Saturday, March 12, 2011

Loji nuklear, loji minyak, lapangan terbang ditutup



RUMAH-RUMAH dibawa arus ke laut dan ada yang terbakar selepas tsunami dan gempa bumi melanda bandar Natori, Miyagi, Jepun, semalam. - REUTERS


TOKYO 11 Mac - Beberapa loji tenaga nuklear dan penapis minyak di Jepun ditutup hari ini dan sebuah kilang utama keluli terbakar selepas gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter menggegarkan negara ini sehingga mencetuskan tsunami, merosakkan jalan dan memutuskan bekalan elektrik ke kediaman dan bangunan perniagaan.
Gergasi elektronik, Sony Corp, antara pengeksport terbesar di Jepun, menutup enam buah kilang, lapor agensi berita Kyodo, sementara jet tentera udara diterbangkan ke kawasan pantai di timur laut untuk meninjau tahap kerosakan akibat gempa bumi itu.
Bank of Japan yang telah bergelut untuk merangsang ekonomi yang lesu berjanji untuk berusaha sedaya upaya bagi memastikan kestabilan pasaran kewangan berikutan kejatuhan mata wang yen dan pasaran saham Jepun.
"Terdapat kilang-kilang kereta dan semikonduktor di utara Jepun, kerana itu ekonomi sedikit sebanyak akan terjejas disebabkan kerosakan kilang," kata pakar ekonomi di Institut Penyelidikan Mizuho di Tokyo, Yasuo Yamamoto.
Syarikat tenaga, Hokuriku Electric Co berkata, ketiga-tiga reaktor di loji nuklearnya di Onagawa, utara Jepun tutup secara automatik selepas gempa bumi itu tetapi tiada kebocoran nuklear dilaporkan.
JX Nippon Oil & Energy Corp menghentikan operasi di tiga loji penapis minyak di Sendai, Kashima dan Negishi, manakala Electric Power Development (J-Power) juga menutup operasi di loji kuasa haba di Yokohama, lapor Jiji News.
Stesen televisyen melaporkan satu kebakaran besar di loji penapis minyak Cosmo Oil Co. di Chiba, ke timur Tokyo.
Satu lagi kebakaran dilaporkan di kilang keluli JFE Holdings, juga di Chiba. JFE ialah pengeluar keluli kelima terbesar di dunia.
Dua buah lapangan terbang utama Jepun, Narita dan Haneda turut ditutup selepas gempa bumi kuat melanda negara ini, sekali gus menyebabkan keadaan huru-hara di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Narita.
Selepas menyusut sedikit pada suku terakhir tahun lepas, ekonomi Jepun dijangka berkembang semula pada awal 2011 dengan peningkatan eksport dan pengeluaran industri, tetapi gempa bumi itu menimbulkan kemungkinan banyak sektor perniagaan utama terjejas teruk sekurang-kurangnya dalam jangka pendek. - Reuters
-utusan

Bertukar ganti ibu angkat



myMetro

PULANGLAH...Pegawai Penyelaras DUN Bandar Maran, Ching Eu Boon bersama Nur Fatin menunjukkan gambar Rosnani (gambar kecil).
PULANGLAH...Pegawai Penyelaras DUN Bandar Maran, Ching Eu Boon bersama Nur Fatin menunjukkan gambar Rosnani (gambar kecil).

KLANG: Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun bukan saja terpaksa menahan sedih terpisah daripada ibu kandung, malah sering bertukar ganti ibu angkat yang tidak sah di sisi undang-undang selama beberapa tahun.
Selepas enam tahun hidup terpisah ibu kandung, kini Nur Fatin Nadira Abdullah mencari ibu kandungnya dan mula bersekolah semula seperti remaja lain.

Masalah yang dihadapi Nur Fatin Nadira selama ini bukan saja kehilangan kasih sayang ibu kandung, tetapi juga ketiadaan sijil kelahiran dipercayai berada dalam simpanan ibu kandungnya.
Tanpa sijil berkenaan, gadis terbabit tidak boleh memohon MyKad, malah tidak boleh bersekolah atau menjadi anak angkat yang sah kepada mana-mana keluarga.

Kali terakhir Nur Fatin Nadira bertemu ibu kandungnya, Rosnani Hanifah, ketika berusia lapan tahun dan sering ditinggalkan di beberapa rumah jagaan kanak-kanak sebelum Rosnani hilang tanpa khabar berita.

Gadis itu yang dilahirkan pada 10 Oktober 1997 tidak dapat mengingati dengan jelas memori bersama Rosnani disebabkan faktor usianya yang masih kecil ketika itu dan Rosnani yang berusia awal 40-an kini sering ke luar bandar untuk jangka masa lama. Apatah lagi jika ingin mengingati bapa kandungnya yang tidak pernah bertemu.
“Selepas saya lahir, ibu tinggalkan saya pada kawannya, Zubaidah Nazrul. Dia minta supaya menjaga saya buat sementara waktu. Selepas itu, nenek (ibu angkat Rosnani) pula menjaga saya,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Perkhidmatan MCA Klang, di sini, semalam.

Nur Fatin Nadira pernah memasuki sekolah pada usia tujuh tahun, tetapi terpaksa berhenti sekolah selepas tiga bulan untuk membantu neneknya menjual makanan proses seperti ikan masin.
Takdir menyebelahi Nur Fatin Nadira apabila terserempak adik Zubaidah yang dikenali sebagai Saripuan yang ingin mengambilnya sebagai anak angkat yang sah di sisi undang-undang. Nur Fatin Nadira ketika itu dilihat berkeliaran di tepi jalan sekitar Sungai Buloh.

Sementara itu, penjual sayur, Ker Poh Hong, 60, yang juga teman baik Zubaidah amat bersimpati melihat nasib Nur Fatin Nadira yang ditinggalkan sebatang kara dan Ker turut membantu menjaga remaja itu sekali-sekala.

Ker yang turut dipanggil dengan panggilan ‘nenek’ oleh Nur Fatin Nadira merayu Rosnani kembali untuk membantu anaknya itu meneruskan kehidupan.

Sesiapa yang mempunyai maklumat Rosnani boleh menyalurkannya di Pusat Perkhidmatan MCA Klang dengan menghubungi Ching Eu Boon di talian 019-3109897 atau Ker di 016-2028298.

‘Ejen WikiLeaks’ dibiar bogel

Berita Harian

2011/03/05


WASHINGTON: Seorang peguam kepada seorang askar yang disyaki membocorkan maklumat sulit kerajaan Amerika Syarikat kepada laman web pembocor maklumat WikiLeaks, menuduh pihak berkuasa tentera mendera anak guamnya dan sengaja membiarkannya selama tujuh jam dalam keadaan bogel di penjara.
David Coombs, dalam blognya menulis bahawa pegawai di penjara tentera Quantico Brig, Virginia, menanggalkan semua pakaian prebet tentera Bradley Manning, 23, lewat Rabu lalu. “Dia dibiarkan di bilik kurungannya dalam keadaan bogel selama tujuh jam. Pada kira-kira jam 5 pagi dia dipaksa berdiri bogel di hadapan biliknya ketika pemeriksaan, sebelum pakaiannya diserahkan semula 10 minit kemudian.
“Layanan yang penuh penghinaan ini tidak boleh dimaafkan dan sebarang alasan untuk melakukannya tidak boleh diterima. Ia amat memalukan sistem perundangan tentera dan tiada tolak ansur mengenai perkara ini,” katanya.

Coombs berkata, Manning juga diberitahu bahawa perkara yang sama akan dilakukan terhadapnya selepas ini. Tiada tahanan lain di Quantico Brig dipaksa melalui pengasingan dan penghinaan seperti itu.

Penyokong Manning, peguam bela dan kumpulan hak asasi sudah mengemukakan bantahan terhadap alasan penahanannya dan mempersoalkan kawalan maksimum dan layanan tidak berperikemanusiaan itu. – AFP

Susilo nafi tuduhan WikiLeaks


2011/03/12

SUSILO  bersama isterinya, Kristiani Herawati melambai dari istana Presiden di Jakarta ketika sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia, tahun lalu.
SUSILO bersama isterinya, Kristiani Herawati melambai dari istana Presiden di Jakarta ketika sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia, tahun lalu.
Indonesia bantah dakwaan Presiden salah guna kuasa

JAKARTA: Indonesia semalam menafikan sekeras-kerasnya dakwaan salah guna kuasa Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang diperincikan oleh kabel sulit Amerika Syarikat dan diterbitkan akhbar Australia.
Jakarta segera menghantar bantahan kepada Washington berhubung dakwaan yang dibuat oleh laman web pembocor maklumat WikiLeaks dan diterbitkan akhbar The Age dan The Sydney Morning Herald.
Berita itu mendakwa kedutaan Amerika di sini ragu dengan kewibawaan Presiden Indonesia itu.

“Maklumat terbabit tidak berasas dan tidak benar sama sekali,” kata Menteri Luar Marty Natalegawa pada satu sidang media di sini.

The Age melaporkan: “Sumber mengatakan Yudhoyono campur tangan dan mempengaruhi pendakwa raya dan hakim bagi melindungi individu politik terbabit rasuah dan memberi tekanan kepada penasihatnya.”

Beliau juga menggunakan “perkhidmatan perisikan Indonesia untuk mengintip lawan politik dan sekurang-kurangnya sekali ke atas seorang menteri kanan dalam kerajaannya”.
Natalegawa berkata Indonesia secara rasmi menghantar bantahan paling keras kepada Amerika semalam ketika pertemuan dengan Scot Marciel, duta Amerika.

“Pendedahan WikiLeaks amat tidak bertanggungjawab dan kami melahirkan kekesalan amat mendalam kepada Presiden Susilo dan rakyat Indonesia,” kata Marciel dalam sidang akhbar bersama di Kementerian Luar Indonesia, semalam.

Susilo adalah bekas jeneral tentera yang dipilih pada 2004 dan dipilih semula pada 2009 dengan janji beliau akan memerangi rasuah di Indonesia. – AFP/Agensi

Kren raksasa bergoyang di udara

Berita Harian

2011/03/12


  • Foto
    BANDAR Hitachinaka musnah teruk akibat dilanda tsunami selepas Jepun digegar gempa 8.9 skala Richter, semalam.
  • Foto
Ketua Pengarang BERNAMA tempuh saat cemas elak jadi korban gempa
Foto
KUALA LUMPUR: Ketua Pengarang BERNAMA, Datuk Yong Soo Heong, berdepan saat getir apabila gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter melanda timur laut Jepun semalam, menggegarkan bangunan di Tokyo.
Ketika bencana yang menggegarkan Jepun jam 2.50 petang waktu tempatan, Yong berada di tingkat satu Muji, sebuah kedai menjual aksesori pejabat di daerah Aoyama di sini, sebelum bertemu Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Shaharuddin Md Som, di kedutaan pada jam 4 petang.
Yong yang berada di Tokyo bagi tugasan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRIO), sebelum itu menemu bual Dr Akira Kojima, felo kanan penyelidik Pusat Penyelidikan Ekonomi Jepun dan Prof Pelawat Institut bagi Pengajian Dasar Graduan Kebangsaan.

Malah Yong sempat bertanyakan pegawai JETRO, Junko Tazawa, sama ada ia gempa bumi, apabila bangunan tempat mereka sedang berada di dalamnya, bergegar.

“Sebelum beliau menjawab, gegaran itu menjadi semakin teruk. Ia terlintas di fikiran saya bahawa ia adalah gempa bumi dan satu yang besar,” katanya.

Ketika beliau menyaksikan rak terbalik, pembantu kedai memberi isyarat agar beliau turun menggunakan tangga berdekatan.
Tanpa membuang masa, beliau bersama Junko turun ke tepi jalan di luar bangunan.

“Kami nampak kren pembinaan raksasa bergoyang di udara. Saya tahu ia gempa yang besar tapi tidak tahu magnitudnya. Hanya selepas itu saya dimaklumkan bermagnitud 8.9.

“Ketika detik mencemaskan itu, orang ramai kelihatan bergegas keluar dari bangunan dan beberapa kanak-kanak kelihatan menangis di jalan,” katanya.

Teksi pula sukar diperoleh dan operasi kereta api bawah tanah juga terhenti.
Junko berkata, ia adalah gempa bumi terbesar yang pernah dialami sepanjang hidupnya selama 28 tahun.

“Apabila ada dua gempa yang kecil awal minggu ini, saya seolah-olah merasai satu gempa yang besar akan berlaku dan lebih baik saya pergi sebelum ia datang.

“Saya bersyukur kerana masih hidup! Saya rasa bertuah. Saya banyak berjalan sejak beberapa hari di stesen bawah tanah. Sekarang, saya diberitahu, saya perlu berjalan jauh, mungkin dua jam. Ia perkara kecil berbanding dapat peluang terus hidup. Saya mungkin hilang berat badan dalam proses ini,” katanya. – BERNAMA

'Kami berpaut pada tong gas elak terjatuh dalam makmal'

Berita Harian

2011/03/12


  • Foto
    ABDUL Latif bersama isterinya, Alfarina Mohd Mustafa yang menuntut di Universiti Hokaido.
  • Foto
    OMBAK besar menyebabkan air melimpah ke kawasan bandar pelabuhan Kamaishi.
Foto
OMBAK besar menyebabkan air melimpah ke kawasan bandar pelabuhan Kamaishi.
KUALA LUMPUR: “Saya dan seorang rakan terpaksa berpaut pada tong gas hidrogen di dalam makmal ketika gempa bumi berlaku untuk mengelak terjatuh ketika menjalankan penyelidikan di makmal,” kata Presiden Persatuan Pelajar Malaysia Jepun (MSAJ) Wilayah Kanto, `Awadh Asyraf Supri menceritakan detik cemas dilaluinya dalam kejadian gempa bumi melanda Jepun, semalam.

Beliau yang juga pelajar tahun 4 Universiti Sains Tokyo berkata, walaupun Tokyo berada 400 kilometer (km) dari Miyagi yang menjadi pusat gempa bumi itu, gegaran kuat boleh dirasai di tempatnya belajar.
“Ketika gempa melanda, saya berada di dalam makmal sedang membuat penyelidikan bersama seorang rakan. Pada awalnya, gegaran dirasai agak lemah dan tidak menghiraukannya dan meneruskan kerja penyelidikan.
“Namun demikian, tidak lama kemudian, gegaran semakin kuat, bangunan dan peralatan makmal bergoyang menyebabkan kami terpaksa berpaut pada tong gas hidrogen untuk mengelak daripada terjatuh.

“Kami menyangka, gegaran kuat itu tidak lama tetapi sebaliknya ia semakin kuat lalu kami membuat keputusan untuk berlari keluar dari bangunan makmal bagi menyelamatkan diri. Gempa bumi kali ini luar biasa kerana kuat dan berlaku dalam tempoh yang lama,” katanya kepada wartawan Berita Harian menerusi Yahoo Messenger (YM), semalam.

Ketika ini, ada kira-kira 2,300 penuntut Malaysia belajar di Jepun namun mungkin ramai yang pulang ke Malaysia atau tidak berada di universiti kerana menghabiskan cuti semester selama dua bulan berakhir awal April ini.

Naib Pengerusi Kelab UMNO Jepun, Haris Bahrudin yang dihubungi menerusi laman sosial Facebook, berkata dia yang berada di Tokyo turut merasai gegaran yang menyebabkan sistem telekomunikasi di wilayah itu terputus.
Pelajar tahun empat Kejuruteraan Mekanikal di Tokyo Institute of Technology berkata, gegaran pertama selama 20 minit bermula kira-kira jam 2.50 petang waktu tempatan (1.50 petang waktu Malaysia) dan disusuli dengan beberapa gegaran.

“Setakat ini telefon tidak boleh digunakan dan saya yakin pelajar kita di Jepun selamat tetapi saya belum lagi mendengar berita mengenai kemalangan membabitkan pelajar Malaysia,” katanya.

Sementara itu, seorang jurutera di bandar Toyota, Aichi berhampiran Nagoya, Zia Ahmad, 29, berkata kawasan tempat kerjanya di syarikat Toyota turut mengalami gegaran selama dua minit tetapi tiada kerosakan teruk dilaporkan.

Bekas pelajar Toyohashi University of Technology yang berasal dari Kuching, Sarawak itu menyifatkan sesi latihan kecemasan yang sering dilakukan pengurusan syarikat amat berguna untuk membantu kakitangan mempersiapkan diri untuk berdepan dengan sebarang tragedi.

Sementara itu, penuntut Universiti Hokaido, Abdul Latif Noh dari Kuching berkata, beliau merasakan gempa bumi semalam begitu kuat sehingga menyebabkan orang ramai menjadi bingung dengan kesan gegaran itu.

“Gegaran yang saya rasakan begitu kuat, sehingga guru saya kelihatan bingung selepas itu. Apa yang jelas lampu dan penghawa dingin yang digantung bergegar dan lama kelamaan semakin kuat dan ia berlarutan sehingga tiga minit,” katanya.

Naib Setiausaha MSAJ Wilayah Tohoku, Masyitah Khairil Anuar yang pulang bercuti di negara ini dimaklumkan rakannya yang berada di wilayah itu bahawa semua pelajar Malaysia selamat dan ditempatkan di pusat perlindungan.

Pelajar Universiti Tohoku itu sempat berhubung dengan seorang pelajar senior di universiti berkenaan sebelum talian terputus dan gagal dihubungi semula.

“Saya sendiri tak dapat bayangkan keadaan mereka, mereka kata jangan risau kerana mereka semua ditempatkan di satu tempat, sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Saya hanya dimaklumkan keadaan pelajar Universiti Tohoku, keadaan dua lagi pelajar kita di universiti di Sendai belum diketahui,” katanya sambil menambah Universiti Tohoku menempatkan 42 pelajar Malaysia.

Sementara itu, penuntut Universiti Hokaido, Abdul Latif Noh dari Kuching berkata, beliau merasakan gempa bumi semalam begitu kuat sehingga menyebabkan orang ramai menjadi bingung dengan kesan gegaran itu.

“Gegaran yang saya rasakan begitu kuat, sehingga guru saya kelihatan bingung selepas itu. Apa yang jelas lampu dan penghawa dingin yang digantung bergegar dan lama kelamaan semakin kuat dan ia berlarutan sehingga tiga minit,” katanya.

INFO
Antara peristiwa tsunami



  • 1755: Tsunami memusnahkan Lisbon, Portugal dan mengorbankan kira-kira 60,000 orang.



  • 1883: Letupan gunung berapi Krakatoa di Selat Sunda, Indonesia menyebabkan tsunami setinggi 35 meter dan mengorbankan 36,000 nyawa.



  • 1946: Gempa bumi berukuran 7.8 berhampiran Alaska, Amerika Syarikat menghasilkan ombak besar setinggi 35 meter dan membunuh 165 orang.



  • 1960: Gempa bumi paling besar dalam sejarah ( 9.5 skala Richter) di selatan perairan Chile menghasilkan tsunami di Lautan Pasifik dan membunuh lebih 3,000 orang di Chile dan Hawaii.



  • 1976: Tsunami melanda Filipina mengorbankan lebih 5,000 orang.



  • 1998: Gempa berukuran 7.0 skala Richter di perairan Papua New Guinea menghasilkan ombak setinggi 10 meter dan membunuh lebih 6,000 nyawa.



  • 2004: Gempa bumi besar menyebabkan tsunami dengan ketinggian ombak 35 meter dan mengorbankan lebih 250, 000 nyawa di Asia Selatan, Asia Tenggara dan Afrika. Acheh adalah antara negara paling teruk mengalami kemusnahan yang mengorbankan kira-kira 170,000 nyawa dan 500,000 kehilangan tempat tinggal.



  • 2006 - Gempa bumi menyebabkan tsunami di selatan pulau Jawa, Indonesia dengan ombak setinggi 21 meter di Pulau Nusakambangan dan mengorbankan 500 nyawa.



  • 2010 - Gempa bumi di Santiago, Chile menyebabkan tsunami. 521 nyawa terkorban.



  • 2010 - Letusan Gunung Merapi di Kepulauan Mentawai, meletus menyebabkan tsunami dan mengorbankan 446 nyawa.


  • Lapan maut nahas dalam 24 jam

    Berita Harian


    Oleh Shamsul Kamal Amaruddin, Kasdi Ali dan D J Dolasoh
    bhnews@bharian.com.my
    2011/03/12




    KERETA Perodua Alza remuk teruk selepas bertembung dengan kereta Toyota Wish dalam kemalangan di Km 53 JRTB Grik-Jeli di  Banding di Grik, semalam.
    KERETA Perodua Alza remuk teruk selepas bertembung dengan kereta Toyota Wish dalam kemalangan di Km 53 JRTB Grik-Jeli di Banding di Grik, semalam.
    2 kemalangan di jalan sama dekat Grik 
    GRIK: Tidak sampai 24 jam, lapan orang termasuk tiga beranak dan empat bakal guru terbunuh, manakala lapan lagi cedera dalam dua kemalangan di Kilometer 12 dan 53, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Grik-Jeli, dekat sini.
    Kemalangan meragut nyawa tiga beranak berlaku di Kilometer 53 jam 12 tengah hari semalam, manakala kejadian di Kilometer 12 berlaku jam 4.20 petang kelmarin mengorbankan empat penuntut Institut Pendidikan Sultan Mizan (IPSM), Besut, Terengganu selepas kereta mereka bertembung kereta pensyarah sendiri.
    Pemangku Ketua Polis Daerah Grik, Asisten Superintendan Zulkifli Hashim, berkata tiga beranak yang maut di tempat kejadian selepas Perodua Alza mereka bertembung sebuah Toyota Wish adalah Wan Sarwani Zainol, 34, serta dua anaknya, Muhammad Imran Haziq Mohd Zainuddin, 3, dan Muhammad Izwan Hanif, 9.

    Seorang daripada enam individu dalam Toyota Wish dikenali sebagai Halijah Ahmad, 67, disahkan meninggal dunia di Hospital Grik (HG).

    Kejadian juga menyebabkan tujuh cedera, termasuk suami Wan Sarwani, Mohd Zainuddin Omar, 35, dan seorang lagi anak mereka, Muhammad Iqbal Hakim, 13, yang parah dan dihantar ke Hospital Taiping (HT), manakala lima individu dalam Toyota Wish cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di HG.

    Mohd Zainuddin memandu kereta dari rumah mereka di Taman Baung Perdana, Pengkalan Chepa, Kelantan ke FELDA Peloi Timur, Kuala Ketil, Kedah apabila keretanya hilang kawalan ketika melalui selekoh menuruni bukit lalu berpusing beberapa kali sebelum merempuh Toyota Wish yang datang dari arah bertentangan.
    Pasangan suami isteri berkenaan difahamkan bertugas sebagai pembantu perubatan kanan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.

    Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam/Trafik Daerah Grik, Cif Inspektor Zamzuri Mohd Nawawi, berkata penuntut IPSM yang maut ialah M Iniyan, Joseph Puah dan Goh Sin Yin, semua berusia 19 tahun dan seorang rakan mereka, Yap Sin Wie, 20.

    Iniyan dan Sin Wie mati di tempat kejadian manakala Puah dan Sin Yin, masing-masing disahkan meninggal dunia di HG dan HT. Semua mangsa berasal dari Pulau Pinang kecuali Iniyan dari Taiping, Perak.

    Kejadian berlaku ketika penuntut berkenaan menaiki Proton Iswara dari Terengganu untuk bercuti di Pulau Pinang apabila kereta itu dikatakan terbabas ke tengah jalan sebelum dirempuh Toyota Camry dipandu pensyarah mereka, Ismail Mamat, 49, yang datang dari arah bertentangan.

    “Kejadian berlaku di kawasan selekoh ketika kereta mangsa menuruni bukit dalam keadaan jalan licin akibat hujan renyai, tetapi Ismail hanya cedera ringan,” kata Zamzuri.

    Dalam kejadian berasingan di Kilometer 332.8 Lebuh Raya Utara-Selatan hala utara berhampiran Tapah, kira-kira jam 1.45 petang semalam, 27 penumpang sebuah bas ekspres nyaris maut selepas bas itu terbabas dan merempuh sebuah van yang melintang di tengah laluan.

    Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Roslan Bek Ahmad, berkata kemalangan berlaku apabila sebuah van membawa ubat-ubatan dipandu seorang lelaki hilang kawalan lalu terbabas sebelum melintang di tengah jalan dan gagal dielak bas ekspres terbabit yang mengekori di belakang.

    “Namun pemandu bas berkenaan berjaya mengawal kenderaannya daripada terbalik dengan menyusuri lorong kecemasan sebelum berhenti. Pemandu kedua-dua kenderaan terbabit dan semua 27 penumpang bas ekspres terselamat dan tidak cedera,” katanya.

    Empat beradik dapat sijil lahir selepas 9 tahun

    Kosmo!



    DARI kiri, Muhammad Haikal, Muhammad Izzwan, Muhammad Irawan dan Muhammad Wan Ilham, menunjukkan sijil kelahiran masing-masing Alor Gajah semalam.


    ALOR GAJAH - Gara-gara tidak dapat menyertakan sijil nikah semasa mendaftarkan kelahiran anak, Aryanti Roslan, 27, terpaksa menelan pahit selama sembilan tahun memikirkan nasib empat orang anaknya yang tidak memiliki sijil kelahiran.
    Suami Aryanti, warga Indonesia, Sufandi Supardi, 33, yang menghilangkan diri sejak lima tahun lalu menyukarkan lagi pendaftaran empat anaknya dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana status perkahwinan yang diragui.
    Namun, perit jerih Aryanti berakhir semalam apabila anak-anaknya, Muhammad Wan Ilham, 9, Muhammad Irawan Ikram, 7, Muhammad Izzwan Azam, 6, dan Muhammad Haikal Daniel, 5, mendapat sijil kelahiran masing-masing.
    "Selama ini saya sentiasa diselubungi kebimbangan kalau anak saya ditangkap polis ketika berjalan-jalan kerana disangka pendatang asing tanpa izin," katanya ditemui pada majlis penyerahan sijil kelahiran oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Linggi, Ismail Osman Ismail di sini semalam.