Showing posts with label retak. Show all posts
Showing posts with label retak. Show all posts

Tuesday, January 18, 2011

Bencana menunggu


Oleh Md Fuzi Abd Lateh
mdfuzi@bharian.com.my
2011/01/18

PENGHUNI khuatir blok K Pangsapuri Seri Trompet yang retak bakal runtuh bila-bila masa.
PENGHUNI khuatir blok K Pangsapuri Seri Trompet yang retak bakal runtuh bila-bila masa.
Pangsapuri Seri Trompet retak, tak selamat didiami 

BUKIT BERUNTUNG: Penduduk di blok E dan K, Pangsapuri Seri Trompet, dekat sini merayu pihak bertanggungjawab menangani segera masalah keretakan rumah mereka sejak lima tahun lalu.Kebimbangan itu disuarakan 23 keluarga yang menetap di situ yang memerlukan perhatian pelbagai pihak khususnya pemaju perumahan.Penyelia pangsapuri, Azizan Abdullah berkata, bangunan pangsapuri itu sudah tidak selamat didiami dan penghuninya perlu dipindahkan segera bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku. 

Katanya, jika dilihat pada keadaannya sekarang, bangunan itu sudah tidak kukuh dan mungkin akan runtuh pada bila-bila masa bergantung kepada struktur sokongan yang tinggal. 

"Keretakan di bangunan Blok K kelihatan lebih serius dan lapan keluarga yang mendiaminya akan berdepan bencana jika pihak bertanggungjawab gagal mengambil langkah awal memindahkan mereka. 

"Selain itu, 15 lagi keluarga di Blok E juga wajar mendapat perhatian sama berikutan cuaca yang tidak menentu termasuk ribut yang melanda kawasan sekitar, boleh memudaratkan mereka" katanya kepada Sentral di sini semalam. 
Azizan berkata, keretakan bangunan terbabit bukan saja berlaku di bahagian koridor dan lantai setiap tingkat bangunan itu, malah dinding ruang tamu rumah dan membentuk ruang sebesar dua sentimeter. 

Katanya, berlaku mendapan tanah pada lantai bahagian bawah bangunan lima tingkat itu sehingga membentuk lubang. 

Beliau berkata, 11 blok pangsapuri itu kebanyakannya menampakkan kesan keretakan yang ketara. 

“Saya musykil apabila melihat pelan pembinaan pangsapuri yang tidak mengandungi pelan binaan bagi Blok K,” katanya. 

Sementara itu, Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri terbabit, Mohd Rodi Md Nor, 38, mendesak pihak berwajib memindahkan penduduk ke kediaman lebih selamat bagi mengelak kejadian buruk. 

"Bukan saja kami mahu dipindahkan ke tempat selamat, tetapi penempatan kami perlu digantikan memandangkan bangunan ini sudah tidak selamat didiami,” katanya. 

Mohd Rodi berkata, daripada 11 blok Pangsapuri Seri Terompet, ada 150 unit yang tidak terjual dan selamat untuk didiami, sekali gus sesuai untuk memindahkan keluarga yang berdepan masalah itu. 

Bagaimanapun, katanya, rumah berkenaan tidak dilengkapi sistem pendawaian elektrik dan tidak diketahui kesempurnaan sistem salirannya. 

"Semua unit kosong itu, tidak ada bekalan elektrik dan air. Kami memohon pihak bertanggungjawab dapat memastikan semuanya dapat dibaiki dan dipasang sepenuhnya sebelum penduduk dipindahkan," katanya. 

Keluhan penduduk pangsapuri terbabit turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan yang melawat mereka di sini. 

Kamalanathan berkata, beliau akan mengambil langkah awal untuk memindahkan segera semua penduduk yang terbabit. 

Beliau berkata, perbincangan bersama pihak berkaitan juga akan diadakan segera bagi memastikan segala aspek dan keperluan dipenuhi serta diselesaikan sebaiknya. 

Monday, December 6, 2010

Kecewa rumah retak tidak dibaiki




NOR AKMA menunjukkan rumahnya yang mengalami kerosakan kerana kerja-kerja pembaikan tanah di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang semalam.




KUALA LUMPUR - Seorang pemilik butik, Nor Akma Mohd. Desa kecewa dengan sikap Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang tidak menunaikan janji untuk membaiki rumahnya yang rosak ekoran kerja-kerja pembaikan dan pemuliharaan kawasan tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang dua tahun lalu.
Kejadian tanah runtuh pada 6 Disember 2008 itu mengorbankan lima nyawa dan memusnahkan 14 buah banglo di Taman Bukit Mewah kecuali rumah Nor Akma.
Nor Akma, 48, mendakwa, sebahagian besar struktur dalaman rumahnya retak ekoran kerja-kerja pembesaran longkang di belakang rumah sebaik sahaja kerja-kerja pembersihan tanah runtuh selesai.
"Seluruh rumah bergegar ketika kerja-kerja pembesaran longkang dijalankan dan selepas projek siap, saya dapati dinding dan lantai retak," katanya ketika ditemui pada majlis memperingati kejadian berkenaan di Pusat Jawatankuasa Penduduk Zon 5 Bukit Antarabangsa dekat sini semalam.

Thursday, October 21, 2010

Dinding laluan atas retak



SEREMBAN - Beberapa retakan kecil yang berlaku di dinding laluan atas membabitkan jalan Seremban - Tampin, dekat sini menimbul persoalan sejauh mana keselamatan pengguna kenderaan yang melalui laluan berkenaan. Jalan baru yang dibuka sejak empat bulan lalu, kini dilihat berisiko apabila banyak batu-batu kecil di dinding utama jalan tersebut pecah dan jatuh ke bawah. 

Selain itu, kejadian itu turut menimbulkan persoalan sejauh mana kualiti laluan atas berkenaan dibina. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senawang, P.Gunasekaran berkata, pihaknya menerima beberapa aduan orang ramai berhubung retakan di laluan berkenaan, sekali gus mengundang risiko terhadap pengguna jalan raya. 

Menurutnya, pihak berkuasa seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) digesa supaya membuat pemeriksaan di dinding laluan setinggi kira-kira 15 meter sebelum kejadian tidak diingini berlaku. 

"Dinding batu itu dipercayai tidak mampu menampung bebanan laluan berkenaan yang merupakan jalan utama dari Seremban ke Tampin. Mungkin disebabkan benanan atas terlalu berat, dinding penghadang ini tidak mampu menampungnya," katanya. 

Menurutnya, banyak batu-bata kecil di permukaan dinding itu jelas retak dan pecah dan perkara itu tidak seharusnya berlaku memandangkan laluan itu baru dibuka kira-kira empat bulan lalu. 

“Malah, kita dapati beberapa kayu kecil dibuat penghadang supaya kepingan batu itu dapat bertahan dan tidak terkeluar daripada tempatnya,” katanya ketika membuat tinjauan di kawasan itu, semalam. 

Hadir sama, ADUN Mambau, Wong May May dan ADUN Temiang, Ng Chin Tsai. 

Gunasekaran berkata, pihaknya sudah menghubungi JKR pusat di Kuala Lumpur untuk memaklumkan perkara ini, tetapi mereka dimaklumkan JKR akan menghantar wakil untuk memantau perkara ini. 

Sementara itu, May May berkata, walaupun keadaan itu nampak agak kecil, tetapi risiko yang dihadapi pengguna jalan raya sebenarnya besar. 

“Jika kita tidak atasi masalah ini dari awal, kita khuatir ianya akan menjadi lebih teruk pada masa hadapan," katanya. 

Sementara itu, Pegawai JKR negeri (Pengurus Projek), Ir Norazman Ismail ketika dihubungi memberitahu, JKR sudah pun sedia maklum mengenai perkara itu. 

Menurutnya, arahan sudah pun diberi kepada kontraktor bertanggungjawab bagi memperbaiki masalah yang timbul dengan segera.