Showing posts with label PRU13. Show all posts
Showing posts with label PRU13. Show all posts

Sunday, May 13, 2012

PRU13: PAS tangguh muktamar, ganti himpunan raksasa


KUALA LUMPUR, 13 Mei: PAS akan menangguhkan muktamar yang sepatutnya diadakan pada Jun ke November depan.

Presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, ia akan digantikan dengan perhimpunan raksasa pada 1 Jun di Alor Setar, Kedah yang akan memberi fokus sepenuhnya kepada pilihan raya umum ke-13.

"PAS lebih menumpukan kepada persediaan menghadapi pilihan raya umum yang masih menjadi teka-teki, itulah demokrasi di negara itu.

"Jadi PAS tangguh muktamar ke satu tarikh lain dan akan adakan ijtima' dan munajat perdana untuk perkasakan jentera dan ahli di seluruh negara bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13," kata beliau pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat di ibu pejabat parti, Jalan Raja Laut, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar akan menjadi pengarah bagi ijtima' yang dijangka dihadiri lebih 100,000 ahli parti itu.

"Maklumat lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

"PAS tak akan sediakan bas untuk ke sana tapi semua atas usaha ahli sendiri tapi kita yakin kehadiran lebih 100,000," katanya.

Sementara itu, Ustaz Hadi juga memaklumkan seratus peratus nama calon dari setiap negeri sudah dihantar ke Jawatankuasa Pusat dan diluluskan Majlis Syura.

"Jawatankuasa Pusat memberi kepercayaan kepada Dewan Harian PAS Pusat untuk meneliti semua calon yang dikemukakan kepada pusat dan diluluskan Majlis Syura," katanya.

Tambah beliau juga, isu pertindihan kerusi dengan PKR dan DAP akan diselesaikan oleh Jawatankuasa Bersama dalam Pakatan Rakyat.

"Itu akan diselesaikan oleh jawatankuasa bersama dalam Pakatan Rakyat," katanya.

Turut bersama pada sidang media ialah Timbalan Presiden, Mohamad Sabu,  Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub, serta Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali.
'via Blog this'

Tuesday, January 24, 2012

PRU13: Gerakan letak calon Melayu

gerakan
KUALA LUMPUR – Gerakan membidas DAP kerana ‘cakap besar’ mengenai keupayaannya untuk mengekalkan pemerintahan di Pulau Pinang dengan mencari kelemahan parti lain.

Presidennya, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata, DAP tidak boleh menabik dada memberitahu masyarakat Cina yang mereka adalah parti yang kuat kerana ia diputuskan oleh pengundi bukan diri sendiri.

“Memang pemimpin DAP macam itu, suka kata partinya sahaja kuat. Sebenarnya kekuatan diukur oleh sokongan rakyat dan pengundi dalam pilihan raya akan datang, bukan dengan cakap besar,” katanya pada sidang media Gerakan selepas mengadakan rumah terbuka di Bangunan PGRM, semalam.

Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Untuk memastikan kemenangan milik Gerakan dengan merampas semula kerusi yang dimenangi pembangkang pada pilihan raya lalu, Tsu Koon berkata, partinya akan meletak calon yang terdiri daripada pelbagai bangsa.

Menurutnya, tindakan itu bertujuan untuk menarik sokongan pelbagai kaum kepada parti berkenaan, namun calon bukan Cina akan diletak bergantung pada lokasi tertentu.

“Kalau majoritinya di kawasan Melayu, Gerakan mungkin meletak calon Melayu dan begitulah sebaliknya, tetapi perkara ini belum diputuskan lagi. Kami masih berbincang dan terlalu awal untuk memberitahu kepada umum,” katanya.

Mengulas mengenai kesediaan Gerakan melepas jawatan Ketua Menteri kepada parti komponen BN lain, termasuklah Umno, katanya, semua itu bergantung kepada keputusan yang dibuat Pengerusi BN, Najib.

“Kita ikut apa kata putus Najib. Gerakan ikut sahaja prosedur ini. Keputusan mengenai parti mana menerajui Pulau Pinang akan diperjelaskan dalam masa terdekat dan lihat keputusan beliau sama ada mahu Gerakan menerajui atau dilepaskan kepada parti komponen lain.

“Itu semua tidak penting kerana kita berjuang dalam semangat 1Malaysia, satu tenaga dan satu hati. Dengan perpaduan ini, saya percaya segala cabaran mendatang akan diatasi dengan jayanya,” katanya.

Beliau berkata, Gerakan telah bekerja keras untuk menarik sokongan orang Cina kepada parti itu dan tidak percaya pada janji-janji pembangkang yang mahu memberi keadilan kepada satu-satu bangsa.

Kata Tsu Koon, orang Cina mengundi pembangkang pada pilihan raya lalu kerana mereka berjanji mahu memberi keistimewaan diberikan kepada orang Cina sahaja sedangkan setiap warganegara berhak mendapat hak sedemikian, tidak kepada sesuatu bangsa. PRU13: Gerakan letak calon Melayu - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Friday, December 3, 2010

PRU13 ujian sebenar BN



Najib Tun Razak (kiri) dan Rosmah Mansor bergambar dengan Hun Sen pada Persidangan Antarabangsa Parti-parti Politik Asia Ke-6 di Phnom Penh, semalam. – Bernama


PHNOM PENH 2 Dis. – Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) adalah ujian sebenar kepada kredibiliti Barisan Nasional (BN) walaupun terdapat tanda-tanda awal bahawa rakyat semakin yakin dengan parti itu selepas kerajaan dilihat komited menunaikan janji-janjinya dalam pilihan raya lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ketika pilihan raya itu nanti rakyat akan membuat penentuan akhir sama ada BN telah berjaya memenuhi harapan dan kehendak mereka atau sebaliknya.
Menurutnya, PRU13 juga akan menggambarkan penerimaan sebenar terhadap segala usaha BN untuk menarik semula sokongan rakyat iaitu menerusi pelbagai inisiatif dan juga transformasi dalam kerajaan serta parti.
“Dalam tempoh 18 bulan (selepas PRU12), parti perikatan pemerintah (BN) telah melakukan transformasi signifikan dan 13 parti komponen pula melaksanakan langkah-langkah terbaik dalam membawa perubahan serta memenangi semula perhatian rakyat.
“Petunjuk awal adalah rakyat telah memberi respons yang positif dan mula kembali memberi kepercayaan kepada BN. Kredibiliti BN semakin kukuh pada mata rakyat apabila kita menunaikan janji-janji pilihan raya dan komitmen ditunjukkan,” katanya.
Beliau menyampaikan ucaptama pada Perhimpunan Agung Persidangan Antarabangsa Parti-parti Politik Asia (ICAPP) Keenam di sini hari ini.
Dalam sidang akhbar kemudiannya, ketika diminta mengulas mengenai pilihan raya umum akan datang berikutan petunjuk awal tersebut, Najib menjelaskan:
“Itu bukan petanda awal, tapi ia (pilihan raya umum) boleh jadi awal, boleh jadi lewat... biasalah.
“Penentuan akhir apabila sampai masanya, boleh jadi cepat, boleh jadi lambat.”
Tambah beliau, perkembangan positif mengenai petunjuk awal itu bagaimanapun tidak meletakkan BN untuk berasa lega dan dalam keadaan selesa, sebaliknya perlu bekerja lebih keras.
Dalam pada itu, ketika berkongsi pengalaman dengan lebih 300 peserta persidangan itu dari 51 negara Asia dan Oceania, Najib mengimbas langkah-langkah BN untuk bangkit selepas PRU12 pada 2008.
Menurutnya, antara yang dilakukan BN ialah memperkenalkan gagasan 1 Malaysia dengan menjadikan konsep Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan sebagai falsafah pentadbiran negara.
Tambahnya, inisiatif lain adalah pelancaran Klinik 1Malaysia yang menyediakan bantuan perubatan percuma kepada orang ramai dan biasiswa 1Malaysia untuk pelajar cemerlang tanpa mengira agama dan kaum.
“Kita juga secara agresif melancarkan pelbagai skim dan program bagi meningkatkan taraf kehidupan rakyat b