Saturday, September 25, 2010

Rakyat 'sudah muak' mengenai krisis istana Kelantan



Oleh
Darwis Said 

LEBIH satu tahun empat bulan sudah berlalu tetapi keadaan keluarga diraja Kelantan masih bergolak sejak ia mula tercetus pada Mei tahun lalu.
Kecelaruan dalaman Istana Kelantan umumnya berpunca daripada persengketaan antara pihak yang menyokong Tengku Mahkota, Tengku Muhammad Faris Petra ibni Sultan Ismail Petra sebagai pengganti raja dengan penyokong adiknya, Tengku Muhammad Fakhry, yang juga Tengku Temenggong Kelantan, serta ibu mereka, Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.Namun, satu lagi krisis tercetus baru-baru ini berikutan istiadat pemasyhuran Tengku Muhammad Faris, yang berusia 41 tahun pada 6 Oktober ini, sebagai sultan baru Kelantan sekitar dua minggu lalu.Nama rasmi beliau kini Sultan Muhammad V.Kali ini tentangan terhadap pelantikan beliau sebagai sultan datang daripada ayahnya sendiri, Sultan Muhammad Ismail Petra ibni Sultan Yahya Petra, 60 tahun.Apa isunya?Isnin lalu sekumpulan peguam yang dikatakan mewakili bekas Sultan Ismail Petra mendakwa bahawa pemasyhuran anak sulungnya itu sebagai sultan pada 13 September lalu tidak sah dari segi perlembagaan.Mereka berkata pemasyhuran itu akan dicabar di mahkamah kelak.'Tuanku Ismail Petra masih Sultan dan kami akan meminta campur tangan Mahkamah Persekutuan,' kata salah seorang peguam itu, Datuk Param Cumaraswamy, dalam satu sidang media di Kuala Lumpur baru-baru ini.Beliau mahu mahkamah mengisytiharkan Sultan Ismail Petra sebagai sultan Kelantan yang sah.Pelantikan Tengku Muhammad Faris sebagai sultan Kelantan ke-29 diputuskan oleh Majlis Perajaan Negeri (MPN) Kelantan pada 13 September lalu.Pemasyhuran beliau diumumkan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang juga Mursyidul Am Parti Islam SeMalaysia (PAS), pada hari yang sama.Istiadat pemasyhuran itu berjalan selama 15 minit, dengan Datuk Nik Abdul Aziz membacakan ayat-ayat suci Al-Quran.Anggota keluarga diraja dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kelantan berkumpul di Istana Balai Besar di Kota Bharu untuk menyaksikan upacara pemasyhuran itu.Pelantikan Tengku Muhammad Faris disokong kerajaan Kelantan, yang diterajui PAS, dan kebanyakan ahli politik Umno Kelantan.Lantas, hubungan antara sultan baru itu dengan kerajaan serta ahli politik negeri itu boleh dianggap utuh.Sumber-sumber, bagaimanapun, berkata Sultan Ismail Petra, yang menghidap penyakit angin ahmar, dan permaisurinya, Tengku Anis, serta Tengku Muhammad Fakhry, yang merupakan anak lelaki ketiga, dan seorang anak perempuan mereka, Tengku Amalin, tidak hadir.Namun, anak lelaki kedua pasangan diraja itu, Tengku Bendahara Tengku Muhammed Faiz Petra, dan anggota diraja lain, termasuk kakak-kakak bekas sultan - Tengku Rozan Petra and Tengku Salwani Petra - menghadiri majlis tersebut.Kebanyakan kerabat diraja, khususnya daripada bekas sultan itu, hadir bagi menyatakan sokongan mereka.Paling menyerlah ialah kehadiran Tengku Abdul Halim Sultan Ibrahim Petra, anggota paling kanan keluarga bangsawan yang juga pengerusi MPN Kelantan.Ini kerana beliau dianggap sebagai kerabat tertua istana dengan pangkat Tengku Laksamana.Namun, Tengku Muhammad Faris masih perlu menghadapi keributan yang dijangka bertiup kencang ke arah kerabat istananya itu ekoran beberapa isu yang ditimbulkan berhubung pelantikan beliau sebagai sultan.Walaupun pelantikan beliau dipertahan oleh MPN Kelantan sebagai 'mengikut perlembagaan di bawah undang-undang tubuh kerajaan negeri', sekumpulan peguam yang mewakili bekas Sultan Ismail mengutarakan pandangan berbeza.Pandangan itu disuarakan kali pertama melalui satu kenyataan media oleh firma guaman Rashid Zulkifli sejurus selepas majlis pelantikan tersebut.Datuk Cumaraswamy dalam sidang media Isnin lalu berkata bahawa istiadat pemasyhuran itu menjejas kedudukan bekas sultan itu.Beliau mahu Mahkamah Persekutuan mendengar dua persoalan yang ditimbulkannya berhubung kuasa penuh Tengku Mahkota, ketika mengambil alih tugas Sultan Kelantan, dalam melantik semula anggota MPN dan meminda perlembagaan negeri itu hingga membolehkan beliau menaiki takhta.Datuk Cumaraswamy berkata wujudnya dua isu perundangan itu ekoran pindaan perlembagaan negeri dan pelantikan Tengku Mahkota sebagai sultan Kelantan baru.Lantaran itu, tiga petisyen telah difailkan di Mahkamah Persekutuan oleh peguam yang mewakili bekas Sultan Ismail Petra, iaitu:
  •  Pertama, bahawa masanya terlalu awal bagi Tengku Muhammad Faris mengambil alih kuasa yang diberi kepada sultan memandangkan isu itu sedang dipertimbang oleh Mahkamah Persekutuan.

  •  Kedua, bahawa status MPN sendiri masih dipertikai dan persoalan timbul terhadap langkahnya memilih dan melantik Tengku Mahkota itu sebagai sultan baru.

  •  Ketiga, bahawa pandangan Mahkamah Persekutuan diminta berhubung apakah Tengku Muhammad Faris sebagai Tengku Mahkota dan Pemangku Sultan mempunyai kuasa di bawah perlembagaan negeri untuk membuat pindaan.
    Semasa dihubungi akhbar Berita Harian, seorang peguam yang mendakwa mewakili bekas Sultan Ismail Petra berkata Mahkamah Persekutuan akan mendengar tiga petisyen itu pada 25 Oktober ini.Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut perihal tiga petisyen itu atas alasan ia telah dibawa ke mahkamahKetika dihubungi kelmarin untuk diminta mengulas mengenai tindakan pasukan bekas sultan itu, seorang anggota MPN Kelantan, Datuk Mohd Shukri Mohamad, yang juga seorang peguam, berkata mereka mungkin gagal membaca perlembagaan dengan teliti.'Di bawah artikel dua, di bawah bahagian tafsiran... dalam Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan, apabila mentafsirkan perkataan 'ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku', atau perkataan 'ke Duli Yang Maha Mulia Tuanku' disertakan di mana-mana bahagian perlembagaan, ia termasuklah pemangku Raja.'Bermakna bahawa di bawah peruntukan ini kuasa seorang pemangku raja sama seperti kuasa seorang sultan, kecuali dalam beberapa perkara yang disebut dengan jelas,' kata Datuk Mohd Shukri.Sedang beliau enggan mengulas dua petisyen pertama yang ditimbulkan Datuk Cumaraswamy itu, Datuk Mohd Shukri berkata Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) yang sudah dipinda dengan izin dan persetujuan Majlis Penasihat Raja (MPR) membolehkan istilah 'Yang Maha Mulia' disamakan dengan Pemangku Raja Kelantan.Mengenai petisyen ketiga pula, Datuk Mohd Shukri berkata sehingga kelmarin pihaknya 'masih belum menerima apa-apa dokumen' dan hanya mengetahui mengenainya apabila ia disiarkan di media.Beliau juga mempersoal dakwaan bahawa petisyen itu bakal didengar di Mahkamah Persekutuan pada 25 Oktober.'Saya berada di Mahkamah Persekutuan semalam (Rabu lalu), saya periksa rekod-rekodnya, tak ada. Sampai hari ini (2 petang, 23 September) ke bawah Duli Tuanku masih belum terima (dokumen petisyen ketiga itu) dan kerajaan negeri pun masih belum menerimanya lagi,' kata Datuk Mohd Shukri.Namun, yang jelas kemelut keluarga diraja Kelantan - kali ini perihal isu penggantian sultan negerui itu - bakal menghiasi lagi dada-dada akhbar setempat dalam beberapa minggu mendatang.Usah dibiar berlanjutanPara pemerhati yang dihubungi berkata bahawa rakyat Kelantan semakin mual dengan krisis yang melanda keluarga diraja mereka.'Mereka mahukan isu itu dan keadaan bercelaru dalam keluarga diraja segera diselesaikan, dan pentadbiran negeri dijalankan seperti sedia kala,' kata pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang, Dr P. Sivamurugan.Akur dengan pandangan itu, Datuk Mohd Shukri berkata: 'Isu kesultanan di Kelantan ini, yang berkaitan dengan istana ini, sudah berlanjutan selama satu tahun empat bulan. Rakyat sudah naik muak.'Ia seharusnya menemui tanda noktah demi menjaga kepentingan institusi raja, dan demi menjaga nama baik badan tubuh ke bawah Duli Sultan Ismail dulu, dan Tuanku sekarang serta kesemua ahli keluarganya.'Oleh itu, MPN perlu mencari jalan penyelesaiannya dan Tuanku Muhammad Faris juga perlu menjaga nama baiknya dalam mentadbir negeri, katanya.'Beliau mempunyai tanggungjawab undang-undang, tanggungjawab kepada perlembagaan dan rakyat, bukan sahaja kepada keluarga.'Dalam hal ini, keutamaan kepada perlembagaan, rakyat dan negeri adalah lebih penting daripada keluarga,' tambah Datuk Mohd Shukri.Saya fikir mungkin itu laluan terbaik bagi Kelantan.**** **** ****ISU YANG DIPERTIKAI

  • Para peguam bekas Sultan Ismail Petra Sultan Yahya Petra mendakwa:
    - Istiadat pemasyhuran Tengku Muhammad Faris ibni Sultan Ismail Petra sebagai Sultan Kelantan ke-29 13 September lalu dijalankan walaupun isu-isu perundangan berhubungnya masih dipertimbang di Mahkamah Persekutuan.- Langkah itu menjejas kedudukan bekas sultan itu dan tidak sah dari segi perlembagaan.- Terlalu awal bagi Tengku Muhammad Faris, yang sebelum ini Tengku Mahkota, mengambil alih kuasa yang diberi kepada sultan memandangkan isu itu sedang dipertimbang oleh Mahkamah Persekutuan.- Status Majlis Perajaan Negeri (MPN) sendiri masih dipertikai dan persoalan timbul terhadap langkahnya memilih dan melantik Tengku Mahkota itu sebagai sultan baru.- Apakah Tengku Muhammad Faris sebagai Tengku Mahkota dan Pemangku Sultan mempunyai kuasa di bawah perlembagaan negeri untuk membuat pindaan, dan mereka meminta pandangan Mahkamah Persekutuan berhubung perkara itu.

  • MPN mendakwa:
    - Pemasyhuran Tengku Muhammad Faris sebagai Sultan Kelantan ke-29 tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah.- Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Kedua) boleh dan sudah dipinda Pemangku Raja Kelantan dengan izin Majlis Penasihat Raja (MPR).- Dua petisyen pertama yang didakwa sudah difail firma Rashid Zulkifli di Mahkamah Persekutuan bagi pihak Sultan Ismail Petra tidak relevan dengan isu apakah pindaan-pindaan itu sah atau tidak.- Pelantikan firma Rashid Zulkifli sebagai peguam Sultan Ismail Petra dipertikai dan sedang dicabar kerana kegagalan mengemuka keterangan perubatan bagi membuktikan Sultan Ismail Petra mempunyai keupayaan yang diperlukan untuk mengarah firma itu bertindak bagi pihaknya. 

  • Wanita jalani hukuman mati kerana bunuh suami

    LUAR NEGARA




    JARRATT (Virginia): Teresa Lewis, 41 tahun, wanita yang merancang bersama kekasihnya membunuh suami dan anak tirinya bagi mendapatkan wang insurans berjumlah AS$250,000 ($332,000), menjalani hukuman mati kelmarin.
    Dia menjadi wanita pertama dihukum mati di Virginia dalam tempoh hampir 100 tahun, kata seorang pegawai penjara.Lewis meninggal dunia pada 9.13 malam selepas diberi suntikan maut di Penjara Greensville di Jarratt.Lewis dikatakan mengumpan dua lelaki dengan seks, wang tunai dan sebahagian wang pampasan insurans untuk membunuh suaminya, mendiang Julian Clifton Lewis Jr, 51 tahun, dan anak tirinya, Charles, 25 tahun, pada Oktober 2002.Kedua-dua penyerang, Matthew Shallenberger dan Rodney Fuller, masuk ke bilik tidur yang tidak berkunci sekitar 3.15 pagi lalu menembak kededua mangsa.Lewis mengaku dia dan kekasihnya, Shallenberger, merancang pembunuhan itu untuk mendapatkan wang insurans.Kedua-dua penembak itu dikenakan hukuman penjara seumur hidup tetapi Shallenberger membunuh diri dalam penjara pada 2006. -- AP, AFP.

    Dibebas daripada tahanan dan diusir Malaysia

    SINGAPURA




    KEMENTERIAN Dalam Negeri Malaysia membatalkan perintah tahanannya ke atas Mas Selamat Kastari pada 10.30 pagi semalam, menurut satu kenyataan Polis Malaysia semalam.
    Namun, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia di Bukit Aman tidak memberi butir-butir lain mengenai penyerahan kembali ketua Jemaah Islamiyah (JI) Singapura itu kepada pihak berkuasa di sini semalam.Ketika dihubungi Berita Harian, Pengarah Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi/Counter Terrorism) Polis Malaysia, Dato' Mohamad Fuzi Harun, setakat menyatakan melalui kenyataan ringkas bahawa Mas Selamat 'telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan pengusiran pada hari yang sama'.Menurut beliau, Mas Selamat, 49 tahun, telah dibebaskan daripada tahanan dan akan diusir dari Malaysia.Perintah tahanan ke atas Mas Selamat di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dibatalkan oleh Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, bermula semalam.Mas Selamat ditahan di Malaysia di bawah ISA menyusuli penangkapan semulanya di Johor pada 1 April 2009.Dia bersembunyi di Johor selepas meloloskan diri dari Pusat Tahanan Whitley Road di Singapura pada Februari 2008.Pada Disember 2001 Mas Selamat melarikan diri dari Singapura bagi mengelak daripada ditahan selepas pemerintah Singapura melancarkan satu operasi keselamatan bagi membanteras JI.Mas Selamat antara orang yang merancang serangan balas terhadap Singapura kerana menahan dan menangkap rakan anggota JI-nya.Mas Selamat turut merancang merampas sebuah pesawat dan merempuh Lapangan Terbang Changi tetapi melarikan diri ke Indonesia untuk mengelak daripada ditahan.Dia ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia pada Februari 2003 kerana kesalahan memiliki dokumen pengenalan palsu.Dia kemudian dipenjara 18 bulan atas kesalahan imigresen sebelum ditahan di bawah ISA oleh Singapura pada 2006.

    M'sia serah Mas Selamat kepada Singapura

    SINGAPURA



    MHA sampaikan penghargaan mendalam kepada pihak KL; ketua JI setempat ditahan di bawah ISA


    SETELAH melarikan diri daripada tahanan Singapura lebih dua setengah tahun lalu sebelum ditangkap di Malaysia beberapa bulan kemudian, Mas Selamat Kastari diserahkan kembali oleh pihak berkuasa Malaysia kepada Singapura semalam.
    Ketua Jemaah Islamiyah (JI) Singapura itu ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Singapura dan kini disiasat, menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) semalam.MHA menyampaikan penghargaan mendalam kepada pihak Malaysia, Cawangan Khas dan Pasukan Bertindak Khas negara itu di atas penangkapan dan penyerahan kembali Mas Selamat kepada Singapura.'Operasi ini memaparkan kerjasama rapat yang lama wujud antara agensi keselamatan Malaysia dan Singapura, yang bermanfaat bagi kededua negara,' ujar MHA dalam satu kenyataan ringkas tanpa memberi butir-butir lanjut.Mas Selamat, 49 tahun, melarikan diri dari Pusat Tahanan Whitley Road pada 27 Februari 2008, yang mencetuskan satu usaha pencarian besar-besaran dan diikuti dengan siasatan mengenai bagaimana perkara itu boleh berlaku.Ekoran kerjasama rapat antara agensi keselamatan Malaysia dan Singapura, Cawangan Khas Malaysia menangkap Mas Selamat di Johor pada 1 April tahun lalu dan ditahan di Malaysia sehingga diserahkan kepada Singapura semalam.Mas Selamat dianggap antara pengganas paling merbahaya di rantau ini dan dikatakan sedang merencana serangan ke atas Singapura apabia dia ditangkap semula di Malaysia.Selepas meloloskan diri dari Pusat Tahanan Whitley Road pengganas itu dikatakan menyeberang ke Johor dengan berenang.Menyusuli penangkapan Mas Selamat di Malaysia, Menteri Ehwal Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, menjelaskan bahawa kerajaannya tidak menyerahkan dia kepada Singapura kerana pemimpin JI itu turut membawa ancaman ke atas Malaysia dan negara-negara jiran, serta mengancam keselamatan orang ramai.Isu penangkapan semula Mas Selamat antara topik utama yang dibincang dalam pertemuan antara Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan rakan sejawatannya dari Malaysia, Datuk Seri Najib Razak, tahun lalu.Dalam pertemuan terbaru dua pemimpin itu di sini minggu lalu bagi membincangkan isu dua hala, tidak dinyatakan apakah isu Mas Selamat ditimbulkan lagi.Selepas ditangkap di Malaysia, Mas Selamat dikatakan ditahan di sebuah kem tahanan di Kamunting, Perak.Dalam wawancara dengan Berita Harian awal tahun ini, Ketua Polis Negara (IGP) Malaysia ketika itu, Tan Sri Musa Hassan, mendedahkan bahawa sebaik saja melarikan diri dari Singapura, Mas Selamat merancang melakukan pengeboman di Singapura dan Malaysia.Menurut beliau, pemimpin JI itu hanya menanti 'orang-orangnya' datang ke Malaysia sebelum mengebom sasaran-sasaran tertentu di kedua-dua negara.Dalam kenyataan semalam, MHA turut berkata: 'MHA juga menghargai dan mengucapkan terima kasih kepada warga Singapura atas sokongan dan bantuan mereka ketika usaha mencari Mas Selamat dijalankan.'

    Izzah ajak Tun M debat



    SHAH ALAM – Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar bersedia untuk berdebat dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kenyataan negarawan itu bahawa orang Melayu akan kehilangan kuasa dan ‘suara’ jika Pakatan Rakyat (PR) menjadi pemerintah negara.

    “Dengan matlamat untuk bertukar pendapat, demi mewujudkan ‘Malaysia Yang Lebih Baik Untuk Semua Rakyat’, saya dengan rendah hati membuat tawaran untuk berdebat dengan Tun Dr Mahathir supaya ‘kebimbangan’ Melayu (yang pastinya tidak melibatkan keseluruhan masyarakat) dapat dijelaskan, samaada keranaTakut Melayu Hilang Kuasa atau Hilang Harta?,” katanya.

    Nurul Izzah turut menyifatkan kenyataan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab dan sebahagian usaha terdesak untuk menjejaskan kestabilan negara dan memainkan api perkauman.

    Tiga punca Melayu hilang kuasa

    Tiga punca Melayu hilang kuasa


    KUALA LUMPUR - Ingatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa orang Melayu akan kehilangan kuasa dan suara sekiranya pembangkang berjaya memerintah negara adalah benar berasaskan fakta politik, rekod pemerintahan dan Perlembagaan.

    Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, politik ialah bilangan iaitu siapa yang mempunyai majoriti akan diharap menerajui pimpinan dan kerajaan, manakala realiti yang tidak boleh dinafikan ialah sesebuah negara itu diperintah mengikut rekod dan tuntutan Perlembagaan.

    “Apa yang dizahirkan oleh Tun Dr Mahathir bahawa sekiranya pihak pembangkang yang berselera tajam sekarang memerintah orang Melayu, akan hilang kuasa adalah satu kebenaran.

    “Kenyataan itu saya nilaikan sebagai satu ingatan yang sangat tajam dan setiap orang yang bernama orang Melayu harus berfikir dan sekiranya tidak (berfikir) janganlah nanti disalahkan orang lain,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Dr Mahathir itu pada sidang media, selepas menjadi tetamu bicara khas penghayatan Rukun Negara bersama Radio Klasik Nasional di Wisma Angkasapuri di sini, semalam.

    Hadir sama, Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahya.

    Dalam wawancara khas yang dipetik daripada laman web :www.umno-online.com: Dr Mahathir juga dilaporkan berkata, jawatan sebagai Perdana Menteri di negara ini bukan ‘dikhaskan’ buat orang Melayu atau beragama Islam sahaja sebaliknya ia tertakluk kepada sokongan rakyat ke atas seseorang pemimpin.

    Katanya, undang-undang dan Perlembagaan juga tidak mampu menghalang orang Cina atau India untuk menjadi Perdana Menteri, sekiranya mempunyai sokongan.

    Rais berkata, atas faktor itu beli au sependapat dengan Dr Mahathir bahawa sebagai penduduk majoriti di negara ini orang Melayu harus beranggapan bahawa kuasa itu tidak seharusnya hilang daripada tangan mereka.

    “Jadi, kalau anggapan itu sudah tidak lagi dipakai, maka orang Melayu sendiri akan menerima padahnya dan mereka harus menerima di masa akan datang, mungkin jawatan Perdana Menteri bukan lagi milik orang Melayu.

    “Mungkin apa yang dirasai oleh Raja-Raja Melayu dan diterima oleh orang-orang Melayu juga tidak lagi berada di tahap yang ada sekarang,” katanya. - Bernama