Showing posts with label judi. Show all posts
Showing posts with label judi. Show all posts

Wednesday, September 26, 2012

Jumlah warga Malaysia, Singapura berhibur di Batam meningkat sejak pusat perjudian dibuka

BATAM: Semakin ramai warga Malaysia dan Singapura menghabiskan masa hujung minggu di Batam sejak beberapa bulan lalu ekoran pembukaan pusat rekreasi berkaitan perjudian di pulau berkenaan.

Walaupun pihak berkuasa menafikan mereka membenarkan semula aktiviti perjudian di situ, rekod menunjukkan sebanyak 14 lesen “kemudahan rekreasi dan perjudian” diberi untuk merangsang sektor pelancongan di situ.


Ia juga dibuat bagi menyediakan kemudahan pusat hiburan kepada pelabur asing di Pulau Batam. Ketua Unit Pelancongan Batam, Yusfa Hendri, berkata jumlah pelancong asing meningkat ketara di situ, sekali gus merancakkan bisnes sektor perhotelan, restoran dan pengangkutan.

“Secara tidak langsung, ia menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan di Batam,” katanya. Menurut Yusfa, pihaknya menerima 30 permohonan membuka pusat rekreasi dan perjudian dan tiada satu pun ditolak. Polis pernah menutup pusat perjudian di Batam pada November tahun lalu ekoran bantahan komuniti Islam setempat. - Kompas

Sunday, September 9, 2012

Bongkar!! Siapa Pewaris Sebenar Pusat Judi Genting Highlands?


Tauke Genting Highlands, Lim Goh Tong, semasa bekerja di Cameron Highlands tertarik dengan persekitaran Cameron Highlands. Bila balik KL, dia pun mula mencari kawasan yang hampir sama dengan Cameron Highlands tapi dekat dengan KL.
Cari punya cari…dia jumpa satu kawasan tanah tinggi di Gunung Ulu Kali yang berketinggian 1,800 kaki dari paras laut.

Gunung Ulu Kali terletak ditengah-tengah sempadan Selangor dan Pahang. Nak buat apa-apa projek pun, bukan senang…sebab kena deal dengan dua negeri.

Tapi Lim Goh Tong bukan bodoh…sebab dia tau orang Melayu boleh dibeli. Toksah kata orang kampung…bapak Menteri pun boleh dibeli.

Orang pertama dibeli oleh Lim Goh Tong ialah Tan Sri Haji Mohamed Noah Omar. Toksah tengok title Tan Sri ataupun title Haji. Itu semua tak ada makna. Lim Goh Tong menubuhkan Syarikat Genting Highlands Berhad dan melantik Haji Mohamed Noah sebagai Pengarah

Lim Goh Tong berpakat dengan Mohamed Noah untuk memohon tanah seluas 12,000 ekar yang terletak dalam negeri Pahang dan 2,800 ekar dari negeri Selangor. Dan sudah semestinya, perkara nak mintak tanah ni..Haji Mohamad Noah yang buat.

Kerajaan negeri Pahang meluluskan permohonan Genting Highlands Berhad serta merta. Tapi Datuk Harun Idris yang jadi Menteri Besar Selangor masa tu tak setuju nak bagi macam tu saja. Dia memberikan hak milik 99 tahun kepada Genting Highlands Berhad.

Goh Tong tak setuju dengan pajakan 99 tahun, sebaliknya dia mahukan hakmilik kekal. Datuk Harun tak setuju, sebaliknya dia hanya mahu bagi pajakan 99 tahun. Akhirnya, Datuk Mohamed Noah berjumpa dengan Tun Razak yang masa tu menjadi Timbalan Perdana Menteri supaya mendesak Datuk Harun suruh bagi juga kat Lim Goh Tong.

Datuk Harun terpaksa bersetuju dengan Tun Razak supaya memberikan tanah seluas 2,8000 ekar yang dimiliki oleh Kerajaan Selangor kepada Lim Goh Tong. Apa tujuan untuk membangunkan Genting Highlands..yang tu aku tak payah cerita. Kalau yang tu pun hangpa tak tau.. aku tak tau nak cakap la.

Tun Razak pun aku tak payah cerita.. sebab kalau tak tau dia tu bapak kepada Najib… tak tau nak kata apa la.

Cuma..berapa ramai yang tau siapa Tan Sri Haji Mohamed Noah yang menjadi kuda tunggangan Lim Goh Tong?

Tan Sri Haji Mohamed Noah adalah bapa mertua kepada Tun Razak. Datuk Najib jugak!! Anak Haji Mohamed Noah ialah Rahah (mak Najib) dan Suhaila (emak Hishamuddin).

Datuk kepada Najib dan Hishamuddin adalah kuda tunggangan Lim Goh Tong untuk mendapatkan 14,800 ekar tanah rizab Melayu untuk dijadikan pusat perjudian terkemuka didunia. Dan Pak Mentua dengan menantu bersepakat menggunakan kedudukan depa untuk mendapatkan persetujuan dua-dua kerajaan negeri.

Tun Razak dari Pahang.. jadi tak susah nak bodek Sultan Pahang. Manakala di Selangor, Tun Razak menggunakan kedudukannya sebagai Timbalan Perdana Menteri untuk memaksa Datuk Harun Idris menyerahkan tanah milik kerajaan Selangor kepada Pak Mentua dia.

Cara meluluskan Genting Highland pun semua kelam kabut. Sapa yang menentang semua kena steamroll.

Genting Highlands Berhad ditubuhkan pada 27 April 1965. Kerja-kerja membuat jalan dari Genting Sempah ke puncak gunung Ulu Kali bermula pada 18 Ogos 1965. Dalam masa empat bulan, semua proses permohonan tanah selesai. Masa tu kalau rakyat biasa nak tukar nama dalam geran pun mengambil masa dua tahun.

Sejarah selebihnya..yang tu hangpa cari sendiri la. Genting Highlands melalui beberapa proses pertukaran nama, percantuman, pertukaran pemegang saham.. akhirnya dimiliki sepenuhnya oleh Lim Goh Tong.

Sekarang ni…ada la dua tiga kerat Melayu yang jadi Pengarah non-eksekutif.. menguruskan pusat judi.

Tapi jangan risau…banyak lagi tanah-tanah di Malaysia ni yang belum tergadai. Semua orang mempunyai pilihan…sama ada nak terus pilih generasi Tan Sri Mohamed Noah untuk menggadaikan tanah Melayu..atau campak saja depa kelaut.

Jangan salahkan pencuri.. sebab kerja pencuri ialah mencuri. Salahkan diri sendiri sebab terus membenarkan pencuri bermaharajalela. ~msk

>>>> http://www.kedahlanie.info/2012/07/bongkar-siapa-pewaris-sebenar-pusat.html

Thursday, September 22, 2011

Judi haram makin banyak di Melaka





MELAKA 21 Sept. – Sebahagian daripada penduduk di negeri ini kini melahirkan kebimbangan dengan kewujudan pusat-pusat perjudian haram yang tumbuh membiak bagai cendawan di negeri itu tanpa tindakan tegas pihak penguat kuasa.
Pusat perjudian yang beroperasi di kafe-kafe siber di seluruh negeri ini dikatakan turut menimbulkan rasa tidak puas hati kepada pemimpin kerajaan negeri ini.
Menurut sumber, kerajaan negeri pernah melahirkan rasa tidak puas hati itu kerana pihak berkuasa tidak tegas dalam menangani kegiatan itu.
Namun, pengusaha premis perjudian berkenaan pula semakin rakus mengaut keuntungan apabila kegiatan mereka berjaya menarik minat ramai pelanggan berpendapatan rendah, golongan belia, pelajar sekolah dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).
Ahli Jawatankuasa Gerakan Belia 4B Bukit Katil, Adnan Saad ketika mendedahkan permasalahan itu mendakwa, lebih daripada 100 premis menjalankan kegiatan perjudian berkomputer secara terbuka dan beroperasi tanpa lesen di beberapa daerah di negeri ini.
Menurutnya, kebanyakan premis berkenaan beroperasi di sekitar Alor Gajah, Masjid Tanah, Merlimau, Jasin, Melaka Tengah dan Ayer Keroh.
“Orang ramai kecewa dengan sikap tidak endah pihak berkuasa yang dilihat tidak serius mengambil tindakan terhadap kewujudan semakin banyak pusat judi berkomputer di negeri ini.
“Kami diberitahu, setiap kali serbuan hendak dilakukan melalui kerjasama pihak berkuasa dan pihak berkuasa tempatan (PBT) ia sering kali gagal.
“Apabila serbuan dibuat, premis berkenaan tidak beroperasi. Serbuan itu gagal kerana pemiliknya seolah-olah sudah tahu mengenai operasi tersebut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Baru-baru ini, Bahagian Penguat Kuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) merampas 35 unit komputer yang menjalankan kegiatan judi haram manakala Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) pula menyita 37 unit.
Adnan turut mendakwa ada premis berkenaan yang beroperasi berdekatan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di Bukit Beruang dan berhampiran Balai Polis Simpang Ampat di Alor Gajah.
Beliau melahirkan rasa kecewa dengan pihak berkuasa yang langsung tidak ambil peduli terhadap maklumat yang diberikan kepada mereka mengenai premis yang menjalankan kegiatan tersebut.
“Saya pernah memaklumkan kepada pihak berkuasa mengenai sebuah pusat siber menjalankan kegiatan judi berkomputer di Melaka Tengah tetapi malangnya mereka tidak datang bertindak atau menahan pemiliknya,” ujarnya.
Justeru, katanya, beliau bersama 60 ahli Gerakan Belia 4B termasuk orang ramai terpaksa mengambil tindakan sendiri apabila berjumpa dengan pemilik premis berkenaan dan meminta mereka menutup operasi premis tersebut.
Adnan menambah, sekiranya pihak berkuasa tidak mengambil sebarang tindakan wajar membanteras premis berkenaan, ahli Gerakan Belia 4B seluruh negeri melibatkan 6,000 orang akan membuat demonstrasi aman.

Friday, August 26, 2011

Pusat judi siber diserbu



KUANTAN - Gara-gara leka bermain judi ala kasino di dua pusat siber di Jalan Beserah dan Padang Lalang, tujuh lelaki di tahan di dalam Ops Judi oleh Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) manakala 20 komputer disita di sini, malam semalam.

Operasi bersepadu itu dijalankan secara bersepadu dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Cawangan Pencegah Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian D7 Ibu Pejabat Polis Daerah dan Telekom Malaysia Berhad.

Dalam operasi selama tiga jam bermula jam 10.30 malam semalam, dua pusat siber yang tidak berlesen di Jalan Beserah dan di Padang Lalang di serbu pihak berkuasa selepas didapati menyediakan permainan judi ala kasino.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam dan Kemasyarakatan MPK, Haslinda Hassan berkata, operasi bersepadu yang diadakan itu merupakan yang pertama dijalankan bersama agensi kerajaan.

Menurutnya, kerjasama dengan SKMM dijalankan bagi memantapkan lagi penguatkuasaan terhadap pemilik pusat siber yang masih degil.

“Kita mengenal pasti 34 pusat siber yang terlibat dengan mesin judi malah sudah mengambil tindakan seperti memotong bekalan elektrik sebelum ini.

“Bagaimana pun, pemilik premis tersebut masih berdegil malah membuat penyambungan semula. Justeru, MPK bekerjasama dengan SKMM untuk memotong talian internet di premis terbabit,” katanya kepada Sinar Harian.

Haslinda berkata, daripada jumlah berkenaan, 26 pusat siber masih beroperasi antaranya di Jalan Air Putih, Jalan Pasar dan Padang Lalang.

Katanya, pihaknya akan melakukan pemantauan berterusan terhadap premis yang dikenal pasti pusat siber yang menyediakan perkhidmatan mesin judi terbabit.

Kesemua yang ditahan di bawa balai bagi membantu siasatan atas kesalahan perjudian komputer.

Pada operasi sama, sebuah pusat hiburan di Jalan Gambut turut dikenakan kompaun oleh MPK atas kesalahan melanggar syarat iaitu menjalankan kaunter juruhebah tanpa kelulusan.

Tuesday, April 26, 2011

Judi: Utusan bidas BN, polis?


KUALA LUMPUR, 26 April: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berpendapat laporan akhbar Utusan Malaysia semalam bertajuk 'Pulau Pinang lubuk judi?' hanya mahu menempelak kerajaan Persekutuan.


Katanya, beliau tidak nampak isu tersebut memberi imej buruk kepada kerajaan negeri itu yang diterajui DAP, memandangkan umum mengetahui bahawa kuasa meluluskan lesen judi adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan yang diterajui Umno BN.


Begitu juga penguatkuasaan terhadap sebarang judi haram. Ia adalah bidang kuasa polis bukannya kuasa kerajaan negeri.


"Saya rasa Utusan pun tahu la. Lesen judi bukan diluluskan oleh kerajaan negeri, tapi oleh kerajaan persekutuan.


"Kalau Utusan cakap macam itu, macam dia menepuk air kena ke muka sendiri," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat DAP di ibu negara hari ini.


Tambahnya, pihak kerajaan negeri juga tidak berkuasa mengambil tindakan undang-undang kerana bidang kuasa tersebut hanya ada pada pihak polis.


Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar pro-Umno itu semalam berhubung peningkatan kadar tangkapan sindiket judi di pulau pinang.


Guan Eng bagaimanapun menegaskan, kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang tidak pernah meluluskan sebarang lesen untuk tujuan itu.


"Jadi saya tidak tahu, dia (Utusan) serang kerajaan DAP Pualu Pinang ke, atau kerajaan Persekutuan dan pihak polis," katanya.

Turun harga barang



Sementara itu, pada sidang media sama, beliau yang juga Setiausaha DAP Kebangsaan mahu kerajaan memberi penjelasan berhubung harga barangan keperluan masih tinggi biarpun nilai ringgit meningkat.


Katanya, nilai ringgit yang kini pada RM2.99 untuk 1 USD adalah pada kadar tertinggi dalam tempoh 14 tahun.


"Kesannya, barangan import kita jadi murah sebab nilai ringgit kita tinggi, namun untuk 6 bulan ini kita tidak lihat lagi harga barang diturunkan," katanya.


Sebelum ini ujarnya, kerajaan sering menggunakan perbandingan dengan Amerika untuk menaikkan sesuatu harga barang, namun dalam keadaan terbaru ini tiada pula perbandingan sama dibut untuk menurunkan harga barang tersebut.


"Kita bagi tempoh sebulan kepada kerajaan BN untuk bertindak menurunkan harga barang ini," katanya.
Judi: Utusan bidas BN, polis?

Wednesday, April 13, 2011

RM31j duit judi ditanam di kebun bawang putih


SEOUL: Polis Korea Selatan merampas wang tunai bernilai hampir RM30.6 juta ditanam dalam kebun bawang putih di kawasan terpencil, kata pegawai keselamatan semalam.
Menurut pegawai itu, wang berkenaan adalah perolehan daripada aktiviti perjudian tanpa lesen di Internet dikendalikan dua beradik.

Katanya, wang berkenaan disembunyikan di kawasan pertanian di bandar Gimje, selatan Seoul.

“Apabila menyedari aktiviti mereka dikesan polis, suspek mengarahkan ipar mereka - dikenali sebagai Lee - menyembunyikan wang berkenaan di ladang itu,” katanya.

Seorang daripada mereka kemudian ditahan polis dan dipenjara, manakala seorang lagi bebas.

Menggunakan wang itu, Lee, 53, membeli kebun bawang putih dan menanam wang tunai berkenaan ketika subuh atau senja dengan berpura-pura bercucuk-tanam di situ.

Bagaimanapun, tidak lama kemudian, Lee menggunakan kira-kira RM1 juta daripada wang itu tanpa pengetahuan iparnya.

Apabila seorang daripada iparnya akan dibebaskan, Lee menyalahkan seorang pekerja jengkaut di kebun berkenaan.
Pekerja itu kemudian melaporkan kejadian itu kepada polis. Polis berkata, mereka kini cuba mendapatkan waran tangkap ke atas Lee.

Sementara itu, laporan media mengenai isu itu meningkatkan desakan kepada kerajaan supaya lebih giat membasmi kegiatan perjudian tanpa lesen melalui Internet.

Biasanya, aktiviti itu dijalankan dalam laman sesawang yang berpangkalan di luar pesisir pantai. - AFP

Petani sorok wang RM30 juta di ladang


SEOUL: Polis Korea Selatan semalam menahan seorang petani kerana menyembunyikan wang tunai AS$10 juta (RM30 juta) di sebuah ladang bawang putih. 


Saudara petani terbabit memperoleh wang itu dengan mengendali laman judi haram di internet. Polis merampas wang petani itu yang ditanam di ladangnya di Gimje, kira-kira 260 kilometer selatan ibu kota ini.
Petani dengan nama keluarga Lee itu ditahan kelmarin. Dua abang ipar Lee, seorang dalam penjara dan seorang lagi dalam buruan polis, memintanya menyembunyikan wang itu. – AP

Tuesday, March 29, 2011

Pas Kelantan kekal haramkan big sweep



KOTA BHARU 28 Mac - Kerajaan Pas Kelantan akan terus mengekalkan pengharaman penjualan tiket judi big sweep selepas mendapati tindakan itu tidak bertentangan dengan undang-undang Persekutuan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Penasihat Undang-Undang negeri, Datuk Azlan Abdul Halim bersetuju dengan tindakan itu selepas melihat semula pengharaman tersebut dari aspek perundangan.
Beliau berkata, perkara tersebut juga telah dibincangkan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri hari ini dan mendapati ia selaras dengan Seksyen 9 Akta Kerajaan Tempatan iaitu kerajaan negeri boleh memberikan arahan kepada pihak berkuasa tempatan supaya melaksanakan dasar yang ditetapkan.
"Dalam hal judi, dasar kerajaan negeri tidak membenarkannya sama ada dijual dalam premis atau di luar premis.
"Bagaimanapun, memiliki tiket judi bukan satu kesalahan, oleh itu kita benarkan tiga premis yang diserbu sebelum ini supaya dikompaun dan mereka boleh ambil baik tiket loteri, kalau hendak guna sendiri terpulang, tetapi tidak boleh dijual," katanya selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri, di sini hari ini.
Pada 16 Mac lalu Menteri Besar, Nik Abdul Aziz Nik Mat mengarahkan Azlan supaya melihat semula pengharaman penjualan judi 'big sweep' kerana ada pihak yang berpendapat ia bertentangan dengan undang-undang Persekutuan.
Arahan tersebut dikeluarkan selepas tindakan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menyerbu tiga buah kedai yang menjual tiket loteri 'big sweep' mendapat bantahan MCA dan DAP.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek turut mengarahkan MCA Kelantan supaya membawa perkara itu ke mahkamah.
Nik Abdul Aziz turut mengadakan pertemuan dengan kepemimpinan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi menjelaskan perkara tersebut.
Takiyuddin berkata, pengharaman itu dikekalkan berdasarkan keadaan persekitaran negeri ini dan tidak membabitkan negeri-negeri lain.
-utusan

Kelantan kekal haram judi



Oleh Khairul Anuar Abdul Samad
krull@bharian.com.my
2011/03/29

Keputusan dibuat Nik Aziz selepas mesyuarat EXCO 

KOTA BHARU: Kerajaan PAS Kelantan semalam, mengekalkan keputusan mengharamkan sebarang bentuk kegiatan perjudian, termasuk penjualan loteri kebajikan di semua premis di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat, selepas mendapat pandangan Penasihat Undang-undang negeri, Datuk Mazlan Abdul Halim, mengenai perkara berkaitan, mengekalkan keputusan pengharaman itu.
Katanya, keputusan itu kekal untuk negeri ini saja, ia tidak membabitkan persekitaran luar Kelantan dengan berlandaskan kepada Seksyen 9 Kerajaan Tempatan, kerajaan negeri boleh pada bila-bila masa memberi arahan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya melaksanakan sebarang dasar yang tidak bercanggah dengan Akta Kerajaan Tempatan 1976. 

"Keputusan yang dibuat oleh Nik Aziz adalah berdasarkan kepada pandangan Penasihat Undang-undang negeri dan dalam hal judi ini tetap tidak boleh (haram) di negeri ini. Ini keputusan diambil dalam mesyuarat EXCO kerajaan negeri hari ini. 

"Keputusan ini kekal sebagaimana pemerintahan PAS sejak 20 tahun lalu dan pengharaman itu merangkumi penjualan (loteri atau perjudian) yang dilakukan sama ada dalam atau luar premis di semua PBT di negeri ini. 

“Oleh itu, apa yang dilaksanakan oleh PBT negeri ini termasuk tindakan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) baru-baru ini yang menyerbu tiga premis di Kota Bharu yang menjual loteri adalah selaras dengan Akta Kerajaan Tempatan Seksyen 9,” katanya selepas mesyuarat Exco, di Kota Darulnaim, di sini, semalam. 
Beliau mengulas mengenai keputusan kerajaan negeri mengenai isu judi berikutan tindakan Nik Aziz yang menyerahkan kepada Penasihat Undang-undang negeri mengenai perkara ini, selepas MPKB mengambil tindakan menyerbu tiga premis yang menjual loteri big sweep, baru-baru ini. 

Isu judi ini turut mendapat perhatian sekutu PAS, apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur Menteri Besar itu, mengenai pendiriannya mengharamkan segala perjudian termasuk loteri kebajikan di Kelantan. 

Pengerusi DAP, Karpal Singh juga mendesak kerajaan Kelantan supaya menarik balik pengharaman itu (penjualan loteri) kerana ia dibenarkan kepada kaum bukan Islam di bawah Undang-Undang Kerajaan Persekutuan. 

Takiyuddin berkata, tindakan yang dilakukan MPKB terhadap tiga premis yang didapati menjalankan kegiatan menjual loteri kebajikan itu adalah satu tindakan yang betul mengikut undang-undang. 

"Tindakan diambil itu adalah di bawah Undang-Undang Kecil Tred, Perniagaan dan Perindustrian MPKB 1985, mana-mana perniagaan mesti dilesenkan dan judi apabila menjadi perniagaan, menjadi satu kesalahan," katanya. 

Saturday, March 19, 2011

RM3,000 upah teman VIP


MALISA ...peneman VIP di meja judi
MALISA ...peneman VIP di meja judi

KUALA LUMPUR: “Saya dianggap pembawa ‘ong’ (tuah) kepada golongan VIP kerana mereka selalu menang apabila membawa saya ketika berjudi di luar negara,” kata penuntut institut pengajian tinggi swasta (IPTS) yang hanya mahu dikenali sebagai Malisa.
Dalam pengakuannya kepada Harian Metro, gadis berusia 20-an itu mendakwa dia memperoleh wang dengan cara mudah dan mampu hidup mewah dengan ‘kerjaya’ sedemikian. Tanpa berselindung, Malisa mengaku dia mula ‘gelap mata’ apabila mendapat upah sehingga mencecah RM3,000 hanya dengan menemani golongan VIP ketika berjudi.

Menceritakan bagaimana dia mula terjebak dengan kegiatan itu, Malisa berkata, dia dipengaruhi rakan sekuliah yang memaklumkannya cara memperoleh wang mudah dengan hanya menjadi ‘pendamping’ dan penyeri di meja judi kepada golongan VIP berkenaan.

Malisa berkata, rakannya itu mendakwa dia tidak perlu menyerahkan tubuh kepada VIP yang ditemani tetapi hanya perlu berdiri di sisi mereka ketika berjudi, kononnya untuk memberi tuah.

“Secara kebetulan, pada waktu itu saya memang mempunyai masalah keluarga dan amat memerlukan wang bagi menampung perbelanjaan projek di universiti untuk menamatkan pengajian.

“Tanpa berfikir panjang, saya bersetuju mengikut rakan berkenaan untuk melakukan ‘kerja’ itu dan pada masa sama bertekad menjaga kehormatan saya dengan tidak melakukan hubungan seks dengan VIP yang saya temankan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurut Malisa, dia kemudian dibawa rakannya ke sebuah negara jiran sebelum ditemukan seorang lelaki bergelar Datuk di sebuah hotel bertaraf lima bintang di sana.

“Kami dilayan seperti puteri kerana segala perbelanjaan, seperti tiket penerbangan, penginapan, makan dan minum dibiaya Datuk itu bersama tiga lagi rakannya.
“Pada waktu malam, kami dibawa ke sebuah kasino di sana dan saya hanya perlu duduk di sisi Datuk berkenaan sambil berharap kehadiran saya benar-benar memberikan tuah kepadanya, selain bertepuk tangan jika menang,” katanya.

Malisa berkata, nasib menyebelahinya pada malam itu apabila Datuk yang ditemaninya menang dalam perjudian dan hasilnya, dia diberi upah sebanyak RM1,500.

“Sejak itu, saya semakin seronok melakukan aktiviti itu dan saya juga sudah mampu melakukannya bersendirian tanpa perlu mengajak rakan kerana sudah dikenali di kalangan VIP,” katanya.

Menurutnya, dalam aktiviti seterusnya sebagai gadis peneman VIP di meja judi, dia mendapat upah lebih lumayan dengan purata antara RM2,000 hingga RM3,000 untuk satu sesi.

Kata Malisa, biarpun sedar kerjayanya itu tidak bermoral dan salah mengikut ajaran Islam, kemewahan diperoleh menyebabkan dia berasa tidak bersalah dengan apa yang dilakukan.

“Terus-terang, pekerjaan ini kini sudah sebati dengan diri saya. Saya anggap apa yang saya lakukan ini sebagai pekerjaan sambilan pada hujung minggu kerana saya masih lagi belajar. Saya juga tak takut dicekup pihak berkuasa kerana aktiviti saya dilakukan di luar negara,” katanya. Malisa berkata, selepas melakukan kegiatan itu selama hampir tiga tahun dia kini mampu memperoleh pendapatan sehingga RM10,000 untuk membolehkan dia membeli barangan seperti beg tangan dan pakaian berjenama, selain mengirimkan wang untuk ibu bapa di kampung. Bagaimanapun, Malisa sedar dia tidak boleh selama-lamanya melakukan kegiatan itu dan tahu wang yang diperolehnya tidak berkat, malah pengajiannya juga semakin merosot. “Duit yang saya peroleh habis sekelip mata, saya tidak ingat apa yang saya beli dan belanjakan untuk apa. Saya harap saya dapat berhenti melakukan pekerjaan ini dalam masa terdekat,” katanya

Thursday, January 20, 2011

“Kelantan benarkan arak, haram judi”



KOTA BHARU - Kerajaan Negeri sedia membenarkan premis menjual minuman keras dan menambah pengeluaran lesen premis berdasarkan permintaan pelanggan bukan Islam di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Kerajaan Negeri tidak pernah menyekat orang bukan beragama Islam menikmati minuman keras.

“Ini membuktikan, walaupun mengamalkan dasar pentadbiran Islam, Kerajaan Negeri tidak pernah menghalang orang bukan Islam menikmati minuman keras.

“Kita juga bersedia menambah pengeluaran lesen premis minuman keras dan akan mengkaji permohonan itu sebelum mengeluarkan lesen berkenaan berdasarkan formula yang ditetapkan,” katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Hotel Crown Garden, Jalan Kebun Sultan di sini, semalam.

Takiyuddin berkata, di sekitar bandar Kota Bharu sahaja, Kerajaan Negeri sudah mengeluarkan sebanyak 28 lesen premis minuman keras termasuk di Jalan Kebun Sultan.

Beliau berkata, pihaknya mengharamkan judi di negeri ini kerana perbuatan itu (judi) tidak beri apa-apa faedah kepada orang Islam dan bukan Islam.

Menurutnya, bagi masalah judi, Kerajaan Negeri tidak akan bertolak ansur memandangkan sebelum ini pihaknya pernah mengadakan dialog pada 1990 dahulu melibatkan kaum wanita.

“Menyedari pada peringkat awal semasa peraturan mula-mula dibuat, kerajaan Pas menyatakan ketetapan untuk mengharamkan premis judi, wanita bukan Islam turut setuju dengan cadangan berkenaan.

“Kita mendapat maklum balas semasa dialog itu, semua (wanita bukan Islam) bersetuju dengan pengharaman judi memandangkan ada di kalangan suami yang kalah judi memukul isteri,” katanya.

Friday, December 17, 2010

Hasil Judi Negara mulai tahun 2000 hingga September 2010 « jiwo kelate

Hasil Judi Negara mulai tahun 2000 hingga September 2010 « jiwo kelate:
 "Hasil Judi Negara mulai tahun 2000 hingga September 2010
Posted on Disember 8, 2010 by Pelapor
Puan Siti Zailah Binti Mohd. Yusuff (Rantau Panjang) minta MENTERI KEWANGAN menyatakan jumlah pendapatan negara sejak tahun 2000 hingga tahun 2010 dari sumber pendapatan dari hasil lesen judi yang dikeluarkan dan jumlah perbelanjaan terperinci yang telah digunakan dari hasil pendapatan lesen judi tersebut.
JAWAPAN BERTULIS:
Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Yang Berhormat, jumlah hasil yang disumbangkan oleh sektor perjudian kepada negara dari tahun 2000 hingga 30 September 2010 adalah seperti berikut:
Tahun Jumlah (RM)
2000 1,958,380,415.89
2001 1,972,252,986.48
2002 1,922,115,807.36
2003 1,797,401,240.15
2004 1,849,176,119.10
2005 1,984,615,754.74
2006 2,266,814,152.52
2007 2,416,963,021.54
2008 2,561,892,892.66
2009 2,606,378,658.57
Sehingga 20 September 2010 1,952,406,090.08
2. Untuk makluman Yang Berhormat selanjutnya, kesemua hasil perjudian tersebut dimasukkan sebagai hasil ke dalam Kumpulan Wang Disatukan. Hasil dalam Kumpulan Wang Disatukan ini digunakan sebagai sumber perbelanjaan mengurus dan membangun Negara tanpa disasar kepada sesetengah golongan sahaja."

Thursday, November 25, 2010

Hentikan pakej percuma ke kasino





JOHOR BAHRU 24 Nov. - Kerajaan digesa mengadakan perbincangan diplomatik dan meminta Singapura menghentikan pakej percuma pelancongan ke kasino di negara jiran itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nenas, Tang Nai Soon berkata, perbincangan tersebut merupakan salah satu daripada lima langkah yang boleh diambil oleh kerajaan memandangkan pakej sehari ke kasino Singapura tersebut telah membawa banyak kesan negatif kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, langkah kedua adalah mengenakan syarat supaya rakyat Malaysia boleh memohon untuk mengharamkan ahli keluarga mereka memasuki kasino berkenaan seperti yang dilakukan oleh warga Singapura ke atas ahli keluarga mereka.
"Langkah ketiga adalah menyediakan kaunter pendaftaran di kasino itu manakala langkah keempat mengehadkan setiap rakyat Malaysia memasuki kasino seperti maksimum 50 kali setahun.
"Langkah kelima adalah menubuhkan Pusat Kaunseling Perjudian untuk memberi segala bantuan dan khidmat nasihat kepada mereka yang gemar berjudi agar insaf dan berhenti berjudi," katanya semasa membahaskan ucapan Bajet Negeri Johor 2011 pada Sidang Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.
Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan kira-kira 3,000 rakyat Malaysia mengunjungi Singapura untuk berjudi di kasino negara itu setiap hari dengan nilai perbelanjaan minimum RM2,400 seorang bersamaan RM7 juta sehari atau RM200 juta sebulan.
Kira-kira 40 peratus atau 1,200 rakyat Malaysia yang aktif berjudi di kasino negara jiran ialah golongan wanita termasuk suri rumah berusia 40 tahun ke atas.
Golongan tersebut dikatakan mudah terpengaruh dengan tawaran yang disediakan pihak kasino iaitu perkhidmatan pengangkutan secara percuma dan pemberian baucar tunai S$30 (RM72) sekiranya berjudi di sana.
Nai Soon berkata, langkah terakhir yang boleh diambil oleh kerajaan adalah menubuhkan satu jawatankuasa khas yang terdiri daripada agensi kerajaan, parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang boleh menganjurkan seminar dan forum mengenai kesan negatif perjudian selain mendidik orang ramai melalui media.
"Masalah perjudian ini memberi kesan negatif kerana boleh mengakibatkan seseorang meminjam daripada ceti haram atau ah long sehingga terpaksa menggadaikan harta benda, meninggalkan keluarga dan akhirnya mengambil tindakan membunuh diri.
"Justeru, dengan adanya langkah seumpama ini diharap dapat mengatasi masalah perjudian dalam kalangan rakyat negara ini yang mengikuti pakej pelancongan sehari ke kasino berkenaan," katanya.

Sunday, November 21, 2010

Wanita gemar berjudi di Singapura





JOHOR BAHRU 20 Nov. - Kira-kira 40 peratus atau 1,200 rakyat Malaysia yang aktif berjudi di kasino negara jiran ialah golongan wanita termasuk suri rumah berusia 40 tahun ke atas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Datuk Tee Siew Kiong (gambar) berkata, mereka mudah terpengaruh dengan tawaran yang disediakan pihak kasino iaitu perkhidmatan pengangkutan secara percuma dan pemberian baucer tunai S$30 (RM72) sekiranya berjudi di sana.
Beliau berkata, pihak kasino memberi S$10 untuk membeli makanan, barangan lain dan menukar cip.
"Penganjur kasino di Singapura bijak. Mereka memberi baucer S$30 kepada pengunjung dan secara logik pengunjung tidak hanya berbelanja pada kadar tersebut. Mereka sekurang-kurangnya membelanjakan kira-kira S$200.
"Apabila mendengar tawaran tersebut, golongan wanita yang kebanyakannya suri rumah dan bekerja sendiri menggunakan peluang yang ada dengan harapan mampu membawa balik pulangan besar," katanya semasa dihubungi Mingguan Malaysia di sini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan rakyat tempatan semakin aktif berjudi di kasino negara jiran dengan nilai pertaruhan dianggarkan kira-kira RM7 juta sehari.
Malah, dianggarkan seramai 3,000 orang mengunjungi Singapura untuk berjudi di kasino setiap hari dengan nilai perbelanjaan minimum RM2,400 seorang iaitu bersamaan RM7 juta sehari atau RM200 juta sebulan.
Siew Kiong berkata, selain menggunakan perkhidmatan bas, difahamkan ada 'kaki judi' menggunakan pengangkutan sendiri untuk memasuki Singapura.
"Difahamkan kira-kira 500 buah kereta persendirian akan berulang- alik ke lokasi perjudian tersebut selepas pukul 7 malam," ujarnya.
Ketagihan terhadap aktiviti tersebut, menurutnya, bukan sahaja mendedahkan diri mereka untuk meminjam wang daripada ceti haram atau ah long, tetapi boleh menjejaskan hubungan suami isteri sehingga mencetuskan pergaduhan dan penceraian.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Biro Aduan Awam MCA Johor Bahru, Michael Tay Chee Boon berkata, pihaknya menerima 22 aduan dalam tempoh tiga bulan daripada peniaga khususnya di bandar raya ini.
Beliau berkata, kebanyakan peniaga yang terdiri daripada pengusaha pusat hiburan, pusat beli-belah, cuci kereta, pusat refleksologi dan makanan mengadu perniagaan mereka terjejas teruk akibat kekurangan pelanggan.
"Mereka mengadu perniagaan kurang memberangsangkan kerana ramai pelanggan cenderung 'bersuka ria' di Singapura. Mereka tidak gembira dengan situasi berkenaan," katanya.
Seperti Siew Kiong, Chee Boon turut menyeru kerajaan melakukan sesuatu dengan segera kerana pengaliran wang keluar kira-kira RM7 juta sehari itu merupakan pembaziran yang besar.

Saturday, November 20, 2010

Nak tangkap orang main judi kena berlajar main judi....nak tangkap orang minum arak kena berlajar minum arak he he

Latih jadi pakar judi

KUALA LUMPUR: Anggota dan pegawai polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) akan dilatih menjadi pakar judi bagi membolehkan mereka menggunakan kemahiran itu untuk membanteras kegiatan perjudian di negara ini.
Ini berikutan langkah Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperkenalkan Makmal Latihan Pencegahan Perjudian bagi memberkas ahli sindiket perjudian. Makmal itu yang ditempatkan di Maktab PDRM Kuala Lumpur di sini bertujuan melahirkan pakar judi yang memahami setiap permainan yang ada kaitan dengan perjudian agar lebih efektif. Mereka juga akan menjalani amali seperti keadaan sebenar yang terdapat di kasino atau pusat perjudian di makmal itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, sebanyak RM198,000 diperuntukkan bagi mewujudkan makmal itu di samping peralatan dan kelengkapan seperti sebuah mesin serta peralatan roulette, tiga meja perjudian, empat mesin perjudian elektronik (slot machines), chip latihan dan beberapa peralatan perjudian lain yang ditaja Genting Malaysia Berhad yang bernilai RM110,000. “Saya berharap langkah ini dapat memberi pendedahan mencukupi kepada pegawai dan anggota untuk melayakkan mereka bergelar pakar judi.

“Mereka yang terpilih diharap dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik dalam usaha membanteras kegiatan perjudian di negara ini,” katanya pada sidang media selepas pada Majlis Pelancaran Manual SOP Siasatan, Portal C.I.D Update dan Makmal Latihan Pencegahan Perjudian di Maktab PDRM, di sini, semalam.

Ismail berkata, buku Manual SOP Siasatan pula diterbitkan dalam usaha memantapkan kualiti penyiasatan pegawai penyiasat dan Jabatan Siasatan Jenayah PDRM bagi kes kekerasan iaitu bunuh, rogol, samun dan samun bersenjata.

“Buat permulaan sebanyak 3,000 naskhah membabitkan kos RM150,000 diterbitkan yang menjadi panduan asas kepada pegawai penyiasat untuk mempunyai ilmu penyiasatan tinggi, cekap dan profesional.

“PDRM turut membangunkan sebuah portal dikenali Portal CID Update dengan menggunakan sistem teknologi maklumat PDRM, terkini dan dibangunkan tanpa kos,” katanya.

Beliau berkata, kewujudannya memberi kemudahan dalam pengedaran laporan dan memantau perkembangan siasatan serta mempercepatkan proses hebahan berita, laporan, aktiviti dan arahan semasa. “Portal ini juga sebagai media hebahan dan pengumuman aktiviti Jabatan Siasatan Jenayah melalui modul buletin, memantau pergerakan dan penugasan pegawai serta menjadi sumber rujukan dan perpustakaan kepada pegawai Jabatan Siasatan Jenayah,” katanya.-metro

Monday, November 15, 2010

Anak teman bapa beli nombor ekor



SEORANG lelaki (dua dari kiri) yang membawa anak lelakinya untuk membeli nombor ekor ditahan dalam satu serbuan di Bahau kelmarin.


BAHAU – Seorang bapa sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak tetapi lain pula cerita seorang kaki judi di sini yang membawa anaknya ketika membeli nombor ekor.
Tabiat buruk bapa berusia 40-an tersebut terbongkar apabila dia ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) bersama sekumpulan 16 lelaki beragama Islam dan seorang wanita di sebuah premis judi di sini kelmarin.
Kesemua mereka yang berumur antara 30 hingga 60 tahun itu ditahan dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan oleh Bahagian Penguat Kuasa JHEAINS, Majlis Keselamatan Negeri dan polis.
Penyelaras Operasi JHEAINS, Mohd. Zol Sidek berkata, lelaki berkenaan membawa bersamanya anak lelaki yang baru berusia lima tahun ketika ditangkap membeli nombor ekor.
“Anggota penguat kuasa terkejut selepas mendapati salah seorang lelaki yang ditahan membawa anak lelakinya berusia lima tahun ke premis berkenaan.
“Lelaki tersebut pada mula cuba memberi alasan hanya berjumpa kawan tetapi selepas disiasat dia mengaku membawa anaknya untuk membeli nombor ekor,” katanya di sini semalam.

Saturday, October 30, 2010

Guan Eng perjelas isu wang judi dan khutbah


GUA MUSANG - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, yang pertama kali hadir membantu jentera Pas di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, kelmarin memperjelaskan beberapa isu berkaitan beliau dan Kerajaan Pulau Pinang, termasuk isu khutbah Jumaat dan pemberian wang judi. 

Beliau berkata, UMNO telah mengelirukan rakyat dalam isu-isu tersebut yang disifatkannya sebagai mainan politik pihak lawan untuk menjatuhkan beliau dan DAP di Pulau Pinang. 

Menurutnya, judi menjadi perkara utama membawa kehancuran kepada rakyat. Judi bukanlah amalan rakyat berbilang kaum di Malaysia, sekalipun di antara mereka yang bukan Islam. 

“Oleh itu, setelah Kerajaan Pulau Pinang mengharamkan judi, mereka sudah tiada isu lagi untuk mengatakan bahawa tindakan kerajaan adalah untuk menjaga sensitiviti kaum lain. 

“Ini kerana Lim Guan Eng itu orang Cina dan Kerajaan Negeri haramkan judi,” katanya pada ceramah perdana di Kampung Sungai Terah, dekat sini semalam, semalam. 

Dalam isu khutbah Jumaat yang menggantikan nama Yang Dipertuan Agung dengan nama beliau, Guan Eng menjelaskan khatib tersebut hanya mendoakan beliau supaya memeluk Islam. 

“Saya tidak berani ganti Agung. Siapa berani ganti Agung?,” katanya. 

Beliau turut meminta seluruh pengundi di DUN Galas supaya bijak memilih pemimpin agar tidak tertipu.

Monday, October 4, 2010

47 lagi serah wang judi



BUKIT MERTAJAM 3 Okt. - Seramai 47 orang lagi penerima bantuan program membasmi miskin tegar dan wang ihsan RM100 daripada kerajaan negeri memulangkan semula wang tersebut hari ini.
Golongan fakir miskin dan warga emas terlibat memulangkan wang tersebut pada majlis Aidilfitri anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di sini.
Seramai 27 daripada mereka menyerahkan wang berkenaan pada majlis itu manakala 20 lagi berbuat demikian di pejabat UMNO Bahagian Bukit Mertajam, di sini semalam.
Pada majlis tersebut, para penerima bantuan terbabit memulangkan wang secara beramai-ramai sebelum menyerahkannya kepada Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir untuk dipulangkan semula kepada kerajaan negeri.
Turut hadir, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Azhar Ibrahim dan Timbalan Ketua UMNO bahagian tersebut, Ramlan Ishak.
Seorang warga emas, Elias Siru, 68, berkata, dia tertipu kerana menyangka wang bantuan kerajaan negeri itu diberi atas dasar keikhlasan untuk membantu orang tua sepertinya.
"Tapi kalau mengambil duit judi untuk disedekahkan kepada orang macam kami ini, saya rasa ia sudah keterlaluan.
"Kadang-kadang saya rasa takut jika saya mati sebelum dapat memulangkan wang ini, hari ini saya benar-benar berasa lega," jelasnya.
Che Yom Abdul, 62, pula bertekad memulangkan wang tersebut kerana ragu-ragu ia bersumberkan wang perjudian seperti yang didedahkan baru-baru ini.
"Selepas tahu mengenai perkara ini, saya bertekad untuk pulangkan semula dan ketiga-tiga anak saya juga menasihatkan untuk pulangkan kerana kami sekeluarga tidak perlukan duit yang diragui dari mana ia datang.
"Kerajaan pun sudah beri duit pencen tiap-tiap bulan, itu pun sudah cukup, kami bersyukur. Cuma nak tanya (kerajaan negeri), patutkah beri kami duit ini? Kami mungkin tidak mampu tetapi kami tidak tergamak terima duit haram," katanya.
Sharifah Abdul Rahim, 70, pula memberitahu, dia sekeluarga sangat terkilan selepas mendengar pengakuan kerajaan negeri ada menerima wang dari Kelab Lumba Kuda untuk membantu orang miskin di Pulau Pinang.
"Saya ragu-ragu sama ada wang (RM100) yang terima ini juga datang daripada sumber judi, jadi saya rasa lebih baik pulangkan supaya hati lebih tenang. Insya-Allah, tanpa duit ini saya dan anak-anak masih boleh hidup," tambahnya.
Pada 29 September lalu, 40 penerima bantuan kerajaan negeri terdiri warga emas dan fakir miskin di Kepala Batas memulangkan semula bantuan berkenaan diikuti 70 lagi penerima bantuan sekitar Bayan Baru, dekat sini yang membuat tindakan sama semalam.

Thursday, September 30, 2010

40 pulangkan wang didakwa hasil judi


Oleh Amin Ridzuan Ishak

2010/09/30

SEBAHAGIAN  daripada 40 penerima bantuan kerajaan Pulau Pinang memulangkan RM100 yang diberikan   kerana kesal dana sumbangan itu dikatakan diperoleh daripada sumber judi pada  satu majlis khas di Pusat Khidmat ADUN  Penaga,  Kepala Batas,  semalam.
SEBAHAGIAN daripada 40 penerima bantuan kerajaan Pulau Pinang memulangkan RM100 yang diberikan kerana kesal dana sumbangan itu dikatakan diperoleh daripada sumber judi pada satu majlis khas di Pusat Khidmat ADUN Penaga, Kepala Batas, semalam.
KEPALA BATAS: Akibat marah, kecewa dan rasa tertipu, seramai 40 warga emas dan golongan miskin tegar di negeri ini, mengembalikan wang RM100 yang mereka terima daripada kerajaan negeri baru-baru ini, yang dikatakan diperoleh daripada sumber judi.

Penduduk dari Parlimen Kepala Batas itu memulangkan wang berkenaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Datuk Azhar Ibrahim, dalam satu majlis khas di Pusat Khidmat ADUN berkenaan di sini, semalam. Hadir sama, Ketua Penerangan UMNO Pulau Pinang, Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir.
Mereka kesal terhadap tindakan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng, yang menggunakan sebahagian daripada dana diterima daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang yang mengendalikan pertaruhan lumba kuda untuk diagihkan kepada rakyat.
Seorang penduduk dari Kampung Pulau Mertajam, Penaga, Rosnani Rashid, terkilan kerana suaminya, Osman Mahmud, 62, yang meninggal dunia pada 6 April lalu, iaitu seminggu selepas menerima RM100 menerusi program penghargaan warga emas sudah menggunakan wang itu.

Kalau kami tahu duit itu daripada sumber tidak elok seperti perjudian, sudah tentu duit itu tidak akan digunakan, katanya yang menangis teresak-esak ketika ditemui pemberita selepas majlis itu.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, mendedahkan kerajaan Pulau Pinang menerima sumbangan RM500,000 daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang yang mengendalikan pertaruhan perlumbaan kuda di negeri ini.

Perkara itu diperkuatkan lagi dengan bukti melalui surat rasmi Pejabat Ketua Menteri mengenai penerimaan sumbangan itu yang ditandatangani Setiausaha Sulit Guan Eng, Farida Hani M Yaacob bertarikh 9 Julai 2010. 
Kerajaan negeri sebelum ini pernah menafikan pihaknya menggunakan wang daripada sumber judi untuk melaksanakan programnya, tetapi selepas pendedahan oleh Reezal Merican, Guan Eng mengakui bahawa kerajaan negeri ada menggunakan sumbangan daripada Kelab Lumba Kuda untuk menjalankan program membas-mi miskin tegar.

Seorang lagi penduduk, Harun Ali, 63, berkata dia memulangkan semula wang RM100 yang diterima daripada kerajaan negeri kerana tidak sanggup menggunakan wang itu selepas timbul isu bahawa wang berkenaan adalah daripada sumber meragukan. 

"Kalau makan duit ini, ia akan menjadi darah daging saya. Saya tidak mahu menjadi seperti itu dan kecewa dengan sikap kerajaan negeri yang seolah-olah tidak memahami sensitiviti serta hukum orang Islam," katanya.

Sementara itu, Azhar berkata, pihaknya mengambil inisiatif mengumpulkan wang berkenaan bagi diserahkan kepada kerajaan negeri selepas menerima banyak maklum balas daripada orang ramai yang menyatakan hasrat untuk berbuat demikian kerana tidak mahu menggunakan wang daripada hasil judi.

Selepas ini program mengumpul duit sumbangan kerajaan negeri akan diadakan di seluruh negeri sebelum diserahkan kepada Pemuda UMNO untuk dikembalikan kepada kerajaan negeri, katanya yang juga Setiausaha UMNO Pulau Pinang.

Monday, September 20, 2010

Guan Eng nafi wang ihsan hasil judi



PERAI - Kerajaan Negeri menafikan pemberian wang ihsan kepada rakyat Pulau Pinang adalah daripada hasil judi. 

Sambil menyifatkannya sebagai satu fitnah, Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, ia jelas menunjukkan UMNO dan ‘cybertroopers’nya sedang berganding bahu dengan niat mahu mensabotaj serta menjatuhkan imej Kerajaan Negeri dengan melemparkan tuduhan tidak berasas itu.: 

Beliau menegaskan bahawa wang yang diberikan kepada rakyat adalah hasil daripada penjimatan Kerajaan Negeri dan juga antirasuah yang diamalkan. 

“Saya tidak tahu sama ada antirasuah itu halal atau haram bagi UMNO. Mungkin mereka pro rasuah, sebab itulah mereka kata antirasuah ini haram. 

“Saya juga ingin bertanya siapa yang meluluskan lesen judi? Kerajaan Negeri atau Pusat? Jadi, janganlah menuding jari kepada orang lain kerana empat jari lagi akan terkena pada diri sendiri,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Pusat Khidmat Komuniti DAP Jalan Baru, dekat Taman Supreme di sini, semalam. 

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, P Ramasamy. 

Menurutnya, UMNO kini ketandusan idea menyebabkan mereka sentiasa mereka-reka cerita dan menyebarkan fitnah untuk merosakkan nama Kerajaan Negeri. 

“Saya percaya rakyat di negeri ini tidak akan termakan dengan kata-kata UMNO dan berharap agar mereka dapat melihat sendiri keadaan UMNO yang sebenar,” katanya. 

Beliau berkata demikian sebagai mengulas desakan Pemuda UMNO yang mahu Kerajaan Negeri Pulau Pinang memberi penjelasan berhubung dakwaan sebuah blog bahawa dana untuk agihan wang ihsan RM100 kepada warga emas dan RM1,000 untuk kategori pengurusan jenazah yang dilaksanakan di negeri ini sejak beberapa bulan lalu adalah daripada sumber perjudian. 

Ketua Penerangannya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, dakwaan yang disiarkan blog www.pisau.net itu menimbulkan keresahan terutama kepada warga emas dan waris si mati. 

"Kita bukan menuduh Kerajaan Negeri menggunakan wang daripada sumber hasil judi tetapi kita minta mereka beri penjelasan kerana perkara ini menjadi percakapan rakyat. 

"Penjelasan berkaitan sumber wang serta bukti amat dinantikan oleh rakyat dan jika didapati pendedahan itu tidak betul kita hendak lihat Kerajaan Negeri ambil tindakan terhadap penulis blog berkenaan," katanya ketika ditemui pada sidang media selepas majlis rumah terbuka anjuran UMNO Bahagian Kepala Batas di Kompleks Budi Penyayang, Kepala Batas, kelmarin.: