Saturday, August 29, 2015

Bersih 4 cuba hancurkan negara - Shabery Cheek



MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memetik cendawan tiram kelabu semasa melakukan lawatan ke tapak pameran di Majlis Pelancaran Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Selangor Tahun 2015 di Perkarangan IADA Barat Laut Selangor, Kuala Selangor. - Foto Roslin Mat Tahir.
KUALA SELANGOR: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata penganjuran perhimpunan Bersih 4 di ibu negara hari ini dan esok bukan sahaja cuba menukar kerajaan malah berniat menghancurkan negara.
Beliau berkata, ini kerana penganjuran perhimpunan haram itu menggunakan modul sama seperti yang dipraktikkan dalam pemberontakan 'Arab Spring' di negara-negara Asia Barat.
"Kita dah lihat modul digunakan Bersih sama dengan mereka yang ingin jatuhkan kerajaan melalui 'Arab Spring' di mana tiada ketua atau organisasi yang jelas bertanggungjawab selain menggunakan media sosial.
"Bila kerajaan di Libya, Yaman hancur, rakyat yang menderita sehingga ada yang terpaksa melarikan diri ke negara lain. Akhirnya siapa yang bertanggungjawab (terhadap perhimpunan itu)? Ini yang cuba dibuat oleh Bersih," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat Selangor di sini, hari ini.
Justeru itu, katanya beliau tidak hairan apabila penganjuran Bersih 4 mendapat sokongan pihak luar yang jelas mahu melihat Malaysia tidak stabil dan tidak aman.
"Bersih ternyata tidak mendatangkan apa-apa kebaikan kepada negara. Lebih menyedihkan penganjuran perhimpunan ini turut mengganggu persiapan dan sambutan Hari Kebangsaan Malaysia pada Isnin ini," katanya.
- BERNAMA

Penyokong GHB mahu tubuh Parti Progresif Islam - Zahid

JUMAAT, 28 OGOS 2015 @ 6:33 PM

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin hanneeyzah@bh.com.my TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. - Foto BERNAMA MARANG: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mendedahkan kepimpinan PAS yang menyokong Gerakan Harapan Baru (GHB) sudah memohon kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk menubuhkan sebuah parti baru dikenali sebagai Parti Progresif Islam. Beliau berkata, permohonan itu dibuat penyokong GHB yang tidak menyokong dan tidak bersetuju dengan kepemimpinan ulama PAS diketuai Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya sudah memaklumkan kepada ROS supaya memaklumkan kepada ahli PAS berkenaan supaya memilih nama lain bagi parti baru itu yang tidak mempergunakan nama Islam. "Kita tidak mahu mana-mana parti yang menggunakan nama agama kerana Islam bukan saja untuk mereka, tetapi juga untuk kita. "Kita tidak mahu kesilapan dulu berulang. Agenda Islam adalah agenda bersama, bukan untuk parti tertentu," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Marang di sini, hari ini.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/77978

Mahkamah Rayuan perintah Mohamad Salleh jawab pertuduhan pecah amanah

JUMAAT, 28 OGOS 2015 @ 7:08 PM

PENGERUSI Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp), Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail. - Foto Asyraf Hamzah

 PUTRAJAYA: Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp), Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail, perlu menjawab dua pertuduhan pecah amanah yang dihadapinya membabitkan RM49.7 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sr Md Raus Sharif yang mengetuai barisan panel tiga orang hakim, memerintahkan supaya kes dihantar ke Mahkamah Sesyen untuk perbicaraan penuh.

Ketika menolak rayuan Mohamad Salleh untuk membatalkan kedua-dua pertuduhan pecah amanah, Hakim Md Raus berkata dalam kes ini, perbicaraan telah bermula di Mahkamah Sesyen dan pihak pendakwaan telah memanggil saksi-saksinya untuk memberi keterangan. Oleh yang demikian, kata beliau, perbicaraan hendaklah diteruskan. "Jika pihak pembela mempunyai pembelaan yang kukuh berdasarkan dokumen yang dikemukakan oleh pihak pendakwa, mereka boleh membuat representasi kepada Jabatan Peguam Negara untuk pertimbangan semula bagi meneruskan pertuduhan atau sebaliknya. "Kami tidak mempunyai alternatif. Kami menolak rayuan dan perintah Mahkamah Tinggi dikekalkan dan kami mengarahkan supaya perbicaraan di mahkamah peringkat rendah (Mahkamah Sesyen) diteruskan," kata Hakim Md Raus yang mendengar rayuan bersama hakim Datuk Abdul Aziz Abd Rahim dan Hakim Datuk Lim Yee Lan. Mohamad Salleh memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak rayuannya berhubung dengan keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak permohonannya untuk membatalkan kedua-dua pertuduhan. Mohamad Salleh, 66, yang juga pengarah NFCorp, dituduh melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan wang RM9,758,140 melalui empat keping cek NFCorp untuk membiayai sebahagian pembelian dua unit kondominium di kompleks One Menerung di Kuala Lumpur.

Kesalahan itu dikatakan dilakukan di antara 1 dan 4 Disember, 2009 di CIMB Islamic Bank Bhd, Jalan Burhanuddin Helmi, Taman Tun Dr Ismail. Dia juga dituduh melakukan kesalahan yang serupa dengan memindahkan wang RM40 juta melalui satu cek, antara 6 Mei dan 16 November, 2009, ke dalam akaun syarikat National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd yang dia dan seorang daripada anaknya adalah pemilik syarikat berkenaan. Kedua-dua pertuduhan tersebut mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan. Mohamad Salleh juga menghadapi dua lagi pertuduhan berkaitan menggunakan dana syarikat tanpa kelulusan mesyuarat agung tahunan syarikat untuk membuat sebahagian daripada pembayaran bagi pembelian unit-unit kondominium.

Kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 132(2)(a) Akta Syarikat 1965, memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM30,000. Perbicaraan sebelumnya di Mahkamah Sesyen juga termasuk kedua-dua pertuduhan.

 Semasa prosiding hari ini, ketika ditanya oleh Hakim Md Raus mengapa pihak pembela tidak merayu terhadap dua lagi pertuduhan, peguam Mohamad Salleh iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menjawab bahawa kedua-dua pertuduhan tidak mempunyai prospek dan jika mahkamah membenarkan rayuan hari ini untuk membatalkan tuduhan pecah amanah, dua lagi pertuduhan tidak dapat bertahan. Terdahulu, Muhammad Shafee berhujah bahawa dua lagi pertuduhan pecah amanah terhadap anak guamnya adalah tidak berasas dan harus dibatalkan oleh mahkamah.

 Sebelum Timbalan Pendakwa Raya Syed Faisal Syed Amir menjawab hujah Muhammad Shafee, Hakim Md Raus bertanya kepada Syed Faisal sama ada mahkamah boleh membatalkan pertuduhan pecah amanah tanpa mendengar keterangan saksi-saksi. Syed Faisal berhujah bahawa mahkamah tidak mempunyai budi bicara untuk membatalkan pertuduhan kerana pertuduhan itu adalah tepat dan benar terhadap perayu (Mohamad Salleh).

Beliau menekankan bahawa perbicaraan kes bermula di Mahkamah Sesyen di peringkat pemeriksaan utama saksi-saksi pihak pendakwa, oleh itu ia harus diteruskan. Mohamad Salleh hadir di mahkamah diiringi isterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Di luar mahkamah, Muhammad Shafee memberitahu pemberita bahawa susulan keputusan hari ini, beliau akan menghantar surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara menjelang Isnin ini unuk mempertimbangkan semula pertuduhan terhadap anak guamnya. - BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/77992

KDN larang pakaian kuning, risalah Bersih 4



Oleh Mohd Iskandar Ibrahim


KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mengeluarkan perintah melarang pakaian berwarna kuning yang dicetak dengan perkataan 'Bersih 4' serta apa-apa bahan bercetak dan risalah yang mendorong kepada perhimpunan itu.
Warta Kerajaan Persekutuan berhubung Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (NO.22) 2015 bertarikh 27 Ogos 2015 itu disiarkan di laman web rasmi Pejabat Peguam Negara.
Perintah itu dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan berkuat kuasa 28 Ogos 2015.
Perintah itu dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri melalui kuasa yang diberikan kepada beliau mengikut Subseksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).
Menurut perintah itu sebarang percetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan yang diperihalkan dalam Jadual yang mungkin memudaratkan keselamatan, yang mungkin berlawanan dengan mana-mana undang-undang dan yang mungkin memudaratkan kepentingan negara adalah dilarang secara mutlak di seluruh Malaysia.
Warta itu memperincikan Jadual sebagai:
* Apa-apa pakaian berwarna kuning yang mengandungi perkataan 'Bersih 4'.
* Apa-apa bahan bercetak lain dan risalah yang mendorong kepada perhimpunan Bersih 4.
Selasa lalu, Kementerian Dalam Negeri dalam kenyataan berkata Bersih 4.0 adalah pertubuhan tidak berdaftar yang menyebarkan propaganda, menghasut rakyat negara bagi tujuan negatif terhadap kerajaan.
Bersih 4 merancang untuk mengadakan perhimpunan haram di sini, Kota Kinabalu dan Kuching selama 34 jam, pada esok dan lusa.

Facebook catat 1 bilion pengguna sehari

SABTU, 29 OGOS 2015 @ 1:24 PM

LEBIH satu bilion orang menggunakan Facebook dalam satu hari, yang dicapai Isnin lalu. - Foto EPA


 LOS ANGELES: Buat kali pertama lebih satu bilion orang menggunakan Facebook dalam satu hari , kata pengasas syarikat berkenaan Mark Zuckerberg. Zuckerberg dalam satu tulisan berkata, kejayaan membanggakan itu dicapai Isnin lalu apabila "seorang bagi setiap tujuh orang di bumi menggunakan Facebook untuk berhubung dengan rakan dan keluarga." Facebook memiliki hampir 1.5 bilion pengguna yang mendaftar masuk sekurang-kurangnya sekali sebulan, namun jumlah yang dicatat itu adalah untuk satu hari tunggal. Syarikat itu mendapat pengguna ke satu bilion pada Oktober 2012. Laman media sosial itu diasaskan pada tahun 2004 oleh Zuckerberg ketika beliau masih seorang mahasiswa di Universiti Harvard. Dalam tulisannya kelmarin, beliau meramalkan capaian Facebook akan terus berkembang. "Ini adalah kali pertama kami memperoleh pencapaian membanggakan dan ini hanyalah permulaan untuk menghubungkan seluruh dunia," tulisnya. Julai lalu Facebook mendakwa lebih separuh pengguna dalam talian di dunia melawat laman sosial itu sekurang-kurangnya sekali sebulan. Ia hanya pada Oktober 2012 ketika Facebook kali pertama mengumumkan ia memiliki satu bilion pengguna menggunakan laman itu sekurang-kurangnya sebulan sekali dan kini, kurang tiga tahun kemudian, tapak media sosial itu berupaya menarik angka itu dalam satu hari tunggal. Persoalannya ialah bagaimana ia boleh terus berkembang? Pastinya akan ada satu ketika angka itu mendatar. Namun perjalanan itu dianggap masih jauh. Penulis baru saja kembali dari ibu pejabat Facebook di California untuk berbincang mengenai projek dalam perancangan. Pada dinding pejabat itu, ada peta negara dunia yang memaparkan negara dengan ramai pengguna Facebook. Tidak dinafikan, Amerika Syarikat, Eropah dan India hampir berada pada kemuncak penggunaan laman sosial terbabit. Namun ada jurang amat besar, di Afrika, kebanyakan negara di Asia dan sesetengah negara Amerika Latin, di situ Facebook kini bertumpu. -AGENSI

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/78147

Peserta himpunan haram miskin semangat cinta negara - PM

SABTU, 29 OGOS 2015 @ 12:12 PM

 Oleh Abdul Razak Raaff raaffar@bh.com.my

NAJIB hadir bagi merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jerantut di Pejabat Majlis Daerah Jerantut, hari ini. - Foto Farizul Hafiz Awang

 JERANTUT: Datuk Seri Najib Razak berkata penganjur dan mereka yang menyertai perhimpunan haram di ibu negara miskin semangat cintakan negara. Perdana Menteri berkata, mereka sepatutnya menyambut Hari Kebangsaan Isnin ini, dengan mengibar Jalur Gemilang walaupun berbeza pendapat dan menghayati sejarah pemimpin terdahulu berjuang memerdekakan negara. "Orang ini (penganjur dan peserta perhimpunan haram) tidak ada nilai kasih sayang kepada negara dan perbuatan mereka hanya bagi malu kepada negara," katanya. Presiden UMNO itu berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jerantut di Pejabat Majlis Daerah Jerantut, di sini, sebentar tadi. Yang turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Ahmad Nazlan Idris. Terdahulu, kehadiran Najib disambut dengan paluan gendang silat dengan kehadiran lebih 5,000 pemimpin serta ahli UMNO dan orang ramai

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/78130

Pendidik perlu tanggung sendiri akibat sertai himpunan haram - Mahdzir Khalid

SABTU, 29 OGOS 2015 @ 1:32 PM

Oleh Adha Ghazali
adha@bh.com.my



PADANG TERAP: Warga pendidik negara yang dikesan terbabit aktiviti menyalahi undang-undang termasuk perhimpunan haram, perlu menanggung sendiri akibat perbuatan itu yang terbukti menyalahi etika penjawat awam, termasuk kemungkinan besar dikenakan tindakan.

Perkara itu dinyatakan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, ketika diminta mengulas pembabitan golongan pendidik khususnya guru dalam perhimpunan Bersih 4 yang disahkan sebagai pertubuhan tidak sah.

Mengulas lanjut, beliau berkata sebagai warga pendidik khususnya guru, mereka sedia maklum bahawa masing-masing tertakluk kepada ikrar melalui Perintah Am sebagai penjawat awam, yang mana mereka jelas tidak boleh melakukan sebarang tindakan yang tidak mematuhi undang-undang.


"Tidak kiralah guru di sekolah, atau di IPT (institut pengajian tinggi), jika mereka melakukan tindakan yang melewati larangan melalui Perintah Am itu, maka mereka kena tanggung sendiri akibatnya.

"Mereka (guru dan pendidik) harus sedar yang mereka dibayar gaji dan elaun oleh kerajaan, namun masih bertindak menentang dan menghentam kerajaan ..di peringkat sekolah dan IPT ada ketua masing-masing dan jika ada yang dikesan terbabit, maka ketua akan ambil tindakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Padang Terap, di sini, hari ini.

Wanita China tumbuh tanduk



PEMBANTU perubatan melihat tanduk Xiuzhen yang ketika ini sepanjang 13 sentimeter. - Foto Agensi
SICHUAN: Seorang wanita warga tua di China mendapat gelaran "Wanita Unikorn" kerana memiliki ketumbuhan luar biasa di kepalanya yang kelihatan seperti tanduk besar, kata satu laporan.
Menurut anak lelakinya Wang Chaojun, ibunya Liang Xiuzhen mula ditumbuhi sesuatu yang kelihatan seperti "tahi lalat hitam" di kepalanya kira-kira lapan tahun lalu.
Wanita itu berusia 87 tahun yang berasal dari perkampungan Guiyan di bandar Ziyang, wilayah Sichuan, terkejut apabila dua tahun lalu apabila ketumbuhan itu berubah menjadi ketulan seperti tanduk bersaiz sebesar jari tangan.
Xiuzhen secara tidak sengaja "mematahkan" tanduk kecilnya Februari lalu dan tanduk terkininya yang lebih besar, ketika ini sepanjang 13 sentimeter mula membesar dengan pantas.
"Kini tanduk itu menyakitkan ibu saya dan menghalangnya daripada tidur. Ia juga mengalami pendarahan dari semasa ke semasa," kata Chaojun.
Doktor mendiagnosis apa yang digelar tanduk unikorn itu sebagai "cornu cutaneum" (kulit tanduk), ketumbuhan kulit keratinus yang mempunyai penampilan sebagai tanduk.
Sering kali kecil dan tidak berbahaya, ketumbuhan itu dalam sesetengah kes boleh bertambah besar dan boleh mendatangkan bahaya.
Chaojun berkata, doktor percaya mereka boleh mengeluarkan ketumbuhan itu melalui pembedahan, namun keluarga itu ragu-ragu berikutan usia Xiuzhen yang sudah tua dan mempertimbangkan pilihan lain.
"Ibu saya sudah tua dan tanduk itu berada di kepalanya, iaitu kawasan amat sensitif. Saya tidak yakin dengan idea pembedahan. Jika sesuatu yang buruk berlaku (ketika pembedahan), saya pasti ia berat," katanya. - AGENSI

Orang Ramai Mula Banjiri Pusat Bandar Untuk Sertai Bersih 4.0


Diterbitkan: Sabtu, 29 Ogos 2015 12:59 PM
Keadaan di depan Pasar Seni yang dipenuhi dengan peserta perhimpunan Bersih 4.

KUALA LUMPUR: Mereka yang mengambil bahagian dalam perhimpunan Bersih nampaknya sedikit demi sedikit telah mula memasuki bandar raya walaupun mengikut jadual yang ditetapkan ia sepatutnya bermula pada jam 2 petang.
Sebenarnya berdasarkan laporan para wartawan mStar yang berada di lapangan, mereka mula melihat orang awam yang memakai baju kuning mula menaiki tren LRT seawal jam 8.25 pagi ini.
Walaupun, pihak berkuasa telah mengeluarkan pekeliling yang menyebut, sebarang pemakaian baju berwarna kuning dengan logo dan lambang Bersih 4.0 tidak dibenarkan dan haram namun ramai yang tidak memperdulikan amaran itu.
Malah ada yang memakai jaket untuk menutup baju-t kuning yang tertulis perkataan BERSIH 4.0 sementara menunggu waktu rasmi perhimpunan pada jam 2 petang nanti.
Mereka mundar-mandir di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman menghala ke arah Dataran Merdeka seolah-olah seperti sedang bersiar-siar di pagi Sabtu.
Terdapat juga desas-desus yang mengatakan perkhidmatan tren LRT akan dihentikan mulai tengah hari nanti tetapi para wartawan kami telah menyaksikan sendiri Jalan Tuanku Abdul Rahman lengang tanpa kereta seawal jam 7.30 pagi - tidak sepertimana hari Sabtu sebelum ini.
Sementara itu wartawan kami juga melaporkan, kawasan yang paling ramai dengan kumpulan yang memakai baju-t kuning kini adalah di sekitar Pasar Seni, Masjid Jamek, Brickfields, Dataran Maybank dan Sogo.
Kesemua kawasan ini adalah merupakan kawasan popular dan kesukaan para peserta Bersih sejak dahulu lagi khususnya di Pasar Seni dan Masjid Jamek.
Wartawan mStar yang berada di Menara Maybank, Sofea Susan Albert Kasim melaporkan yang para peserta perhimpunan Bersih kini sudah mula melaungkan kata-kata "Bersih, bersih" manakala di kawasan Pasar Seni pula seorang peniaga kraftangan di situ ketika dihubungi mStar memberitahu yang peserta Bersih telah mula mengeluarkan sepanduk 'Bersih 4'.
Perhimpunan yang akan bermula secara rasmi pada jam 2 petang nanti dijadual untuk berarak menuju ke Dataran Merdeka di mana raptai dan persiapan untuk sambutan Hari Kebangsaan sedang diadakan.
Perhimpunan ini akan berterusan sehingga tengah malam ini.
Ia kemudian akan bersambung semula pada Ahad. Tidak diketahui apakah mereka yang mengambil bahagian dalam perhimpunan ini akan meneruskan bantahan mereka sehingga ke awal pagi Ahad.
Bersih telah diisytiharkan sebagai perhimpunan haram oleh pihak berkuasa tetapi arahan itu tidak diendahkan dan pihak penganjur telah berikrar untuk meneruskannya sepertimana yang dirancang.
Jika ia diteruskan juga pada jam 2 petang nanti, tidak diketahui apakah bentuk tindakan yang bakal diambil oleh pihak penguatkuasa undang-undang khususnya kepada mereka yang memakai baju-t kuning dengan tulisan Bersih 4.0.

Baju Bersih 4 Diharamkan - KDN


Diterbitkan: Jumaat, 28 Ogos 2015 11:03 PM

PETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan baju Bersih 4 atau penerbitan berkaitan dengan perhimpunan haram itu.
Arahan bertarikh 27 Ogos 2015 dan ditandatangani oleh Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengikut Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No 22) 2015.
Pengharaman itu mula berkuat kuasa pada Jumaat (28 Ogos 2015).
Larangan di bawah perintah itu termasuk penerbitan, pengeluaran semula, jualan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan, dan bertentangan dengan undang-undang.
Larangan itu termasuk:
- Mana-mana pakaian berwarna kuning dan yang mengandungi perkataan "Bersih 4".
- Apa-apa bahan bercetak dan risalah yang membawa kepada perhimpunan Bersih 4.

Pemimpin kerajaan jangan angkuh


WARTAWAN SINAR HARIAN
28 OGOS 2015Pemimpin kerajaan jangan angkuh
Pemimpin kerajaan jangan angkuh Perkongsian yang dimuatnaik oleh laman Facebook Johor Southern Tigers, hari ini.

SHAH ALAM - Ingatlah pepatah Melayu yang sering menyebut 'Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa' titah Sultan Johor, hari ini.

Menurut sebuah perkongsian di laman web Facebook Johor Southern Tigers, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah menasihatkan supaya ahli-ahli politik, antaranya Adun Kempas supaya jangan mencampuri urusan Istana Johor atau cuba membuat kenyataan yang mengaitkan pihak Istana.

"Ada juga pemimpin kerajaan yang langsung tidak beradab apabila bercakap dengan melabelkan orang lain sebagai orang gila, dan lebih teruk lagi dengan angkuh dan sombong hendak 'whack' anakanda saya.

"Adakah pemimpin seperti ini patut dihormati?" titah baginda.

"Saya akan terus memastikan nasib rakyat saya sentiasa terbela. Kerajaan mestilah bersikap telus dan berterus-terang kepada rakyat kerana dalam dunia moden hari ini, tidak ada apa yang boleh disembunyikan.

"Peribahasa Cina ada menyebut 'Guni tidak dapat sorok tukul, kertas tidak dapat balut api," akhiri baginda.

TSMY tak sertai Bersih 4.0, kini di luar negara


RAZIATUL HANUM A.RAJAK
29 OGOS 2015Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR - Bekas Setiausaha Politik, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Mohd Nardin Awang menafikan penyebaran berita mengenai penglibatan bekas Timbalan Perdana Menteri itu dengan perhimpunan Bersih 4.0 yang akan berlangsung hari ini.

Melalui satu kenyataan yang dimuatnaik melalui Facebook Muhyiddin sebentar tadi, Mohd Nardin memberitahu Muhyiddin kini berada di luar negara.

"Merujuk kepada berita yang tersebar di media sosial bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin telah bersetuju untuk menyertai perhimpunan Bersih 4.0, adalah dimaklumkan bahawa berita tersebut palsu, berniat jahat dan disebarkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab," katannya.

Tegasnya, Muhyiddin tidak pernah menyatakan persetujuannya untuk menyertai perhimpunan Bersih 4.0 dengan mana-mana bekas setiausaha politiknya.

"Tan Sri Muhyiddin tidak pernah menyatakan persetujuannya melalui mana-mana mantan Setiausaha Politik beliau untuk menyertai perhimpunan Bersih dan tiada sebarang komunikasi dibuat antara mana-mana mantan Setiausaha Politik beliau dengan pihak penganjur Bersih seperti yang didakwa.

"Sementelahan pula beliau berada di luar negara pada tarikh perhimpunan Bersih diadakan.Sekian, terima kasih," katanya.

Sebelum ini, Anak Muda Harapan Baru ada menjemput Muhyiddin untuk menyertai perhimpunan tersebut.

Bersih 4.0 dijadualkan berlangsung 34 jam di sekitar ibu kota bagi menyatakan desakan terhadap lima tuntutan termasuk pilihanraya bersih, kerajaan bersih, kukuhkan demokrasi berparlimen, hak membantah dan selamatkan ekonomi.

Peserta himpunan Bersih 4.0 mula banjiri KL


WARTAWAN SINAR HARIAN
29 OGOS 2015Peserta himpunan Bersih 4.0 mula banjiri KL
Peserta himpunan Bersih 4.0 mula banjiri KL Peserta himpunan Bersih 4.0 berkumpul di hadapan Sogo, mereka turut melaungkan kata-kata semangat.

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Keadaan di ibu negara dengan kehadiran ribuan peserta himpunan Bersih 4.0 masih terkawal sekakat ini.

Tiada insiden yang tidak diingini berlaku. Peserta yang mula berkumpul di beberapa lokasi sejak awal pagi, dilihat mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak penganjur.

Beberapa lokasi yang sudah ditetapkan pihak penganjur mula dipenuhi dengan peserta himpunan yang memakai baju berwarna kuning.

Mereka juga kelihatan mengibarkan bendera Jalur Gemilang. Ikuti laporan langsung dari kami menerusi laman web www.sinarharian.com.my, Facebook Sinar Harian dan Twitter @SinarOnline untuk perkembangan terkini himpunan Bersih 4.0.

Orang kanan Pas Sarawak jadi teraju Harapan Baru


28 OGOS 2015Harapan Baru
Harapan Baru

KUCHING - Mesyuarat pemilihan anggota jawatankuasa gerakan Harapan Baru Sarawak pada 20 Ogos lepas, sebulat suara memilih‎ bekas Ketua Penerangan Pas Sarawak, Andri Zulkarnaen Hamden sebagai pengerusi negeri.
   
Andri berkata, beliau akan menerajui Harapan Baru Sarawak dan akan dibantu anggota‎ jawatankuasa (AJK) yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama serta latar belakang profesional berbeza.
   
"Dalam mesyuarat itu juga kami bersetuju sebulat suara Harapan Baru Sarawak akan meletakkan calon bagi bertanding dalam pilihan raya negeri akan datang.
   
"Dun yang menjadi sasaran Harapan Baru bukan hanya kerusi‎ pengundi Melayu, malah kerusi majoriti bukan Islam juga menjadi sasaran," katanya kepada Bernama.
   
Andri berkata Harapan Baru Sarawak menyasarkan kerusi antaranya Dun Lambir, Samalaju, Semariang, Muara Tuang, Kedup, Triboh, Batang Sadong, Sebuyau, Beting Maro, Belawai, Dalat, Demak Laut dan Dalat.
     ‎
"Namun pembahagian kerusi ini hanya akan diputuskan selepas berunding dengan rakan-rakan daripada DAP dan PKR serta kelulusan Harapan Baru pusat untuk semakan.
   
"Kami sudah mempunyai calon yang berwibawa, berpotensi serta bersedia untuk diletakkan di kawasan fokus tersebut. Rata-rata adalah kalangan anak tempatan yang sudah tentu diberi keutamaan," katanya.
   
Menurut Andri yang juga bekas Yang Dipertua Pas Kawasan Santubong, Harapan Baru‎ Sarawak akan mengadakan sidang media memperkenalkan AJK dan mempromosi program mereka pada 4 September ini.
   
"Pada 6 September, sidang media bersama Pengerusi Harapan Baru, Mohamad Sabu yang juga‎ bekas Timbalan Presiden Pas serta pemimpin Harapan Baru pusat seperti Dr Mohd Hatta Ramli, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul‎ Samad dan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud bersama pimpinan PR Sarawak akan diadakan," katanya. - Bernama

Tan Sri antara akan sertai Harapan Baru


WARTAWAN SINAR HARIAN
28 OGOS 2015Tan Sri antara akan sertai Harapan Baru
Tan Sri antara akan sertai Harapan Baru Wan Abdul Rahim (tiga, kiri) bertanyakan perkembangan keluarga mangsa kebakaran, Noriza Ab Hamid ketika mengunjungi keluarga berkenaan di Taman Kenangan, Kota Bharu.

KOTA BHARU - Gerakan Harapan Baru (Harapan Baru) yang akan melancarkan Parti Amanah Negara (Amanah) pada 31 Ogos ini, akan melibatkan pemimpin pelbagai peringkat, termasuk yang bergelar Tan Sri.

Pengerusi Harapan Baru Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, mereka yang terlibat dalam Amanah adalah daripada golongan profesional dan individu yang pertama kali terlibat dalam politik.

“Beberapa nama besar akan turut diumumkan sempena pelancaran itu, malah mereka yang terlibat dengan Amanah bukan dalam kalangan pemimpin yang bertanding pada muktamar Pas tahunan Jun lalu.

“Ini sekali gus menolak dakwaan penubuhannya disebabkan kecewa selepas digugurkan daripada barisan kepimpinan parti,” katanya kepada media selepas melawat mangsa kebakaran di Taman Kenangan di sini, kelmarin.

Wan Abdul Rahim berkata, pada majlis pra pelancaran itu juga beliau akan mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Yang Dipertua Pas Kawasan Kota Bharu, bagi memberikan komitmen kepada parti baharu itu.

“Pada hari itu juga barulah ada parti, borang, pendaftaran, nama, logo dan kita akan edarkan borang keahlian,” katanya.

Wan Abdul Rahim, bekas Ahli Parlimen Kota Bharu juga berkata, pelancaran secara rasmi akan diadakan pada 16 September di Kuala Lumpur.

“Pada 11 September kita akan melancarkan di Kelantan yang disertai pengisytiharan kepimpinan di peringkat negeri,” katanya.

Polis kawal ketat Dataran Merdeka


NIZAM ZAIN
29 OGOS 2015Polis kawal ketat Dataran Merdeka
Polis kawal ketat Dataran Merdeka Pagar besi mula diletakkan di Jalan Raja berdekatan Dataran Merdeka dan dikawal sekumpulan anggota polis selepas raptai penuh Hari Kemerdekaan ke-58 berakhir sebentar tadi‎. - Foto Sinar Harian oleh NIZAM ZAIN

KUALA LUMPUR - Raptai penuh Hari Merdeka ke-60 yang sedang berlangsung di Dataran Merdeka seawal jam 8 pagi tadi berada dalam keadaan terkawal dengan kawalan ketat pihak polis di sepanjang Jalan Tun Perak dan Jalan Parlimen, di sini, hari ini.

Tinjauan Sinar Online mendapati Jalan Tun Perak dan Jalan Parlimen berdekatan lokasi raptai tersebut telah mula ditutup kepada semua kenderaan seawal jam 7 pagi tadi dengan kawal polis trafik untuk menyuraikan lalu lintas.

Selain itu, Jalan Raja berhadapan dengan Bangunan Sultan Abdul Samad turut diletakkan penghalang jalan sejauh 1km dari lokasi raptai.

Dalam kesibukan raptai dijalankan, peserta Bersih 4.0 mula kelihatan menuju lima lokasi berkumpul perhimpunan itu seawal jam 9 pagi tadi.

Sinar Online mendapati peserta Bersih 4.0 yang memakai tshirt kuning kelihatan seolah-olah 'takut' ketika melalui Jalan Tun Perak dalam keadaan berkumpulan.

Tidak kurang pula, peniaga air turut kelihatan sibuk menolak bekas air untuk mencari lokasi sesuai untuk melariskan jualan sebelum perhimpunan itu bermula jam 2 petang nanti.

Dianggarkan kira-kira 200 anggota polis diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga di sekitar Dataran Merdeka bagi menghalang peserta Bersih 4.0 menceroboh lokasi raptai Hari Kemerdekaan itu.

Laman web promosi Bersih 4.0 disekat


28 OGOS 2015Bersih 4.0
Bersih 4.0
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menyekat empat laman sesawang yang menyebar maklumat program perhimpunan haram Bersih 4, setakat 6 petang ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak berkata empat laman sesawang berkenaan ialah http://bersih.org, http://globalbersih.org, http://www.bersih.org dan http://www.globalbersih.org.

"Setakat ini saya dimaklumkan bahawa empat laman sesawang telah disekat," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, hari ini.

SKMM dalam kenyataan semalam menegaskan akan menyekat mana-mana laman sesawang dan portal berita yang mempromosi, menyebarkan maklumat dan menggalakkan orang ramai menyertai perhimpunan haram itu kerana menyifatkan perbuatan itu boleh mengganggu-gugat kestabilan negara.

Menurut Salleh, SKMM kini sedang memantau portal-portal berita bagi memastikan tiada kesalahan sama.

"Setakat ini belum ada portal berita yang mempromosikan perhimpunan haram ini...cuma melaporkan saja, jadi belum ada pelanggaran undang- undang lagi...tiada sebab pengendali berita portal risau," katanya.

Cubaan Bernama untuk mengakses keempat-empat laman sesawang itu setakat 6 petang tadi menyatakan 'kesalahan server' (server error), dengan maklumat bahawa sumber yang dicari mungkin telah dikeluarkan, mempunyai namanya ditukar, atau tergendala buat sementara waktu. - Bernama

ROS tolak guna nama Parti Progresif Islam


28 OGOS 2015Harapan Baru
Harapan Baru

MARANG - Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) menolak permohonan Gerakan Harapan Baru untuk menggunakan nama Parti Progresif Islam sebagai nama parti baharu yang hendak ditubuhkan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana Islam adalah hak untuk semua yang beragama Islam dan penggunaan nama itu pada parti politik hanya boleh menyebabkan kekeliruan.

"Mereka mengharapkan agar golongan yang berada dalam Pas tetapi tidak setuju dengan ulama tetapi setuju dengan Islam yang progresif, dapat menyokong parti itu.

"Saya ingin nyatakan bahawa kita tidak akan benarkan mana-mana parti menggunakan nama agama kerana Islam bukan untuk mereka sahaja, tetapi juga untuk kita dan untuk orang Islam yang tidak ada parti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Marang di Dewan Utama Majlis Daerah Marang, Kampung Paya, di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu yang juga Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dan Ketua Umno Bahagian Marang A Latif Awang.

Ahmad Zahid berkata sebagai Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab, beliau tidak mahu mengulangi kesilapan lepas yang membenarkan sebuah parti politik menggunakan nama Islam sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang Islam di negara ini.

"Kita tidak mahu kesalahan dulu yang memberikan keizinan kepada sebuah parti menggunakan nama Islam sehingga memberi tanggapan seolah-olah hanya dengan menyertai parti itu kita memperjuangkan Islam dan masuk syurga.

Sehubungan itu, katanya ROS akan memberikan surat kepada pemimpin Harapan Baru agar memilih nama lain untuk digunakan pada parti baharu berkenaan.

Ahmad Zahid berkata, sebagai sebuah negara yang demokratik, kerajaan tidak pernah menghalang mana-mana pihak untuk menubuhkan parti politik baharu di negara.

Namun dalam masa yang sama, katanya beliau berharap parti baharu yang ditubuhkan itu tidak memecah belahkan orang Melayu.

"Jangan cuba memecah belahkan perpaduan orang Melayu. Kita mahu seluruh Melayu, jika atas agenda memperkasakan Melayu dan negara, perlu bersatu hati tidak kira dalam parti politik mana sekalipun (kita) berada," katanya.

Dalam masa yang sama Ahmad Zahid turut mengulangi gesaan supaya ahli Umno supaya kembali memperkukuhkan parti untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang, tidak kira apa permasalahan yang sedang dihadapi kini.

"Kita sukar tumbang jika diserang dari luar, tetapi akan mudah hancur jika kita berperang sesama sendiri. Jadi kita asahlah kuku dan tanduk dari sekarang agar jangan parah diserang musuh nanti. Gunakan ia untuk menyerang musuh di luar supaya Umno dapat rampas kerusi yang dimenangi  pembangkang sebelum ini," katanya.  - Bernama

Jelaskan secara terperinci derma 2.6 bilion


SITI AZIELAH WAHI
28 OGOS 2015Najib Tun Razak
Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR- Ahli Umno Cawangan Padang Matsirat, Langkawi, Ainina Saadudin menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden Umno menjelaskan secara terperinci derma politik RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi beliau.

Ainina, 40, berkata beliau juga menuntut perdana menteri mengembalikan wang tersebut kepada Umno.

"Sebagai ahli Umno saya amat kecewa dengan apa yang berlaku kepada parti saya hari ini.

Ahli-ahli Umno semakin rimas dengan kegagalan Najib untuk menjelaskan secara meyakinkan kepada ahli parti mengenai derma 2.6billion," katanya.

Menurut Ainina, dia telah meluahkan perkara berkenaan ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan Wanita Umno Bahagian Langkawi baru-baru ini namun presiden Umno mengendahkan teguran dan kritikannya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Anina: Ahli Umno sokong saya, tepuk tangan]

Sehubungan itu, menurutnya beliau telah membuat laporan kepada Lembaga Disiplin Umno supaya memanggil Najib untuk memberikan penjelasan.

"Saya percaya Najib telah melakukan pecah amanah dan melanggar Perlembagaan Umno dalam menerima dan membelanjakan wang RM2.6 bilion itu," katanya kepada pemberita di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Menurutnya, dia khuatir tiada tindakan dilakukan ke atas Najib kerana kedudukannya sebagai perdana menteri dan presiden Umno yang amat berkuasa.

"Atas kesedaran, kesetiaan dan komitmen sebagai ahli Umno, menjadi tanggungjawab saya untuk menjaga kepentingan dan nama baik Umno, saya failkan tuntutan ini demi menuntut keadilan bagi pihak Umno," katanya.

Selain itu, katanya dia melakukannya kerana sayangkan Umno dan merayu pihak mahkamah memberikan keadilan kepada ahli-ahli Umno.

"Saya memohon Datuk Seri Najib bersikap jujur, amanah dan adil kepada ahli politik," katanya.

Iran tayang filem Muhammad


Penerbit mahu tanggapan negatif terhadap Islam pulih
29 Ogos 2015 12:20 AM




TEHERAN 28 Ogos - Filem Iran paling mahal yang mengisahkan zaman kanak-kanak Nabi Muhammad SAW, Muhammad mula ditayangkan di seluruh dunia, semalam dan me­nerima pujian daripada penonton.
Filem arahan Majid Majidi itu menelan kos AS$40 juta (RM164 juta) dan mengambil masa lebih tujuh tahun untuk disiapkan bagi menangkis persepsi buruk yang dilemparkan kepada Islam terutamanya daripada golongan Barat.
Menurut Majid, filem selama 171 minit itu merupakan bahagian pertama daripada sebuah trilogi dan beliau mahu imej Islam dibersihkan daripada fahaman puak pelampau yang menyebabkan tanggapan negatif dalam kalangan agama lain.
Majid menjelaskan, Islam merupakan agama yang mengajar tentang keamanan, kasih sayang serta persahabatan dan pada zaman ini, Islam dianggap sebagai agama radikal, fanatik, dan ganas walaupun persepsi sedemikian tidak betul.
“Saya mahu menunjukkan kepada dunia bahawa Islam merupakan agama yang indah menerusi filem ini.
“Tindakan oleh kumpulan pengganas yang menggunakan nama Islam tidak ada kaitan dengan ajaran Islam,” kata Majid yang merujuk kepada tindakan militan Negara Islam (IS) yang melakukan pembunuhan dan memusnahkan tempat bersejarah di Syria dan Iraq.
Sementara itu, rakyat Iran yang menonton tayangan perdana filem itu, Abolfazl Fatehi, 21, bersama tujuh ahli keluarganya, memuji filem berkenaan yang menonjolkan kisah sebenar tentang keindahan Islam.
“Saya rasa filem ini boleh menjadi permulaan kajian yang baik kepada mereka yang tidak mengenali Islam,” katanya.
Seorang lagi penonton, Mehdi Azar, 25 berkata, filem berkenaan sangat panjang, tetapi masih mampu menarik perhatian untuk ditonton sehingga habis. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/iran-tayang-filem-i-muhammad-i-1.129640#sthash.9W9e0Ru0.dpuf