranya seperti yang tersiar dalam akhbar Sin Chew Jit Poh terbitan 21 Ogos lalu.
Artikel bertajuk Di sini rumah saya, ke mana kamu mahu saya pergi? ditulis oleh Hou Ya Lun. Tulisnya, dalam sambutan kemerdekaan pada bulan Ogos ini, kibaran bendera dapat dilihat di merata tempat. Ia merupakan waktu untuk mengingatkan rakyat negara ini kepada sejarah pembinaan negara. Terbit rasa gembira di dalam jiwa dan tanda kasih sayang kepada tanah air ini.
Namun, satu perkataan yang berbunyi ‘baliklah ke negeri China’ telah menghancurkan suasana kegembiraan itu. Pengetua sekolah yang seharusnya menjadi contoh kepada semua pelajar cuba menghasut dengan kata-kata tersebut.
Ia menunjukkan tingkah laku yang tidak sopan dan mengeluarkan kata-kata yang melukakan perasaan serta menyindir kaum lain. Jika semua pelajar boleh menghormati kaum lain di sekolah, kenapa seorang pengetua menunjukkan sikap yang lebih buruk berbanding dengan pelajar-pelajarnya?
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersungguh-sungguh mahu menjayakan gagasan 1Malaysia. Konsep itu antaranya menerima semua rakyat berbilang kaum, memahami dan menjalani kehidupan bersama. Kita telah mengharungi lebih 50 tahun proses pembinaan negara.
Rakyat ketika ini seharusnya lebih matang dalam berfikir, toleran dan saling menerima antara satu sama lain.
Namun sehingga hari ini, masih terdengar ada yang mengeluarkan kenyataan berbunyi ‘pendatang’ dan ‘balik ke China’, seolah-olah kefahaman kerakyatan pada mereka terlalu cetek. Apakah perasaan generasi muda yang lahir di tanah air ini apabila mendengar perkataan-perkataan sebegitu? Jika ia berterusan, apakah perasaan mereka dalam semangat kekitaan terhadap negara ini?
‘‘Kementerian Pelajaran juga mahukan sekolah kebangsaan menjadi pilihan kepada semua rakyat. Malah, sekolah kebangsaan dianggap paling terbaik dalam memupuk semangat perpaduan rakyat. Tetapi tingkah laku pengetua sekolah menengah itu telah membelakangkan konsep pendidikan di negara ini,” tulis Ya Lun.
Masih lagi mengenai isu pengetua sekolah tersebut, akhbar Nanyang Siang Pao pada hari yang sama menyiarkan sebuah artikel yang ditulis oleh Wang Kim Jing bertajuk Bulan puasa balik China. Tulisnya, isu ‘balik China’ seperti mayat yang mahu dihidupkan kembali dan tidak seharusnya dibangkitkan. Sebagai seorang Muslim, bulan Ramadan sepatutnya menyucikan jiwa, mengangkat semangat ikhlas, kasih sayang dan sejahtera. Berpuasa juga dapat menginsafkan jiwa dan rohani, mengangkat semangat kasih sayang, membantu serta menghulurkan keikhlasan kepada orang miskin.
Tetapi apabila orang yang berpuasa memarahi orang lain dengan perkataan ‘balik China’, ia sesuatu yang amat menyedihkan. Iman mereka juga tidak sampai ke tahap sepatutnya. Sepatutnya mereka memikirkan dan merenung maksud sebenar bulan Ramadan.
Akhbar yang sama pada keesokan hari iaitu terbitan 23 Ogos turut menyiarkan sebuah artikel yang ditulis oleh Hong Ku Lin bertajuk Isu kebangkitan rasis dalam pendidikan.
Tulis Ku Lin, isu perkauman kini telah menular ke sekolah-sekolah. Kita perlu berwaspada kerana dalam sistem pelajaran negara ketika ini telah wujud pemikiran rasis dan fanatik di kalangan mereka yang bergelar guru dan pengetua sekolah.
Kejadian itu pula berlaku di sekolah milik kerajaan sekali gus membuktikan sistem pendidikan kerajaan gagal, banyak kelemahan dan kebocoran. Ia juga melahirkan kakitangan yang tidak berhati-hati ketika menjalankan tugas.
Perdana Menteri perlu memandang serius terhadap isu seperti ini supaya konsep 1Malaysia tidak menjadi omongan kosong dan hanya nampak tersergam indah tetapi di dalamnya kosong.
Doktrin Cintakan Bendera
Timbalan Editor Sin Chew Jit Poh, Tay Ting Hian menerusi ruangan pendapat akhbar itu terbitan 20 Ogos lalu menulis sebuah artikel mengenai semangat kemerdekaan dan kibaran bendera.
Artikel bertajuk Doktrin cintakan negara itu merupakan reaksi kepada arahan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim yang didakwa dengan kuasa yang ada padanya mengarahkan orang awam dalam kawasan itu memasang bendera. Roshidi beranggapan ia merupakan tindakan yang menunjukkan rasa cinta kepada tanah air.
Tetapi tulis Ting Hian, bagi orang yang berfikiran bebas, bendera itu bukan sahaja secebis kain, malah lukisan padanya juga tidak nampak berinovasi. Ting Hian turut menarik perhatian mengenai perbezaan cintakan negara dan cintakan bendera ini dengan sebuah peristiwa yang berlaku di Amerika Syarikat (AS) pada 1963.
Pada satu hari, dua beradik masing-masing berumur 12 dan 10 tahun enggan tunduk dan memberikan hormat kepada bendera AS semasa upacara mengibarkan bendera kerana menyalahi agama mereka. Akibatnya, mereka dibuang sekolah tetapi keluarga dua beradik itu menyaman pihak sekolah dan akhirnya menang.
Ketua hakim ketika itu tidak melihat kes tersebut dari sudut agama, sebaliknya kebebasan bersuara dan pendirian. Menurut ketua hakim, memberi hormat kepada bendera adalah cara dan pilihan seseorang dan tidak boleh dipaksa seseorang untuk melakukannya. Jika tidak, ia melanggar peraturan dan kebebasan bersuara dan melanggar Akta Hak Kebebasan Manusia dalam perlembagaan AS.
Selepas peristiwa itu, rakyat AS tidak lagi dipaksa mengibarkan bendera atau tunduk dan tabik hormat kepada bendera mereka. ‘‘Konsep dan peradaban manusia inilah yang sepatutnya dipelajari oleh Datuk Bandar Ipoh,” tulis Ting Hian.
‘Usahawan Melayu Tulen Susah Ditemui’
Akhbar Nanyang Siang Pao menerusi ruangan kata-kata hikmah siaran 17 Ogos lalu memetik kata-kata Naib Presiden MCA Datuk Chor Chee Heung. Tajuk kata-kata hikmat itu ialah ‘Secebis ayat terus terungkai’. Katanya, bukan mudah untuk usahawan Cina mendapatkan rakan kongsi daripada usahawan Melayu. Oleh kerana kedudukan dan cara hidup usahawan Melayu mempunyai tabiat tersendiri, orang Cina pula mempunyai ciri-ciri dan tabiat yang rajin serta gigih, maka ada banyak perbezaannya.

Indonesia diminta pastikan keselamatan rakyat Malaysia




2010/08/25

PUTRAJAYA: Kerajaan Indonesia diminta memastikan keselamatan rakyat Malaysia di republik itu serta mengambil tindakan terhadap kumpulan yang melempar najis manusia ke dalam kawasan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta. 

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata bukan sahaja nama baik Malaysia malah reputasi Indonesia turut tercemar akibat perbuatan sebegitu keji oleh segolongan rakyat negara itu baru-baru ini."Saya juga telah meminta kerajaan Indonesia memastikan keselamatan rakyat Malaysia di Indonesia dipelihara, demi menjaga hubungan baik kedua-dua negara yang amat kita hargai," katanya kepada pemberita selepas bertemu Timbalan Duta Indonesia ke Malaysia, Tatang B Razak di Wisma Putra bagi mendapat penjelasan berkaitan perkara itu.Beliau berkata tindakan berunsur provokasi seperti membakar dan memijak bendera Malaysia serta membaling najis, adalah satu penghinaan kepada Malaysia, malah perbuatan itu mencabar kedaulatan negara. 

Beberapa pihak di Indonesia telah mengadakan demonstrasi sebagai tanda kemarahan terhadap Malaysia yang didakwa telah merendahkan maruah Indonesia dalam insiden penahanan tiga pegawai penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan negara tersebut oleh Polis Marin Malaysia di perairan Bintan pada 13 Ogos lalu. - BERNAMA 

Royalti minyak: Kelantan saman Petronas pada 30 Ogos




2010/08/25

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan mengemukakan saman terhadap Petronas pada 30 Ogos ini berhubung tuntutan royalti minyak yang diperoleh dari perairan negeri itu. 

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa, berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat mingguan EXCO di Kota Darulnaim di sini, hari ini.Katanya, kerajaan negeri akan mengemukakan writ saman itu di Pejabat Pendaftar Bahagian Perdagangan Mahkamah Tinggi Jalan Duta, Kuala Lumpur.Husam berkata, dalam kes saman itu kerajaan negeri tidak menetapkan jumlah tuntutan yang dibuat dan terserah kepada mahkamah yang akan menentukannya. 

Katanya, writ saman itu dikemukakan atas nama Petronas dan bukannya kerajaan Malaysia. - BERNAMA 

Jangan melawat Indonesia bahaya

Kediaman Duta Besar Malaysia di Jakarta pula diancam


2010/08/25

JAKARTA: Setelah melempar najis manusia ke dalam kawasan Kedutaan Besar Malaysia di sini Isnin lalu, kumpulan penunjuk perasaan yang sama mengugut untuk berbuat demikian di kediaman Duta Besar Malaysia pula. 

Kali ini, penunjuk perasaan dari kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) itu dilaporkan akan disertai kumpulan gabungannya yang menamakan diri sebagai Pemuda Pemudi Anti Malaysia.Sementara itu, 25 penunjuk perasaan Bendera merancang berdemonstrasi di hadapan Bank CIMB Niaga petang ini dan mengulangi aksi sama di pejabat Petronas kemudian.Polis Indonesia yang mendapat maklumat mengenai rancangan demonstrasi haram di hadapan kediaman Duta Besar Malaysia di Patra Kuningan, bertindak mengetatkan kawalan dengan menempatkan lebih 200 anggota di sekeliling rumah berkenaan sejak 9.30 pagi tadi. 

Sejak malam tadi, Polis Indonesia telah menempatkan anggotanya bagi menjaga keselamatan di kawasan kediaman Duta Besar Malaysia itu. 

Pada masa sama, polis Indonesia turut menempatkan ramai anggotanya di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Kuningan, sebagai persediaan menghadapi kumpulan sama, yang dilaporkan turut merancang mengadakan sekali lagi demonstrasi di situ. 

Kedutaan Besar Malaysia menghargai langkah yang diambil polis Indonesia dalam menjaga keselamatan di kawasan kediaman Duta Besar dan bangunan kedutaan. 
Setakat 3.30 petang waktu Indonesia Barat, demonstrasi di hadapan kediaman Duta Besar Malaysia dan Kedutaan Besar Malaysia belum diadakan. 

Isnin lalu, 37 anggota Bendera berdemonstrasi di hadapan bangunan kedutaan berkenaan dan membawa lima bungkus najis manusia sebagai "hadiah" kepada Malaysia, yang didakwa telah mencemarkan maruah Indonesia dengan cara lebih kotor daripada itu. 

Seorang daripada mereka sempat melempar bungkusan najis ke dalam pintu pagar Kedutaan Besar Malaysia manakala yang lain bertindak melepaskan kotoran itu ke atas Jalur Gemilang yang mereka pijak di atas jalan raya. 

Mereka melepaskan kemarahan terhadap Malaysia berikutan insiden di perairan Malaysia-Indonesia berhampiran Bintan, Kepulauan Riau pada 13 Ogos yang menyaksikan bahagian penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia menahan tujuh nelayan Malaysia, sementara Polis Marin Malaysia pula menahan tiga pegawai penguatkuasa kementerian Indonesia itu. 

Kedua-dua pihak mendakwa melakukan penahanan itu kerana pencerobohan dalam wilayah masing-masing. 

Ekoran kejadian lempar najis itu, polis Indonesia menahan empat anggota Bendera, tetapi membebaskan mereka beberapa jam kemudian atas alasan mereka belum melakukan perbuatan berkenaan. 

Seorang pegawai di Kedutaan Besar Malaysia yang dihubungi pada hari berkenaan, telah mengesahkan bahawa najis yang dibungkus dalam kertas pembalut makanan berwarna coklat itu, telah dilempar masuk ke kawasan kedutaan. 

Pada hari sama, sebelum bersurai, kumpulan Bendera telah memberi kata dua kepada polis Indonesia supaya melepaskan anggota mereka yang ditahan, atau mereka akan bertindak mengusir rakyat Malaysia, yang dinamakan sebagai "Sweeping Rakyat Malaysia". 

Polis Indonesia turut mendapat maklumat mengenai rancangan kumpulan Bendera untuk mengusir rakyat Malaysia yang berada di Jakarta hari ini, dan wartawan Malaysia telah dinasihatkan agar tidak menghampiri kumpulan penunjuk perasaan itu bagi mengelakkan tindakan "sweeping" dilakukan. 

Berikutan itu, semua pelajar Malaysia di Jakarta dinasihatkan supaya tidak melalui kawasan Jalan Diponegoro, Menteng, Jakarta bagi mengelak tindakan "sweeping" oleh anggota Bendera. 

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Indonesia Datuk Dr Junaidy Abu Bakar juga 
menasihatkan pelajar supaya keluar rumah secara berkumpulan, dan segera menghubungi beliau atau pemimpin pelajar jika diancam mana-mana pihak. 

"Saya minta seluruh mahasiswa Malaysia agar menghindari dan menjauhi kawasan Menteng, khususnya Jln Diponegoro. 

"Kawasan berkenaan telah dikenal pasti antara kawasan yang akan dilakukan sweeping rakyat Malaysia oleh kumpulan Bendera," katanya. - BERNAMA 

Isu perkauman tidak timbul jika tiada Umno

Isu perkauman tidak timbul jika tiada Umno
KUALA LUMPUR, 25 Ogos: Pusat Pembangunan Kebudayaan (LLG) mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghapuskan ideologi perkauman yang didoktrinkan ke dalam masyarakat.
Mereka berpandangan, isu perkauman yang timbul kini berpunca daripada doktrin perkauman yang diterapkan oleh Umno sejak dari dahulu lagi.

Presidennya, Dr. Toh Kin Woon berkata, semua isu perkauman yang meretakkan hubungan antara kaum tidak akan berlaku jika Umno tidak memulakannya.

"Politik perkauman yang melaksanakan dasar pecah dan perintah, pemuda Umno menghunus keris dan mengugut akan membakar Dewan Perhimpunan Cina KL dan Selangor, kenyataan diskriminasi perkauman secara terbuka oleh Ahmad Ismail dan Nasir Safar, unsur-unsur perkauman yang didoktrinasikan oleh Biro Tata Negara.

"Tanpa semua tindakan ini, kita tidak akan dijangkiti virus perkauman," kata Kin Woon dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pengetua sebuah sekolah di Johor yang mengeluarkan kenyataan 'pelajar Cina boleh pulang ke Cina' dan menyamakan gelang tangan yang dipakai pelajar India dengan rantai anjing.

Tambahnya, sekiranya kerajaaan terus berdiam diri dalam isu tersebut, keyakinan rakyat terhaddap slogan "1Malaysia' yang diwarwarkan Najib akan hilang.

"Lebih memeranjatkan ialah sehingga kini Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri berdiam diri dalam isu-isu tersebut, ini mengakibatkan rakyat hilang keyakinan terhadap slogan inklusif umpamanya “Satu Malaysia”dan “Rakyat Didahulukan”yang diketengahkan Perdana Menteri," kata beliau lagi.

Beliau turut menyatakan kekesalan di atas sikap berdiam diri kerajaan Umno BN terhadap beberapa kenyataan berbau perkauman antaranya mengenai cadangan Majlis Perundingan NGO Melayu (MPP) dan Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa) yang mahu kerajaan menahan Presiden MCA, Chua Soi Lek di bawah ISA kerana menyokong cadangan kuota 30% bumiputera dimansuhkan.

"MPP menyaran kerajaan memansuhkan sekolah ibunda; Utusan Malaysia cuba mengapi-apikan isu pemansuhan kuota bumiputera dan perlembagaan baru, sebuah surau Seremban disimbah cat merah tapi pimpinan tertinggi kerajaan tidak mengkritik perkembangan kurang sihat ini.," katanya.

TUN MAHATHIR UGUT MELAYU � Idris Ahmad

TUN MAHATHIR UGUT MELAYU � Idris Ahmad

TUN MAHATHIR UGUT MELAYUs


Parti Islam Semalaysia Pas kesal dengan kenyataan Tun Dr Mahathir mengugut melayu supaya bersatu atau hilang kuasa politik kepada bukan melayu jika terus berpecah. Pas berpandangan Dr Mahathir sengaja buat tidak faham senario politik di negara ini. Berkali-kali Pas tegaskan kepada rakyat kalau umno kalah yang menangnya ialah Pas. Umno akan berhadapan dengan Pas di kawasan kerusi Melayu, yang tukarnya parti sahaja yang membawa dasar yang lebih jauh baik daripada umno. Memang beliau ini jenis manusia yang buat-buat tidak faham.

Tun Masih menganggap bahawa Melayu wajib bersatu bawah payung umno sahaja. Seolah-olah selain daripada umno, melayu tidak boleh bersatu. Inilah khurafat umno yang terpahat dalam pemikiran pemimpin umno seperti Dr Mahathir dan inilah juga kefahaman yang diterap kepada pegawai kerajaan melalui kursus-kursus Biro Tatanegara. Dulu pemimpin umno sering mendakwa bahawa selain daripada umno memerintah tidak akan maju. Hujah ini sudah lapok, rakyat boleh menilai kemampuan pemimpin Pakatan memerintah di negeri mereka, walaupun usia muda tetapi membuat pembaharuaan yang begitu pantas. Rakyat telah lihat dari segi ketelusan dan merakyatkan kekayaan negeri untuk dinikmati oleh semua lapisan rakyat.

Selama 22 tahun negara di bawah Dr Mahathir banyak dasar-dasar yang dilakukan merugikan orang melayu antaranya, berapa banyak tanah rezab melayu bertukar dan tidak berganti, melaksanakan dasar pengajaran Metematik dan Sains dalam bahasa Inggeris walaupun merugikan orang melayu di pendalaman. Beliau sendiri pernah mencadangkan supaya orang melayu kena buang budaya subsidi, mencadangkan dasar meretokrasi, menarik royalti minyak di Terengganu, mewujudkan Pegawai Persekutuan di negeri Kelantan dan Terengganu, menarik bantuan perkapita sekolah agama rakyat. Banyak sangat kalau kita hendak tulis pengkhianatan beliau kepada melayu semasa beliau berkuasa. Sekarang kenapa beliau begitu lantang seolah-olah mengugut orang melayu mesti bersatu dengan umno untuk meneruskan lagi penindasan kepada rakyat dan membiarkan rakyat menderita dan memudahkan suku sakat beliau mengaut kekayaan negara. Apakah beliau takut dan wujudnya mimpi ngeri, kalau Pakatan Rakyat menang beliau sendiri tidak selamat.

Lebih mabuk daripada bir

KUALA LUMPUR: Kajian Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendapati ada lebih daripada 15 jenis minuman beralkohol di pasaran tampil sebagai minuman ringan, sekali gus menimbulkan kekeliruan ramai.

MENGELIRUKAN...Idris menunjukkan pelbagai jenama minuman beralkohol yang dijual di pasaran.
MENGELIRUKAN...Idris menunjukkan pelbagai jenama minuman beralkohol yang dijual di pasaran.

Presidennya, SM Mohamed Idris, berkata minuman ringan beralkohol ini boleh didapati di dalam botol 275 mililiter dengan dengan pelbagai perisa termasuk perisa buah yang dijual pada harga dari RM4 hingga RM10.

“Pengeluar menggunakan warna amat menarik yang sudah pasti mempengaruhi pengguna terutama kanak-kanak dan remaja untuk mencubanya dan kemudian akan ketagih.

“Malah, dengan sedikit kesan alkohol dalam minuman ringan menjadikan ia minuman beralkohol, apatah lagi kandungan alkoholnya empat hingga 6.3 peratus dalam minuman ringan ini.

“Bir yang diminum dengan meluas mengandungi lima peratus alkohol, bermakna kandungan alkohol dalam minuman ringan ini jauh melebihi kandungan alkohol dalam bir,” katanya, dalam satu kenyataan, semalam.

Antara minuman ringan yang ada kandungan alkohol terbabit ialah Storm Twistonic Gin & Tonic (6.3 peratus alkohol), Storm High Ball (5.6 peratus alkohol), Storm Screw Driver (5.6 peratus alkohol), Pelican Black Current + Vodka (5 peratus alkohol), Pelican Pink Vodka (5 peratus alkohol) dan Pelican Vodka Orange (5 peratus alkohol).
Mohamed berkata, undang-undang dengan jelas menyatakan minuman beralkohol dilarang kepada mereka berusia bawah 18 tahun, namun minuman ringan terbabit dijual sewenang-wenangnya kepada pelajar sekolah tanpa sekatan di pasar raya dan kedai 24 jam.

Beliau berkata, pihaknya merasakan hak pengguna dicabuli, malah keadaan itu juga amat tidak sihat kepada generasi muda.
“Pihak pengeluar menggunakan taktik ini untuk meningkatkan jualan mereka.

“Ia akan membawa mereka kepada ketagihan minuman alkohol lain yang lebih tinggi kandungan alkoholnya. Ini cara berbahaya memerangkap masyarakat ke dalam rantaian penagihan alkohol yang akan memastikan keuntungan berterusan kepada syarikat alkohol,” katanya.

Katanya, pihak berkuasa disaran mengambil beberapa tindakan kerana minuman itu tidak seharusnya dijual sebagai minuman ringan.

Bimbang banjir


Oleh Abu Bakar Al Sidek

2010/08/25

TELUK INTAN: Hujan lebat setiap petang menyebabkan kira-kira 50 penduduk di Kampung Batu 8 Changkat Jong, di sini bimbang kemungkinan terpaksa menanggung lebih banyak kerugian akibat kerosakan harta benda akibat banjir kilat. 

Sebanyak 20 rumah yang terletak bersebelahan jalan utama Teluk Intan-Bidor sering mengalami banjir kilat setinggi 0.3 meter berpunca daripada limpahan air longkang dan saliran yang sebu akibat dipenuhi belukar.Ketua Kampung Batu 8, Ahmad Baharom, 56, berkata air hujan dari puncak Bukit Changkat Jong tidak dapat mengalir dengan lancar kerana longkang di kampung berkenaan turut dipenuhi pasir."Air hujan tersekat dan melimpah masuk ke dalam rumah yang terletak di hadapan longkang dan saliran tali air. 

"Masalah ini sudah menghantui penduduk sejak enam bulan lalu dan mereka sentiasa bimbang apabila hujan lebat," katanya ketika ditemui di sini, semalam. 

Ahmad berkata, penduduk berdepan ancaman banjir kilat selepas berlaku hujan lebat sejak enam bulan lalu. 

"Saya sudah membuat aduan kepada Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Hilir Perak minta pihak berkenaan segera menyelesaikan masalah itu, bagaimanapun ketiga-tiga agensi itu memberi alasan masalah itu bukan di bawah tanggungjawab mereka," katanya. 
Beliau berkata, keliru agensi mana yang bertanggungjawab, beliau memanjangkan masalah itu ke Bahagian Pembangunan Luar Bandar, Pejabat Daerah Hilir Perak yang menyebut semua kerja pembersihan longkang dan saliran sudah diserah kepada syarikat tertentu yang melakukan kerja itu setiap enam bulan sekali. 

"Namun hakikatnya, longkang masih dipenuhi pasir dan salirannya terus dinaiki lalang yang tinggi," katanya. 

Sehubungan itu, Ahmad berkata beliau akan menghantar memorandum kepada Pengarah JKR Perak di Ipoh dalam waktu terdekat supaya masalah itu ditangani segera. 

Pengerusi Masjid Jamek Changkat Jong, Hamidun Mat Rasol, 60, berkata penduduk terbabit terpaksa mengalih harta benda dalam rumah ke tempat tinggi untuk mengelakkan daripada terendam dalam banjir kilat setiap kali hujan lebat. 

Katanya, banjir yang berlaku membawa air bercampur lumpur tanah liat masuk ke dalam rumah dan hanya akan surut selepas tiga jam. 

"Ada penduduk mengalami kerosakan harta benda seperti permaidani kerana lambat dipindahkan kerana banjir kilat berlaku terlalu pantas. 

Demi sesuap nasi


Oleh Ramli Hussin 

2010/08/25

BACHOK: Bau busuk dan suasana kotor sekitar tapak pelupusan sampah dekat Beris Lalang di sini, tidak menghalang kira-kira 100 penduduk miskin menjadikan lokasi itu sebagai sumber rezeki terutama menjelang Aidilfitri ini. 

Tapak pelupusan di Kampung Gong Nibong, Beris Lalang itu, menjadi tumpuan mereka mulai jam 9 pagi hingga 5 petang setiap hari, untuk menyelongkar timbunan sampah sambil menaruh harapan menemui apa juga barangan bernilai yang boleh dikitar semula.Untuk mengelak perbalahan sesama sendiri, kumpulan pencari bahan kitar semula itu sepakat membahagikan tapak pelupusan itu kepada dua bahagian iaitu Bachok dan Kota Bharu, mengikut kawasan asal pencari barangan itu.Antara bahan dicari termasuk botol plastik, kaca, tin minuman serta besi buruk untuk dijual kepada peraih yang menanti berhampiran tapak itu. Menerusi usaha itu, pencari bahan kitar semula yang turut membawa ahli keluarga itu mendakwa mampu memperoleh pendapatan sehingga RM60 sehari. 

Penduduk Kampung Pantai Dasar Sabak, Tuan Jarah Tuan Ismail, 62, yang sudah 20 tahun melakukan usaha itu, berkata beliau membantu suaminya, Hassan Sulaiman, 65, bagi menambah pendapatan sampingan menyara keluarga dan membesarkan sembilan anak mereka. 

Katanya, menerusi usaha menyelongkar timbunan sampah itu, beliau yang berusaha sendirian mampu memperoleh pendapatan antara RM30 hingga RM40 sehari dan tidak malu dengan pekerjaan itu kerana menjadi punca pendapatan yang halal. 

Saya mula mencari bahan kitar semula ini sejak anak bongsu berusia lima bulan, dia kini sudah berusia 20 tahun. Berbekalkan pendapatan daripada usaha mencari bahan kitar semula ini, saya membantu suami membesarkan sembilan anak kami yang kini berusia 20 hingga 35 tahun, katanya yang ditemui di tapak pelupusan sampah itu, semalam. 
Rakannya, Noriah Mat San, 52, dari Pengkalan Chepa, datang ke tapak pelupusan sampah itu mulai awal pagi bersama suami dan anak bongsu mereka yang berusia 19 tahun. 

Ketika Ramadan ini, kadang-kadang kami turut berbuka puasa di sini. Bergantung kepada keadaan, sekiranya bahan kitar semula banyak maka terpaksa saya tunggu sampai habis sampai lewat malam. 

Dari segi pendapatan, boleh dikatakan berbaloi kerana ada ketika, setiap seorang boleh dapat sampai RM70 sehari, katanya. 

Bekas pemandu teksi di Kota Bharu, Mohd Faizal Mohd Salleh, 24, beralih menjadikan usaha mengumpul barangan kitar semula itu sejak awal tahun ini. 

Kalau dulu, pendapatan hasil memandu kereta sewa setiap bulan ada kalanya tidak sampai RM400 tetapi sejak beralih menjadi pencari bahan kitar semula, perolehan saya mencecah sehingga RM1,500 sebulan. 

Ketika mula mencebur diri dulu, memang terasa malu juga lebih-lebih lagi bila rakan tahu pekerjaan baru ini. Namun, demi rezeki halal dan menampung keperluan keluarga, saya buangkan rasa malu itu, katanya sambutan Aidilfitri tahun ini paling bermakna buatnya sekeluarga kerana mampu membeli pelbagai peralatan, termasuk pakaian baru untuk dua anak berusia satu dan tiga tahun.