Tuesday, January 17, 2012

Anwar, Pakatan tidak pernah halal homoseks

Anwar Ibrahim

SHAH ALAM - Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dibebas dan dilepaskan daripada tuduhan meliwat minggu lalu menegaskan beliau, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Rakyat tidak menganjurkan, membenarkan ataupun menghalalkan homoseksualiti.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Ahmad Kasim berkata, bagaimanapun Anwar berpendirian bahawa undang-undang lapuk yang tidak berlandaskan syarak serta menzalimi rakyat Malaysia wajar disemak.

"Undang-undang lapuk dan zalim, malah boleh digunakan sewenang-wenangnya oleh kekuasaan untuk menghalalkan fitnah jelik ke atas sesiapapun," katanya.

Oleh itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Kedah berkata, beliau ingin menyeru supaya semua pihak merujuk kenyataan atau jawapan tersebut dan tidak dipengaruhi dakyah jahat media Umno.

"Justeru saya juga menyeru agar jangan sesiapapun bersekongkol subahat memintal fitnah ini kononnya atas nama perjuangan Islam."Perjuangan Islam tidak sama sekali membenarkan fitnah sedemikian," katanya lagi.

Kata beliau, susulan pembebasan Anwar minggu lalu, media yang dikongkong Umno terus memintal fitnah baru demi menjejaskan wibawa beliau sebagai seorang Muslim, rakyat Malaysia dan pemimpin Pakatan Rakyat.

"Beberapa hari kebelakangan ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilontar pula dengan tohmahan bahawa beliau mahu menghalalkan homoseksualiti di negara ini.

"Fitnah yang dipintal media Umno seperti Utusan Malaysia itu kononnya dipetik dari jawapan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditanya dalam satu wawancara BBC," katanya.

Tambah beliau, sekiranya diteliti jawapan Anwar itu, ternyata beliau tidak menyebut berhasrat mahu menghalalkan homoseksualiti di negara ini.

"Berdasarkan jawapan dan petikan itu, pertamanya, ditegaskan sebagai orang Islam, kita menjunjung kesucian hubungan perkahwinan antara lelaki dan perempuan," katanya lagi.

Anwar, Pakatan tidak pernah halal homoseks - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

“Jangan jadi kuda tunggangan Umno-BN” kata Pemuda PAS Selangor kepada Hasan Ali



KUALA LUMPUR, 17 Jan — Dewan Pemuda PAS Selangor menasihatkan Datuk Dr Hasan Ali agar “muhasabah diri” tentang pemecatannya dan bukan menyalahkan orang lain sehingga sanggup mendakwa wujud “parasit” dalam parti Islam itu.
Sayap pemuda parti itu juga menasihatkan Hasan agar memohon maaf kepada kepimpinan PAS dan jangan sesekali menggadai maruah diri dan menjadi kuda tunggangan Umno-Barisan Nasional (BN).
“Janganlah disebabkan oleh kehilangan jawatan dan kuasa menyebabkan maruah diri sanggup digadaikan dan diperkudakan oleh Umno-BN,” kata Timbalan Ketua Pemuda PAS Selangor Mohd Sany Hamzan.

Beliau berkata Hasan, bekas Pesuruhjaya PAS negeri sepatutnya menerima keputusan pemecatannya dengan hati terbuka.
“Sekiranya wujud parasit dalam PAS seperti yang disebut (Hasan), maka sewajarnya beliau membuat laporan kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk diambil tindakan susulan dan bukannya menjaja di dada-dada akhbar semata-mata untuk mengharapkan simpati.
“Sebagai orang yang pernah memegang jawatan tinggi di dalam PAS dan berpengalaman sebagai seorang ahli motivasi, Datuk Hasan sepatutnya berjiwa besar untuk menerima teguran dan keputusan parti serta mengikut prosedur parti untuk merayu keputusan pemecatan beliau,” katanya.
Bagaimanapun Mohd Sany menambah: “Tetapi beliau (Hasan) telah menunjukkan belang sebagai seorang yang egois, degil, sombong dan tidak boleh dikawal oleh peraturan parti.”
Semalam Hasan, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia berkata akan menjelajah ke seluruh negara untuk memberi penjelasan sebenar tentang pemecatannya selain mahu mendedahkan kumpulan “parasit” dalam PAS yang didakwanya telah memesongkan parti itu daripada landasan perjuangan Islam.
Kata Hasan, identiti kumpulan berkenaan hanya akan didedahkannya dalam program ceramahnya ke seluruh negara, bermula dua minggu depan.
Hasan dipecat keanggotaannya pada 8 Januari lalu kerana berulang kali mengeluarkan kenyataan dan pandangan yang bertentang dengan dasar parti Islam itu.
Ekoran pemecatan daripada PAS, Hasan turut digugurkan daripada jawatan exco kerajaan negeri Selangor.
Pengganti Hasan untuk jawatan exco akan diumumkan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim esok. RAKYAT MARHAEN: “Jangan jadi kuda tunggangan Umno-BN” kata Pemuda PAS Selangor kepada Hasan Ali:

'via Blog this'

'Usah salah polis jika disaman', Pas nasihat Hasan Ali


RUZY ADILA IDRIS
January 17, 2012
salahhuddin ayub
Teka-teki calon ganti Hasan Ali

SHAH ALAM – Dakwaan Datuk Dr Hasan Ali bahawa pemecatan beliau oleh Pas bersifat tidak adil dan tidak demokratik satu kenyataan tidak berasas dan "fitnah berat", kata beberapa pemimpin kanan parti Islam itu.

Jueteru, Naib Persiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, Hasan perlu berhenti membuat kenyataan seperti itu dan melihat peruntukan Perlembagaan Pas 82(9) yang digunakan jawatankuasa kerja pusat di mana tindakan ke atas beliau adalah berdasarkan fakta-fakta kes.

“Pada mesyuarat bulanan jawatankuasa kerja pusat, perkara itu diputuskan oleh parti, di mana saya juga terlibat dalam membuat keputusan.

“Kami (Pas) telah memberi peluang kepada beliau untuk mengemukakan rayuan dan jika beliau benar ingin menegak kebenaran, beliau sewajarnya menggunakan platform itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online, sebentar tadi.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man turut bersetuju dengan pandangan Salahuddin supaya Hasan mengemukakan rayuan jika tidak berpuas hati dengan tindakan tempoh hari.

Katanya, jika tidak puas hati, Hasan perlu mengemukakan rayuan dalam tempoh 30 hari yang diberikan kepada Majlis Syura dan jika rayuan tidak dikemukan, Pas menganggap beliau menerima tindakan pemecatan.

“Ambil contoh ini, jika kita memandu kereta tanpa cukai jalan dan ditakdirkan kita ditahan lalu disaman polis, adakah kita patut salahkan polis? Ini kerana kesalahan itu adalah disebabkan oleh kecuaian kita sendiri, sama seperti Hasan.

“Jadi, jangan salahkan orang lain apabila dikenakan tindakan dan saya tegaskan sekali lagi, pemecatan beliau merupakan masalah dalaman parti yang timbul dan tiada kena mengena dengan individu lain ataupun desakan luar,” katanya.

Ketika ditanya sekiranya Hasan mengemukakan rayuan, sejauh manakah kebarangkalian rayuan Hasan itu akan diterima, Tuan Ibrahim menambah, kenyataan dan tindakan Hasan perlu seiring.

“Beliau juga ada membuat kenyataan bahawa dalam hatinya akan tetap bersama Pas. Jadi Hasan perlu menunjukkan kesungguhan beliau untuk membaiki imej dan kedudukan beliau dalam parti,” katanya.

Ketika diminta mengulas isu yang sama, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali enggan mengulas lanjut kerana Hasan kini bukan lagi ahli Pas.

Pada sidang media di kediamannya semalam, Hasan mendakwa terdapat kumpulan berpengaruh dan menduduki jawatan penting dalam parti itu berbahaya dan kini giat merencana strategi kea rah mengubah asas perjuangan parti.

Hasan menegaskan, kumpulan ‘parasit’ itu semakin menguasai hala tuju Pas termasuk isu pemecatan beliau sebagai ahli Pas.

Hasan turut mendakwa pemecatannya bertentangan dengan prosedur dan tidak demokratik serta menyifatkannya sebagai tindakan “autokratik” pemimpin PAS kerana tidak memberikan ruang kepadanya untuk mempertahankan diri daripada tuduhan yang dia sendiri tidak jelas.

Dalam komennya, Salahuddin juga menambah, tuduhan Hasan itu adalah fitnah berat dan apa yang berlaku kepada dirinya tidak ada kena-mengena dengan orang lain ataupun desakan daripada pengaruh luar.

'Usah salah polis jika disaman', Pas nasihat Hasan Ali - Politik - Sinar Harian:

'via Blog this'

Pemuda Pas Selangor gesa Hasan Ali 'muhasabah diri'


WARTAWAN SINAR HARIAN
January 17, 2012

SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor menasihatkan Datuk Dr Hasan Ali supaya ‘muhasabah diri’ terlebih dahulu berhubung keputusan parti memecat keahliannya dan bukannya meletakkan kesilapan diri terhadap orang lain dengan mewujudkan fitnah ‘parasit'.

Timbalan Ketua Pemudanya, Mohd Sany Hamzan berkata, sekiranya wujud parasit dalam PAS seperti yang disebut, maka sewajarnya bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu wajar membuat laporan kepada Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk diambil tindakan susulan dan bukannya ‘menjaja’ di dada-dada akhbar semata-mata untuk mengharapkan simpati masyarakat.

"Sebagai orang yang pernah memegang jawatan tinggi dalam Pas dan berpengalaman sebagai seorang ahli motivasi, Datuk Hasan sepatutnya berjiwa besar untuk menerima teguran dan keputusan parti serta mengikut prosedur parti untuk merayu keputusan pemecatan beliau.

"Tetapi beliau telah menunjukkan ‘belang’ sebagai seorang yang egois, degil, sombong dan tidak boleh dikawal oleh peraturan parti," katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu kata beliau, Dewan Pemuda PAS Selangor melihat tindakan Hasan ingin menjelajah seluruh negara untuk 'membela’ diri dan mendedahkan parasit yang menyebabkan beliau dipecat hanya akan mendapat cemuhan dan cercaan masyarakat serta menghilangkan hormat rakyat ke atas beliau kerana rakyat telah mengikuti kronologi pemecatan beliau dan telah ‘mengenali’ siapa Hasan beliau yang sebenarnya.

"Dewan Pemuda PAS Selangor tidak akan berdiam diri, malah bersedia untuk menjelajah seluruh negeri Selangor untuk menjawab tohmahan dan fitnah Datuk Hasan terhadap Pas sekiranya beliau masih lagi memperlekehkan dan menghentam PAS secara terbuka," katanya lagi.

Mohd Sany menambah, Dewan Pemuda Pas Selangor mengharapkan semoga Hasan akan menyedari kesalahan dan kesilapan yang telah beliau lakukan terhadap Pas dan memohon maaf kepada seluruh pimpinan dan ahli parti itu "atas segala ketelanjuran dan keceluparan beliau sebelum ini."

"Janganlah disebabkan oleh kehilangan jawatan dan kuasa menyebabkan maruah diri sanggup digadaikan dan diperkudakan oleh Umno/Barisan Nasional," katanya yang juga Pengerusi Lajnah Politik dan Pilihan Raya Pemuda Pas Selangor.

Pemuda Pas Selangor gesa Hasan Ali 'muhasabah diri' - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Pengganti Hasan diketahui esok

SHAH ALAM: Tanda tanya siapa yang bakal menggantikan Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Hasan Ali hanya akan terjawab pada majlis angkat sumpah di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, di Istana Kayangan, Rabu ini.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri dan kepimpinan Pas pusat masih dalam perbincangan bagi menentukan calon yang layak menggalas jawatan Exco selepas Dr Hasan digugurkan daripada jawatan berkenaan, Jumaat lalu.


Katanya, pengganti Dr Hasan yang memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor hanya dibuat Rabu ini bagi mengelak spekulasi pihak tertentu mengenai calon baru.

“Kita tunggu Rabu ini untuk tahu pengganti Dr Hasan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan jabatan kerajaan negeri, di sini, semalam.

myMetro | Pengganti Hasan diketahui esok:

'via Blog this'

Mahu dedah ‘parasit’

KUALA LUMPUR: “Saya akan dedahkan siapa mereka dalam ‘roadshow’ saya nanti,” kata bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali mengenai ‘parasit’ yang didakwanya mempunyai pengaruh amat kuat dalam Pas hingga pucuk pimpinan parti itu terpaksa tunduk kepada mereka.

Hasan yang dipecat dari Pas baru-baru ini akan mengadakan ‘roadshow’ ke seluruh negara dalam tempoh terdekat bagi mendedahkan nama ketua dan pengikut golongan ‘parasit’ itu serta menjelaskan kedudukan sebenar berhubung isu pemecatannya.


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia itu turut digugurkan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hal-Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor berkuat kuasa semalam.

Hasan sebelum ini mendakwa terdapat sekumpulan parasit di dalam Pas yang lebih rela menghargai dan meraikan perjuangan orang lain, serta tidak suka isu arak dan murtad diperjuangkan di Selangor sebelum Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abd Rani Osman mencabar beliau mendedahkan senarai nama kumpulan ‘parasit’ itu, kelmarin.


Hasan berkata, kumpulan ‘parasit’ dalam Pas itu sudah bergerak cergas dan menyusup dalam parti sejak 20 hingga 30 tahun lalu dan kini semakin kuat dan ramai di antara mereka sudah memegang pelbagai penting dan strategik dalam parti.


Katanya, golongan ‘parasit’ dengan jumlah lebih besar dan menggunakan strategi licik berjaya mengubah hala tuju Pas termasuk dalam kes memecatnya.

“Saya tahu rangkaian mereka di peringkat daerah, negeri hinggalah antarabangsa. Saya akan dedahkan semuanya dalam ‘roadshow’ nanti,” katanya kepada pemberita pada sidang media di rumahnya, di sini, semalam.


Hasan turut mempertikaikan tarikh penggugurannya sebagai Exco kerajaan Selangor yang berkuat kuasa semalam kerana ia bercanggah dengan kuat kuasa keahliannya sebagai ahli Pas yang sepatutnya tamat pada hari akhir tempoh rayuan. “Tindakan tergesa-gesa itu seolah-olah menampakkan ada pihak tidak sabar-sabar mengeluar dan menggantikan tempat saya, sedangkan dari segi pengguguran anggota exco, saya sepatutnya masih ada tiga minggu lagi tempoh bertenang untuk membuat keputusan,” katanya. Hasan dipecat dari Pas kerana didakwa bertindak bertentangan dengan kepentingan parti dan sudah diberikan sehingga 7 Februari ini untuk membuat rayuan. Ditanya kemungkinan ada punca lain menyebabkan beliau dipecat, katanya, beliau tidak pasti kerana tidak pernah menerima sebarang surat pertuduhan secara bertulis daripada parti. “Saya tidak tahu kesalahan saya dan saya hanya dikatakan sudah merugikan parti,” katanya. Sementara itu, Hasan turut menyatakan pendiriannya tidak akan menyertai Umno kerana masih sayangkan Pas.

“Hati saya masih bersama Pas. Apabila semua ‘parasit’ di dalam Pas nanti sudah tidak ada dan Pas kembali ke perjuangan asalnya, saya akan memohon kembali menyertai Pas,” katanya.

myMetro | Mahu dedah ‘parasit’:

'via Blog this'

Sah, DRB-HICOM pemilik Proton


KUALA LUMPUR 16 Jan. - DRB-HICOM Bhd. hari ini muncul sebagai pemilik baharu Proton Holdings Bhd. (Proton) setelah memeterai perjanjian pembelian dan penjualan 42.74 peratus kesemua saham yang dipegang Khazanah Holdings Bhd. (Khazanah) pada harga RM1.291 bilion atau RM5.50 sesaham.

Pembelian itu menamatkan spekulasi penjualan syarikat nasional itu di dalam pasaran sejak lebih sebulan lalu.

Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar berkata, DRB-HICOM telah dikenal pasti sebagai pihak paling sesuai dan layak untuk menguasai Proton.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas perbincangan dan penilaian terperinci melibatkan pelbagai cadangan bagi memastikan prosesnya teliti.

Urus niaga yang masih tertakluk kepada kelulusan para pemegang saham DRB-HICOM tidak membabitkan sebarang liabiliti dan jaminan kerana ia akan diselesaikan melalui proses perniagaan seperti biasa.

Azman berkata, cadangan DRB-HICOM turut memperlihatkan penglibatan menyeluruh Proton dalam sektor automatif dan rangkaian kerjasama strategik di dalam dan luar negara.

Katanya, cadangan strategi dan pelan perniagaan konglomerat automotif itu menyediakan platform yang berkesan bagi memenuhi kemapanan Proton dan memenuhi keperluan pertumbuhan jangka panjang.

Azman menambah, DRB-HICOM juga mengemukakan harga tawaran yang boleh diterima kepada Khazanah.

Sementara itu, DRB-HICOM dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia berkata, harga yang ditawarkan mewakili 6.2 peratus premium pada harga tutup saham proton sebanyak RM5.18 pada hari Jumaat.

Katanya, harga yang ditawarkan itu mengambil kira premium masing-masing sebanyak 2.80 peratus, 12.70 peratus dan 26.73 peratus selama lima hari, sebulan dan tiga bulan kenaikan harga pasaran saham Proton termasuk harga saham pada Jumaat lalu sebanyak RM5.35, RM4.88 dan RM4.34 sesaham.

Ia juga berdasarkan nisbah harga kepada tempahan 0.56 kali berasaskan aset bersih yang diaudit Kumpulan Proton sehingga 31 Mac 2011 kira-kira RM5.406 bilion.

Saham Proton dan DRB-HICOM digantung hari ini sebagai memenuhi keperluan untuk membuat pengumuman tersebut.

Berikutan jumlah penguasaan yang melebihi 33 peratus, DRB-HICOM akan membuat tawaran am mandatori (MGO) untuk memiliki baki saham Proton yang belum dipegangnya.

Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Datuk Seri Mohd. Khamil Jamil dalam kenyataan berasingan melahirkan penghargaan kepada Khazanah di atas kepercayaan yang diberikan untuk mengemudikan Proton ke peringkat lebih tinggi.

Beliau berkata, DRB-HICOM telah meletakkan Proton dalam radarnya sejak 2009 dengan melaksanakan pelbagai kajian dan analisis kedudukan syarikat itu yang membawa kepada pembentukan Pelan Perniagaan Bersepadu bagi mewujudkan rantaian nilai automotif.

Mohd. Khamil berkata, MGO bakal menyediakan peluang kepada DRB-HICOM untuk meningkatkan pegangan ke atas syarikat pengeluar kereta nasional sekali gus menjadikannya anak syarikat.

Beliau menambah, pembelian Proton yang akan dibiayai melalui dana dalaman dan pinjaman, dijangka selesai pada suku kedua 2012.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

'via Blog this'