Sunday, October 25, 2015

MUHYIDDIN SAHKAN PUTRAJAYA CUBA SUNTIK RM3BILION UNTUK 1MDB.



Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan Putrajaya pernah cuba meluluskan suntikan dana sebanyak RM3 bilion untuk syarikat pelaburan strategik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB)

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata, tindakan itu bagaimanapun gagal apabila Jemaah Menteri menolak cadangan berkenaan.

"Selepas pinjam (dari) T Anandha Krishnan RM2 bilion, nak pinjam lagi RM3 bilion. Berapa bilion kita nak pinjam ni?" soal Muhyiddin merujuk kepada RM2 bilion yang dipinjamkan hartawan itu bagi membantu 1MDB menyelesaikan hutang banknya.

"Berniaga apa macam ini, pinjam atas pinjam," katanya ketika berucap pada program Bicara Minda dan Sesi Dialog bertajuk 'Berani kerana benar' anjuran akhbar Sinar Harian di Johor Baru hari ini.

Julung julung kali bercakap di hadapan umum selepas pemecatannya pada Julai selain platform parti, Muhyiddin yang juga timbalan presiden Umno berkata, syarikat itu kemudiannya hanya diberikan kredit tersedia sebanyak RM950 juta.

"Bila timbul hal begini, bila dibangkitkan kepada jemaah menteri, mulalah saya bangkitkan, saya nyatakan pandangan dan kebimbangan saya.

"Saya sebutkan berkali kali, saya tidak ada niat jahat. Kerana nak membantu, supaya Perdana Menteri mencari jalan nak selesaikan keadaan itu. Kalau tidak, jadi beban kepada kita," katanya.

"Saya tidak pernah mendoakan 1MDB jatuh. Kalau mereka jatuh, kita akan jatuh... Pandangan saya ikhlas."

Beliau berkata, setiap pinjaman yang dipinjam dari bank oleh 1MDB akan menjadi beban kepada kerajaan dan menjadi tanggungan kepada generasi akan datang.

"Ini serius. Setiap pinjaman dari bank akan jadi tanggungan beban kerajaan. Dan kita terbeban kepada rakyat, anak cucu kita, yang akan menanggungnya kalau tidak diselesaikan," kata ahli Parlimen Pagoh itu lagi.

Beliau turut mendedahkan, pihaknya turut membuat permohonan kepada Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy supaya memberikan penjelasan kepada Kabinet, namun penerangan yang diberikannya agak mengecewakan.

"Saya minta kepada jemaah menteri, panggil Arul Kanda, berikan penerangan. Tetapi, beliau datang tidak bawa apa apa pun.
"Bercakap dalam 10 hingga 15 minit. Sehelai kertas pun tiada," kata Muhyiddin.

The Malaysian Insider pada Februari tahun ini mendedahkan Kabinet tidak meluluskan cadangan untuk memberikan suntikan tunai sebanyak RM3 bilion kepada 1MDB.

Sumber berkata, pilihan semakin sempit untuk Kementerian Kewangan kerana 1MDB tidak lagi mampu mengumpul dana sendiri dan ia memerlukan wang daripada satu satunya pemegang saham, iaitu kerajaan.

Dalam program hari ini, Muhyiddin berkata, pihaknya juga pernah menasihati Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya memecat mana mana pegawai 1MDB yang gagal melaksanakan tugas mereka sehingga menyusahkan kerajaan.

"Saya cakap dengan perdana menteri, kalau 1MDB ini beri masalah, buang mereka. Sampai hari ini mereka tidak dibuang, saya yang kena buang," katanya.

Muhyiddin juga mendakwa, turut menasihati Najib supaya tidak lagi menjadi penasihat kepada 1MDB kerana sekiranya salah laku dikesan dalam transaksi syarikat itu, beliau akan turut menerima kesannya.

"Saya rasa itu tidak betul. Saya kata jangan duduk situ. Kalau ada apa apa salah laku, (Najib) akan terlibat.

"Tapi dia duduk situ, macam mana nak siasat?" soalnya merujuk kedudukan Najib sebagai pengerusi lembaga penasihat 1MDB. – 24 Oktober, 2015.

Dron pantau jerung di kawasan pantai Australia

SYDNEY: Dron akan digunakan untuk memantau kawasan pantai peranginan popular di timur Australia untuk menjejak jerung yang sudah ditanda sebagai sebahagian strategi untuk meningkatkan keselamatan orang ramai mandi di laut.
Australia adalah antara negara yang mencatat kes serangan jerung tertinggi di dunia, dengan 13 kes di negeri New South Wales (NSW) tahun ini, yang mana seorang terbunuh dan 7 cedera. Kes serangan jerung yang tinggi boleh menjadi ancaman utama kepada industri pelancongan.
Negeri itu yang paling padat penduduk di Australia serta melarang langkah menakai bagi mengurangkan populasi jerung, mengumumkan rancangan lima tahun untuk menyelesaikan isu serangan jerung, termasuk menggunakan sistem sonar generasi baharu serta meningkatkan pemantauan dari udara.
Menteri Perusahaan Utama NSW, Niall Blair, berkata pendekatan itu dilaksanakan selepas mendapat input daripada pakar dan komuniti.
"Kami bangga menjadi wilayah pertama yang menggunakan pendekatan sebegini untuk memastikan kawasan pantai selamat," katanya.
Plan itu dengan kos Aus$16 juta, bertujuan melindungi orang yang mandi laut dan peluncur ombak tetapi pada masa sama tidak mengancam jerung, akan membabitkan penggunaan dron yang akan menyediakan pemantauan masa sebenar keadaan laut di pinggir pantai serta meningkatkan pengawasan menerusi helikopter.
Program menanda jerung juga akan diperhebatkan, boya dilengkapi sonar pengesan jerung juga akan ditambah serta 20 'stesen mendengar' baharu yang menggunakan teknologi 4G untuk meningkatkan pengawasan terhadap jerung yang sudah ditanda. - AFP
AUSTRALIA adalah antara negara yang mencatat kes serangan jerung tertinggi di dunia. - Foto hiasan

Bersedialah tali di perut, GST mungkin dinaikkan

Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man

SHAH ALAM – Bajet 2016 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam jelas menunjukkan bahawa pendapatan kerajaan semakin terhad dan kehabisan dana.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa, kerajaan kini hanya mampu bergantung hidup dengan duit rakyat melalui hasil kutipan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
“Tahun lepas, ekoran kejatuhan harga minyak dunia, Najib mengumumkan langkah intervensi ke atas Bajet 2015 untuk mengurangkan kadar operasi pengurusan berkurang sebanyak RM5.5 bilion manakala mengekalkan perbelanjaan pembangunan pada RM48.5 bilion.
“Contohnya, antara langkah yang dibuat ialah menangguhkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang membawa penjimatan sebanyak RM400 juta. Ketika itu, GST belum dilaksanakan lagi.
“Ini menunjukkan sebenarnya kerajaan mampu mengurangkan perbelanjaan mengurusnya. Sepatutnya langkah itu diteruskan. Namun tidak, di dalam Bajet 2016, PLKN muncul semula dengan peruntukan sebanyak RM360 juta dalam keadaan kerajaan kehilangan sumber pendapatan daripada Petronas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
[ARTIKEL BERKAITANBajet 2016 cantik di atas kertas tapi...]

Menurutnya, jika ekonomi dunia menyebabkan anggaran perbelanjaan Bajet 2016 tersasar lagi, beliau membayangkan apa lagi langkah intervensi yang akan diambil kerajaan bagi menangani perkara itu.
“Apakah kerajaan akan mengurangkan perbelanjaan mengurusnya seperti di 2015? Sudah hampir pasti tidak. Kali ini, Pas percaya kerajaan akan menaikkan kadar GST sebagai penyelesaian mudah daripada berusaha mengurangkan perbelanjaan mengurusnya.
“Dengan tumpuan sebegitu berat kepada GST dalam Bajet 2016, Pas ingin melahirkan kebimbangan terhadap kenaikan kadar GST,” katanya.
Malah beliau menasihatkan rakyat agar bersiap sedia berdepan dengan kemungkinan itu untuk tahun-tahun akan datang.
“Tidaklah melampau untuk dikatakan bahawa Najib telah membuka laluan kepada kenaikan kadar GST yang lebih tinggi di 2017 dan tahun-tahun seterusnya untuk menampung operasi pengurusannya yang sentiasa ketirisan dan bertambah jika sumber pendapatan kerajaan dan harga minyak sedunia tidak banyak berubah.
“Ini tidak termasuk lagi kesan kejatuhan nilai ringgit dan 1MDB kepada pendapatan negara yang langsung tidak disentuh di dalam Bajet 2016. Bersedialah dengan tali di perut, rakyat Malaysia. Sesungguhnya BR1M itu hanyalah seperti ajinomoto yang menyedapkan makanan seketika tapi meninggalkan kehausan berpanjangan,” katanya.

Bajet gali lubang timbus lubang


WARTAWAN SINAR HARIAN
Azman Ibrahim

25 OKTOBER 2015
Azman Ibrahim Azman Ibrahim
KUALA TERENGGANU – Bajet 2016 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Jumaat lalu, disifatkan pemimpin pembangkang sebagai ‘bajet gali lubang timbus lubang’.

Ketua Kebajikan Pas Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, tiada apa yang mengejutkan dan tiada perkara baharu dalam bajet tersebut yang boleh membantu mempertingkatkan kehidupan rakyat yang kian tertekan ketika ini.

“Kalau kita gali satu lubang, kemudian kita timbus, kemudian gali lagi satu lubang lain, kemudian timbus semula, maka walau peluh menitik menandakan kita dah lelah bekerja, tetapi hasilnya tak ada apa-apa.

“Kalau gali lubang untuk menanam sesuatu yang boleh dinikmati hasilnya oleh anak cucu kelak, itu sudah dikira berhasil. Kita lebih bimbang kalau gali lubang untuk timbus bangkai busuk,” katanya.

Beliau memberitahu rakyat mahu mendengar perkara yang boleh memberi manfaat kepada mereka walaupun ia mungkin tidak mampu mengubah kehidupan dalam masa terdekat.

Walaupun berlaku peningkatan terhadap nilai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dalam bajet kali ini, namun ia sesuatu yang bersifat sementara dan tidak mampu mengubah apa-apa.

Azman juga turut yakin peningkatan nilai BR1M akan memperlihatkan kenaikan lain selepas ini.

“Kerajaan menunjukkan bahawa BR1M diterima, kita akui rakyat menerimanya tetapi tidak bawa apa-apa perubahan kepada kehidupan rakyat. Kita percaya, apabila BR1M naik, akan ada yang akan naik nanti, yang kerajaan akan kutip daripada rakyat.

“Mereka beratur panjang untuk mendapatkan wang tetapi kemudian wang mereka pula diambil akibat kenaikan lain yang mungkin dikenakan selepas ini,” katanya.

Melalui pemerhatiannya juga katanya, pembentangan Bajet 2016 tidak begitu diendahkan rakyat seolah-olah mereka tidak menanti-nantikan sesuatu yang baharu daripada kerajaan, apatah lagi dalam keadaan kos sara hidup yang kian meningkat sejak kebelakangan ini.

Keadaan itu katanya memperlihatkan bahawa rakyat percaya bajet tersebut tidak akan membantu mengurangkan kos sara hidup seharian walaupun pembentangan itu dibaca dengan bait-bait bahasa bernada puitis dan kritis.

Sementara itu, beliau tidak bersetuju dengan kadar kemiskinan yang dikatakan telah hampir disifarkan, kerana masih ramai khususnya rakyat di negeri ini berhadapan situasi tidak cukup makan.

Sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam soal kebajikan, pihaknya sangat dekat dengan rakyat bawahan yang memperlihatkan situasi sedemikian di samping rumah yang uzur dan sering dimasuki air setiap kali hujan dan anak-anak terpaksa bergilir-gilir ke sekolah kerana ibu bapa tidak mampu memberi perbelanjaan.

“Sebagai Ketua Kebajikan Pas Terengganu, sudah banyak tempat yang saya jelajahi. Saya boleh tunjukkan kepada perdana menteri di mana lokasi rumah rakyat miskin tegar dalam masyarakat.

“Walau kita tahu pasti mereka akan kata, ‘kerajaan dah sediakan macam-macam kemudahan, itu salah orang miskin kerana tak nak berusaha!’ Sekadar perdana menteri tengok di sekeliling Seri Perdana, memanglah tak ada orang miskin tegar,” katanya.