Laman web Softmedia melaporkan sekumpulan remaja di China berjalan sambil menarik sayur kubis bagi mengatasi tekanan dan depresi yang dihadapi mereka.
Menurut laman web tersebut, beberapa imej dirakam menunjukkan remaja tersebut menarik kubis sambil berjalan sempena festival muzik midi yang diadakan di Beijing.
Pakar psikiatri di Universiti Beijing, Wen Chao, memberitahu amalan pelik tersebut bukanlah satu trend baharu yang dilakukan remaja di negara tersebut, tetapi ia adalah salah satu tindakan yang dipercayai boleh menjadi medium untuk menyalurkan tekanan emosi yang dialami mereka.
“Ini bukanlah satu trend pelik yang baharu diwujudkan, tetapi ia lebih kepada seni jalanan yang pada masa sama dipercayai memberi ketenangan kepada sesetengah remaja yang menghadapi depresi.
“Remaja yang terlibat dalam aktiviti tersebut sebenarnya telah mempersembahkan satu bentuk seni jalanan yang diilhamkan seorang pengamal seni ternama di Beijing, Han Bing,” katanya.
Penjelasan kukuh tentang saling kaitan tindakan tersebut dengan terapi fikiran tidak dapat dipastikan, tetapi Han Bing mengakui beliau telah melakukannya hampir 14 tahun dan menegaskan berjaya menyalurkan tenaga negatif melaluinya.
“Sayur kubis adalah simbol kesyukuran dan rezeki oleh sesetengah masyarakat di Beijing. Sayur tersebut adalah antara makanan ruji golongan miskin,” katanya.
Ramai yang turut serta dalam seni jalanan tersebut mengakui tindakan mereka untuk turut serta dalam acara pelik itu adalah kerana ingin cuba menyalurkan rasa sunyi dan kemurungan yang dialami.
Tindakan tersebut mengejutkan ramai orang tetapi bagi Lui Ja Chen, 17, acara menarik kubis sambil berjalan adalah satu kaedah terapi yang membantunya untuk pulih daripada depresi.
“Segala perspektif dan tenaga negatif dapat disalurkan kepada kubis itu. Dengan berjalan bersama sayur tersebut, saya rasa lebih tenang.
“Ia seperti membawa haiwan peliharaan bersiar-siar. Apa yang membezakan ia tidak mengeluarkan bunyi atau menyalak seperti anjing dan tidak perlu diberi makan,” ujarnya. – AL FAIZAL