Monday, May 26, 2014

Bagaimana senangnya beri RM40 juta kepada VIP


HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak harus jujur dan memperhitungkan kesemua perjanjian mudah dan pemberian pinjaman mega kepada VIP yang mempunyai keadaan kewangan yang meragukan.

"Kegagalan berbuat demikian hanya menunjukkan bahawa pemimpin BN menguruskan negara bukan untuk kebaikan orang ramai tetapi demi faedah kroni," ujar Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan menyatakan demikian sebagai respons kepada isu skandal pinjaman RM40 juta Bank Rakyat yang didedahkan oleh bekas menteri yang juga bekas pengerusi bank itu, Tan Sri Sabbaruddin Chik.

Perdana Menteri mesti menghormati akauntabiliti dan ketelusan dengan berlaku jujur tentang skandal pinjaman RM40 juta Bank Rakyat yang didedahkan oleh bekas menteri yang juga bekas Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Sabbaruddin Chik.

Ini berikutan pendedahan mengejutkan dalam “The Malaysian Insider” hari ini tentang hubungan naungan, permainan wang dan salah guna dana awam untuk kroni oleh pengurusan tertinggi, seperti yang didedahkan Sabbaruddin Chik setelah tempoh khidmatnya tidak dilanjutkan bersabit permohonan pinjaman RM40 juta seorang VIP yang mempunyai hubung kait dengan Putrajaya.

Sabbarauddin memberitahu The Malaysian Insider bahawa VIP tersebut telah menggunakan hubungan politiknya untuk menyelesaikan hutang berjumlah RM32 juta tanpa kiraan faedah kerana campur tangan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek.

Sabbaruddin mendedahkan bahawa lembaga pengarah Bank Rakyat awalnya menolak kompromi yang ditawarkan VIP itu untuk menyelesaikan hutang tertunggak berjumlah RM40 juta dengan menawarkan 120 cek tunda untuk ditunaikan oleh pihak bank dalam jangka masa 10 tahun.

Sepuluh tahun untuk membayar suatu hutang tanpa faedah bermaksud mendapat wang tersebut tanpa apa-apa bayaran tambahan, jika faedah ditambat pada kadar 10% setahun.

Lembaga pengarah Bank Rakyat bertindak tepat menolak penipuan dalam tawaran yang penuh skandal oleh VIP terbabit kerana ia membawa kerugian kepada pihak bank dan bertentangan dengan kepentingan awam.

Sabbaruddin turut menunjukkan kepada The Malaysian Insider sepucuk surat yang ditandatangani oleh Hasan mengarahkan Bank Rakyat untuk akur kepada syarat kompromi yang ditawarkan oleh VIP itu.

Setelah lembaga pengarah enggan berbuat demikian, Hasan tidak puas hati dan enggan pula menandatangani surat untuk menyambung tempoh perkhidmatan Sabbaruddin sebagai pengerusi Bank Rakyat, yang berakhir pada 8 April, walaupun Bank Negara telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh kontrak Sabbaruddin.

Datuk Seri Najib mesti menjelaskan pendedahan Sabbaruddin ini kepada orang ramai kerana VIP yang dimaksudkan mempunyai pertalian rapat dengan pemimpin BN dan mempunyai capaian ke pusat kekuasaan Putrajaya.

Kedua, Najib mesti menjelaskan apakah asas untuk Bank Rakyat meluluskan pinjaman ini.

Adakah ia semata-mata politik atau adakah mengikut prosedur yang betul dengan mengikut peraturan yang digariskan sewaktu Bank Rakyat memberikan pinjaman RM40 juta ini kepada VIP tersebut?
Bagaimanakah pinjaman yang begitu tinggi nilainya sebanyak RM40 juta senang-senang diberikan kepada seorang VIP tanpa kemampuan membayar semula atau sebarang kekuatan kewangan?

Ketiga, Najib juga harus menjelaskan apa yang terjadi kepada tawaran kompromi oleh VIP ini selepas tempoh khidmat Sabbaruddin sebagai pengerusi Bank Rakyat tidak dilanjutkan.

Adakah VIP tersebut dibenarkan untuk membuat pembayaran semula secara 120 kali ansuran selama 10 tahun, tanpa faedah?

Akhir sekali, Najib harus jujur dan memperhitungkan kesemua perjanjian mudah dan pemberian pinjaman mega kepada VIP yang mempunyai keadaan kewangan yang meragukan.

Kegagalan berbuat demikian hanya menunjukkan bahawa pemimpin BN menguruskan negara bukan untuk kebaikan orang ramai tetapi demi faedah kroni.

Selanjutnya ia turut mempersoalkan kredibiliti dan integriti Bank Negara dalam memastikan sistem kewangan yang baik dan boleh dipercayai apabila pinjaman diberikan semata-mata atas dasar naungan politik pemberian wang. -HARAKAHDAILY 26/5/2014

Rampasan kuasa tentera tidak boleh diterima


ABDUL AZIZ MUSTAFA | .
KUALA LUMPUR:Tindakan tentera merampas kuasa dari kerajaan Thailand yang dipilih secara demokratik tidak boleh diterima, kata Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Walaupun kita marah dengan layanan kerajaan Thai dari semua regim terhadap umat Islam di Patani, tetapi pada masa yang sama kita tidak boleh menerima tindakan tentera negara itu merampas kuasa dari kerajaan yang dipilih secara demokratik," katanya.

Walaupun konflik politik Thailand berlarutan lebih enam bulan lalu, kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu, ia bukan lesen yang menghalalkan rampasan kuasa oleh tentera.

Konflik politik di Thailand tersebut dicetuskan oleh protes berhubung rang undang-undang pengampunan tahun lepas yang akhirnya dibatalkan selepas mendapat tekanan daripada kumpulan pembangkang.
 
Ia dilihat sebagai langkah bagi membolehkan kepulangan Thaksin yang berada dalam buangan.

Ketua Tentera Thailand Jeneral Prayuth Chan mengumumkan rampasan kuasa di negara ini pada Khamis lalu berikutan kegagalan pihak yang terlibat dalam sengketa politik mencapai persetujuan setelah bermesyuarat selama dua hari.

Pemimpin kumpulan penyokong dan penentang kerajaan ditangkap.

Laporan terbaru menyatakan, kemarahan penduduk awam terhadap rampasan kuasa tentera Thailand semalam meningkat dengan lebih seribu penunjuk perasaan berarak melaungkan ‘Keluar!’ di Bangkok biarpun pihak tentera mengeluarkan amaran terhadap sebarang tindakan bantahan.

Penunjuk perasaan mula berarak di daerah Chidlom dan bergerak di seluruh bandaraya itu hingga ke Tugu Peringatan Victory dimana berlaku suasana tegang dengan tentera bersenjata yang berkawal di ibu negara berkenaan, lapor AFP.

Ia adalah luahan bantahan besar-besaran sejak rampasan kuasa tentera Khamis lalu berikutan krisis politik selama beberapa bulan.- HARAKAHDAILY, 

Dyana calon yang bertenaga dan berani – Presiden PAS


MUHAMMAD FAIZAL | .

TELUK INTAN: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang meminta pengundi Teluk Intan memilih calon yang berani dan membawa suara rakyat di parlimen.

Kata beliau, keberanian yang ditunjukkan calon yang mewakili Pakatan Rakyat, Dyana Sofya Mohd Daud wanita Melayu yang sanggup mewakili DAP harus menjadi pilihan pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan pada 31 Mei nanti.

"Kita pilih calon yang boleh membawa amanah kita, membawa hak suara kita di parlimen dan bukannya pemimpin yang hanya tahu 'angguk' walaupun perkara itu tak betul.

"Dyana calon yang bertenaga dan keberanian beliau yang kita inginkan. Beliau wanita Melayu yang berani menjadi calon DAP, saya sendiri pun tak berani nak jadi calon DAP," ucap beliau sambil disambut ketawa para hadirin.

Beliau berucap demikian pada Majlis Hi-tea Bersama Presiden PAS di Taman Cicerly yang turut dihadiri Dyana.

Beliau menjelaskan bahawa Dyana mempunyai peranan di dalam DAP yang akan membawa suara orang Melayu.

"Walaupun yang bertanding itu DAP tetapi calonnya adalah Melayu dan sebagai orang Melayu kita patut menangkan calon Melayu.

"Kita patut bincang soal calon, kalau DAP menang beliau yang akan bercakap bagi pihak kita. Suara beliau bukan hanya mewakili orang Cina tetapi juga suara orang Melayu," jelasnya.

Ahli Parlimen Marang itu turut memberitahu masih ada rakyat negara ini yang hairan kerana PAS sanggup bekerjasama dengan DAP dan tidak dengan Barisan Nasional (BN).

"PAS tidak bekerjasama dengan BN kerana kita telah beri peluang sebelum ini, mereka ajak kita masuk kerajaan ketika itu.

"Kita masuk dengan syarat tampilkan perkara yang elok-elok dalam pentadbiran tapi mereka tendang kita sehinggalah berlakunya darurat di Kelantan.

"BN meluluskan darurat di Kelantan melalui parlimen dengan tujuan untuk menjatuhkan PAS, DAP waktu itu membela kita dan bantah darurat di Kelantan.

"Kita tak lupa jasa dan kita kenang budi mereka, sekarang kita bersama mereka dengan matlamat perjuangan yang sama," sambung beliau.

Tambah beliau, walaupun ada perbezaan pendirian namun PAS dan DAP mempunyai banyak persamaan terutamanya dalam urusan memperjuangkan hak rakyat.

"Walaupun ada perbezaan tapi banyak persamaan dan kita bekerjasama dalam hal ini, ini beza dengan Umno mereka tak mahu bincang tetapi DAP walaupun ada perbezaan pendapat kita masih boleh duduk bersama untuk berbincang.

"Kita bekerjasama dalam segala hal untuk pastikan calon Melayu dari DAP akan menang pada pilihanraya kecil ini," katanya.

Beliau yang meminta agar pengundi Melayu memberi sokongan penuh kepada Dyana bagi memastikan wanita Melayu dapat mengekalkan kemenangan Pakatan Rakyat di Teluk Intan.

Dalam pada itu beliau sempat berbual-bual dan turut memberi nasihat kepada Dyana ketika program hi-tea itu. - HARAKAHDAILY 26/5/2014

Dyana akui ibunya terlibat penubuhan Perkasa


  • Dyana Sofya - Foto Sinar Harian oleh YUSRIZAL YUSOFFDyana Sofya - Foto Sinar Harian oleh YUSRIZAL YUSOFF

TELUK INTAN - Calon DAP bagi pilihan raya kecil Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud, mengaku hari ini yang ibunya, Yammy Samat pernah terlibat dalam Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa).
   
Dyana Sofya yang sebelum ini menafikan cakap-cakap mengenai perkara itu, turut mengaku pernah membantu ibunya mengendalikan sesi pendaftaran keanggotaan Perkasa pada tahun 2008.
  
"Saya tidak tahu sama ada ibu saya anggota Perkasa ketika itu, dan saya pula masih belajar," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
   
Beliau berkata pada masa itu, ibunya meminta beliau membantunya mengendalikan pendaftaran keanggotaan Perkasa.
    
"Ya, ketika itu beliau terlibat dengan Perkasa tetapi selepas beberapa bulan beliau meninggalkan pertubuhan itu kerana tidak lagi percaya dengan Perkasa," jelasnya.

Dyana Sofya berkata demikian apabila diminta mengulas penyebaran gambarnya membantu Yammy pada majlis pelancaran laman web Perkasa dan kempen keanggotaan pertubuhan itu pada tahun 2008.
  
Menyentuh kedudukan ibunya sebagai anggota jawatankuasa pertubuhan itu, beliau berkata status ibunya itu hanya sebagai jawatankuasa penaja memandangkan ibunya meninggalkan pertubuhan itu sebelum mesyuarat agung pertamanya.
  
"Saya tidak pasti sama ada beliau merupakan anggota berdaftar Perkasa sebelum AGM itu...ibu saya seorang anggota Umno, saya bukan. Beliau mungkin terlibat dengan Perkasa, saya tidak. Mungkin ini tidak harus jadi isu," katanya.
  
Sebelum ini, beberapa portal media melaporkan bahawa Dyana Sofya menafikan yang ibunya pernah menyertai Perkasa, malah mendakwa ibunya tidak menyertai mesyuarat pertama pertubuhan itu.
  
Sementara itu akhbar hari ini melaporkan bahawa Ketua Wanita Umno Gopeng Datuk Hamidah Osman mendedahkan Yammy adalah antara pemimpin penaja terawal penubuhan Perkasa apabila dilantik sebagai Ketua Wiranitanya yang pertama.
  
Hamidah berkata, maklumat itu diperoleh daripada Setiausaha Perkasa, Syed Hassan Syed Ali yang mengatakan Yammy berada dalam barisan kepemimpinan pertubuhan itu sehingga mesyuarat agung tahunan (AGM) pertamanya pada Mac 2010 sebelum meletakkan jawatan.
  
Hamidah mendakwa sehingga kini juga tiada rekod yang menunjukkan Yammy telah menarik diri daripada menjadi anggota Perkasa.  - Bernama

Menteri Agama Indonesia letak jawatan


  • Suryadharma Ali Suryadharma Ali

JAKARTA - INDONESIA . Menteri Agama Indonesia Suryadharma Ali hari ini meletak jawatan sebagai menteri kabinet selepas didakwa terbabit dalam skandal penyalahgunaan dana haji.
    
Suryadharma yang juga Ketua Umum Parti Persatuan Pembangunan (PPP), membuat keputusan itu dalam pertemuannya dengan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono dan Naib Presiden Indonesia, Boediono di Istana Bogor, Jawa Barat pada Isnin.
  
Suryadharma adalah tokoh berprofil tinggi terbaharu, yang didakwa terlibat dalam rasuah seperti yang diumumkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (KPK) Indonesia kerana terbabit dalam skandal melibatkan agensi pengurusan dan pengendalian dana haji bagi 2012–2013.
  
Sebelum ini, KPK dalam kenyataan mendakwa terdapat keraguan dalam urusniaga bernilai AS$20 juta (RM64 juta) yang merangkumi dana kerajaan serta wang simpanan umat Islam yang mahu menunaikan rukun Islam kelima itu.
  
Dakwaan tersebut menimbulkan perasaan marah dan kecewa dalam kalangan rakyat kerana majoriti dari 234 juta penduduk negara itu adalah penganut agama Islam.

Umat Islam di Indonesia perlu membuat simpanan dalam dana khas tabung haji bagi membolehkan mereka menunaikan ibadah tersebut, dengan sebahagian besar mereka terpaksa menunggu bertahun-tahun untuk mendapatkan kuota menunai haji.
  
Penglibatan Suryadharma dalam isu rasuah terbaharu itu juga dilihat pemerhati politik bakal menjejas peluang calon presiden, Prabowo Subianto yang mendapat sokongan daripada parti politik Islam pimpinan Suryadharma itu.
  
Siasatan KPK mendapati terdapat beberapa salah laku dalam beberapa urusan pengendalian haji termasuk kos mengerjakan haji, penempatan jemaah di Tanah Suci serta cara pemilihan jemaah dilakukan. - Bernama

Rakyat Thailand bantah rampasan kuasa


  • Tentera bersenjata Thai berjaga di ibu pejabat Tentera Diraja Thai di Bangkok, Thailand. - Foto EPATentera bersenjata Thai berjaga di ibu pejabat Tentera Diraja Thai di Bangkok, Thailand. - Foto EPA

BANGKOK - THAILAND. Kemarahan penduduk awam terhadap rampasan kuasa tentera Thailand semalam meningkat, dengan lebih seribu penunjuk perasaan berarak melaungkan ‘Keluar!’ di ibu negara, Bangkok biarpun pihak tentera mengeluarkan amaran terhadap sebarang tindakan bantahan.

Menurut seorang pemberita AFP, yang berada di tempat kejadian, penunjuk perasaan mula berarak di daerah Chidlom dan bergerak di seluruh banda raya itu hingga ke Tugu Peringatan Victory.

Perarakan tersebut sekaligus mencetuskan suasana tegang antara penunjuk perasaan dengan  tentera bersenjata yang berkawal di ibu negara berkenaan.

Perarakan ini adalah luahan bantahan besar-besaran sejak rampasan kuasa tentera Khamis lalu berikutan krisis politik selama beberapa bulan.

Pas: Curi RM5 tidak potong tangan


WARTAWAN SINAR HARIAN
25 Mei 2014


KOTA BHARU - "Tindakan potong tangan tidak akan dikenakan kepada kes remeh-temeh, kes mencuri RM5 dan RM10,” kata Pemangku Timbalan Ketua Ulama Pas, Datuk Dr Mahfouz Mohamad.

Menurutnya, hukuman hudud dengan memotong tangan tidak dilakukan sewenang-wenangnya dan melalui proses yang ketat serta perlu menepati syarat.

“Mereka yang wajib potong tangan bukan curi remeh temeh, bukan RM5, bukan RM10, bukan RM500, mesti harga (kes) yang mahal, kalau dibayar diat (denda) ia mesti bernilai 25 ekor unta, kalau dalam masyarakat Cina, hudud ini potong tangan sahaja, kalau nak potong tangan mesti sampai syaratnya,” katanya semasa menyampaikan pembentangan seminar Perlaksanaan Kanun Jenayah Shariah II  di Pusat Tarbiah Islam di sini, semalam. Hadir merasmikan majlis penutup, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Mahfouz dalam ucapannya turut menafikan hukum hudud yang dilaksanakan akan menyebabkan negara mundur,  sebaliknya menegaskan kerahmatan ALLAH SWT akan muncul selepas itu kepada negara.

“Ada seorang pemimpin berkata, perlaksanaan hudud menyebabkan ramai yang kudung dan Islam mundur, kita patut persoalkan, kita merdeka 50 tahun, pelbagai rancangan ekonomi untuk mempertingkatkan orang Melayu-Islam, kini dalam keadaan tidak ada seorang yang dikenakan potong tangan, adakah sasaran itu tercapai,” soalnya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat yang juga bekas Ketua Pemuda Pas, Nasruddin  Hassan mengakui penolakan masyarakat terhadap perlaksanaan hudud kerana tidak cukup penerangan.

Sabbaruddin Chik salahkan menteri, kontrak pengerusi Bank Rakyat tak diperbaharui

Tan Sri Sabbaruddin Chik ditemuramah media di Jalan Setia Bakti, Bukit Damansara. – Gambar The Malaysian Insider oleh Wan Amirul Asraf Wan Omar, 26 Mei, 2014.
Tan Sri Sabbaruddin Chik ditemuramah media di Jalan Setia Bakti, Bukit Damansara. – Gambar The Malaysian Insider oleh Wan Amirul Asraf Wan Omar, 26 Mei, 2014
.Bekas Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Sabbaruddin Chik mendedahkan khidmatnya tidak disambung gara-gara pinjaman bernilai RM40 juta yang dibuat oleh seorang indivi
du yang rapat dengan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak.
Sabbaruddin memberitahu The Malaysian Insider, individu tersebut menggunakan jaringan politiknya untuk melangsaikan baki pinjaman berjumlah kira-kira RM32 juta tanpa faedah.
"Individu yang berhutang tersebut tidak sepatutnya berbincang dengan menteri, hutang beliau dengan Bank Rakyat jadi kenapa perlu jumpa menteri?".
Sabaruddin mendedahkan individu tersebut bertemu dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek yang bertindak masuk campur tangan.
"Malah apabila menteri dapat tahu, dia berkata 'saya boleh pecat kamu semua'," kata Sabbaruddin merujuk kepada Hasan.
Sabbaruddin memberitahu Lembaga Pengarah Bank Rakyat pada mulanya untuk menolak penyelesaian mudah yang diberikan bagi menyelesaikan baki pinjaman individu tersebut dengan tempoh bayaran selama 10 tahun melalui 120 keping cek "post dated".
"10 tahun bayar hutang tanpa faedah, maknanya bank rugi tanpa faedah," kata Sabaruddin menjelaskan mengenai penyelesaian mudah tersebut.
Menurut Sabbaruddin, selepas keputusan tersebut, Hasan tidak berpuas hati dan enggan menandatangani surat untuk menyambung khidmat beliau sebagai pengerusi Bank Rakyat.
Sabbaruddin menunjukkan surat yang ditandatangani Datuk Seri Hasan Malek yang mendedahkan perbincangan pada Januari dan mengarahkan Bank Rakyat supaya mengikut telunjuknya – Gambar The Malaysian Insider oleh Wan Amirul Asraf Wan Omar, 26 Mei, 2014.Sabbaruddin menunjukkan surat yang ditandatangani Datuk Seri Hasan Malek yang mendedahkan perbincangan pada Januari dan mengarahkan Bank Rakyat supaya mengikut telunjuknya – Gambar The Malaysian Insider oleh Wan Amirul Asraf Wan Omar, 26 Mei, 2014."Sebenarnya penggal saya berakhir pada 8 April dan Bank Negara sudah bersetuju, tetapi menteri tidak mahu menandatangan," katanya.
Malah, Sabbaruddin juga mendedahkan Hasan mengadakan pertemuan dengan individu tersebut di luar pengetahuan Bank Rakyat pada Januari lalu.
"Selepas itu baru kita tahu sudah ada mesyuarat pada Januari lalu, cek sudah tersedia untuk bulan Januari, Februari dan Mac cuma tunggu didepositkan sahaja," kata Sabbaruddin.
The Malaysian Insider difahamkan individu yang berhutang tersebut merupakan pemilik kepada sebuah syarikat karpet di ibu kota yang pernah menimbulkan kontroversi sebelum ini.
Sabbaruddin juga menunjukkan surat yang ditandatangani oleh Hasan kepada The Malaysian Insider yang secara jelas mendedahkan perbincangan pada Januari dan mengarahkan Bank Rakyat supaya mengikut telunjuknya.
Kemelut tersebut menjadi serius apabila Pengarah Urusan Mustafa Razak diarahkan membawa perkara tersebut ke Lembaga Pengarah Bank Rakyat untuk bersetuju dengan pembayaran hutang itu pada Mac lalu.
Bahkan, Sabbaruddin berkata Bank Rakyat sehingga kini tidak lagi mempunyai pengerusi selepas khidmatnya tidak disambung.
"Sampai hari ini, pengerusi baru Bank Rakyat belum ada pengganti," kata beliau.
Cubaan The Malaysian Insider menghubungi Hasan gagal kerana beliau sekarang ini berada di luar negara atas urusan kerja.
Individu berhutang itu pernah mencetuskan kontroversi sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tahun lalu.
Beliau juga pernah menyaman Putrajaya kerana melanggar perjanjian tanah di Bukit Raja, Selangor, dan ditarik balik pada hari yang sama.
Kemudiannya, syarikat milik tabung kerajaan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Holdings Bhd mengumumkan pada 2012 membeli 80% saham syarikat individu tersebut, Astacanggih Sdn Bhd dan sebidang tanah bernilai RM130 juta milik Awan Megah Sdn Bhd, syarikat ketua wanita Umno Selangor Senator Datuk Raja Ropiaah Abdullah. – 26 Mei, 2014.http://mimpi-senja.blogspot.com/2014/05/sabbaruddin-chik-salahkan-menteri.html

24 maut dalam serangan terbaharu Boko Haram


2014/05/26 - 07:55:10
KANO, Nigeria: Sekurang-kurangnya 24 orang terbunuh apabila anggota Boko Haram menyerang sebuah kampung di timur laut Nigeria di mana kumpulan militan itu meningkatkan serangan sejak beberapa bulan lalu, menurut penduduk.

Berpuluh lelaki bersenjata yang menaiki motosikal menyerbu kampung Kamuya di negeri Borno selepas terbit matahari ketika penduduk sedang menuju ke pasar minggu lalu melepaskan tembakan.


Serangan itu menunjukkan bagaimana Boko Haram yang mendapat perhatian dunia selepas menculik lebih 200 pelajar perempuan bulan lalu, boleh menyerang sesuka hati serta kelemahan tentera Nigeria dalam memastikan keselamatan. - AFP 

Tiga maut di Pattani


2014/05/26 - 02:48:30

Bangkok: Tiga orang mati dan 63 orang lagi dilaporkan cedera dalam beberapa letupan bom yang dikatakan sebagai terancang, yang berlaku di kedai membeli belah, stesen minyak dan beberapa tempat lain di wilayah selatan Thailand, kata polis.

Letupan petang kelmarin itu berlaku di wilayah Pattani yang majoriti penduduknya beragama Islam, tempat yang sudah menyaksikan banyak nyawa terkorban dalam keganasan.


Ambil kesempatan

Letupan berkemungkinan tiada kaitan dengan rampasan kuasa tentera di ibu negara Thailand, minggu lalu meskipun mereka yang melakukan letupan itu mungkin mengambil kesempatan daripada perkembangan berkenaan.

Ketua polis wilayah Pattani, Phote Suaisuwan, berkata letupan berlaku di empat kedai 7-eleven, dua stesen minyak dan tiga tempat lain.

Hospital melaporkan mereka merawat 63 orang dan tiga meninggal dunia.

Lebih daripada 5,000 orang terbunuh sejak kekecohan dan keganasan bermula pada tahun 2004. Rakyat Islam Thailand mendakwa mereka dilayan seperti rakyat kelas kedua oleh penduduk majoriti beragama Buddha.
AP

Buta bak 'Ibu Mertuaku'


2014/05/26 - 02:51:51 AM

Sibu: Bagaikan filem Ibu Mertuaku, seorang ibu buta selepas banyak menangis dalam tempoh empat tahun akibat mengenangkan kematian anak angkat perempuan kesayangannya yang menghidap barah.

Walaupun Jauni Muris, 69, tidak pernah berkahwin, namun kasih sayangnya terhadap Nora Tinggal, 36, begitu mendalam sehingga setiap kali mengenangkan arwah, Jauni akan menangis teresak-esak.


Berlarutan sejak tahun 2010

Keadaan itu yang berlarutan sejak tahun 2010, menyebabkan penglihatan Jauni semakin kabur, sebelum disahkan buta kedua-dua mata oleh doktor sejak tahun lalu.

Saya mengambil Nora sebagai anak angkat kerana tidak pernah berkahwin. Sejak itu, beliau menjadi insan yang cukup istimewa... beliau adalah segala-galanya bagi saya, Nora bagaikan nyawa saya.

Walaupun hanya anak angkat, saya membesarkan Nora seperti darah daging sendiri dengan penuh kasih sayang, katanya di sini, semalam.

Jauni berasal dari Kampung Masjid Lama Belawai, di sini, kini terpaksa bergantung kepada sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk meneruskan hidup, selain menjual kuih secara kecil-kecilan.
Katanya, sebelum hilang penglihatan, beliau pernah menjadi usahawan wanita dalam bidang fabrik dan hasil daripada perniagaannya, Jauni mampu menunaikan umrah dua kali dan membina kediaman sendiri.

Tak endah larangan


Tunjuk perasaan itu diadakan tanpa mengendahkan amaran tentera yang melarang sebarang bentuk protes dan perhimpunan.
Penunjuk perasaan mula bergerak dari daerah Chidlom menuju ke Tugu Kemenangan di pusat bandar Bangkok selepas ketegangan tercetus antara mereka dengan pasukan tentera yang bersenjata.
Ia tunjuk perasaan terbesar sejak tentera mengambil alih kuasa minggu lalu.
Tiada sebarang tanda kehadiran polis atau tentera ketika tunjuk perasaan berlangsung walaupun amaran dikeluarkan tentera melarang sebarang bentuk protes dan mengharamkan perkumpulan melebihi lima orang.
Seorang penunjuk perasaan, Kongjit Paennoy, 50, menyuarakan bantahannya terhadap rampasan kuasa yang dilakukan.
“Kami tidak takut mereka kerana semakin kita takut semakin kuat kita ditekan.
Kami mahukan pilihan raya agar kami boleh memilih kerajaan kami sendiri,” katanya.
Pihak tentera sebelum menahan bekas Perdana Menteri Yingluck Shinawatra dan beberapa pemimpin kerajaan serta tokoh politik yang lain selepas rampasan kuasa itu mengundang kecaman hebat masyarakat antarabangsa.
Jurucakap tentera, Kolonel Winthai Suvaree menyeru rakyat Thai agar bertenang dan beri masa kepada mereka untuk memulihkan keadaan.
“Saya meminta rakyat supaya bertenang dan memahami keadaan yang berlaku ketika ini.

Berhenti melakukan protes menentang rampasan kuasa kerana demokrasi tidak dapat dilaksanakan secara normal buat masa ini,” katanya.
Larangan menggunakan media sosial juga adalah bagi mengurangkan ketegangan yang tercetus di negara itu.
Satu pergelutan kecil berlaku sebelum perarakan apabila sekumpulan penunjuk perasaan yang membawa sepanduk mengecam rampasan kuasa merempuh anggota tentera yang berkawal di perkarangan pusat beli-belah.
Sekurang-kurangnya dua penunjuk perasaan ditahan dan seorang luka akibat pergelutan itu.
Beberapa protes berskala kecil dijalankan sejak panglima tentera Thai, Jeneral Prayut Chan-O-Cha mengumumkan pelaksanaan undang-undang tentera Khamis lalu.
Kelmarin menyaksikan pembubaran Dewan Negara yang dilakukan tentera dan meletakkan semua kuasa pada tangan Prayuth.
Ia juga menyaksikan kebebasan awam terhalang, sekatan dikenakan ke atas media dan beberapa perlembagaan dimansuhkan.
Wartawan Thailand, Pravit Rojanaphruk menjadi pengamal media pertama dikenakan tindakan oleh pemerintahan tentera dan dibawa ke markas tentera semalam dengan pita hitam menutupi mulutnya sebagai tanda protes.
Foto
Foto

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/26

Pegawai PM Turki tendang penunjuk perasaan dipecat



GAMBAR bertarikh 13 Mei ini menunjukkan Yerkel (kanan) menendang seorang penunjuk perasaan di Soma.


ANKARA - Seorang pembantu Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan yang mencetuskan kemarahan kerana menendang seorang penunjuk perasaan telah dipecat, menurut satu laporan kelmarin.
Pengawai tersebut, Yusuf Yerkel dikecam banyak pihak selepas gambarnya yang lengkap memakai kot dan bertali leher menendang beberapa kali seorang penunjuk perasaan tersebar di internet.
Gambar tersebut menyemarakkan lagi kemarahan terhadap kerajaan ekoran tragedi letupan di sebuah lombong arang batu di Soma pada 13 Mei lalu yang menyebabkan seramai 301 orang maut.
Penunjuk perasaan itu menyertai bantahan berhubung kejadian letupan tersebut berikutan ciri-ciri keselamatan di lombong-lombong arang baru di Turki diabaikan.
Selepas kejadian itu, Yerkel diberi cuti sakit selama tujuh hari akibat kecederaan kaki selepas menyepak lelaki berkenaan.
Yerkel kemudiannya memohon maaf atas kejadian tersebut dan memberitahu bahawa beliau kesal kerana gagal mengawal emosi.
"Saya memohon maaf kerana tidak dapat mengawal perasaan selepas dihujani provokasi, penghinaan dan serangan oleh kumpulan penunjuk perasaan," katanya.
Bagaimanapun, agensi berita Anatolia kelmarin melaporkan bahawa Yerkel yang bertugas sebagai ketua staf di pejabat Erdogan selama tiga tahun telah dipecat Rabu lalu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0526&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz32lve6Rfn 
Hakcipta terpelihara 

Penunjuk perasaan tak endah darurat



KUMPULAN penunjuk perasaan berarak di tengah Bangkok semalam bagi membantah rampasan kuasa oleh junta tentera.


BANGKOK - Lebih 1,000 penunjuk perasaan tidak mengendahkan undang-undang tentera dengan berarak di tengah kota raya ini semalam bagi membantah rampasan kuasa yang dilakukan junta tentera baru-baru ini.
Para penunjuk perasaan berarak dengan membawa sepanduk yang mengutuk rampasan kuasa tersebut dan melaungkan slogan mendesak junta tentera supaya keluar dari sini.
Sejak Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Prayuth Chan-ocha mengumumkan merampas kuasa Khamis lalu, kumpulan berkenaan berterusan membuat siri bantahan.
Junta tentera sebelum ini memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak mengadakan tunjuk perasaan, manakala undang-undang darurat melarang perhimpunan melebihi lima orang.
Namun, semalam tiada askar dan anggota polis berkawal di lokasi tersebut.
Junta tentera Thailand kelmarin membubarkan Dewan Senat dan mengambil alih kuasa untuk menggubal dan merombak undang-undang.
Prayuth turut memegang jawatan sebagai Pemangku Perdana Menteri.
Terbaharu, beliau telah memanggil 190 ahli politik dan ahli akademik untuk melaporkan diri kepada pihak berkuasa.
Antara yang hadir untuk menyerah diri termasuk bekas Perdana Menteri sementara, Niwattumrong Boonsongpaisan yang disingkirkan menerusi rampasan kuasa.
Niwattumrong sebelum ini menjadi Perdana Menteri sementara menggantikan Yingluck Shinawatra yang disingkirkan menerusi Mahkamah Perlembagaan selepas beliau didapati bersalah menukarkan seorang pegawai tinggi kerajaan.
Yingluck merupakan adik bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra yang digulingkan tentera dalam satu rampasan kuasa tanpa pertumpahan darah pada tahun 2006.
Turut berada dalam senarai 190 orang yang ditahan itu ialah ketua penunjuk perasaan, Suthep Thaugsuban yang mengetuai tunjuk perasaan antikerajaan selama tujuh bulan di sini dan beberapa lokasi sekitarnya.
Dalam perkembangan lain, junta tentera menafikan menangkap Yingluck seperti yang dilaporkan oleh media.
"Yingluck cuma dipanggil untuk disoal siasat dan diminta tidak terlibat dalam apa-apa aktiviti politik, beliau tidak ditangkap seperti yang dilaporkan," kata seorang jurucakap junta tentera Thailand. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0526&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz32lu3x7Kg 
Hakcipta terpelihara 

Siri serangan bom gegar Selatan Thai


SEORANG anggota tentera berkawal di hadapan sebuah kedai yang musnah dalam satu siri serangan bom di Pattani, Selatan Thailand kelmarin.


NARATHIWAT, Thailand - Sekurang-kurangnya tiga maut dan 55 lagi cedera dalam beberapa siri serangan bom di beberapa lokasi di wilayah Pattani, Yala dan Narathiwat kelmarin.
Seorang jurucakap tentera Thailand, Kolonel Piamote Prom-In berkata, beberapa serangan bom dan tembakan dilaporkan berlaku di beberapa lokasi pada petang kelmarin.
"Bom meletup di beberapa lokasi yang sibuk dengan orang ramai yang membeli barangan keperluan sebelum perintah berkurung dikuatkuasakan pada waktu malam.
"Serangan ini menyebabkan tiga terbunuh dan seramai 55 lagi cedera. Lima daripada mereka dilaporkan parah," katanya semalam.
Akhbar The Bangkok Post melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 13 bom meletup secara serentak di wilayah Pattani.
Antara lokasi serangan termasuklah kedai 24 jam, pejabat Pihak Berkuasa Elektrik Wilayah, sebuah kemudahan elektrik dan sebuah stesen minyak di daerah Muang.
Serangan tersebut menyebabkan daerah itu terputus bekalan elektrik. Polis turut menerima laporan terdapat tembakan dilepaskan ke arah pejabat berkenaan.
Kumpulan pemisah Islam sebelum ini sering didakwa bertanggungjawab melakukan serangan di wilayah berkenaan yang menyebabkan beribu-ribu penduduk maut. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0526&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz32ltWTdfV 
Hakcipta terpelihara 

Seorang terkorban dalam serangan kumpulan pemisah di selatan Thailand.


BANGKOK 25 Mei - Sekurang-kurangnya seorang terkorban dan lebih 40 lagi mengalami kecederaan, selepas anggota pemisah melancarkan serangan bersenjata dan bom di selatan negara ini, hari ini.
Pegawai kerajaan berkata, beberapa buah bom meletup di sebuah kedai serbaneka dan dua stesen minyak, selain meletup berhampiran stesen elektrik sehingga menyebabkan bekalan elektrik terputus selama 40 minit.
Serangan tersebut berlaku dua hari selepas pihak tentera mengambil alih tampuk pentadbiran negara, namun dipercayai serangan terbaharu ini tiada kaitan dengan peralihan kuasa kerajaan Pusat. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140525/lu_10/Seorang-terkorban-dalam-serangan-kumpulan-pemisah-di-selatan-Thailand#ixzz32lp8rqXn
© Utusan Melayu (M) Bhd